Khamis, 17 Jun 2010

kalam Perantau

kalam Perantau


PAS yakin PRU 13 selepas Mac 2011

Posted: 17 Jun 2010 05:07 PM PDT

Oleh Nazri Abdullah   

KUALA LUMPUR, 17 Jun: PAS percaya tarikh paling awal Datuk Seri Najib Razak akan mempertimbangkan bagi diadakan pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) adalah pada April tahun hadapan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata perdana menteri itu tidak mungkin mengadakan PRU lebih awal dari itu biarpun ada kajian mendakwa sokongan rakyat kepada pentadbiran Najib pada waktu ini sangat baik.

“Tidak mungkin dalam masa terdekat, paling awal pun April 2011 bersekali dengan pilihan raya Sarawak,” katanya ketika dihubungi petang ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semalam yang mendakwa tarikh PRU 13 yang bakal diumum akan mengejutkan semua pihak.

Mengulas lanjut Mustafa berkata, mengikut pengamalan para perdana menteri terdahulu, pilihan raya umum biasanya akan diadakan selepas tempoh tiga tahun dari pilihan raya umum sebelumnya.

Jika keadaan itu diambil kira, tempoh tiga tahun untuk penggal ini, katanya akan tamat Mac tahun depan.

Sementara itu, faktor lain yang akan dipertimbang Najib katanya adalah pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan sebelum Jun tahun hadapan.

Umno BN, katanya sangat takut jika Pakatan Rakyat dapat menguasai Sarawak yang kini menjadi negeri talian hayat mereka untuk terus kekal berkuasa.

Sehubungan itu katanya, Umno BN tidak akan membiarkan Sarawak jatuh begitu mudah kepada Pakatan Rakyat seperti angin perubahan yang melanda Sibu.

“Sarawak adalah faktor penting kepada Umno BN, mereka akan kurangkan tumpuan Pakatan Rakyat pada pilihan raya Sarawak dengan mengumumkan pilihan raya serentak,” katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, PAS bersedia bila-bila masa berdepan PRU 13 dengan segala persiapan sedang dan telahpun dibuat sejak selesai PRU 12 lagi.


Pelajar UKM dapat injuksi halang prosiding

Posted: 17 Jun 2010 05:50 AM PDT

Empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor April lepas berjaya mendapat perintah injunksi sementara bagi menghalang UKM daripada meneruskan prosiding tatatertib terhadap mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aziah Ali membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan perintah injuksi sebelah pihak yang diperoleh pelajar itu pada 1 Jun lepas, sehingga pelupusan saman pemula mereka.

Keempat-empat pelajar itu dari jurusan Sains Politik, pada 1 Jun lepas memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM, bagi mencabar tindakan tatatertib yang dibawa kepada mereka oleh universiti itu, atas kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU), adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

Pelajar itu tiga lelaki, Muhammad Hilman Idham, 21, Woon King Chai, 22, Muhammad Ismail Aminuddin, 22, dan seorang pelajar perempuan, Azlin Shafina Mohamad Adza, 22, pada ketika kejadian berada di tahun kedua pengajian dan akan memulakan pengajian tahun ketiga mereka pada Julai ini.

AUKU bertentangan Perlembagaan

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Seksyen 15(5)(a) AUKU, adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Seksyen itu menyebut bahawa tiada seorang pun pelajar universiti boleh menyatakan atau melakukan apa jua yang boleh ditafsirkan sebagai sokongan atau simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik sama ada di dalam atau di luar negara.

Mahkamah menetapkan 9 Julai ini bagi mendengar saman pemula itu.

Dalam saman itu, mereka mendakwa universiti itu melalui satu surat bertarikh 13 Mei, telah meminta mereka hadir ke bilik mesyuarat universiti itu pada 2 Jun bagi menjawab dakwaan terhadap mereka, dan jika mereka tidak hadir atau tidak mengemukakan apa-apa representasi bertulis dalam tempoh 14 hari, mereka dengan serta-merta akan digantung daripada menjadi pelajar universiti itu.

Salah seorang pelajar itu, Muhammad Hilman, dalam afidavitnya bagi menyokong saman pemula itu mendakwa pada April lepas, mereka berada di Hulu Selangor antara lain untuk membuat pemerhatian secara langsung bagi membantu pemahaman mereka mengenai situasi sebenar semasa kempen sesebuah pilihan raya kecil.

“Kami juga berhasrat untuk memerhatikan cara bagaimana pihak-pihak politik dari kedua-dua parti utama yang bertanding menarik undi rakyat dalam keadaan politik negara kita yang dikatakan menuju ke arah politik baru,” katanya.

Bagaimanapun, mereka telah ditahan oleh polis serta pasukan pemantauan pilihan raya kementerian pengajian tinggi dan pegawai pemantau UKM dan diarahkan keluar dari kawasan itu.

Keempat-empat pelajar itu diwakili peguam Haris Ibrahim dan Ashok Kandiah, manakala peguam kanan persekutuan Aida Adha Abu Bakar mewakili kerajaan Malaysia serta Menteri Pengajian Tinggi dan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili UKM.

- Bernama


Tiada ulasan: