"BERANI KERANA BENAR!" |
| Umat Islam usah jadi seperti buih di laut Posted: 25 Jul 2010 08:53 PM PDT Oleh - Farah Zamira Farush Khan Mungkin kita gah bercerita, Islam adalah agama yang mempunyai penganut te ramai di dunia, iaitu lebih 1.7 bilion, atau 26 peratus daripada penduduk muka bumi. Namun adakah kita sedar, dunia Islam hanya menguasai 5.6 peratus daripada ekonomi dunia dan 10.5 peratus pasaran eksport dunia? Mungkin kita tidak sedar.Dengan petroleum dan gas asli yang melimpah ruah, hutan belantara luas di kebanyakan negara Islam, kita menjangka negara-negara ini akan menjadi antara yang termaju di dunia. Malangnya, tiada satu pun negara Islam hari ini yang boleh dikategorikan sebagai maju. Di mana silapnya? Ekonomi bukan sekadar isu basi yang dijadikan bahan eksploitasi ahli politik. Ekonomi adalah peperangan. Dalam era moden ini bukan kekuatan pertahanan sesebuah negara yang dinilai, tetapi ekonominya. Negara yang ekonominya kuat dapat menakluk negara lain dengan mudah, tanpa perlu melepaskan walau sebutir peluru. Kita mendengar kehebatan zaman pemerintahan Khalifah Islam kelapan, Umar Abdul Aziz, iaitu pada zaman beliau, tiada seorang pun rakyat di bawah pemerintahannya layak menerima zakat kerana sistem ekonomi hebat yang digunakan berlandaskan ajaran Islam. Jika ajaran Islam diguna pakai dalam hal ehwal ekonomi, negara seperti Nigeria, antara yang termiskin di dunia kini, ini pun mampu menampung keperluan kewangan seluruh benua Afrika, seperti yang berlaku zaman Khalifah kedua, Saidina Umar Al-Khattab, di mana benua Afrika menghantar bantuan ke Madinah yang ketika itu dilanda kebuluran. Jadi, mengapa sistem sesempurna itu tidak diguna pakai? Semua hukum dan ajaran Islam itu tidak lapuk dek zaman. Mengapa sistem ekonomi Islam yang mengajar kita telus dalam pentadbiran, bebas rasuah, adil dan pada masa sama diberi ganjaran oleh Allah tidak dipatuhi? Tidak perlu mempersalahkan sistem kapitalis Barat yang penuh cacat cela itu apabila berlaku kegawatan ekonomi kerana kita sendiri rela mengikutinya, tanpa berfikir untuk kembali kepada ajaran sebenar yang digariskan Islam. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semasa berucap pada sidang kemuncak mengenai kewangan Islam di Bahrain, Mac lalu, menyimpulkan keadaan ekonomi di negara Islam dengan cara yang paling mudah dan menarik. Beliau yang memegang tampuk kepimpinan negara selama 22 tahun berkata; "Ekonomi negara Islam adalah sebahagian daripada ekonomi dunia, tetapi sama ada dunia Islam mendapat bahagian daripada kekayaan negara mereka bergantung pada keupayaan mereka sendiri." Mungkin jika berdiri sendiri, sesebuah negara Islam tidak mampu menangkis sistem Barat, tetapi zaman globalisasi ini memudahkan negara Islam bersatu dan bekerjasama untuk menjadi kuasa besar ekonomi dunia. Apakah susah sangat untuk kembali kepada zaman kegemilangan ekonomi seperti pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz? Adakah kerana rapuhnya semangat perpaduan dalam kalangan negara Islam seluruh dunia? Atau mungkin juga kita sendiri tidak yakin dengan sistem ekonomi Islam, bukan dari segi keupayaan sistem itu, tetapi tidak yakin ia dapat memenuhi poket sendiri? Barangkali kita perlu meneliti kembali apa yang disabdakan Nabi Muhammad SAW kira-kira 1,400 tahun lalu apabila Baginda ditanya sahabat mengenai kekuatan umat Islam masa hadapan, bahawa umat Islam pada akhir zaman akan menjadi kaum majoriti di dunia, tetapi tidak bererti dan tidak menakutkan musuh, iaitu ibarat buih di laut. * Rencana di atas berdasarkan percambahan pendapat melalui seminar "Kesan Globalisasi kepada Masyarakat Muslim Kontemporari" anjuran Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) Malaysia, 15 Julai lalu. |
| You are subscribed to email updates from "BERANI KERANA BENAR!" To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

Tiada ulasan:
Catat Ulasan