Rabu, 23 Jun 2010

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Mengapa kerajaan BN bohong?

Posted: 22 Jun 2010 11:22 PM PDT

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan bekas mufti negeri itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini tampil menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mengaitkan mereka dengan Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).
Sehubungan itu, mereka berkata, dakwaan pelbagai pihak, terutama pembangkang, bahawa isu keselamatan negara yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan sebagai permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh.

Mereka menegaskan demikian dalam satu kenyataan bersama hari ini bagi mengulas laporan Malaysiakini mengenai taklimat keselamatan negara anjuran pihak polis yang mengaitkan mereka dengan Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Selain Dr Juanda dan Dr Asri, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim turut dikaitkan.

"Dakwaan ini sangat jahat. Jelas sengaja diada-adakan. Rakyat Malaysia mengenali pemikiran kami yang sentiasa menyeru kepada Islam yang progresif, keharmonian kaum dan agama, menentang sikap fanatik dan apa sahaja bentuk kekerasan pandangan.

"Isu-isu kami bawa selama ini sentiasa mendapat perhatian semua agama dan kaum kerana mempamirkan Islam yang tolerance dan berpaksikan kesesuaian hidup masyarakat yang serba rencam. Hal ini boleh dirujuk dalam berbagai tulisan dan kenyataan kami,
" kata mereka.

Menurut mereka, Abdul Hadi dan Shahidan yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno sama sekali tidak wajar dikaitkan dengan keganasan.

"Beliau (Abdul Hadi) ialah bekas MB Terengganu. Mengetuai sebuah parti politik tanahair sejak sekian lama. Ini melambangkan penghormatan beliau dan partinya terhadap amalan demokrasi dan hak kebebasan rakyat.

"Tuduhan terhadap beliau telah menghina sebuah parti politik yang selama ini melalui lunas-lunas sistem demokrasi negara ini. Demikian (juga) dengan Datuk Seri Shahidan, (yang juga) bekas MB Perlis dan kini ahli Majlis Tertinggi Umno, naib presiden PERKIM dan akvitis berbagai (pertubuhan) kebajikan rakyat
.

"Layakkah orang seperti ini dituduh mempunyai kaitan dengan pengganas. Nampaknya Umno dan BN sanggup membunuh rakan sendiri dalam memperjudikan kepentingan politik tertentu," tambahnya.

Walaupun tidak mempunyai banyak maklumat mengenai JIM, tegas mereka, "namun, kami percaya mereka bukan pengganas dan tidak layak dikaitkan dengan tuduhan jijik itu.

'Sebagai NGO, mereka mempunyai sumbangan kepada negara yang patut dihargai,
" tegas Dr Mohd Asri dan Dr Juanda.

Sehubungan itu, mereka menegaskan bahawa pihak polis perlu memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai satu fitnah rambang.

Mereka juga meminta pihak polis supaya menyiasat individu yang membuat tuduhan tersebut.

Jika pihak polis tidak menafikan dakwaan individu tersebut, tambah mereka, bererti pihak polis yang dikuasai oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri "seakan-akan sengaja menabur fitnah yang tidak berasas".

"Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar. Bahkan ia bermungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu.

"Dengan ini, kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pemerintahan atau parti politik yang sanggup memperjudikan isu keselamatan negara untuk kepentingan tertentu adalah sebuah pemerintahan yang tidak bertanggungjawa
b.

"Di samping itu, kami menyeru setiap lapisan rakyat agar menolak segala bentuk keganasan sama ada berupa tindakan ataupun pemikiran. Dan juga sekali lagi menyeru agar tidak mendokong pihak yang memperjudikan keselamatan negara demi kepentingan sempit," tambah mereka

PR Ke Arah Memerintah

Posted: 22 Jun 2010 10:30 PM PDT

Nafi 2/3 BN tu agenda lama" Zaid : PR ke arah memerintah

Meskipun Pakatan Rakyat kini diselubungi kekhuatiran bahawa sokongan Melayu semakin mengalih ke Barisan Nasional, namun tanggapan ini disangkal oleh Zaid Ibrahim, yang tetap optimis bahawa matlamat PR dalam pilihan raya umum ke-13 adalah untuk memerintah di negara ini.

Ketika ditanya apakah langkah seterusnya seandainya Barisan Nasional berjaya mengembalikan majoriti dua pertiganya dalam parlimen, Zaid Ibrahim terus menyifatkan matlamat "menafikan majoriti dua pertiga BN dalam parlimen" sebagai "agenda lama", malah yakin bahawa PR akan mara untuk menjadi kerajaan persekutuan di Malaysia.

"Saya tidak berfikir untuk menafikan dua pertiga BN, itu agenda lama. Kami akan memerintah di negara ini. Kamu orang (wartawan) tak percaya, itu masalahnya. Kamu ingat ini tidak boleh dilakukan," tegasnya.

"Jadi, Dato, anda yakin bahawa PR akan memerintah?" tanya wartawan lagi.

"Memang! (Of course)" jawabnya dengan tangkas. Zaid Ibrahim menambah, "Kerajaan ini sudah terdesak (desparate). Mengapa mereka membelanjakan RM150 juta (dalam PRK)? Kerana mereka takut!"

Beliau seterusnya melontarkan satu soalan kepada wartawan, "Apakah anda rasa kerajaan yang yakin dengan dirinya, akan membelanjakan wang sedemikian? Ini persoalan yang harus anda tanya."

Walaupun satu soal selidik Merdeka Center baru-baru ini memperlihatkan peningkatan tahap kepuasan terhadap Perdana Menteri Najib Razak kepada 72%, namun Zaid Ibrahim tetap mendakwa bahawa BN masih tidak yakin untuk berdepan dengan rakyat. Pembubaran DUN Perak, PRK di DUN Kota Siputeh, antara cabaran Zaid Ibrahim kepada BN, seandainya kerajaan BN mahu membuktikan keyakinan terhadap prestasi dirinya.

Soal selidik: Apa soalan yang ditanya?

Kongres tahunan PKR dan Muktamar tahunan PAS yang berlangsung di Kelantan beberapa minggu yang lalu membangkitkan kekhuatiran yang sama, iaitu hakisan sokongan Melayu/Islam. Bagaimanapun, Zaid Ibrahim tidak menyetujui pandangan sedemikian, sebagaimana yang dinyatakan dalam Kongres tahunan PKR.

"Kamu ada angka? Kamu tidak mempunyai angka…" katanya kepada wartawan. Apabila wartawan merujuk kepada keputusan PRK Hulu Selangor, calon PKR yang kecundang ini berkata, "Mestilah, apabila kamu merasuah orang dengan RM50 ribu, mestilah (orang undi kamu). Tapi ia tidak bermakna orang Melayu meninggalkan Pakatan Rakyat."

"Peneroka FELDA, apakah kamu menganggap mereka ada hak untuk memilih? Tak ada. Semua dikawal. Apabila kamu kata kami hilang sokongan Melayu, kami menang di kawasan lain, cuma kalah undi FELDA, tentera, polis. Melayu dalam pasukan polis, tentara tak ada pilihan," jelasnya.

Beliau menyambung, "Kamu perlu bezakan apa Melayu. Di semua kawasan lain, saya menang. Jadi, adalah tidak benar (untuk mendakwa PR hilang sokongan Melayu)."

PERKASA, atas nama Melayu

Ketika mengulas satu soal selidik Merdeka Center, yang mendapati hampir 60% responden Melayu bersetuju dengan sesetengah pandangan PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara), Zaid Ibrahim berkata, "Ia bergantung kepada apalah soalan yang ditanya. Saya tidak tahu apakah soalan yang mereka tanya. Apakah pendirian PERKASA yang disetujui mereka? Mengenai apa? Saya tidak tahu."

Beliau menambah, "Sekiranya kamu pergi dan beritahu Melayu, misalnya PERKASA kata, kamu sebagai Melayu seharusnya mendapat RM10 ribu sebulan, mestilah mereka suka PERKASA. Bergantung kepada apa kamu tanya."

Zaid Ibrahim enggan mengalah, "Isunya macam ini. Kamu harus lebih khusus dalam soalan kamu, apa yang dimahukan Melayu. Apa yang Melayu mahu? Kalau kamu mahukan sebuah negara yang mempunyai lebih sumber untuk rakyat, jadi kamu perlu hentikan segala pencurian ini. Itu yang Melayu tidak beritahu kamu!"

Beliau menyambung, "Jadi, kalau saya tanya Melayu apakah yang kamu mahukan ini? Semestinya mereka akan menyokong saya. Kalau saya tanya adakah Malayu mahu gaji naik, semestinya mereka kata ya. Itu bermakna Melayu sokong saya…Ia bergantung apa yang kamu tanya."

Kewujudan PERKASA

Apabila wawancara memasuki topik PERKASA, Zaid Ibrahim berkata, "Ia menunjukkan bahawa UMNO dan Najib tidak tahu apa yang hendak dilakukan."

Bekas ahli parlimen Kota Bahru-UMNO ini berkata, "UMNO ini (mempunyai) banyak kumpulan. Kamu tak boleh kata UMNO adalah satu parti yang bersatu padu, semuanya dengar, tidak. UMNO mempunyai banyak kumpulan, dan PERKASA hanyalah salah satu kumpulan dalam UMNO. Itu saja."

Zaid Ibrahim meletakkan kayu ukur apa yang dikatakan sebagai pemimpin, "Kalau Najib adalah pemimpin, kamu (Najib) mestilah menangani masalah inilah. Kalau kamu hanya menurut apa yang dikatakan (PERKASA), jadi kamu bukan pemimpin-lah. Beliau takut kepada kumpulan yang kecil ini."

"Kamu lihat, pemimpin mesti memberi panduan (guide), kamu mestilah tegas. Itulah apa yang dipanggil pemimpin. Kalau tidak, kamu hanyalah pengikut. Kamu lihat, kamu PM, dan kumpulan kecil ini memberi tekanan, mendakwa Melayu mahu ini dan itu. Kamu tanyalah dia, mana? Bagaimana? Kamu berbincang dengan mereka."

Secara terus Zaid Ibrahim menyatakan, "Banyak orang guna nama Melayu, untuk menuntut ini dan itu. Tapi bukan Melayu yang mahu ini dan itu, kamu sendiri yang mahu. Kamu mahu AP, kamu mahu lebih kontrak…" Bagaimanapun, Zaid Ibrahim kekal optimis, memandangkan semakin ramai orang Melayu yang menyedari hal ini.

Negara Islam atau sekular?

Antara label yang dilontarkan terhadap Zaid Ibrahim, salah satunya berbunyi "liberal", satu istilah yang kurang disenangi dalam dunia Islam di Malaysia. Zaid Ibrahim yang pernah menyaman kerajaan negeri PAS di Kelantan kerana undang-undang Hudud, kali ini bersikap cermat ketika menjawab soalan sama ada Malaysia negara Islam mahupun sekular mengikut undang-undang.

"Mahathir mengumumkan (negara kita adalah negara Islam) pada tahun 2001, tak ada orang ramai mengadu, mengapa? Kerana itu Barisan (Nasional). Kalaulah Pakatan (Rakyat) yang kata kita negara Islam, semua kata, 'oh… kami bimbang'," katanya yang kini berada dalam PR.

Pada hakikatnya, "tiada yang berubah", sebelum dan selepas pengumuman tersebut, katanya. Zaid Ibrahim yang enggan terjerat ke dalam perangkap istilah dan label berkata, "Jangan risau apa yang dilabelkan oleh orang. PAS memaklumkan kami idea mereka tentang Negara Islam, iaitu keadilan dan kesaksamaan. Ini berbeza dengan Negara Islam yang (disebut) Mahathir. Apa yang dirisaukan? PAS menentang penahanan tanpa perbicaraan. PAS kata anda tak boleh menahan (sewenang-wenangnya) tanpa perbicaraan. Itu juga (selari dengan idea) Negara Islam."

Tanpa mahu terperangkap ke dalam pertikaian label, Zaid Ibrahim sebaliknya menyarankan agar rakyat menilai sendiri apa yang berlaku dalam sistem, "Adakah sistem kehakiman kita adil? Adakah polis kita boleh menahan sesiapa pada bila-bila sesuka hati? Bolehkah media menjalankan tugas mereka? Adakah kamu mempunyai satu sistem yang terbuka…"

Beliau berkata, "Rakyat perlu menilai pada sistem, daripada apakah label yang dilekatkan oleh orang lain."




Zaid Ibrahim

Terus bongkar kelemahan Najib

Posted: 22 Jun 2010 10:28 PM PDT

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak terkejut dengan pendedahan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan bahawa Pakatan Rakyat menang di Sibu kerana bijak memainkan isu terutamanya isu kapal selam Scorpene dan kehilangan dua enjin jet TUDM.

Pendedahan yang dibuat ketika pertemuan dengan ahli-ahli Umno di Bagan Datoh, Ahad lepas sebenarnya membongkar kelemahan Najib sendiri kerana dua isu ini berlaku ketika zaman beliau menjadi Menteri Pertahanan.

Ahli Umno dan BN kena melihat fakta ini. Najib kini menjadi beban kepada mereka. Jika Pak Lah dulu dijatuhkan kerana dikatakan menjadi punca kekalahan BN akibat sikapnya yang tidak tegas dan mengutamakan keluarga, kini Najib juga bakal membawa petaka yang sama kepada BN menjelang PRU 13.

Umno BN tidak mampu menafikan dakwaan dan fakta yang dibentangkan oleh Pakatan. Malah kes rasuah kapal selam yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Perancis menghantui Najib. Kebocoran yang berlaku kepada kapal selam itu turut memalukan sistem pertahanan negara di kalangan negara Asean. Malah kematian Altantuya yang dikaitkan dengan urusniaga kapal selam ini juga masih menjadi misteri dan rakyat hingga kini tidak tahu siapakah sebenarnya Sirul Azhar dan Azilah Hadri. Bagaimana wajah mereka, kenapa hendak disembunyikan.

Dua enjin jet yang dicuri juga belum dipulangkan ke negara ini. Dan paling tidak boleh diterima rakyat, dua enjin ini hilang dari kawalan ketat pihak keselamatan negara. Dalam erti kata lain, keselamatan negara kini tidak lagi berada pada tahap yang sepatutnya.

Malah dakwaan terbaru bahawa wujudnya gerakan JI di IPT dalam negara jelas menunjukkan ketidakseriusan Najib menjaga rakyat. Bagaimana gerakan ini masih boleh wujud? Benarkah ada gerakan ini lagi? Kenapa polis belum mampu buat tangkapan tapi sibuk buat dakwaan dalam media?

Najib turut dilihat kehilangan punca dalam mengawal pemilikan aset negara kepada pelabur asing. Tekanan ekonomi dan pasaran antarabangsa membuatkan Najib mati akal dan terdesak mewujudkan dasar-dasar yang menjual negara seperti Dasar Liberalisasi Ekonomi dan Model Ekonomi Baru.

Rakyat tidak melihat perubahan besar kepada organisasi kerajaan dan cara kerja mereka. tetapi rakyat penat mendengar berita aset negara yang mahu digadai dengan pakej 60:40 seperti yang berlaku di Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR), tanah KTM di Singapura dan terbaru di Kampung Baru. Hingga kini Kerajaan BN tidak mempunyai dasar yang jelas terhadap projek pembangunan ini.

Rancangan membina reaktor nuklear juga kabur dan kerajaan dilihat mahu membuat keputusan sendiri. Begitu juga dengan cadangan memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR. Tindakan mahu diambil tanpa adanya pelan tindakan alternatif yang jelas. Kerajaan banyak berbincang tindakan alternatif sahaja.

Kerajaan Najib juga akhir-akhir ini dilihat tidak mesra rakyat dan menolak Parlimen sebagai wakil suara rakyat. Keputusan-keputusan besar dibuat hanya dengan merujuk kepada kabinet seperti keputusan pemberian lesen judi bola baru-baru ini.

PAS meminta agar semua jentera PAS, semua jentera Pakatan agar terus membongkar kelemahan pentadbiran Najib. Hanya Pakatan sahaja menjadi harapan rakyat untuk membongkar segala pembohongan dan kezaliman yang dilakukan oleh Najib dan kerajaannya.

Dalam masa yang sama, jentera PAS dan Pakatan juga tidak boleh leka dan menganggap kelemahan Najib ini sudah cukup untuk tumbangkan BN.

Semua ahli dan penyokong perlu bekerjasama dan menunjukan kekuatan dan kemampuan Pakatan kepada rakyat.

Tiada ulasan: