Pahang Daily Online |
- Kontroversi: Aktiviti Berbuka Puasa Dekat Padang Hadapan Masjid Negeri Kuantan Tercemar Gara-Gara Umat Islam Tidak Hormati Waktu Maghrib !!
- Berita Baik Buat Seluruh Warga Negara Malaysia, Tawaran Pendapatan Minimum RM4,000 Kiranya Pakatan Rakyat Mengambil Alih Kerajaan Pusat !!
- Berita Baik: Bonus Raya, Kakitangan Awam Bakal Dapat Ganjaran RM400 Setiap Seorang Sempena Sambutan Perayaan Aidil Fitri Untuk Tahun Ini !!
Posted: 19 Aug 2010 04:40 AM PDT KUANTAN, 19 Ogos - Senario umat Islam berbuka puasa di padang MPK3 depan Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah I dekat sini kini menjadi satu "trademark" pelancongan baru negeri ini. Bilangan mereka yang menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat berbuka semakin hari semakin bertambah. Bukan sahaja kepada orang bujang, malahan juga bagi mereka yang sudah berkeluarga sebenarnya. Suasana senja yang menarik dan kedamaian berada di atas rumput yang menghijau menyebabkan warga Kuantan mengambil peluang berada disitu setiap kali mahu berbuka puasa. Malahan, mutakhir ini juag terdapat "orang luar" yang menjadikan lokasi terbabit untuk tujuan yang sama. Apa yang berlaku di Kuantan ini mungkin tidak terdapat di mana-mana masjid di seluruh negara hatta di dunia sekali pun. Sewajarnya aksi itu boleh dicatatkan dalam "Guiness World Record Book", sebagai perkarangan masjid yang paling ramai umat Islam berbuka puasa. Ianya jelas boleh menjadi daya tarikan baru kepada pelancong dari dalam dan luar negara ke bandar ini pada masa akan datang. Namun, dalam keseronokan itu ada juga sesuatu yang tidak kena sebenarnya. Ramai umat Islam yang berbuka puasa disitu, tidak pula mengimarahkan masjid untuk bersama-sama bersolat Maghrib berjemaah. Inilah masalahnya yang mencemarkan lokasi tersebut. Berbuka puasa di depan masjid sudah dikira baik, tapi keengganan untuk berjemaah di dalam masjid amat menghairankan para jemaah masjid itu. Tinjauan krew kami ke lokasi tersebut juga mendapati senario itu memang berlaku. Maknanya, umat Islam hanya menjadikan lokasi berkenaan sekadar untuk berbuka puasa dan kemudiaannya sanggup melepak disitu sehingga masuk ke waktu Isyak tanpa rasa malu dan sebagainya. Persoalannya sekarang, apakah jawatakuasa masjid negeri tidak memantau perkara ini. Sedangkan ia berlaku di depan mata mereka setiap kali tatkala bulan Ramadhan menjelma?. Inilah yang memusykilkan. Dua senario yang hampir sama, foto sebelum waktu berbuka (kiri) dan selepas berbuka (kanan), tiada bezanya biarpun jemaah bersolat Maghrib [Perlukah kita hanya berbangga dengan jumlah kuantiti umat Islam berbuka puasa, tetapi kualiti untuk sama-sama berjemaah Maghrib tidak ada pada mereka. Sepatutnya pihak masjid juga boleh menyediakan paip air khas untuk mengajak orang ramai sama-sama berjemaah di atas padang tersebut daripada membiarkan mereka melepak begitu sahaja. Tambah menyedihkan, ada juga yang berpasangan lelaki perempuan dalam keadaan tidak menutup aurat di kawasan terbabit. Ini jelas sekali mencemarkan bulan Ramadhan dan juga kesucian agama Islam itu sendiri. Justeru itu, adalah diharapkan agar pihak yang berkenaan dapat memantau perkara ini dengan segera. Kita tidak mahu orang ramai berpesta di depan masjid hanya untuk berbuka puasa dan tergamak melakukan adengan-adengan yang tidak sepatutnya di kawasan tersebut]. |
Posted: 19 Aug 2010 12:23 AM PDT Menjelangnya Pilihanraya Umum ke-13 nanti, hari ini satu lagi tamparan hebat terkena batang hidung kerajaan UMNO BN pimpinan Najib Razak. Kenyataan itu dibuat oleh Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. Beliau berkata sasaran Pakatan Rakyat adalah supaya setiap isu rumah menikmati pendapatan RM4,000 dalam tempoh lima tahun apabila gabungan pembangkang mengambil-alih pentadbiran kerajaan pusat. "Cadangan polisi ini akan dikemukakan ke majlis pimpinan Pakatan untuk perbincangan lanjut," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya. Katanya, walaupun pertumbuhan negara pada kadar 8.9 peratus pada suku kedua yang diumumkan semalam boleh dibanggakan, namun hakikatnya, masih terdapat 2.4 juta keluarga atau 40 peratus daripada mereka yang berpendapatan kurang RM2,300 sebulan. Kenyataan yang dibuat oleh Anwar ini sesungguh satu "berita gembira" yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh Rakyat Malaysia sebenarnya. Maka itu, tiada sebab lagi untuk mereka terus mengharapkan kerajaan UMNO BN melaksanakan impian tersebut. Tambahan pula, tiada nampak langsung tanda-tanda yang menjurus ke arah itu. Apa yang jelas dapat dilihat hanya episod menekan rakyat dengan segala macam penindasan yang tidak disedari termasuklah kenaikan harga minyak dan gula di pasaran baru-baru ini. [Kini hanya rakyat yang bijak sahaja boleh menilai apakah semua ini akan menjadi kenyataan akhirnya. Janganlah terus terleka dan terlena dibuai mimpi kononnya hanya UMNO BN sahaja yang layak mentadbir negara ini sejak dulu kini dan selamanya. Lakukanlah perubahan demi masa depan generasi akan datang. Keluarlah dari kepompong minda yang dikongkong oleh mereka. Masanya sudah tiba untuk laksanakan pembaharuan selepas lebih 50 tahun peluang dan ruang diberikan kepada mereka. Jangan terus diperbodohkan oleh pihak-pihak yang menagih simpati takala inginkan sokongan dan kuasa. tetapi meninggalkan kita pabila sudah memiliki segalanya. Sanggupkah kita terus biarkan penyelewengan itu terus berlaku di depan mata kita untuk selamanya. Selamat berjuang untuk PRU-13 !!]. |
Posted: 18 Aug 2010 02:34 PM PDT Berita baik untuk kakitangan awam, anda akan mendapat bonus sebanyak RM400 sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri tahun ini. Tapi awas, bonus ini bukan untuk semua kakitangan awam di seluruh negara terutamanya di negeri Pahang ini tetapi ia hanya untuk 3,577 kakitangan awam di negeri Pulau Pinang sahaja. Itulah gambaran betapa prihatinnya kebajikan terhadap penjawat awam oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat pimpinan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng (DAP) di sana. Menurut kenyataan yang dikeluarkan dari Pejabat Ketua Menteri, geran kewangan istimewa yang membabitkan perbelanjaan RM 1.5 juta diluluskan oleh exco kerajaan negeri Pulau Pinang semalam. Pembayaran RM400 itu akan dibuat pada 3 September ini, iaitu kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri. Menurut Lim, sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran, usaha yang jitu lagi berterusan dilaksanakan bagi mencorakkan penjawat awam profesional ke arah bertaraf dunia. Katanya, Pulau Pinang tidak mampu untuk melonjak kepada status Bandaraya Antarabangsa tanpa usaha penjawat awam negeri memacu ke arah menjadi penanda aras antarabangsa. Tindakan populis ini bukan yang pertama diambil oleh Lim sejak DAP menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang. Sebelum ini, kerajaan negeri turut menghadiahkan RM500 dan anugerah negeri kepada pekerja bawahan yang bekerja keras membersihkan longkang dan parit di negeri itu. Selain itu, bayaran RM100 juga dibuat kepada semua warga emas berusia 60 tahun ke atas di negeri itu. Bertuah sungguh kakitangan awam di Pulau Pinang kerana kebajikan mereka "dijaga rapi" oleh kerajaan negeri pembangkang yang sering dikutuk-kutuk oleh media arus perdana selama ini. Ternyata mereka lebih prihatin dalam menjaga kebajikan penjawat awam yang telah banyak menyumbangkan jasa kepada pembangunan negeri itu selama ini. Apa Cerita Bonus Raya Kakitangan Awam Pahang Soalnya sekarang, apa cerita negeri-negeri yang ditadbir oleh UMNO Barisan Nasional yang selama ini mengutuk keras pentadbiran kerajaan pembangkang terutamanya di Pulau Pinang itu. Kononnya Lim Guan Eng anti Melayu dan tidak membela nasib rakyat di negeri itu. Malah lebih teruk lagi mengatakan beliau membawa fahaman komunis dan hanya tau bercakap tetapi tidak pandai melaksanakan apa yang dijanjikan. Nah, sekarang awal-awal lagi Cina DAP itulah yang mengumumkan pemberian bonus sebagai kebajikan untuk penjawat awal di negeri itu. Bila lagi agaknya kerajaan negeri UMNO BN mahu umumkan perkara yang sama. Tambah-tambah bagi negeri Pahang ini agaknya?. Apakah lebih 10,000 kakitangan awam di negeri ini berpeluang menikmati ganjaran "bonus raya" seperti di negeri pembangkang itu agaknya?. Sama-samalah kita (foto) nantikan pengumuman yang bakal di buat oleh Menteri Besar, Dato' Seri Adnan Yaakob selepas ini. Jika ada, tahniah kita ucapkan atau jika tiada alamatnya "kempunan"lah penjawat awam di Pahang melihat sahabat mereka di negeri yang ditadbir pembangkang mendapat ganjaran kebajikan itu. Biar pun tidak banyak jumlahnya, namun ia sudah cukup untuk meringankan bebanan penjawat awam negeri itu membuat persediaan menghadapi sambutan perayaan hari raya puasa tahun ini. Mungkin nanti masih ada suara sumbang daripada puak-puak UMNO BN yang mengatakan Lim Guan Eng kononnya mencari terdesak untuk mendapat sokongan, publisiti murahan dan bermotifkan politik. Atau pun hanya untuk menagih simpati rakyat. Malah lebih teruk lagi, akan ada pula nanti yang mengatakan jumlah RM400 itu terlalu rendah dan tidak sesuai untuk perbelanjaan hari raya di saat barangan semua telah naik harga. Apapun, tahniah diucapkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang atas langkah yang diambil. Malah, kita amat yakin selepas ini negeri Selangor, Kelantan dan Kedah pula akan menuruti jejak langkah yang sama. Inilah yang dikatakan kebajikan, akibat berhemah dalam berbelanja serta tidak mengamalkan unsur-unsur rasuah serta penyelewengan maka akhirnya "bonus raya" dapat diberikan kepada mereka yang berjasa. Bonus, Peneroka Didahulukan, Penjawat Awam? Dalam hal ini juga, kita melihat kerajaan UMNO BN pimpinan PM Najib Razak juga tidak prihatin dengan kebajikan kakitangan kerajaan itu sendiri. Lebih satu juta kakitangan awam di seluruh negara mungkin terpaksa beraya dalam keadaan "suram" kiranya tiada "bonus raya" diberikan kepada mereka. Apa tidaknya, sudahlah segala barangan kini naik harga, kebajikan mereka pula tidak dijaga. Bagi penjawat awam kumpulan atasan, mungkin mereka tidak terlalu terasa tetapi bagaimana dengan kumpulan C ke bawah. Bukankah mereka amat memerlukan kebajikan berupa ganjaran tunai untuk menikmati hari raya yang lebih ceria pada tahun ini. Anehnya, PM Najib Razak awal-awal lagi telah mengumumkan pemberian bonus tersebut kepada para peneroka di seluruh negara. Lebih 100,000 peneroka Felda di seluruh negara akan menerima duit raya sebanyak RM37.14 juta yang akan diberikan sebelum Hari Raya Aidilfitri ini. Kesemua 112,635 peneroka di seluruh negara akan menerima pemberian sempena hari raya yang dibahagikan kepada dua kategori. Menurut beliau, dua kategori itu ialah peneroka yang masih bersama Felda akan menerima RM350 seorang dan peneroka yang menanam semula secara persendirian akan menerima hanya RM150 seorang. Begitulah prihatinnya PM terhadap kebajikan peneroka Felda, hinggakan yang melawan pun diberikan ganjaran. Bukankah dalam hal ini jelas menunjukkan mereka yang lebih terdesak untuk mengembalikan semula kepercayaan para peneroka terhadap kerajaan sebenarnya. Apapun, sama-samalah kita nantikan apakah ada sinar kakitangan awam untuk mendapat bonus raya daripada kerajaan UMNO BN pada tahun ini. [Maka kini terbuktilah siapa yang lebih membela dan prihatin untuk menjaga kebajikan rakyatnya. Inilah yang dikatakan rakyat didahulukan sebenarnya. Sekarang baru puak-puak UMNO terkejut beruk dengan apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Selama ini mereka kutuk-kutuk dan menghina Lim Guan Eng dengan berbagai-bagai. Kini barulah mereka tahu bahawa Cina DAP itu lebih utamakan rakyat dalam hal-hal kebajikan seperti ini. Oleh itu, buat kakitangan awam di negeri Pahang. Fikir-fikirkanlah, jika anda mahukan perubahan terutamanya dalam soal kebajikan maka lakukanlah perubahan mulai sekarang. Pastikan UMNO BN tumbang dan berkhayal dengan janji-janji manis mereka menjelang Pilihanraya Umum akan datang. Ingatlah, berubah bukan bermakna UMNO BN tidak baik. Cuma berubah untuk memberi peluang kepada "yang baru" menguruskan pentadbiran kerajaan negeri. Sudah lebih 50 tahun UMNO BN berkuasa di negeri ini, tapi mereka masih tidak mampu bawa perubahan besar kepada rakyat. Hasil mahsul negeri hilang begitu sahaja dirompak oleh puak-puak mereka dulu kini dan selamanya. Maka, tibalah masa mereka dihukum agar mereka sedar suara rakyat adalah suara keramat yang akan mengajar mereka dalam PRU-13 nanti]. |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan