Jumaat, 25 Jun 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Zamihan Berdolak-dalik, Kini Pertikaikan Timbalan Menteri Pula

Posted: 24 Jun 2010 11:36 PM PDT

Saya tidak musuhi Asri, tapi pertikai timbalan menteri'

Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin berkata, beliau tiada masalah peribadi dengan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebaliknya mengakui wujud "pergolakan pemikiran" sehingga banyak pihak yang melihatnya sebagai serangan terhadap tokoh agama itu.

Pada masa yang sama, Zamihan juga mempertikaikan tindakan Timbalan Menteri Pengajian Datuk Saifuddin Abdullah dalam mengendalikan isu semasa berkaitan fahaman Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah sebagai tidak profesional.

Malah pegawai kanan bidang pemikiran Institut Latihan Islam Malaysia ini memberitahu, beliau tidak mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan melontarkan pemikiran keras semata-mata untuk mencantas bekas mufti Perlis itu daripada arus perdana Islam negara ini.

"Bagi saya tiada (elemen mahu mencantas Asri). Kalau dia berpandangan begitu terpulang (kepada beliau).

"Bagi saya tiada. Dia nak jadi mufti, hendak jadi menteri, nak jadi Batman, Ultraman, Superman... dia punya hal.

"Itu ruang yang dia ada, silakan tetapi pemikiran-pemikiran yang salah kita tetap sanggah... itu sahaja," kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya semalam.

Sebaliknya Zamihan yang kini menjadi tumpuan isu kontroversi dikaitkan empat tokoh politik dan agama memberitahu, Asri yang mengamalkan cara yang salah.

"Dia pernah mencantas saya supaya saya dibuang dari Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dengan menghantar surat kepada menteri (pada tahun 2007).

"Dalam satu ceramah dia mengakui begitu. Saya simpan rakaman ceramah itu, di Taman Sri Ukay.

"Dia kata saya pernah tulis kepada menteri agama ketika itu Datuk Dr Abdullah Mohd Zin untuk mengambil tindakan kepada Zamihan (saya). Dia cakap, ada rakaman dia. Nak dengar boleh," kata Zamihan dalam temu bual khas ini.

Zamihan seterusnya mendakwa Asri menggunakan pendekatan politik untuk mencantasnya.

"Faktanya boleh dirujuk kepada ceramah dia sendiri, dia mengaku dia menghantar surat supaya diambil tindakan tatatertib," kata beliau sambil mendakwa "pergolakan pemikiran (mereka berdua) sudah lama wujud.

"Bagi saya bukan personal... pergolakan pemikiran ini adalah sesuatu yang lumrah. Cuma kerajaan harus mengawal dengan cekap supaya ia tidak merugikan pihak-pihak yang bertelagah," katanya.

Ketika membuat penjelasan di Dewan Rakyat semalam, Saifuddin menegaskan, polis tidak pernah mengaitkan empat tokoh di negara ini sebagai kumpulan pengganas.

"Sebenarnya pada 21 Jun lalu, ada dua taklimat... satunya diberikan oleh pihak Bukit Aman. Saya fikir taklimat ini adalah tepat dan tidak menimbulkan sebarang masalah dan saya akan mempertahankannya.

"Tetapi ada taklimat kedua. Ini yang saya dengar beberapa pihak mempersoalkannya kerana mengaitkan anggota Parlimen, bekas menteri besar, mufti dan bekas mufti," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang juga Naib Presiden parti itu.

Mahfuz dalam soalannya meminta supaya diberikan pejelasan berhubung dakwaan bahawa Asri, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim terlibat dengan kumpulan pengganas.

Saifuddin berkata beliau telah pun meneliti hujah yang dibuat oleh penyampai taklimat pada ketika itu dan mendapati ia tidak berasaskan kepada fakta kukuh.

"Terdapat hujah-hujah yang diberikan adalah tidak betul termasuk mengaitkan pengasas wahabi, Muhammad Abdul Wahab dengan pengasas Arab Saudi, Muhammad Ibn Saud. Saya berpendapat adalah tidak betul untuk individu berkenaan mengaitkan balas dendam yang terdapat dalam tradisi Arab dengan kegiatan pengganas kerana ia adalah dua perkara berbeza," katanya.

Beliau berkata, tindakan mengaitkan Wahabi yang tidak pernah difatwa sebagai ajaran sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dengan kegiatan pengganas adalah satu perbuatan yang dilihat melampau.

"Saya juga mendapati orang yang memberi taklimat ini mempunyai masalah dengan bekas mufti Perlis. Jadi bagaimana boleh dikatakan masalah peribadi hendak dijadikan masalah keselamatan negara," katanya.

Beliau berkata, tindakan mengaitkan agama dengan keganasan adalah berpunca daripada gejala Islamofobia yang banyak berlaku di negara Barat dan ia tidak sepatutnya dibawa ke negara ini.

Sehubungan itu Zamihan memberitahu The Malaysian Insider bahawa timbalan menteri itu tidak bersikap terbuka dalam isu semasa ini.

"(Ketika) saya membentangkan hari itu, menteri (pengajian tinggi) jadi pengerusi (majlis). Menteri kata kalau ada soalan, ulasan silakan (tetapi) semua senyap, doktor, profesor, polis, semua senyap.

"Lepas itu menteri buat kesimpulan (bahawa) 'kita dah lihat betapa bahayanya pemikiran ekstremis di IPTA, minta kerjasama semua pihak untuk mengatasi masalah esktremis dan pengrekrutan anggota JI di IPT.

"Lepas itu dan habis semua itu pergi minum, tiba-tiba ada seorang lelaki muda datang jumpa saya, muka dia gementar sikit, dia kata 'ustaz saya tidak boleh terima apa ustaz bentang tadi, saya sikit pun tidak boleh terima, saya tidak setuju'.

"Saya kata, 'tuan, kalau tuan tidak setuju pembentangan saya, itu pandangan tuan, yang saya kemukakan ialah fakta, dari kitab ke kitab," kata Zamihan dan berkata, beliau hanya menyedari lelaki itu sebagai Saifuddin kemudian.

Zamihan menambah, kemudian Saifuddin membuat kenyataan akhbar dengan mengatakan ada kalangan pegawai kanan kerajaan cuba memburukkan dan mengaibkan pensyarah tertentu dengan aktiviti keganasan JI.

"Mengapa dia buat kenyataan media? Sepatutnya keputusan mesyuarat, keputusan menteri mesti didahulukan, tapi ini kenyataan timbalan menteri II, kena dia hendak melenting?

"Mungkin dia ada hubungan Dr Asri? Yang saya bentang itu tidak sentuh soal peribadi Dr Asri.

"Saya tiada masalah dengan dengan Dr Asri, tidak bergaduh atau bermusuh sedangkan kita rakan sesaudara dalam Islam," kata Zamihan yang seringkali mengaitkan cara pengendalian isu dengan pendekatan pasukan dan pemain yang menyertai kejohanan bola Piala Dunia di Afrika Selatan sekarang.

Sehubungan itu sambil mendakwa "saya bukan ustaz kampung" dalam menghadapi isu semasa ini, Zamihan juga berkata, "itu bukan masalah peribadi."

"Selepas itu sepatutnya timbalan menteri (Saifuddin) sepatutnya bersikap telus dan terbuka.

"Kalau dia tidak setuju dengan pandangan saya, suarakan dalam mesyuarat berkenaan, bukannya di luar mesyuarat, membuat kenyataan berasingan berbanding yang dibuat oleh menteri dan jemaah mesyuarat dan kemudian melontarkan isu ini di Parlimen seolah-olah hendak meletakkan saya seorang yang bersalah, akhirnya isu ini dipolitikkan... ya, (saya dijadikan) kambing hitam.

"Kalau betul dia (Saifuddin) telus, kalau betul dia profesional sebagai timbalan menteri, datang jumpa dengan saya, kalau dia ada hujah, ada fakta silakan, saya ada hujah saya... kamu ada hujah kamu, kita lihat mana yang ada kepentngan untuk keselamatan negaar, kita bekerjasama," katanya.

Bagaimanapun kata beliau, Saifuddin bertindak seoalah-olah beremosi dengan kandungan taklimat Isnin lalu.

"Saya hanya seorang pegawai kerjaaan yang hanya memenuhi kriteria jemputan berkenaan, dijemput orang menteri pengajian tinggi untuk membicarakan topik itu, dan saya bicarakan, saya diminta oleh Bukit Aman, saya bicarakan. saya hanya menjalankan tugas," kata beliau.

"Saya bukan ustaz kampung, saya tidak bercakap angkuh... saya seorang pegawai kerajaan yang berkaliber, tidak menyertai mana-mana parti politik," katanya lagi mendakwa beliau berada di landasan benar.

Zamihan juga berpendirian bahawa beliau akan "menang" dalam usaha mengatasi pemikiran-pemikiran keras dan radikal.

Di mana kesudahannya isu ini, Zamihan berkata: "Isu ini sepatutnya ditangani dengan bijak oleh pihak berkuasa."

"Tapi oleh kerana ia telah ada campur tangan orang politik, jadi ia jadi macam pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2010.

"Jadi macam-maca percaturan... bila di peringkat saringan OK lagi, sekarang di peringkat akhir... peringkat kalah mati," katanya.

Ditanya siapa yang akan kalah dan siapa yang mati, Zamihan, "kita tunggu dan lihat."

Zamihan memberitahu telah terlibat dalam proses memulihkan lebih 100 orang tahanan.

Ditanya sama ada pendedahan beliau Isnin lalu bertujuan menjejaskan usaha Asri menyertai Umno, Zamihan menafikan kemungkinan tersebut.

"Tidak, bukan secara kebetulan tetapi melihat dengan situasi yang berlaku," kata ustaz berusia pertengahan 30-an.

Taklimat itu diadakan Isnin lalu manakala laporan bahawa Asri akan masuk Umno tersebar sehari sebelum itu.

Ketika ditanya sama ada sedia menemui Asri, Zamihan menambah, "boleh, bila-bila masa sahaja."

"Siapa yang hendak jadi orang tengah, bila-bila masa sahaja," kata beliau sambil mengakui tidak pernah berkomunikasi dengan Asri selama ini.

"Tak ada peluang (untuk bertemu), mungkin masing-masing sibuk. Tetapi saya banyak menyanggah hujah-hujah yang ditulis dalam akhbar," kata beliau sambil mengaku bukan semua pandangan Asri salah.

"Ada pandangan yang baik, ada pandangan boleh dikongsi," katanya.

Asri dan Zamihan menjadi tumpuan akhir tahun lalu apabila penolong pengarah itu didakwa menuduh bekas mufti tersebut memalsukan ijazah syariah seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan.

Zamihan berkata beliau hanya mendakwa Asri tidak mempelajari syariah dan pengajian Islam, sambil menyifatkan apa disiarkan akhbar tempatan itu wujud sedikit kesalahan serta menimbulkan salah faham.


Zamihan: Doktrin keras Asri 'pengaruhi' aktiviti pelampau

Sehubungan itu, pegawai Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) ini berkata, beliau hanya menekankan bahawa pemikiran-pemikiran Asri boleh menjurus ke arah akiviti kumpulan pelampau dan keganasan jika tidak dikawal.

"Orang dalam tahanan sel (di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri) pernah memberitahu saya dia berminat sangat dengan pemikiran Dr Asri... bila dia ditangkap oleh polis, dia (suspek) ada CD, buku-buku Dr Asri, jadi barang kes.

"(Jika anda) tak percaya rujuk Bukit Aman... ada tangkapan, saya tak pasti yang mana satu, nak bukti boleh rujuk Bukit Aman.

"Jadi saya tak sentuh pun Dr Asri dengan keganasan itu, yang sentuh itu pihak keselamatan dari Bukti Aman... sebab masa ditangkap suspek JI itu, pemikiran-pemikiran Asri dalam bentuk bukunya, CDnya ada," kata Zamihan yang kini menjadi tumpuan polemik isu fahaman wahabi dan JI.

Beliau ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya di Bandar Baru Bangi dekat sini semalam bagi mendapatkan penjelasan lanjut perkembangan taklimat Isnin lalu.

"Jadi kalau tuan tanya apakah pemikiran Dr Asri boleh membawa (aktiviti) pengganas, ya ia boleh membawa kepada (aktiviti) pengganas kerana dia menyimpulkan pemikiran-pemikiran yang berjalur keras.

"Kalau pemikiran Asri ini neutral macam orang lain, dia tidak akan glamor," kata beliau yang Isnin lalu memberikan ceramah tentang keselamatan dan ancaman JI di institut pengajian tinggi di ibu negara.

Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah menteri dan timbalan pengajian tinggi dan mencetuskan kontroversi.

Zamihan yang terlibat dalam aktiviti pemulihan tahanan ISA sejak empat tahun lalu memberitahu "doktrin Dr Asri boleh menjurus ke situ."

Secara kesimpulan menurut Zamihan, fahaman wahabi menekankan Malaysia bukan sebuah negara Islam, sebaliknya negara kafir.

"Kesimpulannya (mereka) mahu menghancurkan sistem yang sedia ada, bina sistem yang baru," kata beliau dengan menekankan, JI memang berorientasikan kepada fahaman wahabi yang berasaskan kepada kepimpinanan beberapa pimimpin luar, antaranya Abu Bakar Bashir dari Indonesia.

"Kalau kita tengok kronologi pemikiran ini pun memang, telah dianalisis banyak kali oleh penulis, ahli akademik... itulah kecenderungan pemikiran mereka, bahawa orang lain tidak Islamik, banyak buat bi'dah, syirik, sesat, kurafat.

"Jusreru itu atas landasan itu mereka merasakan mereka ada tanggungjawab untuk memperbaiki keadaan, dengan semua keadaan dibuat atas nama jihad," katanya.

Zamihan juga memberitahu, apabila Asri mengetengahkan pemikiran-pemikirannya dalam bentuk buku dan menerusi seminar dan ceramah, maka ia mula dianalisis, dan diketengahkan.

"Dia (Asri) tidak dikaitkan dengan JI. Dia tidak dikaitkan dengan pengganas, tetapi dia mengeluarkan pandangan-pandangan yang keras, dan munculnya kegiatan radikal dan pengganas ini, hasil daripada kombinasi fahaman-fahaman yang keras," kata beliau yang tugasnya di ILIM kini ialah "melihat kepada pemikiran."

Sekali lagi Zamihan memberitahu, "malah dalam taklimat saya pun saya tak sebut dia (Asri) dikaitkan dengan JI, (saya) tak sebut dia pengganas, kenapa dia nak melenting?"

Pada taklimat Isnin lalu beliau hanya sentuh soal pemikiran manakala pegawai dari Bukit Aman menyentuh soal ancaman keselamatan dan pengambilan JI di IPT.

"Jadi saya membentangkan tentang pemahaman dan tentang pemikiran merupakan fakta tentang mengunjurkan tindakan radikal ataupun pengganas, dan pasal masalah keselamatan, hendak mengebom di sana, nak ugut orang, nak tangkap, berapa orang ditangkap, berapa orang dihantar pulang, dilanjutkan ISA, itu kerja pasukan keselamatan.

"Kalau pasukan keselamatan nak kaitkan Asri dengan suspek, atau subjek yang telah ditahan, atau dilepaskan, yang hendak ditangkap, itu kerja dia orang.

"Saya tak masuk campur... saya hanya membicarakan fakta-fakta dari sudut fahaman yang boleh unjurkan ekstremis atau pengganas," kata Zamihan dengan menambah, beliau cuma membangkitkan nama Asri dengan berdasarkan buku "Bid'ah: Istilah Yang Disalah Fahami".

Ditanya sama ada menyebut nama-nama lain selain Asri, Zamihan sekali lagi menafikan berbuat demikian.

"Tidak, langsung tak disebut nama, langsung tak wujud, langsung tak ditunjuk gambar. Saya hanya 'scan' buku, saya saya menilai fahaman begini adalah dari jalur pemikiran keras," kata beliau mempertahankan tindakannya.

Bagaimanapun beliau mengakui nama-nama yang tersebut iaitu Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Peris ada disebutkan tetapi oleh penceramah lain dan tidak pasti sama ada gambar juga ada ditunjukkan sekali.

Zamihan menambah, pengurusan Islam di Malaysia mengambil jalan sederhana, bukan bersifat menghukum dan menyesatkan mana-mana pihak.

Sehubungan itu kata beliau, sekiranya Asri hendak mengatakan bahawa beliau mengulangi fakta-fakta tertentu, "apakah pengulangan fakta itu merupakan satu kewajaran untuk diketengahkan dalam masyarakat Malaysia?"

"Memetik pandangan orang, itu satu pandangan. tetapi hendak melaksanakan dalam masyarakat kita, kena tengok masa dan tempat... itu pandangan menteri Jordan, kalau hendak ketengahkan di sini, kena tengok beberapa kewajaran.

"Kalau mengatakan Maulidur Rasul macam (sambutan) orang Kristian sedangkan sambutan sudah menjadi acara kebesaran di peringkat negeri mahupun peringkat kebangsaan, dan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama persekutuan turut menyambut acara itu, tak akan kita hendak kategorikan Yang di-Pertuan Agong sebagai juga dalam kalangan orang sesat.

"Tak kira pandangan dari mana-mana seluruh dunia pun, kita kutip kita ambil, kita sepatutnya membuat penilaian, saringan, tengok kewajarannya sama ada boleh diterima atau tidak, dan kita kena hormat juga agensi-agensi agama," kata Zamihan.

Zamihan juga menambah, Asri tidak pernah mengakui sebagai pengikut aliran wahabi.

"Sampai bila pun tak akan mengaku wahabi sebab wahabi mempunyai sejarah hitam dalam sejarah Islam.

"Tetapi kita melihat kepada pemikirannya, hasil tulisannya, ceramahnya, perkataannya ada persamaan dengan pemikiran wahabi... maka penjustifikasian boleh dibuat bahawanya beliau cenderung ke arah itu walaupun beliau menggunakan jenama progresif ataupun apa jua jenama... kita melihat intipati pemikiran itu," katanya lagi.

Sambil mendakwa fahaman wahabi mengamalkan prinsip pecah dan perintah, Zamihan memberitahu, kalau ada pun berbeza pandangan termasuk dari Perlis perlu menghormati satu sama lain.

"Jangan mengambil pendekatan menyalahkan, tetapi mereka mengambil pendekatan menyalahkan kita, kita tidak Islamik, kita tidak sunah, kita tidak kembali kepada Nabi, kita tidak kembali kepada ketulenan Islam dan macam-macam.

"Jadi ini semua menghuru-harakan masyarakat," katanya lagi.

Semalam, Asri menyifatkan Zamihan "terus berdusta" dengan merujuk kepada kenyataannya bahawa dalam pembentangannya kepada pihak penguat kuasa dan wakil-wakil universiti beliau hanya menyebut nama bekas mufti itu sepemikiran dengan Wahabi.

"(Zamihan) katanya tafsiran itu dibuat berdasarkan tulisan Dr Asri (saya) melalui sebuah buku Bid'ah: Istilah Yang Disalah Fahami yang diterbitkan beberapa tahun lalu," kata beliau.

Asri menambah, Zamihan mendakwa beliau "salin dan tampal" pandangannya yang menyamakan sambutan Maulidur Rasul dengan amalan orang Kristian.

"Zamihan menambah, pandangan yang 'keras' sebegitu jika tidak dibendung boleh menjurus ke arah pendekatan "radikal" di negara ini"," katanya.

Oleh itu tegas Asri, ia adalah satu pendustaan yang nyata kerana dalam buku berjudul Bid'ah: Istilah Yang Disalah Fahami sama sekali tiada disebutkan perkataan sedemkian.

"Sekadar yang ada sentuhan yang disebut oleh al-Imam al-Syatibi, pun begitu tiada perkataan beliau yang dipetik menyamakan dengan Kristian.

"Oleh itu, saya mencabar Zamihan membuktikan ayat dan muka surat mana yang menyebut hal seperti itu," kata Asri lagi.

Isu ini menjadi polemik ekoran laporan media yang menyebut nama Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta bekas mufti Perlis dan mufti semasa negeri itu dikaitkan dengan JI dan fahaman wahabi pada satu taklimat pihak berkuasa Isnin lalu.

Bagaimanapun dakwaan itu dipertikaikan oleh Asri dan mufti Perlis Dr Juanda Jaya sambil menegaskan, pendedahan wujudnya peranan JI sambil dikaitkan dengan tokoh-tokoh tokoh politik kemungkinan besar merupakan "mainan politik kotor kerajaan" untuk mengalih isu semasa.

"Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar.

"Bahkan ia bermungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu," kata Asri dan Juanda.

Asri dan Juanda menambah, buktinya laporan media yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI Isnin lalu telah didakwa bahawa nama kedua-dua mereka bersama Hadi dan Shahidan serta ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

"Demikian dikaitkan pertubuhan JIM dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah," kata Asri dan Juanda dalam kenyataan bersama. -TMI


Apa Tujuan SPRM Enggan Beri Salinan Laporan?

Posted: 24 Jun 2010 05:38 PM PDT

Laporan Rasuah Terhadap KM Sarawak Ditarik Balik Sebab SPRM Enggan Beri Salinan

KUALA LUMPUR 25 Jun - Keengganan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyerahkan salinan laporan dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud memaksa tiga anak watan Sarawak menarik balik laporan mereka.

James Wong Joon Min, Ting Chek Ming dan Ahmad Nazib Johari tiba di pejabat SPRM Selangor pagi semalam untuk membuat laporan rasuah ke atas Abdul Taib berhubung tuduhan rasuah dan pemilikan aset bernilai berbilion ringgit di luar negara.

Ketiga-tiga anak jati Sarawak itu mengambil tindakan membuat laporan itu berasaskan beberapa artikel yang disiar oleh sebuah laman web, sarawakreport.org.

Menurut James Wong, artikel dalam laman web itu mendedahkan tuduhan rasuah dan pemilikikan aset berbilion ringgit yang dimiliki Abdul Taib dan keluarganya di Kanada, London dan Australia.

"Kita mahu SPRM menyiasat laporan ini. Satu dari laporan itu menyentuh empayar perniagaan dan harta yang beliau (Taib) dan keluarganya miliki di Kanada.

"Tetapi selepas membuat aduan, kami meminta salinan laporan tetapi SPRM enggan memberi salinan laporan yang dibuat kami. Jadi kami membuat keputusan untuk menarik balik laporan berkenaan dan akan datang pada hari lain yang diberitahu kelak samada di sini atau di SPRM Putrajaya," kata James Wong.

Ahmad Nazib, yang juga seorang peguam dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Sarawak berkata, SPRM gagal menunjukkan sebarang peruntukan untuk menghalang mereka memperoleh salinan laporan itu.

"Mereka menyatakan tiada peruntukan undang-undang untuk satu salinan diserahkan kepada pengadu. SPRM tidak berjaya menunjukkan kepada kami peruntukan dan asas mereka tidak boleh menyerahkan salinan itu.

"Mereka kata kes ini berbeza, ini kes 'high profile'. Pihak kami mengambil pendekatan berhati-hati. Kami menyatakan 'high porfile', 'low profile' atau sesiapa, undang-undang tetap undang-undang, tidak ada perbezaan," tegas Ahmad Nazib.

Justeru pihaknya membuat keputusan menarik balik aduan itu kerana bimbang ia akan diubahsuai dan bercadang kembali pada hari lain untuk menyediakan laporan yang berasingan bagi memastikan laporan yang dibuat mereka dan yang berada dalam simpanan mereka adalah sama.

Laman web sarawakreport.org yang mendedahkan dakwaan salahgunakuasa dan rasuah yang dilakukan Abdul Taib dan berbilion ringgit yang dimiliki keluarganya di dalam dan luar negara.

Ia berhubung dakwaan Abdul Taib mempunyai aset bernilai berbilion ringgit di Kanada, London dan Australia dalam bentuk hartanah dan syarikat berjumlah RM3 bilion.

Menurut laman web itu, isu mengenai kediaman mewah yang dimiliki seorang anak perempuan ketua menteri itu, Jamila Taib turut didedahkan oleh media di Ottawa, Kanada.

Jamila merupakan pemilik, SAKTO Development Corporation, syarikat pembinaan yang memiliki aset jutaan dollar Amerika berpengkalan di Ottawa dan turut mempunyai pejabat di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.

Laman web itu turut mendakwa keluarga Abdul Taib juga memiliki satu lagi syarikat bernilai jutaan ringgit di Australia iaitu Sitehost Pty Ltd, yang juga pemegang saham hotel mewah bertaraf lima bintang, Hilton di Kuching dan Mulu Resort di Sarawak.

Selain Kanada dan Australia, Ketua Menteri Sarawak itu juga didakwa memiliki satu portfolio hartanah yang diuruskan sebuah syarikat khusus di London yang dimiliki oleh keluarganya.

Laman web itu mendakwa Abdul Taib menggunakan kekayaannya di Sarawak dan membuat pelaburan di seluruh dunia tanpa dikenakan cukai oleh kerajaan,

Ia juga menyiarkan pelbagai lagi pendedahan termasuk rompakan yang dilakukan Taib menerusi projek pembinaan dan pembalakan yang dilakukan syarikat milik keluarganya, Cahya Mata Sarawak. -sk

Ulasan GB

SPRM tak mahu beri salinan laporan? Sedangkan semua pengadu berhak untuk mendapatkan sesalinan laporan. Apakah SPRM nak ubah atau hapuskan kandungan laporan berkenaan sehinggakan pengadunya tidak diberikan salinan?

Huh penuh misteri. Semisteri kematian Beng Hock.


Kerajaan 1Malaysia Yang Kartun Haramkan Kartun '1Funny Malaysia'

Posted: 24 Jun 2010 07:30 AM PDT

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharam buku terbitan Malaysiakini oleh kartunis popular Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Selain buku '1Funny Malaysia', yang diterbitkan oleh Kinibooks yang merupakan anak syarikat Malaysiakini, dua lagi komik Zunar - Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun - turut diharamkan.

Ketua setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam berkata buku-buku tersebut diharamkan kerana ia tidak sesuai untuk bacaan umum.

"Ketiga-tiga bahan penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan.

"Ia tidak sesuai untuk bacaan umum dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam," katanya.

Bagaimanapun, Mahmood tidak menyebut mengenai satu lagi buku terbitan Malaysiakini - 'Where is Justice?' - yang telah dirampas bersama dengan '1Funny Malaysia' dari kedai buku empat bulan lalu.

'1Funny Malaysia' merupakan kompilasi kartun Zunar, manakala buku 'Where is Justice' adalah mengenai kematian atau kekejaman dalam tahanan polis dengan fokus terhadap empat kes besar - Teoh Beng Hock, A Kugan, Altantuya Shaariibuu, dan Anwar Ibrahim

Di bawah akta tersebut, mereka yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan dilarang, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali. -mk

Ulasan GB

Dengan buku kartun pun kerajaan 1Malaysia Najib begitu trauma sampai diharamkan buku berkenaan.

Benar-benar kerajaan UMNO BN dah takut... kartun pun dah disangka real, sehingga dikatakan boleh mengubah pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan.

Jika demikian, tak cukup kuatlah kerajaan Najib jika kritikan dengan buku kartun pun diharamkan.

Lagipun, ingat bagus sangat kepimpinan dan dasar kerajaan yang ada kini sampai tak boleh dikritik dan ditegur? Teguran dengan lukisan kartun dah kira baik daripada rakyat gulingkan kerajaan dengan peti undi nanti.

Hadi Menuntut Di Universiti Wahabi .. Fitnah Yang Benar

Posted: 24 Jun 2010 04:53 AM PDT

Hadi: Saya memang belajar di universiti Wahabi tapi...

Mengakui mendapat pendidikan di universiti Wahabi dan mendapat tajaaan 'biasiswa Wahabi', Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, itu tidak menghalangnya daripada mempunya pandangan yang tersendiri dalam hal ehwan agama.

"Saya memang belajar di universiti Wahabi, dapat biasiswa Wahabi," katanya sambil tersenyum.

"Tetapi saya ada pandangan saya sendiri,"
jelasnya lagi seperti dilaporkan akhbar web PAS Harakahdaily.

Semasa mudanya Abdul Hadi pernah menuntut di sebuah universiti di Arab Saudi - negeri yang dikaitkan dengan fahaman Wahabisme.

Malaysiakini difahamkan dalam mesyuarat anti-keganasan anjuran pihak polis Isnin lalu seorang pegawai daripada sebuah agensi agama memberikan penerangan tentang 'hubungan' beberapa tokoh agama dan politik dengan Wahabi dan Jemaah Islamiah (JI).

Menurut sumber-sumber, selain Abdul Hadi, turut dikaitkan sama dengan 'lingkaran' itu, antaranya bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas mufti negeri Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan mufti sekarang Dr Juanda Jaya.

Ditemui di pejabat pembangkang di Parlimen sebentar tadi, Abdul Hadi berkata cubaan mengaitkan fahaman Wahabi dengan Jemaah Islamiah (JI) atau terorisme adalah agenda Barat serta musuh yang mahu memburukkan Islam.

Katanya, musuh Islam sememangnya menggunakan isu perbezaan mazhab untuk memecahkan umat Islam.

"Wahabi tidak ada kena mengena dengan teroris pun, itu satu agenda Barat dan musuh Islam," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang. -mk

Ulasan GB

Presiden PAS, Ustadz Abdul Hadi Awang difitnah, dengan "fitnah yang benar".

Istilah "fitnah yang benar" pertama kali didengarkan kepada umum oleh Presiden PAS sendiri di Konvensyen Blogger PAS yang diadakan di markas PAS Taman Melewar beberapa bulan lalu.

Katanya: "Tak semua fitnah itu bohong, fitnah ada bohong ada benar, tetapi tidak semua fitnah boleh disebar begitu sahaja walaupun ianya benar, benar tapi jahat."

Namun Ustadz Abdul Hadi berkata lagi: "Penulisan dengan menyebarkan maklumat yang baik katanya akan menghasilkan pahala yang berpanjangan, manakala penyebaran berita dengan niat jahat menghasilkan dosa berterusan.

"Jihad paling afdal adalah bercakap benar," tambahnya.

Bersandarkan kepada petikan di atas GB rumuskan begini untuk panduan para blogger:

"Fitnah terbagi dua, yang bohong dan yang benar. Yang bohong memang haram ditulis manakala fitnah yang benar bergantung kepada niat: niat baik atau niat jahat. Yang baik akan menghasilkan pahala yang berpanjangan, manakala penyebaran berita dengan niat jahat menghasilkan dosa berterusan."

Tinggalkan itu.

Kini, kembali kepada pokok persoalan: Ustadz Abdul Hadi belajar di universiti wahabi. Itu satu fitnah yang benar tetapi niat yang jahat mengkaitkan Abdul Hadi dengan JI.

Sementelah lagi, apakah semua yang belajar di universiti wahabi akan keluar sebagai graduan wahabi?

Jika demikian Tan Sri Dato' Nor Mohamed Yakcop yang memperolehi MBA dari Catholic University of Leuven, Belgium adalah graduan kristian kerana mendapat pendidikan dari universiti katolik?

Demikian penyebaran maklumat yang berniat jahat. Tetapi Ustadz Abdul Hadi kini menerima fitnah yang benar.

Di dalam satu komentar di dalam satu rencana yang dikeluarkan di kelab GB, GB telah ditanya dan GB telah menjawab.


Anonymous said...

Assalamualaikum saudara GB..sebelum ini anda banyak mengulas dan menghentam Tuan Guru Haji Hadi...saya nak tanya awak, hari ini Tuan Guru telah dituduh sebagai seorang pengganas adakah anda setuju dan terlalu gembira dengan tuduhan ini...

June 24, 2010 11:15 AM

GB said...
waalaikumussalam.

Baca dan renung kejadian itu di dalam satu kesatuan.. iaitu semuanya dari Allah s.w.t.. Setiap satu kejadian Allah s.w.t. tidak ada yang sia-sia.. Ayat manzurah adalah ayat yang jelas dan nyata untuk kaum yang berfikir.

Apa yang dilalui oleh Ustadz Abd Hadi adalah fitnah yang menimpa dirinya kerana sebelum ini fitnah telah menimpa PAS ekoran isu UG yg dibawanya.

UMNO begitu gembira untuk menyambut Abd Hadi ke persadanya tetapi Allah s.w.t. tidak mengizinkan hal itu berlaku lantaran itu Allah menggagalkan UG.

Kini UMNO masih berusaha, dengan langkah terakhir iitu "ugutan" dengan mengkaitkan Abdul Hadi dengan wahabi dan JI untuk memerangkapnya.

Dengan kekentalan imannya dan doa orang beriman juga insyaAllah Abdul Hadi akan berjaya melepas ujian getir tersebut.

Iktibar kepada golongan mukminin: jangan sesekali timbulkan fitnah kepada jemaah, kelak nanti fitnah akan menimpa dirimu pula!

June 24, 2010 12:41 PM


GB hanya ahli PAS biasa. Bukan ustadz bukan ulamak. Dibandingkan ilmu syariat Ustadz Abdul Hadi dengan GB macam langit dengan bumi bezanya. Takkan boleh GB melawannya. Tetapi, peduli apa itu semua kerana bagi GB, kebenaran (hakikat) itu lebih berhak untuk diikuti - al-haq ahaqqu an yutaba'.

Dan jangan diabaikan hadith daripada Abu Hurairah ra ini:

Jihad paling afdal adalah bercakap benar.

Dia Bapa Judi, Bapa Rasuah & Bapa Putarbelit

Posted: 24 Jun 2010 03:32 AM PDT

Najib: K'jaan belanja RM37.7 juta di Sibu

Sejumlah RM37.7 juta dana dibelanjakan pada pilihan raya kecil Sibu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat hari ini.

"Bagi pilihan raya kecil Sibu, kerajaan meluluskan 107 program atau rancangan yang bernilai RM37.7 juta untuk dilaksanakan di seluruh kawasan parlimen itu," kata Najib.

Dana itu untuk dibelanjakan bagi infrastruktur fizikal, sumbangan dan bantuan tunai sertai program sosial.

Menurut carta yang dibekalkan oleh Najib sejumlah RM28.7 juta dibelanjakan bagi sumbangan dan bantuan tunai semata-mata.

"Kerajaan tidak pernah menjanjikan program atau projek kepada rakyat semasa kempen pilihan raya di seluruh negara termasuk di Sibu," katanya.

"Program dan projek yang dilaksanakan semasa pilihan raya kecil dirancang oleh kerajaan terlebih dahulu sebelum pilihan raya kecil tersebut diadakan sama seperti di kawasan parlimen dan dewan undangan ngeri (DUN) lain di seluruh negara."


Najib menjawab soalan daripada Wong Ho Leng (DAP-Sibu), yang berjaya merampas kerusi Sibu daripada BN dengan majoriti tipis pada pilihan raya kecil 16 Mei lalu.

Bercakap kepada wartawan di lobi Parlimen, Wong membidas kerajaan kerana gagal membekalkan senarai pecahan penuh berhubung bagaimana wang berkenaan disalurkan.

Katanya, 66 sumbangan kewangan amat dicurigai dan kerajaan sepatutnya memberi penjelasan terperinci.

"Kita tidak tahu apa 66 barangan ini. Adakah ia termasuk RM5 juta yang dijanjikan? Adakah ia termasuk RM18 juta yang diberikan kepada sekolah vernakular? Bagaimana pula wang untuk gereja?

"Ada yang disalurkan ke kategori 'fizikal' dan 'program'. Rakyat berhak tahu mengenai pecahan perbelanjaan itu," katanya.

"Yang nyata, dana RM37 juta ini menunjukkan bahawa BN akan hanya berbelanja semasa pilihan raya kecil. Justeru, tidak menghairankan rakyat suka pilihan raya kecil."

Najib sebelum ini dikecam selepas menjanjikan RM5 juta projek tebatan banjir kepada pengundi di Rajak Park dengan syarat BN memenangi pilihan raya itu.


Tiada Projek Pilihanraya Untuk Sibu

Pimpinan Pakatan Rakyat tidak terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri Najib Razak kononnya kerajaan tidak pernah menjanjikan projek kepada rakyat semasa kempen pilihan raya kecil di seluruh negara termasuk di Parlimen Sibu Mei lalu.

Malah rata-rata mereka berkata alasan Najib sudah dijangka.

Najib berkata segala peruntukkan yang diberi telah dirancang terlebih dahulu dan bukannya projek mee segera untuk meraih undi rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani berkata gelagat Najib yang gemar memutar belitkan kenyataan sudah lama sebati dengan dirinya.

"Memang sejak dulu Najib selalu cakap pusing-pusing," tegas beliau sambil menyifatkan kenyataan Najib itu sebagai lucu.

Bagi Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, penafian Najib tidak mudah diterima oleh rakyat Malaysia berikutan klip video kontroversi Najib itu sudah diketahui umum.

"Bukan sahaja di Sibu, pada pilihan raya kecil Hulu Selangor, Najib juga secara tiba- tiba meluluskan sejumlah RM 3 juta dana kepada sekolah jenis kebangsaan cina dengan syarat, calon mereka mesti menang pada pilihan raya itu," ujar Charles-TVS


Tiada ulasan: