Khamis, 12 Ogos 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Isu Poligami Bung - Hakim Durjana Rosakkan Sistem Kehakiman Yang Adil

Posted: 11 Aug 2010 11:26 PM PDT

Poligami Tanpa Kebenaran, Hukuman Mesti Tegas & Adil

Hukuman atas kesalahan poligami tanpa kebenaran, harus tegas dan perlu diselaras antara rakyat bawahan dan orang kenamaan, bukannya memberi kekebalan kepada pihak tertentu atau dilaksanakan secara berpilih-pilih.

Demikian tegas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad apabila mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang menyaksikan Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Raden terlepas dari hukuman penjara.

Bercakap kepada TV Selangor, Khalid Samad menggesa jabatan agama dan mahkamah syariah supaya mempertimbang secara serius kewajaran hukuman penjara terhadap pesalah yang berpoligami tanpa kebenaran.

Beliau menegaskan setiap hukuman yang ditetapkan harus dilaksanakan secara adil baik terhadap orang awam mahupun orang kenamaan tanpa sedikitpun perbezaan.

"Saya rasa pejabat agama dan mahkamah syariah mesti memikirkan soal ini - sejauh mana mereka berasa peraturan yang wajar. Sekiranya mahu dilaksanakan dengan saksama.

"Jangan bila bila ada orang kenamaan diberikan dednda yang rendah dan kalau rasa hukuman penjara tidak sesuai dalam kes ini maka awal-awal lagi keluarkan hukuman itulah dari sistem hukuman," katanya.

Dalam konteks ini, Khalid kesal kerana Bung Moktar selaku ahli parlimen gagal menunjukkan keperibadian terpuji.

"Sebagai penggubal undang-undang, Bung menunjukkan contoh yang tidak baik. Kalau ada peraturann yang dia tak setuju, sepatutnya dia bawa ke Parlimen, bukan langgar. Bila sudah langgar, hanya bayar denda RM1,000 - jumlah yang memang dia mampu bayar," katanya.

TPM, Menteri, Polis Dan JPJ Perlu Didakwa Menghina Mahkamah

Posted: 11 Aug 2010 05:44 PM PDT

Kabinet hari ini memutuskan untuk menarik balik tindakan menyenarai hitam kesalahan di jalan raya, buat sementara waktu, bagi membolehkan orang ramai memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan, bermula hari ini hingga 28 Feb tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha (kanan) berkata keputusan itu diambil setelah mendengar alasan, aduan dan rayuan orang ramai dan ahli jemaah menteri.

Tempoh itu diambil kira berikutan musim perayaan bermula dari sambutan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Hari Krismas dan Tahun Baru Cina, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di kementeriannya di Putrajaya.

"Namun tidak ada diskaun akan diberi kepada notis-notis sedia ada yang masih belum diselesaikan dan notis itu juga tidak akan dihapus kira," katanya.

"Pada masa yang sama kepada mereka yang disenarai hitamkan atau yang mempunyai notis-notis yang perlu dijelaskan, mereka tetap perlu menjelaskannya."

Katanya selepas 28 Feb 2011, tindakan senarai hitam itu akan dilaksanakan semula.

"Saya nasihatkan bahawa mereka yang mempunyai notis-notis itu perlu menjelaskan sekaligus atau secara ansuran."

"Untuk mereka yang membayar dan menyelesaikan notis-notis itu dalam tempoh masa kelonggaran ini, mereka tidak akan dikenakan markah demerit.

"Sistem yang lebih terperinci supaya mereka yang mempunyai notis yang belum selesai, berapa lama mereka boleh memperbaharui lesen memandu dan untuk memperbaharui cukai jalan akan ditentukan dalam satu dua hari ini," katanya.

- Bernama


Saman Ekor: Sokongan Muhyiddin, Hishammuddin, Kong Hina Keputusan Mahkamah

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kempen Anti Saman Ekor (Kesa) PAS, Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha yang mempertahankan tindakan mengeluarkan.

Beliau berkata kenyataan mereka seolah-olah menghina institusi kehakiman, tanpa mempedulikan dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak berkenaan isu saman ekor.

"Sudah tiba masanya untuk mengetengahkan isu ini, memandangkan wujudnya pelanggaran hak asasi seperti yang dimaktubkan di dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan," kepada Mahfuz kepada media selepas perjumpaan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Selasa lalu.

Jelas beliau, Mahkamah Tinggi Sarawak telah memutuskan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan adalah salah dan bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Maka apabila mereka meneruskan tindakan mereka menghalang mangsa saman ekor daripada memperbaharui cukai jalan, mereka telah membuat 'comtempt of court', penghinaan terhadap mahkamah, dan itu adalah satu perbuatan yang tidak wajar dilakukan.

"Dengan menyenarai hitamkan pengguna kenderaan, JPJ dilihat merampas kuasa mahkamah," jelas Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Kata beliau lagi, menurut Seksyen 53 Akta Pengangkutan Jalan, penguna kenderaan yang telah diberi notis patutnya dipanggil ke mahkamah dan diberi pilihan samada untuk mengaku bersalah ataupun minta dibicarakan.

Mahfuz berkata JPJ dan pihak polis dilihat merampas kuasa daripada mahkamah dan akhirnya menteri juga membelakangkan kuasa mahkamah dengan memberi hukuman tanpa merujuk kepada badan kehakiman.

"Maka tidak wajar bagi menteri ini menghina keputusan mahkamah dengan mempertahankan bahawa kenyataan mereka betul, sedangkan makhamah pula menyatakan sebaliknya.

"Saya berpendapat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) harus mengambil tindakan segera untuk membela rakyat tetapi khususnya tindakan tersebut perlu mendidik Muhyiddin dan para menteri agar menghormati mahkamah, sistem kehakiman dan Perlembagaan negara," tegas Mahfuz.

Walaupun gagal bertemu Kong minggu lalu beliau berharap dapat bertemu Hishammuddin untuk menyatakan bantahan terhadap kenyataannya.

"Jika enggan berganjak daripada pendirian mereka, maka lebih baik kita memansuhkan mahkamah yang membicarakan kes trafik, kerana saman cukup memadai. Saya minta jika benar kata-kata mereka, maka tutuplah sahaja mahkamah trafik," kata Mahfuz lagi.

Sebelum itu, Mahfuz bersama Setiausaha Kesa, Dr Siti Mariah, peguam Zulhazmi Shaarif dan Ahli Dewan Undangan Paroi, Mohd Taufek Abd Ghani telah menyerahkan memorandum kepada Pesuruhjaya Suhakam, Mohd Sha' Ani Abdullah mengenai isu saman ekor yang dikatakan telah memangsakan lebih sejuta pengguna jalanraya.-SK


Ulasan GB

Setelah tersedar bahawa mereka salah, maka kabinet memutuskan untuk menarik balik tindakan menyenarai hitam kesalahan di jalan raya. Alasannya: setelah mendengar alasan, aduan dan rayuan orang ramai dan ahli jemaah menteri!

Tergelak pun ada sedangkan sebenarnya mereka kecut apabila menyedari sokongan mereka terhadap tindakan saman ekor itu "menghina mahkamah" yang telah pun memutuskan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan adalah salah dan bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.

TPM, Menteri, Polis dan JPJ menyangka mereka kebal undang-undang, tapi sebenarnya mereka bebal undang-undang!

Keempat-empat pihak tersebut perlu diheret ke mahkamah untuk didakwa sebagai menghina keputusan mahkamah sekalipun kabinet telah memutuskan menarik balik tindakan menyenarai-hitamkan pesalah trafik kerana keempat-empat pihak tersebut BELUM memohon maaf di atas kenyataan-enyataan mereka.

Isu Kain Rentang : Bukti Nyata Kedudukan Muhyiddin Dan UMNO BN Johor Semakin Tenat

Posted: 11 Aug 2010 09:13 AM PDT

Kain Rentang Provokatif Usaha Lagakan KEADILAN Dengan Istana

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor, Zabidie Abbas menyelar tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab, yang cuba melaga-lagakan KEADILAN dengan Istana Johor dengan memasang kain rentang yang bersifat provokasi di sepanjang laluan Sultan Johor dan Tengku Mahkota Johor dalam siri program jelajah 'Kembara Mahkota Johor 2010' yang diadakan minggu lalu.

Angkara yang dipercayai didalangi oleh Umno Johor telah menyebabkan Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar murka apabila berita tersebut disiarkan media.

"Kami menafikan sekeras-kerasnya, yang tindakan tersebut dilakukan oleh pihak kami," kata Zabidie ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau berkata kain rentang tersebut yang tertera gambar Sultan Ibrahim, jata kerajaan Johor, gambar Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor, Datuk Chua Jui Meng dan logo KEADILAN turut memaparkan ungkapan 'PKR Johor Menyokong Penuh Dato' Seri Chua Jui Meng Sebagai Pengerusi PKR Johor Dan Calon MB Johor'.

Berikutan kejadian tersebut, AMK Johor telah membuat laporan di Balai Polis Simpang Renggam semalam serta menuntut siasatan segera dan terperinci dijalankan untuk mendakwa pihak terbabit ke muka pengadilan.

Zabidie menyifatkan pihak yang cuba mengapi-api sentimen serta memainkan emosi rakyat sebagai buta undang-undang.

Ini kerana Artikel 3 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor menyatakan Menteri Besar hendaklah dilantik daripada kalangan orang Melayu yang beragama Islam.

"Apa yang jelas, tindakan menggantung kain rentang tersebut di sepanjang laluan Kembara Mahkota Johor 2010 yang bakal dilalui oleh Tuanku Sultan, berniat untuk mengaitkan institusi diraja dengan politik kepartian. Ia juga bertujuan untuk melaga-lagakan KEADILAN dengan Istana Johor dan menimbulkan kemarahan orang ramai," tegas Zabidie lagi.

Tambah Zabidie, tindakan tersebut dilihat sebagai terancang kerana beliau difahamkam hanya kain rentang provokasi tersebut yang digantung di sepanjang laluan itu.

Tidak ada sebarang kain rentang lain, sama ada yang berbentuk iklan atau kain rentang mengalu-alukan baginda berdua dipasang.

Zabidie berkata pihaknya bercadang untuk berbincang bersama pimpinan KEADILAN untuk ke Istana Johor bagi menjelaskan kedudukan sebenar.

"Kami akan memohon bagi menghadap ke bawah Duli Tuanku Sultan Ibrahim, bersama pimpinan KEADILAN negeri, untuk memperjelaskan keadaan yang sebenarnya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha AMK Johor, Ahmad Anwar Asyraf berkata pihaknya turut mempersoalkan kewajaran akhbar Sinar Harian edisi Johor semalam yang menyiarkan laporan berkenaan program 'Majlis Makan Malam anjuran KEADILAN Cabang Gelang Patah Bersama Presiden' dengan tajuk dan gambar yang mengelirukan.

"Laporan muka surat J5 Sinar Harian edisi Johor yang ditulis oleh Nurul Riduan Nor Ashana memaparkan artikel yang bertajuk 'Perjelas Hak Bukan Bumiputera' dengan gambar Datuk Chua Jui Meng yang sedang memegang kain rentang 'provokasi' tersebut," kata Ahmad.

Ahmad berpendapat, tajuk artikel tersebut tidak ada kena-mengena dengan gambar yang dipaparkan.

Malah gambar tersebut sebenarnya menunjukkan Chua sedang menerangkan kepada hadirin bahawa kain rentang tersebut merupakan tindakan provokasi yang dilakukan oleh pihak tertentu yang ingin melaga-laga beliau dengan pihak istana.

"Setelah menghubungi pihak Sinar Harian disini, mereka memaklumkan akan menulis tentang 'ralat' bagi berita tersebut dan akan disiarkan dalan edisi nasional. Kami menuntut mereka untuk menarik balik semula laporan itu. Jika tiada sebarang reaksi diambil, kami akan berbincang untuk membuat tindakan susulan," kata beliau. -SK


Chua: Bekas MB dalang kain rentang

Pengerusi Perhubungan PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng berkata kain rentang yang memaparkan gambarnya dan Sultan Johor sengaja dinaikkan untuk menimbulkan kemurkaan sultan terhadap parti pembangkang itu.

Menurut Chua, kain rentang lain yang seumpama itu juga dikesan sepanjang laluan 'Kembara Mahkota Johor' di mana baginda sendiri terbabit dengan menunggang motosikalnya.

Katanya, kerja pihak tidak bertanggungjawab itu juga mencetuskan kemurkaan sultan dengan dakwaan bahawa beliau adalah calon PKR sebagai menteri besar Johor.

"Mereka berniat membuat sultan dan orang Melayu marah dengan PKR, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diri saya."

Chua berkata demikian kepada wartawan di Bukit Damansara, Kuala Lumpur selepas memberi kenyataanya kepada seorang pegawai kanan polis di ibu pejabat polis Batu Pahat.

"Beliau merakamkan kenyataan saya berhubung kain rentang itu. Katanya, adalah jelas bahawa saya hanya seorang saksi. Beliau memberitahu 40 laporan polis telah dibuat berhubung kain rentang itu.

"Saya juga membuat laporan dengannya berhubung kain rentang itu dan juga mengenai ceramah Pakatan di Rengit yang dihalang oleh FRU dan polis."

Sementara itu, Suara Keadilan.com melaporkan Chua juga mendakwa kain rentang provokatif itu dicetak di sebuah premis di bandaraya Johor Baharu.

"Nama bekas menteri besar itu ada disebut di dalam maklumat yang saya terima. Nampaknya dia cuba untuk menjadi jaguh dan cuba untuk memulihkan imejnya yang satu ketika dulu tercemar kerana terlibat dalam krisis dengan Raja-Raja Melayu sehingga imuniti Raja-Raja Melayu dihapuskan.

"Suatu ketika dulu, dia pernah tidak dialu-alukan untuk hadir ke istana sewaktu Almarhum Sultan Iskandar masih hidup. Chua Jui Meng masih tidak lupa, dan masih mempunyai memori yang kuat. Jadi, tak masuk akal kalau dia meminta saya untuk meminta maaf kepada Tuanku Sultan. Beliaulah orang yang paling lantang mengkritik Sultan," katanya kepada Suara Keadilan.com.

Bekas menteri persekutuan itu berjumpa dengan polis untuk selama lebih dua jam, daripada 11.30 pagi sehingga jam 2 petang dengan diiringi peguamnya, Sankara Nair.

Chua juga berkata beliau menjelaskan kepada polis berhubung beberapa kesilapan pada kain rentang itu yang membuktikan ia bukan dibuat oleh PKR.

"Saya menafikan PKR terbabit dengan penipuan ini. Hanya Umno mempunyai motif untuk membuat perkara terkutuk seperti ini," katanya. -mk


Kamera Tersembunyi Di Pejabat MB Selangor. Kerja Siapa?

Posted: 11 Aug 2010 04:11 AM PDT

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau menjumpai sebuah kamera tersembunyi di pejabatnya di tingkat 21, bangunan SUK di Shah Alam, pada jam 6 petang semalam.

Adalah dipercayai peralatan itu digunakan untuk mengintip aktiviti harian beliau.

"Saya sedang melakukan tugasan apabila terdengar bunyi dan sebaik mencari di seluruh bilik saya menemui alat perakam video itu yang disorok di belakang langsir bilik saya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco negeri.

Beliau memberitahu perkara itu kepada wartawan pada sidang media hari ini dan berkata pihaknya selepas menjalankan siasatannya sendiri. Tambahnya, beliau juga sedang mempertimbangkan bagi membuat laporan polis.

Abdul Khalid berkata kamera itu yang dijumpai berada di belakang langsir di pejabatnya dikesan selepas ia berbunyi kerana kadar baterinya semakin lemah.

Serentak dengan penemuan itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri juga mengarahkan supaya kawalan keselamatan di bangunan SUK itu diperketatkan.

Abdul Khalid berkata pengawal keselamatan yang dirujuk mengenai perkara itu menyatakan mereka tidak mengetahui mengenai kewujudan alat perakam video tersebut.

Beliau berkata pihaknya telah meneliti rakaman dari alat perakam video itu yang dipercayai telah berada dalam bilik berkenaan bagi satu tempoh yang agak panjang.

"Saya dah teliti tiada apa cuma rakaman menunjukkan saya bertemu dengan beberapa pihak dan urusan harian biasa," katanya.

Abdul Khalid berkata beliau masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu sebaliknya akan meneliti rakaman kamera kawalan litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bangunan dan bilik pejabatnya terlebih dahulu.

"Saya akan teliti dulu rakaman CCTV sebelum serahkan kepada pihak berkuasa, jika mereka ingin datang untuk membuat pemeriksaan juga tiada masalah," katanya. -MK

Ulasan GB

Sungguh dasyat.

Taktik lawan sudah ke peringkat pasang CCTV. Ia salah satu strategi mereka untuk tawan Selangor.

Tiada ulasan: