Khamis, 23 September 2010

ANAK SENGAT

ANAK SENGAT


SPR JANGAN CARI PASAL....

Posted: 22 Sep 2010 07:51 PM PDT

KUALA LUMPUR, 23 Sept — Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan menyifatkan langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan pembetulan lokaliti mengundi dan disusuli dengan pemindahan pengundi terbabit sebagai proses yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

SPR melaksanakan proses ini secara meluas ekoran penggunaan sistem maklumat geografi elektronik (EGIS) sejak 2004 di seluruh negara iaitu dua tahun selepas urusan persempadanan bahagian pilihan raya terakhir dilaksanakan.

Proses itu membawa kepada pertambahan kerusi Parlimen kepada 222.

Menurut SPR, ia menjalankan proses ini selaras dengan peruntukan Subseksyen 7(2) dan 7(4) Akta Pilihan Raya 1958 dan Subseksyen 25(3) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Ambiga berpendapat bahawa walaupun SPR mengesan kewujudan kesilapan dalam sempadan bahagian pilihan raya sama ada DUN ataupun Parlimen, ia tidak harus mengganggu sempadan sedia ada.

"Walaupun SPR mengesan ada kesilapan lokaliti mengundi, SPR tidak boleh melakukan pembetulan sehingga urusan persempadanan baru dilakukan iaitu dalam keadaan semasa (dijangka) akan dijalankan selepas Mac 2011," kata Ambiga ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ambiga berkata jika proses itu dilaksanakan, ia boleh dianggap sebagai satu urusan persempadanan 'kecil' antara proses persempadanan terdahulu dan yang akan datang.

Beliau dikemukakan persoalan mengenai proses ini ekoran dakwaan beberapa pihak dalam blog dab ruangan Twitter baru-baru ini bahawa tindakan SPR itu tidak sah kerana seolah-olah SPR mengadakan urusan persempadanan 'mini'.

Perkara itu turut diakui oleh Naib Pengerusi DAP M. Kulasegaran yang menyifatkannya sebagai "urusan persempadanan semula kecil", yang tidak sewajarnya dilakukan.

Ahli Parlimen Ipoh Barat ini juga mengakui pernah mengalami tindakan seumpama di bahagian Parlimen Ipoh Barat tiga tahun lalu melibatkan pemindahan kira-kira 2,000 pengundi.

Pembetulan lokaliti mengundi membabitkan pengundi-pengundi itu dipindahkan dari Ipoh Barat ke kawasan Parlimen Batu Gajah.

Kedua-duanya terletak di Perak.

SPR yang masih dalam proses pelaksanaan belum dapat memberikan jumlah sebenar kawasan yang terlibat di seluruh negara.

Wakil rakyat itu mengesyaki ada yang tidak kena dengan proses sedemikian.

"Seolah-olah ada kerja muslihat di pihak SPR untuk memindahkan pengundi dari satu kawasan ke kawasan atas nama pembentulan lokaliti," katanya lagi.

Pada pilihan raya umum 2004 Kulasegaran menang dengan majoriti 598 undi tetapi empat tahun kemudian majoritinya meningkat kepada lebih 15,000 undi.

Keseluruhannya menurut beliau, pihaknya menganggarkan ia melibatkan kira-kira 200,000 pengundi di seluruh negara.

"Kami anggarkan sekitar 200,000 pengundi terlibat dalam proses ini, tetapi kami masih mengadakan penelitian mendalam untuk mendapatkan angka sebenar pengundi dan bahagian Parlimen yang terlibat," katanya.

Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam berkata, langkah memindahkan lokaliti, yang menjadi tumpuan ketika pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor April lalu, sebenarnya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Pada pandangan saya ia satu proses yang bercanggah dengan Perlembagaan di mana SPR tidak boleh membetulkan sempadan pilihan raya dan memindahkan pengundi tanpa pengetahuan mereka," kata beliau.

Ambiga menambah, isu ini merupakan salah satu perkara yang dibangkitkan dalam memorandum yang dikemukakan kepada SPR Julai lalu.

Pertemuan SPR dan Bersih 2.0 telah dijadual untuk diadakan pada 27 Ogos lalu tetapi suruhanjaya tersebut memaklumkan NGO itu bahawa ia ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian selepas Aidilfitri.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberitahu The Malaysian Insider pihaknya akan menemui Bersih 2.0 selepas sambutan Aidilfitri.

Ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh mempertikaikan ketelusan perjalanan pilihan raya kecil itu ekoran dakwaan Pakatan Rakyat bahawa tindakan SPR telah memindahkan 228 pengundi dari Kampung Tanjung di DUN Batang Kali dalam bahagian Hulu Selangor ke kerusi Parlimen jiran — Selayang.

Fuziah mendakwa ia sebagai satu tindakan tidak sah, memindahkan pengundi dari satu bahagian ke bahagian lain.

Bagaimanapun dalam reaksi ketika itu, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata tindakan itu tidak salah dari segi undang-undang.

"Proses ini sudah dijalankan sejak selepas pilihan raya umum 2004. Jadi kami mendapati ada kawasan yang termasuk dalam bahagian pilihan raya yang lain tetapi hakikat pengundi kena mengundi di tempat lain.

"Jadi SPR sedang mengambil tindakan membetulkan lokaliti tempatan mengundi dengan memindahkan pengundi kawasan terbabit ke bahagian-bahagian lain... salah satu bahagian terbabit ialah Hulu Selangor dan Selayang," katanya.

Kata beliau pada masa lalu proses menentukan sempadan dibuat secara manual tetapi SPR menggunakan EGIS sejak 2004.

Dalam kes terbaru, SPR membuat pembetulan lokaliti mengundi Lapangan Terbang di kawasan Parlimen Bukit Bintang ke bahagian Parlimen Cheras membabitkan kira-kira 150 pengundi.

Kedua-dua bahagian itu terletak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya DAP Tan Kok Wai berkata SPR memaklumkan pihaknya bahawa pembetulan lokaliti mengundi Lapangan Terbang di kawasan Parlimen Bukit Bintang dilakukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Saya dan Ahli Parlimen Bukit Bintang (Fong Kui Lun juga dari DAP) tidak kisah proses ini dilakukan kerana kami menganggap ia dilakukan dengan alasan yang tulen ekoran perbezaan alamat tempat tinggal bagi penduduk yang tinggal di PPRT Lapangan Terbang," katanya.

Walaupun tinggal di pangsapuri yang sama ada pengundi yang menggunakan alamat membolehkan mereka mengundi di kawasan Bukit Bintang manakala sesetengah pula di kawasan Cheras sedangkan kesemua mereka wajar diwakili oleh kerusi Parlimen Cheras.

"Keputusan ini kami terima. Tetapi apa yang kami hendak menekankan di sini ialah SPR sewajarnya melakukan dengan terbuka dan telus... memberikan peluang kepada pengundi berkenaan membantah atau sebaliknya apabila mereka dipindahkan," katanya.

Misalnya kata beliau, pengundi-pengundi terbabit sewajarnya diberikan peluang untuk mendengar proses pemindahan ke bahagian pilihan raya lain.

Di bawah urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya terdapat sesi pameran, tuntutan dan bantahan serta siasatan awam jika ada bantahan.

Ahli Parlimen Cheras itu menambah, pembetulan lokaliti mengundi juga melibatkan bahagian Parlimen Lembah Pantai dan Seputeh.

"Sebahagian penempatan apartmen dari kawasan Kampung Muhibah di kerusi Parlimen Lembah Pantai telah dipindahkan ke bahagian Seputeh. Di sini, yang dipindahkan cuma pengundi sebuah apartmen, bukannya keseluruhan Kampung Muhibah," kata beliau yang menimbulkan kemusykilan dengan kaedah itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar juga mengakui beliau tidak menyedari perkembangan tersebut.

"Sekurang-kurangnya kami sebagai wakil rakyat harus dimaklumkan secara bertulis," kata beliau. SUMBER

MANA ADA....

Posted: 22 Sep 2010 01:33 AM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Sept — PAS menafikan parti itu ada menerima sumbangan RM4 bilion daripada sebuah syarikat asing, Ida World Group Ahad lalu, kata Naib Presidennya Salahuddin Ayub hari ini.

Malah menurut beliau, PAS Kelantan juga tidak pernah menerima permohonan syarikat yang dimaksudkan untuk membuat sebarang projek pembangunan di negeri itu.

Oleh itu tegas beliau, penyebaran berita tersebut adalah satu tindakan propaganda jahat untuk memusnahkan nama baik PAS.

"PAS memandang serius ekoran tersebar gambar kononnya sebuah syarikat perniagaan memberikan sumbangan sebanyak RM4 bilion kepada PAS melalui satu cek replika.

"Bagi mewakili PAS, saya dengan ini menafikan PAS pernah menerima cek sebenar atau sumbangan bernilai RM4 bilion dari syarikat ini," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini menambah, PAS juga tidak tahu-menahu tentang projek syarikat ini di Kelantan.

"Setelah menyemak dengan PAS Kelantan, saya juga mendapati PAS dan kerajaan negeri Kelantan tidak pernah menerima permohonan daripada syarikat ini untuk membuat sebarang projek pembangunan di sana.

"Sehubungan itu, kami sifatkan berita ini serta penyebaran berita sebegini satu tindakan propaganda jahat untuk memusnahkan nama baik PAS," katanya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau pihaknya menyeru semua ahli PAS agar berhati-hati dengan isu ini kerana jelas cuba mengaitkan PAS dengan aktiviti tidak sihat.

Semalam, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga menegaskan beliau tidak tahu menahu mengenai sumbangan sebanyak RM4 bilion oleh syarikat berkenaan kepada PAS Kelantan.

Nik Aziz, yang juga Menteri Besar memberitahu, kerajaan negeri juga tidak pernah meluluskan projek untuk membangunkan Pantai Sri Tujoh, Tumpat seperti yang didakwa oleh Pengerusi Eksekutif Ida World, Abdul Rahim Abdul Wahab.

"Sebagai ketua parti, saya tidak tahu pasal duit RM4 bilion, baru pagi ini saya tahu.

"Dia (Abdul Rahim) baru jumpa saya dua (tiga) hari lepas dan dua bulan lepas juga dia (ada) datang juga.

"Mengenai projek di Pantai Sri Tujoh, nak lulus (sesuatu projek) kena buat surat, (hantar permohonan) ke Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan kemudian ke Exco. Dia kata nak buat projek, saya kata marilah," katanya.

Dalam laporan Bernama memetik adik Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat mengesahkan beliau menerima replika cek bernilai RM4 bilion daripada syarikat berkenaan atas sifat peribadi dan bukannya mewakili parti atau kerajaan Kelantan.

Katanya, beliau terpaksa berbuat demikian kerana tiada wakil kerajaan negeri atau Exco yang tampil mewakili Nik Aziz untuk menerima replika cek itu pada satu majlis di sebuah hotel terkemuka di sini Ahad lalu.

"Oleh kerana tidak ada wakil kerajaan negeri dan parti yang tampil menerima cek (replika) bernilai RM4 bilion itu, maka saya naik ke pentas itu sebagai bertindak atas sifat peribadi," katanya.

Ia dilaporkan sebagai sumbangan untuk kelulusan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.

Nik Din berkata, beliau tidak menaruh prasangka kepada mana-mana pihak dan tampil menerima replika cek itu kerana mengenali salah seorang anggota syarikat itu yang merupakan kawan baik beliau sejak di sekolah.

Tiada ulasan: