Jumaat, 9 Julai 2010

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Kontroversi: Rompakan Di Rumah EXCO Pahang, Kematian Empat Lelaki Sungguh Mencurigakan !!

Posted: 09 Jul 2010 03:47 AM PDT

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Malaysiakini) - Ahli parlimen Batu, Tian Chua (foto) menggesa polis menjelaskan dengan terperinci kejadian empat lelaki ditembak mati ketika merompak di kediaman exco Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat pada 5 Julai lalu. Beliau berkata pihak polis tidak menceritakan bagaimana penjenayah tersebut ditembak mati dan ini menimbulkan pelbagai tanda tanya apabila penemuan empat butir peluru dari rumah exco berkenaan turut dapat dikembalikan. "Pertama sekali polis belum menjelaskan keadaan bagaimana penjenayah ini ditembak mati. Siapakah mereka, adakah merupakan satu desakan dan satu keperluan, untuk membunuh keempat-empat orang. "Saya percaya tidak ada orang yang melarikan diri, tidak ada survivor dalam kejadian ini, keempatnya semua ditembak mati dan kita hendak tahu apa senjata yang mereka pakai dan kenapa perlunya membunuh semua. "Kita rasa pelik, kenapa perlunya perompak curi peluru dan akhirnya dikembalikan. Ini satu cerita yang sangat pelik sekali," katanya di lobi parlimen, semalam.

Isu Kontroversi: ESQ Leadership Center Sdn Bhd Akan Meneruskan Program Itu Selagi Tiada Fatwa Rasmi Dikeluarkan Oleh Majlis Fatwa Kebangsaan

Posted: 08 Jul 2010 11:40 PM PDT

KUALA LUMPUR, 9 Julai - ESQ Leadership Center Sdn Bhd akan tetap meneruskan program ESQ sehingga Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa ke atas program motivasi tersebut. Pengurus Besar ESQ, Marhani Yusof berkata sehingga kini, lima mufti telah memberikan sokongan bahawa program motivasi tersebut iaitu Mufti Perak, Pahang, Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan. Beliau berkata demikian, pada sidang media di Hotel Pan Pacific di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Panel Syariah ESQ, Datuk Mustafa Abdul Rahman dan Penasihat Agama Istana Johor, Datuk Noh Gadot. Semalam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul program motivasi anjuran ESQ kerana ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam. Muftinya, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, menandatangani warta yang mengharamkan modul program motivasi itu pada 10 Jun lalu mengikut sub seksyen 34 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1953, selepas berbincang dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak. Mengikut warta yang dikeluarkan laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 17 Jun lalu, program ESQ yang diasaskan warga Indonesia, Ary Ginanjar Agustin, diharamkan kerana mendukung fahaman liberalisme, iaitu memahami atau mentafsir nas agama (al-Quran dan sunnah) dan fahaman pluralisme yang mengajar semua agama adalah sama. Mengikut warta itu, kedua-dua fahaman itu adalah sesat dan membawa kepada kekufuran

Edisi Pahang: Empat Buah Kedai Sederet Musnah Dalam Satu Kebakaran Di Kuantan Awal Pagi Tadi

Posted: 08 Jul 2010 11:31 PM PDT

KUANTAN, 9 Julai - Empat kedai dua tingkat musnah dalam satu kebakaran di Jalan Mahkota (foto) di sini awal pagi ini. Ketua Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Kuantan Mohd Ikhsan Mohd Ibrahim berkata tiga jentera dari Balai Bomba Kuantan, tiga dari Balai Indera Mahkota, dan masing-masing satu jentera dari Balai Gebeng dan Taman Tas bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 2.65 pagi. Beliau berkata kebakaran dipercayai bermula dari sebuah kedai kain sebelum merebak dengan pantas ke sebuah lagi kedai kain, sebuah premis pengurup wang dan kedai elektrik. "Seramai 38 anggota bomba mengambil masa hampir dua jam bagi mengawal kebakaran di deretan kedai itu sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada kira-kira pukul 9 pagi," katanya. Katanya ketika kejadian kesemua premis itu tidak berpenghuni dan punca serta tafsiran kerugian masih dalam siasatan. Sementara itu pemilik salah sebuah kedai kain yang musnah dalam kejadian itu Mohd Amir Sallai, 45, berkata beliau menganggarkan kerugian yang dialaminya menjangkau lebih RM500,000.

Tiada ulasan: