Jumaat, 30 Julai 2010

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Kali ini tak nak bersumpah ke Saiful?

Posted: 30 Jul 2010 08:52 AM PDT

Dalam kesibukan berkempen dalam PRK Permatang Pauh yang lalu, perlu diakui bahawa tindakan Saiful yang bersumpah mengatakan dia diliwat oleh DS Anwar Ibrahim, meletakkan petugas-petugas Pakatan Rakyat dalam situasi sukar untuk meneruskan kempen.

Biarpun ramai penyokong tidak mempercayainya, tetapi Petugas masih perlu menyakinkan pengundi diatas pagar bahawa semua itu fitnah atau konspirasi politik untuk membunuh karrier politik DS Anwar Ibrahim.

Saiful Bukhari Azlan melakukan mubahalah atau Sumpah Laknat di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2008 beberapa hari menjelang PRK Permatang Pauh.

Sambil memegang Al-Quran, Saiful melakukan sumpah laknat tersebut, dalam pada itu Saiful telah melakukan beberapa kesilapan, antaranya ialah ketika menyebut kalimah 'Watallahi, dan juga tersasul menyebut tarikh 26 hb Ogos 2008 sebagai waktu beliau diliwat oleh DSAI, beliau berjaya menyakinkan segelintir orang Melayu yang berugama Islam beliau tidak bersalah.

Sedangkan di dalam Syariat Islam, perlakuan sumpah tidak disyaratkan untuk memegang atau menjunjung Al-Qur'an. Tidak ada nas yang menyatakan demikian. Tiada juga disebutkan di dalam Islam bahawa sumpah perlu dilakukan di dalam Masjid. Bahkan dalam undang-undang Islam yang melibatkan perkara lafaz seperti Ila', Zihar, Qadzaf dan Li'an, lafaz perlu dilakukan di hadapan hakim dan disaksikan oleh orang ramai.

Bagaimanapun kemunculan secara sukarela Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ust. Ramlang Porigi pada 25 Ogos yang mengambil Sumpah Saiful Bukhari pada 15hb. Ogos 2008 yang mendedahkan bahawa beliau diarahkan oleh orang atasan bahawa untuk ambil sumpah Saiful meletakkan petugas Pakatan Rakyat dalam keadaan kembali selesa.

Dan ketika menjelang PRK Permatang Pauh pula iaitu pada 22 Ogos 2008, Najib pula dilaporkan telah bersumpah mengatakan bahawa dia tidak kenal siapa itu Altantuya, biarpun teman karibnya Razak Baginda dikatakan mempunyai hubungan dengan Altantuya..

Sumpah Najib itu telah berlangsung di Masjid Guar Perahu, Penanti, Permatang Pauh.

Minggu lepas pada 22 Ogos 2010, satu pendedahan telah dibuat oleh Malaysia Today mendakwa Saiful mempunyai hubungan cinta dengan salah seorang dari pasukan pendakwaraya bagi kes tuduhan liwat terhadap Anwar Ibrahim.

Beberapa hari kemudian anggota pasukan pendakwa yang dimaksudkan itu iaitu Farah Azlina telah digugurkan dari pasukan pendakwaraya itu, biarpun tuduhan mengenai hubungan cinta mereka itu belum disahkan mereka.

Hubungan cinta mereka itu adalah satu hubungan yang boleh dikatakan seseatu yang peribadi buat mereka.

Tetapi dalam kes yang melibatkan tuduhan liwat, dalam menunjukkan bahawa dia tidak bersalah dan dia adalah mangsa liwat, beliau telah bersumpah menggunakan Al-Quran bagi menyokong dakwaannya itu..

Najib juga telah bersumpah untuk menyakinkan masyarakat bahawa dia tidak mengenal Altantuya..

Jika dulu Saiful pernah bersumpah "Saya Mohd. Saiful Bukhari Azlan dengan nama Allah saya bersumpah saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 dan pada hari tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam dubur saya.

"Jika saya berdusta dengan perkara ini, saya berdusta dengan Allah S.W.T dan akan dilaknat oleh Allah S.W.T sehingga hari kiamat."

Kenapa tidak kali ini beliau kembali bersumpah sekali lagi di Masjid yang sama bagi membuktikan tuduhan tentang kisah cinta dan hubungan sex nya dengan Farah adalah tidak benar….

Bersumpahlah Saiful.. nafikan pula kisah ini..

UMNO Kedah telah lama rebah!

Posted: 30 Jul 2010 08:12 AM PDT

Umno Kedah sudah rebah. Ini hakikatnya dan kepada sesiapa yang masih mengatakan Umno Kedah belum rebah, ia sesuatu yang lucu. Lelucon ini memang sering berligar-ligar dalam politik Kedah kerana kebanyakkan orang Umno Kedah, mereka tidak suka bekerja tetapi banyak bersembang.

Oleh Safar Jumaat

Membaca tulisan Sobri Sudin (bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Syed Razak Syed Zain) dalam sebuah akhbar arus perdana baru-baru ini bertajuk 'Formula menawan semula Kedah' menjentik fikiran untuk menambah sedikit pandangannya itu.

Penulis tersebut mengangkat kata-kata Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, yang sering diucapkan 'berubah sebelum rebah' sebagai pendorongnya melihat Umno Kedah masih mempunyai peluang jika mahu kembali berkuasa di negeri itu.

Persoalannya, 'berubah sebelum rebah' itu tidak sesuai untuk digunapakai di Kedah kerana Umno sudah rebah tetapi pemimpin dan ahlinya, masih tidak mahu berubah. Contoh terbaik, lihat sahaja apa yang berlaku di Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Sungai Petani yang diketuai, Ali Yahya, bekas Setiausaha Politik kepada Dato' Seri Mahdzir Khalid, ketika Mahdzir menjadi Menteri Besar Kedah, selepas Syed Razak.

Beranikah Umno memecat seorang perwakilan bernama Yusof Lazim yang dikatakan bangun menjerit bagi menghalang Ali daripada menyampaikan ucapan – sedangkan dalam mana-mana persidangan Umno, memang peraturan mesyuaratnya didahulukan dengan doa, nyayian lagu Umno dan kemudiannya ucapan alu-aluan ketua bahagian.

Jika Yusof Lazim menghalang Ali daripada berucap, bermakna Yusof sudah melanggar peraturan mesyuarat. Maka, tindakan perlu dikenakan kepadanya bersama-sama orang yang menyokong keceluparannya itu, seorang yang berjawatan tinggi dalam Umno peringkat Pusat.

Pastinya, Umno Pusat tidak akan mampu berbuat apa-apa kerana Umno kini sedang sakit, mengurus dan mengecil walaupun ada beberapa orang gemuk masih berkuasa di sana – sekadar untuk memperlihatkan Umno itu segar dan bugar termasuk yang obesiti.

Umno Kedah sudah rebah. Ini hakikatnya dan kepada sesiapa yang masih mengatakan Umno Kedah belum rebah, ia sesuatu yang lucu. Lelucon ini memang sering berligar-ligar dalam politik Kedah kerana kebanyakkan orang Umno Kedah, mereka tidak suka bekerja tetapi banyak bersembang.

Kalau mahu mengkritik sesiapa, carilah pengkritik dari Kedah. Kalau mahu bekerja, jangan kerana mereka tidak pandai bekerja. Mereka tidak pandai belajar dari sejarah walaupun Kedah pernah melahirkan dua Presiden Umno dan dua Perdana Menteri.

Hari ini, Kedah yang melahirkan kepada Malaysia seorang Bapa Kemerdekaan dan seorang lagi Perdana Menteri paling lama berkuasa – sudah kehilangan kuasa. Ketika mereka kehilangan kuasa, mereka bergaduh sama-sama sendiri, hingga menyebabkan Presiden Umno terpaksa melantik seorang anak Sabah, yang bernikah di Kedah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Ketika Umno Kedah bangga kerana Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra dilahirkan sebagai seorang Perdana Menteri yang pertama, orang Islam di Kedah pula tidak mungkin dapat melupakan kelahiran Allahyarham Ustaz Dato' Fadzil Mohd Nor sebagai Ketua Pembangkang dan Presiden PAS yang cukup mashur yang juga datang dari Kedah.

Orang Umno Kedah tentunya berbangga kerana mereka dapat menafikan hasrat Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berhasrat menjadi salah seorang perwakilan tujuh (G7) ke Perhimpunan Agung Umno mewakili Bahagian Kubang Pasu, selepas 20 tahun memimpin Umno bahagian itu.

Hari ini, Dr. Mahathir tentunya melihat betapa beliau sendiri gagal memenangkan calon BN bagi kawasan Parlimen Pokok Sena di mana beliau sendiri adalah pengundi di kawasan tersebut kerana pengaruh PAS yang cukup tinggi.

Maknanya, Umno Kedah sudah rebah. Kena ulang-ulangi kata-kata ini buat kesekian kalinya. Jika tidak, akan ada nada penulis seperti Sobri Sudin tampil menulis dengan kata-kata 'berubah sebelum rebah' yang kononnya ditujukan kepada Umno Kedah.

Bukan, kata-kata 'berubah sebelum rebah' itu ditujukan kepada negeri-negeri lain, yang belum rebah kerana saat untuk rebah sudah semakin hampir. Di Selangor, negeri di mana Umnonya sudah rebah, ada bahagian-bahagian yang bercelaru seperti apa yang berlaku di Sungai Petani.

Di bahagian-bahagian lain juga begitu tetapi ia tidak dihebahkan kerana Umno cukup pandai 'berdendam'. Mereka merajuk cara pemimpin Umno merajuk. Diam-diam mereka akan mengundi pembangkang dan mustahil dengan jumlah keahlian 3 juta, Umno tiba-tiba kecundang. Rebah! Dalam PRU 12 yang lalu.

Di Kelantan, negeri di mana Umno sudah kehilangan kuasa sejak 20 tahun lalu, pergaduhan dalam Umno bahagian berterusan. Bahagian Rantau Panjang terpaksa mengadakan 'persidangan' dua tempat berasingan dan kedua-duanya dihadiri Naib Presiden Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Najib ke Kuala Kedah sebenarnya bukan untuk 'menyuntik' semangat kepada ahli Umno Kedah tetapi memenuhi undangan ketua bahagian itu yang kebetulan merupakan Pegawai Khas Perdana Menteri.

Begitu juga Najib ke Kota Bharu merasmikan Umno bahagian itu bukan kerana Najib mahu membakar semangat ahli Umno di Kelantan kecuali memenuhi jemputan ketua bahagian itu yang merupakan Setiausaha Politiknya.

Hari ini, ahli Umno di Kedah buat apa? Mereka buruk-memburukkan antara satu sama lain. Jika kita bertanya dengan mereka, rata-rata mengakui bahawa kepimpinan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak sekarang ini cukup baik dan berkesan.

Ketika Najib mengarahkan semua peringkat kepimpinan Umno menyerang pembangkang, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Dato' Paduka Ahmad Bashah cuba-cuba menyerang, tetapi serangannya hanya dengan bom asap, tidak meninggalkan apa-apa kesan.

Umno Kedah berpuak-puak. Umno Kedah kaki sembang. Umno Kedah tidak buat apa-apa kerja sebaliknya masing-masing hanya mahu 'mengerjakan' musuh politik masing-masing.

Masih ingat dengan nama Ustaz Fadzil Hanafi? Kononnya dia dibawa bertanding ke Kedah kerana mahu memberi nafas baru kepada Umno Kedah yang dilihat tidak mesra ulama. Malangnya, Ustaz Fadzil Hanafi hanyut dek permainan politik Umno bahagian.

Masih ingat dengan Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman? Di mana beliau sekarang? Adakah orang-orang Umno masih mengundangnya memberi ceramah di Kedah? Apakah orang Umno Kedah masih sudi mengundang bekas MB Kedah, Tan Sri Sanusi Junid yang dikira cukup berilmu untuk menyampaikan ucapan atau ceramah motivasi?

Umno Kedah sudah rebah. Ulang kembali. Umno Kedah sudah rebah. Mereka yang memegang jawatan ketua bahagian sebenarnya sedang menjadikan jawatan yang mereka sandang itu sebagai wahana memperkayakan diri dan keluarga sendiri.

Perangai inilah yang menyebabkan Sobri Sudin perlu tahu bahawa mereka ini bukan 'sokong kawan, makan lawan' tetapi mereka tidak suka 'makan berkawan sebaliknya mereka makan kawan-kawan'.

Ketika Umno Kedah merasakan mereka belum rebah, tanpa mereka sedari bahawa mereka sekarang ini sudah menjadi bahan sejarah kerana tidak pernah mahu mengakui hakikat bahawa mereka tidak lagi memerintah negeri Kedah, Jelapang Padi yang mereka gambarkan 'Kedah Menang, Kita Senang'.


http://warta-utara.blogspot.com

Hubungan Cinta Farah, Saiful tak dapat disahkan?

Posted: 30 Jul 2010 05:35 AM PDT

Jabatan Peguam Negara tidak dapat mengesahkan pelbagai tohmahan berhubung "hubungan romantis" timbalan pendakwa raya Farah Azlina Latif dan Mohd Saiful Bukhari Azlan, saksi utama kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang diwarkan dalam media sejak awal minggu lalu.

Kalau tak dapat disahkan gugurkan Farah dari pasukan pendakwa tu pasal apa?

Hairan ya.. nak mengesahkan perkara beginipun begitu susah..

Padahal yang dikatakan bercinta tu cukup senang untuk mereka temuinya, tak perlu nak geledah seluruh Malaysia nak cari dimana mereka berada, kemudian tangkap dan bawa ke Pejabat Peguam Negara tu untuk disoal siasat..

Bukannya susah sangat nak mendapatkan pengesahan tu.. tanyalah mereka berdua tu.. nak tanyapun susah kah?

Tidak dapat mengesahkan atau tidak mahu mengesahkan ni..?

Kalau disahkan tercalarlah kredibiliti Jabatan Peguam Negara tu kan...


Tohmahan hubungan DPP Farah, Saiful tak dapat disahkan

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Jabatan Peguam Negara tidak dapat mengesahkan pelbagai tohmahan berhubung "hubungan romantis" timbalan pendakwa raya Farah Azlina Latif dan Mohd Saiful Bukhari Azlan, saksi utama kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang diwarkan dalam media sejak awal minggu lalu.

Bagaimanapun menurut Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin, perkara tersebut telah dibawa kepada pengurusan tertinggi Jabatan Peguam Negara.

"Perkara ini akan dibuat siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya akan diambil," kata beliau dalam surat respons yang dihantar kepada peguam Anwar, Sankara Nair hari ini.

Sankara meminta penjelasan Jabatan Peguam Negara sementara kes itu akan disambung semula Isnin ini.

Mohd Yusof berkata Farah Azlina juga hanya menganggotai pasukan pendakwaan pada 20 Januari lalu dan hanya berperanan mengambil nota keterangan dalam perbicaraan kes Anwar.

Oleh itu kata beliau, Farah Azlina tidak mempunyai akses kepada kertas siasatan atau mempunyai apa-apa sebab untuk mengakses kertas siasatan atau apa-apa maklumat sulit yang lain.

Pada Selasa lalu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan Farah Azlina telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Anwar.

Beliau berkata langkah itu adalah susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai "hubungan romantis" dengan Saiful yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar pada Jun 2008.

Selain itu, Farah Azlina turut digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara atas faktor yang sama.

Laporan media sejak awal minggu lalu mendakwa hubungan Farah Azlina dan Saiful.

Gani berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

Katanya, Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

Gani berkata pasukan pendakwa untuk semua kes berprofil tinggi telah menetapkan peraturan bahawa kertas siasatan dan dokumen kes hanya boleh disimpan oleh Ketua Pendakwa atau Pendakwa Kanan.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun, 2008.


The Malaysian Insider

Kabinet ditipu Menteri penipu?

Posted: 30 Jul 2010 03:20 AM PDT

"Apalah malang rakyat Malaysia diperintah oleh kerajaan Umno BN yang anggota jemaah menterinya orang yang bodoh bangang dan mudah ditipu sebanyak dua kali dalam tempoh tak sampai dua bulan,"

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 30 Julai: Jika benar Tun Dr Ling Liong Sik menipu kerajaan Malaysia seperti tuduhan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Putrajaya semalam, bagaimanakah mereka yang ditipu masih kekal dalam jemaah menteri hingga sekarang.

Ketika mempersoalkan perkara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, jika benar penipuan itu berlaku, mereka yang ditipu sehingga dua kali dalam tempoh tidak sampai dua bulan hilang kelayakan sebagai anggota jemaah menteri termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ling yang juga bekas Menteri Pengangkutan menghadapi tuduhan menipu kerajaan sekitar 25 September 2002 dan 6 November 2002 dengan memperdayakan jemaah menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.

Perdana Menteri, timbalannya dan sebahagian anggota kabinet kini adalah anggota kabinet pada masa penipuan itu didakwa berlaku.

"Persoalannya ialah bagaimana sebahagian yang kena tipu masih kekal dalam jemaah menteri hingga sekarang dan menjawat jawatan yang lebih besar iaitu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan ramai lagi anggota jemaah menteri pada 2002 yang turut kena tipu masih kekal dalam kabinet kerajaan Umno Barisan Nasional (BN)," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Jika tuduhan ke atas Ling benar, Mahfuz menyifatkan perkara itu sangat memalukan kerana perkara itu menunjukkan dalam kabinet kerajaan BN ada penipu dan ada yang kena tipu sehingga mengakibatkan kerugian yang sangat besar kepada negara dan rakyat.

"Yang menipu sudah tentu jahat dan bijak. Yang kena tipu pula sudah tentu lemah dan bangang.

"Yang tipu tak beramanah sementara yang kena tipu pun sama tak beramanah dan pak angguk dalam mesyuarat jemaah menteri.

"Apalah malang rakyat Malaysia diperintah oleh kerajaan Umno BN yang anggota jemaah menterinya orang yang bodoh bangang dan mudah ditipu sebanyak dua kali dalam tempoh tak sampai dua bulan," kata Mahfuz.

Malaysia, katanya, tidak akan maju jika jemaah menteri dari kalangan penipu dan menteri yang mudah ditipu terus berkuasa.

Sambil menyatakan BN boleh dibaca sebagai "Bohong Negara," Mahfuz menyeru rakyat supaya "menyelamatkan Malaysia daripada penipu negara".

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berharap semua anggota kabinet yang didakwa telah ditipu oleh Liong Sik turut sama dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku itu.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, anggota kabinet bukan anggota pasukan bola sepak amatur.

Jika pasukan bola sepak amatur ditipu, katanya, ia masih boleh dimaafkan.

Tetapi, kata Salahuddin, anggota kabinet memegang jawatan berprofil tinggi yang memberikan kesan amat besar kepada kepentingan dan harta negara.

"Apabila mereka ditipu sehingga dua kali dalam tempoh tidak sampai dua bulan, ia merupakan condict unbecoming kerana mereka sebenarnya melakukan act of negligence yang didefinisikan sebagai the failure to use ordinary care.

"Sebab itulah kesemua anggota kabinet yang didakwa telah ditipu itu mesti bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan kerana kerugian yang telah ditanggung oleh negara berhubung perkara itu ternyata amat besar," katanya.

Beliau juga tidak mahu menolak spekulasi yang mendakwa tuduhan terhadap Ling itu sebenarnya adalah sindiran pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Perdana Menteri ketika penipuan itu didakwa berlaku.

"Beberapa pihak telah mula mendakwa dan membuat spekulasi bahawa apa yang berlaku itu sebenarnya ialah 'dakwa Ling, sindir Mahathir'.

"Susah juga untuk terus menolak spekulasi itu," katanya.


Harakah Daily

Ronnie mahu saman Khir Toyo

Posted: 30 Jul 2010 02:18 AM PDT

Oleh Jamilah Kamarudin

SHAH ALAM: Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor Ronnie Liu Tian Khiew dan DAP Selangor tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mengaitkan isu kecurian pasir dengan dirinya dan parti itu.

Khir Toyo melalui kenyataan dalam laman portal berita Malaysiakini yang disiarkan semalam mendakwa, gangster yang melindungi kegiatan curi pasir di Selangor mempunyai kaitan dan pernah berjumpa dengan sekretariat kerajaan Selangor.

"Gangster itu juga mempunyai kaitan rapat dengan DAP Selangor," dakwa Khir semalam.

Berikutan itu, Ronnie dan DAP Selangor memberikan tempoh 48 jam (sehingga pukul 12 tengahari Ahad ini) kepada Khir untuk mengemukakan bukti mengenai dakwaannya itu.

"Dakwaan Khir ini palsu dan sangat melampau. Kami berikan tempoh 24 jam pertama untuk Khir kemukakan bukti termasuk dokumen rasmi mengenai kaitan DAP dan Ronnie dengan gangster pencuri pasir.

"24 jam seterusnya pula tempoh untuk Khir mohon maaf secara terbuka jika apa yang dikatakannya itu tidak benar.

"Selepas tempoh tamat dan tiada sebarang respon, kami akan buat laporan polis. Kami juga akan mengambil tindakan undang-undang kerana kenyataan beliau sangat spesifik ditujukan kepada kami," katanya kepada pemberita di Bangunan SUK hari ini.

Turut hadir Setiausaha DAP Selangor yang juga ADUN Kampung Tunku Lau Weng San, ADUN Teluk Datuk Philip Tan Choon Swee, dan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.

Ronnie yang juga Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Pandamaran berkata walaupun namanya tidak dinyatakan, namun sekretariat kerajaan negeri yang didakwa Khir itu berkait rapat dengan dirinya.

Ini kerana menurut beliau, pejabatnya pernah dikunjungi polis daripada Bukit Aman pada tahun lalu bagi melakukan siasatan termasuk mengambil buku log dan menyoal siasat kakitangan pejabatnya.

"Selepas kunjungan itu, pihak polis tidak membuat apa-apa siasatan lanjut pun. Mereka sudah berhenti siasat. Jadi kenapa Khir Toyo masih lagi mahu ungkit perkara ini," katanya.

Ronnie, atas kapasiti sebagai Exco Selangor berkata, cadangan untuk mengambil tindakan undang-undang itu juga telah dirujuk dan diberikan 'lampu hijau' oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ronnie turut membidas dakwaan Khir yang menyatakan kurangya hasil diperoleh kerajaan negeri hasil daripada perlombongan pasir disebabkan banyak lombong pasir yang ditutup ketika itu adalah bohong.

Sebaliknya pula berlaku apabila satu pasukan khas yang ditubuhkan bagi membanteras kegiatan curi pasir iaitu Penguatkuasa SUK atau dikenali sebagai 'the blue gang' ditubuhkan semasa pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Muhammad Haji Muhammad Taib, jumlah keanggotaan pasukan itu adalah seramai 80 orang.

"Namun selepas Khor Toyo ambil alih, jumah anggota itu kini hanya tinggal 12 orang sahaja. Bagaimana ini boleh berlaku? Adakah beliau mengurangkan kuasa 'the blue gang' sebab tidak mahu muslihatnya terbongkar? Saya cabar beliau jelaskan perkara ini.

"Saya juga cabar Khir berikan nama gengster yang terlibat dalam kegiatan curi pasir. Jika beliau dedahkan, itu sudah jadi tugas pihak berkuasa untuk ambil tindakan selanjutnya.

Kalau beliau tahu siapa dalangnya cakap sahaja dan tidak perlu sembunyikan. Kalau tak tahu sila tutup mulut," katanya.

Sedia jadi saksi kes PKFZ

Sementara itu, Ronnie turut menyatakan kesediaanya untuk menjadi saksi mahkamah dalam kes skandal PKFZ yang membabitkan bekas Menteri Pengangkutan dan juga bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.

"Oleh kerana saya merupakan individu pertama mewakili DAP yang membuat laporan polis mengenai penyelewengan PKFZ pada tahun 2004, saya bersedia jika dipanggil sebagai saksi dalam kes ini. Setakat ini saya tidak dipanggil," katanya.

Katanya, sehingga sekarang sebanyak empat laporan polis dan dua laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR, kini SPRM) pernah dikemukakannya terhadap PKFZ, Ling Liong Sik dan Chan Kong Choy, serta beberapa pemimpin Umno namun tiada tindakan susulan daripada pihak berkuasa.

Berikutan Liong Sik yang dikenakan pertuduhan menipu berhubung skandal PKFZ semalam, Ronnie berkata langkah itu memberikan sedikit kepercayaannya terhadap ketelusan sistem undang-undang negara ini.

"Jika SPRM dan polis ambil tindakan sebegini sejak dahulu, sudah tentu hasil wang kutipan cukai rakyat sehingga hampir RM12 bilion dapat diselamatkan.

"Dakwaan yang dikenakan terhadap Liong Sik merupakan langkah bijak diambil Peguam Negara dan kerajaan Pusat," katanya.

Namun beliau tetap melahirkan keraguannya mengenai hukuman yang bakal dijatuhkan terhadap Liong memandangkan kes berprofil tinggi membabitkan menteri dan orang berkepentingan jarang dikenakan hukuman yang berat.

"Biasa dilihat 'jerung besar' yang dihadapkan ke mahkamah seperti kes Eric Chia yang melibatkan RM76 juta wang Perwaja Steel lesap secara misteri dilepaskan begitu sahaja atas alasan tidak cukup bukti," katanya


Free Malaysia Today

Dah Gila ka apa, dia ni?

Posted: 30 Jul 2010 02:07 AM PDT

Pasal cadangan menghapuskan diskaun kepada bumiputera dalam memiliki rumah RM500,000 keataspun dia nak hapuskan DAP daripada peta politik negara ini?

YB... berapa kerat Melayu yang boleh beli rumah berharga RM500,000 tu.. kalau RM500,000 tu boleh bayar.. takkan 5% dari harga rumah tu tak mampu kot...


Zul Noordin: Haramkan DAP

Ahli parlimen Kulim-Bandar Bharu berkata Pendaftar Pertubuhan perlu membatalkan pendaftaran DAP kerana didakwa "cauvinis, rasis, ala-komunis, anti-Melayu dan anti-Islam" dalam isu diskaun bumiputera bagi pemilikan hartanah tertentu Selangor.

Zulkifli Noordin berkata isu pemilikan hartanah komersial dan mewah - seperti disaran ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua - bukan isu diskaun semata-mata tetapi berkait dengan perlembagaan dan keharmonian kaum.

"Hari demi hari mereka mengasak umat Islam dan orang Melayu dengan pelbagai isu," kata wakil rakyat bebas itu yang dipecat daripada PKR sebelum ini.

Tony yang juga penasihat ekonomi kepada setiausaha agung DAP mendakwa penghapusan pemberian diskaun itu mampu memberi kesan ekonomi lebih baik kepada Selangor dari segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau sebelum dilaporkan berkata, cadangan tersebut hanya melibatkan nilai hartanah melebihi RM500,000 ke atas.

Menulis dalam blognya semalam, Zulkifli berkata, sekiranya tidak dibendung segera, "sikap melampau kepimpinan DAP" akan menjadi barah kepada kestabilan dan keharmonian agama dan kaum.

"Atas alasan itu, saya percaya sudah tiba masanya kita bertindak tegas terhadap kepimpinan DAP ini. Saya mencadangkan supaya Pendaftar Pertubuhan mengambil tindakan untuk membatalkan pendaftaran parti DAP ini.

"Ianya hendaklah diisytiharkan sebuah pertubuhan haram yang membahayakan rakyat dan negara ini," katanya.

"Meminjam (gaya) kata-kata presiden (Iran) Ahmadinejad, kepimpinan DAP ini wajib dihapuskan daripada peta politik negara ini!"


Malaysiakini

Beranikah KJ berdepan Ibrahim Ali?

Posted: 30 Jul 2010 12:30 AM PDT

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mungkin serba salah untuk berdepan dengan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali dalam sebuah forum yang berkemungkinan besar bertukar menjadi debat.

Sehingga malam tadi, Khairy masih belum membuat keputusan untuk menyertai forum dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar ke-4 yang akan berlangsung Ahad ini.

"Ada apa Ahad ini, saya dijemput berdepan dengan... Ibrahim Ali. Patutkah saya pergi?" soalnya dalam nada serba salah.

Kedua-dua pemimpin popular tersebut dijadual berkongsi pentas dalam sebuah forum membincangkan politik ideologi dan bangsa dalam set minda rakyat Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pelajar Malaysia ke-4 di ibu negara.

Bagaimanapun, forum tersebut dijangka panas ekoran Khalid dan Ibrahim sering bertembung secara terbuka dalam pelbagai isu, antaranya isu biasiswa Mara baru-baru ini, apabila mereka dilihat saling memperlecehkan antara satu sama lain.

Seorang lagi ahli parlimen PAS yang terkenal dengan kelantangannya Khalid Samad turut ditampilkan sebagai ahli panel dalam sidang yang turut melibatkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penyampai ucaptama.

Menulis dalam laman Twitter malam tadi, Khairy juga bersuara, disebabkan beberapa pemimpin dan timbalannya yang tidak gemar berkongsi pentas dengan pelajar atau pemimpin pembangkang, beliaulah yang terpaksa menggantikannya.

"Jadi saya selalu dapat jemputan daripada pihak ketiga," katanya ketika mengemaskini status di laman blog mikronya itu.

"Jadi inilah jemputan di saat-saat akhir yang saya perlu putuskan. Nampaknya dua menteri menolaknya, jadi tiada sesiapa lagi (untuk mewakili Umno)"

Dalam masa yang sama, Khairy berkata, sesetengah media asing, terutamanya saluran televisyen sukar mendapatkan menteri bagi menyertai program mereka.

"Sayalah yang terpaksa wakili Umno. Tetapi, selepas (Datuk Seri) Zainuddin Maidin di (stesen televisyen) Al Jazeera...," tulisnya lagi tampa menghabiskan ayat tersebut.

Dalam reaksi terhadap perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) pada November tahun lalu, Zainuddin - menteri penerangan pada masa itu - menjadi bahan gelak ketawa banyak pihak, ekoran ulasannya berhubung 'perhimpunan haram' itu kepada Al Jazeera yang dilihat 'berterabur'.


Malaysiakini

Indira Gandhi tukarkan agama anak Redhuan? Kepada siapa hendak diharapkan?

Posted: 29 Jul 2010 09:38 PM PDT

Oleh : Ustaz Saiful Bahari

Mahkamah benarkan bicara penuh bagi semakan kehakiman tukar agama anak guru tadika

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan perbicaraan secara penuh bagi permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh guru tadika M.Indira Gandhi untuk membatalkan keputusan penukaran agama bagi ketiga-tiga anaknya.

Indira Gandhi yang turut hadir ke mahkamah hari ini memperoleh hak penjagaan bagi ketiga-tiga anaknya iaitu Tevi Darsiny (Ummu Salamah), 13, Karan Dinish (Abu Bakar), 12, dan Prasana Diksa, 2, pada Mac lepas telah memohon untuk mengenepikan penukaran agama Islam daripada agama Hindu terhadap kesemua anaknya yang dilakukan oleh bekas suaminya Mohd Ridzuan Abdullah.

Hakim Zainal Adzam Abdul Ghani membuat keputusan dalam kamarnya di hadapan peguam M.Kulasegaran, N. Selvam dan Chong Xian Ci yang mewakili Indira Gandhi tanpa kehadiran peguam mewakili Mohd Ridzuan.

Pada 24 April 2009, mahkamah membenarkan permohonan ex-parte oleh Indira Gandhi, untuk mendapatkan hak penjagaan sementara tiga anaknya dan injunksi menghalang bekas suaminya itu daripada memasuki rumah mereka. Pada 29 Oktober 2009, Mahkamah Syariah memberikan hak penjagaan ketiga-tiga anak itu kepada Mohd Ridzuan.

Pada 11 Mac lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan hak penjagaan anak bongsunya Prasana Diksa yang berusia 22 bulan (kini dua tahun) diserahkan kepada Indira Gandhi selepas kes perebutan hak penjagaan itu berlarutan sejak tahun lepas.

- Harian Metro

Pada 1 April, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Mohd Ridzuan supaya mahkamah menangguhkan perintah hak penjagaan anak bongsunya yang diperoleh oleh Indira Gandhi itu.

Kes ini mendapat perhatian ramai kerana wujud konflik antara bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam menentukan hak penjagaan anak selepas salah seorang pasangan memeluk Islam. Isu ini pernah sampai ke peringkat parlimen bahawa mereka akan mengkaji kes-kes pertukaran agama anak-anak, tetapi tiada langkah konkrit diambil berhubung Akta (Pembaharuan) Perkahwinan.

Sebenarnya inilah kegagalan pemerintah dalam menjaga agama dan umat Islam di Malaysia. UMNO-BN yang diberi kepercayaan bagi menjaga hak-hak umat Islam gagal untuk memartabatkannya bahkan gagal untuk mempertahankan aqidah umat Islam.

Kita sedia maklum hukum hadhanah dalam Islam dan kalaulah keputusan mahkamah Syariah sebelum ini itu diketepikan, apa lagi yang ada bagi umat Islam di Malaysia ini. Mahkamah Tinggi wala' mereka adalah perlembagaan Lord reid yang menjadi terlalu qudus untuk Negara Malaysia. Sedangkan ianya mengkesampingkan undang-undang dan peraturan Islam yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Mana dia pemimpin-pemimpin yang mendabik dada memperjuangkan hak umat Islam. Mana dia lawyer-lawyer yang hebat-hebat itu? Takkan nak dibiarkan sahaja umat Islam di murtadkan. Kenapa Zulkifli Nordin menjdi bisu kelu. Bukankah beliau amat vokal dalam isu-isu yang seperti ini dulu. Siapakah yang akan membela dan mempertahankan hak-hak seorang bapa seperti Redhuan Abdullah dalam menjaga aqidah anak-anaknya. Bagaimana pula kes-kes yang seperti ini akan datang?

Mana dia NGO2 Islam. Takkan diam membisu sahaja. Janganlah nak diharapkan PERKASA sebab Mohd Redhuan adalah seorang India dan bukannya seorang melayu. Takkan lawyer2 hebat dalam Pas seperti Hanipa Maidin tak boleh membantu. Apa sebenarnya bidang tugas Lujnah Guaman dalam PAS. Kalaulah perjuangan Islam itu menjangkau batas-batas bangsa, maka kini Pas perlu kehadapan membela saudara kita, Mohd Redhuan Abdullah.

Di harapkan Dewan Pemuda Pas membuat sesuatu demi mempertahankan secebis aqidah anak-anak Redhuan Abdullah ini. Kalaulah kerana seorang Natrah, umat Islam digerakkan untuk menyelamatkan aqidah beliau bagaimana dengan 3 anak ini. Kalaulah Tun Salleh Abas meskipun seorang diri pernah membuktikan beliau sanggup mempertahankan aqidah seorang anak perempuan cina di Kota Bharu meskipun beliau akhirnya dipecat.

Sekarang siapa yang nak mempertahankan aqidah anak-anak Redhuan? Takkan nak diharapkan Karpal Singh pulak. Apakah isu ini sensitif kepada Pas demi menjaga kepentingan politik. Bagaimana pula M Kulasegaran yang menjadi peguambela kepada Indira Gandhi. Atas pertimbangan apa ianya dilakukan?

Isu agama ini lebih penting daripada kenaikan harga gula. Lebih utama daripada isu minyak dan gas. Kalaulah Umno sudah tidak boleh diharapkan untuk pembelaan ini. Apakah Pas boleh?


Ustaz Saiful Bahari

ADUN Galas dimasukkan ke ICU.

Posted: 29 Jul 2010 08:50 PM PDT


Ditemuramah ketika pulang dari China

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas dari PAS, Che Hashim Sulaima kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di Kota Bharu akibat penyakit barah ususnya yang dihidapi sejak kira-kira setahun lalu.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Nasuruddin Daud mengesahkan mengenai keadaan Hashim itu yang sedang dirawat di ICU Hospital Pakar Perdana.

"Dia sudah masuk hospital sejak dua tiga hari lalu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Che Hashim pernah menjalankan rawatan susulan untuk barah ususnya di sebuah hospital di Guangzhou, China pada 2009.

Wakil rakyat itu disahkan menghidap barah usus kira-kira tiga bulan sebelum beliau pergi ke China, selepas menjalani rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Dalam pilihan raya umum lalu, Che Hashim berjaya merampas kerusi DUN Galas dari BN dengan majoriti 646 undi. Beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandangnya Saufi Deraman.


Bernama

Kisah Anak Pembesar Negara dan si Panglima Tua

Posted: 29 Jul 2010 06:49 PM PDT

Oleh KHALID SAMAD

Pada suatu hari, di sebuah Negara yang telah lama ditelan zaman, seorang Panglima tua telah diarahkan untuk menemani anak seorang pembesar Negara dalam perjalanan bersiar-siar di waktu petang. Kedua-dua mereka menunggang kuda. Panglima tua menunggang kuda yang telah berkali-kali dipacunya di medan perang. Anak pembesar Negara pula dengan kuda putihnya, cantik dengan pelana bertaburan baru permata.

Sambil menunggang kuda, di mana Panglima tua mengekori di belakangnnya, anak Pembesar Negara melihat ke kanan dan kiri, menikmati keindahan kawasan hijau hutan temperat di sekeliling mereka. Dia seorang yang muda, belasan tahun dan dibesarkan di dalam suasana yang serba mewah. Mukanya licin, telapak tangannya lembut, seperti kebiasaan mana-mana anak pembesar yang jarang membuat kerja keras. Panglima tua pula jauh berbeza, mukanya terukir dengan pengalaman zaman susah dan zaman perjuangan. Tangannya besar, kasar dan berparut. Perbezaan di antara mereka bagaikan bezanya zaman mewah dan zaman susah, zaman peperangan dan zaman perdamaian. Oleh yang demikian, perjalanan mereka pada hari itu merupakan satu perjalanan yang tanpa perbualan, kerana sukar untuk mencari tajuk yang boleh dibualkan bersama.

Secara tiba-tiba anak Pembesar berhenti sambil menunjuk ke arah se pohon pokok yang besar dan tinggi. "Lihat di situ", katanya kepada Panglima tua. "Ada sesuatu yang berkilauan di atas dahan pokok itu", katanya lagi sambil bergegas turun dari kuda tunggangannya.

Panglima tua pun mendongak ke atas, melihat dengan matanya yang sudah letih melihat segala kedurjanaan dunia serta tipu helah dan muslihat manusia. Ya, ada sesuatu yang berkilauan, jauh di atas hampir di puncak pokok tersebut. Dia menoleh pula ke anak pembesar Negara dan terkejut apabila mendapati bahawa dia sudah berada di bawah pokok berkenaan, menghentak-hentak kedua kakinya sambil melaung, "saya inginkan kamu, wahai yang berkilauan, mari, turunlah kamu ke pangkuan aku". Anak pembesar Negara terus melaung dan merengek, menghentak-hentak kakinya, mendongak ke atas, langsung tidak menghiraukan si Panglima tua.

Si Panglima tua terfikir kepada dirinya sendiri, "Hmmm, mentang-mentang kamu anak Pembesar Negara, kamu ingat semua akan ikut kata-kata kamu?" Sambil menggeleng kepala, beliau turun dari kudanya dan melihat kepada pokok yang di atasnya terdapat barang berkilau tersebut. Panglima tua sedar bahawa sekiranya anak pembesar Negara tidak mendapat apa yang diinginkan, sudah pasti bapanya akan memarahinya. Itulah sebab mengapa mereka berada di sini, pada waktu yang sudah hampir senja, dalam cuaca yang semakin sejuk, semata-mata kerana itulah kehendak anak Pembesar Negara. Dan sepertimana kebiasanan, apa yang dihajatkannya, dia mesti dapat! Dan itulah tugas Panglima tua, untuk mendapat apa sahaja yang diinginkan budak yang terlalu dimanjakan oleh ayahnya.

Panglima tua melihat kepada pokok tersebut, betapa besarnya lilitan batang pokok itu, betapa kukuh kelihatan dahan-dahannya serta betapa licin permukaannya disebabkan lumut yang sudah mulai tumbuh. Beliau melihat ketinggian pokok berkenaan dan terpandang seolah-olah ada yang bergerak di atas sana. "Seekor burung agaknya", katanya kepada dirinya sendiri. Tanpa berfikir panjang, Panglima tua membuka sebahagian dari pakaiannya, memasang tapak bergigi besi dikasutnya dan memegang sebilah pisau kontot di tangan kanan dan sebilah lagi di tangan kirinya. Pedangnya tetap berada di pinggangnya dan pada masa yang sama, dia meletakkan lilitan tali bagaikan selendang di bahunya.

Setelah membaca "Bismillah", dia terus menuju ke pokok berkenaan dan memanjatnya. Pisau kontot digunanya untuk mendapat pegangan yang mantap dan kukuh sambil kasut bergigi besi menjamin beliau tidak tergelincir disebabkan kelicinan lumut.
Sambil Panglima tua memanjat, anak Pembesar Negara terus merengek di bawah sana. "Saya nakkan benda berkilau itu!" katanya sambil melompat-lompat bagaikan anak kecil yang mengamuk tidak mendapat gula-gula. Dia terus menangis sambil melambai-lambai tangannya dan meratib ayat yang sama berulang kali, "saya nakkan benda berkilau itu!"

Sambil itu Panglima tua terus memanjat sehingga ke peringkat pertengahan pokok tersebut tanpa menghiraukan rengekkan anak Pembesar yang berada di bawah. Dia melihat ke atas dan tersenyum, sambil berkata, "usaha memanjat kamu tidak sesukar yang dianggarkan semasa aku berada di bawah, wahai si pokok". Seperti biasa, semua cabaran kelihatan sukar, sehingga kita usahakan secara terancang. Sejurus sahaja beliau berkata sedemikian, tiba-tiba ternampak seekor ular besar di sebelah kirinya. Selama ini ular itu bersembunyi di sebatang dahan yang rimbun yang ditutupi daun. Ular itu menyelar dengan cepat ke arahnya, melilit kaki kirinya, menuju ke badannya.

Anak Pembesar Negara yang melihat peristiwa ini terus menyahut, "Jangan apa-apakan ular tersebut! Ia penjaga benda yang berkilau. Berbaik-baiklah dengannya!" Sebaliknya Panglima tua tahu bahawa ular besar itu akan melilit tubuhnya dan mencengkamnya sehingga patah-patah tulang rusuknya. Selepas itu ular tersebut akan menelannya! Menyedari dirinya dalam bahaya, Panglima tua segera melepaskan pisau kontot yang di tangan kanannya dan dengan tangan yang sama, menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala ular tersebut. Bangkai ular itu terlepas jatuh, terhempas ke bumi.

Anak Pembesar Negara terkejut mendengar bunyi terhempasnya bangkai ular berkenaan. Dia berhenti seketika, menggaru kepalanya. Dia segera pergi ke bangkai tersebut dan selepas beberapa saat, kembali merengek sambil berkata, "Apa yang kamu buat ini? Bukan ini yang aku inginkan wahai Panglima tua! Dahlah tua, bodoh pula! Aku inginkan benda yang berkilau itu! Marilah sini wahai yang berkilau. Indahnya kamu wahai yang berkilau ke biru-biruan dan ke hijau-hijauan! Marilah sini, aku inginkan kamu!"

Panglima tua tersentak dengan kata-kata kasar dan biadap anak Pembesar Negara. Namun memandangkan dia pun sudah hampir mencapai benda yang berkilauan tersebut, dia meneruskan usahanya. Bila tibanya ke puncak pokok dia mencapainya. Ianya seutas rantai emas yang mempunyai sebiji permata berlian yang besar. Dengan hati-hati dia mengikat rantai tersebut dengan tali yang dibawanya tadi dan menghulurkannya ke bawah, ke tangan anak Pembesar Negara yang terus menjerit keseronokan. "Ianya rantai yang mungkin telah diterbangkan ke sini oleh seekor burung. Mungkin diambilnya dari sebuah istana yang tidak jauh dari sini" fikir Panglima Tua. "Sudah pasti pemiliknya cuai dalam menyimpannya dan oleh itu ia disambar burung. Si anak pembesar Negara juga seorang yang cuai. Besar kemungkinana dia akan kehilangannya juga", fikirnya lagi sambil tersenyum.

KESIMPULAN

Rantai emas berpermata berlian dalam kisah ini menggambarkan kepimpinan.
Anak Pembesar Negara adalah ahli, penyokong dan pemimpin PAS yang inginkan PAS memperolehi kepimpinan tersebut, khususnya memimpin PR, tetapi hanya mampu menuntut dan mendesak dengan seruan "PAS mesti memimpin PR, PAS mesti memimpin PR". Mereka menganggap kepimpinan ini boleh dimilikki dengan begitu sahaja, iaitu dengan tuntutan, desakan dan tindakan merengek.

Panglima tua pula bolehlah diumpamakan sebagai ahli, penyokong dan pemimpin PAS yang memahami bahawa kepimpinan mesti dimilikki dengan usaha 'memanjat pokok kehormatan' yang di puncaknya terletak kepimpinan yang diinginkan. Memanjat pokok kehormatan ini bererti menawan hati rakyat melalui usaha dan tindakan sehingga PAS disanjung tinggi dan dihormati. Ini memungkinkan rantai emas berpermata berlian diperolehi. Untuk memanjatnya, PAS mesti mempunyai kelengkapan dan pendekatan yang tepat. PAS mesti sedar betapa licinnya permukaannya, mana dahan yang kukuh serta mana pula ranting yang rapuh. Silap pijak, maka akan terjatuh atau tergelincir kembali ke bawah. Pendirian dan prinsip yang dilaungkan mesti dizahirkan melalui amalan dan pendirian. Dalam masa yang sama ia mesti tepat dan tegas serta kukuh, seperti kukuhnya pisau kontot yang terpacak ke atas pokok tersebut, tidak berubah-ubah dan 'flip flop'. Barulah rakyat akan percaya dan hormat apa yang diperjuangkan.

Ular yang menyelar dan ingin 'bersatu' dengan Panglima tua itu tidak lain dan tidak bukan ialah UMNO. Ular itu hanya mengendahkan Panglima tua apabila beliau sudah berjaya memanjat pokok ke tahap yang tinggi. Semasa Panglima tua di paras tanah, ular tersebut tidak menghiraukan beliau. Ianya samalah seperti UMNO. Hanya ingin 'berkawan' bila PAS sudah dipandang tinggi dan mencabar kedudukan mereka.

Walaupun anak Pembesar Negara meminta Panglima tua berbaik dengan ular berkenaan, kerana yakin ular itu adalah pemilik rantai tersebut, Panglima tua yang berpengalaman itu tahu bahawa rantai tersebut akan hanya dimiliki dengan memenggal kepala ular itu. Ada yang menganggap UMNO adalah pemilik kepimpinan Negara, buat selama-lamanya. Oleh itu, cara PAS untuk memiliki kepimpinan, mesti melalui berbaik-baik dengan UMNO. Sebenarnya UMNO yang menghalang PAS dari mencapai kepimpinan itu dan usaha bekerjasama dengan UMNO akan menghancurkan PAS, dari dalam dan dari luar.

Kesimpulan dan rumusan lain bolehlah tuan-tuan perolehi sendiri dari kisah di atas. Yang penting, harapan saya, biarlah PAS kekal merancang, berusaha dan bersabar sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Panglima tua tersebut dan jangan sekali-kali tergopoh-gapah seperti anak pembesar Negara yang tidak memahami erti perjuangan.


WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan: