Selasa, 20 Julai 2010

pemuda cheh

pemuda cheh


Kerajaan salah, rakyat dihukum

Posted: 20 Jul 2010 05:56 AM PDT


YB V.Sivakumar   
Adakah benar bahawa Malaysia akan muflis pada tahun 2019? Kenyataan ini tidak dibuat oleh YB Lim Kit Siang, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun YAB Dato Seri Tok Guru Nik Aziz.

Yang mengeluarkan kenyataan ini adalah seorang pemimpin Barisan Nasional sendiri. Seorang menteri di dalam Jabatan Perdana Menteri telah berani tampil ke hadapan untuk memberitahu rakyat negara ini bahawa negara kita akan muflis dalam tempoh 9 tahun lagi. Beliau menyarankan supaya subsidi yang diberikan kepada rakyat ditarik balik untuk menyelamatkan negara.


Menurut Datuk Idris Jala , hanya dengan cara ini kita boleh menyelesaikan masalah ekonomi yang serius dihadapi oleh negara kita. Jika apa yang disebutkan oleh beliau itu adalah benar, siapakah yang bertanggungjawab dalam hal ini?

Negara kita diperintah oleh komponen BN sejak kemerdekaan sehingga ke hari ini. Jika negara kita menghadapi masalah ekonomi yang begitu meruncing, bukankah itu berpunca daripada ketololan dan salah urus kewangan yang dilakukan oleh kerajaan BN. Sudah tentu kita tidak boleh salahkan DAP, PAS, PKR mahupun rakyat dalam hal ini.

Sebagai contoh, jika sebuah syarikat swasta menjadi muflis, salah siapa? Bukankah itu merupakan tanggungjawab pihak pengurusan syarikat tersebut? Jika benar, bagaimana pula sekiranya sebuah negara menjadi muflis? Bukankah itu merupakan tanggungjawab kerajaan yang memerintah negara tersebut.

Dalam hal ini, jelas bahawa kerajaan BN tidak bijak menguruskan kewangan negara. Wang berjuta-juta ringgit dibelanjakan dengan boros tanpa membawa manfaat kepada rakyat. Kita boleh melihat sendiri berpuluh-puluh projek gajah putih telah mengakibatkan wang rakyat dibelanjakan seperti mencurah garam ke dalam laut.

Dimana perginya khazanah hasil mahsul daripada keuntungan petroleum? Rakyat tahu bahawa Petroleum membuat keuntungan berbillion ringgit setiap tahun. Adakah keuntungan Petronas digunakan dengan cara yang berfaedah atau digunakan oleh kerajaan BN untuk kepentingan politik dan membantu kroni-kroninya? Semua pemimpin-pemimpin BN memekap apabila isu ini dibangkitkan.

Ekonomi Malaysia dalam keadaan bahaya bagaikan biduk tiris menanti karam. Malaysia yang kaya dengan sumber alam dikatakan akan menjadi negara muflis dalam 9 tahun lagi jika polisi-polisi sekarang diteruskan. Yang bersalah ialah kerajaan BN, tetapi yang dihukum pula ialah rakyat kerana subsidi yang dinikmati oleh mereka telah ditarik balik. Ini adalah tidak adil kerana orang bersalah terlepas manakala orang yang tidak bersalah terpaksa menanggung hukuman.

Jika kerajaan BN benar-benar jujur dalam mendahulukan rakyat , sudah tentu pemberian subsidi tidak akan ditarik balik. Tetapi, dalam keadaan sebenar BN cakap tak serupa bikin. Sebuah kerajaan kebajikan tidak akan membebankan rakyat dengan polisi-polisi yang menekan seperti ini.

Tanggungjawab sesebuah kerajaan ialah mengenakan cukai daripada golongan kaya raya dan menggunakan wang itu untuk menyediakan kemudahan awam dan memberi subsidi kepada golongan pertengahan dan miskin. Menurut seorang pakar ekonomi yang bernama Paul A. Samuelson, tindakan makruf mengagihkan kekayaan dengan cara ini akan membawa kepada kepuasan sosial yang lebih tinggi dalam masyarakat.

Dalam konteks Malaysia, cukai terus dikenakan tetapi subsidi ditarik balik. Ini bermakna terdapat bocoran yang amat ketara dalam urusan kewangan negara. Tambahan pula kerajaan bercadang untuk mengenakan GST yang akan menambahkan beban rakyat tidak lama lagi.

Beban rakyat seharusnya dipikul oleh kerajaan, tetapi lain pula keadaan di Malaysia, beban kerajaan terpaksa dipikul oleh rakyat. Oleh yang demikian, kita memerlukan satu forsep baru untuk memegang ekonomi negara supaya tidak tersungkur kedalam senarai negara-negara muflis

Mahfuz: Jika ada RM10b, mengapa potong subsidi

Posted: 19 Jul 2010 09:46 PM PDT

Pentadbiran Najib tidak sewajarnya merampas subsidi rakyat, yang dikatakan hanya mampu menjimatkan RM750 juta tahun ini memandangkan Perbendaharaan mengaku mempunyai lebihan pendapatan RM10 bilion tanpa subsidi diselaras.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, mengikut Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah selaku Menteri Kewangan II sendiri, kewangan kerajaan masih kukuh dengan mempunyai RM10 bilion walaupun tanpa langkah mengurangkan subsidi tersebut.

Oleh itu kata beliau, apa tujuan kerajaan hendak mengurangkan subsidi barang-barang yang merupakan kegunaan utama rakyat.

"Kalau betul-betul kerajaan hendak mengurangkan dan menjimatkan RM750 juta, apa gunanya potong subsidi ini sedangkan kerajaan ada lebihan pendapatan RM10 bilion tanpa diselaras subsidi... apa perlunya pelarasan subsidi ini," kata beliau.

Selain itu soal beliau, jika benar kerajaan ada lebihan pendapatan RM10 bilion mengapa dikatakan belanjawan negara defisit selama ini.

"Saya tidak tahu mana yang betul... kenyataan yang mengelirukan," kata beliau lagi.

Kelmarin, Husni menafikan dakwaan sesetengah pihak penyelarasan subsidi dilakukan bagi menampung pendapatan negara yang berkurangan akibat boros berbelanja.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan masih mempunyai lebihan pendapatan RM10 bilion pada tahun ini sekalipun tanpa penyelarasan subsidi itu.

"Hasil pungutan cukai terancang Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri kerajaan memperoleh pendapatan RM158 bilion tahun ini berbanding RM148 bilion ketika pembentangan belanjawan tahun lepas.

"Kerajaan mampu untuk berbelanja. Pelarasan subsidi merupakan satu inisiatif yang amat penting yang memerlukan belanjawan tambahan, jadi ia bukan isu boros," katanya.

Husni berkata pengurangan subsidi bertujuan menjadikan ekonomi lebih efisien khususnya bagi mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi.

Dalam perkembangan yang sama, Mahfuz turut mempertikai tindakan kerajaan membayar RM18.9 bilion setiap tahun kepada beberapa syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) yang nyata menguntungan beberapa individu tertentu sahaja.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kerajaan supaya tidak terus membodohkan rakyat kononnya langkah menaikan harga beberapa barangan tersebut demi menjimatkan perbelanjaan negara.

Mahfuz berkata harga minyak dan barangan keperluan lain dipercayai akan terus naik enam bulan lagi sekiranya dirujuk pada jadual rasmi makmal rasionalisasi subsidi.

"Apakah ini satu permulaan yang mahu dilaksanakan oleh Najib (dan) makmal rasionalisasi subsidi ini.

"Sebab itu, saya tanya apakah motif kerajaan mahu menaikkan harga barang-barang ini," kata beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS.

Menurut beliau, kenaikan harga minyak dan diesel sebanyak lima sen berkuat kuasa Jumaat lalu adalah mengikut jadual tersebut.

Katanya lagi, jadual tersebut turut merancang kenaikan harga gula dan gas masak serta beberapa komoditi lain yang menjadi keperluan asasi rakyat.

Melihat pada rancangan menaikkan harga beberapa barangan tersebut sehingga 2014 kelak, beliau mendesak pentadbiran Najib supaya bersikap jujur dengan rakyat.

Kata beliau, jika jadual pelarasan itu dilaksanakan, ia tidak akan membantu menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, tetapi "rakyat berbelanja tinggi.

Haram sokong pemerintah zalim

Posted: 19 Jul 2010 09:21 AM PDT

"SOALAN: Benarkan pentadbiran negara pimpinan BN boleh dianggap mengamalkan demokrasi, iaitu satu sistem yang kononnya berteraskan keadilan kepada rakyat jelata. Persoalannya, Dewan Rakyat belum dibubar, tetapi para pemimpin BN sudah berkempen sakan khususnya di negeri Kelantan dengan menaburkan pelbagai janji dan begitu juga dengan negeri-negeri lain.
 Ini bermakna mereka sudahpun berkempen dengan menggunakan jentera kerajaan, seperti media cetak dan elektronik, yang sepatutnya boleh juga digunakan oleh pihak pembangkang, tetapi ia tidak berlaku.
Apabila Dewan Rakyat bubar, penamaan calon akan diadakan, masa berkempen pula begitu singkat, di mana pihak pembangkang tidak sempat berkempen dan memperkenalkan calon masing-masing, di tambah pula radio, televisen dan akhbar tidak memihak kepada pembangkang.
Di sini saya ingin mendapatkan penjelasan Ustaz, sikap pemimpin negara sedemikian menunjukkan mereka sudah tidak berlaku adil, bagaimana pandangan Islam jika terdapat orang Islam memangkah atau memilih pemimpin seumpama itu? Harap dapat penjelasan, terima kasih. - HIJAZ, Kuala Lumpur ?
JAWAPAN: Kezaliman pemerintah BN sekarang bukan lagi rahsia, malah ia telah menjadi bualan setiap peringkat rakyat yang prihatin dan masih waras daripada bencana tubaan dakyah media perdana. Rasa tidak malu atau segan berdusta itu dipamerkan oleh pemimpin utama Islam Hadhari ketika menafikan pembubaran Dewan Rakyat pada hari yang diisytiharkan pembubarannya oleh lidahnya yang tidak bertulang. Perbuatan menyalahgunakan jentera negara dan media kerajaan lama sebelum pilihan raya diadakan sehingga kini dan seterusnya membayangkan kepincangan dan peri buruknya perjalanan demokrasi di Malaysia.
Sistem pendaftaran pengundi yang bermusliht telah menyebatkan jutaan pengundi muda Islam terhalang daripada menunaikan tugas mereka sebagai warga Negara. Hak mengundi adalah hak asasi rakyat yang sudah akil baligh atau dalam kadar umur yang telah ditetapkan. Tidak mengundi dalam system pengundian yang betul adalah suatu dosa dan menyebabkan seseorang itu mati dalam kaadaan jahiliah. Seperti mana yang ditegaskan oleh hadis berkaitan. (lihat link berikut: http://ustghani.com/?p=10)
Demokrasi bukan hanya aktiviti mengundi, tetapi mempunyai unsur?unsur penting untuk memastikan ciri utama dan sifatnya yang memberikan kedaulatan terhadap hak rakyat dan kemerdekaan mereka.
Antaranya daftar pengundi yang betul, mewakili realiti rakyat yang berhak mengundi, kaedah mengundi yang tidak dimanipulasi untuk kemenangan parti tertentu, taburan pengundi yang mewakili tempat tinggal mereka yang sah dan tidak disusun atur oleh SPR untuk memastikan kemenangan sebelah pihak, akses kepada media yang sama rata dan adil oleh parti parti yang memasuki pilihan raya termasuk parti pembangkang, perbelanjaan yang mempunyai had daripada wang parti, dan bukan menyalahgunakan wang kerajaan dengan pemberian dan agihan gula-gula memancing undi dengan projek berbilion ringgit daripada dana kerajaan. Seterusnya wujud SPR dan petugas SPR yang adil, berintegriti dan tidak memihak kecuali kepada rakyat semata-mata demi memelihara integriti dan amalan demokrasi yang sihat.
Sebenarnya banyak lagi ciri ciri demokrasi yang tulen dan sihat seperti mana yang diamalkan negara-negara maju yang tidak berlaku di Malaysia. Sebab itulah BERSIH menuntut pembersihan dalam semua aspek yang berkaitan dengan perjalanan demokrasi di Malaysia ini. Ini juga menjadi tuntutan dan harapan masyarakat yang prihatin kepada kelangsungan amalan berpolitik secara sihat dan bertamadun di Malaysia.
Kita bimbang Malaysia jatuh dalam kancah krisis politik yang membawa padah seperti negara-negara membangun lain. Kezaliman tidak akan membuahkan keselamatan, sebab itulah setelah 50 tahun merdeka rakyat Malaysia masih tidak merasa aman daripada kejahatan penjenayah dan malah dari intimidasi dan kezaliman penguasa dan pasukan keselamatan. Oleh itu janji BN untuk membawa keselamatan dalam manifestonya adalah suatu yang aneh dan ditertawakan oleh rakyat yang insaf. (akhbar Harakah 16-29 Feb. halaman 2 melaporkan 8 kejahatan BN yang amat mencolok mata)
Sebenarnya para pemimpin yang mempunyai reputasi buruk seperti itu tidak mungkin dapat dikategorikan dalam golongan pemimpin yang baik, adil atau cemerlang. Lambang dacing tidak semestinya menjanjikan keadilan sebaliknya ia adalah pemangkin kepada perbuatan zalim pemerintah.
Dakwaan untuk membawa kemakmuran nyatanya kini menyebabkan rakyat semakin terhimpit dengan harga barang yang meningkat dan paras kemiskinan yang tetap meningkat dan mencengkam mereka. Ini semua adalah kerana salah urus, salah tadbir harta awam dan sifat boros, membazir, rasuah dan menguntungkan kaum kroni keluarga dan sahabat handai yang dilakukan oleh mereka. Keuntungan Petronas yang begitu banyak tidak dapat dinikmati oleh rakyat tapi digunakan untuk 'bailout' atau melepaskan syarikat kroni dan keluarga yang terjerat dengan hutang dan diisytihar sebagai muflis atau bankrap.
Negara diperintah dengan budaya komersial dan tamak untuk mengaut keuntungan. BN terang-terang mendidik rakyat menjadi mata duitan, berkerja dan berpolitik kerana kepentingan sempit dan bukan kerana kepentingan rakyat. Sebab itu mereka tidak dapat menghasilkan semangat dan pemimpin yang berjiwa murni, berakhlak mulia dan suka berkorban untuk rakyat. Sebaliknya mereka terus menerus mendidik rakyat menjadi manusia egoistik, 'selfish' (tamak), mementingkan budaya mengaut sebanyak harta dengan kuasa politik yang ada. Mereka berfikir dengan naluri tamak dan gila kuasa biarpun mencabul prinsip demokrasi, agama dan integriti. Oleh itu insan yang dibangun oleh mereka sebenarnya tidak punya modal jati diri, tapi hanya bermodalkan sikap mengampu. Modul latihan BTN - adalah salah satu contoh. Apa yang dilahirkan oleh mereka; umumnya adalah insan yang kurang bermoral dan tidak bermodal kemanusiaan atau keagamaan yang sejati.
Daripada huraian di atas nyata benar bahawa para pemimpin berkenaan sudah tidak boleh dipercayai dan termasuk dalam kumpulan pemimpin yang zalim apabila di hubungkaitkan dengan kes-kes pemenjaraan tanpa pengadilan, dan berbagai undang-undang zalim yang mereka kuatkuasakan. Mencegah ulama, profesor Islam dan pendakwah agama Islam daripada menyebarkan ilmu agama mereka sehingga ada yang mati dalam kaadaan diharamkan daripada mengajar di masjid masjid Allah dan surau, bahkan ramai lagi yang tersekat ?meskipun bersijil daripada al-Azhar dan bertaraf pemimpin ulama dan sebagainya - tidak dibenarkan mengajar dan berdakwah kerana tidak diberi tauliah oleh pemimpin politik atau pegawai suruhan mereka yang tidak pun bertauliah atau bersijil setaraf dengan orang yang hendak diberi tauliah.
Profesor Dr Haron Din pernah disifatkan oleh mereka sebagai penjenayah syariah kerana mengajar tanpa tauliah di Selangor; meskipun beliau telah mengajar sekian lama di UKM dan bersara; di mana pencen beliau pun dibayar oleh kerajaan Malaysia. Ustaz Ismail Kamus hendak ditangkap oleh JAIS kerana mengajar (dengan dakwaan mereka) tanpa tauliah. Sedangkan beliau adalah bekas pegawai agama yang telah menandatangai surat pemberian tauliah yang banyak ketika bertugas di Jabatan Agama. Alangkah zalim dan besarnya dosa mengkhianati masjid Allah, ilmu Allah, dan hak rakyat untuk mendapat bimbingan ilmu dari gologangon ulama ini.
Cara para pemimpin politik BN memperalat dan mengguna polis untuk mengganggu ceramah Anwar Ibrahim dan lain lain tokoh semakin menampakkan ketidakdemokrasian pemerintah BN. Mereka tidak sepatutnya mendedahkan polis kepada kebencian rakyat dan pergelutan langsung dengan gelombang kebangkitan rakyat. Justeru akan merendahkan lagi imej pasukan keselamatan berkenaan kerana salah tadbir dan salah guna atau urus politikus BN.
Setelah pembubaran Parlimen seperti suasana sekarang sepatutnya amalan tidak demokratik seperti ini tidak boleh dilakukan oleh kerajaan sementara (caretaker government); jika tidak makna demokrasi dan pilihan raya di negara ini semakin kosong dan tidak relevan; manakala negara akan menuju kepada kaadaan anarki dan huru-hara. (Lihat hujah DSAI kepada pihak polis dalam you tube dalam link : (http://www.youtube.com/watch?v=JUHo6SAnG6o&eurl=http://wtv8.tv/v3/index.php?option=com_content&task=view&id=76 )
Allah melarang umat Islam dan rakyat seluruhnya daripada memihak dan mengundi serta mencalonkan orang yang zalim, orang yang penuh dengan rekod buruk dalam memerintah Negara. Allah berfirman dalam Surah Hud ayat 113 yang bermaksud: "Jangan kalian cenderung menyokong orang yang zalim; kelak kalian akan dibakar oleh api neraka. (ketika itu) kalian tidak akan ada selain Allah sebagai penyelamat dan kalian tidak akan mendapat apa-apa pertolongan."
Allah berfirman dalam Surah Mariam ayat 68-72 yang bermaksud: "Demi Tuhanmu (wahai Muhammad) Kami akan himpunkan mereka semua dengan golongan syaitan dan akan Kami tampilkan mereka dengan melutut di tubir neraka. Kemudian Kami akan rentap (dan sentap) golongan penderhaka yang paling biadap terhadap Tuhan yang Maha pemurah. Kemudian kami yang lebih tahu siapa yang lebih wajar dihumban dan dibakar di dalam neraka. Semua kamu pasti akan di bawa ke tubir berkenaan. Ini adalah ketentuan Tuhanmu yang azali dan pasti. Kemudian Kami akan selamatkan golongan yang bertakwa (daripada seksa neraka) dan kami akan biarkan manusia penzalim tersebut terbongkang di dalam neraka." Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling keras diseksa pada hari kiamat kelak adalah pemimpin/ pemerintah yang zalim."
Dalam teks tradisional terdapat catatan berikut: Apabila manusia dihimpunkan pada hari kiamat di pinggir titian Siratul Mustaqim, Allah berfirman; "Akulah Allah, Akulah Raja (yang sebenar) Akulah Dayyan (pemilik hakiki agama ini); demi kemulian dan kebesaran-Ku (pada hari ini) tiada seorang pun manusia penzalim yang dapat melepasi siratulmustaqim ini.
Kemudian berserulah seorang Malaikat di pihak Allah (bertanya); Mana dia manusia penzalim berkenaan? Mana juak-juak penyokong penzalim tersebut. Mana dia pembantu yang menajamkan pena (pensil) penzalim (wartawan upahan). Mana dia golongan yang mangajukan dakwat untuk penzalim (menulis). Kemudian neraka berseru kepada orang mukmin: Wahai mukmin, ayoh segeralah kamu menyeberangi Sirat ini kerana cahayamu memalapkan (nyalaan lidah) apiku."
Suatu ketika seorang lelaki datang bertanya kepada Sufyan al Thauri. Dia berkata: Saya ini penjahit pakaian untuk seorang raja (pemerintah) yang zalim; adakah saya terjumlah dalam kalangan penyokong beliau. Sufyan al Thauri menjawab: Anda bukan golongan penyokong tapi anda adalah daripada golongan penzalim itu sendiri. Golongan penyokong ialah orang yang menjual kepada anda jarum dan benang (untuk menjahit).
Dalam hadis lain menyebutkan: Siapa yang berjalan bersama orang zalim untuk membantunya, sedangkan dia tahu orang berkenaan adalah orang yang zalim maka dia telah keluar daripada (agama) Islam. (Hadis riwayat Ahmad dan Tabrani)
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: "Tiga orang Allah enggan bercakap-cakap dengan mereka pada hari kiamat kelak. Allah tidak sudi memandang muka mereka, Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda). Untuk mereka disiapkan seksa yang sangat pedih. (Mereka adalah): Orang tua yang berzina, pemerintah yang suka berdusta dan fakir miskin yang takabbur."
Mengundi dalam sistem peralihan kuasa yang benar dan adil adalah suatu kewajipan agama. Ini kerana mengundi dan melantik pemimpin masyarakat dan negara adalah termasuk dalam kewajiban menunaikan kesaksian seperti yang termaktub dalam Surah al Talaq ayat 2.
Tegakkan kesaksian kerana Allah, justeru itulah bimbingan nasihat untuk mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah berikan kepadanya jalan keluar.
Tidak melaksanakan kewajipan ini adalah suatu kejahatan menyembunyikan kesaksian yang diperintahkan oleh Allah dalam ayat tersebut. Malah golongan yang mati dan tidak pernah membai?ah atau mengundi dan melantik pemimpin adalah mati dalam jahiliah sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah dalam hadis baginda yang bermaksud: "Siapa yang mati tapi tidak pernah membai?ah pemimpin maka matinya adalah kematian dalam jahiliah."
Selanjutnya mengundi dan melantik orang yang tidak wajar dilantik menurut syara? adalah juga suatu kejahatan menyembunyikan kesaksian yang benar sepertimana yang dituntut oleh ayat ini. Allah berfirman dalam Surah al Baqarah ayat 283 yang bermaksud: "Siapa yang menyembunyikan kesaksian (yang benar) maka dia adalah insan berdosa."
Firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat 106 yang bermaksud: "Kami tidak akan menyembunyikan kesaksian (kerana) Allah. (Kalau tidak) pastilah kami akan menjadi golongan yang berdosa."
Oleh kerana itu kita menyeru kepada para pengundi Muslim dan mukmin yang bertakwa; hindarilah perbuatan mengundi memenangkan orang yang zalim. Harta benda duniawi dan kesenangan sementara di dunia ini tidak akan berbaloi atau menebus seksa di akhirat.
Awas jangan menyesal tidak berkesudahan dan tidak berguna di akhirat kerana segumpal wang atau habuan duniawi yang fana. Mari mengundi memenangkan perjuangan Islam dan perjuangan menegakkan keadilan, kebajikan, kerajaan beramanah dalam erti kata yang sebenarnya.

Pakat masuk PAS, bukan bersatu dengan Umno

Posted: 19 Jul 2010 09:11 AM PDT

Idris Ahmad   
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menolak cadangan Tan Sri Harussani yang hendak menjadi perantaraan antara Pas dan Umno demi perpaduan Melayu di negara ini.

PAS bukan angkuh tetapi itulah hakikat yang berlaku pada hari ini, Umno sudah tidak relevan untuk orang Melayu menjadi tempat berteduh.


Parti yang pernah disebut oleh Tun Dr Mahathir sebagai  parti yang busuk sampai usus.

Sepatutya Tan Sri kena nasihat supaya ahli Umno keluar  beramai-ramai masuk PAS.

Apakah logik PAS  diseru untuk bersatu dengan Umno, sedangkan mereka mengalami penyakit yang berjangkit iaitu penyakit barah rasuah dalaman parti, penyakit khianat kepada amanah rakyat, tidak bertanggungjawab kepada hasil mahsul negara, penyakit hanya memikirkan kepentingan perut semata-mata, penyakit tidak peduli kepada rakyat dengan menaikkan harga barang.

Apa perlu PAS diajak bersama dengan umno semata-mata kerana hendak menghulurkan balang oksigen kepada umno yang semakin kehilangan sokongan terutama Melayu terpelajar dan Melayu yang celik maklumat.

PAS memahami tahap sokongan orang-orang Melayu sudah berubah, maka umno berdendang dengan irama lama iaitu kuasa melayu terancam. Apabila sudah nyawa di hujung halqum, baru Umno sedar PAS, parti melayu. Sebelumnya umno tidak pernah memandang Pas, malah angkuh dengan kuasa untuk menindas sesama bangsa.

PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani sebagai seorang mufti, di antara disiplin mufti kena  rujuk quran, hadis, ijmak dan qias dan mengetahui gambaran masalah yang berbangkit barulah boleh keluarkan fatwa.

Barulah fatwa yang dikeluarkan itu dihormati oleh orang ramai.  Begitu juga dalam hal politik, sebelum beliau hendak mengeluarkan pandangan biarlah buat kajian dahulu, apakah benar kalau PAS dan Umno tidak bersatu kuasa politik melayu terancam.

PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani tolong lihat dulu keputusan pilihanraya 2008, siapa yang khianat kuasa politik melayu? PAS atau Umno. Macam mana kuasa Melayu boleh hilang kuasa sebab semua kerusi melayu, Pas akan lawan umno, kalau umno kalah, Pas menang, Pas melayu juga. Mana sifir kuasa melayu terancam.

Apakah Tan Seri hanya anggap PAS kuda tungangan DAP dan PKR ketika berkongsi kuasa dalam Pakatan Rakyat. Manakah bukti PAS rugi kepada Melayu dan Islam ketika bersama PR. Tapi PAS boleh buktikan banyak tindakan umno bersama rakan-rakan BN merugikan agama dan bangsa.

Tan Seri lupakah yang menutup surau di Sek 8 Shah Alam itu dibuat oleh Umno pimpinan Khir Toyo, lupakah Tan Seri yang halau orang melayu di Kg Berembang dan Kg Plentong Pasir Gudang Johor adalah dibawah umno.

Dato Dr Harun Din, Dato Ismail Kamus, AlMarhum Dato Ishak Bahrum diburu macam penjenayah kerana hendak menyampai agama ketika Selangor di bawah umno. Adakah laporan Lim Guan Eng di Pulau Pinang tutup surau sejak memerintah Pulau Pinang

Hakikat yang berlaku umno yang serah kerusi majoriti melayu kepada bukan Melayu. Contohnya Parlimen Bukit Gantang 2004 Dr Lo Lo Pas lawan Tan Lian Hoe (BN) kemudian tahun 2008 Tan Lian Hoe bertanding di Grik melawan Mohd Noor Abd Rahman PAS, Parlimen Tanjung Malim Mohd Azman Marjohan PKR lawan Ong Ka Chuan (MCA), Dun Pasir Panjang Datuk Seri Haji Nizar PAS lawan Dr S Vasan (MIC).

Malah dalam usaha hendak menambah kerusi Melayu bertambah, maka PAS bertanding di kerusi pengundi melayu kurang daripada 50 peratus di Parlimen Kota Raja yang ditandingi oleh Dr Mariah. Ini adalah sebahagian contoh yang dikhianati oleh parti Umno yang menjadi kekasih Tan Seri Harussani.

PAS menyeru kepada ahli Umno yang ikhlas dan sayangkan agama, bangsa dan negara gunakanlah akal yang Allah berikan untuk buat keputusan supaya keluar Umno dan bersama-sama PAS yang sedang bersama membentuk pemetaan politik baru bersama-sama Pakatan Rakyat.

Ingatlah Islam selamat, Melayu selamat, bangsa lain selamat, negara pun selamat. Kalau Melayu selamat belum tentu Islam dan negara akan selamat.

Tiada ulasan: