Jumaat, 3 September 2010

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Guan Eng - Muka macam saya, gaya macam saya, cara macam saya tapi ....

Posted: 03 Sep 2010 03:08 AM PDT

Semasa di kawasan Air Putih, Ketua Menteri Pulau Pinang telah diminta komen tentang gambar 'Lim Sembelih Lembu' di mana pihak-pihak tertentu telah menggunakan gambar muka beliau dan 'superimposed' ke satu gambar YB Nizar menyembelih kerbau.

Lim berkata ini memang perbuatan yang jahat sekali. Apabila ditanya jika beliau ada nasihat untuk pihak-pihak yang memfitnah beliau, dia berkata itu terpulang kepada tuhan dan pihak berkuasa,

Lim selaku Adun kawasan Air Putih melawat sebuah keluarga miskin di sana. Sebanyak RM6,500 telah diperuntukkan dari Adun Air Putih untuk menolong keluarga ini membaiki rumah usang mereka.



Tuduhan Zahrain dinafikan CEO The Malaysian Insider

Posted: 03 Sep 2010 01:38 AM PDT

Sebelum itu, Media tunggangan UMNO hari ini melaporkan..

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, 'hubungan' di antara Jahabar yang juga ketua pengarang portal berita propembangkang itu dengan pemimpin Bendera mungkin boleh membetulkan keadaan yang berlaku disebabkan kempen anti-Malaysia anjuran pertubuhan itu.

"Saya mendapat tahu Jahabar ada hubungan dengan tiga pemimpin kanan Bendera iaitu Mustar Bona Ventura (Koordinator Bendera), Adian Napitulupu dan Serdi Semaun.

"Mungkin hubungan itu bersangkut-paut dengan siri provokasi dan penghinaan ke atas kepentingan Malaysia di Indonesia atau Jahabar sekurang-kurangnya boleh menasihatkan Bendera mengenai hal itu jika benar mereka ada kaitan," katanya.Berita lanjut, sila rujuk di SINI

Mungkinkah Ahli Parlimen Bayan Baru ini khuatir akan dilupakan masyarakat akan kewujudan beliau maka dengan sebab itu kali ini beliau menuduh CEO portal berita "The Malaysian Insider" mempunyai hubungan dengan pemimpin BENDERA pula?

Atau beliau sekadar mereka cerita agar dapat menumpang populariti BENDERA? Kalau begitu.. malang sungguh nasib si Katak ini...

********************************************

Jahabar nafi ada hubungan dengan Bendera
Fri, Sep 3, 2010
Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) portal berita "The Malaysian Insider", Jahabar Sadiq menafikan sebarang hubungan dengan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) mahupun pemimpin-pemimpin kanan kumpulan tersebut seperti didakwa Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Berikutan itu, Jahabar berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut mahupun Zahrain kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya itu.

Malah beliau sendiri tidak pernah bertemu dengan Zahrain dan cukup terkejut dengan kenyataan yang dilemparkan ke atasnya.

Beliau berkata, "saya tidak tahu mengapa Zahrain membuat kenyataan sedemikian dan saya menafikan wujudnya sebarang hubungan antara saya dengan pemimpin-pemimpin kanan Bendera itu.

"Saya dah berkecimpung dalam media selama 33 tahun dan saya mengenali ramai orang sepanjang saya terbabit dalam bidang tersebut. Saya juga pernah berkhidmat di Indonesia sebagai penerbit kanan untuk Reuters pada 2008-2009.

"Malah saya pernah bertemu dengan beberapa ahli Bendera. Mereka mungkin mempunyai kad saya," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Jelas beliau, jika perkara tersebut cuba dikaitkan dengan 'hubungan' itu maka ia boleh dikaitkan dengan mana-mana parti di Malaysia juga termasuklah Perkasa.

"Saya tidak lihat isu ini sepatutnya ditimbulkan. Jika mereka mengaitkan saya dengan hubungan dengan Bendera, maka saya juga mempunyai kaitan dengan Umno, MCA, MIC, DAP, PAS, PKR malah Perkasa juga ada kad nama saya, jika ingin mengaitkan saya dengan mereka itu.

"Saya akan menyerahkan isu ini kepada peguam saya untuk tindakan selanjutnya," katanya. Media arus perdana boleh dipercayai?

Menurut Jahabar, dakwaan yang dimainkan oleh Utusan ini jelas bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa media arus perdana 'boleh dipercayai'.

"Artikel Utusan bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri, dan perkara ini secara tidak langsung memberi kesan kepada profesionalisma kewartawanan di mana setidak-tidaknya mereka menyemak fakta atau menghubungi saya untuk mendapatkan maklum balas.

"Ini masalah media arus perdana di Malaysia. Mereka hanya tahu menuduh, bukan untuk berbincang dengan sesiapa yang mempunyai pandangan alternatif. Sedangkan mereka bebas untuk bekerjasama dengan ahli-ahli politik yang mempunyai pandangan yang sama.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Zahrain mengaitkan Jahabar dengan tiga pemimpin kanan Bendera iaitu Mustar Bona Ventura (Koordinator Bendera), Adian Napitulupu dan Serdi Semaun.

Zahrain turut mendakwa beliau mempunyai kaitan dengan siri provokasi dan penghinaan yang berlaku ke atas Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia baru-baru ini.


Free Malaysia Today

Pemilihan PKR : Azmin, Zaid mendahului Jawatan no 2

Posted: 03 Sep 2010 12:48 AM PDT

Pengumuman penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim bahawa beliau telah menukar fikirannya untuk merebut "jawatan itu" dalam pemilihan parti November depan - menyaksikan pertandingan merebut jawatan nombor dua dalam PKR semakin hangat.

Syed Husin Ali yang telah memegang jawatan timbalan presiden PKR untuk selama dua penggal dijangka tidak lama lagi akan mengumumkan hasratnya untuk bersara.

Alasan, ahli akademik yang terjun ke dunia politik itu adalah untuk meluangkan masa bersama keluarga dan faktor kesihatan.

Zaid sehingga hari ini belum mengumumkan jawatan mana yang akan beliau tandingi, meskipun beliau dilihat antara empat calon yang layak menjadi orang nombor dua PKR.

Mereka yang lain itu termasuk naib presiden Mustapha Kamil Ayub, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan seorang lagi naib presiden Azmin Ali.

Namun menurut seorang ahli biro politik yang tidak mahu dikenali, pertarungan sebenarnya adalah antara Zaid dan Azmin.

Calon yang tidak dikenali

Sokongan politik yang diperolehi oleh Khalid yang sejak akhir-akhir ini dibidas oleh ahli PKR dikatakan semakin merosot.

Khalid juga mengakui beliau kurang berminat dengan politik tetapi sebaliknya ingin menumpukan perhatian mkentadbirkan Selangor.

Mustapha, pula dilihat sebagai calon yang 'ditanam' oleh pihak tertentu bagi melunturkan semangat mereka yang lain untuk bertanding jawatan yang sama, kata sumber berkenaan.

Tambah sumber yang memegang jawatan penting dalam PKR, Mustapha dianggap sebagai calon yang 'tidak dikenali' di kalangan pertarungan gergasi itu.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin bersetuju: "Dia (Mustapha) mungkin orang lama tetapi dari segi profail, dia akan kalah kepada Azmin."

Kedua-dua mereka telah berada di PKR untuk tempoh masa yang hampir sama.

Pengalaman perjuangan Azmin dalam PKR meletakkannya ke hadapan jika dibandingkan dengan Zaid, yang kesetiaannya masih diragui, kata Zuraida.

"(Zaid) mesti diuji dulu. Tidak dinafikan dia banyak berkorban dengan meninggalkan Umno tetapi ahli akar umbi ingin lihat kesetiaannya terlebih dahulu.

"Ahli-ahli juga ingin melihat kesinambungan, mereka akan mengundi seseorang yang memahami perjuangan parti," katanya lagi.

Zaid, yang kini diberi tanggungjawab sebagai ketua PKR Wilayah Persekutuan menyertai parti itu dua tahun lalu.

Guris perasaan

Walaupun didakwa terbabit dengan politik wang dalam Umno, namun tindakannya meletakkan jawatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negara - mendapat sanjungan dan penghormatan ramai.

Ahli biro politik PKR, S Manickavasagam pula berkata tindakan Zaid sebagai pendatang baru mungkin untuk mencabar kedudukan kanan parti itu mungkin menguris perasaan beberapa pihak.

"Orang akan berfikir sebagai ahli baru, beliau tidak sepatutnya bertanding jawatan yang begitu tinggi," katanya sambil menambah bahawa ada pihak juga yang mendakwa Zaid mungkin bertanding jawatan yang lebih tinggi.

Sebaliknya, kata Manickavasagam - Azmin lebih dikenali khususnya di Selangor - lebih-lebih lagi beliau baru dilantik sebagai ketua negeri yang baru bagi menggantikan Khalid berikutan rasa tidak puas hati di kalangan ahli parti.

Sokongan di Selangor dilihat penting kerana negeri itu mempunyai 400,000 ahli yang setiap seorang daripada mereka memegang satu undi.

Bagi Zuraida, pergeseran di antara Khalid dan Azmin juga akan mempengaruhi keputusan pemilihan ahli kali ini.


Malaysiakini

Scandal PKFZ: Liong Sik mahu kertas Kabinet diubah status

Posted: 03 Sep 2010 12:36 AM PDT

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani



PUTRAJAYA, 3 Sept — Barisan peguam bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik, yang berhadapan dengan tuduhan berkaitan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), hari ini memohon di Mahkamah Sesyen agar minit mesyuarat Kabinet yang berkaitan dengan projek itu diklasifikasikan semula.

Tuntutan itu dibuat pagi ini ketika mahkamah bersidang untuk mendengar sebutan semula tuduhan ke atas beliau.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula tuduhan Dr Ling yang juga bekas Menteri Pengangkutan itu.

Selain itu beliau juga meminta kesnya dipindahkan ke Kuala Lumpur.

Dr Ling merupakan individu kelima dan berkedudukan tinggi yang didakwa berhubung skandal PKFZ.

Akhir tahun lepas, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datin Paduka OC Phang dan tiga lagi didakwa melakukan pecah amanah dan menipu dengan membuat tuntutan palsu.

Ketika dikenakan didakwa pada 29 Julai lalu, Dr Ling mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya jemaah menteri berhubung pembelian tanah untuk projek "Mega Distribution Hub" di Pelabuhan Klang.

Dr Ling, 67, yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 14 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2000, didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 418 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Dr Ling didakwa telah menipu kerajaan Malaysia antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri di sini dengan memperdayakan Kabinet untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek mega "distribution hub" di Pelabuhan Klang mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd dengan Lembaga Pelabuhan Klang yang antara lainnya ialah:

a) luas tanah ialah 999.5 ekar atau 43,538,200 kaki persegi:

b) kadar pembelian tanah adalah sebanyak RM25 satu kaki persegi menjadikan jumlah pembelian sebanyak RM1,088,456.

c) tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah "bayaran tertangguh" selama 15 tahun dengan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun (jumlah RM720,014,600), dengan curangnya menyembunyikan fakta bahawa penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah tersebut pada kadar RM25 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 10 tahun atau RM25.82 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 15 tahun, adalah termasuk kupon/ faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh bayaran balik tersebut.

Dengan demikian telah dengan sengaja mendorong Jemaaah Menteri untuk memberikan persetujuan kepada pembelian tanah tersebut yang mana Jemaah Menteri tidak akan memberikan persetujuan sekiranya fakta tersebut dimaklumkan kepada Kabinet.

Penipuan itu dilakukan dengan mengetahui bahawa tertuduh boleh menyebabkan kehilangan salah kepada kerajaan Malaysia, yang kepentingannya dalam urusan yang berkaitan dengan penipuan itu bahawa tertuduh terikat oleh suatu kontrak di sisi undang-undang untuk melindungi dan dengan demikian telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan.

Projek PKFZ, yang dibina di kawasan seluas 405 hektar di Pulau Indah dekat Pelabuhan Barat sebagai hab penghantaran kargo bersepadu telah menimbulkan kontroversi apabila kosnya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion.


The Malaysian Insider

Pemilihan PKR : Azmin dianggap calon popular

Posted: 02 Sep 2010 08:38 PM PDT

SHAH ALAM – Pertandingan merebut kerusi nombor dua Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka sengit apabila Ahli Majlis Pimpinan Pusat parti itu, Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan kesediaannya bertanding jawatan tersebut jika dicalonkan dan mendapat sokongan akar umbi.

Penganalisis politik tempatan, Datuk Zainal Kling berkata, walaupun Zaid Ibrahim mengumumkan kesediaannya bertanding jawatan tersebut, namun Naib Presiden PKR, Azmin Ali dikatakan sebagai calon popular yang dijangka berjaya memenangi jawatan Timbalan Presiden.

"Azmin secara lojik akan dipersetujui oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui jawatan nombor dua parti tersebut memandangkan beliau adalah pemimpin parti yang lebih dekat dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kesetiaannya kepada parti.:

"Malah, Azmin juga sudah memberi sokongan peribadi yang tidak berbelah bahagi kepada Anwar dalam mencapai hasratnya dan parti," katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:, semalam.

Menurutnya, Azmin juga dilihat sebagai pemimpin yang paling layak sebagai Timbalan Presiden dalam membawa suara dan mendapatkan sokongan generasi muda.

Walaubagaimanapun, beliau berkata, Zaid Ibrahim dilihat sebagai calon baru yang banyak menerima cabaran dan tekanan sejak menyertai parti tersebut.

"Masih terlalu awal untuk Zaid Ibrahim menerajui jawatan nombor dua itu memandangkan ada ahli-ahli PKR yang mencurigai 'kesetiaannya' kepada parti itu.

"Namun, Anwar mempunyai minat yang kuat agar Zaid Ibrahim mempunyai jawatan di peringkat pusat bagi memperkukuhkan parti menjelang pilihan raya umum ke -13," katanya.

Beliau berkata, pemilihan PKR yang dijangka diadakan pada November ini bakal menyaksikan pertandingan sengit memandangkan calon yang bertanding mempunyai minat dan menaruh harapan menjawat jawatan menteri jika harapan Pakatan Rakyat menawan Putrajaya menjadi kenyataan.

Kelmarin, Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim yang pernah mengumumkan tidak akan bertanding untuk merebut sebarang jawatan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) November ini, mengesahkan beliau bersedia bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden parti itu.
Zaid berkata, beliau akan menerima jawatan itu jika dicalonkan dan mendapat sokongan akar umbi.


Sinar Harian

Fitnah Guan Eng sembelih lembu melampau

Posted: 02 Sep 2010 08:23 PM PDT



GEORGETOWN - Polis diminta menyiasat dengan segera individu yang terlibat memfitnah Lim Guan Eng menerusi penyebaran gambar yang dihasilkan menerusi teknik pertindihan (super impose) Ketua Menteri itu sedang menyembelih lembu korban untuk umat Islam.

Exco Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd Faruk Abdul Rahman berkata, fitnah seperti itu amat merbahaya kerana ia melibatkan sentimen agama yang amat sensitif bagi umat Islam.

"Saya tidak fikir ini strategi politik biasa. Kerana itu, polis perlu siasat dengan segera siapa dalangnya dan ambil tindakan paling tegas," katanya.

Menyifatkan perbuatan itu sebagai melampau, Mohd Faruk berkata, mereka yang terbabit juga ternyata tidak menghormati kemuliaan Ramadan.

"Saya percaya, ini perbuatan individu atau kumpulan dalam UMNO," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP Pulau Pinang, Ng Wei Aik yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri berkata, polis perlu menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang sengaja memainkan isu sensitif yang boleh mencetuskan ketegangan itu.

Menurutnya, Ketua Menteri sememangnya seorang yang prihatin dan mesra dengan semua kaum, malah pada bulan Ramadan ini, jadualnya padat dengan pelbagai majlis berbuka puasa.

Wei Aik berkata, Guan Eng masih tahu batas serta perkara yang boleh dibuat dan yang tidak boleh terutama membabitkan hal keagamaan.

"Tuduhan mereka tidak berasas. Mereka sudah semakin melampau kerana dengan sewenang-wenangnya bermain isu yang sangat sensitif. Ini berbahaya kerana ia boleh memecahbelahkan kaum serta keamanan yang kita kecapi sejak sekian lama,"katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar.

Wei Aik yang bimbang perkara itu akan berlarutan membuat laporan polis petang di Balai Polis Jalan Pattani, petang semalam.


Sinar Harian

Tiada ulasan: