Jumaat, 2 Julai 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Permit Suara Keadilan Digantung.

Posted: 01 Jul 2010 08:28 PM PDT

KDN gantung permit Suara Keadilan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menggantung akhbar PKR - Suara Keadilan berkuatkuasa semalam kerana didakwa melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Dalam kenyataanya, KDN dikatakan tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh tabloid itu dan permit penerbitan tahunannya yang tamat tempoh semalam, tidak akan diperbaharui.

Sehubungan itu, kata setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN, Datuk Zaitun Ab Samad, mulai semalam permit penerbitan akhbar PKR itu tidak lagi sah dan ia tidak lagi boleh dicetak atau diterbitkan.

"Panel penilaian permohonan permit penerbitan dan lesen mesin cetak, KDN telah bersidang pada 1.7.2010 dan membuat keputusan - tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan oleh pihak Suara Keadilan bertarikh 29.6.2010 yang diterima pada jam 4.45 petang hari yang sama berkaitan dengan surat teguran Kementerian ini.

"Tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan oleh Editor Suara Keadilan, Encik Dzulkarnain Taib melalui suratnya bertarikh 29.6.2010 yang diterima pada 30.6.2010 jam 12.00 tengahari berkaitan artikel bertajuk "Felda Bankrap," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zaitun, permohonan pembaharuan permit Suara Keadilan yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu akan hanya dipertimbangkan apabila penjelasan yang memuaskan diterima daripada pihak berkenaan.

"Satu surat akan dikeluarkan kepada pencetak berkenaan untuk memaklumkan agar tidak mencetak penerbitan ini sehingga satu keputusan mengenai permohonan pembaharuan permit tersebut dikeluarkan oleh Kementerian ini," katanya. -mk

Ulasan GB

Tindakan KDN tersebut memang sudah dijangka.

Tindakan diskriminasi terhadap media ang tidak sehaluan dengan kerajaan sudah lama berlaku. Permit akhbar Harakah misalnya telah beberapa kali digantung, namun gelombang rakyat tidak mampu disekat sekalipun oleh bapak KDN.

TGNA pernah menyatakan bahawa air dari gunung jangan cuba ada yang menyekat, kelak anda akan disapu hanyut oleh air yang turun laju itu. Begitulah gelombang kebangkitan rakyat, jangan ada yang cuba untuk menyekatnya, anda bakal tercampak keluar lantarannya.

Ibrahim Ali Extremis Celaka - Pemuda MCA

Posted: 01 Jul 2010 08:46 AM PDT

Jikalau PERKASA mahu Wee Ka Siong dipenjarakan kerana kenyataan Pemuda MCA yang membela keadilan, maka ekstremis yang celaka ini lebih patut dipenjarakan di bawah ISA," kata Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA, Chiew Lian Keng.

Demikianlah kemarahan daripada Pemuda MCA, berikutan laporan utama edisi sulung Suara PERKASA yang bertajuk "Tahan Ka Siong bawah ISA". Beberapa orang pemimpin Pemuda MCA tampil mempertahankan Ketua-nya, masing-masing menyasarkan serangan terhadap Presiden PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia), Ibrahim Ali.

Antaranya, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA, Chiew Lian Keng menganggap Wee Ka Siong, Ketua Pemuda MCA merangkap Timbalan Menteri Pelajaran tidak bersalah, malah memberi amaran bahawa "jangan hina maruah Pemuda MCA!", kerana Pemuda MCA tidak akan bertolak ansur dengan provokasi yang biadap ini.

Malah, Pemuda Wilayah Persekutuan MCA mendesak agar kerajaan menyatakan sikapnya untuk mengasingkan diri daripada tindakan Ibrahim Ali yang biadap, mencelarukan sentimen perkauman, dan mencungkil saraf sensitif. Untuk Pemuda Wilayah Persekutuan MCA yang sanggup jadi benteng Wee Ka Siong, seandainya kerajaan berdiam diri dalam isu ini, maka ia adalah penghinaan terhadap MCA sebagai parti komponen kedua terbesar dalam BN.

Oleh itu, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA mahu Kementerian Dalam Negeri melucutkan permit penerbitan PERKASA, sebagai amaran kepada kenyataannya yang ekstrem, malah berharap agar penjual akhbar mengambil inisiatif untuk memboikot akhbar ini, demi menjaga keamanan negara.

Akta Hasutan terhadap PERKASA dan Ibrahim Ali

Selain itu, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chai Kim Sen turut menggesa agar polis menangkap Ibrahim Ali dan mengambil tindakan terhadap Suara Perkasa, dengan menggunakan Akta Hasutan 1948.

"Artikel dalam Suara PERKASA yang menggesa untuk menangkap Wee Ka Siong dengan ISA ini telah mencungkil kemarahan Pemuda MCA. Seandainya kerajaan berpeluk tubuh dalam isu ini, Pemuda MCA akan menyerang balik sehabis-habisnya. Kami sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan maruah MCA," kata Chai Kim Sen dalam kenyataannya.

Malah, Setiausaha Agung Pemuda MCA ini menambah, "PERKASA langsung tidak masuk akal. Pertubuhan yang dipimpin Ibrahim Ali ini bukan sahaja ekstrem, malah satu pertubuhan yang mengada-ada. Memang celaka betul!"

Pemimpin Pemuda MCA bangkit menyerang

Di samping itu, terdapat beberapa orang pemimpin Pemuda MCA lain yang turut mengeluarkan kenyataan media untuk menyelar Ibrahim Ali, hari ini. Ketua Pasukan Pemuda Kebangsaan MCA, Yap Tian Hoi membidas Suara PERKASA kerana menggunakan propaganda "kelas rendah" untuk mencungkil sentimen perkauman.

Ketua Biro Kajian Strategik dan Perancangan Pemuda MCA, Foo Seck Chyn pula membidas bahawa kesabaran kerajaan untuk membenarkan hujah perkauman ini berleluasa telah mencungkil kemarahan rakyat.

Naib Setiausaha Agung Pemuda MCA, Loh Chew June pula mendesak agar kerajaan memisahkan diri dari PERKASA, untuk membuktikan bahawa kerajaan mendukung semangat 1Malaysia, dan tidak bersekutu dengan pertubuhan yang ekstrem dan berkelas rendah ini.

*Kenyataan-kenyataan di atas dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Pemuda MCA, diterjemahkan dan disunting oleh MerdekaReview.

Tuntutan RM200 juta Felda: Keadilan Bo Layan, Jumpa Di Mahkamah

Posted: 01 Jul 2010 05:10 AM PDT

Keadilan hari ini menegaskan parti tidak akan melayan tuntutan RM200 juta dan tidak akan memohon maaf seperti yang dituntut oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhubung laporan 'Felda Bankrap' yang isiarkan dalam lidah rasmi, Suara Keadilan lebih seminggi lalu.

Naib Presiden KEADILAN, Sivarasa Rasiah berkata pihaknya bersedia ke mahkamah bagi mengemukakan segala bukti terhadap pendedahan yang dilakukan itu.

"Pendirian kita jelas, memang kita tidak akan layan dan kita akan jawab di mahkamah. Tindakan tersebut sangat kita alu-alukan dan inilah peluang untuk kita lakukan pendedahan terhadap penyelewengan yang berlaku di dalam Felda.

"Berhubung perkataan bankrap maksud kita jelas bahawa penyelewengan berlaku sehingga menjejaskan kewangan Felda, selain fakta yang diberikan oleh menteri terbabit boleh membawa Felda ke arah bankrap.

"Pelaburan dilakukan terhadap pembinaan bagunan baru Felda yang membabit kos yang tinggi itu juga satu pembaziran yang besar dan tidak akan dapat dimanfaatkan oleh peneroka begitu juga pelaburan di luar negara terutamanya di Amerika Syarikat.

"Tujuan kita jelas ingin membawa Felda kepada satu perubahan terhadap pentadbiran yang dilihat mempunyai kepentingan sesetengah pihak, sepatutnya Felda mengambil keputusan menjelaskan perkara tersebut bukan kepada tindakan tuntutan saman," kata Sivarasa kepada Suara Keadilan di parlimen petang tadi.

Beliau mengulas mengenai tuntutan ganti rugi Felda terhadap KEADILAN, penerbit Pelita Koridor Sdn Bhd serta Percetakan NPK Sdn Bhd.

Sebelum ini Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata pada sidang media di parlimen bahawa peguam Felda telah menghantar notis tuntutan saman fitnah kepada ketiga-tiga penama tersebut.

Kata Ahmad sekiranya tuntutan itu gagal ditunaikan dalam masa tujuh hari bermula hari ini, Felda akan membawa kes tersebut ke mahkamah.- SK


Perbuatan Melampau Najib Dan Rosmah, Rampas Gelaran Permaisuri Agong

Posted: 01 Jul 2010 02:03 AM PDT

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak enggan mendedahkan kos yang dibelanjakan bagi membawa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke New York, April lalu meskipun disdesak supaya berbuat demikian di Dewan Rakyat.

Dalam jawapan bertulisnya kepada N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), Najib mengelakkan daripada memberikan sebarang jumlah.

"Kos penginapan dan perjalanan Rosmah dimasukkan dalam perbelanjaan yang diperuntukkan untuk perdana menteri, berdasarkan kedudukannya sebagai isteri perdana menteri," kata Najib dalam jawapan satu perenggannya.

Gobalakrishnan yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang kurang tepat itu, cuba menimbulkan perkara berkenaan dengan speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Bagaimanapun, Pandikar menjawap Aturan Dewan tidak memberikannya kuasa untuk menilai 'kualiti' jawapan menteri dan sehubungan itu, beliau tidak boleh bertindak.

Selepas menghadiri Persidangan Keselamatan Nuklear di Washington DC, Najib dan Rosmah menghadiri sebuah majlis gilang-gemilang di hotel lima bintang St Regis di New York pada 16 April.


Majlis itu juga dihadiri oleh bintang filem antarabangsa seperti pelakon pemenang Oscar, Robert De Niro, Charlize Theron dan Emmy Rossum, serta diacarakan oleh Jamie Foxx.

Ketika mahlis itu, Rosmah diberikan anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa daripada US Business Council for International Understanding (BCIU).

Meskipun tidak dapat disahkan, beberapa laporan Internet mendakwa kemuncak majlis itu ialah apabila Rosmah berduet dengan Foxx.

Majlis berkenaan tidak mendapat liputan akhbar tempatan tetapi menjadi perdebatan berikutan penyiaran dua halaman iklan berwarna di New York Times yang mengucapkan tahniah kepada Rosmah daripada "keluarga dan sahabatnya di Amerika dan Malaysia".

Tidak kurang juga rakyat marah apabila Rosmah dirujuk sebagai 'wanita pertama Malaysia' - gelaran yang sepatutnya dikhaskan untuk Raja Permaisuri agong.

Menurut laporan The Nut Graph, New York Times pada mulanya berkata iklan berkenaan dibiayai oleh kerajaan Malaysia tetapi kemudian menarik semula kenyataan berkenaan.

Berikutan itu, Najib memberitahu Dewan Rakyat bahawa BCIU yang meletakkan iklan berkenaan. Bagaimanapun majlis berkenaan belum mengesahkan perkara tersebut.

Bercakap kepada wartawan, Gobalakrishnan berkata kerajaan harus telus dan mendedahkan kos sebenar perbelanjaan Rosmah.

"Sebelum ini, mereka dakwa ada NGO yang membiayai lawatan isteri perdana menteri. Tetapi sekarang mereka berkata pejabat PM pula yang membayar," katanya.

"Saya akan terus menulis meminta jawapan. Saya minta perangkaan, tetapi mereka tidak memberikan jumlahnya. Rakyat seharusnya tahu berapa yang dibelanjakan oleh isteri PM." -mk

Ulasan GB

Berkemungkinan Najib bakal terima nasib Idris Jusoh...

SPRM Hanya Alat Untuk Kekalkan Golongan Penguasa Umno-BN

Posted: 30 Jun 2010 10:52 PM PDT

Keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membatalkan rancangan untuk mengambil keterangan P Balasubramaniam di London atas alasan kenyataan saksi yang dirakam di luar negeri tidak diterima sebagai bahan bukti adalah penuh dengan percanggahan, andaian tidak berasas dan alasan tidak munasabah guna untuk mengelak mewawancara beliau.

Americk Sidhu (gambar), peguam kepada penyiasat persendirian itu berkata tatkala SPRM bersungguh-sungguh untuk mengambil keterangan Bala, keputusan mengejutkan ini tidak boleh diterima akal.

"Merekodkan keterangan daripada saksi boleh dilakukan dimana-mana sahaja di dunia ini kerana kenyataan itu akan menjadi sebahagian daripada siasatan SPRM bagi kemungkinan membuat pendakwaan dan ianya bukan bagi tujuan bukti untuk digunakan dalam mahkamah kelak.

"Kalau alasan SPRM diterima maka kenyataan yang direkodkan daripada Saiful berhubung kes liwat II yang didakwa ke atas Anwar Ibrahim sudah tentu telah dikemukakan oleh pihak pendakwaraya sebagai sebahagian bahan kes dan bukannya disembunyi seperti yang berlaku sekarang.

"Kenyataan yang diambil tidak akan dikemukakan di mahkamah kecuali untuk menidakkan penyataan lisan saksi jika ia bercanggah dengan apa yang telah direkodkan. Proses in dipanggil 'impeachment' dan sebab itu keterangan harus diambil dahulu.

Americk menyatakan alasan yang diberikan SPRM seolah-olah mengandaikan bahawa Bala tidak akan memberi keterangan di mahkamah.

"Mengapa SPRM membuat andaian demikian? Bala sejak awal sudah bersedia untuk memberi keterangan terhadap individu yang telah menyebabkan kesengsaraan kepada Bala dan keluarganya sejak dua tahun lalu

"Bukankah Bala yang tampil untuk menceritakan perkara yang sebenar? Pernahkah beliau mengabaikan peranannya sebagai warganegara yang bertanggungjawab untuk membantu pihak berkuasa dalam apa jua kapasiti tanpa menjejaskan keselamatannya? Apa yang dipinta Bala ialah supaya pihak berkuasa memastikan keselamatannya sekiranya beliau perlu memberi keterangan. Tidak lebih tidak kurang.

"Bala dengan mudah mampu tinggal dalam buangan dengan RM5 juta dalam poketnya dan tidaklah hidupnya sengsara sebegini. Sebaliknya beliau tampil untuk mendedahkan salahlaku yang dilakukan oleh sekumpulan individu yang bermoral rendah hinggalah kepada penjawat tertinggi dalam kerajaan serta anggota keluarga mereka,
" tegas Americk dalam emel yang dihantar kepada Suara Keadilan semalam.

Tambah peguam itu jika pihak SPRM inginkan salinan akuan bersumpah Bala ia dengan mudah boleh diperolehi daripada laman siber yang banyak memuatkan dokumen berkenaan dalam bentuk akuan bersumpah pertama bertarikh Julai 2008 dan tiga bahagian soal jawab beliau yang dikeluarkan pada November 2009.

Kesemua dokumen ini kata Americk sudah terdedah sekian lama dan membutirkan segala isu berkaitan konspirasi kematian Altantuya Shaariibuu.

"Kalau inilah yang diperlukan SPRM, kenapa memberi alasan bahawa siasatan tidak boleh diteruskan tanpa kerjasama Bala?

"Kenapa Nazri memberitahu Parlimen bahawa SPRM tertekan dalam siasatan mereka kerana Bala tidak boleh dikesan?

"Bala sentiasa sedia hadir dan SPRM mengetahui hakikat ini. Kita ada bukti dokumen yang memaklumkan demikian seawal Disember tahun lalu. Mengapa tiba-tiba ia jadi kaku pada saat-saat akhir.


Americk menegaskan adalah memeranjatkan sebuah badan awam seperti SPRM yang dijangka akan menggunakan segala kuasa yang ada untuk menyiasat secara serius dakwaan terhadap Perdana Menteri, isterinya dan adik beliau kini dilihat melepaskan peluang keemasan ini atas alasan dangkal. SPRM mengetahui betapa teliti persediaan telah dibuat untuk menganjurkan sesi mengambil keterangan Bala dan sekarang dengan mudah menarik diri yang selama ini semua telah tertipu dengan persepsi serius dan bersungguh-sungguh yang dipamerkan sebelum ini.

"Apa yang berlaku telah memusnahkan apa sedikit kredibiliti yang masih ada pada SPRM dan seterusnya mengesahkan sangkaan oleh anggota masyarakat negara ini yang mempunyai kaliber dan pemikiran yang tinggi bahawa SPRM adalah hanya sebuah badan yang wujud untuk melindungi kepentingan golongan yang memegang kuasa dan sebarang bantahan rakyat hendaklah diambil tindakan yang keras dan tidak berperikemanusiaan. Ini bagi menekan segala pembongkaran terhadap kebejatan rejim yang memerintah supaya kuasa terus berada ditangan mereka," tambah beliau.

Americk berkata beliau serta peguam lain akan tetap berada di Holiday Villas, Bayswater di London pada 5 Julai pukul 10.00 pagi menunggu ketibaan tiga pegawai penyiasat SPRM seperti mana yang telah diatur dan dijanjikan.

"Nasihat daripada pejabat Peguam Negara kepada SPRM adalah tanpa asas undang-undang. Ini dibuat secara tergesa-gesa dengan tujuan mengelak situasi yang amat memalukan bagi golongan berkuasa yang berjaya menyeleweng dan menyalah guna aparatus kerajaan bagi memenuhi agenda haram mereka.

"Kalaulah masih ada sangkaan bahawa SPRM akan meneruskan rancangan untuk mewawancara Bala anggapan ini terhapus keran sehingga kini SPRM tidak ambil pusing untuk membuat tempahan bilik mesyuarat di Holiday Villas.

"Hakikatnya SPRM tidak pernah mempunyai niat untuk mengambil keterangan Bala dan sejak beberapa minggu lalu kelam kabut untuk mencari alasan untuk tidak berbuat demikian. Masalahnya alasan yang diberi adalah bodoh dan tidak diterima akal dan rakyat semua mengetahuinya," kata Americk. -SK

PR Ada Hak Lantik Penasihat Undang-undang, SUK Dan Pegawai Kewangan Sendiri

Posted: 30 Jun 2010 08:31 PM PDT

Tukar Penasihat Undang-Undang, Kajian Selama Dua Tahun

Pakatan Rakyat sudah membuat kajian undang- undang selama dua tahun sebelum membuat keputusan melantik peguam bebas sebagai penasihat undang- undang negeri menggantikan peguam dari Jabatan Peguam Negara.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata Pakatan Rakyat mengambil keputusan demikian berdasarkan pengalaman mentadbir Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, yang dinafi nasihat perundangan yang jujur.

"Kita kurang mendapat kerjasama dari penasihat undang-undang yang dilantik oleh Kerajaan Pusat. Kita tak ambil tindakan segera ketika itu sebab kita kaji undang-undang.

"Adakah kerajaan negeri tertakluk pada undang-undang yang hanya boleh lantik peguam dari jabatan peguam Negara sahaja?

"Kita diberi nasihat bahawa kerajaan boleh lantik penasihat undang-undang sendiri, ini berkait dengan undang-undang tubuh kerajaan negeri," katanya kepada TV Selangor.

Naib Presiden Pas, Sallehuddin Ayub berkata tindakan ini perlu lantaran penasihat undang- undang lantikan Pejabat Peguam Negara dikatakan memberi nasihat yang hanya menjurus kepada kepentingan kerajaan Persekutuan.

"Penasihat undang-undang negeri didapati tidak menjalankan tugas nasihat kepada kerajaan negeri sebab mereka dilantik oleh Peguam Negara. Jadi mereka terpaksa tunduk pada mereka.

"Contoh kes royalti Kelantan. Penasihat itu tidak bagi nasihat yang sepatutnya pada negeri. Sebab itulah kita hendak lantik peguam yang bukan Pejabat Peguam Negera supaya tiada jurang antara penasihat undang-undang dengan dgn kerajaan negeri," katanya.

Azmin menegaskan Peguam Negara wajar menghormati keputusan Pakatan Rakyat.

"Sudah tentu Peguam Negara ada pandangan dia tersendiri. Tapi perkara ini kita tak ambil tindakan terburu-buru. Dua tahun kita teliti. Kita boleh lantik peguam sendiri untuk nasihat kita berkenaan undang-undang," kata Azmin.

"Kita akan tunggu keputusan Pejabat Peguam Negara dulu. Kita hanya cadangkan semalam, dan kita akan tunggu jawapan dari Peguam Negara," kata Salehuddin pula. -TVS


Aziz Bari: Tukar sekali SUK, pegawai kewangan

Pakatan Rakyat bukan sahaja disaran menggantikan penasihat undang-undang dengan peguam sendiri, sebaliknya gagasan itu turut dicadang melantik pegawai kewangan dan setiausaha kerajaan negeri pilihan mereka.

Hal ini disuarakan oleh pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Aziz Bari.

Beliau yang dipetik oleh TV Selangor berkata ketiga-tiga jawatan berkenaan adalah lantikan kerajaan persekutuan yang disyaki berperanan sebagai tali barut kerajaan pusat untuk mengkucar-kacirkan kestabilan di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

"Oleh kerana penasihat undang-undang, pegawai kewangan negeri dan setiausaha kerajaan negeri adalah anggota kabinet negeri, jadi mereka ini mungkin membocorkan rahsia negeri kepada pusat," katanya.

"Gaji dibayar oleh negeri tetapi kesetiaan dan kiblat mereka kepada kerajaan persekutuan kerana kita faham mereka ini dipilih oleh peguam negara untuk mengkucar-kacirkan. Ini yang berlaku," katanya lagi.

Tali barut

Mesyuarat majlis tertinggi Pakatan Rakyat sebelum ini mencadangkan supaya empat negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat melantik peguam luar dan bukannya dari pejabat peguam negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perubahan itu perlu dilakukan kerana penasihat undang-undang sedia ada, tidak bebas dan tertakluk kepada telunjuk kerajaan pusat.

"Yang disebut Anwar sebagai 'kecuaian' cukup lembut. Ia bukan kecuaian tetapi memang menjadi tali barut, menjadi gunting dalam lipatan kerana kenaikan pangkat ditentukan Peguam Negara bukan kerajaan negeri, bukan MB," katanya.

Mengulas lanjut, kata Aziz, tidak ada sebarang perlembagaan khusus melibatkan perkara berkenaan.

"Saya melihat perkara ini sebagai satu kelemahan dalam struktur perlembagaan. Saya tidak faham kenapa... Kalau zaman dulu mungkin susah hendak dapatkan peguam tetapi sekarang lain.

Guna istana

Beliau bagaimanapun mengesyaki tidak mustahil hasrat kerajan negeri Pakatan Rakyat akan dihalang berikutan kepentingan politik pihak berkepentingan termasuk memperalat institusi istana.

"Masalahnya, mereka (kerajaan persekutuan) akan gunakan istana untuk menghalang pelantikan ini," katanya.

Penasihat undang-undang di negeri-negeri Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum 2008 seringkali bertindak dan membuat keputusan yang bercanggah dengan kerajaan negeri. Paling ketara, ia berlaku di Perak sebelum kerajaan negeri Pakatan ditumbangkan.

Di Selangor pula, penasihat undang-undang negeri didakwa melengahkan hasrat kerajaan negeri menjadikan dokumen konsesi perjanjian air sebagai dokumen awam. -mk

Tiada ulasan: