Kelab Greenboc |
- Abdul Wahab Nafi Sertai UMNO
- Mengapa KDN Tidak Bertindak Ke Atas JAKIM Yang Mencabarnya?
- Isu Suara Keadilan: KDN Tunjuk Belang
- Mahkamah Arahkan SYABAS Dedahkan Laporan Audit
- Isu MB Selangor: Lagi Spekulasi Mengarut, 4 ADUN Dikatakan Keluar Parti
- 15 MP PKR Bantah MB Selangor, Berita Mengarut
| Posted: 28 Jun 2010 10:17 PM PDT Aktivis Sunnah Wal Jamaah, Abdul Wahab Abdullah semalam, menafikan dirinya menjadi sebahagian daripada 40 ulama muda yang menyertai UMNO seperti yang dihebahkan media sebelum ini.Dalam satu sidang media di sini semalam, Abdul Wahab berkata, tidak pernah mengisi sebarang borang untuk menyertai parti itu dan semuanya hanya tipu muslihat yang dimainkan oleh pihak tertentu dalam UMNO yang dilihat cuba mencari publisiti untuk kepentingan politik mereka. Menurutnya, tujuan sebenar beliau hadir ke majlis itu adalah mewakili Persatuan Al-Islah Perlis untuk berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membersihkan nama persatuan mereka yang turut dikaitkan dengan isu Jemaah Islamiah (JI) dan keganasan. "Saya tidak tahu mengenai penyerahan borang menyertai UMNO itu, kerana saya pergi untuk tujuan lain iaitu bagi mendapatkan imej baik dalam Persatuan Islah, bukan untuk menyertai UMNO. Tetapi agenda itu disusun untuk tujuan lain. "Perkara itu seperti cuba memerangkap golongan ulama untuk menyertai parti itu," katanya dalam sidang media menafikan penyertaan beliau dalam UMNO, di Balai Islam sekolah Al-Madrasah Ad-Dinniah Al-Islamiyah (Madi), Jejawi, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Dewan Pemuda Pas Perlis, Yaakub Abu Seman; Pegawai Perhubungan Awam Pas, Khairi Hassan dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Perlis, Khoo Yang Chong. Sementara itu, Yaakub berkata, beliau kesal dengan kejadian itu kerana ada sebahagian daripada mereka yang berada di majlis itu terpedaya dengan mainan politik Shahidan. Menurutnya, beberapa individu dari Perlis yang hadir dalam majlis itu mahu berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk tujuan lain, sebaliknya terperangkap dengan mainan politik bekas Menteri Besar itu. "Pengaruh Shahidan semakin menurun jadi dia perlu lakukan sesuatu untuk menarik perhatian orang," katanya. "Sepatutnya, jika mahu berpolitik, berpolitiklah dengan cara baik," katanya kepada Sinar Harian. Difahamkan, Abdul Wahab adalah tenaga pengajar di Al-Madrasah Ad-Dinniah Al-Islamiyah (Madi), salah sebuah sekolah kelolaan Pas Perlis. -SH
|
| Mengapa KDN Tidak Bertindak Ke Atas JAKIM Yang Mencabarnya? Posted: 28 Jun 2010 07:50 PM PDT Wahabi: Jakim pertahan Zamihan, tak kisah 'protes' tokoh tertentuKUALA LUMPUR, 29 Jun — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertahankan tindakan agensi agama kebangsaan itu termasuk pegawai kanannya dari Institut Latihan Islam Malaysia dalam isu kontroversi berkaitan amalan wahabi dan kemunculan kumpulan ekstremis Jemaah Islamiah (JI). Ketika ditemui The Malaysian Insider, Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (gambar) menjelaskan, agensi itu hanya menjalankan tugas sebagaimana diminta kerajaan demi memastikan ajaran Islam tidak terancam manakala kepentingan setiap kaum dan keharmonian negara dipelihara. "Jakim hendak memastikan negara kita harmoni, melakukan apa sahaja yang boleh membawa ketidakharmonian, kita ambil langkah supaya jangan sampai ada yang menyemarakkan ajaran sesat dan melampau," kata beliau. Wan Mohamad juga berkata, meskipun tindakan pihaknya kadangkala dilihat tidak popular tetapi tidak akan tunduk sehingga ada "pihak mengambil kesempatan mahu menghidupkan aktiviti pelampau." "Kami tidak akan membiarkan walaupun tindakan kami (dilihat) tidak popular, walaupun orang tidak suka, tugas kami ialah menjaga keharmonian. "Walaupun satu atau 100 orang tokoh tidak suka dengan tindakan kami, pada Jakim itu tidak penting. "... yang penting ialah negara kita ini aman, bila negara aman kita boleh amalkan agama kita dengan baik, beramal dengan baik tidak kira Islam atau bukan Islam," kata beliau mengulas perkembangan isu semasa berkaitan amalan wahabi dan kaitan dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI). Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa isu semasa ini timbul kerana masalah peribadi antara Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin dengan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Wan Mohamad berkata, "itu tanggapan pihak-pihak tertentu." "Dia (Zamihan) seorang pegawai kerajaan, pihak yang mengundang beliau (untuk memberi taklimat) adalah agensi keselamatan... itu amalan biasa. Kita perlu bekerjasama dengan agensi-agensi lain. "Dia pegawai kanan, dia ada pengalaman dalam program pemulihan tahanan (khususnya tahanan ISA)," kata Wan Mohamad. Oleh itu jelas beliau, sekiranya ada pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan Zamihan, Jakim merasakan perbezaan itu boleh dibincang secara profesional dan ilmiah. "Negara kita membolehkan setiap orang bebas berfikir, bebas memberi pandangan... kita tidak boleh kata jangan tidak bersetuju, terima pandangan," kata beliau sambil menambah, Jakim sentiasa mengadakan pertemuan dengan semua pihak. Ketika ditanya sama ada empat tokoh agama dan politik berkenaan ada kaitan dengan kumpulan JI sebagaimana didakwa ada dinamakan pada taklimat Isnin lalu, Wan Mohamad berkata, Jakim tidak pernah menuduh mereka. "Bukan kami untuk menentukan tetapi agensi keselamatan yang menentukan," katanya. Bagaimanapun beliau mengakui jika benar mereka terlibat dalam kaitan dengan kumpulan pengganas atau pelampau sudah tentu telah lama ditahan oleh pihak berkuasa. "... dan (sudah tentu) mereka tidak boleh berada dalam kerajaan negeri, tidak boleh menjadi pemimpin di Parlimen...," jelas beliau. Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider Khamis lalu, Zamihan berkata, beliau tiada masalah peribadi dengan Asri sebaliknya mengakui wujud "pergolakan pemikiran" sehingga banyak pihak yang melihatnya sebagai serangan terhadap tokoh agama itu. Pada masa yang sama, Zamihan juga mempertikaikan tindakan Timbalan Menteri Pengajian Datuk Saifuddin Abdullah dalam mengendalikan isu semasa berkaitan fahaman wahabi dan kumpulan pengganas JI sebagai tidak profesional. Malah Zamihan memberitahu, beliau tidak mengaitkan Asri dengan fahaman wahabi dan melontarkan pemikiran keras semata-mata untuk mencantas bekas mufti Perlis itu daripada arus perdana Islam negara ini. Zamihan menjadi tumpuan isu kontroversi dikaitkan empat tokoh politik dan agama iaitu Asri, mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI. Ketika membuat penjelasan di Dewan Rakyat Khamis lalu Saifuddin menegaskan, polis tidak pernah mengaitkan empat tokoh di negara ini sebagai kumpulan pengganas. "Saya juga mendapati orang yang memberi taklimat ini mempunyai masalah dengan bekas mufti Perlis. Jadi bagaimana boleh dikatakan masalah peribadi hendak dijadikan masalah keselamatan negara," katanya.
Ulasan GB Hanya satu soalan daripada saya kepada Datuk Pengarah JAKIM: Mengapa sebelum ini JAKIM membisu di dalam isu Lesen Judi yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia dan hanya bising-bising di dalam isu wahabi? Dan kepada KDN, mengapa tiada tindakan ke atas pegawai-pegawai JAKIM yang ternyata membelakangkan arahan menteri KDN yang meminta jangan kaitkan wahabi dengan pelampau dan pengganas yang seolah-olah mencabarnya? |
| Isu Suara Keadilan: KDN Tunjuk Belang Posted: 28 Jun 2010 10:03 AM PDT Suara Keadilan Diberi Surat Tunjuk SebabSuara Keadilan hari ini menerima satu surat tunjuk sebab berhubung artikel 'Felda Bankrap' dalam isu 237 yang didakwa memfitnah agensi milik kerajaan itu. "Manakala tiga surat tunjuk sebab lagi memerlukan pihak Suara Keadilan menjawab sebelum jam 5.30 petang esok," ujar Pengarang Suara Keadilan Dzulkarnain Taib Sebelum itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dalam satu sidang media melabelkan 4 artikel yang berkaitan Felda sebagai fitnah dan akan menggunakan tindakan undang-undang terhadap lidah rasmi parti KEADILAN itu. Surat tersebut ditandatangani oleh Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Ahmad Fuad Abdul Aziz Perjumpaan tersebut diadakan di Bilik Mesyuarat Perkasa, Kompleks D, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. Mesyuarat pukul 5.30 petang tadi dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha. KDN, Datuk Seri Mahmood Adam manakala Suara Keadilan pula diwakili oleh peguam, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga merupakan Ketua Angkatan Muda KEADILAN dan Dr Samrudin Rejab. Menurut Dzulkarnain, beliau telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak KDN. "Surat tunjuk sebab ini keras memandangkan kita tidak dapat hadir pada sesi minum petang seperti yang diminta KSU Jumaat lepas. "Kami berharap KDN dapat mempertimbangkan sebab pihak kami tidak dapat hadir pada waktu seperti yang diminta beliau," ujarnya Dalam pada itu, beliau berkata walau pun diberi tempoh 7 hari, Mahmood meminta Suara Keadilan menjawab surat tunjuk sebab itu sebelum 30 Jun ini. Sementara itu Shamsul berkata pihaknya akan menyediakan laporan lengkap untuk diserahkan kepada Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibahaskan di Parlimen. Katanya lagi, Mahmood memintanya berbuat demikian atas alasan mesyuarat untuk memperbaharui permit penerbitan akan diadakan pada hari tersebut. -SK Ulasan GB Kita juga mencabar KDN untuk memberi surat tunjuk sebab kepada akhbar-akhbar media massa arus perdana terhadap lemparan fitnah-fitnah yang dilakukan terhadap Pakatan Rakyat. Mengapa KDN mesti berat sebelah di dalam menjalankan tanggungjawabnya? Mengapa hanya membela agensi milik kerajaan? Mengapa perlu menekan akhbar milik PR tetapi membiarkan secara berleluasa fitnah yang penuh sarat di dalam akhbar media massa arus perdana? Apakah KDN perlu menukar namanya kepada KPP (Keselamatan Parti Pemerintah) dan para pegawainya perlu menurut sahaja apa-apa arahan dari UMNO tanpa memberikan sedikit pun ruang kepada PR yang insyaAllah bakal memerintah negara menggantikan BN? Dan tidak perlu dilayan kehendak Ketua Setiausaha. KDN, Datuk Seri Mahmood Adam yang meminta Suara Keadilan menjawab surat tunjuk sebab itu sebelum 30 Jun ini kerana telah dikatahui umum bahawa mereka diberikan tempoh 7 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.
|
| Mahkamah Arahkan SYABAS Dedahkan Laporan Audit Posted: 28 Jun 2010 08:07 AM PDT Mahkamah arah konsesi air Syabas, laporan audit didedahMahkamah Tinggi hari ini memerintahkan kerajaan persekutuan mengumumkan kepada orang ramai laporan audit dan perjanjian konsesi air yang ditandatanganinya dengan kerajaan negeri Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas). Pesuruhjaya Kehakiman Hadhariah Syed Ismail berkata pendedahan dokumen itu tidak bercanggah dengan kepentingan negara dan awam. Sebaliknya, kata beliau, ia akan memenuhi kepentingan awam kerana memaklumkan kepada mereka cara kerajaan berfungsi dan menggalakkan perbincangan tentang perkara berkaitan hal ehwal awam. Hadhariah membuat keputusan itu bagi memenuhi permohonan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan 13 pihak lain agar semakan penghakiman dibuat berikutan tindakan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi ketika itu Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik menolak permintaan mereka agar dokumen berkenaan didedahkan kepada orang ramai. Pada 7 Nov 2006, mereka menghantar sepucuk surat kepada menteri itu memohon agar laporan audit dan butiran perjanjian konsesi berkenaan didedahkan kepada umum, tetapi ditolak kementerian berkenaan pada 4 Dis 2006 atas alasan dokumen terbabit telah diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia. Utiliti itu kini terletak di bawah portfolio Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Hadhariah memerintahkan responden pertama iaitu Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi mengemukakan dokumen berkenaan kepada MTUC dan pemohon lain dalam masa tujuh hari. Dalam penghakiman beliau, Hadhariah berkata walaupun perjanjian konsesi itu belum didedahkan kepada umum, tetapi maklumat tentang air bukan hasil (NRW) dan peratusan pengurangannya, formula peningkatan tarif, tempoh kajian semula dan pembayaran pampasan kepada Syabas telah diedarkan oleh media dan pihak ketiga. "Oleh itu, ia tidak lagi boleh dianggaap sebagai maklumat rahsia kerana ia merupakan isu-isu utama. Lagipun, perjanjian konsesi bukan suatu perjanjian persendirian. Ia dibuat dengan mengambil kira kepentingan awam," kata beliau. Hadhariah berkata orang ramai bergantung pada konsesi dan tadbir urus yang baik oleh kerajaan bagi melindungi kepentingan mereka dan oleh itu, demi kepentingan awam juga, perjanjian itu perlu diumumkan kepada orang ramai. "Sehubungan itu, oleh kerana ketelusan, kebertanggungjawaban dan keutamaan merupakan perkara yang diperlukan oleh rakyat, maka adalah wajar perjanjian konsesi diumumkan kepada orang ramai. Saya berpendapat bahawa mahkamah perlu memihak kepada pihak yang mempunyai rasa terkilan dalam hal berkaitan kepentingan awam," katanya. Mengenai laporan audit pula, beliau berkata ia mengandungi maklumat berkaitan perjanjian konsesi yang ada hubungan dengan kenaikan tarif air dan sekiranya perjanjian itu didedahkan kepada umum, maka laporan audit itu juga perlu diumumkan kepada orang ramai kerana ia merujuk dan mengandungi komen tentang peruntukan tertentu dalam perjanjian berkenaan. Beliau berkata walaupun responden berkata laporan audit itu diklasifikasikan sebagai rahsia kerana ia dibentangkan kepada Kabinet, maka adalah tidak masuk akal untuk mengatakan bahawa sebarang dokumen yang dibentangkan kepada Kabinet secara automatik disifatkan sebagai "Rahsia" mengikut Seksyen 2A Akta Rahsia Rasmi 1972. Kata beliau pemohon mempunyai locus standi kerana mereka adalah penguna air berbayar di kawasan yang diliputi perjanjian konsesi berkenaan dan bukan sebagai "penyibuk, kaki cucuk dan pembuat kacau". Sekiranya tarif air dinaikkan, mereka tidak ada pilihan selain membayar lebih untuk air kerana tidak terdapat pembekal alternatif. Selepas permintaan mereka ditolak, MTUC dan 13 pihak lain termasuk pengerusinya Syed Sharir Syed Mohamud serta dua anak beliau berusia 10 dan 15 tahun, mendapatkan kebenaran mahkamah pada 14 Jun 2007 bagi memperoleh semakan semula penghakiman dengan menamakan menteri terbabit, kerajaan Malaysia dan kerajaan Selangor sebagai responden. Kata mereka, sebagai pengguna air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, mereka berhak mendapatkan laporan audit dan perjanjian konsesi yang ditandatangani pada 15 Dis 2004. Mereka mendakwa bahawa laporan audit itu menjadi asas bagi kenaikan tariff air sebanyak 15 peratus di Lembah Klang seperti yang diumumkan pada 14 Okt 2006. Kata mereka kerajaan berkewajipan di sisi undang-undang untuk bertindak secara telus dan bertanggungjawab dalam menguatkuasakan peraturan berkaitan pasaran air dan dalam keadaan yang menimbulkan syak bahawa pasaran air digunakan bagi mengaut keuntungan secara melampau. Pemohon berkata mereka telah menulis surat kepada menteri berkenaan pada 7 Nov 2006 bagi meminta dua dokumen berkenaan daripada beliau, tetapi ditolak kementerian itu pada 4 Dis 2006 atas alasan dokumen berkenaan telah diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia kerajaan. Pemohon diwakili peguam Ang Hean Leng, manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili menteri berkenaan dan kerajaan Malaysia dan Md Azhari Abu Hanif, pembantu penasihat undang-undang Selangor, mewakili kerajaan negeri itu. — Bernama Ulasan GB GB masih sangsi.. apakah berkemungkinan keputusan hakim Mahkamah Tinggi di atas akan diterbalikkan oleh hakim-hakim di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan? |
| Isu MB Selangor: Lagi Spekulasi Mengarut, 4 ADUN Dikatakan Keluar Parti Posted: 28 Jun 2010 04:14 AM PDT Meskipun Parti Keadilan Rakyat (PKR) selesai mengadakan sesi pemukiman dengan melakukan rombakan kecil di sebalik desas-desus wujudnya desakan mahu Tan Sri Khalid Ibrahim digugurkan, hari ini wujud spekulasi baru mendakwa empat ADUN parti itu akan keluar kerana beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor. Desas-desus baru ini mendakwa empat ADUN iaitu Haniza Mohd Talha dari kawasan Taman Medan, Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amirudin Shari (Batu Caves) dan Suhaimi Shafie (Sri Muda) sudah memutuskan untuk meninggalkan PKR. Khabar angin mendakwa keempat-empat mereka akan keluar PKR sebagai tanda protes pucuk kepimpinan memutuskan untuk mengekalkan Khalid (gambar) sebagai menteri besar. Khabar angin ini mula tersebar sejak pagi tadi. Selain SMS, beberapa panggilan yang diterima The Malaysian Insider mendakwa keempat-empat wakil rakyat berkenaan mahu meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati Khalid, menteri besar penggal pertama, dikekalkan. SMS itu berbunyi "empat ADUN PKR Selangor dikhabarkan akan meletak jawatan kerana tidak bersetuju Khalid kekal sebagai MB." Nik Nazmi merupakan bekas setiausaha politik Khalid. Beliau digantikan oleh setiausaha politik Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkuat kuasa bulan depan. Amirudin memberitahu The Malaysian Insider, beliau dan rakan-rakannya menghormati keputusan pucuk kepimpinan untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar. "Tidak, tidak... sebelum saudara tanya saya jawab soal dulu, tidak. Setakat ini tiada apa-apa, kami kekal dengan PKR," kata Amirudin sebaik sahaja dihubungi The Malaysian Insider. "Semuanya sudah bersetuju, kami menghormati Azmin Ali dilantik sebagai Pengerusi PKR Selangor manakala Tan Sri Khalid kekal sebagai Menteri Besar Selangor... ini diumumkan pada pertemuan Majlis Pimpinan Pusat semalam dan semua terima" kata Amirudin sambil menambah, beliau dan Nik Nazmi makan malam tadi bersama dan tidak membincangkan apa-apa, kononnya "akan keluar PKR." "Saya tidak tahu mengapa secara tiba-tiba benda ini wujud balik," kata Amirudin lagi. Menerusi ruangan twitter, Nik Nazmi berkata: "saya baru terima panggilan daripada pemberita, bertanya sama ada saya salah seorang daripada empat ADUN berkenaan yang mahu meletakkan jawatan." "Satu lagi penipuan besar," katanya. Dalam pada itu, Suhaimi juga melahirkan pandangan yang sama dengan berkata tidak tahu-menahu apa-apa cerita sebenar. "Ini kali kedua saya mendengar benda yang sama. "Saya menafikan... perang saraf biasanya macam inilah," kata beliau. Di akhir sesi pemukiman dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR petang semalam, Naib Presiden Azmin Ali dilantik sebagai Pengerusi Selangor manakala Datuk Zaid Ibrahim dilantik meneraju Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan. Pelantikan itu berkuat kuasa petang semalam. Wan Azizah ketika membuat kenyataan itu berkata pelantikan Azmin adalah bagi menggantikan Khalid yang juga Menteri Besar Selangor. "(Tindakan) ini setelah dipohon oleh Tan Sri yang mahu menumpukan tenaga beliau kepada pentadbiran negeri Selangor berkuat kuasa serta-merta," katanya semalam. Sebelum ini Azmin mengetuai PKR Wilayah Persekutuan. Sementara itu, Khalid yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut menafikan tindakannya berundur daripada mengetuai PKR Selangor disebabkan tekanan daripada pihak tertentu seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. Khalid dan Azmin menjadi tumpuan selepas timbulnya desas-desus mengatakan wujud gerakan daripada sekumpulan puak di dalam PKR Selangor yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan menteri besar. Kumpulan itu juga dikatakan mahu mendesak Khalid agar melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar. -TMI
Ulasan GB Nampaknya kedua-dua akhbar online yang popular di negara ini, Malaysiakini dan The Malaysian Insider tiba-tiba menjadi akhbar tong sampah yang menyajikan berita-berita sampah yang disebarkan melalui email dan sms. Dipungut dan diadunkan berita-berita itu untuk menimbulkan polemik berpanjangan mengenai isu MB Selangor sehingga lebih hebat peranannya untuk memecahkan PR Selangor daripada kahbar media arus perdana. Baik malaysiakini maupun The Malaysian Insider perlu tahu bahawa majoriti(sekitar 70% - 80% )pembaca mereka adalah penyokong PR, dan jika kedua-dua akhbar online tersebut terus-terusan menyajikan berita palsu pembaca-pembaca dari PR akan terus membakul sampahkan mereka berdua. Then, anda pergi cari pembaca anda dari BN. Jika ada yang sudi membaca dan menyalin berita-berita anda. Jika media arus perdana sebelum terkenal dengan kewartawanan longkang, tak sangka kedua-dua akhbar online sudah mula mengamalkan kewartawanan bebal.. tak tahu menjaga reputasi dan kredibiiti berita yang disaji. |
| 15 MP PKR Bantah MB Selangor, Berita Mengarut Posted: 28 Jun 2010 03:00 AM PDT Isu Bantahan 15 Ahli Parlimen KEADILAN Tidak BenarKUALA LUMPUR 25 Jun - Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan wujud kumpulan lima belas Ahli Parlimen KEADILAN yang akan mengadakan protes terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkenaan dengan perlantikan Setiausaha Politik beliau yang baru, Faekah Husin. Spekulasi dalam media timbul setelah beliau menyerahkan surat perletakkan jawatannya sebagai Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Rabu lalu. "Saya jelaskan di sini bahawa berita yang disiarkan di dalam 'The Star Online' adalah tidak benar, kenyataan tersebut hanyalah spekulasi pihak tertentu yang dikaitkan dengan perletakkan jawatan saya dalam PKNS. "Apa yang pasti maklumat ini adalah baru dan saya akan berjumpa dengan kesemua rakan-rakan saya untuk mendapat maklumat yang penuh terhadap dakwaan tersebut, kita akan meneliti setiap alasan yang diberikan kalau betul timbul rasatidak puas hati mungkin saya boleh menjadi wakil kepada rakan-rakan di dalam KEADILAN untuk meluahkan pendapat tersebut kepada Menteri Besar. "Apa yang pasti saya tidak terlibat dalam spekulasi itu dan jangan buat andaian yang tidak betul," jelas Azmin ketika ditemui di lobi parlimen semalam. Azmin juga ditanya media pendapat beliau berhubung perlantikan Faekah. "Keputusan perlantikan tersebut sudah tentu terletak kepada budi bicara Menteri Besar, bagi saya perlantikan Faekah adalah satu penghormatan yang diberikan kepada seorang wanita dan ini menunjukkan dalam politik Pakatan Rakyat kita tidak meminggirkan peranan wanita untuk menyumbang kepada parti," kata beliau. Tambah Azmin, beliau tahu isu tersebut akan diperbesarkan oleh Umno dan juga media arus perdana tetapi baginya isu itu tidak menjadi perhatian serius kepada pimpinan KEADILAN. "Kita tahu kesempatan akan digunakan untuk membesarkan isu tersebut dan bagi saya itu bukan perkara yang perlu kita fikirkan, Umno akan menggunakan isu itu sebagai senjata mereka menyerang KEADILAN. "Dari sudut politik kita melihat ini sebagai satu langkah positif dan keterbukaan kita membuat sebarang kritikan kepada pemimpin jika berlaku sesuatu yang kita rasa perlu ditegur. "Jangan jadi seperti Umno ataupun parti komponen Barisan Nasional yang lain, orang bawahan tidak boleh menegur kesilapan pemimpin atasan. Politik mereka jelas mengamalkan sikap kuku besi jika ada yang menegur maka tindakan akan diambil samada dipecat atau dipinggikan terus," tegas Azmin lagi. Azmin juga mahu Abdul Khalid mengambil serius spekulasi liar yang disebarkan sesetengah media dan berharap tindakan segera diambil agar ia tidak terus menjadi isu besar. Beliau yakin dengan kepimpinan Abdul Khalid dalam mentadbir Selangor dan usahanya untuk menjadikan Selangor sebagai negeri contoh di negara ini. |
| You are subscribed to email updates from Kelab Greenboc To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |





Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.