Ahad, 29 Ogos 2010

MANDOR.BLOGSPOT.COM

MANDOR.BLOGSPOT.COM


ISU MP SERDANG MASUK SURAU - JAHIL JADI PUNCA, KATA NIK AZIZ

Posted: 28 Aug 2010 06:00 PM PDT

Nik Aziz pertahan anggota Parlimen Teo

KOTA BARU, 28 Ogos — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempertahankan tindakan anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

"Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam," kata Nik Aziz (gambar) kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Anggota Parlimen DAP itu yang menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat utama surau terbabit.

Tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad SAW baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenar tidur, makan dan minum.

"Cuma apa yang dilihat (benda) itu sebagai pelik di zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama," katanya.

Nik Abdul Aziz sebelum itu hadir berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 174 penghuni rumah anak yatim Puteri Harapan Taman Sabariah. — Bernama

ISU SURAU DI KAJANG - JADIKAN SATU PENGAJARAN

Posted: 28 Aug 2010 11:56 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS
Justify Full
APA yang berlaku di sebuah madrasah di Kajang nampaknya menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor. Kehadiran MP Serdang Teo Nie Ching di madrasah berkenaan serta memberikan ucapan di dalam ruang ibadat madrasah tersebut menjadi punca kemurkaan Sultan. Berlanjutan peristiwa itu MAIS telah diarahkan untuk mengambil alih madrasah berkenaan. Baca sini.

Saya juga menjadi pelik dan hairan mengapa peristiwa ini boleh berlaku. Mengapa pihak pengurusan madrasah tersebut tidak sensitif dengan hal-hal sebegini. Memang tidak salah jika mana-mana Non Muslim mengunjungi tempat ibadah kita apatah lagi berniat untuk memberikan bantuan, tetapi mereka juga mempunyai batas-batas tertentu dengan adab-adab yang perlu mereka hormati.

Sekiranya MP Serdang yang berniat baik untuk hadir memberikan bantuan atau nasihat, adalah lebih baik dan sesuai acara itu diadakan di perkarangan madrasah dan bukannya di dalam madrasah. Apatah lagi di dalam situasi sekarang, di mana terdapat pihak-pihak yang sentiasa ingin mencari isu perkauman untuk kepentingan politik mereka. Oleh yang demikian, tindakan kita menimbulkan fitnah ini tentulah satu tindakan yang tidak bijak samasekali.

Kita tidak boleh menyalahkan MP Serdang yang tidak tahu batas-batas dan adab rumah ibadah kita. Menjadi tanggungjawab kita terutamanya pihak pengurusan rumah ibadah untuk memaklumkan kepadanya. Saya percaya MP berkenaan akan akur dengan nasihat yang kita berikan kepadanya.

Adalah diharapkan peristiwa ini akan menjadi pengajaran kepada semua. Sesiapa pun samada perseorangan atau pemimpin yang Non Muslim boleh berkunjung ke rumah ibadah kita dengan tujuan yang baik tetapi tentukan adab kesucian rumah ibadah ini dipelihara. /wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: