Jumaat, 13 Ogos 2010

KARPET KUNING

KARPET KUNING


Bulan Ramadhan merupakan antara masa untuk menjernihkan tanggapan kita mengenai agama Islam.

Posted: 13 Aug 2010 03:35 AM PDT


Oleh Mohd Yusof Hassim

Teras berpuasa ialah meraih matlamat - agar lebih bertakwa (Al-Baqarah: 183).

Mengapa sering terdapat segolongan orang yang begitu berani mendedahkan sesuatu perkara yang jelas bertentangan dengan syariat Islam? Boleh dikatakan bahawa hal ini berbalik kepada kefahaman seseorang terhadap hukum-hukum agama dan pegangan akidahnya.

Jika memahami Islam dengan betul maka setiap amalannya akan menjadi baik dan takut untuk melakukan perkara-perkara yang ditegah. Begitu juga sebaliknya. Mereka tahu akan larangan Islam, tetapi mereka lakukan juga. Mengapa ini berlaku? Ini kerana perasaan takut telah hilang di dalam diri mereka. Tidak ada perasaan takwa kepada Allah swt.

Sebenarnya yang mengawal kelakuan seseorang Muslim adalah akidah dan ketakwaannya. Jika perkara ini difikirkan, ia boleh menghalang seseorang daripada melakukan kejahatan.

Makhluk tidak akan kekal. Setiap yang bernyawa akan mati. Itu pun ada orang berani mengatakan bahawa usia masih muda, jauh daripada mati. Hidup hanya sekali, remaja hanya sekali. Justeru, janganlah sesiakan usia muda. Mereka mendakwa bahawa waktu untuk melakukan kebaikan, solat dan ibadah-ibadah lain masih panjang.

Anehnya, mereka juga tahu bahawa maut tidak mengenal usia dan tidak dapat dijangka. Mereka tahu ada orang meninggal dunia walaupun usianya masih muda sedangkan orang tua yang sakit nazak bertahun-tahun tidak mati. Allah swt boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Untuk mematikan makhluk-Nya tidak ada tempoh tertentu, tua atau muda, malah anak kecil pun boleh diambil nyawanya.

Setiap orang yang mengaku dirinya menganuti Islam harus mengetahui akan batas-batas agama. Jika mereka faham dan sedar bahawa dalam Islam ada batasnya, ada tegahannya, mereka harus menjaga batas tersebut dan mematuhi setiap larangan yang diperintah Islam. Mereka boleh menghindari diri daripada terjebak ke dalam gejala sosial jika mereka memahami batasan dan larangan Islam.

Jika golongan dewasa membawa satu cara atau bentuk yang tidak baik, mungkin golongan remaja akan melihatnya sebagai satu perkara yang baik dan menjadi ikutan. Golongan remaja, terutama yang masih di bangku sekolah, memang suka mengikut-ikut apa yang dilakukan idola mereka. Mereka sebenarnya tidak faham apa yang mereka lakukan. Apabila menonton gelagat seseorang artis di layar televisyen atau di media massa yang lain, timbul keinginan untuk mencuba.

Kita tidak boleh meniru sana sini kerana Islam sudah mempunyai adab dan syaratnya. Jika yang baik dari Barat sesuai dengan Islam, maka kita terima. Begitu juga dari yang Timur. Justeru, semua pihak termasuk individu, anggota masyarakat dan pihak bertanggungjawab hendaklah memainkan peranan seiring dalam membela imej Islam.

Inilah pesan Rasulullah saw kepada kita agar senantiasa berpegang dengan tali Allah swt dan tidak membiarkan urusan sesama manusia terabai.

Tiada ulasan: