Rabu, 14 Julai 2010

D'Perbatasan

D'Perbatasan


KDN beri permit penerbitan Harakah

Posted: 14 Jul 2010 07:19 PM PDT

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk memperbaharui permit penerbitan lidah rasmi PAS, Harakah,dengan memberi amaran keras supaya ia hanya dijual di markas dan pejabat urusan parti itu sahaja.

Permit penerbitan akhbar itu tamat pada 7 Julai lepas.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks AL-Quran kementerian itu Datuk Zaitun Ab Samad berkata keputusan untuk memperbaharui permit penerbitan Harakah dibuat setelah KDN berpuas hati dengan kerjasama, penjelasan dan janji pihak pengurusan Harakah untuk mematuhi syarat-syarat permit penerbitan serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurutnya, pihak pengurusan Harakah memberi perhatian serius terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh KDN dan telah menunjukkan kerjasama yang baik.

Pengerusi Jemaah Pengarah Harakah Datuk Mustafa Ali dan Pengarah Urusan Datuk Kamarudin Jaafar telah datang berjumpa Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mahmood Adam pada 12 Julai lepas untuk memberi penjelasan.

Zaitun berkata pihak Harakah juga telah menjawab surat tunjuk sebab pada 13 Julai dengan membuat akujanji akan mematuhi syarat-syarat permit penerbitan seperti mencetak perkataan "Untuk Ahli Sahaja" dan menghantar lapan naskhah setiap keluaran Harakah kepada kementerian sebaik sahaja ia dicetak.

"Kementerian akan sentiasa memantau penerbitan Harakah untuk memastikan pematuhan," katanya.

Keputusan itu diumumkan sehari selepas mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat memutuskan bahawa penerbitan lidah rasmi komponennya Suara Keadilan, Harakah dan Roket akan ditangguhkan sementara waktu sehingga pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilakukan bagi membincangkan isu pembaharuan permit ketiga-tiga akhbar berkenaan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP telah menjawab surat tunjuk sebab yang diberikan kementerian berkenaan berhubung isu pembaharuan permit dan artikel yang disiarkan akhbar itu.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri menyatakan permit Suara Keadilan yang tamat tempoh pada 30 Jun lepas tidak akan diperbaharui sehingga kementerian menerima penjelasan yang memuaskan berhubung penyiaran beberapa artikel termasuk yang terbaru bertajuk "Felda Bangkrap".

PAS turut menerima surat tunjuk sebab berhubung permit yang tamat tempoh pada 7 Julai lalu manakala DAP pula menerima dua surat tunjuk bagi akhbar Roket edisi bahasa Inggeris dan Cina yang tempoh permit penerbitannya masing-masing tamat pada 30 Jun lalu dan 30 November lalu.

Dalam pada itu, Kamarudin ketika dihubungi sebentar tadi berkata, PAS menyambut baik keputusan kementerian meluluskan permohonan memperbaharui permit penerbitan Harakah.

"Kami akan sedaya upaya cuba mematuhi syarat-syarat yang dikenakan dengan sepenuhnya... kami juga berharap kerjasama daripada pihak kerajaan dan orang ramai supaya memahami keadaan ini," katanya.

Ketika ditanya sama ada akhbar dwimingguan Harakah akan dikeluarkan esok seperti biasa, Kamarudin berkata, beliau perlu mengadakan perbincangan dengan pengurusan dan pencetak.

Mengenai keputusan Pakatan Rakyat menangguhkan penerbitan kesemua organ mereka termasuk Harakah, beliau berkata, keputusan semalam dibuat berdasarkan kedudukan permit masih belum diperbaharui.

"Tetapi permit Harakah sudah diperbaharui sekarang, saya rasa tiada masalah dan ia akan diterbitkan macam biasa," katanya.

UMNO Mahu Bersatu Dengan PAS, Bagaimana Dengan PKR?

Posted: 14 Jul 2010 06:31 PM PDT

TPM Muhyiddin Yasin seperti ingin merayu agar PAS kembali bersatu atau bekerjasama dengan Umno. Saya pun tidak tahu semenjak bila PAS tidak mahu bekerjasama dengan Umno? Yang saya faham cuma PAS tidak mahu bekerjasama untuk menubuhkan kerajaan atau Kerajaan Perpaduan dengan Umno (UG) kerana PAS kini komited dengan PR. Dalam aspek lain, saya rasa PAS, bahkan PKR dan DAP juga tidak menolak kerjasama dengan Umno asalkan mendatangkan faedah kepada rakyat.

Bukti PAS telah bekerjasama dengan Umno dalam aspek ini banyak. Tetapi, akhirnya yang menjadi mangsa PAS juga. Contoh, seperti apa yang telah berlaku ke atas Kerajaan Negeri Kelantan di bawah PAS. Berapa kalikah MB Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas telah `dimalukan' oleh mereka? Bayangkan seorang MB `dimalukan' di negeri yang beliau perintah sendiri. Siapa yang mengkhianati kerjasama sebenarnya?

Saya amat tertarik dengan tulisan MSO (Klip Disini)
. Beliau mengajukan persoalan mengapa Umno beriya-iya benar mahu bekerjasama dengan PAS, mengapa tidak dengan PKR? Memang bagus seperti apa yang di utarakan oleh MSO itu. PKR juga mempunyai ramai ahli-ahli dan penyokongnya yang terdiri daripada kaum Melayu dan Islam. Bahkan, ada di kalangan pemimpin dan ahli-ahli PKR masih terdapat `bau' Umno ditubuhnya. Tetapi mengapa Umno lebih berselera dengan PAS?

Adakah Umno tertarik dengan dasar PAS iaitu untuk menegakkan sebuah Negara Islam berpaksikan Al-Quran, Hadith, Ijmak Ulamak dan Qias itu? Bukankah Umno pernah melarang Kerajaan PAS di Terengganu suatu ketika dan di Kelantan untuk melaksanakan Undang-Undang Islam Hudud dan Qisas? Bukankah pemimpin Umno juga yang menentang kes Qazaf yang dibawa oleh DS Anwar di Mahkamah Syariah berkaitan kes liwatnya? Pemimpin Umno juga berhasrat untuk meluluskan lesen judi sukan di samping masih mengekalkan lesen berbagai jenis judi sekarang? Jadi, apa asasnya Umno ingin bekerjasama dengan PAS dan tidak mahu menghampiri PKR?

Pada saya hanya satu, Umno ingin bekerjasama dengan PAS semata-mata untuk menjatuhkan PKR terutamanya pemimpin tertinggi parti tersebut iaitu DS Anwar. Umno mahu semua orang Melayu menjauhi PKR dan DS Anwar agar mudah bagi Umno untuk memperkudakan PAS seperti yang pernah dilakukannya dahulu. Umno sedar, kekuatan dan perpaduan PR banyak terletak di tangan Ketua Pembangkang itu. Usaha Umno untuk memecahbelahkan PAS dengan DAP selalu gagal kerana adanya DS Anwar di tengah-tengah.

Satu sebab lagi, kebanyakan pimpinan di dalam PKR datangnya dari Umno. Mereka amat mahir dengan strategi politik Umno dan mereka banyak tahu segala jenis penyelewengan pemimpin Umno. DS Anwar pemimpin di dalam PKR yang banyak kali membuatkan pemimpin Umno `sesak nafas'. Berbagai pendedahan telah dibuat oleh DS Anwar terhadap kerajaan dan pemimpin Umno, kebanyakannya gagal dijawab oleh mereka. Berbagai usaha telah mereka lakukan untuk menamatkan karier politik DS Anwar, namun masih tidak berhasil. Maka, mereka mengharapkan PAS membantu mereka.

Adakah PAS akan termakan dengan pujuk rayu pemimpin `lidah bercabang' ini? Lojikkah Umno ikhlas ingin bersatu dengan PAS, sedangkan baru beberapa hari pemimpin kanan Umno sendiri menggelar PAS sebagai `parti ajaran sesat'? Umno ingin bersatu dengan parti yang mereka cop sebagai sesat? Tidak masuk akal langsung.



Oleh: WFAUZDIN NS

PAS sudah tolak berunding dengan Umno

Posted: 14 Jul 2010 05:41 AM PDT

Sukacita saya merujuk kepada laporan beberapa akhbar hari ini (14 Julai 2010), khususnya menyentuh permasalahan hubungan PAS dengan Umno.

Sukacita dinyatakan, isu berunding antara PAS–Umno sudah selesai. PAS sudah menolak untuk berunding dengan Umno. Sekarang PAS sudah menerima kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Kalau Umno ingin sangat menjaga perjuangan orang Melayu, lebih baik Umno menukar dasarnya kepada Islam. Kerana Islam yang menyelamatkan manusia dan KITA HARUS INGAT penghujung hidup manusia adalah Akhirat. Sebab itu, Islam mengajar hidup manusia mesti berpandukan ad-Din, iaitu cara hidup berpandukan agama. Hanya agama diambil kira di Akhirat.

Atas maksud untuk memenuhi tuntutan hidup beragama, maka setiap kali umat Islam sembahyang, hendaklah membaca al-Fatihah yang di dalamnya mengandungi perkataan "maliki yaumiddin" yang bermaksud hari agama, hari berlakunya pembalasan mengikut neraca agama. Sementara agama itu pula terkandung di dalam 30 juzuk al-Quran. Oleh sebab itu, Islam mengajar kita supaya menerima pakai semua ayat al-Quran sebagai panduan hidup. Kita tidak boleh pilih untuk pakai ayat-ayat tertentu, sementara ayat-ayat tertentu pula kita tolak.

Atas prinsip agama begini, maka PAS selama 20 tahun mentadbir Kelantan adalah hasil daripada sokongan semua bangsa dan agama dan merekalah yang mengundi PAS atas nama Islam. Kalau tidak masakan PAS dapat menang besar tahun 1990 dan 2008 lalu.

Apa yang berlaku di Kelantan adalah sebagai bukti bahawa dasar Islam diterima oleh majoriti rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, termasuklah orang Umno turut menyokong dasar Islam yang dibawa oleh PAS.

Pada saya, kalau Umno tukar dasarnya daripada Melayu kepada Islam, maka Umno boleh bersama PAS dalam Pakatan Rakyat. Bila Umno boleh bersama PAS atas dasar Islam, orang Islam makin kuat dan politik Melayu bertambah kukuh.

Sekaranglah masanya untuk Umno menukar dasar Melayunya itu. Jangan terikut-ikut dengan puak Yahudi. Kerana pengasas perjuangan bangsa itu adalah puak Yahudi. Ia disambung pula oleh puak Arab. Sedangkan perjuangan atas dasar kaum atau bangsa tidak diterima di sisi Nabi Muhammad SAW. Sedangkan di akhirat kelak kita akan masuk syurga. Untuk masuk syurga mestilah dengan syafaat Nabi. Macam mana untuk mendapat syafaat Nabi sekiranya kita berjuang tidak mengikut seruan Nabi.

Wallahu'alam.

YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.

Kenapa tak ajak Anwar sekali

Posted: 14 Jul 2010 05:38 AM PDT

"Kenapa tidak diajak Datuk Seri Anwar bersama yang ternyata mempunyai sokongan yang begitu kuat juga di kalangan rakyat," kata Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

Baginya, pelawaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbaik dengan PAS adalah antara agenda mereka untuk memecahbelahkan kekuatan yang ada pada Pakatan Rakyat (PR).

"Ini jelas membuktikan Umno dan Barisan Nasional sudah tidak yakin dengan dasar dan perjuangan mereka. Perjuangan PAS yang berlandasakan Islam adalah menjadi alternatif kepada mereka. Rakyat juga harus melihat dari sudut kegagalan Umno dan BN mengurus tadbir negara," katanya yang juga Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Pusat.

Beliau juga melahirkan keyakinan beliau bahawa pilihan raya umum tidak begitu jauh dari jangkaan sebenar.

Mengulas tindakan yang semakin rakus diambil oleh kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri dalam beberapa isu yang membabitkan akhbar parti pembangkang seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket telah menunjukkan kekangan yang semakin terdesak oleh pihak kerajaan.

"Dengan kekangan ini mereka merasakan maklumat tidak akan sampai kepada rakyat, tetapi itu adalah satu kesilapan yang besar mereka lakukan. Ianya bukan saja menambah kebencian rakyat terhadap sikap yang mereka ambil, tetapi juga melipatgandakan hasrat rakyat ingin mendapatkan bahan yang terlarang pada anggapan mereka," katanya.

Pakatan tangguh terbit Harakah, Suara Keadilan, Roket

Posted: 14 Jul 2010 05:31 AM PDT

Pakatan Rakyat hari ini membuat keputusan untuk menangguhkan penerbitan akhbar rasmi ketiga-tiga parti, Harakah, Suara Keadilan dan Roket buat sementara waktu sehingga mendapat penjelasan rasmi daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berhubung permit tiga akhbar tersebut.

Keputusan itu diumumkan pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat Ketua Pembangkang, parlimen hari ini.Hadir sama pada sidang media tersebut, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan ahli pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti.

"Kita akan ikut semua proses dan peraturan yang dikehendaki. Parti-parti telah menunjukkan surat tunjuk sebab dan lain-lain yang dikehendaki. Buat sementara waktu, akhbar rasmi ketiga-tiga parti ditangguhkan penerbitannya," kata Anwar.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh juga meminta pertemuan dengan Hishammuddin dipercepatkan bagi membolehkan Pakatan membuat keputusan mengenai langkah yang harus diambil.

"Kita meminta supaya dipercepatkan pertemuan dengan Datuk Hishamuddin. Ini kerana menteri yang bertanggungjawab sepenuhnya dan memberikan pertimbangan yang sewajarnya dan memberi ruang supaya jangan nampak Malaysia ini tidak mengamalkan demokratik dan kebebasan media," katanya lagi.

Tuan Guru Abdul Hadi pula berkata, semua parti bersedia untuk menghantar wakil daripada pihak pengurusan akhbar untuk bertemu dengan Hishammuddin dan bersedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak kementerian.

"Kita memberi jawapan kepada semua soalan yang dikemukakan dan semua parti akan menghantar wakil dari pihak pengurusan suratkhabar menemui Kementerian Dalam Negeri untuk memberi penjelasan dan menjawab soalan yang dikemukakan dan lepas itu kita tunggu dan lihat," katanya.

Mengulas pujian KDN kepada kerjasama yang diberikan pihak Harakah, Anwar berkata, KDN sewajarnya membenarkan akhbar tersebut diterbitkan jika pujian itu benar-benar ikhlas.

"Kita ucap tahniah dan kalau betul dia puji berilah kebenaran Harakah bukan sahaja dijual kepada ahli tapi dibenarkan dijual kepada seluruh rakyat. Barulah benar pujian itu. Kalau tidak, pujian itu berniat jahat," katanya.

Fitnah Jahat Kerana Pimpinan UMNO-BN Terdesak

Posted: 14 Jul 2010 05:27 AM PDT

KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—
14 Julai 2010, Parlimen Malaysia

Pimpinan Umno, melalui lidah rasminya Utusan Malaysia telah memintal fitnah jahat demi menggambarkan saya sebagai seorang yang terdesak dan sanggup menjadi talibarut CIA. Laporan akhbar bertarikh 11hb Julai 2010 telah memuatkan laporan yang bertajuk "Penulis Blog AS Dedah Anwar Alat CIA" dan juga memintal pembohongan kononnya saya membuat bayaran kepada Cable News Network(CNN) untuk muncul di ruangan Connect The World. Dengan hanya berasaskan tulisan blog Elaine Supkis (kononnya blog terkenal) dan kenyataan seseorang yang bernama Joshua Trevino, Utusan Malaysia milik Umno, tanpa berpandukan etika kewartawanan memulakan satu kempen yang berakarkan kebencian.

Walaubagaimanapun pada 13hb Julai 2010, Cable News Network (CNN) telah menafikan bahawa saya membuat sebarang bayaran kepada organisasi media tersebut untuk muncul di ruangan Connect The World. Penafian ini sekaligus membuktikan tuduhan yang dilemparkan pimpinan Umno-Bn terhadap saya melalui akhbar Utusan Malaysia merupakan satu fitnah yang jahat dan dangkal. Malahan organisasi CNN yang berpengkalan di Hong Kong berpandangan adalah janggal mengapa tiada usaha dari pihak Utusan untuk mendapatkan kepastian dari pihak mereka. Tindakan Utusan merupakan satu kecurangan yang nyata dari amalan kewartawanan yang bermaruah dan bebas.

Kita sedar fitnah ini direkayasa khusus untuk merosakkan reputasi saya sebagai Ketua Pembangkang serta bercita-cita menggugat keutuhan muafakat Pakatan Rakyat. Pastinya cita-cita jahat mereka hanya akan tinggal sebagai satu angan-angan kosong semata. Serangan fitnah bertali arus yang ditujukan kepada saya ini bukanlah suatu yang baru. Sebelum ini saya telah dituduh sebagai agen Cina, agen India, agen Kadazan, agen Iban dan kini, mengulangi skrip lama yang usianya menjangkau satu dekad, pembohongan kononnya saya tali barut CIA kembali didendangkan.

Ternyata ianya tidak mengejutkan. Apa yang mengejutkan ialah kegagalan pimpinan Umno-Bn untuk menyedari bahawa rakyat sudahpun mual dengan fitnah sebegini. Apatah lagi sepanjang pentadbiran Dato' Sri Najib, rakyat disajikan dengan khabar yang muluk muluk kononnya Umno-Bn berhasrat mahu melaksanakan perubahan. Namun semua itu tidak mungkin berlaku di bawah pemerintahan Umno-Bn. Setiap kali pimpinan Umno-Bn terdesak mereka akan menggunakan taktik kekerasan seperti melumpuhkan kebebasan media serta memintal fitnah jahat terhadap lawan yang berupaya menewaskan mereka. Kita memberi amaran kepada pimpinan Umno-Bn untuk bersedia dihukum pada Pilihanraya Umum yang akan datang. Rakyat akan membuat pilihan tepat demi memilih permuafakatan Pakatan Rakyat untuk memimpin Perubahan.

ANWAR IBRAHIM

Muhyiddin TPM paling merapu

Posted: 13 Jul 2010 09:26 PM PDT

Dalam banyak-banyak timbalan perdana menteri di negara kita, TPM pada masa inilah yang paling banyak merapu dan suka membuat tuduhan yang membabi buta. Adakah patut seorang timbalan perdana menteri membuat tuduhan serta kenyataan tanpa sebarang usul periksa dan membuat spekulasi yang tidak masuk akal.

Kenyataan beliau tentang Dato Seri Anwar pergi ke AS adalah untuk memujuk balik orang-orang yahudi kononnya beliau telah melukakan hati orang yahudi mengenai isu APCO. Kenapalah beliau buat kenyataan yang tidak masuk akal? Orang yahudi bukannya jenis yang senang dengar cakap orang. Diaorang nak kita dengar cakap dia je adalah. Anwar tidak semudah itu untuk mengadap orang yahudi untuk memohon maaf. Untuk apa beliau hendak minta maaf? Malah Anwar telah melakukan suatu kerja yang amat cemerlang membongkarkan hubungan kerajaan Malaysia dengan APCO tersebut. Disamping itu juga tuduhan yang menyatakan Anwar menjadi tali barut yahudi turut tidak patut dilontarkan kepada Anwar.

Ini kerana kalau Anwar betul jadi tali barut yahudi, kerajaan Malaysia tidak akan berani mengenakan apa-apa tindakan kepada Anwar. Anwar sepatutnya mendapat layanan yang istimewa dari kerajaan. Ini kerana pemimpin-pemimpin UMNO ada hubungan dengan APCO dan mereka seharusnya memberi layanan yang istimewa kepada Anwar sekiranya Anwar benar-benar agen yahudi. Ditambah pula isu yang menyatakan Anwar sendiri membiayai kos temubual dengan CNN untuk mengutuk Malaysia adalah sesuatu yang amat tidak masuk akal.

Apa yang dinyatakan oleh Anwar adalah benar sama sekali iaitu isu kehakiman di negara kita. Seharusnya negara kita mempunyai sistem kehakiman yang bebas dari ancaman politik. Politik tidak seharusnya masuk campur dalam urusan kehakiman. Malaysia seharusnya malu dengan apa yang telah dinyatakan oleh Anwar Ibrahim. Ini kerana beliau tidak dapat pembelaan yang sepatutnya dari sistem kehakiman negara kita. Kepada Muhyidin Yasin, tolonglah perbetulkan dahulu sistem kehakiman negra kita sebelum ianya menjadi lebih parah. Jangan sampai satu hari nanti, negara luar tidak mengiktiraf sistem kehakiman negara kita.


Mengenai isu pasir di negeri Selangor banyak yang tidak kena mengenainya. Muhyidin Yasin menyatakan MB Selangor tidak pandai mentadbir negeri Selangor kerana pasir masih tidak dapat diselesaikan. Kalau benar TPM ini pandai dalam isu pasir, mari kita tanya dia apa cerita pasir yang dijual kepada Singapura oleh negeri Johor? Berapa tan pasir diangkut ke negara Singapura setiap hari? Ada pihak media melaporkan tentang hal ini? tidak ada langsung. Isu pasir di negeri BN lebih kronik kalau dibandingkan dengan negeri Pakatan Rakyat. Oleh yang demikian, kepada TPM janganlah jadi hero tin kosong. Jadilah TPM yang berwibawa. Adalah lebih baik beliau mendiamkan diri daripada membuat sebarang kenyataan. Ini kerana, kenyataan yang dikeluarkan banyak membuat orang kertawakan beliau.


Sumber TKO

Wujud ‘Cina Perkasa’ karut, tiup api perkauman

Posted: 13 Jul 2010 08:17 PM PDT

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menganggap cadangan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lim Siang Chai untuk mewujudkan 'Cina Perkasa' sebagai karut dan tidak bermanfaat.

Jelasnya, cadangan tersebut tidak membawa erti kerana ia akan menimbulkan perasaan cemburu di kalangan kaum dan menambah kemelut isu perkauman yang telah dicipta oleh Barisan Nasional (BN).

"Tidak dinafikan penubuhan Cina Perkasa boleh memberangsangkan isu perkauman sekaligus mengekalkan jurang antara kaum yang akhirnya timbul perasaan kurang senang. Lepas Cina Perkasa mungkin Datuk Seri S. Samy Vellu pula akan tubuh India Perkasa, lagi bermasalah," tegasnya ketika berucap di Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Seberang Perai di Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bandar Perda, kelmarin.

Dari situ, katanya pasti akan bertembung tiga bangsa perkasa iaitu Melayu di bawah Datuk Ibrahim Ali, Cina di bawah Lim Siang Chai manakala India Perkasa di bawah naungan Samy Vellu.

Sambungnya, apa akan terjadi dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pasti tidak kesampaian sebagaimana slogan 'Islam Hadhari' yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hilang ditiup angin begitu sahaja.

"Tengoklah apa yang jadi terhadap slogan Islam Hadhari sepi entah ke mana sedangkan dulu hangat diperkatakan. Begitu juga Cina Perkasa tentunya masing-masing meniup api perkauman yang bakal menghancurkan kestabilan negara," jelasnya.

Justeru itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan cadangan berkenaan tetapi lebih menumpukan terhadap perancangan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mempertingkatkan sosio ekonomi.

Berhubung peranan JKKK, Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih berharap ia dipertingkatkan sejajar dengan mandat yang diberikan oleh rakyat.

Katanya, memandangkan penglibatan JKKK terhadap program anjuran kerajaan negeri masih kurang menyerlah, maka pengerusi JKKK harus mempertingkatkan mutu dengan menjalinkan kerjasama dengan JKKK serta mengeratkan persefahaman dengan pejabat daerah.

"Saya menyeru kepada semua JKKK dan ahli-ahlinya agar senantiasa menjalankan perancangan strategik, menunjukan kesungguhan dan ketekunan serta mengamalkan bekerjsana sebagai satu pasukan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat dan memmbangunkan kawasan masing-masing kerana baik JKKK, baiklah kerajaan negeri, buruk JKKK buruklah kerajaan negeri yang memerintah," jelasnya.

Tiada ulasan: