Selasa, 10 Ogos 2010

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Chua Jui Meng MB Johor ?

Posted: 10 Aug 2010 07:50 AM PDT


Ada otak dengan kurniaan akal, fikirlah dengan bijak - angkara siapa sebenarnya ?

Mencanang Chua Jui Meng sebagai calon MB Johor, dan dikepil pula gambar Sultan Johor, adalah satu hembusan perkauman. Kerana wajarkah bukan melayu menjadi MB Johor ?

Ia adalah rentetan isu-isu perkauman yang berbangkit seperti di sini dan juga di sini.

Perutusan Ramadhan Al-Mubarak oleh Ketua Menteri Pulau Pinang

Posted: 10 Aug 2010 07:47 AM PDT

Saya ingin berdoakan agar keberkatan dan kesucian bulan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun 1431 Hijrah ini dapat dihalusi dan dinikmati semua berdasarkan perkongsian, pengorbanan dan sumbangan kepada masyarakat.

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang akan terus berusaha mendirikan kerajaan berjiwa rakyat dengan berteraskan prinsip 3P – Perkayakan Rakyat, Perkuasakan Rakyat dan Perkasakan Rakyat- dan urus tadbir kerajaan Cekap, Telus dan Akauntabel (CAT). Prinsip integriti dan kebenaran adalah penting dalam pentadbiran negara.

Kerajaan yang baik dan bersih akan dapat jimatkan wang untuk dikongsi bersama rakyat. Ini boleh dilihat buat pertama kalinya semua warga emas yang melebihi 60 tahun telahpun menerima RM 100 setiap tahun dan waris akan menerima buat pertama kalinya RM1,000 untuk urusan jenazah. Di samping itu, Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang berjaya basmikan miskin tegar pada 2009.

Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, saya memberi jaminan bahawa amalan CAT akan dilaksanakan tanpa pilih kasih bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri diteruskan dengan tiga teras pembangunan ekonomi yang digariskan iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi (pro-growth), mewujudkan peluang pekerjaan (pro-jobs) dan menjamin keadilan sosio-ekonomi (pro-poor).

Di bulan yang mulia ini juga, saya mengambil semangat Ramadhan Al-Mubarak yang penuh keberkatan ini untuk menyeru rakyat negeri Pulau Pinang agar mengelakkan fitnah walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza. Tindakan aibkan orang atau meniup sentimen perkauman berdasarkan pembohongan dan berita palsu memang kelaziman tidak sihat yang masih dimainkan. Contohnya dakwaan Perarakan Maulud diharamkan diulang-ulangi sungguhpun berjalan seperti dulu kala dan dengan lebih meriah. Ataupun demonstrasi ke atas dakwaan palsu Bazar Ramadan di Komtar diharamkan oleh sipenganjur yang telah kutip wang sewa daripada peniaga tetapi tidak serahkannya kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang(PDC).

Kerajaan negeri sedia menerima cabaran ini dengan tabah hati dan keyakinan serta anggapnya sebagai suatu ujian daripada Tuhan untuk melawan kemungkaran dan fithnah. Ini adalah kerana kerajaan negeri yakin orang Islam, dapat bezakan di antara benar dan salah, hak dan batil, antara maaruf dan mungkar.

Akhirnya, marilah kita menjauhi segala laranganNya bagi mendapatkan puasa yang sempurna sejajar sabda Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa kerana iman dan mengharap pahala, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu".

Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak, bulan rahmat yang penuh keberkatan.

Amal Makhruf Nahi Mungkar.

LIM GUAN ENG

Selamat Menyambut Ramadhan Kareem

Posted: 10 Aug 2010 07:42 AM PDT

Tibalah bulan Ramadhan yang dinanti-nantikan umat Islam. Moga amalan ibadah puasa disempurnakan sebaiknya hingga meningkat kederajat taqwa . Kesempatan dan kerahmatan yag hadir bersama Ramadhan memberi ruang untuk dimanfaatkan oleh umat Islam mendekatkan diri kepada Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ditegaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran lewat ayat 183 Surah Al-Baqarah:

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kami, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa.."

Ibadah puasa memupuk pendidikan jiwa dan ruhani, membuatkan kita bermuhasabah betapa ibadah ini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ibadah di bulan Ramadhan menuntut kita untuk peka dengan lingkungan, menginsafi kekurangan diri dan masyarakat sekaligus membangkitkan hasrat melakukan kebaikan serta memperkukuh usaha menghilangkan kemudaratan. Menjalani tarbiyyah dan tazkiyyah sepanjang madrasah Ramadhan menemukan kita dengan dua medan; medan perjuangan dalam diri serta lingkungan. Inshaallah dengan rahmat serta kasih Allah SWT, kita akan terus beristiqamah berusaha menjalani ibadah puasa ini agar tercerna serta terpancar akhlak dan sahsiah yang terpuji.

Ramadhan kareem.
ANWAR IBRAHIM

Noh Omar hanya ‘alim-alim kucing’

Posted: 10 Aug 2010 01:10 AM PDT

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali membidas Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang mendesak supaya pusat-pusat hiburan di negeri itu ditutup sepanjang bulan Ramadan, yang dijangka bermula esok, sambil menyifatkan pemimpin Umno itu sebagai "alim-alim kucing."
"Bagi kita setiap bulan adalah haram bagi semua aktiviti maksiat bukan bulan Ramadan sahaja.

"Ini menunjukkan betapa ceteknya ilmu agama pemimpin-pemimpin Umno.

"Bulan Ramadan baru nak tunjuk alim? Itu alim-alim kucing," kata beliau.

Minggu lalu, Noh mencabar kerajaan negeri Selangor supaya menutup semua pusat hiburan dan rumah urut di negeri itu.

Noh telah mempertanggungjawabkan Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor supaya mendesak kerajaan negeri Selangor sekiranya PAS benar-benar memperjuangkan Islam.

"Kita (Pakatan Rakyat) baru tadbir Selangor ini dua tahun lima bulan tapi Umno-BN sudah 52 tahun jadi sekarang kita mahu kikis saki-baki Umno-BN di negeri ini termasuk rumah pelacuran, pusat hiburan dan kedai-kedai arak.

"Dengan melahirkan kesedaran, jumpa penduduk dan jumpa pemilik premis arak kita lihat usaha itu menunjukkan kesan positif berbanding apa jua cara yang digunakan Umno-BN malah ia bukan semakin berkurang tetapi semakin banyak pula.

"Inilah dasar Umno-BN tapi sekarang nak salahkan kita pula... 52 tahun lawan dua tahun lima bulan?" katanya.

Hasan juga berpendapat bahawa Noh "cemburu" akan usaha Pakatan Rakyat yang berjaya mengurangkan pusat-pusat hiburan di negeri itu.

"Beliau (Noh) cemburu tengok dalam masa dua tahun lima bulan ini kita dapat redakan masalah arak, judi dan sebagainya.

"Sekarang kita memerlukan sokongan semua pihak sama ada orang Melayu ataupun bukan Melayu untuk bersama-sama membendung kegiatan maksiat di negeri ini," katanya.

Sebelum ini Timbalan Presiden Majlis Belia Selangor, Badrul Hisham Badrudin mengeluarkan kenyataan mendesak kerajaan Selangor menutup lebih 4,500 pusat judi dan rumah urut di seluruh negeri ini atas kapasiti beliau sebagai pengerusi Gerakan Belia 4B tempatan.

"Jika ini dapat dilakukan kami yakin negeri Selangor akan menjadi contoh kepada negeri-negeri yang lain," katanya.

Malah Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo juga pernah mencabar kerajaan negeri Selangor menutup premis perjudian dan rumah urut.

Selain itu, Gagasan Anak Muda turut menggesa kerajaan negeri Selangor menutup semua aktiviti hiburan sepanjang bulan Ramadan.

Semalam, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad mengkritik Umno Selangor yang meminta agar pusat hiburan dan rumah-rumah urut di negeri itu ditutup sepanjang bulan Ramadan dengan menyifatkan gesaan itu sebagai sikap "hipokrasi" parti itu.

"Ia bukan hanya dosa ketika bulan Ramadan," kata beliau sambil menambah, pendekatan betul adalah menerusi pendidikan, bukannya tekanan.

Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam mempersoalkan motif Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dengan menyifatkannya sebagai tindakan bermotifkan politik.

Tahun Depan Kita Deal Terus Dengan Peniaga

Posted: 10 Aug 2010 01:02 AM PDT

Musibah yang dibawa oleh 'orang tengah' atau '3rd party', membusukkan nama kerajaan negeri Pulau Pinang kononnya menghalang peniaga melayu membuka booth gerai sepanjang bulan Ramadhan. Penganjur yang menjadi 'orang tengah' telah mengambil wang sewa dari pekedai tetapi belum menjelaskan sewa tapak tersebut kepada Lembaga Pembangunan Pulau Pinang.

Akhirnya yang dipersalahkan ialah Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Ketua Menterinya yang lantas dituduh tidak adil serta menindas peniaga kecil-kecilan bumiputra.

Inilah sebenarnya yang berlaku! Sekiranya kita hanya merujuk kepada berita TV3 dan akhbar Utusan semata-mata, maka layaklah kita membenarkan diri kita ditipu bulat-bulat. Kita wajar mengambil tahu perkara yang sebenarnya berlaku dengan mencari kebenaran atau sekurang-kurangnya mendengar penjelasan pihak yang dituduh.

Sejak revolusi 308, negeri Pulau Pinang yang diperintah oleh kerajaan DAP sangat sensitif apabila dikaitkan dengan peniaga melayu. Oleh sebab itu juga dengan pantas dan tanpa usul periksa kerajaan Guan Eng dipersalahkan dalam isu tapak bazaar ramadhan di Komtar ini sedangkan sebenarnya wang sewa tersebut telah dirembat oleh penganjur yang tidak amanah.

Justeru, Lim Guan Eng telah mengumumkan bahawa tahun hadapan, perniagaan bazaar ramadhan di Komtar akan diurus secara terus dengan peniaga oleh Kerajaan Pulau Pinang supaya masalah seperti ini tidak lagi berulang. Maka tiadalah lagi sistem orang tengah, dan tiadalah lagi kutipan 'atas angin' si penganjur yang membaham amanah. Setiap anda yang memahami berita sebenar, setiap itulah keruntuhan kerajaan BN semakin hampir.

Emangnya mereka semakin kerap mencanang isu perkauman terutamanya di Pulau Pinang dan Selangor melalui media perdana. Sekiranya ada di antara pemimpin mereka yang mula mencetus api perkauman, akan dikurniakan gelaran wira, seperti yang dimaksudkan dalam artikel Klip Sini.

Melalui peristiwa di Komtar ini sedarlah kita semua bahawa, UMNO dan dasar perkauman sempit itu tidak dapat dipisahkan.



Dari EDYES

Ada Apa Dengan Anwar?

Posted: 10 Aug 2010 12:54 AM PDT

Blogger popular, Sakmongkol AK47 telah menulis beberapa artikel yang mensasarkan Anwar Ibrahim sejak beberapa hari yang lalu.

Artikel ini pula bukanlah ditulis untuk mempertahankan Anwar, mahupun mengutuk Sakmongkol AK47. Akan tetapi, artikel ini berminat untuk mengupas dengan lebih mendalam tentang isu sebenar yang secara tidak langsung diketengahkan oleh Sakmongkol AK 47 iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN) kurang bijak berpolitik jika terus menumpukan usaha mereka menyerang Anwar Ibrahim.

Jika dilihat kepada strategi politik yang sedang digunakan oleh UMNO melalui media massa dan blogger-blogger yang cenderung kepada BN, adalah jelas UMNO menggunakan strategi menghentam personaliti. Anwar, Lim Guan Eng, Khalid Ibrahim, Tuan Guru Nik Aziz dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain dihentam bertubi-tubi oleh saluran-saluran informasi BN ini. Sebagai anak muda yang mengikuti perkembangan politik, saya rasa strategi politik ini amatlah dangkal.

Perlu diingatkan, berjuta-juta pengundi di negara ini tidak mendaftar dengan parti-parti politik. Berjuta-juta pengundi adalah mereka yang duduk di atas pagar. Sebahagian besar daripada golongan ini adalah anak-anak muda dan belia. Golongan ini bersikap terbuka menyokong dasar-dasar yang baik, menolak dasar-dasar yang bodoh dan tidak mengundi berdasarkan personaliti. Dalam erti kata lain, serangan-serangan BN terhadap personaliti pemimpin PR TIDAK akan mengubah pendirian golongan ini dalam proses pengundian nanti.

Golongan ini kebanyakannya sudah tidak peduli lagi sama ada Anwar betul-betul mempunyai hubungan songsang dengan Saiful atau sesiapa pun. Golongan ini juga hanya akan mentertawakan lawak bodoh yang menyatakan Anwar itu agen Amerika/Yahudi. Golongan ini malah tidak ambil pusing lagi jika Anwar akan menjadi Perdana Menteri atau tidak.

Sakmongkol AK47 juga menyentuh tentang tahap intelek Anwar yang banyak digembar-gemburkan berbanding kefahaman beliau yang tidak seberapa. Adakah golongan ini peduli jika Anwar tidak khatam membaca buku Amartya Sen? Akan berubahkah penilaian politik mereka jika Anwar tidak memahami falsafah Thomas Hobbes dan John Locke? Adakah mereka akan beratur untuk menjadi ahli BN jika Anwar tidak pernah menyentuh hasil karya Ibnu Khaldun?

Jawabnya tidak. Kenapa? Mudah sahaja. Golongan atas pagar terutamanya anak-anak muda dan warga belia bukan mengundi mengikut personaliti. Anwar Ibrahim hanya seorang ahli politik yang memangkin perjuangan ke arah negara yang lebih baik. Jika tidak ada Anwar Ibrahim, mungkin ahli politik lain yang terkedepan. Boleh jadi Khairy Jamaluddin. Salahuddin Ayub. Husam Musa. Lim Guan Eng. Tony Pua. Razali Ibrahim. Nurjazlan Muhamad. Gobind Singh Deo. Saifuddin Abdullah. Mungkin juga ahli politik yang lain. Jika inginkan undi daripada golongan anak muda dan warga belia, BN (dan juga PR) wajib mencari jawapan kepada soalan-soalan yang relevan kepada mereka, bukan menghentam personaliti.

Apa soalan-soalan yang ditanya golongan anak muda dan belia? Mudah sahaja. Kami mahu tahu kenapa rasuah masih berleluasa dan apa tindakan yang sedang diambil. Mengapa perkhidmatan awam kita sangat tidak efisien sedangkan kita mempunyai penjawat awam yang sangat ramai? Mengapa kita tidak mempunyai media massa yang bebas? Kenapa masih terdapat monopoli diberi perlindungan daripada persaingan? Mengapa syarikat-syarikat yang sama mendapat kontrak berbilion ringgit? Adakah begitu sukar untuk membina bangunan sehingga syarikat-syarikat yang lain tidak mampu bersaing? Mengapa kami membayar harga yang sangat mahal untuk membeli kereta? Adakah kami akan mendapat ganjaran jika kami bekerja keras? Atau ganjaran diberi kerana warna kulit atau mengikut nama bapa kami di kad pengenalan? Mengapa menteri-menteri dan ahli politik BN begitu mewah hidup mereka sedangkan hidup kami terkontang-kanting dengan hutang dan tekanan kerja? Mengapa kerajaan menyekat kebebasan kami bersuara?

Menumpukan perhatian kepada serangan personaliti juga bagi BN ibarat menggali lubang sendiri. Sebahagian besar pengundi mengundi PR pada pilihanraya yang lalu bukan kerana ahli-ahli politik PR cekap dan baik seperti malaikat. Sebab utama ialah kerana pengundi sudah muak dan benci dengan dasar-dasar dan ahli-ahli BN. Faktor itu masih lagi relevan buat masa sekarang. Contohnya, jika PR digulingkan di Selangor, siapa yang bakal menggantikan Khalid Ibrahim? Yang mampu ditawarkan oleh BN hanya Noh Omar dan Khir Toyo. Saya berani mengatakan jika sepuluh orang pemuda dikumpulkan untuk mendengar ucapan Khir Toyo, sembilan orang akan muntah-muntah sebaik sahaja beliau membuka mulut kerana tidak tahan mendengar hujah-hujah yang bodoh. Cuba lihat kepada ahli-ahli Parlimen BN. Siapa yang rasanya dapat berdiri dan berhujah dengan berintelek untuk mempertahankan hak rakyat? Bung Mokhtar? Nazri Aziz? Rais Yatim? S. Subramaniam? Saya rasa selain daripada nama-nama yang disebut awal-awal tadi (Khairy, Nurjazlan, Razali, Saifuddin), adalah sukar untuk BN bersaing dengan PR dari segi personaliti.

Kesimpulannya, cukuplah menghentam personaliti. Cukuplah membuat laporan polis yang tidak tentu hala. Tumpukanlah kepada pengurusan negara yang berintegriti dan amanah serta pengenalan dasar-dasar yang mesra rakyat. Banteras rasuah dan bersihkan perkhidmatan awam daripada anasir-anasir tidak produktif. Berikan ruang kepada rakyat untuk berfikir dan bekerja keras untuk hidup mereka sendiri. Anwar Ibrahim hanya susuk politik. Memang benar Anwar penting untuk PR tetapi kepentingan Anwar bukan kerana moral atau tahap intelek beliau sebaliknya kerana pengalaman dan pengaruh beliau sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri yang dapat menjadi jambatan kepada parti-parti dalam PR. Bagi golongan atas pagar terutamanya anak muda dan belia, Anwar Ibrahim bukan faktor dalam pengundian nanti. Faktor utama ialah sama ada BN atau PR yang terbaik untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.


Dari Blog My Argumentum

SAMM Ancam Bertindak Ke Atas Chua Kerana Hina Islam

Posted: 10 Aug 2010 12:38 AM PDT

Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek hari ini menerima memorandum 'amaran' daripada sebuah NGO dan pemimpin pembangkang berhubung kenyataannya baru-baru ini yang menyentuh isu negara-negara umat Islam.

Empat wakil Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) diketuai Badrul Hisham Shaharin (dua dari kiri) - juga ahli majlis pimpinan pusat PKR - yang menyerahkan memorandum itu mendakwa Chua telah menghina Islam.

Pada 6 Ogos lalu, Chua dilaporkan membidas kedua-dua Umno dan PAS kerana didakwa menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.

Merujuk kepada buku Syed Akbar, Chua (bawah) menyenaraikan semula beberapa ciri umum di 57 negara Islam, antaranya, kurang demokrasi kerana terlalu mementingkan agama; pemimpin Islam veteran menikmati kuasa mutlak dan membuat dasar yang tidak setara dengan pembangunan global.

Ucapan itu mengundang kritikan keras daripada pemimpin pembangkang sama ada yang Islam dan bukan beragama Islam, antaranya daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Sebelum naik ke ibu pejabat MCA di Jalan Ampang, Badrul memberitahu pemberita, Chua diberikan 14 hari untuk menarik balik kenyataannya dan membuat permohonan maaf atau "atau bakal menghadapai tindakan anak muda daripada seluruh negara di depan pejabatnya".

Badrul berkata, kumpulan itu akan bertindkan di seluruh negara. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut 'tindakan' itu.

Tiada ulasan: