Sabtu, 3 Julai 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


KDN gantung permit Suara Keadilan

Posted: 03 Jul 2010 11:00 PM PDT

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menggantung akhbar PKR – Suara Keadilan berkuatkuasa semalam kerana didakwa melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Dalam kenyataanya, KDN dikatakan tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh tabloid itu dan permit penerbitan tahunannya yang tamat tempoh semalam, tidak akan diperbaharui.

Sehubungan itu, kata setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN, Datuk Zaitun Ab Samad, mulai semalam permit penerbitan akhbar PKR itu tidak lagi sah dan ia tidak lagi boleh dicetak atau diterbitkan.

"Panel penilaian permohonan permit penerbitan dan lesen mesin cetak, KDN telah bersidang pada 1.7.2010 dan membuat keputusan – tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan oleh pihak Suara Keadilan bertarikh 29.6.2010 yang diterima pada jam 4.45 petang hari yang sama berkaitan dengan surat teguran Kementerian ini.

"Tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan oleh Editor Suara Keadilan, Encik Dzulkarnain Taib melalui suratnya bertarikh 29.6.2010 yang diterima pada 30.6.2010 jam 12.00 tengahari berkaitan artikel bertajuk "Felda Bankrap," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zaitun, permohonan pembaharuan permit Suara Keadilan yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu akan hanya dipertimbangkan apabila penjelasan yang memuaskan diterima daripada pihak berkenaan.

"Satu surat akan dikeluarkan kepada pencetak berkenaan untuk memaklumkan agar tidak mencetak penerbitan ini sehingga satu keputusan mengenai permohonan pembaharuan permit tersebut dikeluarkan oleh Kementerian ini," katanya.


Pulau Pinang setuju LA bukan dari Peguam Negara

Posted: 03 Jul 2010 04:00 PM PDT

Oleh Ali Hashim    

BUKIT MERTAJAM, 2 Julai: Selepas Kelantan, Pulau Pinang pula setuju cadangan agar Penasihat Undang-undang (LA) dilantik sendiri oleh kerajaan negeri bukannya dari Jabatan Peguam Negara namun buat masa ini akan kekal dengan kakitangan yang ada.

Ketua Menteri Pulau Pinang,  Lim Guan Eng, menyokong cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua negeri yang ditadbdir oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) melantik Penasihat Undang-Undang sendiri.

Langkah ini akan menghentikan amalan yang menjadi tradisi kerajaan yang lalu apabila penjawat jawatan tersebut diisi oleh wakil dari Jabatan Peguam Negara.

Menurut Lim lagi, cadangan tersebut adalah suatu proposal yang baik bagi mengelakkan berlakunya tindakan cuai pegawai yang dilantik oleh Kerajaan Pusat.

“Tindakan ini adalah baik kerana sebagaimana yang kita ketahui pegawa-pegawai ini adalah lantikan daripada Kerajaan Pusat yang mewakili kepentingan Umno dan Barisan Nasional (BN) serta menimbulkan pelbagai masalah kepada pentadbiran negeri.

“Walau bagaimanapun setakat ini Pulau Pinang akan terus menggunakan khidmat nasihat daripada pegawai yang sedia ada, memandangkan Penasihat Undang-Undang tersebut adalah wakil kepada Kerajaan negeri dalam semua urusan yang berasaskan perundangan dan mereka harus berurusan melalui saya terlebih dahulu,”katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, semua tindakan yang akan diambil perlu terlebih dahulu mendapat arahan daripada Exco Kerajaan Negeri dan Pulau Pinang masih lagi mengekalkan Penasihat Undang-Undang sedia ada.

Lim berkata demikian semasa bercakap kepada media di Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai, Bandar Perda, Bukit Mertajam.


Razaleigh pengerusi jawatankuasa tuntut royalti

Posted: 03 Jul 2010 04:47 AM PDT

Hazayani Zakaria   

KUALA LUMPUR 1 Julai: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (kiri) akan mempengerusikan sebuah jawatankuasa bagi menuntut hak royalti minyak dan menilai semula hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri yang akan ditubuhkan pada minggu hadapan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (kanan) memberitahu, Pakatan Rakyat telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh semalam dan beliau telah menyatakan persetujuan berhubung perkara itu.

“Kita telah mengadakan pertemuan dengan Yang Berhormat Mulia Tengku Razaliegh, dan beliau bersetuju untuk mengetuai Kaukus ini, tetapi ia tidak hanya tertumpu kepada isu royalti sahaja, bahkan akan menyentuh hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan negeri.

"Beliau akan memanggil Ahli Parlimen dari semua parti termasuk dari negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen petang semalam.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS memaklumkan demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh bagi membincangkan penubuhan Kaukus tersebut di sebuah tempat di Kuala Lumpur, sebelum itu.

Antara yang bersamanya dalam pertemuan tersebut adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abd Halim Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar.
Ketika ditanya mengenai ahli parlimen yang akan menyertai Kaukus Parlimen tersebut, Salahuddin menjelaskan bahawa mereka akan membuat pengumuman mengenainya dan akan mengadakan sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat tersebut di Parlimen, minggu hadapan.

“Kita sedang bincangkan tajuknya. Mungkin kita akan guna ‘Petroleum dan Semangat Federalisme’,” katanya.
Beliau berpandangan, penyertaan Tengku Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas akan memberikan fokus yang lebih kepada isu-isu melibatkan kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri.

Ini berikutan apa yang dianggap beliau sebagai kepudaran dan kelonggaran terhadap prinsip-prinsip dan semangat ‘federalisme’ sehingga menyebabkan seolah-olah kuasa kerajaan negeri semakin terhakis.

Ketika ditanya mengenai kempen Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) yang dimulakan di Kelantan bagi menuntut hak royalti minyak bagi negeri tersebut, beliau memaklumkan bahawa kempen NGO tersebut turut merangkumi negeri-negeri lain termasuk Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata bahawa kempen akan disemarakkan lagi, bagi memberi penerangan kepada rakyat Malaysia berkenaan isu tersebut.

“Kita akan adakan mobilisasi dan ‘roadshow’ di seluruh negara. Kempen ini akan diadakan secara berterusan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.