Isnin, 13 September 2010

Anak Cucu Nabi Adam

Anak Cucu Nabi Adam


Pembunuhan Sosilawati ke-2 dahsyat selepas kes Altantuya

Posted: 12 Sep 2010 11:00 PM PDT

PAS menganggap kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga rakannya sebagai kedua paling dasyat di Malaysia selepas kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Sharibuu.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar, kes pembunuhan mendiang Altantuyaa Sharibuu sebelum ini menggemparkan negara apabila dibom dengan C4 di Bukit Raja, Shah Alam pada 19 Oktober empat tahun lalu.

"Kematian al-Marhumah Sosilawati dan tiga yang lain adalah kes kedua paling dahsyat selepas kematian mendiang Altantuya," ujarnya petang tadi ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengesahan pihak polis bahawa Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, telah dibunuh.

Mayat mereka juga dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, sepatutnya Polis sudah boleh mengesan suspek pembunuh lebih awal memandangkan saspek yang juga seorang peguam bergelar 'Datuk' turut dikaitkan dengan kehilangan empat individu setahun yang lalu.

"Selepas empat individu yang menjadi perhatian rakyat dilaporkan mati menjadi abu, baru Polis boleh mengaitkan saspek dengan kes empat orang yang hilang tahun lepas," ujarnya sambil menasihatkan bakal Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar supaya memperbaiki sistem siasatan kepolisan tanah air.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa kes tersebut turut membabitkan pemimpin negara yang berprofil tinggi sebagaimana kes pembunuhan Altantuya.

"Kalau Polis masih enggan mendedahkan siapakah peguam bergelar 'Datuk' yang dimaksudkan, mungkin rakyat selepas ini akan anggap pembunuh Sosilawati ini mungkin ahli politik yang berprofil tinggi, seperti kes Altantuya," ujarnya sambil mendesak Polis menjelaskan motif di sebalik kenyataan media tanpa laporan forensik yang dibuat Mohd Bakri petang tadi.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang dihubungi kemudian mengecam pihak yang terbabit yang sanggup membunuh lalu membangkar keempat-empat mangsa sebelum dihanyutkan dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Tanjong Sepat, Banting.

"Sekiranya benar apa yang diumumkan oleh Datuk Mohd Bakri dalam sidang media tadi, PAS mengecam pembunuhan dahsyat itu," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau turut menasihatkan pasukan Mohd Bakri membuat pengesahan lanjut beserta laporan rasmi dari Jabatan Forensik. Ini kerana, katanya laporan itu boleh mengurangkan rasa gelisah rakyat terhadap tahap keselamatan mereka masing-masing.

Beliau, mewakili PAS turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa sambil mengajar rakyat membantu Polis supaya kes dasyat seperti itu tidak berulang lagi di tanah air kelak.

"Mewakili PAS, takziah...saya harap keluarga mangsa bersabar."

"Saya seru seluruh rakyat Malaysia sama-sama membantu Polis agar kes sebegini tidak berulang," ujarnya.

~harakah~

8 suspek termasuk peguam bergelar datuk ditahan

Posted: 12 Sep 2010 10:59 PM PDT

Seorang peguam berusia 41 tahun yang dikenali ramai di Banting dan bergelar 'Datuk', telah ditahan bersama adik lelakinya, dua wanita serta empat yang lain, termasuk pekerja ladang mereka berhubung kes kehilangan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, yang kemudiannya dibunuh, dibakar dan abunya dibuang di sebatang sungai di Tanjong Sepat dekat pekan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kesemua suspek mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka dibakar.

Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, kata Mohd Bakri dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuala Langat hari ini.

Beliau berkata keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai perkara itu, bagaimanapun, polis masih memerlukan pengesahan daripada bahagian forensik dan Jabatan Kimia.

"Apa yang boleh saya sahkan sekarang ialah selepas pengakuan suspek, peluang kesemua mangsa ditemui masih bernyawa adalah sangat tipis," katanya.

Polis telah menghantar pasukan forensik dan kimia bagi mencari bahan bukti di kawasan tersebut, selain pakar patologi serta unit anjing pengesan.

Seorang kakitangan forensik yang enggan dikenali berkata mereka tercium bau petrol di kawasan di mana keempat-empat mangsa dipercayai dibunuh dan dibakar.

Selain pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) tersebut, turut dibunuh ialah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Jutawan wanita berusia 47 tahun itu yang juga bekas isteri penyanyi rock Nash dan tiga yang lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos, selepas datang ke kawasan itu untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menjumpai kereta BMW Sosilawati di Apartmen Angsana di USJ 1, Subang Jaya serta kereta BMW Ahmad Kamil di kawasan perumahan di depan sebuah hotel di Subang Jaya.

Mohd Bakri berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, dan polis Kuala Lumpur akan menjalankan siasatan memandangkan kali terakhir kesemua mangsa dilihat adalah ketika mereka meninggalkan pejabat Sosilawati di Kuala Lumpur.

Mengenai motif kejadian tragis itu, beliau berkata ia lebih menjurus kepada persaingan perniagaan di antara kedua-dua peguam dengan Sosilawati.

Peguam berkenaan, yang dipercayai pernah digantung amalan guaman selama setahun pada 2007, dikenali sebagai broker tanah di kalangan penduduk setempat dan dipercayai mengendalikan beberapa urus niaga bernilai jutaan ringgit bagi pihak Sosilawati.

Kesemua suspek yang berusia lingkungan 19 dan 41 tahun, kini ditahan di Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dan difahamkan polis telah mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari terhadap mereka bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Kes membabitkan Sosilawati dan tiga yang lain itu juga bakal merungkai misteri di sebalik tembok besar yang mengelilingi kawasan ladang kelapa sawit yang turut menempatkan beberapa kandang lembu dan kambing.

Malah menurut Mohd Bakri, suspek turut mengaku pernah menggunakan modus operandi serupa sebelum ini, dan polis sedang menyiasat kehilangan empat individu lain di kawasan tersebut sejak setahun lalu.

Menurut seorang penduduk tempatan, peguam berkenaan amat dikenali di kawasan itu kerana dia membantu pekerja asing yang ditipu gajinya oleh majikan mereka.

"Dia juga dikenali sebagai broker tanah. Tetapi kami amat terkejut apabila dia ditahan," katanya.

Sementara itu, seorang pemilik tanah yang terletak berhampiran kawasan kejadian berkata, ladang tersebut dilengkapi pintu elektronik dan tiada sesiapapun dibenarkan masuk.

~Bernama~

Sosilawati dan 3 lagi dibunuh, dibakar

Posted: 12 Sep 2010 10:58 PM PDT

Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lagi, telah dibunuh dan mayat mereka dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting, demikian menurut polis.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin berkata bagaimanapun, polis masih memerlukan pengesahan forensik untuk memastikan perkara itu.

Beliau memberita pemberita demikan dalam satu sidang akhbar di ibupejabat polis Banting.

Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya.

Sebelum itu, pasukan forensik polis memasuki kawasan sebuah ladang pertanian bersepadu di Tanjong Sepat dekat Banting bersama-sama dengan sekurang-kurangnya dua suspek yang dipercayai terlibat dengan kehilangan Sosilawati dan tiga orang lagi.

Petugas media yang berada di jalan masuk ke Ladang Gadong melihat dua konvoi kenderaan dengan kawalan ketat polis memasuki kawasan itu, dan dua lelaki dilihat memakai pakaian lokap.

Menurut seorang anggota polis, mereka memasuki sebuah kawasan yang terletak kira-kira 100m dari jalan utama kawasan berkenaan, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) itu.

Pasukan forensik turut ke sebuah restoran, terletak kira-kira empat kilometer dari ladang itu untuk menjalankan siasatan.

Helikopter polis juga dilihat berlegar-legar di kawasan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu pemberita di Kuala Lumpur bahawa polis percaya kes itu dapat diselesaikan segera berikutan penangkapan sekurang-kurangnya empat lelaki.

Ismail enggan menyatakan identiti mereka yang ditahan, walaupun ada sumber menyatakan mereka termasuk dua orang peguam.

~Bernama~

Tengku Faris dimasyhurkan bukan ditabalkan

Posted: 12 Sep 2010 10:55 PM PDT

Blog separa rasmi istana Kelantan, The Kelantan Insider, mengesahkan Tengku Muhammad Faris Petra akan dimasyhurkan tetapi bukan ditabalkan sebagai Sultan Kelantan yang baru hari ini.

Menurut posting terbarunya malam tadi, pemasyuran itu akan diadakan hari ini manakala pada jam 2 petang ini satu sidang media khas akan diadakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias.

"Perincian mengenai kesemua perkara ini dijangka akan dijelaskan oleh Dato' Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Mohd Aiseri Alias, di dalam satu sidang media yang dijangka akan diadakan di Istana Negeri, Kubang Kerian, pada jam 2 petang hari yang sama," kata posting itu.

"Dengan izin Allah, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, dijangka akan dimasyhurkan (tetapi bukan ditabalkan) sebagai Sultan Kelantan yang baru pada hari Isnin 13 September 2010 Masihi bersamaan dengan 4 Syawal 1431 Hijrah.

"2. Pemasyhuran ini adalah dibuat berdasarkan kepada peruntukan Perkara 23A yang telah dimasukkan ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) melalui warta kerajaan bertarikh 22 Julai 2010.

"3. Perkara 23A ini berbunyi:
"Kelucutan Takhta Kerajaan kerana kecacatan yang besar dan berat 23A. Jika sekiranya setelah disiasat dengan sepenuhnya dan secukupnya, Majlis Perajaan Negeri berpendapat bahawa Raja ada mempunyai apa-apa kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat-sifat Raja, yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk menjadi Raja, maka seorang Pengganti hendaklah dipilih dan dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri untuk menjadi Raja mengikut syarat-syarat di bawah Bahagian ini."

"4. Kemasukan Perkara 23A ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) ini pula adalah dibuat berdasarkan kepada Perkara 3(2) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua)

"5. Perkara 3(2) ini berbunyi:
"Syarat-syarat mengenai -
(a) naik Takhta Kerajaan dan pangkat kebesaran adat istiadat Melayu;
(b) pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada Takhta Kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun ahli-ahli Majlis Pangkuan Raja bagi Negeri;
(c) pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada Takhta Raja itu atau bakal Raja ataupun bakal-bakal Rajanya;
(d) pelantikan dan sifat Ketua-Ketua Pemerintah ataupun pangkat kebesaran adat istiadat Melayu yang serupa itu dan ahli-ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Majlis Penasihat Raja ataupun badan-badan yang serupa itu; dan
(e) penubuhan, aturan, pengesahan dan pelucutan pangkat-pangkat, gelaran, kehormatan, kebesaran adat istiadat Melayu dan pekurniaan serta sifat pemegang-pemegangnya dan kawalan bagi istana, balai-balai penghadapan dan istana-istana raja, bolehlah dipinda oleh Yang Maha Mulia dengan Perwawai yang dikeluarkan dengan persertaan dan persetujuan Majlis Penasihat Raja, tetapi tidaklah boleh dipinda dengan mana-mana jalan yang lain."

Menurut posting itu, selaras dengan perasaan kasih sayang yang mendalam Pemangku Raja Kelantan kepada ayahanda dan bonda Baginda, Tengku Faris telah memastikan bahawa taraf dan kedudukan mereka setelah pemasyhuran Baginda kekal terpelihara melalui satu lagi peruntukan yang telah turut dimasukkan ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

Posting itu juga memberitahu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, memang bercakap benar apabila menyatakan bahawa beliau belum menerima surat jemputan rasmi untuk menghadiri upacara ini sewaktu beliau berkata demikian.

"Ketidakselesaan kami ke atas tindakan sebuah akhbar tempatan mendedahkan, di samping ketidaksediaan kami mengumumkan, perkara ini lebih awal adalah disebabkan kesedaran kami mengenai wujudnya cubaan untuk menggagalkan upacara ini," kata kenyataan itu.

Berhubung dengan permohonan yang dibuat oleh peguam Rashid Zulkifli di mahkamah bagio pihak ayahanda baginda, kenyataan ini meminta merujuk kepada keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Ariff Md Yusof, pada 29 Januari 2010 lalu.

~harakah~

Tuanku Ismail akan cabar istiadat permasyhuran

Posted: 12 Sep 2010 10:46 PM PDT

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra berkata melalui peguamnya hari ini bahawa baginda akan mencabar pertabalan pemangku raja sebagai sultan yang baru - di tengah-tengah laporan bahawa istiadat permasyhuran itu akan berlangsung.

Menurut kenyataan media oleh peguam Rashid Zulkifli - yang menyatakan firma guamannya bertindak bagi pihak Tuanku Ismail Petra - baginda sultan telah memfailkan dua petisyen di Mahkamah Persekutuan.

Rashid berkata, mahkamah telah diminta untuk menentukan tahap kuasa pemangku raja sewaktu baginda sultan tidak berupaya untuk menjalankan tugasnya.

Utusan Malaysia melaporkan Jumaat lalu dengan memetik sumber bahawa Tengku Muhammad Faris akan dimasyhurkan sebagai sultan Kelantan yang baru, untuk menggantikan ayahandanya, yang sudah lebih setahun gering.


Rashid juga mengatakan bahawa pemangku raja Tengku Muhammad Faris sedang merancang untuk meminda perlembagaan negeri supaya baginda sultan tidak lagi menjadi pemerintah jika tetap tidak mampu menjalankan tugas, untuk jangka waktu lebih daripada satu tahun.

Menurut Rashid, memandangkan isu tersebut menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan, maka adalah tidak wajar atau sah bagi pemangku raja bertindak mendahuluinya.

Rashid berkata, pihaknya telah mengambil langkah luar biasa untuk menulis kepada pihak media memandangkan wujudnya keperluan mendesak yang ditimbulkan oleh laporan Utusan bagi menyatakan pendirian baginda sultan.

Beliau turut memberi amaran bahawa percubaan untuk meminda perlembagaan negeri boleh menyebabkan pemangku raja berdepan dengan 'dakwaan mencampuri prosiding dan menghina mahkamah."

Menurutnya, sebarang pindaan dan pertabalan, jika diteruskan, akan dicabar kesahihannya oleh baginda sultan.

~MK~

Tengjku Faris boleh dimasyhur sultan baru

Posted: 12 Sep 2010 10:44 PM PDT

Pakar Perlembagaan, Abdul Aziz Bari berkata Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, boleh dilantik sebagai sultan yang baru - di tengah-tengah laporan yang menyebut kemungkinan istiadat permasyhuran itu akan berlangsung hari ini.

Abdul Aziz, yang banyak menulis mengenai kesultanan dan perlembagaan negara, berkata permasyhuran itu harus dilakukan oleh Majlis Perajaan, yang diberi tugas tersebut dalam perlembagaan Kelantan.

Menurut Abdul Aziz, majlis tersebut sama seperti Majlis Raja-Raja yang mempunyai kuasa yang sama untuk melantik dan memecat Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, prinsip Islam serta pertimbangan perlembagaan berat kepada pelantikan sultan yang baru ketika sultan masih gering dan tidak mampu menjalankan tugas perlembagaan baginda.

Bagaimanapun, beliau menyuara keprihatinnya berhubung berita mengenai permasyhuran tersebut, yang disifatkannya sebagai 'agak
misteri'.

"Prosesnya harus terbuka dan telus," katanya.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia memetik sumber sebagai berkata, Tengku Muhammad Faris akan dimasyhurkan sebagai sultan Kelantan yang baru bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra, yang sudah setahun gering.

Laporan itu menyebut bahawa istiadat permasyhuran itu akan berlangsung di Istana Balai Istana Besar mulai jam 11.30 pagi.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat berkata beliau tidak tahu mengenai istiadat permasyhuran tersebut,
kerana tidak menerima surat rasmi dari pihak istana mengenai hal itu.

Manakala pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, ketika dihubungi oleh Bernama semalam, enggan mengulas tentang perkara itu.

~MK~

Tengku Faris dimasyhur sultan Kelantan

Posted: 12 Sep 2010 10:43 PM PDT

Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuat kuasa hari ini.

Pengisytiharan pemasyhuran itu diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di Kota Bharu pada jam 12.30 tengah hari ini.

"Maka dengan ini diisytiharkan mengikut perkara 29 A undang-undang tubuh kerajaan negeri Kelantan melantik dan mengesahkan Pemangku Raja Kelantan menaiki takhta menggantikan ayahanda baginda berkuat kuasa hari ini," katanya.

Nik Abdul Aziz juga berkata majlis pertabalan akan didakan 'tidak lama lagi'.


Adalah dipercayai Majlis Perajaan bersidang pagi tadi bagi memutuskan pemasyhuran berkenaan.

Keluarga diraja dan ahli dewan undangan negeri dikatakan telah berkumpul di Istana Balai Besar in Kota Bharu sejam jam 11.30 pagi bagi upacara itu tetapi maklumat yang diperolehi adalah samar.

Menurut sumber, Sultan Ismail Petra Yahya Petra, Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Hamid dan putera ketiga banginda - Tengku Muhammad Fakhry tidak hadir.

Sultan Ismail Petra telah gering lebih setahun dan dipercayai Tengku Faris menggunakan Artikel 23A, undang-undang perlembagaan tubuh kerajaan Kelantan (bahagian kedua) untuk menduduki takhta negeri.

Undang-undang itu menyatakan seorang pengganti hendaklah dipilih dan dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri untuk menjadi Raja, jika mereka berpendapat bahawa Raja yang ada mempunyai apa-apa kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat-sifat Raja, yang tidak dibenarkan oleh hukum Syarak untuk menjadi Raja.


Ketika dihubungi, Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad enggan mengulas tetapi berkata butirannya akan didedahkan pada sidang akhbar di istana Kubang Kerian pada jam 2 petang ini.

Beberapa ADUN berkata mereka diarahkan hadir memakai baju Melayu hitam tetapi tidak dimaklumkan sebab untuk berbuat demikian.

"Kami hadir kerana dijemput tetapi tiada butiran yang diberikan," kata timbalan speaker dewang undangan negeri Kelantan, Mohamad Zaki Ibrahim, ketika dihubungi.

Sementara itu Bernama melaporkan tiada Persidangan Dewan Undangan Khas Negeri Kelantan diadakan hari ini yang dipercayai berkaitan dengan pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Halim Hamad ketika dihubungi berkata, majlis yang diadakan di Kota Darulnaim, pejabat pentadbiran negeri hari ini adalah majlis jamuan raya dan bukannya sidang dewan.

Dalam pada itu, semua wartawan tidak dibenarkan masuk untuk membuat liputan di Kota Darulnaim kerana mempercayai adanya sidang dewan khas bermula pada 10 pagi. Wartawan-wartawan hanya dibenarkan menunggu di balai pengawal pada pintu masuk Kota Darulnaim.

Mereka ditunjukkan sekeping surat oleh pengawal dari Unit Protokol Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang tidak membenarkan sebarang liputan dibuat. Sebelum ini, dilaporkan bahawa Pemangku Raja Kelantan akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan hari ini setelah lebih setahun menjadi Pemangku Raja.

~MK~

Anwar perlu memimpin secara langsung

Posted: 12 Sep 2010 10:40 PM PDT

Ketika para jeneralnya kalut melobi dan berkempen untuk menduduki kerusi nombor dua parti, Datuk Seri Anwar masih berdiam diri dan tidak memberikan indikasi jelas samada dia mahu atau tidak memegang jawatan presiden PKR.

Ahli-ahli parti barangkali masih lagi menunggu pengumuman rasmi beliau, sama ada untuk tampil memimpin PKR secara langsung sebagai presiden atau mahu terus dengan kedudukannya sebagai Ketua Umum parti; suatu kedudukan yang dicipta khas untuk dirinya ketika mana dia tidak diperbolehkan memegang apa-apa jawatan dalam parti ekoran hukuman yang dipaksakan ke atasnya.

Alasan Anwar dan alasan yang dikongsi bersama oleh barisan pimpinan tertinggi PKR adalah; jika Anwar ditakdirkan dipenjara lagi nanti, maka siapa pula yang akan memangku jawatan tersebut.

Makanya pada pendapat kolektif mereka, adalah lebih selamat jika Datuk Seri Dr Wan Azizah terus menjadi presiden. Namun yang selamat hanyalah "kuasa" Anwar ke atas PKR kerana dia masih boleh memberi arahan kepada isterinya yang tidak mungkin akan engkar. Jika orang lain yang memangku jawatan tersebut barangkali Anwar akan sakit kepala di dalam penjara.

Orang penting

Namun formula seperti itu tidak juga dapat menyelesaikan polimik kepemimpinan PKR secara keseluruhannya kerana ada satu lagi jawatan penting yang menjadi sasaran mereka yang berminat menjadi orang penting parti.

Hal ini menjadi nyata apabila timbalan presiden sekarang, iaitu Syed Hussin Ali sudah memberikan tanda-tanda untuk tidak lagi memegang jawatan tersebut. Hakikat ini membuka ruang kepada perebutan jawatan tersebut di kalangan beberapa pemimpin lama dan baru dalam PKR, yang terngiur dengan prospek kedudukan berimbuhan besar dalam kerajaan baru yang mahu dibentuk selepas PRU ke 13 nanti, baik di negeri mahupun di persekutuan.

Maka berterbanganlah calon-calon timbalan presiden ke seluruh pelusuk negara menemui ahli parti dan memohon sokongan bagi menjawat jawatan tersebut. Malah adalah yang mendakwa mereka direstui oleh Anwar untuk bertanding merebut jawatan kedua penting itu.

Nyaris-nyaris pula para calon tersebut "berlanggaran" antara satu dengan lain di medan kempen dek kerana "lajunya" jentera kempen yang terpaksa mengatur "agenda bersalam" dengan sebanyak mungkin bakal pengundi dalam pemilihan pemimpin PKR yang dianggarkan berjumlah hampir setengah juta itu.

Kini, agenda parti untuk menang pilihanraya umum yang akan datang nampaknya sudah jatuh ke urutan nombor dua. Agenda calon-calon berkenaan adalah memastikan jawatan nombor dua dapat dipegang menjelang bulan November nanti.

Begitulah juga, penyokong masing-masing pun menjadi sibuk dengan pelbagai program yang bermatlamat mendapatkan sebanyak mungkin ahli turun mengundi calon pilihan mereka. Bajet pengangkutan, makan minum dan duit saguhati atas pelbagai nama sudah mula disiapkan dalam blueprint kempen masing-masing.

"Envelop-envelop" pun sudah ditempah. Malahan wang pendahuluan bagi belanja berkaitan sudahpun keluar masuk akaun-akaun rahsia yang ramai ahli parti tidak tahu mengenainya.

Makan-makan

Kalau tidak dengan turunnya bajet seperti itu masakan mungkin jentera parti peringkat cabang dan ranting yang diketahui miskin itu mampu menganjur siri-siri pertemuan dan makan-makan yang ditopengkan dengan majlis berbuka, jamuan hari raya, meraikan anak yatim dan pelbagai acara kreatif yang tidak berupaya dianjurkan selama ini.

Inilah "wajah-wajah politik lama" yang diperbaharui dan dimodifikasi serta dipaksakan ke dalam budaya politik PKR, oleh mereka yang dulunya pernah dijangkiti oleh sindrom yang memualkan itu.

Semua amalan yang tidak relevan itu dihidangkan kembali demi untuk merebut jawatan dalam parti termasuklah jawatan nombor dua PKR, yang pada pendangan mereka akan menjanjikan jawatan terpenting dalam kerajaan yang mahu mereka rampas nanti.

Ini belum lagi di kira betapa "gah"nya kempen pemilihan di peringkat cabang yang sudah menampakkan amalan huduh bakal-bakal pemimpin yang akan di amanahkan memimpin negara dan negeri . Apatah lagi dengan kempen jawatan ketua AMK yang mirip stail berkempen jawatan dalam pemuda Umno, dan tidak kurang hebat jawatan ketua wanita.

Budaya mempromosi pencaicai oleh "Ketua Kem" yang bertanding membayangkan seolah-olah PKR sedang asyik menostalgiakan fenomena puak Ghee Hin dan Hai San yang berebut kuasa untuk memerintah lombong bijih di Perak dan Selangor suatu ketika dulu.

Apakah PKR mahu menghidupkan kembali budaya berkempen seperti ini yang telah membusukkan dan mereputkan kepemimpinan Umno ? Tidakkah ada kaedah lain yang dapat difikirkan bagi mengurang dan meniadakan budaya berkempen dan memilih pemimpin dengan cara begitu ?

Jika benar ajaran Islam menjadi salah satu teras penting perjuangan PKR, maka budaya seperti ini tidak wajar dibenarkan berputik dan mengakar dalam parti.

Ahli-ahli parti akhirnya akan menjadi bosan dengan karenah pemimpin yang hanya sibuk dengan agenda menjamin kedudukan mereka di dalam parti daripada berusaha menjamin kedudukan dan nasib rakyat terbanyak.

Justeru itu Anwar harus segera melakukan sesuatu tindakan yang "di luar kebiasaan" dalam konteks mendidik pemimpin dan pendokong parti mengamal pendemokrasian pemilihan barisan kepemimpinan parti.

Autokrasi perlu digunakan

Tidak dapat dinafikan bahawa tidak semua amalan demokrasi dapat menatijahkan kebaikan kepada organisasi. Ada kalanya elemen autokrasi perlu digunakan sesekali dan dalam banyak hal elemen perundingan dan permuafakatan perlu diutama serta diperbanyakkan.

Kenapa tidak dibudayakan amalan permuafakatan dan perundingan sesama pemimpin pelbagai peringkat dalam menentukan barisan pemimpin PKR. Kenapa juga tidak dibudayakan amalan berkongsi dan bergiliran memimpin dalam parti jika benar para pemimpin PKR mendukung semangat perjuangan yang mengutamakan rakyat daripada kedudukan mereka sendiri.

Banyak sekali ajaran dan pengalaman dari sejarah kepemimpinan Islam yang barangkali disifatkan tidak demokratik oleh sesetengah pihak namun terbukti berjaya "mengamankan organisasi" .

Hujah untuk menyuburkan demokrasi dalam parti melalui amalan bertanding dan berkempen memang ada kebenarannya, tetapi mempraktikkan elemen-elemen demokrasi yang berpotensi memusnahkan keharmonian dan keintiman silaturrahim anggota parti tentunya tidak akan mendatang apa-apa kebaikan kepada parti. Lebih malang lagi apabila ianya menjurus kepada sengketa dan permusuhan sesama pendokong dan juga penyokong yang akhirnya melemah dan mencederakan parti.

Anwar harus segera bertindak membunuh "ulser kecil" yang bakal membengkak menjadi "kanser" dalam PKR ini. Dia harus segera menamatkan persaingan tidak sihat bagi jawatan-jawatan dalam parti terutamanya jawatan penting seperti timbalan presiden yang hangat diperkatakan sekarang ini.

Sebagai "Mudir Am" parti sekarang ini, Anwar seharusnya sudah mencium bau-bau busuk yang "dikencingkan" oleh beberapa pemimpin parti yang beriya-iya mahu bertanding. Bau busuk ini tidak harus dibenarkan menghancing parti. Anwar tidak boleh membenarkan gejala buruk ini dihidupkan dalam PKR yang menjadi harapan rakyat untuk merubah senario politik negara.

Kaunseling politik

Masa yang lebih banyak harus diberikan untuk merumuskan formula damai dalam parti di segenap peringkat. Jika kesemua ratusan pemimpin yang mahu bertanding itu perlu dipanggil dan diberi nasihat dan kaunseling politik, maka ia harus dilakukan. Malahan jika terpaksa di panggil mereka yang terlibat itu untuk diberi amaran, maka Anwar harus melakukannya sekarang dan bukannya menunggu sehingga ada aduan rasmi dari pihak yang kalah nanti.

Inilah yang dinamakan proses mendidik ahli parti. Mendidik dari awal dan mendidik melalui bimbingan dan tegahan. Jangan hanya selepas berlakunya tragedi buruk dalam kempen barulah mahu diambil tindakan ke atas yang terlibat dengan alasan untuk mendidik ahli supaya lebih berdisiplin. Pendidikan awal melalui penasihatan dan amaran adalah lebih penting dari menghukum setelah terbabas.

Apakah susahnya bagi Anwar untuk memanggil nama-nama yang disebut untuk bertanding dan diberikan nasihat serta dimuafakatkan sesama mereka. Apakah tindakan sebegitu akan dikatakan tidak demokratik kerana menyekat hak untuk bertanding dan memimpin.

Membawa malang

Meskipun perlembagaan parti telah mengggariskan hak-hak mengamalkan demokrasi dalam parti, namun apakah berunding dan bermuafakat untuk mengelak pertandingan yang kurang sihat itu tidak demokratik sifatnya. Jika demokrasi di dalam organisasi itu bermakna kita harus membenarkan amalan-amalan yang boleh membawa kemudharatan kepada parti, maka organisasi yang sedemikian itu akan membawa malang kepada rakyat terbanyak.

Jika pendekatan begitu juga disifatkan tidak demokratik, masakan Rasulullah SAW melarang Abu Dzar Al Ghiffari dari menawarkan diri untuk memegang sesuatu jawatan tertentu kerana terdapat padanya sifat-sifat yang kurang sesuai dengan tugas yang dipinta itu. Tentunya kerana Nabi Muhammad SAW amat tahu sejauh mana kemampuan Abu Dzar dan akibat buruk jika Abu Dzar diberi jawatan yang dimahukannya itu.

Kisah Nabi Muhammad SAW melarang para sahabatnya meminta-minta diberikan jawatan bukannya hanya satu dan terpencil malah lebih dari satu. Antara hadis yang terkenal adalah hadis daripada Abdul Rahman bin Samurah yang merawikan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda kepadanya: "Wahai 'Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah) – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)

Jika falsafah kepemimpinan Islam mahu dijadikan rujukan serta model dalam kepemimpinan PKR, maka pesan Nabi ini sudah cukup untuk meyakinkan diri Anwar dan para pimpinan utama PKR bahawa inilah sebenarnya semangat politik baru yang harus diterapkan di dalam parti.

Jika semangat kepemimpinan Umar Abd Aziz boleh dijunjung dan mahu dicontohi oleh pemimpin utama DAP, kenapa semangat murni seperti ini, yang juga diajarkan oleh Nabi kepada Umar Abd Aziz tidak mahu diterap dan disuburkan di dalam PKR yang sering mengungkap kepemimpinan Nabi Muhammad SAW sebagai model mereka?

Anwar tidak harus terus membenarkan "politiking" dalam PKR disuburkan dan dibiarkan berterusan. Langkah drastik harus diambil mengawal potensi barah yang bakal merayap dalam tubuh PKR dan "politiking" yang paling berbahaya sekarang ini adalah perebutan jawatan nombor dua parti.

Campurtangan

Anwar harus segera memberhentikannya. Caranya tidaklah payah. Paling tidak untuk sementara waktu atau buat sesi kali ini, sebagai persiapan menghadapi pilihanraya umum yang akan datang. Paling tidak juga sebagai usaha awal mendidik ahli parti supaya memulakan semangat perundingan, musyawwarah dan muafakat .

Masalah perebutan jawatan timbalan presiden tidak akan menjadi panas jika Anwar campur tangan dan memberi indikasi bahawa dia tidak mahu berlaku perebutan bagi merebut jawatan tersebut. Mungkin ada yang akan engkar, tetapi ahli terbanyak akan tahu menimbang samada untuk memilih formula damai atau terus menerus menghabiskan masa berebutan jawatan.

Formulanya tidaklah sangat payah. Sarankan agar "status quo" barisan kepemimpinan utama parti yang sedia ada dikekalkan, paling tidak untuk sementara waktu. Jika timbalan presiden sekarang ini tidak mahu terus memegang jawatan tersebut atas alasan "uzur syarie", maka formula kedua dan yang paling praktis adalah menawarkan jawatan timbalanpPresiden kepada Azizah yang perlu mengosongkan kerusi presiden untuk Anwar.

Menawarkan jawatan timbalan presiden kepada Azizah bukan bermakna mahu mengamalkan kronisma dan nepotisme dalam parti, tetapi strategi serampang dua mata untuk menyelamatkan parti dari berlakunya pertandingan timbalan presiden dan sebagai persediaan jika Anwar dihumban ke penjara sekali lagi.

Jika Azizah bertanding timbalan presiden apakah akan ada calon lain yang berani mencabarnya? Mungkin akan ada, tapi orang berkenaan pastinya seseorang yang tidak pernah menghayati "falsafah perjuangan sebenar" PKR. Dia mungkin orang baru yang agak asing dengan "cara hidup" perjuangan PKR selama ini atau dia seorang lama yang tidak pernah kenyang dengan jawatan yang dia sendiri tidak berjaya membuktikan keberkesanan dan kehebatan sumbangannya kepada parti dan rakyat.

Inilah antara pilihan yang ada jika Anwar mahu melihat kedamaian dalam pemilihan parti buat masa ini. Paling tidak bagi jawatan timbalan presiden kerana ia merupakan satu jawatan yang amat kritikal, sangat penting dan diperhatikan oleh rakyat selain dari jawatan presiden. Jawatan naib presiden PKR yang boleh diduduki oleh lebih dari seorang tentunya tidak akan mengundang "politiking" hebat di kalangan calon-calon yang mahu menawarkan diri.

Semangat ahli

Dengan tampilnya Anwar untuk memimpin parti sebagai presiden secara langsung, tentunya impak terhadap semangat ahli akan bertambah. Begitu juga terhadap moral parti komponen Pakatan Rakyat.

Kali ini Anwar harus tampil memimpin langsung PKR sebagai presiden yang mempunyai kuasa sepenuh mengatur strategi dan gerak kerja parti. Mencipta jawatan ketua umum yang menjadi "tangan ajaib" dalam mengatur kepemimpinan PKR sudah tidak relevan lagi kerana Anwar kini sudah boleh bertanding dan memegang jawatan dalam parti dan tidak lagi seperti sebelumnya. Ahli parti harus segera bangkit menobatkan Anwar sebagai ketua rasmi mereka dan bersama-sama membentengkan dada berdepan dengan serangan politik Umno/BN yang mahu memenjarakan Anwar sekali lagi.

Semangat para ahli PKR untuk mempertahankan presiden mereka tentunya lebih "membara" kerana gelaran presiden adalah maruah tertinggi parti yang mesti dijaga agar tidak dinyahkan dari parti oleh mana-mana pihak. Presiden parti adalah imej terpenting parti yang harus dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir.

Anwar harus segera menyatakan pendirian untuk langsung memimpin parti kerana dengannya semangat perjuangan ahli PKR untuk bangkit melawan BN akan kembali menyala-nyala. Anwar harus sedar betapa ahli amat memerlukan kehadirannya menjadi presiden PKR pada masa ini. Ia bukan sekadar untuk menyelamatkan "politiking" di dalam parti sahaja, tetapi ahli terbanyak mahukan Anwar mengambil tanggungjawab memegang "steering" dan memandu parti secara langsung dan bukannya memberi arahan dari kejauhan.

Kenapa Anwar perlu takut untuk tampil memimpin parti, kalau hanya kerana bimbangkan parti akan kehilangan presiden yang mungkin akan dipenjara. Jika ditakdirkan dia terpenjara lagi bukankah akan ada pemangku presiden yang telah terbukti mempunyai kemampuan menjadi presiden PKR selama lebih satu dekad.

Jadi tidak ada sebab Anwar menolak kehendak ahli parti yang mahukan dia menjadi presiden secara langsung pada kali ini. Jangan sampai ada ahli yang akan kecewa dan akan menempelak Anwar sebagai seorang yang sememangnya tidak layak menjadi presiden tetapi hanya layak menjadi ketua umum sahaja, yakni untuk mengetuai kerja-kerja mengumumkan berita yang boleh menggemparkan rakyat jelata.

~MK~

Keluarga Taib 'untung' dari projek pembentungan

Posted: 12 Sep 2010 10:39 PM PDT

Dengan pilihan raya negeri Sarawak dijangka diadakan seawal bulan depan, musuh politik Tan Sri Abdul Taib Mahmud meneruskan serangan mereka terhadap ketua menteri itu, yang keluarganya dianggap antara yang terkaya di negeri itu.

Selepas pendedahan mengenai dakwaan kekayaan hartanah yang dimiliki keluarga Taib di luar negara, kali ini ia didakwa membabitkan projek saluran pembentungan Kuching, yang bernilai setengah bilion ringgit.

Menurut lamanweb anti-Taib, kontrak bernilai RM530 juta itu diberi pada 2008 kepada konsortium tiga syarikat, termasuk Kumpulan Construction - syarikat yang dikendalikan oleh Raziah Mahmud - saudara perempuan Taib.

Sarawak Report mendakwa kesemua projek tersebut telah disub-kontrakkan tidak sampai sebulan selepas ianya diberikan kepada konsortium tersebut yang terdiri daripada Kumpulan Construction, Nishimatsu Pembinaan dan Hock Seng Lee Bhd (HSL).

HSL mengumumkan tiga minggu selepas kontrak asal diberikan, bahawa projek saluran pembentungan itu telah disub-kontrak hanya kepada mereka pada kos yang dikurangkan kepada RM452 juta.

~MK~

Raja Katak akan buat kejutan pada PRU13

Posted: 12 Sep 2010 10:38 PM PDT

Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata beliau akan membuat kejutan dalam pilihan raya umum kelak sama ada bersedia bertanding mempertahankan kerusi yang disandang atau sebaliknya.

Mendakwa mempunyai strategi tertentu, Ibrahim berkata beliau tidak mempunyai masalah jika PAS atau Umno tidak membenarkannya bertanding mewakili parti berkenaan pada pilihan raya umum akan datang.

"Mungkin saya boleh adakan kerjasama dengan parti lain seperti bertanding dulu ataupun tubuh parti baru.

"Saya tahu baik PAS atau Umno mungkin tidak menerima saya dan ada juga parti lain yang menjauhkan diri kerana saya dalam Perkasa dan apa pun tunggulah kejutan nanti," katanya di rumah terbuka beliau yang diadakan di perkarangan Stesen Keretapi Psir Mas hari ini.

Semalam Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Kelantan Abdul Fatah Haron menegaskan PAS Kelantan tidak lagi memberikan peluang kepada Ibrahim untuk bertanding menggunakan lambang parti itu pada pilihan raya umum nanti.

Dalam pilihan raya umum lalu Ibrahim, yang merupakan calon bebas, memenangi kerusi Parlimen itu atas tiket PAS.

Mengulas perkara itu Ibrahim berkata orang sepertinya tidak mempunyai masalah untuk bertanding di mana-mana kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Melayu di negara ini dan yakin pemimpin Melayu sepertinya mampu memberikan saingan sengit.

"62 peratus kawasan Parlimen di negara ini mempunyai majoriti pengundi Melayu dan saya ada cadangan untuk itu (bertanding)," katanya.

Beliau berkata apa yang penting adalah memberikan khidmat sebaik mungkin kepada penduduk di Pasir Mas yang banyak memerlukan pembelaan.

"Saya penuh yakin penduduk di sini masih memerlukan saya dan sebagai contoh lihatlah begitu ramai yang datang pada rumah terbuka saya ini," katanya.

Sementara itu, beberapa penduduk yang juga pengundi di situ mahukan Ibrahim terus menjadi wakil mereka untuk kerusi Parlimen itu.

Bagi mereka Ibrahim sudah melakukan banyak perkara walaupun tidak mewakili mana-mana parti tetapi mampu memberikan khidmat terbaik kepada penduduk.

~Bernama~

Umno tidak mampu berbalah dengan PERKASA

Posted: 12 Sep 2010 10:36 PM PDT

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Umno tidak mampu berbalah dan memisahkan diri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) jika tidak mahu menanggung risiko kehilangan lebih banyak sokongan.

Bekas perdana menteri itu berkata sebaliknya Umno memerlukan seberapa banyak sokongan daripada NGO jika parti induk BN itu tidak mahu kehilangan sokongan akar umbi.

"Saya berpendapat bahawa Umno khususnya tidak begitu kuat, kita tidak boleh tolak sebarang orang kerana kalau kita hilang 100, 200 orang pun, mungkin kita akan kalah.

"Jadi kita nak sokongan seberapa banyak, tak payahlah kita bermusuh dengan orang. Saya fikir, kita perlu dekatkan diri dengan seberapa kumpulan yang boleh," katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Seri Kembangan, hari ini.

Khamis lepas, setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Umno menjauhi PERKASA yang lantang membuat kenyataan ekstrem mengenai isu-isu perkauman.

Dr Mahathir berkata ahli Umno ketika ini berpecah antara menyokong atau menjauhkan diri daripada PERKASA, sambil menjelaskan keadaan seperti itu boleh menyebabkan jurang yang lebih parah di kalangan mereka.

"Ia telah menyebabkan rasa serba salah di kalangan ahli Umno sendiri. Ada yang akan kekal dan ada yang menjauhkan diri...ini akan lebih memisahkan mereka.

"Selain itu, pada pilihan raya umum lepas, margin adalah amat tipis sekali. Katakan jika kita kalah sedikit...kita mungkin kalah pada pilihan raya," katanya.

Ditanya sama ada Umno akan kerugian jika menjauhkan diri dari Perkasa, Dr Mahathir berkata: "Kita tidak mampu berbalah dengan ramai orang. Jika anda mahu bertengkar, bertengkarlah dengan seorang, bukan semua."

Sementara itu, menyokong sentimen ayahnya, Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Datuk Mukhriz berkata beliau tidak melihat sebarang keuntungan mengapa Umno memilih untuk menjauhkan diri daripada PERKASA di mana perjuangan kedua-dua pihak itu adalah sama iaitu memperjuangkan hak orang Melayu.

"Saya tidak nampak bagaimana saya harus tidak menyokong mereka. Saya bukan anggota PERKASA tetapi jika mereka mempelawa saya kepada majlis, saya akan pergi," katanya di majlis itu.

Kira-kira 10,000 pelawat dari pelbagai kaum dan kewarganegaan menghadiri majlis rumah terbuka itu.

~Bernama~

Pemimpin Umno digesa boikot aktiviti PERKASA

Posted: 12 Sep 2010 10:34 PM PDT

Parti Cinta Malaysia menyokong tindakan pemimpin Umno memisahkan diri mereka daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Naib presidennya, Huan Cheng Guan berkata orang dan individu yang berfikiran waras sepatutnya menjauhkan diri daripada pertubuhan pimpinan ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

"Barisan Nasional, khususnya kepimpinan Umno, perlu menunjukkan dengan jelas bahawa PERKASA dan Ibrahim tidak disokong oleh Umno jika mereka mahukan sokongan masyarakat Cina dan masyarakat lain," katanya kepada Malaysiakini.

"Kepimpinan Umno mesti mengarahkan wakil rakyatnya dan ketua bahagiannya supaya tidak menyertai aktiviti anjurah PERKASA dan menganggotai jawatankuasanya," kata Huan yang juga bekas naib presiden Gerakan.

"Harus ada arahan terus daripada pihak pengurusan tinggi Umno kepada ahli akar umbinya berkaitan dengan pembabitan mereka dalam PERKASA," tegasnya.

PERKASA, yang mendakwa mempunyai 50,000 ahli, ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008 selepas pilihanraya dalam usaha untuk melindungi hak-hak berperlembagaan orang Melayu. Ramai ahlinya adalah dari Umno.

Rabu lalu, mesyuarat BN di Putrajaya memutuskan untuk memisahkan dirinya dari PERKASA kerana aktiviti pertubuhan itu boleh menjejaskan usaha BN untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu.

Sejumlah pemimpin BN yang menghadiri mesyuarat tersebut, telah menyatakan keraguan terhadap PERKASA dan mendesak Umno menyatakan pendiriannya terhadap pertubuhan tersebut.

Setiausaha agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor kemudian berjanji kepada rakan-rakan BN bahawa parti itu tidak akan memberi sokongan kepada PERKASA ataupun Ibrahim.

~MK~

Tiada ulasan: