Jumaat, 25 Jun 2010

pemuda cheh

pemuda cheh


Perangi Judi Haram Atau Tambah Lesen Judi?

Posted: 24 Jun 2010 11:44 PM PDT

SETELAH meneliti debat dan polemik menganai cadangan mengeluarkan semula lesan judi bola sepak, saya berasa yakin kita boleh membuat beberapa kesimpulan.

Pertama, Mohd Najib Abdul Razak, sebagai Pengerusi Barisan Nasional, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan boleh meluluskan lesen judi bola sepak atau apa-apa judi sekalipun. Itu hak dan budi-bicaranya.

Kedua, parti-parti bukan Islam dalam BN mungkin bersetuju atau tidak menentang keras pelesenan judi manakala parti-parti lawan, termasuk Pas dan PKR, akan bermain wayang dan menangguk di air keruh. Itu hak mereka.

Ketiga, sebagai seorang Islam dan Presiden Umno, Mohd Najib tidak boleh bertindak sesuka hati. Di sisi Islam, judi sama ada dilesenkan atau dijalankan secara haram adalah HARAM.

Keempat, sebagai Presiden Umno – sebuah parti yang berjuang atas nama agama (Islam), bangsa dan negara – Mohd Najib tidak boleh bertindak sesuka hati.

Kelima, dia berkuasa mengarah dan memujuk menteri-menteri Islam, ketua-ketua Umno dan media massa arus perdana melancarkan perang saraf bagi menyokong pelesenan judi bola sepak. Atau pihak-pihak ini berasa perlu untuk mempertahankan Perdana Menteri dan kerajaan.

Keenam, Mohd Najib harus berhati-hati menongkah arus kerana ramai dalam Umno telah secara terbuka dan terus terang menyatakan bantahan mereka terhadap pengeluaran lesen judi bola sepak.

[Umno Johor – tonggak kekuatan Umno Malaysia buat masa ini – telah mengatakan "tidak" kepada lesen tambahan perjudian. Umno Perak yang dalam perjuangan hidup mati pun mengatakan "tidak" dan begitu jugalah Umno Kedah yang cuba bangkit semula. Semuanya berkata "tidak".

Pemuda Umno pun menyatakan pendirian yang sama. Bernama pada 24 Jun memetik ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin, sebagai berkata Pemuda Umno menentang cadangan mengeluarkan lesen judi bola sepak.

Katanya, pelesenan judi bola sepak akan mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

"Selepas beberapa minggu mendapatkan pandangan ahli akar umbi dan melihat usaha polis mencegah judi (haram), Pemuda Umno mengambil pendirian membantah jika kerajaan mahu mengeluarkan lesen judi bola sepak," tegas beliau.]

Ketujuh, dalam isu judi ini, politiking ada hadnya. Umno, Pas dan elemen Islam dalam PKR boleh bermain wayang dengan membuat kenyataan politik untuk menyedapkan hati penyokong masing-masing sambil cuba mengambil hati orang bukan Islam, tetapi mereka tidak boleh bermain wayang dengan hukum agama dan tentunya tidak semua orang bukan Islam mahu lebih banyak lesen dan kegiatan judi diwujudkan kononnya kerana menghormati hak dan kebebasan orang bukan Islam.

Kelapan, tidak semua orang bukan Islam kaki judi dan bukan semua yang berjudi halal itu orang bukan Islam. Ramai orang bukan Islam menentang judi dan ramai juga orang Islam mencuri berjudi menggunakan perantara dan proksi.

Kesembilan, judi bukan sahaja haram kepada orang Islam, tetapi ia juga buruk kepada orang bukan Islam. Ramai kaki judi yang muflis, diburu along, mengabaikan anak bini dan sekali sekala terjun bangunan, gantung diri dan minum racun.

Kesepuluh, keberkesanan alasan melesenkan judi bagi melawan judi haram ada hadnya. Hakikat yang wajib diakui ialah judi haram tetap berleluasa di negara kita walaupun pelbagai jenis judi telah dilesenkan. Sebabnya ialah kerana ramai kaki judi dan ramai penjenayah di negara kita. Ada kaum dan individu di negara ini yang berpaksikan keuntungan dan materialisme semata-mata, di mana maruah diukur dengan wang ringgit dan segala-galanya boleh asalkan mendapat untung.

Kesebelas, lebih baik kita memerangi judi haram. Gunakan segala peruntukan undang-undang – buang daerah, cukai pendapatan, money laundering dan pembekuan harta – untuk melawan penjenayah judi ini. Takkanlah polis kita haprak sangat sampai tidak tahu siapa penyangak di sebalik judi haram dan kegiatan underworld ini?

Akhir kalam, jangan kerana mahu mengambil hati seorang dua pengusaha judi, Presiden Umno melukakan hati berjuta-juta ahli dan penyokong Umno. Ingatlah, ahli Umno dan orang Melayu tidak lagi mengikut dan menyokong membabi-buta.

Umno nak atau tak nak judi?

Posted: 24 Jun 2010 11:40 PM PDT

Isu judi bolasepak yang dilesenkan kepada Ascot milik jutawan Vincent Tan terus hangat diperkatakan. Saya percaya ramai yang tidak ambil pusing jika tokok-tokoh bukan Islam atau bukan Melayu yang mengeluarkan kenyataan tak kiralah menyokong atau menentangnya.

Malah di kalangan pemimpin politik bukan Islam sama ada dari BN mahupun dari Pakatan Rakyat, berbelah bahagi nampaknya. Ada yang menyokong, ada yang menentang. Lebih tepat lagi rata-rata pemimpin PR menentang, manakala ada juga dari BN yang turut menentang.

Yang menjadi pelik malah mengaibkan agama dan bangsa adalah apabila pemimpin Melayu Islam yang terpacul memberi sokongan dan mempertahankan kewajaran memberikan lesen judi ini.

Alasannya konon lesen ini tidak ada kena mengena dengan orang Islam. Konon seorang Pak Menteri berkata berjudi ini hak asasi bukan Islam! Berjudi ini cara hidup bukan Islam – "gambling had always been a way of life for the non Muslims in the country" (Rais Yatim).

Benarkah judi yang berlesen tidak mendatangkan kesan sosial kepada masyarakat? Benarkah dengan memberikan lesen bermakna kita menghapuskan kegiatan judi haram yang tidak berlesen?

Bahana judi meruntuhkan keluarga dan masyarakat dan ini adalah hakikat yang patut diakui. Rumah tangga dan keluarga berpecah-belah akibat sindrom tahi judi memang diketahui oleh semua. Magnum,Big Sweep, Sports Toto dan lain-lain telah bertahun-tahun dilesenkan tetapi kita masih mendapat berita betapa pihak polis memberkeas kegiatan ekor haram sehingga ramai yang dibuang daerah akibatnya.

Terbaru bekas Ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz turut menyokong agar lesen judi ini diberikan kononnya ia akan memudahkan pengawalan.

Sumbangnya apabila pemimpin Islam membela kegiatan mungkar seumpama ini. Kalau benar pun kawan pada Vincent Tan, tak perlulah bertegang leher mahu mempertahankan sesuatu yang bertentangan dengan agama kita sendiri.

Kalau kita mahu bercakap berkenaan hak bukan Islam, mengapa kita tidak mempertahankan hak orang Islam. Rakyat di Kelantan contohnya melalui wakil rakyat mereka telah meluluskan hukum hudud di Kelantan iaitu suatu hak yang diberikan oleh Allah swt ke atas umat Islam. Kenapa pemimpin BN termasuklah yang beragama Islam menyekat dan menghalangnya dari terlaksana? Tidakkah ini menghalang hak asasi umat Islam?

Kita sudah punya banyak lesen judi yang telah diluluskan. Yang ada itupun terus mengundang masalah masyarakat dan tidak mengurangkan sedikit pun kegiatan judi haram tanpa lesen. Mengapa kita mahu meluluskan yang baru?

Kalau benarlah ada sehingga 100 orang ulamak yang dikatakan akan menyertai Umno beramai-ramai esok, saya harap ulamak ini menyedarkan pemimpin-pemimpin Umno betapa berdosanya mereka menjadi alat dalam menghalalkan sesuatu yang jelas haram. Kalaupun terpaksa atas alasan apa sekali pun biarlah yang beria-ia dan bersungguh-sungguh itu pemimpin yang bukan Islam. Mengapa perlu yang Islam pula memperjaungaknnya?

Tiada ulasan: