Khamis, 10 Jun 2010

Manjadda wajada

Manjadda wajada


Muawiyah Bin Abu Sufyan

Posted: 09 Jun 2010 09:28 PM PDT


Muawiyah Bin Abu Sufyan


Pendirian Muawiyah Di Sebalik Perang Siffin

oleh : Hafiz Firdaus Abdullah

Dalam artikel Zainab bin Ali Saksi Peristiwa Karbala (Majalah i Jun 2005), disebut bahawa:"Zainab juga telah menyaksikan pertempuran demi pertempuran yang terpaksa ditempoh oleh ayahnya dalam menentang kaum pemberontak yang dipimpin oleh Muawiyah bin Abu Sufyan, seperti pertempuran di Siffin…"

Di atas adalah juga sejarah versi Syi`ah yang amat masyhur. Perlu diteliti semula, benarkah Muawiyah bin Abi Sufyan radhiallahu 'anh memimpin kaum pemberontak ke atas Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh? Sebelum menjawab persoalan ini, ingin saya jelaskan terlebih dahulu keutamaan Muawiyah. Ini kerana sejak dari bangku sekolah, kebanyakan di kalangan kita mengenali beliau sebagai seorang sahabat yang zalim, pendusta dan pelbagai lagi sifat yang negatif.

Pengenalan bentuk negatif ini begitu meluas sehingga jarang-jarang kita menemui ibubapa yang menamakan anaknya "Muawiyah" berbanding dengan nama para sahabat yang lain.

Keutamaan Muawiyah bin Abi Sufyan.

Muawiyah bin Abi Sufyan adalah salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mulia. Beliau dilahirkan 15 tahun sebelum peristiwa hijrah. Mengikut pendapat yang lebih tepat, beliau memeluk Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah, iaitu antara tahun 6 hingga 8 hijrah. [Maulana M. Asri Yusoff – Sayyidina Mu'awiyah: Khalifah Rashid Yang Teraniaya (Pustaka Bisyaarah, Kubang Kerian, 2004), ms. 9-10. Dalam sebuah hadis yang dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani rahimahullah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mendoakan Muawiyah:

"Ya Allah! Jadikanlah beliau orang yang memimpin kepada hidayah dan berikanlah kepada beliau hidayah." [Silsilah al-Ahadits al-Shahihah (Maktabah al-Ma`arif, Riyadh, 1995), hadis no: 1969]

Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2924 bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Pasukan pertama daripada kalangan umatku yang berperang di laut, telah dipastikan bagi mereka (tempat di syurga)."

Fakta sejarah mencatitkan bahawa armada laut yang pertama bagi umat Islam dipimpin oleh Muawiyah pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu 'anh.

Di dalam Shahih Muslim – hadis no: 2501, Abu Sufyan pernah meminta kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam agar Muawiyah menjadi jurutulis baginda. Rasulullah memperkenankan permintaan ini. Sejak itu Muawiyah menjadi jurutulis al-Qur'an dan surat-surat Rasulullah, sekali gus menjadi orang yang dipercayai di sisi baginda.

Muawiyah juga merupakan seorang sahabat yang dihormati oleh para sahabat yang lain. Beliau diangkat menjadi gabenor di Syam semasa zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar dan Usman. Pada zaman pemerintahan beliau sendiri, pernah seorang mengadu kepada Ibn Abbas radhiallahu 'anh bahawa Muawiyah melaksanakan solat witir dengan hanya satu rakaat. Ibn Abbas menjawab:

"(Biarkan), sesungguhnya dia seorang yang faqih (faham agama)."

[Shahih al-Bukhari – hadis no: 3765]

Demikianlah beberapa keutamaan Muawiyah yang sempat dinyatakan dalam tulisan ini. Dapat dikenali bahawa beliau bukanlah sebarangan orang tetapi merupakan salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mulia.

Pendirian Muawiyah tentang kekhalifahan Ali.

Apabila Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu 'anh dibunuh, Ali bin Abi Thalib diangkat menjadi khalifah. Beliau dibai`ah oleh sebahagian umat Islam. Wujud sebahagian lain yang tidak membai`ah beliau, di antaranya ialah Muawiyah. Hal ini berlaku bukan kerana Muawiyah menafikan jawatan khalifah daripada Ali, akan tetapi Muawiyah mengkehendaki Ali terlebih dahulu menjatuhkan hukuman hudud ke atas para pembunuh Usman. Al-Imam Ibn Hazm rahimahullah menerangkan hakikat ini:

"Dan tidaklah Muawiyah mengingkari sedikit jua akan keutamaan Ali dan hak beliau untuk menjadi khalifah. Akan tetapi pada ijtihad beliau, perlu didahulukan penangkapan ke atas para pembakar api fitnah daripada kalangan para pembunuh Usman radhiallahu 'anh daripada urusan bai`ah. Dan beliau juga berpendapat dirinya paling berhak untuk menuntut darah Usman." [al-Fishal, jld. 3, ms. 85]

Di sisi Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib, beliau bukan sengaja membiarkan para pembunuh Usman berkeliaran secara bebas. Malah beliau mengetahui bahawa mereka itu menyamar diri dan berselindung di kalangan umat Islam serta berpura-pura membai`ah beliau. Akan tetapi dalam suasana umat Islam yang masih berpecah belah, adalah sukar untuk beliau mengambil apa-apa tindakan. Sebaliknya jika umat Islam bersatu, mudah baginya untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh Usman.

Berlakunya Perang Siffin.

Setelah Perang Jamal berakhir, Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib menghantar utusan kepada Muawiyah meminta beliau berbai`ah kepada dirinya. Muawiyah menolak, sebaliknya mengulangi tuntutannya agar Amirul Mukminin Ali mengambil tindakan ke atas para pembunuh Usman. Jika tidak, Muawiyah sendiri yang akan mengambil tindakan. Mendengar jawapan yang sedemikian, Amirul Mukminin Ali menyiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Syam. Senario ini menyebabkan Muawiyah juga mempersiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Kufah. Akhirnya kedua-dua pasukan ini bertemu di satu tempat yang bernama Siffin dan bermulalah peperangan yang dikenali dengan Perang Siffin.

Para pengkaji berbeza pendapat, kenapakah Amirul Mukminin Ali mempersiapkan pasukannya ke arah Syam? Persoalan ini masih memerlukan penelitian yang mendalam dengan mengambil kira faktor-faktor luaran dan dalaman yang wujud pada ketika itu. Amirul Mukminin Ali tidak akan mengambil apa-apa tindakan melainkan ia adalah untuk kemaslahatan umat Islam seluruhnya. Hal ini mengingatkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang meramalkan berlakunya Perang Siffin:

"Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan yang dahsyat padahal seruan kedua-dua kumpulan tersebut adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya)."

[Shahih Muslim – hadis no: 157]

Muawiyah memberontak kepada Ali?

Kini penelitian kita sampai kepada persoalan: Benarkah Muawiyah memimpin pemberontakan ke atas Amirul Mukminin Ali? Jawapannya tidak. Ini kerana jika dikatakan seseorang itu memberontak kepada pemimpinnya, nescaya pemberontak itulah yang bergerak ke arah pemimpin. Akan tetapi dalam kes Muawiyah, beliau tidak bergerak ke arah Amirul Mukminin Ali. Sekalipun Muawiyah enggan membai`ah Ali, beliau hanya berdiam diri di Syam tanpa memulakan apa-apa tindakan ketenteraan. Syaikh Muhib al-Din al-Khatib rahimahullah (1389H) menjelaskan:

"lalu Ali berangkat meninggalkan Kufah dan menuju di permulaan jalan yang menuju ke arah Syam dari Iraq. Ali mengisyaratkan supaya orang ramai tetap tinggal di Kufah dan mengirimkan yang selainnya ke Syam. Sampai berita kepada Muawiyah bahawa Ali telah mempersiapkan pasukannya dan Ali sendiri keluar untuk memerangi beliau. Maka para pembesar Syam mengisyaratkan kepada Muawiyah agar dia sendiri turut keluar (untuk berhadapan dengan pasukan Ali). Maka orang-orang Syam berangkat menuju ke Sungai Furat melalui Siffin dan Ali maju bersama pasukannya menuju Siffin juga.

……Seandainya Ali tidak mempersiapkan pasukan yang bergerak dari Kufah nescaya Muawiyah tidak akan bergerak (dari Syam)." [catitan notakaki kepada al-`Awashim min al-Qawashim, ms. 166 & 168]

Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis yang lazim dijadikan alasan melabel Muawiyah sebagai pemberontak. Hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2916 di mana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada `Ammar bin Yasir radhiallahu 'anh:

"Engkau akan dibunuh oleh kelompok pemberontak."

Di dalam Perang Siffin, `Ammar berada di dalam pasukan Amirul Mukminin Ali dan beliau terbunuh dalam peperangan tersebut. Lalu Muawiyah dilabel sebagai pemberontak kerana pasukan beliaulah yang memerangi Ali sehingga menyebabkan `Ammar terbunuh.

Sebenarnya tidak tepat menggunakan hadis di atas untuk melabel Muawiyah sebagai pemberontak. Sebabnya:

1. Sejak awal para sahabat mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir berada di dalam pasukan Amirul Mukminin Ali. Dengan itu, sesiapa yang memerangi pasukan Ali, nescaya mereka adalah para pemberontak. Akan tetapi fakta sejarah mencatitkan bahawa ramai sahabat yang mengecualikan diri daripada Perang Siffin. Jika mereka memandang pasukan Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya mereka tidak akan mengecualikan diri, malah tanpa lengah akan menyertai pasukan Ali. Sikap mereka yang mengecualikan diri menunjukkan mereka tidak memandang pasukan Muawiyah sebagai pihak yang memberontak. Perlu ditambah bahawa hadis yang meramalkan pembunuhan `Ammar bin Yasir oleh kelompok pembangkang adalah hadis mutawatir yang diriwayatkan oleh lebih daripada 20 orang sahabat. [Rujuk Qathf al-Azhar al-Mutanatsirah fi al-Akhbar al-Mutawatirah oleh al-Imam al-Suyuthi (911H) (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1985), hadis no: 104]

2. Amirul Mukminin Ali juga mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir berada dalam pasukannya. Akan tetapi Ali mengakhiri Perang Siffin melalui perdamaian yang disebut sebagai peristiwa Tahkim. Seandainya Ali memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan melakukan apa-apa usaha perdamaian dengannya.

3. Apabila terbunuhnya Amirul Mukminin Ali, jawatan khalifah diserahkan kepada anaknya, Hasan bin Ali radhiallahu 'anh. Tidak berapa lama selepas itu, Hasan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Padahal Hasan juga mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir telah terbunuh dalam Perang Siffin. Jika Hasan memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Namun Hasan tetap menyerahkannya, menunjukkan beliau tidak memandang Muawiyah sebagai pemberontak.

Semua ini membawa kepada persoalan seterusnya, siapakah yang sebenarnya dimaksudkan sebagai "kelompok pemberontak"? Kelompok pemberontak tersebut bukanlah pasukan Muawiyah mahupun pasukan Amirul Mukminin Ali, akan tetapi adalah orang-orang yang pada asalnya menyebabkan berlakunya peperangan antara Muawiyah dan Ali. Mereka adalah kelompok pemberontak yang asalnya memberontak kepada Amirul Mukminin Usman ibn Affan sehingga akhirnya membunuh beliau. Diingatkan bahawa sekalipun pada zahirnya peperangan kelihatan berlaku di antara para sahabat, faktor yang menggerakkannya ialah para pemberontak yang asalnya terlibat dalam pembunuhan Usman.

Syaikh Mubih al-Din al-Khatib rahimahullah menjelaskan hakikat ini:

"Sesungguhnya orang yang membunuh orang Islam dengan tangan kaum Muslimin setelah terjadinya pembunuhan Usman, maka dosanya berada di atas para pembunuh Usman kerana mereka adalah pembuka pintu fitnah dan mereka yang menyalakan apinya dan mereka yang menipu sebahagian hati kaum muslimin dengan sebahagian yang lain. Maka sebagaimana mereka membunuh Usman maka mereka juga membunuh setiap orang yang mati selepas Usman, di antaranya seperti `Ammar dan orang yang lebih utama daripada `Ammar iaitu Thalhah dan al-Zubair, sehinggalah berakhirnya fitnah dengan terbunuhnya Ali.

Segala sesuatu yang terjadi kerana fitnah maka yang menanggungnya adalah orang yang menyalakan apinya kerana merekalah penyebab yang pertama. Mereka itulah "kelompok pembangkang" yang membunuh, yang menyebabkan setiap pembunuhan dalam Perang Jamal dan Perang Siffin dan perpecahan yang berlaku selepas kedua-dua perang tersebut." [catitan notakaki kepada al-`Awashim min al-Qawashim, ms. 173]

Kebenaran tetap bersama pemimpin.

Sekalipun dikatakan bahawa Muawiyah bukan pemberontak, tidaklah bererti Muawiyah berada di pihak yang benar. Di dalam Islam, apabila wujud perbezaan pendapat antara pemimpin dan selain pemimpin, maka kebenaran terletak bersama pemimpin. Hendaklah mereka yang menyelisihi pemimpin tetap bersama pemimpin dan berbincang dengan beliau terhadap apa yang diperselisihkan. Di dalam peristiwa yang membawa kepada Perang Siffin, pemimpin saat itu ialah Amirul Mukminin Ali. Maka sikap yang lebih tepat bagi Muawiyah ialah tidak meletakkan syarat untuk membai`ah Ali, sebaliknya terus membai`ah beliau dan kemudian berbincang dengan beliau tentang cara terbaik untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh Amirul Mukminin Usman.

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menegaskan:

"Dan Muawiyah bukanlah daripada kalangan mereka yang memilih untuk memulakan perang, bahkan beliau daripada kalangan yang paling mengkehendaki agar tidak berlaku perang …… yang benar adalah tidak berlakunya peperangan. Meninggalkan peperangan adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Tidaklah dalam peperangan tersebut (Perang Siffin, wujud satu) pihak yang benar. Akan tetapi Ali lebih mendekati kebenaran berbanding Muawiyah. Peperangan adalah peperangan kerana fitnah, tidak ada yang wajib dan tidak ada yang sunat dan meninggalkan perang adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Hanya sahaja Ali adalah lebih benar. Dan ini merupakan pendapat (al-Imam) Ahmad dan kebanyakan ahli hadis dan kebanyakan para imam fiqh dan ini juga merupakan pendapat para tokoh sahabat dan tabi'in yang selalu mendapat kebaikan." [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 447-448]

DPP Gopeng

KAPAL-KAPAL ISRAEL SEJAK 1998 DIBENARKAN BERLABUH DI MALAYSIA!

Posted: 09 Jun 2010 07:05 PM PDT




Dalam sibuk-sibuk penduduk di seluruh dunia mengecam yahudi israel laknatullah kerana menyekat kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza rupa-rupanya kapal-kapal dagang israel dibenarkan menggunakan kemudahan pelabuhan di Malaysia.

Pelabuhan yang terlibat ialah Pelabuhan Barat di Klang, Terminal Utara, Pulau Pinang dan Pasir Gudang, Johor sebagai pelabuhan untuk memasuki Malaysia yang dikatakan bagi tujuan berdagang. Kapal-kapal israel dibenarkan menggunakan pelabuhan berkenaan sejak 1998 lagi!Kebenaran menggunakan pelabuhan di Malaysia dilakukan melalui Gold Star Line Ltd. yang merupakan anak syarikat Zim Israel Navigation Company (Zim Lines).

Perkara ini disahkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Kong Cho Ha dalam satu kenyataan semalam.

Kapal-kapal dari Israel dikenakan beberapa syarat seperti tidak boleh menaikkan bendera negara berkenaan apabila memasuki atau berada di sempadan Malaysia dan anak-anak kapal tidak dibenarkan meninggalkan kapal apabila berada di dalam perairan Malaysia kecuali jika berlaku kecemasan.(Bacaa Lagi Disini)

Angkasanuri.blogspot.com

Nik Aziz: ‘Selagi Umno tekan saya, saya tak akan berhenti’

Posted: 09 Jun 2010 04:48 PM PDT

"Tak tiru saya pun tak apa, tiru Nabi Muhammad... cukup"


"Saya orang PAS, bukan orang Umno" - Gambar oleh Choo Choy May

KOTA BARU, 9 Jun — Teka-teki pelan peralihan kepimpinan Datuk Nik Aziz Nik Mat belum terurai dengan penegasannya hari ini — beliau tidak akan berundur selagi Umno mendesaknya agar berhenti daripada menjadi Menteri Besar Kelantan.Nik Aziz yang genap 20 tahun menerajui pentadbiran kerajaan negeri Kelantan, yang kelihatan ceria dan tenang sebelum merasmikan muktamar tahunan ketiga-tiga sayap PAS di sini malam ini berkata, Umno memang mahukan beliau berhenti sekarang tetapi ahli-ahli PAS pula berpendirian sebaliknya.



Umno memang hari-hari suruh saya berhenti tapi PAS tak bagi (benarkan). Saya orang PAS, bukan orang Umno," kata beliau dengan disusuli ketawa besar.

"Saya ulang sekali lagi, Umno hari-hari minta saya berhenti tapi PAS tak bagi saya berhenti dan oleh kerana saya orang PAS, saya ikut orang PAS, bukan Umno," kata Nik Aziz dalam temu bual eksklusif dengan The Malaysian Insider di pejabatnya di sini, pagi ini.

Nik Aziz, 79, yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkongsi pendekatan mudah dalam isu pelan peralihan kepimpinan khususnya ekoran desakan parti pembangkang di negeri itu.

"Satu kaedah kita berjuang, kaedah kita berjuang sama ada berniaga, politik atau main bola, kita tengok mengapa musuh kita marah... yang itu kita buat.

"Mengapa musuh kita buat, yang itu kita buat. Kaedahnya begitu... macam kita bertumbuk. Bila kita bertumbuk, bila nampak merah di sini (muka), di sini kita tumbuk, tumbuk, sampai dia rebah.

"Begitu juga Umno... apa yang Umno hendak pada saya, itu yang saya lawan. Dia suruh saya berhenti, saya tidak berhenti. Itu kaedah kita berlawan," katanya.

Apabila ditanya terus bila akan berundur, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS menjawab:

"Mana tahu?" kata beliau dengan penjelasan bahawa akan kekal, dan tidak akan tunduk kepada desakan Umno.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider di sini malam tadi, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, peranan Menteri Besar Kelantan itu masih diperlukan sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Pada pandangan saya, Datuk Nik Aziz perlu (perlu) kekal (memimpin negeri)," kata Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan itu ketika ditemui selepas ceramah di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa dekat sini malam tadi.

"Jika boleh, saya berharap Datuk Nik Aziz akan kekal selepas pilihan raya umum nanti," kata beliau dengan merujuk kepada ketokohan Nik Aziz yangmenerajui kerajaan sejak 1990.

Nik Aziz berkecimpung dalam politik Kelantan lebih empat dekad lalu.

Nik Amar menjelaskan, PAS Kelantan masih memerlukan kepimpinan Nik Aziz, ikon politik negeri itu, dan yakin akan mengetuai parti itu dan Pakatan Rakyat di negeri Pantai Timur dalam pilihan raya umum ke-13.

Sebelum ini pernah ada cadangan supaya Nik Aziz juga dilantik sebagai ketua umum Pakatan Rakyat pendaftarannya diterima kelak.

Tahun ini genap 20 tahun Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mengetuai kepimpinan kerajaan negeri sejak PAS menang pilihan raya umum 1990.

PAS dilihat mengadakan Mutkamar Tahunan PAS kali ini di Putik sempena memperingati 20 tahun kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

Malam ini buat pertama kali dalam sejarah, Nik Aziz akan merasmikan serentak muktamar tahunan ketiga-tiga sayap parti itu — Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama.

Antara yang disebut-sebut sebagai bakal menggantikan Nik Aziz ialah Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Bagaimanapun sebelum ini beliau dipetik berkata, belum bersedia untuk menggantikan kepimpinan Menteri Besar Kelantan.

Nik Aziz pernah membayangkan yang beliau akan mewarisi kepimpinan di negeri itu berdasarkan hirarki kedudukannya sekarang.

Sejak akhir tahun lalu timbul beberapa spekulasi berhubung pengganti yang layak bagi menggantikan menteri besar itu.

Selain Ahmad, dua lagi nama yang sering disebut-sebut mungkin dipilih menggantikan Nik Aziz ialah Mohd Amar sendiri dan seorang lagi Exco Kelantan iaitu Datuk Husam Musa.

Kedua-dua merekan juga merupakan Exco. Ahmad, Husam dan Mohd Amar masing-masing merupakan timbalan pesuruhjaya PAS I, II dan III Kelantan.

Berhubung rancangan atau wawasan menerajui Kelantan, Nik Aziz menjawab: "Masa depan itu biar dulu. Kamu boleh tengok 20 tahun, saya buat."

Kata Nik Aziz, beliau tidak suka bercakap tentang masa depan tetapi akan melakukan apa yang diperlukan untuk rakyat.

"Saya tak suka cakap (pasal) masa depan. Tetapi sebagaimana saya hendak kata, saya sudah kata.

"Sebagaimana saya hendak fikir, saya sudah fikir. Benda ini, kawan-kawan saya dalam parti, Exco saya sudah tengok. Bila saya sudah tiada di dunia, bila saya berundur diri, maka orang itu boleh tiru.

"Tak tiru saya pun tak apa, tiru Nabi Muhammad... cukup," katanya.

Ditanya sama ada kepimpinan kalangan PAS Kelantan sudah cukup mantap untuk mengambil alih apabila berundur, Nik Aziz menjawab: "Masa saya mula-mula masuk dulu, saya sendiri macam tak ada orang yang boleh saya kenal kerana ketika itu saya baru kan."

Bagaimanapun sekarang menurut beliau, sudah ramai pemimpin yang layak dengan memiliki kelayakan profesional dalam PAS Kelantan.

"Dulu, masa PAS timbul (ditubuhkan) pada tahun 1951, tok guru pondok (yang) sokong. Golongan bijak pandai tiada, orang (yang keluar) universiti tiada, tiada yang sokong PAS.

"Tetapi sekarang semakin ramai, semakin ramai. Exco saya sekarang ini semua kelulusan universiti, semua Exco saya kelulusan universiti.

"Ada bekas guru, ada bekas pakar ekonomi, ada doktor... macam-macam ada," katanya.

Mengenai pelan peralihan kepimpinan negeri, Nik Aziz berkata, pelan peralihan tidak boleh dirancang.

"Peralian ini tidak boleh dibuat pelan. Takut tak jadi, kadang-kadang kita merancang, sampai masa tak boleh jadi.

"Sebab itu saya tidak mahu cakap (tentang) masa depan. Pelan, saya hanya membetulkan diri saya... percakapan saya, saya jaga; perbuatan saya, saya jaga supaya orang lain tiru. Jadi bila berundur kerana sakit, kerana letih, orang lain boleh ambil alih dengan senang," katanya.

Nik Aziz berkata, dalam PAS Kelantan sudah ada hirarki, yang mana mereka boleh menjalankan tugas dengan baik.

"Ada timbalan... saya ada timbalan tiga orang, dalam Dewan Harian saya ada setiausaha, orang ini pandai lah, mereka boleh buat.

"Masa saya ambil alih dulu, tiada siapa yang mengajar saya... mereka bernasib baik," katanya lagi.

"Tak tiru saya pun tak apa, tiru Nabi Muhammad... cukup" - Gambar oleh Choo Choy May

Sumber

SELANGOR CUTI BERSALIN 90 HARI MULAI 01 JAN 2009 LAGI.

Posted: 09 Jun 2010 04:35 PM PDT


Cuti Bersalin 90 Hari, Shahrizat Dipelawa Pelajari Cara Selangor

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Syahrizat Abdul Jalil dipelawa untuk mempelajari perlaksanaan cuti bersalin 90 hari yang dipelopori kerajaan Selangor.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail menghulurkan jemputan itu pada sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

Beliau bersedia untuk berbincang supaya dan memberi maklum balas agar boleh dilakukan di peringkat persekutuan.

Shahrizat sebelum ini menarik balik cadangan lanjutan cuti bersalin kerajaan awam dengan alasan 'untuk kajian terperinci.'

Cuti kakitangan awam kerajaan persekutuan masih 60 hari walaupun Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) dan CUEPACS menuntut supaya cuti dilanjutkan kepada 84 hingga 90 hari.

"Saya dan exco negeri menyeru supaya kementerian itu sendiri datang melihat dan mengambil fakta dari apa yang ada di Selangor. Kita telahpun melaksanakannya sejak 1 Januari 2009.

"Jadi, dari sudut perlaksanaan itu, kita tak ada masalah untuk berbincang, memberi pandangan dan maklum balas supaya beliau boleh melakukannya di peringkat nasional," katanya.

Kerajaan Selangor sebaliknya sudah melaksanakan dasar cuti bergaji 90 hari untuk ibu bersalin sejak 1 Januari 2009.

Malah, ibu bersalin di Selangor juga berhak memilih pampasan jika mahu bekerja selepas 60 hari dari tarikh bersalin.

Kata Rodziah, dasar ini perlu dilakukan segera di peringkat kebangsaan bagi mengiktiraf sumbangan wanita.

"Kami di Selangor mengharap ia dilaksanakan segera. Kerana ia salah satu sistem sokongan yang diberi kepada pekerja wanita bagi memastikan produktivi dan isu kekeluargaan.

"Pada masa sama, ekonomi yang banyak disumbangkan oleh wanita itu diberikan perhatian," katanya.- TVSelangor

Gaza: Mahfuz sifatkan Najib sebagai 'munafik politik'

Posted: 09 Jun 2010 09:26 AM PDT

"Takkan radar kapal selam Najib tak boleh kesal kapal milikan Israel ini sedangkan kapal ini bukan ada di dasar laut, wartawan Utusan pun boleh kesan



KUALA LUMPUR, 9 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai munafik politik walaupun Perdana Menteri itu kelmarin telahpun membentangkan usul khas di Dewan Rakyat mengecam tindakan Zionis-Israel menghalang armada kemanusiaan masuk ke Gaza minggu lepas.

Kecaman Mahfuz itu gara-gara sebuah kapal misteri bernama Zim Genova milik Zim Israel Nevigation Company dilaporkan berlabuh di Perlabuhan Klang sejak semalam, sebagaimana dipetik dari akhbar Utusan Malaysia hari ini.

"Usul Perdana Menteri di Dewan Rakyat menunjukkan kemunafikan politik Najib kerana semalam Najib bersama-sama Ahli Parlimen Umno BN mengecam keganasan Israel tetapi, pada masa yang sama menjalinkan perdagangan komersial dengan negara haram itu.

"Dia (Najib) bersikap munafik dengan agamanya (Islam), munafik dengan bangsanya (Melayu) dan munafik seluruh rakyat dunia dan Malaysia," kata beliau dalam satu kenyataan media di Lobi Parlimen.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pendedahah tersebut sekaligus hampir menjawab pendedahannya semalam di Dewan Rakyat, iaitu kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) didakwa masih menjalinkan perdagangan komersial secara rahsia dengan negara haram Israel sebagaimana yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed sejak 20 Mac 1996 lalu.

Ekoran kapal misteri itu juga, menurut beliau sekaligus hampir menjawab dua dakwaannya sebelum ini, iaitu kerajaan Malaysia terbabit membekalkan bahan kimia dan minyak kelapa sawit ke negara haram tersebut sejak Mac lepas.

Dari segi yang lain, beliau mendesak kerajaan mendedahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terbabit yang membekalkan komiditi tempatan pada Israel.

"Saya cabar Najib jelaskan di Parlimen berhubung siapa pembekal minyak sawit negara kepada negara haram itu kerana hanya Sime Darby dan Felda sahaja terbabit dalam perladangan komersial itu."

"Dua-dua (Sime Darby dan Felda) adalah GLC, Najib tak perlu bermunafik dengan saya," sindir beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, sifat munafik Najib sudah tentu mengguris para peneroka dalam kedua-dua GLC tersebut sekiranya para peneroka terbabit tahu realiti sebenar sifat munafik Najib, Umno dan BN.

Dalam perkara berkaitan, beliau turut mempersoal peranan kerajaan dalam memelihara kedaulatan dan keselamatan tanah air.

"Takkan radar kapal selam Najib tak boleh kesal kapal milikan Israel ini sedangkan kapal ini bukan ada di dasar laut, wartawan Utusan pun boleh kesan," sindir beliau lagi.

Tuntas dari itu, beliau meminta Najib membentangkan semula usul mengecam zionis Israel dalam masa terdekat tanpa berwajah munafik seperti sekarang.

Harakah daily

AHLI MAJLIS DIBELASAH - IBRAHIM ALI KATA TAK KENA MENGENA DENGAN PERKASA

Posted: 09 Jun 2010 09:10 AM PDT

"Ini tidak kena-mengena dengan PERKASA, Hanya kerana mereka memakai baju PERKASA tidak bermakna mereka ahli PERKASA," katanya.- Ibrahim Ali





Ahli majlis kerajaan tempatan Selayang Allan Lim Ching How mendakwa dia dan pembantunya dibelasah oleh kira-kira 20 individu pagi ini.
Lim mengenalpasti mereka sebagai ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida). "Mereka memakai baju dengan logo PERKASA yang boleh dilihat dengan jelas," katanya ketika dihubungi.

Pada kejadian 11.30 pagi ini, Lim, dan pembantunya, Zuhudi Ahmad mengalami kecederaan. Kelopak mata Lim dan bibirnya koyak dan lehernya lebam akibat disepak berulang-kali manakala Zahudi pula ditendang sekurang-kurangnya dua kali di bahagian perutnya.

Lim berkata beliau bergegas ke lokasi tapak pembinaan sebuah dewan yang dimiliki oleh pertubuhan Cina apabila diberitahu bahawa sekumpulan lelaki sedang menanggalkan papan tanda projek berkenaan di Jalan TIB 1, Taman Bolton di Batu Caves.

Sebaik tiba, Lim dan Zuhudi mendapati individu berkenaan dalam proses meruntuhkan papan tanda berkenaan. "Saya tanya mengapa mereka berbuat demikian tetapi lebih kurang 20 daripada mereka mula memukul kami," katanya. Walaupun memperkenalkan dirinya sebagai ahli majlis kerajaan tempatan Selayang, rayuan Lim supaya mereka tidak dipukul terus tidak dihiraukan.

"Ini Tanah Melayu, ini tanah kita bukan tanah orang Cina, kita tak takut," kata Lim yang mengulangi apa yang diperkatakan oleh kumpulan berkenaan. Ketika kejadian, Lim mendakwa dua anggota polis berada di lokasi bagi memantau keadaan tetapi kumpulan berkenaan tidak mempedulikan mereka.

"Saya tak faham mengapa OCPD hanya menghantar dua pegawai polis bagi memantau keadaan, sedangkan terdapat antara 50 hingga 60 ahli PERKASA dan Pekida," katanya.
Lim membuat laporan di balai polis Batu Caves petang ini. Dalam pada itu, presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang dihubungi berkata beliau tidak mengetahui mengenai kejadian itu yang membabitkan ahlinya.

"Saya di parlimen, Saya tidak tahu...Saya akan kumpulkan maklumat dahulu untuk menentukan sama ada ini benar atau tidak.


"Ini tidak kena-mengena dengan PERKASA, ia bukan polis kita untuk mengganas. Hanya kerana mereka memakai baju PERKASA tidak bermakna mereka ahli PERKASA," katanya.

Malaysiakini

Tiada ulasan: