Khamis, 1 Julai 2010

Anak Cucu Nabi Adam

Anak Cucu Nabi Adam


Zaid Jumpa Raja Petra

Posted: 30 Jun 2010 07:26 PM PDT

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim membidas ahli parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mempersoalkan pertemuannya dengan Raja Petra di Manchester pada tahun lalu dan menjadikannya isu di Dewan Rakyat hari ini.

Dengan sinis, Zaid berkata sebagai wakil rakyat, Zahrain sepatutnya menimbulkan cadangan yang bernas mengenai dasar negara dan berani mengkritik keputusan kerajaan.

"Itulah tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh seorang Yang Berhormat. Lebih-lebih lagi kalau kita itu, wakil rakyat Bebas yang begitu di gemari oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kenalah jaga standard supaya orang tak mengatakan kita ini budak suruhan semata mata, dan tidak ada modal bernas untuk diketengahkan dalam Dewan," kata Zaid dalam blognya.

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, Zahrain kini sudah semacam menjadi wakil kepada polis perisikan yang membuat pendedahan yang beliau menginap di hotel yang sama dengan Raja Petra.


"Dia kata SPRM kena siasat petemuan ini. Inilah kerja wakil rakyat pro-BN kita hari ini. Tak ada perkara lain nak ditimbulkan. Kalau dia tanya saya, saya akan beritahu lebih dari itu.

"Jumpa Raja Petra tidak salah...Raja Petra dan isterinya, Marina kawan saya. Saya tak tinggalkan kawan semata-mata kawan ada dalam kesusahan. Jadi setiap kali saya ke London, saya jumpa mereka. Tahun lepas saya bawa Petra tengok bolasepak di Old Trattford, dia minat kepada Manchester United. Jadi saya belanjalah dia.


"Itulah sedikit hiburan baginya yang terpaksa meninggalkan tanah air kerana menuntut kebenaran. Perjuagan seperti Petra mungkin YB Bayan Baru kita itu tak mengerti atau faham," kata Zaid.

Beliau juga mengakui bahawa Raja Petra membuat tempahan di hotel Britannia bagi pihaknya tetapi menafikan penulis blog itu turut menginap di situ kerana rumahnya hanya terletak 15 minit perjalanan dari hotel berkenaan.

"Hotel yang saya menginap itu pun tiga star, tak lah seperti hotel Zahrain guna semasa ke Washington. Maklumlah saya bayar sendiri," katanya merujuk kepada seminar berprofail tinggi mengenai kehakiman dan kerajaan Malaysia di Washington DC yang dihadir Zahrain selepas berpaling tadah daripada PKR.


Seminar itu anjuran sebuah badan pemikir terkemuka - Pusat bagi Strategi dan Pengajian Antarabangsa (CSIS) dan dihadiri oleh pegawai kerajaan Amerika, aktivis, diplomat dan rakyat Malaysia di sana.

Menurut Zaid, beliau akan kota London lagi minggu depan dan besar berkemungkinan akan dengan Raja Petra dan isterinya lagi.

"Saya akan bekalkan butir lanjut jika YB Zahrain atau SPRM mahu maklumat lain. Saya harap dapat juga bertemu Bala kalau SPRM tidak mahu bertemu dengannya," katanya.

~MK~

Berjaya lapor keuntungan pracukai berganda

Posted: 30 Jun 2010 07:23 PM PDT

Berjaya Corporation Bhd (BCorp) telah melaporkan keuntungan sebelum cukai lebih daripada berganda kepada RM613 juta untuk tahun kewangannya yang berakhir 30 April, 2010, daripada RM275 juta tahun sebelumnya.

Pendapatan meningkat 6.9 peratus kepada RM6.8 bilion daripada RM6.3 bilion sebelumnya, kata kumpulan dalam satu kenyataan hari ini.
Kenaikan itu terutamanya disebabkan oleh sumbangan pendapatan yang tinggi daripada pemasaran pengguna, pembangunan hartanah, insurans am dan perniagaan broker saham, kata BCorp.

Untuk suku keempat berakhir 30 April, 2010, BCorp mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM299.2 juta daripada kerugian sebelum cukai RM37.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas sementara pendapatan naik 25 peratus kepada RM1.89 bilion daripada RM1.51 bilion sebelumnya.

Untuk tahun kewangan berakhir 30 April, 2010, BCorp membayar satu peratus dividen tunai satu tier dan 2.35 peratus "single-tier dividend-in-specie" saham-saham Berjaya Media Bhd, menjadikan jumlah pembayaran dividen 3.35 peratus sesaham.

BCorp berkata dengan pulihnya keadaan ekonomi, perniagaan pemasaran pengguna di bawah Cosway (M) Sdn Bhd dijangka terus menunjukkan penambahbaikan sementara perniagaan pertaruhan di bawah Berjaya Sports Toto Bhd akan terus berdaya tahan.

~Bernama~

Dua ADUN S'gor diarah ke SPRM

Posted: 30 Jun 2010 07:22 PM PDT

Dua ADUN Selangor telah diarahkan ke pejabat Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya esok bagi merakamkan kenyataan mereka.

Wakil PKR Mat Shuhaimi Shafiei (Sri Muda) dan Amirudin Shari (Batu Caves) menerima notis berasingan pada Isnin lalu bagi membantu penyiasatan di bawah Seksyen 17(a), Akta SPRM.

Mat Shuhaimi, ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau menerima notis berkenaan.

Katanya, walaupun tidak mengetahui apa yang ingin disiasat oleh SPRM, tetapi beliau akan tetap ke Putrajaya.

"Saya fikir ini adalah serangan kedua oleh BN yang menggunakan SPRM untuk memalukan perwakilan Pakatan di Selangor," katanya sambil menegaskan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Sementara itu, pengarah penerangan Selangor, Badrul Amin Baharom dalam satu kenyataan berkata langkah SPRM itu merupakan satu lagi serangan baru daripada siri percubaan untuk menjatuhkan pimpinan Pakatan di Selangor.

"Kami juga tidak menyangkal kemungkinan SPRM dipergunakan untuk menjayakan agenda Umno-Barisan Nasional merampas kuasa pentadbiran Selangor, sepertimana berlaku dalam insiden rampasan kuasa kerajaan negeri Perak pada tahun 2009," katanya.

Sehubungan itu, Badrul Amin menggesa SPRM bersikap professional dalam menjalankan tugas.

"Kami turut menggesa SPRM menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Barisan Nasional yang terang-terang melakukan rasuah seperti bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo," katanya.

Menurut beliau, kedua-dua ADUN Pakatan itu akan hadir bersama peguam masing-masing ke pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 3 petang esok untuk memberi kerjasama yang sewajarnya.

~MK~

Karpal dicabar bukti dasar Islam PAS salah

Posted: 30 Jun 2010 07:18 PM PDT

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencabar Karpal Singh supaya membuktikan konsep negara Islam acuan PAS, yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun, adalah salah.

Beliau, yang juga menteri besar Kelantan, menganggap kenyataan pengerusi DAP, Karpal Singh yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam PAS jika pakatan pembangkang dapat menguasai pentadbiran negara, sebagai kenyataan peribadi.

Nik Abdul Aziz berkata PAS akan terus melaksanakan Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama walaupun ada bangkangan daripada beberapa pemimpin parti rakan sekutu dalam pakatan pembangkang, termasuk DAP.

Katanya, jika terdapat suara-suara sumbang yang lahir dari pemimpin parti pakatan pembangkang yang mencurigai hasrat PAS itu, ia merupakan pendapat peribadi masing-masing.

"Selagi mereka (yang tidak bersetuju dengan dasar PAS itu) tidak dapat membuktikan dasar Islam yang kami laksanakan ini salah, kami akan terus perjuangkan dasar ke arah pembentukan negara Islam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal Singh dalam temu bual bersama sebuah portal berita yang mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS, sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

Ia merupakan pendapat peribadi Karpal sendiri, bukannya dari DAP dan setakat ini tidak ada pihak yang dapat membuktikan konsep perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS itu salah, kata Nik Abdul Aziz.

Bagaimanapun, setakat ini Nik Abdul Aziz berkata beliau tidak nampak DAP secara terus-terang menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS, cuma yang ada suara-suara sumbang beberapa kerat pemimpinnya dari luar.

Mengenai pengeluaran lesen minuman keras di negeri ini, beliau mengakui kerajaan negeri ada mengeluarkan lesen premis perniagaan untuk menjual minunam keras di kalangan bukan Islam di negeri ini.

"Kerajaan hanya mengurus atur lesen premis penjualan minuman arak kepada bukan Islam, tetapi tetap tidak membenarkan orang Islam minum minuman keras itu.

"Kita juga tetap tidak mengeluarkan lesen untuk premis perjudian, kerana judi diharamkan oleh semua agama," katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti pembangkang mahu kerajaan negeri pimpinan PAS Kelantan membuktikan tidak mengeluarkan lesen judi dan arak di negeri itu.

~Bernama~

Tiada ulasan: