Ahad, 18 Julai 2010

Anak Cucu Nabi Adam

Anak Cucu Nabi Adam


Harussani wajib nasihat Umno hayati Islam

Posted: 17 Jul 2010 10:13 PM PDT

Menjadi tanda tanya kepada saya, atas kapasiti sebagai siapakah Tan Sri Harussani Zakaria beria-ia benar bersedia untuk memainkan peranan sebagai orang tengah atau perantara bagi tujuan menyatupadukan orang Islam PAS dengan orang Melayu Umno?

Sebagai Mufti Perak? Sebagai Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria wajib menumpukan sepenuh perhatiannya pada amanah dan tanggungjawab kemuftiannyasecara khusus dalam negeri Perak Darul Ridzwan. Tidak menjadi tugas dan tanggungjawab beliau untuk urusan penyatupaduan antara dua buah parti politik.

Beliau tidak perlu bersusah payah untuk satu tugasan yang sangat berat, sedangkan beliau gagal melaksanakan satu tugasan ringan yang menjadi haknya.

Sebagai Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ialah penasihat agama kepada Tuanku Sultan Perak. Tidakkah Tan Sri berasa takut dan malu kepada Allah SWT apabila nasihat Tan Sri tidak diendahkan oleh ahli keluarga Diraja Perak dalam perkara wajib yang terlalu mudah untuk ditunaikan, misalnya dalam rukun menutup aurat.

Sebagai seorang ulama? Sebagai ulama benar atau ulama akhirat, Tan Sri Harussani Zakaria sesungguhnya wajib meletak jawatan apabila nasihat yang wajib tidak dipatuhi; namun, sekiranya Tan Sri yang takuk untuk menyembahkan nasihat, maka beranilah saya mengatakan bahawa Tan Sri bukanlah seorang ulama benar, tetapi hanyalah ulama su' yang takutnya kepada manusia mengatasi takutnya kepada Allah SWT.

Kalau Tan Sri Harussani Zakaria merasakan dirinya itu ulama malaki pada peringkat nasioanal, beliau harus membuktikan peranannya yang berkesan; tetapi hingga ke saat ini setelah lebih kurang dua puluh lima tahun beliau berpeluang memainkan peranannya, saya tidak nampak apa-apa rancangan beliau yang mampu mengatasi atau sekurang-kurangnya mengurangkan gejala jenayah pelbagai jenis yang bermaharajalela yang melibatkan orang Islam di Malaysia.

Saya tidak nampak pun apa-apa program Tan Sri Harussani Zakaria secara besar-besaran dalam menolong menjadikan orang Islam Malaysia ini benar-benar orang mukminin dan mukminat sejati, atau hamba Allah SWT yang bertaqwa kepada-Nya. Menurut satu kajian, sebanyak 80% orang Islam Malaysia tidak menunaikan solat secukup lima waktu dalam masa sehari dan semalam. Aspek dahsyat ini yang patut diutamakan; bukan aspek perpaduan parti politik.

Industri hiburan dan media merupakan tsunami besar yang melanda masyarakat Islam Malaysia, terutamanya dalam kalangan remaja, sehingga menjadikan sebahagian masyarakat Islam Malaysia hilang arah, hilang matlamat hidup dan sesat. Mala petaka ini yang lebih wajib dipedulikan oleh Tan Sri Harussani Zakaria daripada menyibuki urusan PAS. Saya fikir, PAS tidak memerlukan bantuan Tan Sri.

Sebagaimana pengakuannya, Tan Sri Harussani Zakaria tidak menyertai mana-mana parti politik. Katanya, beliau orang tengah yang duduk atas pagar. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia maklum bahawa beliau berpihak kepada Umno. Oleh sebab itu, lebih wajarlah beliau menyampaikan nasihat yang wajib kepada Umno supaya Umno menghayati Islam secara holistik.

Saya berpandangan bahawa seorang ulama waris Nabi wajib senantiasa bersama-sama dengan jemaah yang jihadnya dan matlamat perjuangannya bertunjangkan al-Quran dan al-Hadith. Kalau tidak, seseorang itu bukanlah ulama warathatulanbia'; lebih-lebih lagi, jika seseorang ulama itu memusuhi kumpulan jemaah Islam berkenaan, maka ulama yang berkenaan itu pastilah seorang ulama su' atau ulama dunia.

~Yangretibase~
Kuala Terengganu.

SPR digesa permudah pengundi tukar alamat

Posted: 17 Jul 2010 10:11 PM PDT

Pusat Khidmat Masyarakat Dun Tronoh dengan kerjasama DAP Cawangan Kampung Baru Nalla telah menganjurkan satu program semakan daftar pengundi di tapak pasar malam bersebelahan dengan pasar awam Tronoh, kelmarin.

Program yang dimulakan pada pukul 6.30 petang itu mendapat sambutan sangat menggalakkan di mana ramai yang berminat untuk mengetahui taraf mereka sebagai pengundi.

Adun Tronoh, V Sivakumar berkata, didapati seramai 13 orang mahu menukar alamat mengundi mereka mengikut alamat kad pengenalan namun penukaran hanya boleh dilakukan di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau pejabat pos besar.

"Ini adalah satu amalan birokrasi yang menyusahkan para pengundi," katanya kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, beliau menyeru SPR supaya mengkaji semula polisi yang membebankan itu.

Katanya, bagi mereka yang sudah menukar alamat kad pengenalan adalah wajar untuk Penolong Pendaftar Pengundi yang dilantik oleh SPR membuat pertukaran alamat pengundi tersebut, yakni para pengundi tersebut tidak perlu pergi ke pejabatb SPR atau pejabat pos.

Beliau menjangka beribu-ribu pengundi di seluruh negara tidak mengubah alamat mengundi mereka walaupun telah menukar alamat di kad pengenalan.

Justeru, Sivakumar menyeru agar orang ramai yang layak mengundi memeriksa kedudukan mereka sebagai pengundi.

"Sesiapa yang ingin menyemak status mengundi boleh berbuat demikian dengan mengakses laman web rasmi SPR iaitu www.spr.gov.my," ujarnya.

~harakah~

Ladang Babi Organik Di N9

Posted: 17 Jul 2010 10:04 AM PDT

Umno-BN telah mempolitikkan isu kandang Babi di Hulu Langat, Selangor. Dengan mengadakan demo. Seramai 200 orang berkumpul di hadapan bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam yang menempatkan pejabat Menteri Besar pagi Rabu bagi membantah tindakan kerajaan Selangor yang meluluskan projek ladang ternakan babi secara moden bernilai RM100 juta. Ia telah memenuhi media-massa nak mengambarkan Umno juara menentang ladang babi.

Tup-tup. Didapati Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pada 30 Januari, kira-kira sebulan sebelum pilihanraya umum lalu telah meluluskan projek ternak babi itu. Kerajaan baru Selangor bawah Pakatan Rakyat, hanya meneruskan projek memandangkan kawasan Ladang Tumbuk telah menjadi tapak ladang utama penternakan babi utama di negeri.

"Ia memenuhi piawaian kualiti yang tinggi dan tiada ladang-ladang baru khinzir akan diluluskan di Selangor dan semua ladang babi di luar kawasan ini diarahkan memindahkan operasi mereka ke projek tersebut bagi memudahkan kawalan dan penyeliaan bagi pihak berkuasa.

MB Selangor, Datuk Khalid Ibrahim juga menjelaskan pelaburan berjumlah RM100 juta termasuk kos pengambilan tanah, disediakan oleh pelabur tanpa melibatkan wang kerajaan negeri manakala babi yang diternak pula hanya untuk keperluan di Selangor dan bukan dieksport.

Yang menjadi bangangnya UMNO Selangor apabila didapati projek ladang babi itu sebenarnya diperolehi oleh kroni Umno bangsa melayu. Apabila gambar pemimpin Umno Selangor selaku Adun Tanjung Sepat Dr Karim Mansor and the geng bergambar tersengih dalam kandang babi dengan menunjukkan 'tanda best' di Jerman akhirnya telah meredakan isu tersebut.

Alih-alih pecah berita Negeri Sembilan telah siap projek kandang babi moden Negeri pimpinan UMNO-BN yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Hassan. Ladang babi moden yang disiapkan di Bukit Pelanduk yang heboh dengan kematian akibat J.E dulu telah siap dengan fasiliti moden.

Timbalan Menteri Pertanian dan asas Tani,Chua Tee Yong (Anak pengerusi MCA, Chua Soi Lek) mengharapkan ladang tersebut berjaya meningkatkan pengeluaran babi yang lebih banyak. Beliau meninjau ladang babi tersebut yang keluasan 480 ekar yang mampu menampung pengeluaran 250-300k ekor dalam satu masa.

Macamana puak-puak UMNO. . Orang dok sibuk demo anti judi. Bila lak nak demo anti ladang babi macam yang dibuat di Selangor dulu. Takkan tak boleh kerah UMNO negeri Sembilan untuk berarak ke Port Dickson. Ke Babi di Negeri Sembilan tu dah jadi kambing? Takkanlah pemuda UMNO Malaysia di Rembau tengok saje je.?

~Ustaz Saiful Bahri~

Tawaran Yang Mengagumkan Dari Pakatan Rakyat

Posted: 17 Jul 2010 10:03 AM PDT

AJK PAS Pusat yang juga EXCO Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan, Dato' Haji Husam Musa memberi jaminan jika Pakatan Rakyat diberi mandat oleh rakyat dalam PRU-13 untuk mentadbir Malaysia, Pakatan Rakyat akan mencari jalan terbaik untuk memansuhkan cukai selama 5 tahun. Idea ini ditawarkan oleh Dato' Haji Husam Musa dalam ceramah anjuran Urusetia Penerangan Pakatan Rakyat di Kuala Krai, Kelantan semalam.

Penceramah lain yang turut hadir ialah ADUN Mengkebang, YB Ustaz Latiff, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr.Hatta Ramli dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (DAP) YB Tony Phua.

Pakatan Rakyat memiliki formula istimewa untuk merealisasikan "Malaysia Yang Bebas Cukai Demi Kesejahteraan & Kemakmuran Rakyat" kata Dato' Haji Husam Musa.

Semua Ahli Parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat membantah sekeras-kerasnya tindakan drastik Kerajaan UMNO/BN menaikkan harga barangan keperluan asas tanpa membentangkan terlebih dahulu untuk dibahaskan dalam sidang Parlimen.

Jelas dan Nyata bahawa UMNO/BN bertindak sesuka hati seumpama Negara ini milik mutlak mereka dan bebas berbuat apa saja tanpa memikirkan kesan kepada rakyat yang rata-ratanya masih berpendapatan rendah dan miskin.

Dat' Haji Husam yang juga EXCO Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan menyelar etika kerja Kerajaan UMNO/BN yang zalim dan tidak bertanggungjawab apabila projek-projek mega yang memakan kos mencecah billion ringgit serta pembelian dengan kos yang melampau dan tidak masuk akal tetap diteruskan pada masa rakyat terus menerus dibebani dengan pelbagai kenaikan harga dan cukai contohnya yang terbaru kenaikan barangan keperluan asas yang diumumkan secara tergesa-gesa oleh Najib pada malam 15 Julai selepas sahaja Sidang dewan untuk penggal ini ditangguhkan..

Kenaikan harga barang tanpa kenaikan taraf ekonomi dan gaji rakyat Malaysia yang majoritinya terdiri dari petani,nelayan, buruh, peladang, bekerja sendiri dan bekerja di sektor swasta pastinya akan membebankan rakyat akibat malapetaka ekonomi dan inflasi yang teruk di Malaysia.

Dato' Haji Husam serta barisan penceramah dalam majlis penerangan isu semasa mengajak semua rakyat Malaysia dari semua kaum dan agama untuk menolak UMNO/BN dalam pilihanraya akan datang serta menyokong Pakatan Rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan Negara Malaysia.

Subsidi Rakyat Yang Dinafikan BN

Posted: 17 Jul 2010 09:58 AM PDT

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan kekesalannya terhadap kenaikan harga "5-dalam-1" bagi tujuan penjimatan subsidi sedangkan pada masa yang sama terdapat pelbagai pembaziran.

"...di sana berbagai lagi pembaziran yang lain, tiba-tiba rakyat awam menjadi mangsa, subsidi mereka pula yang dirampas," katanya.

"Kenangilah orang-orang kampung yang susah, ibu bapa yang terhad pendapatan mereka dan anak-anak miskin yang akan termangsa dari setiap kenaikan harga barang.

"Mereka tiada istana mewah, tiada kereta mewah, tiada hidangan mewah."

Tengah malam kelmarin, kerajaan menaikkan harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG). Langkah tiba-tiba itu ternyata mengundang kemarahan banyak pihak, terutamanya pembangkang.

Menulis dalam blognya semalam, Dr Mohd Asri menempelak "golongan bangsawan dan pembesar yang bersenang-lenang dengan kemewahan yang telah merampas subsidi rakyat".

Sedangkan, menurut artikel berjudul 'Menangisi kenaikan harga barang' itu lagi, orang miskin kini menangis ekoran harga makanan yang semakin tinggi.

~MK~

Umno dan PAS akan bersatu?

Posted: 17 Jul 2010 09:56 AM PDT

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini. Namun beliau berkata beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini, khususnya antara parti Umno dan PAS.

"Masih ada harapan (ke arah perpaduan orang Melayu), jika kita bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini.

"Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak anjuran Gagasan Melayu Perak di Ipoh hari ini.

Harussani berkata terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau telah menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua belah pihak.

Bagi mencapai perpaduan, beliau berkata pemimpin yang beragama akan memahami erti perpaduan yang akan membawa ke arah kebaikan.

"Adakah agama menganjurkan kita mengamalkan sikap degil. Sifat degil merupakan satu perbuatan keji dalam agama kerana ia tidak menguntungkan rakyat. Mereka perlu sedar perkara ini," katanya.

Semasa merasmikan majlis tersebut, Harussani berkata sekiranya umat Islam hanya setakat berbeza pendapat, ia merupakan rahmat kerana perbezaan itu boleh membawa kepada kemajuan.

"Namun kini umat Islam bukan sahaja berbeza pendapat malah berpecah belah yang akhirnya boleh membawa kepada kehancuran mereka," katanya.

Beliau berkata umat Islam kini, termasuk golongan akar umbi, pertengahan, pemimpin malah kumpulan agama telah tersalah menilai dan tidak tahu meletakkan keutamaan dan kepentingan mereka.

"Contohnya, bangsa lain mengutamakan pendidikan tetapi kita (umat Islam) mengutamakan hiburan. Dalam pendidikan pula, kita lebih mengutamakan akademik daripada agama Islam.

"Agama diutamakan sebagai pelajaran dan bukan sebagai didikan. Kalau dari segi pelajaran agama, orang Yahudi dan Barat sebenarnya lebih pandai mengenai agama Islam daripada kita sendiri," tegas beliau.

~Bernama~

Hapus cukai 5 tahun jika Pakatan jadi kerajaan

Posted: 17 Jul 2010 09:55 AM PDT

Pakatan Rakyat sedia mencari jalan untuk memansuhkan cukai selama lima tahun sekiranya rakyat sedia memberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

Demikian tawaran AJK PAS Pusat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa semalam pada suatu majlis Pakatan Rakyat negeri di sini.

"Kalau Pakatan Rakyat dapat ambil alih (kerajaan) Pusat lepas PRU13, cukai pendapatan akan dimansuhkan sepenggal atau sekurang-kurangnya kakitangan kerajaan tak perlu bayar sepenggal," ujar beliau.

Menurut beliau, kepemimpinan Pakatan Rakyat mempunyai formula tersendiri untuk urus tadbir kewangan negara secara adil, dinamik dan tidak membebankan rakyat.

Disebabkan itu, beliau menganggap langkah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri menaikkan harga barangan asasi rakyat sebagai tindakan yang tidak bijak serta tidak menguntungkan rakyat.

Katanya lagi, kerajaan sepatutnya mengutamakan keperluan rakyat dengan menangguhkan beberapa projek mega yang nyata menguntungkan pihak tertentu semata-mata.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut menganggap pentadbiran Najib bertindak menipu rakyat kerana tidak terlebih dahulu membawa cadangan menaikkan harga minyak RON95, diesel, gula dan petroleum gas cecair (LPG) ke Dewan Rakyat baru-baru ini.

Tambahnya, indakan Najib yang juga Menteri Kewangan I mengumumkan kenaikan harga beberapa barangan tersebut sejurus selesai sidang Dewan Rakyat seolah-olah tidak mengiktiraf kedudukan Dewan Rakyat dalam sistem demokrasi negara.

Impak dari kenaikan harga beberapa komoditi tersebut, katanya lagi, meninggalkan kesan berantai seperti inflasi yang nyata cukup menghimpit kehidupan kaum nelayan, petani, peniaga hatta pengguna sendiri.

Turut hadir mengisi pentas bantahan adalah Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman (Adun Mengkebang), Bendahari PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai) serta Tony Phua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara).

~harakah~

Editor media bukan ‘lembu Umno'

Posted: 17 Jul 2010 09:54 AM PDT

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak 'melembukan' media-media arus perdana.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada tindakan kerajaan melarang editor-editor terbabit menggunakan terminologi 'barang naik' ketika melaporkan berita berhubung kenaikan harga barangan asasi rakyat, seperti yang didedahkan Malaysiakini semalam.

"Editor media-media ini bukannya 'lembu Umno', jangan lembukan media-media yang selama ini masih sokong kerajaan," ujar beliau malam tadi di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, di sini.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat berkata, penggunaan istilah 'rasionalisme subsidi' dan 'penyelarasan harga' semata-mata untuk membendung kemarahan rakyat terhadap pentadbiran Najib.

"Dia (Najib) guna terma-terma ini semua sebab dia mahu 'melembukan' rakyat, dia takut rakyat terus mengecam pentadbiran dia," ujar beliau sambil mengajak rakyat dan kakitangan kerajaan memulakan protes secara senyap terhadap pentadbiran Najib.

Katanya lagi, tindakan Najib merampas RM570 juta subsidi daripada rakyat sebagai tindakan mementingkan diri sendiri.

"Seseorang bapa pun kalau tak ada duit, dia akan mengikat perutnya, tetapi dia (Najib) sanggup ikat perut kita semua (rakyat) kononnya untuk menjimatkan duit negara.

"Dia mungkin ingat negara ini 'kerajaan laki-bini' dia, saya nak tegaskan di sini bahawa negara ini 'harta rakyat'," tegasnya lagi.

Semalam, Malaysiakini melaporkan, seorang penasihat media di Jabatan Perdana Menteri (JPM) melarang editor-editor terbabit membangkitkan amarah rakyat dengan melaporkan berita berhubung kenaikan harga barangan 5 dalam 1 termasuk petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG) sejak malam kelmarin.

Mereka, menurut laporan itu lagi, turut diarahkan memberi gambaran yang mesra dan positif kononnya langkah Najib itu sebagai langkah penjimatan kerajaan demi kepentingan negara.

~harakah~

Tiada ulasan: