Rabu, 4 Ogos 2010

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Najib Ambil "Cuti" Mengejut Timbulkan Spekulasi Tarikh PRU-13

Posted: 04 Aug 2010 08:23 AM PDT

Oleh Dzulkarnain Taib

SHAH ALAM - Langkah tergesa-gesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil cuti ke luar negara bermula 28 Julai lalu sehingga 10 Ogos depan menimbulkan pelbagai spekulasi andaian menarik.

Desas desus di kalangan pimpinan Umno ialah Najib bercuti ke luar negara kerana mahu berbincang secara sulit bersama pasukan perancang strategi beliau mengenai tarikh sesuai pengumuman pilihan raya umum ke-13 yang diuar-uarkan tahun ini.

Firma komunikasi antarabangsa pro-Zionis Israel, Apco Worldwide dikatakan memainkan peranan besar menasihati Najib bagaimana memenangi PRU-13.

Pun begitu, menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, pemergian Najib secara mendadak untuk "bercuti" menunjukkan Perdana Menteri berada dalam keadaan tertekan.

"Ada beberapa faktor besar yang menyebabkan Najib ke luar negara. Dua faktor yang penting yang amat memeningkan kepala PM ialah kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini telah masuk fasa yang amat kritikal yang mendedahkan segala kepincangan kes ini.

"Penyiasatan skandal rasuah pembelian kapal selam Scorpene oleh pihak berkuasa Perancis juga menjadi faktor utama Najib kini amat tertekan kerana beliau tidak ada bidang kuasa untuk menghalang dan menutup penyiasatan sekiranya kes yang sama diadili di Malaysia," jelas Azan kepada Suara Keadilan.

Beliau berkata skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang yang membabitkan pendakwaan ke atas bekas Presiden MCA dan juga mantan anggita Kabinet, Tun Dr Ling Liong Sik serta isu kejatuhan paling teruk pelaburan langsung asing sejak tempoh 20 tahun menambahkan tekanan kepada Najib.

"Najib cuba tiru stail Dr Mahathir, bila ada sahaja skandal besar yang beliau tidak mampu berdepan atau menjawab kepada persoalan yang bakal ditimbulkan rakyat, dia 'cabut' awal-awal lagi. Beginilah cara pemimpin Umno-BN menyelesaikan masalah negara - tinggalkan negara dalam keadaan terumbang-ambing dan serahkan kepada timbalan untuk menghadapi kemarahan rakyat," kata beliau lagi.

Menurut kenyataan akhbar pejabat Perdana Menteri pada 28 Julai lalu Najib akan bercuti ke luar negara mulai tarikh tersebut hingga 10 Ogos.

Kenyataan itu juga memaklumkan sepanjang tempoh tersebut, tugas-tugas Perdana Menteri akan dijalankan oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Azan mempertikaikan protokol kerajaan yang tidak digunakan oleh Najib apabila seseorang Perdana Menteri itu ingin mengambil cuti.

"Sekurang-kurangnya Perdana Menteri mesti mengumumkan rancangan cuti beliau enam bulan lebih awal tetapi Najib buat cara yang amat tergesa-gesa. Apa yang beliau nak kejar sehingga membuat keputusan meninggalkan pentadbiran negara dalam keadaan terburu-buru?" tanya Azan.

Wabak Kencing Tikus: Tiga Kawasan Perkelahan Di Kedah Ditutup

Posted: 04 Aug 2010 08:16 AM PDT

BERNAMA

ALOR SETAR: Tiga kawasan perkelahan utama di Kedah ditutup untuk sementara bagi mengelakkan penularan wabak Phatogenik Leptopspira atau kencing tikus yang melanda beberapa pusat peranginan di negeri ini.

Kawasan berkenaan ialah Taman Rekreasi Puncak Janing di Kuala Nerang, Taman Rekreasi Lata Bayu di Baling dan Taman Rekreasi Bukit Wang di Kubang Pasu.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Marzukhi Md Isa berkata, setakat ini, seorang telah disahkan meninggal dunia akibat wabak itu, manakala empat yang lain disahkan positif kuman Phatogenik Leptopspira.

"Mangsa yang meninggal dunia berusia lingkungan 30-an dan merupakan kakitangan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang yang datang bersama dua rakan untuk berkelah di Lata Bayu.

"Dua rakannya yang positif kuman terbabit, kini dirawat di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini pada Rabu.

Dr Marzhuki berkata dua lagi ialah pengunjung yang berkelah di Puncak Janing dan mereka sedang dirawat di Hospital Kuala Nerang.

Beliau berkata pihaknya kini mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghantar pasukan penyiasat untuk mengambil sampel air dan tanah di hutan lipur terbabit.

"Hasil ujian yang dijalankan turut mengesahkan Puncak Janing dan Lata Bayu positif dicemari kuman Phatogenik Leptopspira.

"Pihak kami meminta jabatan perhutanan daerah menutup sementara kawasan peranginan tersebut untuk kerja-kerja pembersihan dan pencegahan," katanya.

Beliau turut menasihati penduduk sekitar kawasan terdedah wabak berkenaan agar tidak menggunakan air dari sumber air bukit bagi kegunaan harian kerana dikhuatiri dijangkiti virus berbahaya itu.

Pemuda Umno: Saman Ekor Perlu DiKaji Semula Kerana Tak Adil Untuk Pengusaha

Posted: 04 Aug 2010 08:14 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno hari ini menggesa kerajaan menghapuskan terus saman ekor kerana ia dilihat sebagai satu hukuman yang tidak adil dan membebankan pengusaha pengangkutan awam di negara ini.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, konsep saman ekor yang dilaksanakan adalah bertentangan dengan konsep keadilan sosial kerana denda tersebut perlu dibayar oleh pengusaha syarikat pengangkutan awam dan bukannya oleh pemandu yang melakukan kesalahan tersebut.

"Saya melihat saman ekor ini bukan sahaja membebankan pemilik kenderaan malah pengusaha-pengusaha pengangkutan awam di negara ini.

"Saman ekor ini turut memberi implikasi yang buruk kerana rakyat menerima banyak saman hingga menyebabkan cukai jalan dan lesen memandu tidak boleh diperbaharui kerana nama mereka telah disenaraihitam sedangkan mereka tidak mengetahui mengenai saman ekor yang dikenakan itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan 14 pengusaha bas dan teksi di Menara Dato' Onn pada Rabu.

Beliau berkata demikiam sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mencadangkan agar kerajaan menyemak semula saman ekor dan mengkaji semula keputusan kerajaan untuk tidak mengurangkan kadar kompaun saman terhadap pesalah trafik.

Mengulas lanjut, Khairy berkata saman ekor yang dikenakan bukan sahaja daripada Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia malah Pihak Berkuasa Tempatan juga turut mempunyai kuasa untuk mengeluarkan saman sedemikian.

"Saman ekor ini umpama menghukum pengusaha syarikat sebelum didapati bersalah. Sepatutnya polis memberi saman terus kepada pemandu pada masa dia melakukan kesalahan cara itu lebih baik dan bukannya menghukum syarikat pengusaha dengan bebanan saman ekor ini," katanya lagi.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, saman ekor ini akan menyebabkan pengusaha pengangkutan awam gulung tikar kerana tidak mampu membayar jumlah saman yang terlalu tinggi.

"Lebih memburukkan keadaan lagi, saman ekor ini diperoleh selepas tiga hingga empat bulan daripada kesalahan yang dilakukan, jadi pengusaha sukar untuk mengenalpasti pemandu yang melakukan kesalahan," katanya.

Beliau menegaskan, Pemuda Umno bukan mahu menentang undang-undang sedia ada sebaliknya mereka mahu kerajaan melihat semula saman ekor dan menghapuskannya dalam masa terdekat kerana ia tidak adil kepada pengusaha syarikat pengangkutan awam dan pemilik kenderaan.

"Kita setuju sekiranya saman itu diberikan terus kepada pemandu ketika dia didapati bersalah dan bukannya saman ekor.

"Kesimpulannya sistem ini cukup tidak adil dan ia perlu dihapuskan segera," katanya.

Jelasnya lebih memburukkan keadaan adalah musim perayaan semakin hampir, sudah tentu perkara tersebut akan membebankan ramai pemilik kenderaan yang terpaksa membayar saman apabila mahu memperbaharui cukai jalan dan sebagainya.

"Ini seolah-oleh menghukum pemilik kenderaan sebelum dibuktikan bersalah," katanya sambil menambah satu sistem yang lebih adil perlu diwujudkan bagi mengelakkan masalah aliran kewangan syarikat pengusaha pengangkutan awam.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Melayu Semenanjung (Pembawa) Tajuddin Yunus berkata, saman seharusnya dikeluarkan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan.

Katanya, saman serta-merta lebih adil dan memberi kesan minimum kepada pengusaha, selain mampu menjadikan pemandu atau pengguna jalan raya lebih berhemah.

Poligami: Keputusan rayuan Bung Mokhtar 11 Ogos

Posted: 04 Aug 2010 08:12 AM PDT

BERNAMA


Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam hari ini menetapkan 11 Ogos depan untuk memutuskan rayuan anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin yang dikenakan hukuman penjara sebulan kerana berpoligami tanpa kebenaran.

Ketua Hakim Syarie Selangor Mukhyuddin Ibrahim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam syarie Amli Embong dan Pegawai Pendakwa Syarie Zusyarafain Md Yusof.

Bung Moktar, 51, yang hadir dengan ditemani isteri keduanya pelakon Zizie Izette A Samad, 31, memfailkan rayuan itu 25 Mei lepas bagi memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan kepada hukuman denda.

P
ada 19 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman tersebut selepas anggota Parlimen Kinabatangan itu mengaku berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, dengan Zizie Izette di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam, 16 Dis tahun lalu.

Bung Moktar turut didenda RM1,000 kerana bersubahat dengan Zizie Izette berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk. Beliau membayar denda itu.

Terkhilaf

Terdahulu, Amli berhujah bahawa Hakim Mahkamah Rendah Syariah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta kerana membuat keputusan tanpa mempertimbangkan pengakuan salah anak guamnya yang dibuat dengan penuh keinsafan.

Beliau berkata Bung Moktar merupakan pesalah pertama dan pengakuan tersebut telah membantu menjimatkan masa dan kos mahkamah.

"Hakim Mahkamah Rendah Syariah juga terkhilaf dalam menjatuhkan hukuman penjara ke atas anak guam saya tanpa mengambil kira kedudukan anak guam saya sebagai anggota Parlimen, dan menjatuhkan hukuman atas alasan sekiranya hukuman setimpal tidak dijatuhkan, akan mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap kredibiliti Mahkamah Syariah.

"Selain itu, Hakim Mahkamah Rendah Syariah terkhilaf bila gagal pertimbangkan mengenai kesan hukuman pemenjaraan terhadap kerjaya dan keadaan kewangan anak guam saya, selain terkhilaf kerana gagal pertimbangkan fakta bahawa anak guam saya ke mahkamah bukan kerana ditangkap, sebaliknya atas kerelaan sendiri," katanya.

Amli juga berhujah bahawa Hakim Mahkamah Rendah Syariah terkhilaf kerana hanya mengambil kira hukuman kerana berpoligami, tetapi tidak mengambil kira keadaan mengapa perbuatan poligami itu dilakukan, selain turut menganggap bahawa perkahwinan Bung Moktar sebagai satu sindiket.

Zusyarafain pula berhujah hukuman penjara itu wajar dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan Bung Moktar dan menjadi pengajaran kepadanya agar lebih berhati-hati pada masa depan, selain memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan serupa.

Beliau berkata sekiranya hukuman itu tidak dikekalkan, maka semua hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah akan dipandang rendah oleh masyarakat, termasuk bukan Islam selain menggalakkan mereka melanggar undang-undang syariah pada masa depan.

Anggapan peribadi

"Pihak kami turut menegaskan bahawa Hakim Mahkamah Rendah Syariah tidak terkhilaf dalam menjatuhkan hukuman, kerana sebagai anggota Parlimen, adalah tidak wajar perayu tidak tahu prosedur yang perlu dipatuhi sebelum berpoligami, lebih-lebih lagi isu poligami bukan isu kecil (sehingga) menyebabkan perayu terlepas pandang.

"Malahan perkahwinan ini bukanlah yang pertama kali buat perayu, jadi dakwaan bahawa beliau tidak mengetahui asas (berpoligami), tidak boleh diterima.

"Mengenai dakwaan perayu sekiranya hukuman penjara dikenakan akan mendorong lebih banyak kes berpoligami tanpa kebenaran, kami menolak anggapan ini kerana ia hanya anggapan peribadi beliau," katanya.

Zusyarafain juga berhujah bahawa hukuman tersebut akan menyebabkan masyarakat lebih berhati-hati untuk melanggar undang-undang syariah, kerana jika seorang pemimpin boleh dihukum sedemikian rupa, maka tidak mustahil orang biasa menerima nasib yang sama.

"Hakim Mahkamah Rendah Syariah juga tidak salah menganggap bahawa perkahwinan ini satu sindiket kerana ia tidak mengikut saluran yang betul.

"Islam menyarankan supaya perkahwinan diuar-uarkan bagi mengelakkan timbulnya fitnah, dan tindakan menyembunyikan perkahwinan akan memberi kesan negatif kepada masyarakat," katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon agar rayuan Bung Moktar ditolak dan hukuman penjara terhadap anggota Parlimen Kinabatangan itu dikekalkan.


Pemilihan langsung PKR bermula 28 Ogos

Posted: 04 Aug 2010 08:10 AM PDT

S Pathmawathy

Pemilihan secara langsung barisan kepimpinan PKR, akan bermula dengan proses pencalonan di peringkat cabang (bahagian) lewat bulan ini, sebelum mengundi memilih pucuk pimpinan tertinggi parti itu pada 17 September hingga 3 Oktober depan.

Menurut surat pekeliling dari setiausaha agung PKR, 222 cabang di seluruh negara diminta mengemukakan pencalonan mulai 27 Ogos hingga 12 September.

Borang pencalonan akan diedarkan mulai 6 Ogos dan ianya juga boleh diperolehi di pejabat PKR negeri dan di ibupejabat parti di Petaling Jaya Petaling. Borang itu juga boleh dimuat-turun dari lamanweb parti tersebut.

PKR merupakan parti politik pertama melaksanakan pemilihan secara langsung bagi semua jawatan di peringkat cabang serta di peringkat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT), termasuk jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota MPT.

Semua ahli parti yang berdaftar sebelum 27 Jun dibenarkan mengundi bagi 18 jawatan di peringkat cabang - pengerusi, timbalan pengerusi, naib pengerusi serta 15 jawatan ahli jawatankuasa.

Para ahli juga akan mengundi bagi 10 jawatan dalam sayap Wanita dan 20 jawatan bagi sayap Pemuda PKR.

Antara cabang yang menjadi tumpuan ialah Gombak (Azmin Ali), Kuala Selangor (Tan Sri Khalid Ibrahim) dan Kota Raja (Xavier Jayakumar) - yang dijangka menyaksi pertandingan sengit.

Pencalonan mesti dibuat sekurang-kurangnya 21 hari dari tarikh mesyuarat peringkat cabang.

Mesyuarat peringkat cabang juga akan mengemukakan calon untuk bertanding jawatan dalam MPT termasuk presiden, timbalan presiden dan empat naib presiden dan 20 anggota majlis tersebut

Pencalonan untuk jawatan tinggi ditutup pada 10 Oktober. Untuk layak bertanding, pencalonan mesti dibuat oleh sekurang-kurangnya dua cabang.

Dari 29 Oktober hingga 21 November, para perwakilan di peringkat negeri akan mengundi untuk memilih barisan kepimpinan peringkat tertinggi parti itu.

Pada masa ini, jawatan presiden PKR disandang oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala jawatan timbalan presiden disandang oleh Syed Husin Ali.

Pengurusan kes Sivakumar cabar SPR 3 Sept

Posted: 04 Aug 2010 08:09 AM PDT

BERNAMA


Permohonan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V Sivakumar dan enam lagi untuk semakan kehakiman berhubung keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Perak, ditetapkan 3 September depan untuk pengurusan kes.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mohamad Izwan Mohamed Noh menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas mengadakan pertemuan dengan peguam K T Ho yang mewakili Sivakumar dan enam yang lain dan Peguam Kanan Persekutuan Munahyza Mustafa yang mewakili SPR dan tiga responden lain.

Ditanya mengenai perkembangan kes itu, Munahyza berkata mahkamah menetapkan tarikh tersebut kerana peguam memerlukan masa untuk memfailkan afidavit jawapan.

Pada 22 Oktober tahun lepas, tujuh pemohon diberi kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mengenepikan keputusan SPR yang tidak mengisytiharkan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Behrang, Changkat Jering dan Jelapang berikutan wakil rakyat kerusi berkenaan menjadi ADUN bebas.

Mereka adalah Sivakumar, Chen Fook Chye, Tai Sing Ng dan A. Sivanesan serta tiga pengundi Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang).

Dalam permohonan semakan kehakiman itu mereka menamakan SPR dan tiga wakil rakyat - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Datuk Hee Yit Foong (Jelapang) selaku responden.

Mereka mahu mahkamah mengeluarkan surat perintah memaksa SPR mengisytiharkan kerusi itu kosong berikutan berikutan peletakan jawatan wakil rakyat itu dan satu perintah injunksi untuk menghalang ketiga-tiga mereka bertindak, menjalankan dan melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas-tugas sebagai ADUN.

Mereka juga turut memohon writ bersifat 'quo warranto' dikeluarkan kepada ketiga-tiga ADUN itu dengan memerintahkan kesemua mereka memberikan tunjuk sebab bagaimana kesemua mereka masih ADUN kawasan masing-masing dan bertindak menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai wakil rakyat.

Jamaluddin dan Osman memenangi kerusi DUN atas tiket Parti Keadilan Rakyat manakala Hee atas tiket DAP pada pilihan raya umum 2008.

Mereka kemudiannya meninggalkan parti masing-masing dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional sehingga mendorong kejatuhan kerajaan negeri pakatan pembangkang PAS-PKR-DAP pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.


Haram Youtube: Bukan kerana lucah, tapi sesak

Posted: 04 Aug 2010 08:05 AM PDT

Jimadie Shah Othman

Universiti Sains Malaysia (USM) menjelaskan tindakannya menyekat laman perkongsian video popular YouTube di kampusnya bukanlah kerana berlaku salah guna bagi tujuan pornografi, sebaliknya ekoran kesesakan dalam talian.

Timbalan pendaftar USM Mohamad Abdullah berkata secara umumnya penyalahgunaan internet bagi tujuan melayari laman lucah tidak lagi berlaku di universiti kerana mahasiswa kini semakin matang.

"Dulu benar orang gila (laman lucah). Tetapi sekarang orang sudah tidak peduli.

"Lagi pun di Pulau Pinang ini, VCD (lucah) berlambak. Buat apa dia hendak tengok di internet," katanya ketika ditanya kewajaran tindakan USM menyekat beberapa laman tertentu.

Sebelum ini, seorang pengarah filem Amir Muhammad (kanan) secara sinis menulis dalam laman Twitter beliau, mengajak pengguna laman blog mikro itu berkongsi pendapat tentang "regim autokratik di mana YouTube diharamkan."

Beliau antaranya menamakan tempat terbabit, iaitu, China, Burma dan USM.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohamad menjelaskan USM tidak berniat langsung mengharamkan atau menyekat mana-mana laman.

"Cuma kadang-kadang mereka gunakan YouTube untuk download (muat turun video)," katanya sambil menegaskan penggunaan internet terlalu besar di kampus terbabit.

"Kita terpaksa sekat supaya urusan rasmi (menggunakan internet) tidak terganggu."

Diskaun bumi: Laporan polis terhadap Tony Pua

Posted: 04 Aug 2010 07:55 AM PDT

BERNAMA


Pemuda Umno Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua daripada DAP berhubung cadangannya bagi memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera ntuk pembelian hartanah kerana menganggap cadangan itu berbahaya.

Laporan itu dibuat oleh ketua penerangan Pemuda Umno Selangor Safarizul Mustafa di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di ibunegara pada 11 pagi.

Bercakap kepada pemberita, Safarizul menyifatkan cadangan itu sebagai berbahaya, sensitif dan berbentuk provokasi serta cuba menimbulkan bibit benci dan rasa tidak puas hati terhadap dasar pentadbiran negara ini.

"Beliau jelas mencabar dan mempersendakan peruntukan undang-undang... cadangan yang dikemukakan beliau merupakan permainan politik yang berbahaya kepada kedudukan masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara ini.

"Saya membuat laporan ini supaya polis boleh mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang cuba menggugat kestabilan dan keharmonian rakyat," katanya.

Pada 26 Julai lalu, Pua mencadangkan supaya kerajaan Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun tujuh peratus kepada pembeli Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersil dan kediaman mewah yang bernilai lebih RM500,000.


Kes Anwar: Gore, Wolfowitz mahu US campurtangan

Posted: 04 Aug 2010 07:49 AM PDT

MALAYSIA KINI


Dua bekas 'orang kuat' Amerika Syarikat menggesa kerajaan mereka campur tangan dalam kes perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berlangsung.

Menurut mereka, perbicaraan itu bukan hanya mengancam Anwar tetapi "semua rakyat Malaysia yang bergelut memperjuangkan negara yang lebih bebas" dan menggesa pentadbiran Presiden Barack Obama untuk campur tangan.

"Kami faham berdasarkan pengalaman, isu sensitif seperti ini sebaik-baiknya ditangani secara senyap oleh kerajaan dengan kerajaan.

"Namun, masa semakin suntuk. Detik kebenaran semakin hampir," kata bekas naib presiden Amerika, Al Gore (kiri) dan bekas timbalan setiausaha pertahanan, Paul Wolfowitz dalam satu rencana pendapat bersama yang disiarkan di Wall Street Journal.

Pentadbiran Obama sebelum ini pernah dibidas kerana membisu berhubung perbicaraan Anwar kerana polisinya untuk berbaik dengan negara-negara Islam.

Kedua-dua Gore dan Wolfowitz (kanan) mengakui mereka mempunyai pendapat yang berbeza sesama mereka, termasuk dengan Anwar dalam banyak perkara termasuk berhubung dasar antarabangsa.

Bagaimanapun mereka yakin bahawa Anwar "komited memperjuangkan nilai-nilai pluralism, toleransi dan kebebasan yang diperlukan oleh Malaysia untuk berkembang."

Mereka juga berkeyakinan ketua pembangkang itu juga mempunyai kualiti positif sebagai pemimpin, negarawan dan juga kebolehan intelektual.

"Kualiti lain termasuk telus dan terbuka untuk perbahasan, komited terhadap prinsip kebertanggungjawapan dan urus tadbir yang baik serta serius mengenai masa depan negaranya dan juga dunia - juga tidak dilupakan keberanian luar biasanya memperjuangkan apa yang dipercayainya."

Atas alasan itu, Gore dan Wolfowitz berkata mereka mahu Obama campur tangan kerana dakwaan liwat yang dihadapi oleh Anwar untuk kali kedua "direka" kerana usahanya memperjuangkan reform sosial dan politik.

Menurut mereka, seperti dakwaan liwat pertama yang dilemparkan ke atas Anwar, 10 tahun lalu, perbicaraan kali kedua - selepas pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan prestasi cemerlang pembangkang yang menafikan majoriti dua pertiga kerajaan di Parlimen - kali ini juga mempunyai ciri-ciri manipulasi politik.

Lojing jadi jajahan kecil mulai esok

Posted: 04 Aug 2010 07:47 AM PDT

Mohd Nor Yahya

LOJING (Gua Musang): Tanah Tinggi Lojing yang terkenal dengan kawasan hawa sederhana sejuk mulai esok akan dikenali sebagai Jajahan Kecil Lojing.

Kawasan ini yang terletak berhampiran Cameron Highlands juga terkenal dengan tanaman sayur-sayuran.

Kini semakin pesat membangun selepas siapnya jalan raya timur barat kedua menghubungkan Simpang Pulai, Perak dengan Gua Musang.

Kawasan berkenaan juga sekarang terdapat Pejabat Tanah dan Jajahan baru, pejabat Jabatan Perhutanan dan beberapa lagi pejabat milik agensi lain.

Kalau sebelum ini untuk sampai ke Lojing perlu melalui Tapah, Perak dan Cameron Highlands, Pahang terlebih dahulu sehingga mengambil masa sehari.

Namun sekarang perjalanannya ke Lojing kira-kira dua jam dari bandar Gua Musang.

Esok satu sejarah akan tercatat apabila Lojing akan diisytiharkan sebagai jajahan kecil oleh Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dengan adanya lebih banyak pejabat kerajaan di Lojing, pembangunan tanah di kawasan ini diharap lebih terkawal.

"Kita perlu memastikan hawa sederhana sejuk di sini terus kekal. Kerajaan negeri tidak mahu akibat pembangunan tidak terancang menyebabkan suhunya berubah.

"Saya sukacita dengan perkembangan yang berlaku sekarang apabila Lojing dinaik taraf menjadi jajahan kecil," katanya ketika ditemui selepas raptai majlis pengisytiharan jajahan kecil Lojing di sini, hari ini.

Sebelum itu Menteri Besar dan anggota-anggota Exco mengadakan mesyuarat mingguan Exco di Pusat Tanaman Kekal, Lojing.

Rombongan Menteri Besar dan Exco serta pegawai kanan kerajaan negeri berada di Lojing sejak petang semalam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, penjagaan alam sekitar cukup penting bagi memastikan cuaca tidak berubah dalam masa panjang.

Difahamkan baru-baru ini kerajaan negeri melantik seorang pegawai tadbir negeri, Nik Ab Rahman Nik Yusof sebagai Ketua Jajahan Kecil Lojing.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik cadangan membenarkan perempuan bawah umur 16 tahun berkahwin tetapi memerlukan pemantauan.

"Islam memang menggalakkan kahwin awal, cuma perlu pemantauan sebagai langkah mengelakkan berlaku krisis rumah tangga dan cerai," ujarnya.

Kerajaan Melaka semalam dilaporkan memberi kelonggaran bernikah kepada pelajar lelaki bawah umur 18 tahun perempuan bawah 16 tahun bagi mengelakkan pelajar hamil.

Minda rakyat perlu dimerdekakan

Posted: 04 Aug 2010 07:45 AM PDT

Mohd Ali Hashim

SEBERANG JAYA: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyarankan supaya minda rakyat dimerdekakan terlebih dahulu daripada terus dikongkong sebelum erti kemerdekaan sebenar dapat dihayati dan diresapi dalam sanubari.

Beliau juga berkata minda rakyat perlu dimerdekakan dari dizalimi dan disekat oleh hanya satu pandangan yang diseragamkan sebelum ianya dapat mencapai tahap kemerdekaan sebenar.

"Kemerdekaan bukan sekadar kita bebas dari penjajah atau dalam lain ertikata laungan 'Merdeka' sahaja. Namun begitu apa yang perlu dihayati ialah maksud kebebasan dan kemerdekaan bagi memisahkan diri dari ideologi personal, mencabar diri secara intelektual untuk melihat sesuatu isu secara menyeluruh demi mencapai penyelesaian sebenar untuk manfaat semua pihak.

"Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-53 maka adalah diharap rakyat dapat bangkit sebagai satu bangsa bermaruah yang memiliki kekuatan politik dengan didokong oleh penguasaan ilmu bagi mempercepatkan pembangunan negeri, negara dan bangsa keseluruhannya," katanya.

Lim berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri di perkarangan Sunway Carnival Mall, di sini baru-baru ini.

Apa hak Umno nak tentukan kebebasan mahasiswa

Posted: 04 Aug 2010 07:44 AM PDT

Mohamad Izzuddin Hilmi

Kenyataan Datuk Saifuddin Abdullah selaku Timbalan Menteri Pengajian Tinggi bahawa sudah tiba masanya kepada kerajaan untuk menimbang kebenaran membenarkan mahasiswa di negara ini terlibat dalam politik dilihat suatu tindakan menongkah arus.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut ekoran dari peluang yang diberikan kepada guru-guru yang Gred DG41 hingga DG48 untuk bergiat aktif dalam politik. Hal ini dinyatakan dengan jelas oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan beberapa hari sebelum itu.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Datuk Saifuddin yang juga merupakan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan pembabitan mahasiswa dalam politik.

Beliau juga menimbulkan persoalan mengapa tidak kita memberikan peluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian.

Malah wujud juga pandangan dari pihak lain seperti Pergerakan Pemuda Umno agar mahasiswa dan pensyarah di IPT diberi hak yang sama untuk berpolitik.

Namun cadangan tersebut tidak disambut baik oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khaled Nordin. Baginya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) masih relevan.

Beliau yang berpendirian untuk tetap mengekang mahasiswa dari terus terlibat dengan politik menyanggah pendapat beberapa golongan yang ingin memberi kebebasan yang lebih kepada mahasiswa.

Beliau menyatakan bahawa universiti dikhuatiri akan menjadi 'gelanggang politik' sekaligus akan mengundang pelbagai masalah pada masa akan datang.

Pendirian beliau jelas digambarkan melalui alasan yang telah diberikan.

"Kalau kita benarkan kedua-duanya (mahasiswa dan pensyarah) berpolitik, bayangkan jika pelajar itu orang Umno dan pensyarahnya orang PAS, apabila tidak lulus dia akan salahkan pensyarah. Macam-macam boleh berlaku."

Beliau juga mengingatkan bahawa pandangan tersebut perlulah dikemukakan kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno bagi mendapatkan keputusan.

Beliau juga mengatakan biarkan keputusan ini dibincang di peringkat Majlis Tertinggi Umno dan pihak yang tidak berkaitan tidak perlu membuat desakan sebegitu.

Di sini saya ingin pertikaikan.

Siapakah Majlis Tertinggi Umno ini?

Apakah bidangkuasa Majlis Tertinggi Umno menjangkau kuasa meminda atau mentafsir Akta Universiti dan Kolej Universiti yang diluluskan oleh Parlimen?

Mengapa urusan kebebasan mahasiswa harus ditentukan oleh Majlis Tertinggi Umno?

Adakah ada pihak yang beranggapan mahasiswa ini milik Umno sepenuhnya?

Saya inginkan mahasiswa yang bebas. Bebas dari pengaruh mana-mana parti politik luar. Biarkan mahasiswa dengan politik mahasiswa sendiri.

Atas hasrat ingin memberi kelonggaran kepada mahasiswa, Auku 1971 diberi wajah baru dengan dilakukan beberapa pindaan pada tahun 2009.

Pindaan Auku ini dilihat 'modal besar' kepada pihak-pihak tertentu untuk dipuji dengan tindakan toleransi mereka terhadap mahasiswa.

Saya masih tidak nampak apakah perbezaan Auku dahulu jika dibanding Auku yang telah dipinda awal tahun 2009.

Setelah Auku dipinda berlaku pengheretan 2 mahasiswa UM yang dicas di bawah Auku (yang telah dipinda)hanya kerana menjemput seorang Adun Selangor ke Mesyuarat Agung Tahunan PMIUM.

Setelah Auku dipinda juga berlaku 4 orang mahasiswa UKM dituduh di Mahkamah Universiti kerana berada di Hulu Selangor sewaktu kempen pilihanraya berlangsung.

Setelah Auku dipinda juga seorang mahasiswa KUIS ditarik pinjaman PTPTN sebagai tekanan kepada beliau kerana dituduh berkempen di Hulu Selangor.

Di sini boleh tanya adakah pindaan Auku terdahulu hanya kosmetik dan tidak memberi sebarang kesan terhadap Auku itu sendiri?

Dari sudut pandang sisi yang lain, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia berusaha melahirkan produk insan yang hebat dalam pelbagai bidang.

Sistem serta bidang pengajian yang ditawarkan disajikan khas bagi mencapai hasrat tersebut.

Mahasiswa didedahkan dengan ilmu keusahawanan, ilmu kemahiran kendiri (soft skill) dan lain-lain penerapan ilmu yang berguna.

Tetapi malang ilmu politik seakan dianaktirikan dan seboleh mungkin dinafikan daripada mahasiswa.

Ilmu politik bukan hanya tertulis di atas nota-nota atau perlu dijawab sewaktu di dalam peperiksaan, ia perlu lebih dari itu.

Mahasiswa perlu menceburkan diri secara langsung ke arena politik. Kerana itu kebebasan perlu diberikan kepada mahasiswa dan jangan sesekali diugut atau ditakutkan mereka.

Jika benar mahu lahirkan mahasiswa yang segar jiwa dan celik pemikirannya, jangan sesekali dibenakkan mata hati mereka.

Dengan kebebasan, mahasiswa akan berani meneroka sesuatu. Dengan berpolitik mahasiswa akan tahu apakah makna politik yang sebenarnya.

Justeru usaha untuk terus menyekat mahasiswa adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Kementerian Pengajian Tinggi akan terus didesak agar menilai kembali Auku agar memastikannya ia dihapuskan agar akta ini tidak akan menjadi penghalang kepada mahasiswa.

Malah satu cabaran kepada Kementerian agar serius serta ikhlas memberi peluang kepada mahasiswa untuk berpolitik.

Politik mahasiswa adalah politik yang matang.

Mohamad Izzuddin Hilmi, Universiti Malaya.

Air: Selangor sambut baik tawaran Pahang

Posted: 04 Aug 2010 07:17 AM PDT

Harakahdaily

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengalu-alukan tawaran Kerajaan Pahang supaya loji rawatan air dibina di negeri itu seperti yang dikatakan Menteri Besarnya, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Selangor tetap dengan pendirian bahawa projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang dianggarkan berharga lebih RM8 bilion tidak perlu dibina secara terburu-buru kerana yakin bekalan air di Selangor mencukupi sehingga 2019.

Katanya, projek penyaluran air mentah antara dua negeri itu juga sepatutnya boleh ditangguhkan buat sementara waktu sehingga proses penstrukturan semula industri air di Selangor selesai dilaksanakan.

Kerajaan negeri, katanya sangat yakin penangguhan sementara pelaksanaan projek ini tidak akan menjejaskan bekalan air kerana kajian yang dilakukan mendapati bekalan air di Selangor mencukupi sehingga 2019.

Kerajaan Selangor juga, ujarnya sedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk mencari sumber alternatif lain yang tidak memerlukan kos tinggi seperti memproses air hujan, sumber air bawah tanah dan paling utama mengadakan langkah-langkah untuk menurunkan lagi kadar air tidak berhasil (NRW).

Begitupun, tambahnya, Kerajaan Pakatan Rakyat kesal dengan sikap Kerajaan Persekutuan yang sengaja menggunakan isu krisis bekalan air sebagai tekanan kepada Selangor supaya menerima pelan penstrukturan semula industri air yang dicadangkan Persekutuan.

Menurutnya, Kerajaan Selangor percaya pendekatan Kerajaan Persekutuan yang sengaja melengah-lengahkan rundingan itu hanyalah bertujuan melindungi syarikat kroni bukan melindungi kepentingan rakyat.

"Rundingan untuk mengambil alih industri air ini akan terus dilakukan walaupun banyak halangan dikenakan kerana Kerajaan Selangor berpegang kepada prinsip bahawa air adalah hak rakyat dan perlu dikembalikan kepada rakyat," ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pemuda PAS cabar Zambry debat bajet tambahan

Posted: 04 Aug 2010 07:16 AM PDT

Johari Jaafar

IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mencabar Menteri Besar BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk berdebat kerana tindakan terdesak untuk meluluskan Rang Undang-Undang Usul Pembekalan Tambahan (Bajet Tambahan) RM80 juta semalam yang tidak berfungsi dengan baik, di mana-mana sahaja.

Setiausahanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss (gambar) berkata, rakyat perlu mengetahui ke manakah wang rakyat itu dibelanjakan kerana tiada penjelasan bertulis yang lengkap di dalam Dun Perak.

Ini, katanya kerana kelulusan tersebut masih kabur dan tidak dijelaskan dengan tepat, maka pihaknya mempelawa Zambry berada di atas satu pentas bagi memperjelaskan isu tersebut.

"Kenapa perlu takut berdepan dengan rakyat jika merasakan Barisan Nasional (BN) melakukan perkara yang betul?

"Kenapa perlu tipu rakyat dengan berselindung di sebalik Bajet Tambahan tersebut yang bukannya atas kepentingan rakyat. Kenapa menafikan defisit yang sebenar jika kewangan kerajaan negeri stabil?" soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Pihaknya juga merasa malu dengan pencapaian kerajaan Perak di bawah Zambry yang dikatakan hebat dalam ekonomi dan pembangunan rakyat.

Katanya, amat menjelikkan apabila defisit kerajaan negeri lebih merudum berbanding kerajaan negeri lain, apatah lagi jika dibandingkan dengan kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR).

Justeru, katanya Pemuda PAS negeri menunggu tarikh, tempat dan masa yang diputuskan Zambry pada bila-bila masa.

PR Perak sedia berdebat dengan Zambry

Posted: 04 Aug 2010 07:14 AM PDT

Harakahdaily

IPOH: Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak bersedia mengadakan debat secara terbuka dengan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagaimana yang diucapkan pada persidangan Dun, semalam.

"Saya kira ucapan tersebut didengari oleh semua yang berada di dalam dewan dan tercatat dalam hansard sidang yang dipengerusikan oleh seorang yang mengaku sebagai speaker iaitu Ganesan.

"Sebagai Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak dan Ketua Penerangan PAS Perak, saya dengan ini menegaskan kesedian untuk menyahut cabaran Zambry untuk berdebat dengan mana-mana pimpinan Pakatan Rakyat," ujar Drs Khalil Idham Lim (gambar) dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Adun Titi Serong boleh mengatur satu debat yang dimaksudkan sebagai medan untuk memberi peluang kepada Zambry menjawab kononnya fitnah dan pembohongan yang dilakukan oleh pimpinan Pakatan Rakyat di dalam ceramah mereka.

"Yakinnya Zambry dengan tohmahan itu dengan katanya kami kena bertanggung jawab di hadapan Tuhan. Sekiranya itulah dakwaan Zambry, saya mengulangi cabaran Datuk Seri Nizar di dalam dewan semalam, sekiranya dia (Zambry) 'anak jantan' sila sahut cabaran ini dan nyatakan di manakah pembohongan Pakatan Rakyat dalam debat itu," ujarnya.

Katanya, pihak Zambry juga boleh mengatur di mana dan tempat pilihannya sendiri dan pemimpin Pakatan akan datang untuk berdebat.

Baginya, Stadium Perak cukup luas untuk menampung kehadiran semua rakyat Perak dalam debat tersebut, dan bolehlah disiarkan secara langsung dalam media massa BN.

Namun begitu, beliau ingin tegaskan sikap bacul dan penakut BN sebenarnya terserlah dan perlu diketahui oleh rakyat Perak, bermula dengan merampas kuasa dan menafikan demokrasi sehinggalah pada sidang semalam di mana walaupun Zambry berkata suka berdebat namun dia telah menghadkan dewan bersidang sehari sahaja.

Tambahnya, tindakan menghadkan ketua pembangkang untuk bercakap dalam tempoh yang panjang sebagai mana amalan biasa dalam sidang Dun sebelum ini, atau di mana-mana sidang Parlimen dan Dun negeri di Malaysia, adalah menifestasi dari ketakutan BN untuk mendengar segala hujah dan fakta daripada Adun Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, kata ia menggambarkan juga Adun BN tidak mempunyai modal untuk berbahas melainkan memuji dan memuja langkah menambah bajet sebanyak RM80 juta.

"Semuanya Adun BN yang berbahas kelmarin nampaknya dalam nada yang sama dan tidak punya modal," ujarnya lagi.

Bliau menambah, dakwaan Zambry dan Adun BN bahawa Nizar berceramah dalam dewan adalah disangkal.

Andaian tersebut, baginya hanya keluar dari mulut orang yang terdesak dan takut untuk mendengarnya.

Sehubungan itu, beliau menunggu jawapan Zambry dan bersedia untuk berbincang lebih lanjut mengenainya dengan sesiapa sahaja yang mewakilinya bagi menjayakan debat yang dinamakan 'Debat Rakyat, Siapa Pembohong?'.

PAC: Pembelian EMU 6 gerabak ada asas untuk disiasat

Posted: 04 Aug 2010 07:10 AM PDT

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) mendapati isu pembelian 38 unit tren elektrik (EMU) enam gerabak secara runding terus oleh kerajaan, mempunyai asas dan wajar disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) pada sidang media di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, hari ini.

"Setelah meneliti laporan tersebut, PAC mendapati ianya wajar disiasat oleh SPRM kerana kerajaan akan mengalami bayaran perolehan lebih tinggi dari harga asal lebih kurang RM500 juta," katanya yang mendapat makluman mengenai perkara itu daripada PAC.

Turut serta pada sidang media tersebut, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Pesuruhjaya PAS Wilayah, Mohamad Nor Mohamad.

Beliau sebelum ini mendedahkan kemungkinan kerugian ditanggung kerajaan ekoran pembelian itu akhir Jun lalu di parlimen.

Menurutnya, kerajaan didakwa akan kerugian RM500 juta jika membeli 38 unit EMU 6 gerabak secara runding terus dari sebuah syarikat China dengan harga RM1.824 bilion lebih mahal daripada tender asal.

Apa yang mencurigakan beliau adalah apabila syarikat Zhu Zhou Electric Locomotive yang mendapat tender asal pada 2008 untuk membekal 8 unit EMU 3 gerabak, hanya menawarkan harga RM13.725 juta seunit.

Namun selepas Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menetap keperluan baru tahun ini kepada set EMU 6 gerabak, rundingan terus dengan syarikat sama menyaksikan harga meningkat kepada RM48 juta seunit, lebih tiga kali ganda lebih tinggi daripada harga asal.

Harga itu, menurutnya tidak munasabah biarpun setelah mengambil kira pelbagai kos lain yang mempengaruhi seperti inflasi, kadar pertukaran wang asing, peningkatan bahan mentah dan sebagainya.

Lebih pelik katanya, mengikut Penyata Keperluan KTMB, konfigurasi set EMU 6 gerabak tersebut sebenarnya adalah gabungan dua unit set EMU 3 gerabak.

Maka sewajarnya harga tersebut hanya dua kali ganda atau lebih sedikit berbanding set EMU 3 gerabak tersebut.

Lebih malang katanya, harga yang perlu dibayar tersebut tidak termasuk kos selenggaraan, perbaikan dan overhaul (MRO) pakej.

Kerajaan juga bakal mengulangi kesilapan sama seperti kes pembelian General Electric (GE) Blue Tiger lokomotif, yang yang juga tidak disertakan dengan pakej MRO.

"Lebih pelik, tatkala sudah ada laporan serta bantahan ini di parlimen, kerajaan dengan tergesa-gesa memeteraikan perjanjian untuk membelinya.

"Ong Tee Keat sendiri ketika saya tanya, saya kod apa dia kata, " Ini adalah arahan dari Kementerian Kewangan", jelas Dzulkifli.

Umno terus salah guna masjid

Posted: 04 Aug 2010 07:10 AM PDT

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali (gambar) hari ini menyatakan kekesalan di atas sikap double standard Umno menyalahgunakan masjid untuk kepentingan politik murahan mereka.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat turut kesal dengan sikap Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) yang didakwa turut memperkuda Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk menembusi masjid dan surau demi agenda politik mereka.

Beliau merujuk kepada majlis Bicara Pemimpin Besama Rakyat dan Sumbangan Kepada Masjid-masjid dan Surau-surau Zon 3, di Masjid Alam Shah, 2 Ogos lalu.

Berdasarkan kain rentang yang dipamerkan, Lo' Lo' berkata program tersebut adalah anjuran Jawi bersama Umno bahagian Cheras dan bahagian Titiwangsa.

Namun apa yang dikesalinya, program tersebut langsung dilihat bukan kendalian Jawi namun didominasi Umno dari awal hingga ke akhir.

Jelasnya, Umno mendominasi seawal tazkirah Maghrib yang diberikan oleh Ketua Biro Agama Pemuda Umno Cheras Syed Amru, kemudian solat Isyak diimamkan menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, kemudian ucapan Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Alhabsyi dan Pemangku Ketua Umno Titiwangsa, Johari Ghani.

"Majlis ini anjuran Jawi, sudah pasti guna dana Jawi, sumbangan dari peruntukan Jawi, tetapi Umno menguasai dari awal hingga akhir.

"Sebagai wakil rakyat, saya kesal dengan sikap double standard menteri yang memperalat Jawi untuk meluaskan pengaruh politik Umno BN yang telah ditolak rakyat khususnya di Kuala Lumpur," katanya kecewa.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Turut serta pada sidang media tersebut, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Pesuruhjaya PAS Wilayah, Mohamad Nor Mohamad.

Selain itu, beliau selaku Ahli Parlimen kawasan tersebut juga kecewa apabila kehadirannya langsung tidak dipeduli biarpun Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali telah dimaklumkan.

"Saya dimaklumkan oleh ahli kariah, dan terus ke sana. Saya bertanya secara baik kepada Pengarah Jawi, kenapa Umno dilibatkan secara langsung.

"Beliau berkata, tidak mengapa, saya ada bersama... jadi saya kata kalau macam tu, PAS pun nak buat program bersama dengan masjid-masjid...dia kata boleh, buatlah permohonan.

"Mungkin selepas fikir implikasi dari jawapannya dia kata, saya kena fikir dua, tiga kali sebab PAS ni bukan kerajaan," jelasnya menceritakan dialog yang berlaku.

Menurut Lo' Lo', Che Mat sepatutnya sedar bahawa program tersebut diadakan di Titiwangsa yang dimenangi PAS dan juga selaku kerajaan di parlimen itu.

Beliau juga hairan dengan sikap Jawi yang sebelum ini melarang sebarang aktiviti politik dalam masjid, namun kali ini menjemput Umno untuk sama-sama terlibat.

Selain itu, Lo' Lo' menyifatkan Umno Cheras dan Titiwangsa hilang keupayaan dan wajar digelar orang kurang upaya (OKU) kerana terpaksa menempel kepada Jawi dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membuat sebarang program.

Polis yakin tiada pihak ketiga dalam kes kematian bekas ADUN Permatang

Posted: 04 Aug 2010 07:00 AM PDT

BERNAMA

KLANG: Polis yakin tiada pihak ketiga terbabit dalam kes kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) kawasan Permatang, Datuk Abdul Aziz Mohd Noh bersama bekas pembantu peribadinya semalam, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Khalid berkata, siasatan pihaknya hanya menjurus kepada mengetahui motif sebenar tembakan dilepaskan (terhadap mangsa).

"Berdasarkan siasatan awal, tidak ada suspek yang kita nak cari dan kita nafikan ada pihak ketiga berada di tempat kejadian ketika kejadian berlaku.

"Kita sedang dalam proses merakam percakapan saksi dan mengenai ahli keluarga pula kita akan tunggu mereka bertenang dulu sebelum rakaman percakapan mereka diambil," katanya selepas menutup Kejohanan Sepaktakraw Piala Ketua Polis Selangor 2010 di sini, hari ini.

Abdul Aziz, 64, ditemui mati bersama Siti Rohana Ismat, 43, dengan kesan tembakan pada kedua-dua kepala mereka dalam kereta yang dipandu Abdul Aziz yang terbabas di Lebuh raya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh dekat sini pada 11 pagi semalam.

Mengulas desas-desus yang menyatakan bahawa kedua-dua mangsa mempunyai ikatan perkahwinan, Khalid berkata: "Saya tidak mahu komen apa-apa tentang itu, biar kita siasat dulu.

"Kita kena hormati ahli keluarga dan jangan buat apa-apa spekulasi. Perkara yang mungkin membabitkan peribadi kita tidak akan sentuh," katanya.

Beliau berkata, kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihaknya masih menunggu laporan penuh berhubung kejadian itu sebelum mengadakan perbincangan dengan pihak Peguam Negara.

Siti Rohana tiada hubungan istimewa dengan Abdul Aziz: Ibu

Posted: 04 Aug 2010 05:53 AM PDT

BERNAMA

TANJUNG KARANG: "Arwah anak saya bukan isteri kedua Allahyarham Datuk Abdul Aziz Mohd Noh tetapi hanya sebagai seorang kerani dan tiada apa-apa hubungan istimewa antara kedua-dua mereka."

Demikian penjelasan Siti Badariah Ahmad, 62, ibu kepada Siti Rohana Ismat, 43, yang ditemui mati bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Permatang itu semalam.

Beliau berkata, Siti Rohana yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Tanjung Karang mengenali Abdul Aziz, 64, sejak beliau menjadi wakil rakyat di kawasan Permatang.

"Dahulu pun orang ingat dan cakap anak saya ada hubungan istimewa dengan Datuk Aziz tetapi hubungan mereka sebenarnya tidak lebih daripada majikan dengan pekerja sahaja.

"Sebagai seorang kerani, dia mestilah selalu mengikut bosnya untuk menjalankan tugas," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Sungai Gulang-Gulang dekat sini.

Abdul Aziz dan Siti Rohana ditemui mati dengan kesan tembakan pada kepala masing-masing dalam kereta yang dipandu Abdul Aziz yang terbabas di Lebuh raya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh dekat sini pada 11 pagi semalam.

Siti Badariah berkata, tiada sebab bagi arwah anaknya menjadi isteri kedua kepada Abdul Aziz kerana Siti Rohana sudah memiliki segala-galanya termasuk rumah, kereta dan perniagaan sendiri.

Katanya, sejak bercerai dengan Abdul Aziz Hamim, 43, lima tahun lalu, anaknya yang aktif berpolitik terpaksa bekerja keras demi mencari rezeki untuk mereka empat beranak.

"Allahyarham seorang anak dan ibu yang baik serta bertanggungjawab kepada anak-anaknya kerana sanggup bekerja siang malam untuk menyara keluarga," katanya.

Ayah Siti Rohana, Ismat Shafie, 74, berkata arwah anaknya tidak mempunyai sebarang musuh dalam politik mahupun urusan peribadinya.

"Saya juga tidak pernah ambil tahu mengenai urusan peribadi Rohana termasuk hal ehwal politik dan perniagaan butik andaman dan solekan yang diceburinya," kata bekas petani itu.

Beliau juga berkata ketiga-tiga anak Siti Rohana, Izati Natasha, 19, Iliani Nazira, 14 dan Mohd Izat Emir, 9, masih dalam keadaan trauma berikutan kematian ibu mereka.

Bankrap, Bankrap, Bankrap

Posted: 03 Aug 2010 11:52 PM PDT


SUARA KEADILAN

Kita tidak pernah terbayang Malaysia akan bankrap. Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sendiri. Bukannya di pihak Pakatan Rakyat (Pakatan). Hanya ada sembilan tahun lagi, iaitu pada 2019 sebelum negara ini dikatakan akan muflis.

Kenyataan tersebut harus dipandang serius, walaupun ia pada mulanya untuk menakut-nakutkan rakyat agar bersetuju ditarik balik subsidi. Seakan-akan tidak ada cara dan kaedah lain untuk menyelamatkan negara daripada bankrap, kecuali hanya dengan menarik semula subsidi untuk rakyat.

Di sebalik kenyataan tersebut, apa yang berlaku ialah kerajaan yang tahun demi tahun mengambil sejumlah besar daripada pendapatan dan keuntungan Petronas.

Usul yang dibentangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat ditolak atas alasan ia tidak perlu dibahaskan segera.

Fakta pun dikemukakan; pertama, penurunan jumlah keuntungan yang berkurangan wajar dibimbangi.

Tahun lalu, syarikat petroleum ulung negara ini mencatat keuntungan lebih RM50 bilion dan tahun ini, jumlahnya menurun kepada sekitar RM40 bilion. Penurunan sebanyak sekitar RM10 bilion.

Di saat keuntungan yang berkurang-an, jumlah yang dipaksa diserah kepada kerajaan terus pula meningkat. Tahun lalu sahaja, lebih RM70 bilion terpaksa diserahkan kepada kerajaan bagi menampung belanjawan negara.

Dalam masa yang sama anehnya, defisit belanjawan tetap sahaja meningkat sehingga mencecah lebih 15 peratus.

Bukan pertama kali wang Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) digunakan atas alasan menyelamatkan ekonomi negara. Masih segar diingatan kita bagaimana wang Tabung Haji, Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beberapa GLC lainnya juga pernah digunakan sewaktu Malaysia menghadapi krisis ekonomi 1998 dahulu.

Seakan-akan GLC-GLC ini tujuannya untuk menampung ketidakkecekapan dan ke-gagalan kerajaan mengurus dan memacu ekonomi secara keseluruhan.

Tentulah dalam skop lebih besar, kesemua GLC tersebut pasti sukar untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa dan mencatat keuntungan lebih besar. Psikologi dan semangat para pegawainya juga akan terganggu apabila di hadapan mata, hasil titik peluh mereka dipunggah ke Pejabat Menteri Kewangan dengan begitu mudah.

Malah, Petronas dilaporkan hanya melabur sekitar 30 peratus daripada keuntungannya untuk meneroka telaga-telaga minyak baru. Jumlah tersebut jauh terlalu kecil jika dibandingkan dengan syarikat petroleum lainnya seperti Shell yang menggunakan sekitar 70 peratus bagi tujuan yang sama.

Bagi saya, semua ini mengesahkan lagi kenyataan Idris bahawa Malaysia memang menuju bankrap. Malang seribu kali malang andai di dalam keadaan getir dan genting sebegini, apa yang dinamakan 'subsidi kepada rakyat' mahu ditarik semula, dan apa yang dinamakan sebagai 'insentif kepada syarikat kroni' tetap tidak disentuh dan mahu dikekalkan.

Apabila akhbar Suara Keadilan menerbitkan berita Felda yang berhadapan dengan masalah sama, akhbar itu pula diganggu dan digantung tidak bertali.

Permit akhbar tidak disambung semula sehingga detik ini.

Nampaknya ini adalah tanda-tanda awal pilihan raya umum (PRU) yang semakin hampir. Bagi parti pemerintah, mereka nampaknya memang perlu mengekang suara pembangkang.

Memang sejak lebih 50 tahun, parti pemerintah yang ada mengamalkan cara pembodohan ke atas rakyat untuk kekal berkuasa.

Perkiraan kali ini berbeza. Perkiraan kita kali ini adalah untuk menyelamatkan sekian banyak syarikat milik rakyat yang sediakala parah, dan menjelang PRU akan datang, antara tugas penting kita ialah menyelamatkan negara daripada muflis dan bankrap.

Kita hanya ada peluang sekali ini sahaja. Dari tanah suci Kota Mekah, ke hadrat Allah SWT saya berdoa agar negara kita disimpang dan diselamatkan daripada bankrap. Amin...

Pakatan Rakyat Desak Rombak Sistem Lantikan Peguam Negara, Hakim

Posted: 03 Aug 2010 10:58 PM PDT

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Transparency International (TI) Malaysia, Senator Tunku Abdul Aziz mencadangkan agar kerajaan mempertimbang dan mengkaji untuk membuat pindaan berkaitan pelantikan Peguam Negara.

Menurut beliau kaedah pelantikan Peguam Negara yang diamalkan masa kini mewujudkan prasangka diminda rakyat bahawa dibuat bermotifkan politik dan pilihan calon menurut kehendak siapa yang berkuasa dan bukannya berdasarkan kelayakan serta keyakinan orang ramai.

"Fungsi Peguam Negara adalah untuk memberikan nasihat kepada kerajaan berkenaan isu-isu Perlembagaan. Urusan pendakwaan pula patut dijalankan oleh Pejabat Pendakwa Raya Am yang diketuai oleh seorang Pengarah.

"Jadi tidak timbul perkara seperti mana sekarang ini di mana kes dibuang dan gagal di bawa ke mahkamah atas arahan Peguam Negara," kata Tunku Abdul Aziz selepas sesi perbahasan untuk meluluskan Rang Undang-undang Anti Pemerdagangan Orang (Pindaan) 2010 di lobi Parlimen semalam.

Beliau memberikan contoh pemisahan peranan seperti ini dilaksanakan di Britain di mana fungsi Peguam Negara adalah berbeza dengan Pejabat Pendakwa Raya Am yang dibentuk oleh satu pasukan atau panel profesional untuk memerhati dan memantau setiap kes dan perjalanan perundangan.

"Bermakna kuasa Pengarah Pendakwa Raya Am ini tidak mutlak. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya membuang kes dengan alasan kekurangan bukti atau saksi, kerana ada satu pasukan yang turut bersamanya," jelas beliau lagi yang merupakan Naib Presiden DAP.

Beliau turut menggesa kerajaan Malaysia supaya berani melakukan perubahan dan reformasi, terutamanya membabitkan institusi penting seperti sistem perundangan dan kehakiman.

Ini berikutan persepsi rakyat dan masyarakat antarabangsa yang semakin memberikan kesan terhadap imej negara.

Tunku Abdul Aziz berkata salah satu perubahan penting yang perlu dilakukan ialah berhubung sistem pelantikan para Hakim.

Prosedur sekarang menurut Tunku Abdul Aziz didakwa bersifat kontroversi apabila semua pemilihan dan lantikan hakim dibuat secara langsung oleh badan eksekutif.

"Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan kerana memperkenalkan bil yang dijangka akan menjadi undang-undang bagi menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim. Pindaan ini merupakan halatuju yang betul kerana sebelum ini, apabila orang bercerita tentang pelantikan Hakim, ia menjadi cerita-cerita jenaka yang sinikal," kata beliau

Tunku Abdul Aziz berkata langkah tersebut sekurang-kurangnya mampu memberikan kesan positif terutamanya kepada sektor perniagaan untuk kembali yakin dan melabur di Malaysia.

Beliau menjelaskan apa yang diinginkan oleh rakyat Malaysia ialah sebuah sistem kehakiman yang meyakinkan dan berfungsi untuk melindungi kepentingan setiap warganegaranya.

Ini kerana pelantikan hakim yang adil, profesioanal dan bebas diperlukan untuk memartabatkan kedaulatan undang-undang di negara ini.

Iskandar Malaysia tarik pelaburan RM60.1 bilion

Posted: 03 Aug 2010 10:57 PM PDT


iskandar malaysia Wilayah pembangunan terbesar di Asia Tenggara menjelang 2025

Oleh Zainal Abidin Nor

PETALING JAYA: Iskandar Malaysia, seluas 2,217 kilometer persegi atau 547,830 ekar, yang terletak di selatan Johor berjaya menarik pelaburan bernilai RM60.1 bilion sehingga Jun 2010.

Sehingga ini sebanyak 40 peratus dari nilai pelaburan tersebut telah pun berjalan kerja-kerja pembangunan bagi mentransformasikan wilayah pembangunan seluas tiga ganda Singapura itu, menjadi sebuah wilayah metropolis yang berdaya tahan bertaraf antarabangsa.

"Kebanyakan pelabur yang datang memberi komitmen untuk melabur dan menjalankan usahasama membangunkan wilayah itu ialah mereka dari Singapura dan Timor Tengah, di samping pelabur tempatan," kata Naib Presiden (Ekonomi dan Perniagaan) IRDA, Md Eharay Abd Majid kepada FMT hari ini.

IRDA ialah singkatan kepada Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar, sebuah perbadanan milik kerajaan yang ditugaskan sebagai Perancang Utama dan pemilik tanah Iskandar Malaysia.

Katanya, "Para pelabur tempatan termasuk sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti UEM Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad, Gamuda Berhad, Mulpha International Berhad, WCT Engineering dan banyak lagi."

Eharay berkata, menjelang tahun 2025 nanti, Iskandar Malaysia bakal menjadi sebuah kawasan pembangunan untuk kediaman, perniagaan, hab makanan, pusat kewangan, hiburan dan riadah yang terbesar di Asia Tenggara dengan mempunyai tiga juta penduduk.

Ditanya mengenai prospek pembangunan sedangkan Malaysia mengalami kelembapan ekonomi ekoran belum pulih sepenuhnya dari kemelesetan ekonomi global, beliau berkata,

"Iskandar Malaysia, tidak sama seperti projek lain yang merupakan "one off project" tetapi pembangunan di wilayah ini melibatkan jangka masa yang panjang.

Beliau juga menolak dakwaan setengah pihak yang menyatakan Iskandar Malaysia gagal menarik para pelabur asing kerana Malaysia sendiri mengalami kemerosotan pelaburan langsung asing (DFI) yang begitu ketara pada kadar penurunan 81 peratus pada 2009 berbanding tahun sebelumnya.

"Dakwaan setengah-setengah pihak bahawa Iskandar Malaysia akan menjadi sebuah lagi projek "gajah putih" kerajaan, juga tidak benar, kerana wilayah ini sedang menyaksikan aktiviti-aktiviti pembangunan seperti perumahan, infrastruktur, pusat membeli belah dan sebagainya dengan agak pesat," jelas beliau.

Pembangunan lima zon

Menurut Eharay, Wilayah tersebut terbahagi kepada lima zon iaitu Zon A, B, C, D dan E.

Zon A meliputi Pusat Bandar Johor Bahru yang akan menyaksikan Pembangunan Berdepan Pantai (waterfront), Daerah Perniagaan Utama, Zon Warisan dan Tambak Malaysia-Singapura.

Nusajaya Malaysia ditugaskan untuk membangunkan Zon B yang meliputi pembangunan Kota Iskandar, Puteri Harbour, Educity, Afiat Healthpark, Medini (termasuk Daerah Kewangan Iskandar dan Legoland), Destinasi Resort Antarabangsa dan SiLC Nusajaya.

Zon C meliputi Pembangunan Pintu Barat termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas, Lebuhraya Lingkaran Kedua, Zon Perdagangan Bebas dan Taman Warisan Ramsar.

Sementara Zon D pula meliputi Pembangunan Pintu Timur termasuk Pelabuhan Pasir Gudang, Kompleks Industri Tanjung Langsat dan Pusat Pengagihan Serantau Kim-Kim.

Zone E dikenali sebagai Kulaijaya iaitu Lapangan Terbang Kulai, Taman Teknologi Tinggi Senai, Pusat Multimedia Senai dan Pusat Perniagaan Berjenama Tinggi.

Salah sebuah syarikat yang bergantung kepada pembangunan jangka panjang dan berdaya tahan di wilayah itu ialah pemaju hartanah yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Dijaya Corporation Berhad.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat itu, Tan Sri Danny Tan Chee Sing melahirkan keyakinan projeknya, Danga Bay bernilai RM3.8 bilion akan mendapat sambutan daripada pelabur dan pembeli.

"Selain dari kedudukan projek "waterfront" yang mendepani Singapura, kedudukannya yang hampir dengan negara pulau itu memberi kelebihan kepada projek ini," katanya pada sidang media pada majlis menandatangani perjanjian jual beli dua bidang tanah seluas 14.97 hektar di Danga Bay bernilai RM308 juta.

Tan berkata, "ini adalah masa yang sesuai untuk kami datang ke Iskandar Malaysia memandangkan terdapat perkembangan tentang pertumbuhan ekonomi di koridor sebelah sini sejak ianya dilancarkan.

Tanah-tanah itu dibeli oleh Goldhill Quest Sdn Bhd – pada nisbah 60:40 usahasama di antara Nagasari Cerdas Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh Dijaya Corp) dan Global Corporate Development Sdn Bhd, yang dimiliki 100 peratus oleh Iskandar Waterfront Sdn Bhd.

BN Setuju Pengerusi PAC Selangor

Posted: 03 Aug 2010 10:55 PM PDT


khir20toyo_61 Oleh Rahmah Ghazali dan Syed Jaymal Zahiid

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor berubah fikiran, kini bersetuju dengan tawaran Pakatan Rakyat (PR) untuk jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) negeri itu.

Walaupun sebelum ini mereka menolak jawatan itu, bekas menteri besar Dr Mohd Khir Toyo dalam wawancara terkini dengan FMT berkata, "BN melihat perkara ini dengan fikiran terbuka tetapi dengan beberapa syarat."

Sidang Dewan Undangan Negeri, melantik Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) pada hari terakhir untuk menerajui PAC tetapi beliau dan rakan-rakan dalam BN menolak pelantikan itu.

Menyifatkan langkah ini sebagai dorongan politik, Shamsuddin berkata, beliau menolak pelantikan itu kerana beliau ingin mempertahankan integriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN.

Tetapi sekarang, Khir sebagai ketua pembangkang BN dalam dewan dilihat telah berubah nadanya walaupun mengambil sikap berhati-hati.

"Kami mempunyai dua pilihan. Pertama, apa yang kami boleh lakukan ialah Shamsudin boleh menolak jawatan itu. Kedua, beliau boleh mencuba.

"Jika beliau tidak mendapat kerjasama yang baik daripada ahli-ahli PAC yang lain dari kerajaan negeri maka beliau harus melepaskan jawatan itu," katanya.

BN berada dalam keadaan serba salah sejak pelantikan itu dibuat kerana mereka dianggap menghina dewan jika menolak pelantikan itu.

"Jika kami menolak pelantikan itu, dewan boleh mengambil tindakan terhadap Shamsudin dan beliau boleh digantung, saya kira, tidak kurang dari enam bulan.

"Tapi memaksa seseorang untuk menerima jawatan adalah sesuatu yang lucu," beliau menambah, bagaimanapun BN belum lagi membuat keputusan tentang hal itu.

'Teng tidak beritahu komponen Jawatankuasa'

Khir, yang pada mulanya menyokong pelantikan itu ketika bermesyuarat dengan Speaker Teng Chang Kim telah menukar fikiran apabila beliau diberitahu "sebab yang sebenar" dibelakang pelantikan itu.

Menurut beliau, Teng tidak menjelaskan secara terperinci tentang pelantikan itu termasuk komponen Jawatankuasa, hingga menyebabkan beliau meluluskannya.

Beliau hanya diberitahu oleh rakannya mengenai keputusan dewan melantik hanya dua Adun BN berbanding tujuh Adun dari kerajaan negeri.

"Saya tahu Teng menyatakan saya menyokong langkah ini apabila saya diberi tahu tentang pelantikan ini. Tapi beliau tidak menyebut apa-apa tentang komponen ahli-ahli pada ketika itu.

"Jadi apabila saya berbincang dengan rakan-rakan BN, mereka kesemuanya menentang cadangan itu dan menganggapnya sebagai "politik berisiko tinggi," kata Khir, menambah beliau telah memaklumkan perkara ini kepada Teng.

"Tapi beliau (Teng) berkata, ini merupakan amalan Komanwel. Selepas saya periksa hanya England mempratikkannya dan malahan mereka mempunyai tujuh pembangkang dan sembilan dari kerajaan dalam Jawatankuasa itu dan pembangkang sebagai ketua," katanya.

Senapang tidak ada peluru

Khir juga mengambil kesempatan untuk mengutuk kerajaan negeri kerana "berlakon secara pelik" dalam proses pelantikan.

"Ini sesuatu yang melucukan, seolah-olah mereka mempermainkan kami. Kami (dalam BN) tidak boleh membuat kata putus (kerana kami tidak mempunyai majoriti) dan tidak boleh memeriksa secara adil.

"Jika mereka betul-betul hendak memberi kuasa kepada pengerusi, maka mereka harus memberi kami majoriti," katanya.

Beliau mengibaratkan langkah ini sebagai "kami diberi senapang tapi tidak ada peluru" atau "kami diberi meriam tanpa bahan peletupnya."

"Mereka memberi kami kuasa tapi tidak memberi kekuatan. Tidak ada bezanya sekiranya hanya ada dua wakil BN." tambahnya.

Tarik balik pekeliling halang pilihan raya pelajar – Lau

Posted: 03 Aug 2010 10:52 PM PDT


lau weng san_250_220 Oleh Rahmah Ghazali

SHAH ALAM: Kementerian Pelajaran digesa menarik balik pekeliling menghalang pilihan raya di adakan di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah dan tindakan itu disifatkan sebagai komunis dan kuku besi.

Ketika membuat gesaan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku Lau Weng San berkata, langkah itu hanya akan membantutkan proses demokrasi yang diamalkan di negara ini.

"Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Kita bukan sebuah negara komunis. Kita mempraktikkan demokrasi berparlimen dan para pelajar kita perlu dididik dengan semangat ini," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Dalam satu surat pekeliling bertarikh 12 Februari, Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Alimuddin Dom berkata, pilihan raya yang diadakan untuk melantik para pemimpin pelajar tidak sesuai didedahkan kepada para pelajar kerana keputusannya bergantung sepenuhnya kepada guru besar atau di tangan pengetua sekolah.

Beliau menyebut bahawa kementerian sedar setengah sekolah di negara ini menggunakan sistem undi untuk melantik pemimpin pelajar pada sesi awal bermulanya persekolahan.

Lau juga berkata, keputusan dibuat berdasarkan pertemuan awal dengan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga timbalan perdana menteri.

Pandang dari sudut yang lain Lau bagaimanapun berkata, sistem pilihan raya ini boleh membantu pelajar-pelajar menjadi lebih berdikari dan lebih matang terutama apabila ketika membuat keputusan.

"Para pelajar ini harus diberi peluang untuk melantik pemimpin mereka sendiri kerana telah mempraktikkan sistem ini sejak sekian lama dan saya tidak fikir ia boleh membawa masalah yang besar kepada pihak sekolah," katanya. Kenapa "double standard"?

Lau mempersoalkan langkah kerajaan untuk membenarkan guru-guru sekolah menjadi aktif dalam politik tetapi sebaliknya para pelajar dilarang.

"Apa rasional di belakang keputusan ini? Dan bagaimanakah kerajaan persekutuan memberi kelonggaran kepada guru-guru supaya aktif dalam politik?", soal beliau.

Adalah pelik jika pengetua atau gurubesar dan bukan para pelajar sendiri yang melantik pemimpin-pemimpin pelajar," kata Lau.

"Adalah menjadi kebiasaan bagi mereka melalui proses pilihan raya dalam sistem pendidikan sekolah," katanya.

Beliau juga meragui keputusan tentang pemilihan yang dibuat oleh pihak berkuasa sekolah, berhujah dengan menyatakan pemimpin-pemimpin yang dipilih bermungkinan bukan disukai oleh majoriti pelajar.

"Saya fikir mereka mahu melantik wakil-wakil pelajar yang menyokong kerajaan," tambahnya.

Giliran Pakatan ‘Selamatkan Selangor’

Posted: 03 Aug 2010 10:46 PM PDT

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Selepas kempen pusingan pertama 'Selamatkan Selangor' oleh UMNO tamat Ahad ini, tiga hari kemudiannya giliran Pakatan Rakyat pula membuat serangan balas bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan dalam 18 siri ceramahnya.

Menariknya, penerangan balas kerajaan Pakatan melalui Skuad Komunikasi Selangor (SKS) akan dimulakan pada hari pertama umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan – dijangka 11 Ogos.

Pada masa yang sama, UMNO – melalui Sekretariat Selamatkan Darul Ehsan (SSDE) – pula memilih berehat sepanjang bulan yang mulia itu sebelum menyambung semula kempen fasa kedua nya selepas hari raya Aidilfitri yang dijangka pada pertengahan September.

"Kita (Pakatan) akan mulakan kuliah di masjid-masjid seluruh Selangor. Kita akan edarkan risalah penerangan.

"Paling kurang pun, kita minta buat tazkirah sekurang-kurangnya 30 minit," kata Pengarah Penerangan Selangor, Dr Badrul Amin Bahron.

Katanya pihaknya memilih membuat penerangan di masjid-masjid sepanjang bulan Ramadan memandangkan pada masa itu ramai umat Islam berkumpul bagi beribadat.

Tiada ulasan: