Isnin, 28 Jun 2010

pemuda cheh

pemuda cheh


Bertasbih Tapi Menghalal Yang Haram?

Posted: 28 Jun 2010 12:37 AM PDT

Tok Guru Nik Aziz

Di antara perkara yang sangat-sangat menggembirakan saya ialah apabila pimpinan PAS yang tidak mempunyai latar pendidikan agama yang tinggi (termasuk yang tidak berpendidikan formal dalam bidang agama) telah menunjukkan kemampuan dalam menghurai sesuatu dalam konteks Islam dengan begitu baik. Yakin sungguh di hati kecil saya, inilah kesan daripada perjuangan PAS yang dipimpin golongan ulama'.

Hasilnya, golongan dilihat telah mampu memahami dan menghuraikan aspek kehidupan dari perspektif Islam dengan jelas. Ia merupakan hasil didikan dan tarbiyah yang diperolehi di dalam PAS. Berbeza dengan UMNO yang dilihat membekukan golongan ulama'. Jika tidak, mana mungkin sesuatu yang haram seperti judi, boleh dilesenkan sebagai halal.

Saya menyentuh begini kerana ada peristiwa menarik hati saya sewaktu penggulungan perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tempoh hari (9 Rejab 1431/22 Jun 2010). Ia adalah sidang kali ke-2 bagi tempoh penggal ketiga DUN Kelantan yang Ke- 12.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAS menghuraikan falsafah solat begitu tepat sekali, walaupun tidak mendapat pendidikan agama yang tinggi secara formal. Jika boleh saya nukilkan kembali bagaimana YB Haji Zulkifli Mamat (Pulai Chondong) menyebut betapa peliknya sesetengah Muslim yang sewaktu rukuk dan sujudnya menyebut tasbih meninggikan Allah SWT, tetapi di dalam masa yang sama menyokong judi dihalalkan.

Tidakkah terdetik di hati kecil mereka betapa salahnya apa yang mereka lakukan. Dahi sujud kepada Allah membisik tasbih, memuji Allah SWT dengan mengaku bahawa Allah SWT yang Maha Tinggi, tetapi di luar solat mengangkat tangan bersetuju dengan judi. Tidakkah terdetik rasa malu kepada Allah SWT?

Saya ingin menambah dalam coretan ringkas ini. Sebenarnya Kerajaan UMNO/BN melesenkan judi untuk meraih pendapatan yang lebih. Dalam erti kata lain untuk mendapat kemakmuran. Sedar atau tidak, persoalan kemakmuran telah disebut jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Jika saya diberi peluang berkuliah kepada pimpinan UMNO, ingin sekali saya membaca ayat daripada Surah Al A'raf, ayat 96 yang bermaksud:

"...Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka segala macam berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya..."

Sudikah kiranya pemimpin UMNO yang beragama Islam mengambil sedetik dua masa untuk menelaah ayat ini? Jika sudi, perhatikanlah bagaimana janji Allah untuk melimpahkan segala macam berkat hanya apabila manusia beriman dan bertakwa.

Kemakmuran ialah satu keberkatan. Kemakmuran bukannlah bermakna kemewahan semata-mata. Hidup kaya raya tetapi hati susah bukan makmur namanya. Negara mendapat pendapatan yang lebih, tetapi kesan terhadap sosial dan kehidupan rakyat jelata begitu teruk. Itu bukan makmur namanya. Sedangkan kami di Kelantan percaya bahawa keberkatan itu ada kaitan erat dengan ketakwaan kepada Allah SWT, dan atas asas inilah kami memperkenalkan dasar Membangun Bersama Islam yang berteraskan prinsip Ubidiah, Masuliah dan Itqan.

Sayangnya, pimpinan UMNO pada hemat saya gagal atau langsung tidak mahu memahami ayat al-Quran di atas. Barangkali, jika masih ada golongan ulama' yang berminat mahu berada di dalam kubang UMNO, saya hanya mampu untuk bersimpati.

Bala Tolak Syarat SPRM Tidak Benarkan Peguam Pada Sesi Soal Siasat

Posted: 28 Jun 2010 12:29 AM PDT

Americk Sidhu, peguam kepada penyiasat persendirian, P Subramaniam berkata beliau menolak syarat yang dikenakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang tidak membenarkan kehadiran peguam semasa sesi soal siasat yang dicadangkan SPRM di London bulan depan.

Dalam satu emel yang dihantar kepada Suara Keadilan, Americk berkata pegawai penyiasat SPRM, Abdul Rahman Bachok memberitahu beliau melalui surat bertarikh 21 Jun 2010 bahawa agensi tersebut tidak membenarkan kliennya membawa peguam ketika memberi keterangan.

"Saya ingin memaklumkan bahawa pihak kami tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan. Ini kerana klien saya mempunyai hak seperti mana yang ditetapkan Perlembagaan untuk mempunyai peguam ketika disoal siasat dan hak ini mengatasai mana-mana protokol yang dirumus oleh pihak SPRM.

"Walau bagaimanapun Pengarah Penyiasatan SPRM, Mustafar Ali akhirnya telah berbesar hati untuk membenarkan kehadiran peguam semasa soal siasat seperti yang dilaporkan dalam artikelThe Star bertarikh 26 Jun 2010," kata Americk.

Menurut Americk Bala dijadualkan memberi keterangan pasukan penyiasat SPRM di Holiday Villas, Leinster Gardens, Bayswater, London pada 5 Julai depan pukul 10.00 pagi.

"Kami juga ingin memaklumkan bahawa Bala akan membawa bersama beliau semua dokumen berkaitan yang kena mengena dengan kes siasatan," jelas beliau lagi dalam emel.

Ku Li sedia jadi saksi tuntutan royalti minyak

Posted: 27 Jun 2010 07:27 PM PDT

Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau sedia menjadi saksi bagi pihak kerajaan negeri Kelantan sekiranya kerajaan negeri itu membawa kes tuntutan royalti minyak ke mahkamah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata tawaran itu dibuat kerana beliau lebih mengetahui mengenai perkara itu berikutan pernah dilantik sebagai orang bertanggungjawab dan ditugaskan menubuhkan Petronas serta terbabit dalam penyediaan Akta Petroleum.

"Saya boleh jadi saksi mengenai perkara itu kerana Akta Petroleum yang dipakai sampai sekarang adalah adil untuk kerajaan negeri terbabit membuat tuntutan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Iba Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Chiku 2, dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, Exco kerajaan negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Royalti Datuk Husam Musa berkata kerajaan negeri Kelantan akan membawa isu royalti minyak ke mahkamah pada 30 Ogos nanti.

Kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS bertegas mahukan kerajaan pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Kerajaan pusat setakat ini telah menyerahkan wang ihsan sebanyak RM25 juta kepada penduduk Kelantan.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata Akta Petroleum memberi hak kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak menuntut hak royalti minyak.

Bagaimanapun, katanya beliau menyerahkan kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membawa kes royalti minyak ke mahkamah dan beliau bersedia menjadi saksi.

Geng 40 Para Ustaz Muda Dalam Umno

Posted: 27 Jun 2010 07:24 PM PDT

Sebelum ini Hishamuddin keris mengarahkan Musa Hasan mengeluar kenyataan bahawa di malaysia wujud penganas Jemaah Islamiah (JI). Kemudian Najib dan menteri-menteri hanggok lain pun mengiyakan memang ada kumpulan JI yang melibatkan ustaz-ustaz dan pelajar IPT.

Dalam dok kalut isu pengganas JI yang akan dikenakan tindakan yang keras dari kerajaan. Muncul pula geng 40 ustaz muda ini menyertai umno. Apakah geng 40 para ustaz muda ini ada yang terlibat dengan gerakan JI? Tindakan mereka semacam ada tekanan dari seseorang yang berkuasa.

Bila geng 40 ini dah hantar borang untuk masuk Umno karat, Hishamuddin keris terus mengarahkan musa hasan supaya merahsiakan risikan kegiatan JI ini supaya tidak bocor ke khalayak. Apakah lakonan mereka ini sebenarnya?. Dan apakah geng 40 para ustaz muda ini akan dibersihkan oleh Umno?.

Apa pun tindakan geng 40 ini yang sujud memohon ampun kepada Parti karat yang kuat buat propaganda itu, tidak semua dari mereka yang ikhlas hati menyertai umno apabila mengeluarkan kenyataan kami masuk Umno bukan untuk berpolitik walaupun Umno adalah sebuah parti politik. Ini jelas mereka hanya mahu melepaskan diri dari tekanan dan propaganda JI.

Ustaz muda tak mungkin dapat mengubah Umno yang sudah tua itu. Sedangkan ulama dan mufti yang lebih otai pun gagal mengubahnya. Sebab apa? sebab umno tak pernah berubah kerana memisahkan politik dan agama.

‘Saya tidak hebat dalam politik’ - MB Selangor

Posted: 27 Jun 2010 07:14 PM PDT

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang berhadapan dengan tekanan dari dalam PKR sejak beberapa bulan lalu dengan rendah diri hari ini berkata, beliau tidak "hebat" dalam politik. Sehubungan itu ketua kerajaan negeri Selangor ini memberitahu, beliau mahu memberi tumpuan terhadap soal pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.


"Oleh kerana Selangor sangat penting, jadi saya harus memberikan tumpuan kepada pentadbiran negeri terutamanya terhadap aspek pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

"Dengan ini, saya dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan negeri termasuk di Kampung Baru yang mana saya akan menyumbang pemikiran dan idea agar ia dapat dilaksanakan.

"Saya mahu melihat pembangunan di Selangor bergerak seiring dengan Kuala Lumpur," kata beliau yang dilantik sebagai menteri besar selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Perubahan kepimpinan ini diumumkan lima bulan menjelang pemilihan parti.

Khalid, bekas tokoh korporat, disebut-sebut akan digugurkan selepas PKR yang mewakili Pakatan Rakyat gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu.

Azmin, Ahli Parlimen dan Adun Selangor pula berkata, rombakan yang dibuat hari ini bertujuan memastikan strategi mempertahankan Selangor dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin tanpa membebankan Khalid.

"Saya akan menguruskan hal-hal berkaitan parti manakala Khalid akan memberikan tumpuan kepada pembangunan negeri.

"Jadi kami berdua akan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab yang diberikan untuk mempertahankan Selangor.

"Ini kerana kerusi yang dimenangi ini harus dipertahankan jadi parti dan kepimpinan negeri perlu memainkan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin dalam satu pasukan," katanya.

Dalam rombakan kecil diumumkan petang ini, Khalid digantiken oleh Azmin sebagai pengerusi negeri Selangor berkuat kuasa hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Datuk Zaid Ibrahim pula mengambil alih kepimpinan PKR Wilayah Persekutuan menggantikan Azmin.

Rombakan diumumkan oleh Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah berkata, rombakan itu dibuat bagi membolehkan Khalid menumpukan perhatian terhadap soal pentadbiran kerajaan negeri.

TIDAK SAMPAI 40 RUPANYA `USTAZ' MASUK UMNO

Posted: 27 Jun 2010 04:36 PM PDT

Walaupun begitu gah Umno mencanangkan di media massa bahawa seramai 40 orang ulama muda telah menyertai parti itu kelmarin, namun maklumat yang diperolehi hanya sebahagian sahaja yang benar-benar berbuat demikian.

Sebaliknya pula, ada sebahagian daripada mereka yang berada di dalam majlis tersebut telah terpedaya dengan mainan politik bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurut Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman, ada beberapa orang yang datang dari Perlis untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tujuan yang lain, sebaliknya telah terperangkap dengan sandiwara politik mainan Shahidan.

"Shahidan telah mengambil kesempatan dengan kehadiran mereka untuk tujuan politiknya. Mereka mewakili Persatuan Al-Islah Perlis yang pergi untuk berjumpa Najib bagi membersihkan nama persatuan mereka yang turut dikaitkan dengan isu terkini iaitu Jemaah Islamiah (JI) dan keganasan.

"Salah seorang mereka adalah tenaga pengajar di sekolah kita di Jejawi, Ustaz Wahab Abdullah. Dia bukan pergi serah borang Umno, tapi untuk membersihkan nama persatuannya dari dilabel sebagai pengganas. Maklumat yang kita dapat bukan sampai 40 orang pun yang menyertai Umno," jelasnya dalam majlis ceramah di Markas Tarbiah PAS Padang Besar di Santan dekat sini malam tadi.

Ustaz Wahab adalah tenaga pengajar di Al-Madrasah Ad-Dinniah Al-Islamiyah (MADI), salah sebuah sekolah kelolaan PAS Perlis.

PAS ADA BERPULUH RIBU ULAMA

Posted: 27 Jun 2010 04:32 PM PDT

Tak habis-habis lagi Umno menjaja cerita tentang penyertaan 40 'ulama' muda yang masuk ke parti itu. Sebenarnya tak sampai 40 pun, ada yang datang kerana tertipu dengan helah Dato Shahidan Kassim kononnya untuk membersihkan nama mereka dari senarai golongan militan. Digelar pun 'ulama muda',masih mentah dengan sepak terajang politik.

Ada pemimpin Umno kata, Umno kini terbukti perjuangkan Islam. Ada yang kata dasar Umno betul. Paling tak masuk akal ada yang kata penyertaan itu satu tamparan kepada Pas. Pas tergugat ke? Untuk makluman pemimpin Umno, dalam Pas penyertaan Ulama muda atau ulama tua tidak pernah surut. Bukan hanya di peringkat kawasan, malah di peringkat cawangan tidak pernah ketandusan Ulama. Di cawangan tertentu seperti di Kedah, Kelantan dan Terangganu ada cawangan memiliki limpahan ulama yang silih berganti. Tak bising-bising pun!

Kalau nak dikira jumlah mereka yang bertaraf 'ulama' sama ada dari aliran pendidikan pondok, para huffaz, graduan IPTA dan IPTS aliran agama dari dalam atau luar negara saya jangka bukan berpuluh tetapi berpuluh ribu. Mereka memainkan peranan tertentu sama ada secara tidak langsung dengan menjawat jawatan penting di masjid dan surau atau secara langsung bergiat aktif dalam Pas.

Penyertaan ulama dalam Pas menyebabkan tertubuhnya sayap parti yang memainkan peranan penting iaitu Dewan Ulama Pas. Mampukah Umno menubuhkan Dewan Ulama Umno? Masalah yang timbul siapa pulak akan jadi Mursyidul am Dewan Ulama Umno? Dato Hamid Othman atau Dato Yusof Noor? Mungkin juga ustaz yang tendang tong sampah dalam pilihanraya umum di Permatang Pauh dulu boleh dipertimbangkan.Mungkin Dato Jamil Khir yang senyap membisu dalam isu lesen judi bola boleh jadi timbalannya.

Jika era Pak Lah yang dianggap keturunan ulama Umno dikatakan mendapat sokongan 'ulama' mampukah zaman 1Malaysia yang diselubungi pelbagai isu dan skandal untuk membawa imej kepimpinan Islam?

Tiada ulasan: