Jumaat, 16 Julai 2010

shalehudin

shalehudin


Pak Long Langgar Nik Aziz? Kesian Muhyiddin... kah... kah...

Posted: 16 Jul 2010 08:48 AM PDT

Sumber: Pak Long

Projek langgar Nik Aziz

Salam semua...

Mak Long hang merungut sepanjang jalan, dari kedai Wa Mat sampai la kerumah. Pak Long tak berapa perasan sangat pasai apa. Mati mati Pak Long ingatkan pasai Wa Mat juai barang mahai, ya la dah guna harga baru. Rupanya dak, Mak Long hang suka harga barang naik.

Mak Long hang cuma merungut kat Pak Long pasai kelaku Nik Aziz tu. Yang Muhyiddin dah setuju nak bincang ngan Pas, bukan calang calang kaki pulak tu yang setuju. Muhyiddin tu orang nombor dua Umno. Kata dia boleh pakai punya, bukan jenih cakap macam ulama ulama muda tuh. Tapi tu dia la, ada ka Nik Aziz pi kata boleh jumpak tang mana saja tapi tak mau cakap politik.

Ini yang Mak Long hang marah tu. Nik Aziz buat lawak. Ada ka orang politik berjumpa tak mau cakap politik? Yang setahu Mak Long hang la, orang politik ni bukan saja cakap cakap depa tu cakap politik tapi kentut depa pun bunyi politik.

Tapi keadaan Mak Long hang la ni dah tenang sikit, dah okey sikit. Pak Long dah ayat Mak Long hang, bagi dia cool. Nik Aziz maksudkan politik tu politik cara Islam. Dah BN tak amal politik cara Islam, jadi tak payah bincang pasai politik lah. Bincang buat apa kalau dah Pas politik Islam tapi Umno politik dua alam?

Kalau ikut Mak Long hang tadi ni, mau dia terbang pi Pulau Melaka buat projek langgar Nik Aziz, fuhhh...

Wassalam...

Yeahh... Idris Jala betoi

Posted: 16 Jul 2010 07:38 AM PDT

Mana dia menteri yang kutuk Idris Jala tuh, mana dia Berahim Ali? Mai sini biaq kami ludah muka tuh...

Barang naik: Benar dakwaan Idris Jala


Mohd Sabri Said
PULAU PINANG, 16 Julai: Tindakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) menaikan harga minyak dan gula mulai semalam mengesahkan kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala bahawa negara boleh 'bankap' pada tahun 2019 sekiranya kerajaan tidak bertindak cepat memotong subsidi beberapa barangan keperluan rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau PInang, Rosidi Husein berkata langkah drastik itu terpaksa dibuat kerajaan Umno BN demi menyelamatkan keadaan ekonomi negara yang kian mengucup walaupun ada menteri masih mempertahankan ekonomi negara berkembang ke tahap yang menyakinkan.

"Apa yang diperkatakan oleh Idris Jala betul dan tidak boleh dinafikan. Untuk mengelak daripada berlaku kejadian yang buruk itu kerajaan terpaksa melakukanya mulai sekarang bukan menanti saat mencemaskan," ujarnya ketika diminta mengulas kenaikan barangan terpenting itu.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak juga kelihatan tidak berani memberi ruang kepada Ahli Parlimen untuk berbahas mengenai isu kenaikan harga minyak dan barangan lain sebaliknya mengistiharkan kenaikan selepas sahaja persidangan Parlimen selesai.

Sikap itu membuktikan apa saja yang kerajaan buat akhirnya untuk menyelamatkan kroni tanpa mengambil tahu kemarahan rakyat di peringkat akar umbi.

"Rakyat harus memikirkan kenaikan tersebut kerana kenaikan harga minyak pasti membuatkan harga keseluruhan barangan keperluan seharian termasuk harga makanan akan meningkat, " jelasnya.

Lazimnya menteri akan bercakap kenaikan harga minyak masih rendah berbanding harga di negara membangun lain termasuk Asean.

Manakala setiap kali ura-ura kenaikan berlaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Ismail Sabri Yaacob akan memberi jaminan kepada rakyat kenaikan tidak akan berlaku tetapi bila jadi kenyataan beliau sendiri lepas tangan dengan kenyataan lain pula.

Semalam kerajaan mengistiharkan kenaikan harga gula kepada 25 sen sekilogram, petro RON95 dan Diesel naik 5 sen dan gas LPG sepuluh sen sekilogram.

Terbukti, rakyat dipaksa untuk dibodohkan

Posted: 16 Jul 2010 04:51 AM PDT

Editor diarah elakkan perkataan 'barang naik'

Malaysiakini
Kongsi 1109Dalam usaha mengelakkan kecaman rakyat terhadap pengumuman kenaikan 5-dalam-1 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, semua media yang dikawal kerajaan diingatkan supaya tidak menggunakan perkatan 'barang naik' dalam laporan mereka.

Ketika taklimat di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, petang semalam, pengarang berkali-kali diingatkan agar perkataan "barang naik" itu perlu dielakkan.

Sebaliknya, mereka diberitahu supaya menggunakan "pelarasan harga" atau "rasionalisasi subsidi".

Taklimat berkenaan dikendalikan oleh penasihat media perdana menteri dan editor berkenaan memberitahu Malaysiakini ia dijalankan dalam suasana yang mesra.

"Mereka secara hormat memohon kita supaya bekerjasama tetapi permintaan seperti itu sukar jika tidak dilayan," kata seorang daripada editor itu.

Media juga digalakkan oleh penasihat berkenaan supaya menjelaskan "rasional pengurangan subsidi" dalam laporan berita mereka dan juga menekankan bahawa harga gula dan bahanapi di Malaysia masih yang terendah di rantau ini.

Jangan buat tinjauan rambang

Mereka juga diingatkan supaya tidak membuat tinjauan rambang di kalangan rakyat berhubung kenaikkan harga itu dan beberapa media 'diminta' mendapatkan pandangan daripada NGO dan persatuan pengguna yang mesra dengan kerajaan.

Yang menarik, penasihat media perdana menteri juga mengarahkan akhbar supaya tidak menganggap pengurangan subsidi itu sebagai "penjimatan kerajaan" dalam laporan mereka.

"Menurut pegawai berkenaan, perkataan seumpama itu akan menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat - ke mana penjimatan dibelanjakan. Tumpuan adalah memberikan penekanan kepada pengurangan perbelanjaan dan bukannya penjimatan," kata sumber itu.

Pada 2005, pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendakwa pengurangan subsidi untuk air, tenaga dan bahanapi membantu kerajaan berjimat RM4.6 bilion.

Abdullah berjanji "penjimatan" akan dibelanjakan bagi memperbaiki pengangkutan awam tetapi pengkritik mendakwa tiada bukti wang berkenaan dibelanjakan untuk tujuan tersebut.

Puji 'keberanian' Najib

Seorang penasihat media itu juga mencadangkan supaya akhbar juga memuji 'keberanian' Najib dalam mengurangkan subsidi.

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, kenaikkan harga barangan kali ini dirancang dengan teliti agar rakyat tidak berang apabila harga bahanapi, gula dan gas dinaikkan serentak.

Alasan yang diberikan juga dirancang dengan teliti - menurut Najib tindakan itu perlu bagi menangani defisit kerajaan, membanteras penyeludupan dan menggalakan rakyat hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan gula.

Katanya, wang berkenaan akan dibelanjakan bagi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang lebih baik.

Walaupun pengarang diberi taklimat pada jam 4 petang, mereka diarahkan supaya mematuhi embargo, termasuk edisi online - sehingga kerajaan mengeluarkan kenyataan rasmi pada jam 8 malam.

Tinjauan mendapati akhbar-akhbar dan juga stesyen televisyen semuanya mematuhi arahan kerajaan itu.

Media patuhi arahan

Semua stesen televisyen umpamanya tidak memaparkan berita itu sebagai berita pertama mereka.

Akhbar-akhbar arus perdana juga patuh pada garis panduan berkenaan dan tidak memperbesarkan isu berkenaan.

Berita Harian memilih "harga baru" manakalaUtusan Malaysia pula dengan tajuknya "subsidi diselaras"

Sinar Harian yang baru-baru ini dirasmikan oleh Najib pula memilih menyiarkan laporan itu hanya di muka surat 4 akhbar itu.

Akhbar Cina yang lazimnya dilihat lebih berkecuali juga patuh dengan arahan itu.

Hanya satu sahaja yang menggunakan perkataan "harga naik' di muka depan manakala lima akhbar Cina yang berpangkalan di Semenanjung melaporkan kenaikkan itu sebagai "harga baru".

Harian NST juga tidak menyiarkan berita itu di halaman utamanya tetapi memilih tajuk kecil "antara yang terendah di rantau ini".

Harian milik MCA, The Star memaparkan tajuk "Gov't bold move will have minimal impact on people, says PM".

Harian Tamil Makkal Osai dan Tamil Nesan (yang dimiliki MIC) langsung tidak menyiarkan berita kenaikkan harga itu.

Rakyat dibebankan Apco diutamakan

Posted: 16 Jul 2010 03:00 AM PDT

Anwar: 'Penjimatan' gula hampir sama bayaran APCO

Kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula adalah tidak bertanggungjawab kerana tidak ada tindakan proaktif untuk menyediakan mekanisme bantuan kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan ini, sebelum pengumuman dibuat, kata Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

"Di mana letaknya maruah seorang perdana menteri yang mengambil wang rakyat atas nama penstrukturan subsidi dan digunakan untuk membayar perunding asing seperti APCO sehingga mencecah RM77 juta setahun semata-mata untuk menaikkan imej beliau.

"Sedangkan bayaran kepada APCO itu hampir sama jumlahnya dengan anggaran penjimatan subsidi gula sebanyak RM126 juta (seperti diumumkan PEMANDU)," kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, kesan berganda daripada kenaikan harga tersebut akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan, yang mana 75 peratus adalah bumiputra yang kononnya dibela oleh BN, kata Anwar yang juga ketua umum PKR dalam satu kenyataan hari ini.

"Walaupun Dewan Rakyat telah bersidang sejak 7 Jun 2010, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula langsung tidak dibincangkan di Dewan yang mulia itu.

"Pengumuman ini membuktikan perdana menteri dan kabinetnya tidak menghormati kedudukan Dewan Rakyat sebagai sidang tertinggi yang mewakili rakyat Malaysia.

"Dato' Sri Najib sedar ahli parlimen baik dari Pakatan Rakyat mahupun dari BN, tidak akan menyokong beliau kerana tindakan menaikkan harga tanpa menyediakan bantuan lain kepada rakyat adalah kebijakan yang tidak prihatin terhadap rakyat keseluruhannya," tegas Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Kenaikan harga barangan berkenaan diumumkan oleh perdana menteri dalam satu kenyataan malam tadi, yang menurutnya merupakan langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat mulai hari ini.

Mulai hari ini, petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram.

Menurut Anwar, kerajaan persekutuan telah mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak 2008 lagi atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan yang memerlukan.

"Sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu mekanisme bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kenaikan demi kenaikan diumumkan.

"Kenaikan harga gula sebanyak 28 peratus ejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari 2010, diikuti kenaikan 20 sen berikutnya pada 16 Julai 2010) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan," tambahnya.

Malah, tegas Anwar, sasaran penjimatan RM750 juta yang diumumkan pejabat perdana menteri adalah sedikit berbanding dengan keborosan dan pembaziran yang berlaku akibat kelalaian BN.

"Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 bilion pada 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi 2010. Ini termasuklah perbelanjaan sekretariat mantan perdana menteri dan sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri perdana penteri.

"Malah, penjimatan RM750 juta itu tidak setanding dengan kerugian yang ditanggung rakyat apabila konglomerat milik rakyat iaitu Sime Darby mengalami kerugian sebanyak RM946 juta dan menerima pula pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta.

"Membebankan rakyat atas alasan mengurangkan defisit dan menggunakan penjimatan untuk menampung keborosan kerajaan seperti ini perlu dihentikan segera," tambahnya.

Pun begitu, katanya, beliau tidak menolak bulat-bulat kaedah penstrukturan semula subsidi untuk memastikan lebih banyak bantuan sampai terus kepada golongan 75 peratus di bawah pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan.

"Penjimatan dari pengurangan subsidi sepatutnya disalurkan terus kepada golongan ini melalui mekanisme-mekanisme yang perlu diumumkan serentak dengan kenaikan harga.

"Saya menuntut supaya perdana menteri mengumumkan secepat mungkin bagaimanakah penjimatan RM750 juta ini akan dibelanjakan untuk rakyat.

"Nasihat saya supaya penjimatan ini disalurkan dalam bentuk kenaikan peruntukan untuk institusi pengajian tinggi, pelaburan baru dalam bidang pendidikan dan bantuan kebajikan terus kepada golongan berpendapatan di bawah RM2,000 agar penjimatan itu sampai terus kepada rakyat," tegas Anwar lagi.

Sebelum ini pun, tambahnya, kerajaan telah menggunakan alasan mengurangkan defisit apabila menaikkan harga minyak dan keperluan asas.

Bagaimanapun, tegas Anwar, tindakan itu sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, malah ia makin meningkat.

"Bagi tahun 2008, di kemuncak kenaikan harga minyak, defisit negara melonjak kepada 4.8 peratus berbanding 3.2 peratus bagi tahun sebelum itu.

"Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berdisiplin dan tidak ada iltizam politik untuk menyalurkan penjimatan dari pemotongan subsidi ke sektor-sektor yang benar-benar memerlukan, sedangkan pembaziran dan kerugian terus berlaku," tegasnya.

Sebab itulah, kata Anwar, beliau telah menegaskan berkali-kali bahawa ubat yang paling mujarab untuk memulihkan ekonomi lahnegara adalah reformasi ekonomi yang menyeluruh, bukannya tertumpu kepada golongan lemah semata-mata.

Perdana menteri, tegasnya, tidak boleh meminta rakyat mengubah cara hidup, sedangkan kroni-kroni, ahli politik, golongan elit dan berkepentingan terus menikmati subsidi korporat seperti subsidi gas kepada penjana bebas yang menelan belanja RM18.9 billion setiap tahun, 25 kali ganda lebih besar dari penjimatan akibat potongan subsidi yang diumumkan semalam.

Berikutan itu, Anwar menggariskan empat langkah segera yang perlu diambil oleh perdana menteri untuk meyakinkan rakyat bahawa pengorbanan mereka menanggung harga yang lebih tinggi untuk mengekang defisit adalah berbaloi:

1. Mengumumkan penambahbaikan drastik kepada kaedah dan sistem perolehan yang diamalkan kerajaan agar lebih telus dan mendapatkan nilai terbaik untuk rakyat;

2. Menstrukturkan semula pemberian subsidi gas kepada IPP agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada rakyat;

3. Mengawalselia prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga dana awam bagi mengelakkan kerugian berbillion ringgit yang ditanggung rakyat; dan yang terpenting;

4. Membuktikan keikhlasan dalam perang menentang rasuah dengan menghentikan campur tangan politik di dalam SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

"Rakyat akan ternanti-nanti tindakan susulan perdana menteri jika benar BN ikhlas dalam menangani kekusutan ekonomi negara.

"Jika tidak, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula semalam hanyalah sambungan kepada rentetan penindasan rakyat berpendapatan rendah demi golongan elit dan kroni," tegas Anwar.

Jalanraya, mahkamah rakyat

Posted: 16 Jul 2010 01:35 AM PDT

Bukan sikit maki hamun yang diterima kerajaan terhadap isu kenaikan 5 jenis barangan keperluan asas semalam. Tapi sebagaimana yang rakyat sedia maklum, setakat maki hamun dan protes berlori lori pun, puak puak yang menunjangi kerajaan sekarang ni takkan sedar diri punya. Mereka lebih pentingkan poket yang kian kempis hasil dari keterlanjuran mereka berbelanja atas nasihat Apco.

Inilah kerajaan yang didakwa bertanggungjawab terhadap permasaalahan rakyat mereka. Inilah jugak kerajaan yang memperjuangkan 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

Hanya ada satu saja cara untuk mengajar golongan angkuh dan bodoh sombong ni, iaitu protes jalanan. Kita kena gerakkan rakyat menyertai demonstrasi aman dengan turun beramai ramai kejalan jalan raya bagi membantah kenaikan harga barangan yang tak munasabah ini. Sebab tu aku sokong sangat sangat usaha PROTES, sedia turun ke jalanan bagi membantah tindakan kerajaan menaikkan harga petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG).

"Kita tidak menolak kemungkinan untuk turun ke jalan raya (bagi membantah kenaikan harga itu)," kata Penyelaras PROTES, Dr Mohd Hatta Ramli ketika dihubungiMalaysiakini petang ini.

Ayuh, jadikan jalan jalanraya negara sebagai mahkamah rakyat. Jalan jalanraya dibanyak tempat didunia telah dengan jayanya digunakan dengan berkesan dalam menyampai hasrat rakyat pada kerjaaan.

Di Perak, bukan Penang dan bukan Kelantan

Posted: 15 Jul 2010 11:00 PM PDT

Yang depa rampas balak, jip, beras, petrol dan mata gaji. Orang tak dak. Pasai apa tak dak sedangkan ada tanda tanda pembalakan haram berlaku? Ada ketirisan maklumat dari orang dalam?

Jangan terkejut, SPRM, Jabatan Hutan rampas 800 balak di Perak. Ingat, benda alah ni berlaku di Perak, bukan pembalakan haram di Pulau Pinang, bukan pembalak haram di Kelantan. Tapi di Perak, negeri dibawah jajahan takluk BN (Barang Naik)

Jabatan Perhutanan Perak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini merampas kira-kira 800 balak yang sudah ditebang dianggarkan bernilai lebih RM250,000 dalam serbuan di Hutan Simpan Bintang Hijau, di sini, awal pagi tadi.

Balak itu ditemui di lapan tempat pembalakan di kawasan seluas 233 hektar dalam hutan simpan itu.
Walaupun tiada pembalak haram berada di lokasi serbuan, pihak berkuasa menemui beberapa bukti mengenai kes itu seperti sebuah jip, beras, petrol dan mata mesin pemotong.

Menangisi Kenaikan Harga Barang

Posted: 15 Jul 2010 09:00 PM PDT

AGAMA BUKAN CANDU UNTUK MENGKHAYALKAN ORANG MISKIN

Aduhai malangnya, ketika kerajaan sedang membina istana negara yang berharga 811 juta yang hanya ekslusif untuk segolongan manusia sahaja, serta di sana berbagai lagi pembaziran yang lain, tiba-tiba rakyat awam menjadi mangsa, subsidi mereka pula yang dirampas..

Kenangilah orang-orang kampung yang susah, ibubapa yang terhad pendapatan mereka dan anak-anak miskin yang akan termangsa dari setiap kenaikan harga barang.. mereka tiada istana mewah, tiada kereta mewah, tiada hidangan mewah..

Ketika golongan bangsawan dan pembesar itu bersenang lenang dengan segala kemewahan yang telah merampas subsidi rakyat, orang miskin menangis suapan mereka yang makin meninggi harganya, yang meratah tenaga jasad dan kekayaan negara mereka..

Apa hal saja korang ni

Posted: 15 Jul 2010 07:30 PM PDT

Imam Muda pun tak solat jemaah bersama

Moghni Asrori
Saya terpanggil untuk menjawab tulisan Ustaz Zainudin Hashim dalam kolum Harakah keluaran Isnin 12 julai 2010 yang bertajuk 'Masjid ikut nama sahabat Nabi tapi tak seaktif sahabat'. Sekali imbas apabila dibaca tajuk kolum ini ada benarnya akan tetapi apabila diamati isinya saya dapat faham bahawa Ustaz Zainudin ini jenis ustaz yang berfikiran orang kebanyakan atau orang awam bukan dari golongan tok guru yang banyak mengajar dan beramal dengan apa yang diajar, ustaz ini hanya setaraf dengan ustaz-ustaz yang berforum di rancangan TV untuk mendapat populariti.

Banyak pandangan umum mengatakan masjid bukan tempat ibadat khusus sahaja, sebaliknya untuk ibadat lain juga. Pandangan ini sangat sinonim dengan jenis manusia yang liat datang berjamaah, mereka hanya datang ke masjid ketika untuk bernikah, ketika ada kematian dalam keluarganya dan ketika ada kelahiran cahaya mata.

Kita tidak boleh membuta tuli dan lurus bendol membandingkan masjid di zaman Rasulullah dengan zaman sekarang. Walaupun dari satu segi kita mesti menjadikan sirah Rasulullah itu sebagai panduan, sepatutnya seorang yang mengaku sebagai ustaz ada fikiran, pandangan dan hujjah yang mantap dan boleh digunapakai oleh semua lapisan masyarakat. Masjid di zaman Rasulullah itulah segala-galanya sebagai Pejabat Presiden, Pejabat Ketua Turus Angkatan Tentera, Parlimen, Pusat Perdagangan dan bermacam- macam lagi yang tak perlu Ustaz Zainudin jelaskan kerana pelajar sekolah rendah agama pun tahu.

Pada zaman sekarang perkara-perkara yang Ustaz Zainudin sebut tidak boleh dilakukan di masjid kerana manusai telah ramai dan masyarakat berkembang perlu kepada pentadbiran yang tersusun rapi untuk kemaslahatan umat dan keselamatan negara segalanya perlu diasingkan. Perlu diambil kira dari pelbagai sudut dan sekiranya Rasulullah hidup di zaman sekarang, saya percaya dan yakin Rasulullah akan membina pusat pentadbiran yang lebih hebat dari Putrajaya.

Saya pernah dijemput dalam bengkel perancangan pembangunan masjid untuk 10 tahun akan datang di sebuah hotel. Pelbagai program dan cadangan yang dikemukakan oleh peserta bengkel, di antaranya perlu dibina kedai-kedai, gelanggang sukan, bank-bank, hotel dan bermacam-macam lagi kemudahan awam dengan tujuan supaya orang awam boleh membeli belah dan datang berjamaah.

Saya terasa terpinga-pinga dan gelihati melihat peserta bengkel, dalam hati kecil saya berkata "kenapa bengkel ini tidak dibuat di masjid sahaja bukankah kita nak memakmurkan masjid, keduanya kenapa kita nak memakmurkan masjid tidak dirujuk kepada al-Quran dalam surah at-Taubah ayat 18". Cuba kita lihat di Masjid India Kuala Lumpur, apa yang tidak ada di sekelilingnya. Adakah peniaga dan pengunjung datang berjamaah apabila masuk waktu solat?

Di Masjid Wilayah Persekutuan sekarang sedang berlangsung proses penggambaraan Imam Muda oleh Astro Oasis. Apa yang sangat malang, apabila masuk waktu solat tidak seorangpun Imam Muda atau kru Astro yang solat berjemaah bersama dan yang lebih malang lagi Pengetua Imam Muda, Ustaz Hasan Mahmud Al-Hafiz dan Ustaz Zulkarnaian Al-Hafiz pun tidak turun sembahyang bersama. Dan kerap kali saya perhatikan sudah lewat waktu Asar walaupun jam telah menunjukkan pukul 6.00 petang sedangkan kedua mereka adalah menjadi idola orang PAS selalu dijemput berceramah di merata tempat.

Segala kecacatan dan kepincangan masyarakat kebiasaannya disalahkan kepada imam. Imam dilempar dengan berbagai tuduhan di antaranya imam hanya bertugas ketika bertugas sahaja, imam tidak mesra masyarakat, imam tidak pandai menarik remaja datang ke masjid dan lain-lain lagi tuduhan yang tidak masuk akal sedangkan imam tidak mempunyai apa-apa kuasa, bahkan pos jawatan khusus untuk imam pun tidak ada dalam senarai perjawatan JPA.

Berbalik kepada muslimah yang bermasalah dengan suaminya, sepatutnya muslimah itu berjumpa bahagian nikah kahwin di pejabat agama atau mahkamah syariah dan yang lebih baik Ustaz Zainudin sendiri yang tahu perkara itu berlaku tolong menyelesaikan, bukan menuduh yang bukan-bukan kepada imam, sampai bila Islam nak maju kalau kita asyik menuding jari kepada orang lain.

Pada suatu hari dalam bulan Februari 2010, saya berurusan di Pejabat Tanah dan Galian Teluk Intan, kerana ada urusan pusaka arwah abang. Setelah selesai pegawai di pejabat tanah mencadangkan saya pergi ke mahkamah majistret yang bersebelahan dengan pejabat tanah untuk mendapatkan cop dan tandatangan hakim atau pesuruhjaya. Semasa saya sampai di mahkamah jam baru menunjukkan pukul 12.15 tengahari. Apa yang mendukacitakan salah seorang pegawai di mahkamah tersebut mencadangkan supaya saya datang pada pukul 2.00 petang.

Walaupun hati saya terasa sakit dengan perbuatan pegawai tersebut tapi saya tetap sabarkan, dan saya terkenang sekiranya perkara seperti ini berlaku di pejabat saya pasti masyarakat akan riuh rendah menuduh imam tak berhati perut dan macam-macam lagi, akan tetapi oleh kerana berlaku di mahkamah tak seorang pun yang membuat tuduhan hakim tak berhati perut. Ketua Hakim Negara sendiri pun tak pernah ambil peduli.

Moghni Asrori,
Penolong Pengarah Kanan,
Masjid Wilayah Persekutuan,
Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Bangganya jadi bangsa Umno

Posted: 15 Jul 2010 06:00 PM PDT

Apa yang tak kena dengan rakyat kita ni. Minyak baru naik 5 sen, dah riuh rendah 1Malaysia.

Rakyat patut sedar dengan objektif murni kerajaan dalam menaik taraf hidup masyarakat kita ke tahap negara maju. Rakyat perlu di didik dengan pemikiran glokal harga murah hanya untuk masyarakat kelas bawahan. Dalam sebuah negara maju, rakyatnya hidup dengan menggunakan barang barang mewah yang mahal harganya. Tak dinafikan harga memainkan faktor penentu mewah atau tidaknya sesebuah negara.

Selari dengan hasrat murni kerajaan mendaki kearah negara maju, segala prasarana yang di bawah paras mewah perlu dinaik tarafkan. Ini termasuklah harga minyak, gas dan gula yang jauh lebih murah jika dibandingkan dengan England, Portugal, Belanda, Jerman dan lain lain negara maju. Ini yang rakyat perlu faham dan redha dengan tindakan pedih kerjaaan ini.

Inilah juga harga yang perlu di bayar oleh rakyat dalam usaha kita menghirup udara nyaman sebuah negara maju.

Syabas 1Malaysia, syabas Najib, syabas Umno. Tentu bangga orang orang kampung yang setia berkhidmat bersama Umno, dulu, kini dan selamanya.

Teh tarik ber'rasionalisasi'

Posted: 15 Jul 2010 04:30 PM PDT

Bagi orang kebanyakan terutama golongan pekerja yang perlu mengejar masa ketempat kerja, teh tarik adalah pilihan terbaik samaada minum di kedai kedai atau dibungkus ketempat kerja.

Maka golongan inilah yang akan terima bebanan langsung dari kenaikan harga gula yang dihadiahkan oleh kerajaan Najib pada mereka. Rasionalisasi yang diumumkan oleh kerajaan Najib yang didokong oleh parti orang kaya Umno meletakkan harga bagi teh tarik – minuman paling popular di Malaysia, sepatutnya hanya naik 1.25 sen segelas berikutan pengurangan subsidi harga gula sebanyak 25 sen. Harga baru teh tarik itu mengambil kira kesan pengurangan subsidi minyak dan pelarasan harga semasa iaitu RM1.0155.

Berhemah sungguh la mamak dikedai kedai nasi kandar seluruh negara nak ikut harga rasional kepala bana hangpa ni.

Lihat saja bagaimana mereka mereka yang di upah ini dengan sengaja memutar belit perkataan dengan meletakkan rasionalisasi bagi mengaburi kerakusan boss boss mereka menaikkan harga barangan bagi menampung poket kerajaan yang kian menipis.

Kapal Taiwan terbakar

Posted: 15 Jul 2010 12:17 PM PDT

Kapal Taiwan Terbakar Di Port Dickson, 8 Selamat

PORT DICKSON: Sebuah kapal nelayan Taiwan 'Gian Seng 18' terbakar di perairan Port Dickson pagi Khamis, bagaimanapun kesemua lapan anak kapalnya berjaya diselamatkan.

Kejadian berlaku kira-kira 7 pagi, 15 batu nautika dari perairan Port Dickson ketika kapal itu sedang belayar dari Mauritius ke Singapura.

Kesemua lapan anak kapalnya iaitu dua warga Taiwan dan enam warga Filipina berumur 20-an dan 50-an telah diselamatkan oleh sebuah kapal persiaran 'Star Virgo' sebelum mereka dibawa ke Pelabuhan Klang, kata Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 5, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kapten Maritim Ibrahim Mohamed.

Mereka kemudianya telah diserahkan kepada APMM Pelabuhan Klang.

Beliau berkata punca kebakaran masih belum dikenal pasti. Jabatan Laut telah diminta untuk memadam api di samping menarik kapal tersebut ke jeti penumpang Port Dickson.

Ibrahim berkata pihaknya telah menghubungi agen kapal tersebut di Singapura. - BERNAMA

Tiada ulasan: