Jumaat, 18 Jun 2010

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Tegakkan Keadilan, Demokrasi Dahulu Bukannya Pindahkan Parlimen

Posted: 18 Jun 2010 06:22 AM PDT

Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menggunakan kuasa eksekutif berhubung cadangan menggantikan bangunan parlimen dengan mengambilalih Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bercanggah dengan peraturan Dewan Rakyat.

Perkara tersebut kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh telah membelakangkan Jawatankuasa Dewan yang dilantik oleh Parlimen.

"Tindakan itu bercanggah dengan peraturan Dewan yang mana kuasa eksekutif telah mengatasi legislatif.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku, Nazri sepatutnya tahu batas antara eksekutif dan legislatif.

"Jawatankuasa ini sudah lama tidak bermesyuarat sejak penggal sidang parlimen bermula awal tahun ini.

"Nazri sepatutnya memanggil kami untuk berbincang tetapi beliau menggunakan kuasa sebagai menteri memberikan pandangannya tanpa rundingan bersama ahli jawatan kuasa yang dilantik ini.

"Bangunan parlimen ini tidak sepatutnya ditinggalkan kerana ianya mempunyai nilai warisan yang sepatutnya dijaga kerana mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

"Kalau di negara-negara lain di dunia dengan bangga ingin mengekalkan parlimen yang mempunyai sejarah, kerajaan Umno-Barisan Nasional pula dengan senang hati ingin menjadikan bangunan parlimen sebagai muzium untuk dilawati oleh pelancong,
" ujar beliau.

Katanya lagi, memang diakui dengan keadaan sekarang di mana bilangan ahli parlimen bertambah menyebabkan keadaan menjadi tidak selesa tetapi terdapat banyak tanah kosong di sekeliling parlimen dan jika ada cadangan untuk membina infrastruktur baru seperti kemudahan untuk ahli parlimen dan pegawai-pegawai khas mereka ianya boleh dibina di situ.

Tambah Fuziah, kerajaan tidak perlu menggunakan RM800 juta wang rakyat sedangkan banyak lagi perkara yang boleh dilakukan untuk membantu rakyat dengan dana tersebut.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula berkata rancangan tersebut adalah usaha untuk menyelamatkan PICC daripada menjadi satu lagi projek gajah putih yang terbukti merugikan rakyat dan negara.

"Kerajaan Umno-BN ini memang terkenal dengan dasar 'flip-flop' dalam membuat keputusan.

"Sebelum ini, saya sendiri telah menghadiri satu pameran Jabatan Kerja Raya berhubung pembinaan blok bangunan baru yang akan didirikan di belakang Dewan ini.

"Saya juga telah dimaklumkan bahawa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah mempersetujui cadangan itu dengan kos anggaran yang akan menelan belanja RM200 juta.

"Secara tiba-tiba, sekarang ini apabila bangunan PICC tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak pengurusannya, menteri berkenaan mengumumkan cadangan untuk memindahkan parlimen ke situ
.

Apa yang penting kata Mahfuz bukannya bangunan baru tetapi hak dan kebebasan ahli dewan dan integriti Dewan itu sendiri.Menurutnya lagi, apa yang diperlukan adalah sistem demokrasi dan pilihan raya yang bersih.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him pula menyifatkan langkah tersebut merugikan negara kerana kerajaan telah banyak mengeluarkan kos untuk membaikpulih bangunan parlimen yang sedia ada.

Mahkamah Tolak Permohonan Anwar Dibekalkan Dokumen

Posted: 18 Jun 2010 06:17 AM PDT

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan pihak pembelaan untuk suatu perintah bagi mengarahkan pendakwa raya untuk membekalkan pemohon dengan dokumen dan material berkaitan kes Fitnah 2 terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamad Zabidin ketika membuat keputusan tersebut menjelaskan bahawa tidak wujud peruntukan atau undang-undang yang mengatakan dokumen itu perlu dibekalkan.

"Dengan ini permohonan ditolak dan perbicaraan ditangguhkan," kata Mohamad Zabidin ketika membacakan keputusannya.

Perbicaraan kes Fitnah 2 yang bersambung semula hari ini mendengar penghujahan bertulis yang dibuat oleh peguambela Karpal Singh berhubung permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen dan material berkaitan kes beliau.

Karpal memohon kepada mahkamah untuk membekalkannya dengan sejarah perubatan lengkap saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang telah dibuat di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau turut memohon kepada mahkamah untuk dibekalkan dengan dokumen berkaitan prosedur standard dan peralatan yang digunakan bagi menjalankan pemeriksaan berkaitan kes-kes seksual.

Karpal dalam penghujahan bertulisnya menjelaskan pihaknya juga memohon kepada mahkamah untuk membekalkan pihaknya dengan nota-nota, laporan, material, spesimen dan sebarang maklumat berkaitan termasuk nota tulisan tangan, maklum balas dan catitan ketiga-tiga orang doktor Dr Khairul Nizam, Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Siew Sheue Feng.

Beliau turut memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan salinan senarai sijil dan dokumen yang membuktikan kelayakan ketiga-tiga orang doktor tersebut.

Sebelum ini perbicaraan ditangguhkan kepada 4 Jun lalu selepas pihak pembelaan mengemukakan pakar forensik dan perubatan bagi meneliti pengakuan yang dibuat oleh tiga doktor tersebut.

Pakar forensik tersebut, Dr David Wells ialah seorang profesor madya di Jabatan Kriminologi di Universiti Melbourne dan juga ketua perubatan forensik dari Victoria Institute of Forensic Medicine, Australia.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, dalam penghujahan bertulisnya menjelaskan bahawa pihak pembelaan tidak layak untuk mendapatkan dokumen dan material bagi kes tersebut kerana tidak ada akta khusus yang diungkap bagi menyokong permohonan ini.

"Dokumen dan material yang dipohon oleh peguam bela tidak diperlukan bagi tujuan soalan balas kepada saksi kedua, iaitu Dr Mohd Razali Ibrahim dan dua orang doktor yang lain," kata Mohd Yusof.

Karpal ketika ditemui di luar mahkamah menjelaskan bahawa, beliau akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan pada hari Isnin depan.

"Kita akan hantar notis pernohonan rayuan pada hari Isnin minggu hadapan," kata beliau.

UKM Gantung Empat Pelajar

Posted: 18 Jun 2010 06:10 AM PDT

Pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membelakangkan prinsip demokrasi apabila bertindak menggantung keahlian keempat-empat mahasiswa di dalam Kelab Sains Politik universiti itu yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Presidennya Hilman Idham ketika ditemui Suara Keadilan di lobi parlimen berkata beliau telah menerima surat penggantungan yang dihantar oleh pihak UKM berhubung isu tersebut.

Selain beliau, Ismail Aminuddin (Naib Presiden), Azlin Shafina (Setiausaha) dan Woon King Chai selaku exco kelab berkenaan turut digantung.

Menurut timbalan presiden kelab itu pula, Mohd Rahimi Hassan, keempat-empat mereka menerima surat penggantungan pada surat yang bertarikh 14 Jun lalu dan ditandatangani oleh ketua Jabatan Perkhidmatan Pelajar UKM, Musa Zainal Abidin Othman

"Kandungan surat yang diterima menyatakan bahawa penggantungan tugas dan jawatan mereka adalah bermula daripada tarikh 2 Jun atas alasan bahawa prosiding ke atas keempat-empat mereka masih lagi belum selesai," kata Mohd Rahimi dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, keempat-empat mahasiswa itu berjaya mendapat perintah injunksi sementara bagi menghalang UKM daripada meneruskan prosiding tatatertib terhadap mereka.

Pada 1 Jun lalu, mereka memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM, bagi mencabar tindakan tatatertib yang dibawa kepada mereka oleh universiti itu, atas kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU), adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

Menurut Mohd Rahimi, sehubungan dengan penggantungan itu, kelab berkenaan mengambil keputusan mengadakan mesyuarat tergemparnya pada Selasa depan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor bagi membincangkan tindakan susulan.

"Agenda mesyuarat antaranya ialah membincangkan pendirian persatuan berkenaan keputusan UKM untuk menggantung kedudukan keempat-empat ahli berkenaan," katanya.

Tiada ulasan: