Isnin, 21 Jun 2010

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Asri Sertai UMNO, So What?

Posted: 20 Jun 2010 06:42 PM PDT

Jangan korek lubang sendiri." Demikian rumusan nasihat Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad mengulas mengenai kemungkinan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyertai Umno, Jumaat ini.

Idris berkata, pihaknya berharap Asri tidak akan menyertai Umno dengan mengambil kira perkembangan dan pengalaman masa lalu dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

"Kita tidak ada benda (tidak kisah), cuma kita berharap beliau tidak sertai Umno... kami kesian dengan dia, tak mahu apa yang berlaku ke atas Datuk Seri Anwar (Ibrahim) berulang dan kena pada beliau," kata Idris ketika dihubungi The Malaysian Insider.

"Betul atau tidak (akan masuk Umno) belum pasti, tetapi saya berharap beliau tidak akan masuk Umno," kata beliau.

Asri yang mempunyai ramai kawan dalam PAS juga pernah disebut-sebut cuba dirujuk oleh parti Islam ini.

Idris berkata Asri juga menghadiri majlis pengebumian pemimpin veteran PAS Hassan Shukri minggu lalu.

Idris berkata, kedudukan PAS tidak akan terjejas meskipun Asri menyertai Umno, yang disebut-sebut akan menjadi kenyataan Jumaat ini.

Turut akan sertai bersama Asri iala kira-kira 100 ulama muda berkelulusan tinggi.

Asri enggan mengulas lanjut ketika dihubungi lewat malam tadi.

Bagaimanapun dalam kenyataan diposkan di blognya, Asri berkata "sehingga saat ini saya belum membuat apa-apa keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik."

"Saya mengharapkan semua pihak tidak membuat andaian yang terlalu cepat terhadap kenyataan mana-mana pihak mengenai isu ini.

"Perbincangan dengan pihak yang membuat kenyataan akan diadakan. Sebarang kenyataan kepada media tidak akan dibuat setakat ini," kata beliau.

Dalam ulasannya Idris menambah tiada tempat bagi golongan ulama untuk berpolitik dalam Umno.

"Harap jangan masuk, tengok orang macam Datuk Seri Anwar,.. gagal, kena fitnah. Golongan ulama tiada tempat dalam Umno, tengok pada (bekas naib presiden PAS) Datuk Nakhaie Ahmad, (Tan Sri Dr) Hamid Othman, (Datuk Dr) Mashitah (Ibrahim)," katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai usaha PAS meminta Asri menyertai partinya, Idris berkata, sebenarnya tiada usaha secara rasmi.

"Yang jumpa dan berbincang dengan Asri adalah atas nama kawan, tiada usaha rasmi di pihak PAS... macam biasalah, kita terbuka, kami terima sesiapa sahaja yang hendak masuk PAS," katanya. -TMI


Asri sertai Umno Jumaat ini?

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menjadi rebutan parti-parti politik Melayu Islam sejak setahun lalu dijangka akan menyertai Umno Jumaat ini.

"Keadaan nampak macam begitu, kita tunggu sehingga Jumaat ini," kata Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh ketika dihubungi The Malaysian Insider sebentar tadi.

Turut akan sertai bersama beliau iala kira-kira 100 ulama muda berkelulusan tinggi.

The Malaysian Insider difahamkan mereka akan menyerahkan borang penyertaan sebelum Majlis Tertinggi Umno mengadakan mesyuarat bulanan Jumaat ini.

Dalam pada itu Asri (gambar, dua dari kiri) berkata, sehingga kini beliau belum membuat apa-apa keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.

Oleh itu Asri berkata beliau mengharapkan semua pihak tidak membuat andaian yang terlalu cepat terhadap kenyataan mana-mana pihak mengenai isu ini.

"Perbincangan dengan pihak yang membuat kenyataan akan diadakan. Sebarang kenyataan kepada media tidak akan dibuat setakat ini.

"Saya berdoa kepada Allah agar diberikan kebaikan untuk umat Islam dan para pendakwah Islam yang ikhlas," kata beliau dalam satu kenyataan ringkas.

Asri yang terkenal dengan pendirian progresif kini berhadapan dengan tindakan undang-undang Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyampaikan kuliah tanpa tauliah akhir tahun lalu.

Umno Online pula menyebut mereka akan menganggotai Umno Cawangan Dataran Merdeka yang terletak dalam Bahagian Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Laporan itu memetik Rauf memberitahu beliau percaya penyertaan mereka itu akan menyemarakkan keyakinan orang-orang Melayu dan Bumiputera kepada Umno.

"Perkembangan itu akan menyemarakkan keyakinan Melayu kepada Umno, kita akan menuju pilihan raya umum ke-13 dengan Umno yang lebih cemerlang," kata beliau ketika berucap pada persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Bukit Bintang di sini, semalam.

Rauf yang juga Ketua Bahagian Umno Bukit Bintang berkata, kemasukan ulama itu akan menjadikan Umno lebih segar, "dibajai dengan ilmu-ilmu Islam dan seterusnya membantu kepimpinan negara membangunkan Malaysia."

Datuk Seri Shahidan Kassim yang merasmikan persidangan itu memuji usaha Umno Bukit Bintang untuk menarik 100 ulama menyertai parti utama Barisan Nasional.

"Saya berkawan dengan ulama ini sudah lama, tetapi tidak pernah saya dapat ajak mereka libat diri di dalam perjuangan (secara langsung di dalam parti) ini.

"Saya rasa kalau 100 ulama ini dapat kita terjemah sebagai 100 kekuatan luar biasa di dalam Umno, Pas tidak akan tidur lena."

Dalam pada itu Shahidan ketika dihubungi The Malaysian Insider memberitahu beliau tiada apa-apa maklumat mengenai kemungkinan penyertaan Asri ke dalam Umno.

"Saya tidak tahu apa-apa lagi, nanti saya menelefon Dr Asri nanti," kata Shahidan yang dilihat sebagai rakan Asri.

"Kalau beliau sertai Umno, saya menyambut baik langkah Dr Asri," katanya lagi.

Asri disebut-sebut akan menyertai PAS atau Umno sejak awal tahun lalu. -TMI



Ulasan GB

Ada beberapa sebab yang kemungkinan besar MAZA menyertai UMNO.

1) Beliau telah diasak oleh UMNO melalui Jabatan Agama Islam Selangor dengan pelbagai kes dan dawaan di mahkamah. Terbaru tentang 'upacara telan air liur ustaz' yang dikatakan berlaku di sebuah masjid di Selangor dimana JAIS telah menafikannya.

Sebelum ini beliau telah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung kesalahan mengadakan kuliah agama tanpa tauliah daripada jabatan itu di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang.

UMNO pasti menggunakan isu tersebut sebagai umpan MAZA menyertai UMNO agar semua dakwaan itu digugurkan.

2) Sepanjang MAZA di mahkamah beliau ditemani oleh bekas MB Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassin. Sedikit sebanyak Shahidan pasti ada berusaha untuk membawa MAZA menyertai UMNO. Apatah lagi Shahidan perlu mendapatkan sokongan dari golongan ugamawan di dalam usahanya untuk merebut kembali kerusi MB yang sudah terlepas ke tangan Mohd Isa Sabu.

3) Pemimpin Pakatan Rakyat terutama PAS gagal untuk memberikan sokongan moral kepada MAZA semasa MAZA menghadapi cabaran dan ujian khususnya di mahkamah. Tiada pemimpin PR yang turut serta mengiringinya memberikan sokongan moral sekalipun MAZA telah pun berusaha untuk mendekatkan dirinya kepada PAS dengan menghadiri bersama-sama di beberapa majlis PAS. Terbaru beliau dilihat ada bersama d majlis muktamar Pemuda PAS.

Dengan senario di atas, MAZA yang mutakhir ini dihimpit dengan pelbagai cabaran, tidak mustahil beliau akan menerima pelawaan UMNO sekalipun jauh di sudut hatinya mengetahui UMNO itu amat merosakkan.

Terlepas dari membuat sebarang tuduhan samada MAZA menerima habuan daripada UMNO yang seperti yang lazim diterima oleh mereka yang melakukan demikian, kita tidak sukar untuk menjangkakan bahawa penyertaan MAZA amat diharapkan oleh UMNO untuk memulihkan imej UMNO yang telah rosak teruk di kalangan rakyat beragama Islam akibat beberapa isu seperti kelulusan lesen judi dan seumpamanya.

Dan kepada PAS, ada pelajaran yang perlu digarap dengan isu ini. Afalaa tatafakaruun?


Dasar Muka Tak Tahu Malu, Kamu Nong Chik Wakil Rakyat Mana?

Posted: 20 Jun 2010 06:47 AM PDT

Kg Baru: Pusat ingatkan MB Selangor jangan ganggu

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin mengingatkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim agar tidak mengganggu pelan pembangunan semula Kampung Baru diusahakan kerajaan pusat.

Raja Nong Chik mendakwa Khalid tidak pernah menunjukkan sebarang minat terhadap usaha pembangunan semula kawasan tersebut ketika menerajui syarikat pengurusan dana PNB.

"Saya terkejut apabila mendengar Menteri Selangor Khalid Ibrahim mahu menemui penduduk Kampung Baru," kata Raja Nong Chik pada majlis pelancaran cawangan Perkasa Lembah Pantai di sini petang ini.

Oleh itu, Raja Nong Chik menasihatkan Khalid agar memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah-masalah di Selangor.

Malah kata beliau, minat secara tiba-tiba Khalid terhadap nasib Kampung Baru boleh menyebabkan PKR kemerosotan populariti di kalangan masyarakat Melayu.

"Hari ini PKR tidak menikmati sokongan orang Melayu, beliau berpura-pura berminat terhadap Kampung Baru," kata Raja Nong Chik.

"Tiada sebab lain, tetapi hanya mahu menjejaskan perpaduan di kalangan orang Melayu di Kuala Lumpur," katanya lagi.

Bagaimanapun Raja Nong Chik menolak dakwaan Khalid berhubung kuasa Menteri Besar terhadap aspek pembangunan Kampung Baru.

"Beliau bercakap pasal soal sejarah. Jika anda mahu bercakap tentang sejarah, Selangor seharusnya masih berada di bawah kawalan Melaka," katanya lagi.

Khalid akan berjumpa penduduk Kampung Baru.

Berhubung dakwaan Lembaga Pentadbiran Penyelesai Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru, Raja Nong Chik berkata perkara pembangunan terletak pada tangan pemilik tanah individu, bukannya badan itu.

"Dari sudut undang-undang mereka tiada hak tetapi kami tidak mahu menolak ke tepi sesiapa pun dalam soal perundingan," kata beliau.

"MAS tidak boleh berbuat apa-apa, malah kerajaan juga tidak boleh buat apa-apa," kata Raja Nong Chik.

Kata menteri, beliau telah mengadakan pertemuan dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk MAS tetapi keputusan akhir terletak di tangan pemilik dan pewaris tanah.

"Kami tidak menjangkakan seratus peratus akan bersetuju, ia akan mengambil proses yang lama," jelas beliau.

Terdahulu, Khalid memberitahu beliau akan mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru bulan depan untuk menawarkan pelan alternatif kepada rancangan dibawa kerajaan pusat.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak memberitahu, beliau bercadang untuk meminta penduduk Kampung Baru agar menilai syor-syornya sebagai pilihan kepada pelan yang dikemukakan Putrajaya baru-baru ini.

Justeru kata beliau, biar penduduk Kampung Baru menilai syor yang pihaknya akan kemukakan.

Khalid memberitahu rancangan pembangunan semula disediakan kerajaan negeri Selangor adalah lebih baik berbanding cadangan kerajaan pusat.

Rabu lalu, MAS membantah penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) sekiranya ia tidak memasukkan ahli lembaga sebagai anggota perbadanan itu.

Pemangku Naib Yang Dipertua lembaga pentadbiran itu Mashuti Mat Soom berkata pihak lembaga berpendapat penubuhan PPKB tidak akan memberi kebaikan kepada pembangunan di situ dan sekali gus juga akan melupuskan lembaga pentabiran itu yang telah mentadbir kawasan tersebut selama 110 tahun.

Beliau berpendapat adalah tidak logik dengan sewenangnya hak mutlak yang diwarisi oleh orang yang terdahulu diserahkan kepada badan yang belum lagi terbukti kemampuannya.

Pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru pada Isnin lalu dilaporkan bersetuju dengan cadangan pembangunan semula kampung itu yang akan mengekalkan 100 peratus hak milik Bumiputera.

Persetujuan itu dilaporkan dicapai pada sesi perbincangan yang berlangsung antara Raja Nong Chik dengan 50 wakil persatuan mewakili pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru. -TMI


Kg Baru: MB Selangor tawar pelan alternatif bulan depan

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru bulan depan untuk menawarkan pelan alternatif kepada rancangan dibawa kerajaan pusat.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak memberitahu, beliau bercadang untuk meminta penduduk Kampung Baru agar menilai syor-syornya sebagai pilihan kepada pelan yang dikemukakan Putrajaya baru-baru ini.

"Saya akan menemui penduduk Kampung Baru pada Julai untuk memberi pandangan saya," kata Khalid hari ini.

Justeru kata beliau, biar penduduk Kampung Baru menilai syor yang pihaknya akan kemukakan.

Khalid memberitahu rancangan pembangunan semula disediakan kerajaan negeri Selangor adalah lebih baik berbanding cadangan kerajaan pusat.

"Saya mahu minta Kampung Baru agar menilai cadangan-cadangan (yang pernah dibuat) oleh saya 15 hingga 20 tahun lalu," kata Khalid yang menambah, kerajaan pusat pernah memintanya agar menyediakan rancangan pembangunan semula kawasan itu kira-kira 15 tahun lalu dengan mengekalkan hak pemilikan orang Melayu.

Ketika ditanya mengenai butiran rancangannya, Khalid berkata, ia masih "rahsia."

Kata Khalid, beliau hanya akan mendedahkannya selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru.

Meskipun Kampung Baru kini terletak di Kuala Lumpur, Khalid memberitahu Selangor mempunyai tanggungjawab pentadbiran untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Kampung Baru merupakan sebahagian daripada kawasan dalam Selangor sebelum Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibentuk.

Sebelum kelahiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, anak syarikat kerajaan negeri Selangor Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor merupakan entiti bertanggungjawab ke atas pembangunan Kampung Baru dan undang-undang menyebut bahawa hak pengurusan masih kekal di tangan Menteri Besar Selangor.

Rabu lalu, Lembaga Pentadbiran Penyelesai Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru membantah penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) sekiranya ia tidak memasukkan ahli lembaga sebagai anggota perbadanan itu.

Pemangku Naib Yang Dipertua lembaga pentadbiran itu Mashuti Mat Soom berkata pihak lembaga berpendapat penubuhan PPKB tidak akan memberi kebaikan kepada pembangunan di situ dan sekali gus juga akan melupuskan lembaga pentabiran itu yang telah mentadbir kawasan tersebut selama 110 tahun.

Beliau berpendapat adalah tidak logik dengan sewenangnya hak mutlak yang diwarisi oleh orang yang terdahulu diserahkan kepada badan yang belum lagi terbukti kemampuannya.

Pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru pada Isnin lalu dilaporkan bersetuju dengan cadangan pembangunan semula kampung itu yang akan mengekalkan 100 peratus hak milik Bumiputera.

Persetujuan itu dilaporkan dicapai pada sesi perbincangan yang berlangsung antara Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dengan 50 wakil persatuan mewakili pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

Pengumuman mengenai pembangunan Kampung Baru pada 29 Mei lalu juga bercanggah dengan apa yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa lawatan beliau ke Kampung Baru pada 6 Feb lalu.

Semasa lawatan Najib itu, beliau memberi lima syarat iaitu penduduk harus bersetuju, penduduk harus serah geran, dibangunkan oleh GLC, pembangunan bercirikan Melayu dan penduduk tidak perlu berpindah.

Namun pengumuman pada 29 Mei lalu menyatakan pembangunan yang akan diadakan adalah komprehensif di mana 75 peratus pembangunan komersial dan 25 peratus adalah residensi manakala penduduk pula perlu berpindah. -TMI


Ulasan GB

Satu saja soalan GB. Raja Nong Chik wakil rakyat mana? Dasar muka tak tahu malu. Tidak bertanding di dalam pilihanraya tetapi cuba untuk mengugut seorang MB yang dipilih oleh rakyat.

Tiada ulasan: