D'Perbatasan |
- Umno BN mahu membonsaikan minda mahasiwa
- Benar wujud, keretakan hubungan Najib-Muhyiddin
- Amaran Kepada Ezam Hentikan Fitnah Jahat
- Anwar Berjaya Ubah Lanskap Politik Malaysia
- Bekas MB Johor Didakwa Dalang Pasang Kain Rentang Provokatif
- Kenapa Labelkan "Perhimpunan Haram"
- Tun Mahathir Mudah Lupa
| Umno BN mahu membonsaikan minda mahasiwa Posted: 11 Aug 2010 04:25 AM PDT Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai larangan mahasiswa berpolitik membuktikan bagaimana Umno BN secara terancang mahu membonsaikan minda mahasiswa yang satu ketika dahulu menjadi jurubicara masyarakat.Justeru, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) tidak terkejut dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu mengenai larangan mahasiswa melibatkan diri di dalam politik kepartian dikekalkan. Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Muhyiddin memberikan justifikasi bahawa larangan tersebut kekal kerana mahasiswa masih terikat kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku). "Apakah bezanya dengan kalangan guru yang kini dibenarkan berpolitik, jika hendak diberikan hak yang sama kepada mahasiswa dan juga para pensyarah universiti?" soalnya dalam satu kenyataan. Katanya, AMK yakin dan percaya, puncanya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana sekiranya hak yang sama diberikan kepada mahasiswa, maka sudah pasti isu-isu rakyat yang kritis akan didepani oleh mahasiswa dengan begitu aktif sehingga melemaskan Umno BN. Sehubungan itu, ujarnya AMK mencabar Umno BN melalui Muhyiddin untuk mengharamkan atau menamatkan operasi Kelab Umno mahupun Kelab Aspirasi yang ditaja Umno di IPTA dan IPTS S seluruh negara dan luar negara yang secara jelas membuktikan keterlibatan Umno ke dalam kampus. Demikian juga, katanya dicabar mengheret Puteri Umno ke mahkamah kerana secara terbuka beraktiviti di dalam kampus, yang terbaru di UiTM Shah Alam melibatkan pelancaran Skuad Vogue Puteri Umno Malaysia. Beliau menambah, AMK juga mencabar Ketua Pemuda Umno dan MCA, Khairy Jamaluddin dan Wee Ka Siong yang selama ini berdegar-degar mempertahankan hak mahasiswa berpolitik untuk tampil menyatakan pendirian secara terbuka tanpa sebarang dolak dalih di sebalik alasan 'akur dan taat kepada kepimpinan parti'. "Realitinya, mahasiswa merupakan ejen perubahan massa. Mewujudkan budaya ketakutan ke atas mahasiswa di Malaysia, hanya mengesahkan apa yang dinukilkan oleh penyair Indonesia lewat puisinya Takut '66 Takut '98, "Presiden (Perdana Menteri) Takut Pada Mahasiswa!," ujarnya. Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook pula mengutuk keputusan Kabinet untuk terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik. "DAPSY berasa amat kesal dan mengutuk keputusan Kabinet pada hari ini yang terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik," ujarnya. Ini, katanya merupakan satu keputusan yang amat retrogresif dan mendukacitakan aspirasi golongan muda khususnya pelajar-pelajar di Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA). "Keputusan ini terus menafikan hak pelajar universiti tempatan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berpersatuan kepada setiap warganegara Malaysia," katanya yang juga Ahli Parlimen Rasah. Tambahnya, keputusan Kabinet pada hari ini menunjukkan bahawa Barisan Nasional langsung tidak mendengar pandangan rakyat khususnya golongan muda yang ingin melihat Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan dan kebebasan akademik dikembalikan di kampus universiti tempatan. Keputusan itu juga, ujarnya membuktikan bahawa sayap Pemuda Barisan Nasional khasnya Pemuda Umno dan Pemuda MCA semakin hilang taringnya kerana suara mereka yang mendesak supaya pelajar universiti dibenarkan untuk menyertai parti politik langsung tidak diberi pertimbangan oleh kerajaan. "Malahan, suara Timbalan Menteri Penggajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang jelas ingin membawa perubahan ini juga tidak diendahkan oleh menterinya sendiri," katanya lagi Tegasnya, DAPSY akan terus mendesak supaya Auku dimansuhkan dan kebebasan pelajar universiti dikembalikan. DAPSY, ujarnya yakin bahawa sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan, agenda mendemokrasikan IPTA akan diberi perhatian yang serius dan kebebasan pelajar universiti termasuk menyertai parti politik akan dikembalikan. "Keputusan Kabinet hari ini akan menyemarakkan lagi semangat mahasiswa tempatan untuk bangkit membawa perubahan politik dan Barisan Nasional akan diberikan satu pengajaran yang lebih pahit oleh golongan muda pada pilihanraya umum yang ke-13 kelak," katanya lagi. |
| Benar wujud, keretakan hubungan Najib-Muhyiddin Posted: 11 Aug 2010 04:15 AM PDT Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat hari ini menegaskan dakwaan wujudnya keretakan dalam hubungan antara Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah "benar dan memang wujud", dan bukan satu rahsia besar.Sehubungan itu, kata pemimpin-pemimpin yang dihubungi, suasana itu menggambarkan ketidaktentuan Umno sama ada Barisan Nasional (BN) benar-benar boleh kekal berkuasa dengan pembaharuan dibawa oleh perdana menteri. Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Datuk Zaid Ibrahim berkata, walaupun Muhyiddin menjelaskan panjang lebar bahawa kedua-dua mereka mempunyai hubungan baik sehingga kini, memang wujud keretakan dalam gandingan Najib dan Muhyiddin. Malah kata beliau, keadaan itu sudah tentu akan memberi kesan besar kepada BN untuk mendapatkan balik sokongan dan memulihkan kedudukannya selepas prestasi buruk dalam pilihan raya umum ke-13. "Memang wujud keretakan. Sesiapa sahaja boleh melihat," kata beliau kepada The Malaysian Insider. Semalam, Tan Sri Muhyiddin yang juga timbalan kepada Najib di Umno menolak khabar angin kononnya beliau mengalami krisis hubungan dengan bosnya Najib. Katanya, hubungannya dengan Perdana Menteri adalah baik dan sokongannya kepada Najib tidak perlu dipertikai dan diragui semua pihak. "Saya nak sebutkan kerana saya rasa terpanggil bila Datuk Seri Dr Rais Yatim (Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan) kata kepada saya, dalam muka akhir itu (buku Najib Tun Razak-Melakar Transformasi Malaysia) gandingan mantap "Najib-Muhyiddin" dan itu sudah disahkan. "Cuma saya nak maklumkan memang tidak ada pihak yang harus meragui sokongan padu yang saya berikan kepada Perdana Menteri sejak awal lagi sampai sekarang ini," katanya ketika majlis pelancaran buku "Najib Tun Razak-Melakar Transformasi Malaysia". Muhyiddin berkata khabar angin yang mengatakan bahawa hubungannya tidak baik dengan Najib itu sengaja ditimbulkan "pihak sebelah sana". Zaid berkata, selepas pilihan raya umum 2008 ramai beranggapan bahawa Umno akan kembali kukuh setelah memaksa bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan pucuk kepimpinan. "Ia (keretakan) memang benar, ia bukan satu perkembangan baru dalam Umno," katanya. "Pada masa yang sama mereka menyalahkan Pak Lah. Muhyiddin sudah tentu akan menyalahkan Najib," katanya. Bekas menteri kerajaan persekutuan yang menyertai PKR tahun lalu memberitahu The Malaysian Insider bahawa tindakan-tindakan Muhyiddin yang bercanggah dengan dasar 1 Malaysia adalah manifestasi ketidaktentuan Umno ke aras polisi-polisi Najib. "Muhyiddin adalah manifestasi ketidaktentuan lama Umno... memang tipikal bagi Umno bertindak macam ini. "Najib mempunyai banyak pendedahan Barat dan liberal dalam dasar-dasarnya dalam sesetengah perkara. Muhyiddin adalah produk timbalan perdana menteri kelahiran tempatan," katanya. Oleh itu kata beliau, sudah pasti akan wujud perselisihan di kalangan kedua-dua pemimpin itu. Jelas Zaid, wujud pandangan berbelah bahagi dan tidak menentu bahawa pembaharuan dibawa oleh Najib adalah perlu untuk Umno mendapatkan semula hala tuju masa lalu dan sokongan rakyat. Zaid juga membidas Muhyiddin yang mendakwa Pakatan Rakyat adalah punca kepada tanggapan bahawa wujudnya keretakan hubungan antara Najib dan Muhyiddin. "Saya merasakan ia satu alasan yang begitu cetek," katanya. "Pak Lah hendak membawa pembaharuan tetapi beliau ditolak oleh musuh dari Umno sendiri," katanya. "Apa bezanya sekarang? Saya tidak fikir orang Umno bersedia untuk perubahan. "Idea mereka ialah memperkukuhkan kedudukan mereka menerusi kawalan, menerusi dominasi orang Melayu," kata Zaid. Dalam pada itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua menyoal mengapa Muhyiddin mahu menuding jari ke arah Pakatan Rakyat. "Mengapa salahkan kami. Jika anda mahu meletakkan kesalahan pada orang lain, salahkan diri anda dulu dan juga Tan Sri Dr Koh Tsu Koon," katanya. Pua berkata, Koh yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab untuk merangka program transformasi kerajaan (GTP), yang turut menghasilkan konsep 1 Malaysia bagi menggambarkan elemen "Malaysia pertama, soal kaum kedua." "Mengapa timbalan perdana menteri kelihatan berbeza dalam memahami konsep 1 Malaysia? Ini kerana bagi beliau konsep 1 Malaysia sudah gagal," katanya. Pua menambah, Muhyiddin cuba menafikan dakwaan keretakan antara beliau dan Najib kemungkinan kerana perdana menteri sudah tidak gembira dengan timbalannya. Dalam pada itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP Anthony Loke berkata, tindakan Muhyiddin menunjukkan yang timbalan perdana menteri sudah bimbang dengan apa yang diperkatakan oleh rakyat mengenai dirinya. "Beliau mula bimbang dengan tanggapan tentang diri beliau, tentang tindakan-tindakannya. "Jika tiada masalah mengapa hendak membuat penjelasan," katanya. Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar tindakan Muhyiddin tidak mempertahankan konsep 1 Malaysia apabila Dr Mahathir mengkritik menunjukkan sikap 'membelakangi' kepimpinan negara. "Muhyiddin seharusnya telah mempertahankan konsep 1 Malaysia apabila Dr Mahathir mengkritiknya berbanding bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh bekas perdana menteri. "Orang boleh melihat bahawa dengan menyokong Dr Mahathir dan bukannya mempertahankan Najib, konsep 1 Malaysia sebenarnya telah gagal," kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini. |
| Amaran Kepada Ezam Hentikan Fitnah Jahat Posted: 11 Aug 2010 03:57 AM PDT Pada pagi 10 Ogos 2010, di perkarangan mahkamah, pemberita Berita Harian menyatakan beliau di arahkan menanyakan soalan mengenai tuduhan Ezam Mohd Nor mendakwa kononnya saya telah menelefon beliau mengarahkan supaya menghalang lelaki mendekati Saudara Anwar. Saya dengan tegas menafikan tohmahan jahat beliau. Ezam sengaja mereka cerita setelah beliau bersama UMNO dan tidak sebelumnya.Saya tidak pernah menelefon beliau mengaitkan Saudara Anwar seperti tohmahan tersebut. Saya kesal kerana nafsu politik beliau tidak ada batas; sehingga sanggup memfitnah saya selaku isteri dan ibu. Ternyata untuk kekal relevan sebagai alat pimpinan UMNO, kerja beliau hanya mencerca kami. Saya telah enggan melayan sebarang kenyataan beliau yang di buat hasil menerima upah pimpinan UMNO, walaubagaimanapun kerana tuduhan tersebut berulang dan mengaitkan nama saya secara peribadi, saya mengingatkan beliau supaya hentikan kerja fitnah yang jelas fasiq. Sekira beliau mengulangi fitnah tersebut, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau dan merujuk beliau ke Mahkamah dan Mahkamah Syariah. Sekian, terima kasih. — Dr Wan Azizah Wan Ismail Presiden Parti Keadilan Rakyat |
| Anwar Berjaya Ubah Lanskap Politik Malaysia Posted: 11 Aug 2010 12:53 AM PDT Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menjelaskan antara peranan paling penting yang dimainkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang ialah melalui pengaruh beliau, rakyat Malaysia buat pertama kalinya dapat menyaksikan sejarah terlakar dalam perubahan besar lanskap politik negara pada pilihan raya umum 2008."Setiap tindakan dan pandangannya memberikan kesan yang penting terhadap halatuju negara kita. Mesej ucapan selamat ulang tahun saya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebagai tokoh politik yang penting, menjadi harapan agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan di negara kita," kata Kit Siang. Beliau antara pimpinan serta jutaan penyokong Pakatan Rakyat serta rakyat Malaysia yang mengucapkan selamat menyambut ulangtahun ke-63 kepada Ketua Umum KEADILAN itu yang disambut pada hari ini. "Sambutan ulang tahun ke-63 Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut dalam tahun yang sentimental. Setiap tahun, kita menyambutnya, termasuk ketika beliau di penjara. Saya masih ingat lagi kek yang kami hantar kepadanya, telah dihalang oleh pihak polis seolah-olah makanan tersebut merupakan ancaman kepada keselamatan negara," kata Pengarah Stategi dan Politik KEADILAN, Tian Chua. Tian yang juga Ahli Parlimen Batu berpendapat, untuk sebahagian rakyat Malaysia, ulangtahun Anwar Ibrahim bukanlah perkara peribadi terutamanya apabila mengenangkan pelbagai penindasan dan penganiayaan terhadap beliau sejak gerakan Reformasi tercetus 12 tahun dahulu. "Sudah tentu kami akan maklum dengan tarikh ini dan ianya merupakan satu tanda daripada perjuangan hak asasi manusia," kata beliau. Dalam nada yang sama, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar melahirkan rasa simpati dengan nasib yang menimpa Anwar dan keluarganya yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan terhadapnya oleh rejim Umno-Barisan Nasional. "Walaupun pada usia 63 tahun kekuatan mental dan fizikal beliau masih jelas kelihatan dan usaha beliau untuk melihat wajah baru Malaysia tidak pernah pudar. Saya kagum dengan keazaman beliau menghadapi cabaran, dan yakin rakyat Malaysia tetap akan memberikan kepercayaan dan sokongan kepadanya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 kelak," ujar Mahfuz. |
| Bekas MB Johor Didakwa Dalang Pasang Kain Rentang Provokatif Posted: 11 Aug 2010 12:05 AM PDT Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor, Datuk Chua Jui Meng berkata mendakwa perbuatan memasang kain rentang provokatif yang membangkitkan kemurkaan Sultan Johor didalangi oleh seorang bekas Menteri Besar negeri itu daripada Umno-Barisan Nasional. Jui Meng juga mendakwa kain rentang provokatif itu dicetak di sebuah premis di bandaraya Johor Bahru."Nama bekas Menteri Besar itu ada disebut di dalam maklumat yang saya terima. Nampaknya dia cuba untuk menjadi jaguh dan cuba untuk memulihkan imejnya yang satu ketika dulu tercemar kerana terlibat dalam krisis dengan Raja-raja Melayu sehingga imuniti Raja-raja Melayu dihapuskan. "Suatu ketika dulu, dia pernah tidak dialu-alukan untuk hadir ke Istana sewaktu Almarhum Sultan Iskandar masih hidup. Chua Jui Meng masih tidak lupa, dan masih mempunyai memori yang kuat. Jadi, tak masuk akal kalau dia meminta saya untuk meminta maaf kepada Tuanku Sultan. Beliaulah orang yang paling lantang mengkritik Sultan," kata bekas Menteri Kesihatan itu kepada Suara Keadilan ketika dihubungi. Beliau menegaskan tindakan pihak tertentu memasang kain rentang provokasi disepanjang laluan perjalanan Sultan Johor dalam program siri jelajah 'Kembara Mahkota Johor 2010' bertujuan untuk menimbulkan kemarahan rakyat dan percubaan untuk dan melaga-lagakan KEADILAN dengan pihak istana. Beliau berharap pihak polis segera menjalankan siasatan yang mendalam dan mendakwa dalang dibelakang perbuatan tersebut. Sehubungan itu KEADILAN Johor bersetuju dan menyokong pandangan Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar yang mengingatkan rakyat di negeri itu supaya tidak terpengaruh dengan tindakan yang disifatkan sebagai boleh memecah-belahkan kerukunan hidup bermasyarakat. "Pakatan Rakyat menolak sebarang usaha untuk mencemar sistem Raja Berperlembagaan yang wujud dalam negara kita. Kita akan mempertahankan Institusi DiRaja daripada mana-mana pihak termasuk parti politik dalam agenda untuk mengheret Istana ke dalam persaingan politik kepartian," tegas beliau. Jui Meng membidas pihak terbabit yang dianggap mempunyai niat jahat dan ingin membelakangkan Undang-undang Tubuh Negeri Johor yang hanya membenarkan orang Melayu dan beragama Islam sahaja menjadi Menteri Besar. Beliau menganggap tindakan melaga-lagakan KEADILAN dengan Sultan Johor sebagai fitnah yang gagal. Beliau berpendapat tindakan bodoh itu adalah usaha untuk menjadikan orang Melayu pekak, buta dan menjadi hamba kepada Umno selama-lamanya. Tambah Jui Meng Umno-BN Johor kini terdesak disebabkan oleh gelombang perubahan yang dituntut oleh rakyat Malaysia umumnya, khususnya rakyat Johor. "Angin perubahan ini tetap akan sampai dalam pilihan raya umum kelak. Yang jelas, Umno dan Barisan Nasional sekarang ini sedang menggigil ketakutan," kata beliau. |
| Kenapa Labelkan "Perhimpunan Haram" Posted: 10 Aug 2010 11:47 PM PDT Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, Writers Alliance for Media Independence (WAMI) dan Jawatankuasa Masyarakat Madani Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menegur polis kerana menindas aktiviti pengedaran risalah kempen memprotes kenaikan harga barang di pasar malam Kampung Kerinchi dan menahan Timbalan Ketua Pemuda AMK Batu Rozan Azen dan Penyelaras Suaram Tah Moon Hui. Tindakan ini telah mencabul kebebasan rakyat untuk berhimpun dan bersuara, malah menunjukkan bahawa rancangan kerajaan merasionalkan pengurangan subsidi bukan sahaja menolak suara rakyat, tetapi juga bertentangan dengan harapan dan tuntutan masyarakat. Menurut Seksyen 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, setiap rakyat mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan aman, Seksyen 20(1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat pula menerangkan bahawa kebebasan rakyat berhimpun secara aman harus dijamin. Sebagaimana yang kami perhatikan, selepas Najib Razak menjawat jawatan Perdana Menteri, banyak demonstrasi telah ditindas dan dilabelkan sebagai "perhimpunan haram", polis telah menyalahgunakan kuasa dan menahan rakyat yang mempraktikkan hak mereka. Semua ini adalah piawai penting bagi menguji keazaman kerajaan melaksanakan pembaharuan (reforms).Kami berpendapat, orang-orang berkuasa yang memiliki media atau menentukan isu-isu harian tidak perlu menunjuk perasaan di jalan raya; kroni-kroni pakatan politik-bisnes yang kepentingan mereka terjaga dan kukuh pula tidak perlu menunjuk perasaan di jalan raya. Bagaimanapun, bagi golongan-golongan terpinggir dan orang berbeza pendapat yang tidak berkuasa, menyertai perhimpunan dan perarakan selalunya satu-satu peluang bersuara mereka. Oleh itu, menghadkan atau mencabul hak berhimpun dan berarak "kelas bawahan yang berbeza pendapat" akan menyebabkan mereka tidak dapat berdemonstrasi di jalan raya dan satu-satunya saluran bersuara mereka secara berkesan hilang. Jelas, tindakan ini menafikan hak daulat rakyat dalam hal-ehwal Negara.Untuk membina satu ruang masyarakat yang benar-benar menghormati hak-hak perlembagaan, Akta Polis harus mempertahankan kebebasan rakyat berhimpun dan berarak, bukanlah menindas suara rakyat dengan melaksanakan sistem permit yang memerlukan kelulusan polis. Kami menggesa kerajaan memandang serius saranan demokratisasi masyarakat dan memansuhkan seksyen 27 Akta Polis 1967. *Kenyataan media bersama, oleh Liau Kok Fah (Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor), Wong Chin Huat (Pengerusi Writers Alliance for Media Independence, WAMI), dan Tang Kwai Fun (Ketua Jawatankuasa Masyarakat Madani Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG). |
| Posted: 10 Aug 2010 10:48 PM PDT Tun Mahathir sudah lupa bahawa jutawan-jutawan Cina hampir kesemunnya wujud pada zaman pemerintahan beliau. Jika cina-cina jutawan dikayakan oleh kamu sendiri maka isu Cina kaya dan Melayu miskin disebabkan kehebatan dan kebijaksaan kamu sendiri. -By Shen Yee Aun Dalam blog Tun Mahathir bertajuk untuk bersifat perkauman atau tidak telah jelas menunjukkan beliau sendiri sudah melupai banyak fakta, sejarah dan kebenaran.Menurut Tun Mahathir, kuasa politik tidak boleh berada di tangan Cina kerana Cina sudah pun menguasai ekonomi negara kita dan Melayu kita masih jauh ketinggalan walaupun selepas hampir 40 tahun Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan. Tun Mahathir sudah lupa dalam 40 tahun tersebut 22 merupakan kepimpinan dan pentadbiran beliau sendiri. Matematik mudah menunjukkan lebih daripada separuh daripada 40 tahun DEB diperkenalkan merupakan zaman pemerintahan beliau sendiri. Jika beliau pada hari mengemukakan isu kelemahan dan kelembapan ekonomi Melayu dalam ekonomi disebabkan oleh pelbagai faktor dan antaranya juga disebabkan oleh kaum Melayu mereka sendiri namun tidak sesekali Tun Mahathir menyebut bangsa Melayu gagal dimajukan olehnya walaupun merupakan pemimpin Melayu yang berkuasa paling lama di dunia. Tun Mahathir juga sudah lupa bahawa jutawan-jutawan Cina hampir kesemunnya wujud pada zaman pemerintahan beliau. Jika tidak silap saya tiga Perdana Menteri sebelum Tun Mahathir hanya mendiang Lim Goh Tong sahaja yang kaya. Namun keadaan mula berubah apabila Tun Mahathir mengambil alih kuasa pemerintahan negara. Jika cina-cina jutawan dikayakan oleh kamu sendiri maka isu Cina kaya dan Melayu miskin disebabkan kehebatan dan kebijaksaan kamu sendiri. Jangan lupa bahawa gabungan nilai beberapa jutawan Cina yang dihasilkan oleh kamu walaupun hanya beberapa orang namun angka tersebut lebih banyak daripada gabungan KDNK ratusan ribu Cina di Malaysia. Maknanya Cina Malaysia majoriti berpendapatan sederhana dan ada juga ramai lagi yang miskin dan yang menguasai ekonomi negara bukan Cina Malaysia tetapi gabungan jutawan Cina Mahathir. Jangan lupa juga tidak semestinya sekirannya Cina yang memegang kuasa politik Melayu akan lebih terpinggir berbanding pemerintahan pemimpin Melayu. Sejarah dan fakta telah membuktikkan pemerintahan Cina Lee Kuan Yew di Singapore telah menjadikan ramai Melayu Singapore yang bukan sahaja lebih kaya daripada Melayu Malaysia malahan ramai juga lebih kaya daripada Cina di Malaysia.Natijahnya, justifikasi dan hipotesis awal tidak tepat menggambarkan gambaran sebenar. Banyak Melayu di Malaysia pada hari yang berpendidikan Cina diketuai oleh guru besar Cina jauh lebih bijak dan berjaya berbanding Melayu di sekolah Melayu. Ramai juga Melayu pendapatan dan gaji mereka jauh lebih tinggi berada di bawah pemerintahan Cina di Sektor Swasta berbanding pemerintahan Melayu di sektor awam. Bukan niat saya untuk menunjukkan bangsa mana yang lebih layak memimpin. Bagi saya soal kepimpinan bangsa tidak seharusnya dijadikan kayu ukurnya tetapi kebolehan dan kemampuan yang seharusnya lebih diutamakan. Keadaan ini juga menandakan ada juga pemimpin Melayu yang berkebolehan yang bukan sahaja boleh memimpin Melayu dengan baik tetapi semua kaum di Malaysia. Namun yang menjadi persoalan rakyat pada hari ini bukan Melayu yang menjadi pemimpin tetapi Melayu zalim, rasuah dan tidak berkebolehan yang menjadi pemimpin mesti digantikan dengan pemimpin Melayu yang baik, bersih dan berkemampuan. Apabila Cina meminta jawatan tertentu dalam kerajaan bukan disebabkan faktor bangsa tetapi faktor kerjasama dan persahabatan politik.Apabila PAS sanggup bertolak ansur dengan Cina dalam isu ini bukan disebabkan PAS mengkhianati Melayu tetapi PAS cuma berpegang pada prinsip persahabatan dan keadilan yang dibawa oleh Islam. Dalam Islam bukan bangsa yang menjadi kayu ukurnya kerana Islam menentang sistem kabilah dan semangat assabiyah seperti PERKASA yang menjadi alat, senjata dan buah catur kamu untuk menghuru-harakan negara Malaysia. Islam sebenar yang dibawa oleh PAS percaya tiada perbezaan sesama kita melainkan takwa seseorang. Jika seorang bukan Islam dan Melayu lebih bermoral dan bernilai murni berbanding Melayu Islam yang tidak beradab maka bukan Islam itu mesti dipilih menjadi pemimpin demi kebaikan seluruh ummah. PAS berpegang pada prinsip muafakat sesama diri kita.Dalam blog Tun Mahathir juga menyebut bahawa PAS berkrompomi dengan Cina sehingga bukan sahaja mereka melawat upacara pengebumian Cina malahan membakar kertas kepada mayat yang sudah meninggal dunia. Tun Mahathir sudah lupa bahawa pembakaran kertas dalam upacara pengebumian Cina tidak sesekali berunsur agama tetapi itu hanyalah sekadar budaya pengebumian Cina. Saya cabar Tun Mahathir sekali lagi dalam ajaran Islam mana yang melarang kita untuk menghormat budaya orang lain? Mungkin pemimpin UMNO tidak melakukannya kerana mereka menggangap pembakaran kertas itu sebahagian daripada amalan agama Buddha. Keadaan ini hanya menandakan pemimpin UMNO tidak berilmu dan berpengetahuan. Mungkin juga bagi sesetengah pemimpin UMNO amalan meminum arak, berpoya-poya, berskandal, rasuah dan zalim itu dosanya jauh lebih kurang berbanding perlakuan membakar kertas. Wahai Tun Mahathir bersama-sama anak buah anda sahutlah wahyu pertama Tuhanmu Yang Maha Esa supaya menuntut manusia mengerja ilmu dan rajin membaca. Anda juga menyamakan penentangan PAS terhadap UMNO apabila UMNO bekerjasama dengan MCA maka PAS hiprokrit apabila mereka sendiri berkerjasama dengan DAP. Keadaan ini sekali lagi menunjukkan bahawa anda lupa bahawa terdapat perbezaan yang amat ketara antara MCA dan DAP. DAP membuka keahlian mereka kepada semua kaum dan MCA yang bersistem kabilah apabila hanya untuk puak-puak Cina sahaja. Jangan sesekali menuduh PAS dapat menawan hati Cina kerana PAS hiprokrit. Kenyataan ini seolah-olah memberi gambaran kepada dunia bahawa Cina di Malaysia adalah bodoh dan tidak berotak. PAS berjaya "Walk the Talk" apabila prinsip Islam yang mereka cuba bawa berjaya membawa keamanan dan perpaduan serta keadilan di negeri Kelantan dibawah pemerintahan PAS.Mereka boleh nampak seorang ketua bahagian UMNO memiliki rumah mahligai bagaikan Istana dan Syurga tetapi seorang Menteri Besar Kelantan tinggal di sebuah rumah kampong papa kedana. Melayu dan UMNO dibawah Tun Mahathir yang hebat pula "Talk And Never Walk". Jangan lupa, Tun Mahathir. Jika bukan kerana Cina pada 1998 anda akan menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama yang kalah dalam pilihan raya umum. Yang bersifat hiprokrit dan munafik serta palsu di sini bukan PAS tetapi kamu sendiri. Jika Cina 1998 tahu akan sifat sebenar Tun Mahathir pada hari ini mereka pasti akan singkirkan kamu daripada Putrajaya dan Petronas. Ada kalanya jika Raja-Raja Melayu tahu bahawa seorang pemimpin dan pejuang Melayu akan menarik kekebalan mereka mungkin juga mereka lebih sanggup menyokong bukan Melayu yang akan menghormati mereka.Ada kalanya jika rakyat Melayu miskin tahu bahawa seorang pemimpin dan pejuang Melayu hanya menjadikan anak Melayunya jutawan mungkin juga mereka lebih sanggup bukan Melayu yang akan sanggup membantu mereka. Ada kalanya juga jika pejuang bahasa Melayu tahu seorang pemimpin Melayu di ambang pengakhiran karier politiknya setelah 22 tahun baharu mencadangkan pertukaran Sains dan Matematik kepada bahasa penjajah mungkin mereka lebih rela bukan Melayu yang akan menghormati kedaulatan dan keanggungan bahasa Kebangsaan kita. Ada kalanya juga jika Melayu yang bijak tahu bahawa ada seorang pemimpin Melayu menjadikan segelintir bukan Melayu di Malaysia kaya raya dan apabila Melayu tidak dapat bersaing dengan jutawan bukan Melayu maka mereka dilabel sebagai bangsa pelupa.Ada kalanya juga jika Melayu Islam yang sebenar tahu bahawa ada seorang pemimpin Melayu yang mendalangi penubuhan PERKASA yang bersifat assabiyah mereka lebih rela pemimpin bukan Melayu yang memperjuangkan keharmonian dan kemanan semua kaum di negara kita. Saya rasa Tun Mahathir sudah melupai kesemua isu yang telah saya lontarkan. Sumber Berita Disini |
| You are subscribed to email updates from DPerbatasan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
.jpg)








.jpg)






Tiada ulasan:
Catat Ulasan