Ahad, 18 Julai 2010

Addin

Addin


Bila Hampir Pilihanraya, Propaganda Nasib Bangsa Melayu Ditiup

Posted: 18 Jul 2010 08:30 AM PDT

Tajuk utama Utusan Malaysia hari ini bahawa Melayu bakal hilang kuasa dalam PRU-13, hanya untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu tatkala kuasa UMNO dalam politik tanahair kian terhakis. Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata media milikan kerajaan kerap menimbulkan persoalan mengenai nasib bangsa Melayu seolah-olah masyarakat Melayu tidak matang, belum cukup arif dan buta politik.

"Inilah yang BN mainkan tiap-tiap kali pilihanraya dan musim itulah permainan yang mereka mainkan cuba takut-takutkan dan berbalik kepada isu perkauman. Bagi saya itu perkara biasa,umum rakyat dah tahu dah bagaimana nasib orang melayu selama Barisan Nasional memerintah 50 tahun," kata Nik Nazmi. Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mufti Perak Dr Harussani Zakaria yang mendakwa kedegilan Parti Islam Malaysia bersatu dengan Umno akan memberi kesan buruk kepada masa hadapan bangsa Melayu.

Harussani berkata kedegilan itu adalah sifat yang keji, dan akan membawa kepada kehancuran rakyat. Beliau juga mendakwa pemimpin Pas menemui beliau meminta pandangan untuk menyatukan kedua-dua parti itu. Pas bagaimanapun menafikan pihaknya menghantar wakil bertemu Mufti Perak agar mengaturkan perbicangan bersama Umno untuk menyatupadukan Islam dan Melayu.

"PAS tidak pernah menghantar wakil untuk bertemu dengan Tan Sri Harussani sama ada rasmi ataupun tidak rasmi saya menghadiri banyak mesyuarat peringkat pusat setahu saya tiada perbincangan untuk menghantar wakil jumpa beliau," kata Ketua Penerangan PAS Pusat,Idris Ahmad.

Muhyiddin 'Cuci Tangan' Berkenaan Isu Pasir Di Selangor

Posted: 17 Jul 2010 11:25 PM PDT

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab apabila berkata Kerajaan Persekutuan tidak akan campurtangan dalam menangani isu perlombongan pasir secara haram di Selangor. Menteri Besar, YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kenyataan angkuh tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan kerana semua agensi penguatkuasaan dan kuasa pendakwaan adalah bawah kerajaan Persekutuan.

"Saya amat kecewa dan terkejut apabila seorang menteri Persekutuan 'cuci tangan' dari menjaga keselamatan rakyat dan menguatkuasakan undang-undang yang berada bawah Kerajaan Persekutuan. "Sekurang-kurangnya beliau boleh memulakan perbincangan dengan polis dan pihak berkuasa lain bagi membanteras jenayah curi pasir ini. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri ini perlu dikutuk kerana enggan menggunakan kuasa terhadap agensi penguatkuasaan dan sebaliknya menyerahkan tugas itu sepenuhnya kepada Selangor," kata Menteri Besar.

Pada Selasa lalu, Menteri Besar telah menulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri untuk memaklumkan tindakan kerajaan negeri membanteras kecurian pasir di Selangor yang menjadi tajuk utama akhbar arus perdana. Surat itu sebagai respon kepada kenyataan menteri Persekutuan tersebut yang mendakwa masalah curi pasir ini mudah diatasi dengan cara menangkap dan menghukum mereka yang terbabit.

Dalam surat yang dihantar ini, Menteri Besar juga memberi maklumat terperinci kawasan-kawasan curi pasir, suspek terlibat dan himpunan laporan polis sejak beberapa tahun lalu sambil meminta Timbalan Perdana Menteri memberi arahan yang berpatutan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kerajaan Selangor juga meragui ketulusan komen Timbalan Perdana Menteri dalam hal ini. "Satu-satunya rasional ialah kenyataan beliau ini lebih kepada motif politik. Jika ini benar, maka ia akan memberi impak negatif kepada pembangunan negara apabila isu keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang dipolitikkan.

"Ini juga bukti menteri Persekutuan tidak bersikap profesional. Sikap mereka ini amat mengecewakan rakyat Malaysia," katanya. Menteri Besar berkata, jika pun isu curi pasir bukan keutamaan pasukan polis yang mempunyai masalah kekurangan anggota, maka sudah tiba masanya pihak PDRM membenarkan kerajaan Selangor menubuhkan pasukan polis bantuan.

"Kerajaan Persekutuan sepatutnya memberi kebenaran kepada kita menubuhkan pasukan polis bantuan bagi menolong pasukan polis. Namun dengan cara menafikan hak dan mengarahkan kita menyelesaikan sendiri masalah curi pasir adalah tidak adil sama sekali," tegas Menteri Besar.

Sumber

Tiada ulasan: