Selasa, 8 Jun 2010

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Deklarasi Belia dan Mahasiswa

Posted: 08 Jun 2010 07:40 AM PDT

Pengenalan
Pada 8 Jun 2001, tujuh mahasiswa yang menyertai perhimpunan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri telah dibuang universiti oleh Akta Universiti dan Kolej 1971. Mereka tidak dibenarkan belajar semula di universiti sehingga hari ini. Sebagai penghormatan yang tertinggi pengorbanan mereka, belia dan mahasiswa telah menetapkan hari ini sebagai Hari Hak Asasi Mahasiswa.

Oleh itu, sebagai belia, mahasiswa serta warganegara Malaysia, kami telah bersedia untuk bertanggungjawab serta menyeru pemyertaan pemimpin negara supaya memandang serius tentang halangan yang dihadapi dalam kesedaran sosial pemuda dan mahasiswa. Oleh itu, kerjasama harus dilakukan untuk meningkatkan kesedaran sosial dan politik pemuda dan mahasiswa negara kita.

SISTEM PENDIDIKAN

SISTEM PENDIDIKAN YANG MEMENTINGKAN PELAJAR


Kami membantah pendidikan yang berasaskan peperiksaan. Ini adalah kerana pendidikan yang berlandaskan peperiksaan akan menyebabkan persaingan yang negatif. Situasi ini akan menyebabkan, pelajar hanya fokus kepada pelajaran dan mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat. Keputusan peperiksaan hanya suatu cara yang menilaikan diri sendiri tetapi bukan untuk tujuan pendidikan. Oleh itu, kami menuntut untuk sistem pendidikan yang berlandaskan keutamaan pelajar.

PELUANG PENDIDIKAN YANG SERATA

Pendidikan merupakan hak asasi manusia. Justeru itu, kami menuntut untuk peluang mendapat pendidikan yang sama rata dan membantah penswastaan pendidikan. Pendidikan tidak seharusnya dijadikan sebagai alat mengaut untung untuk kapitalis. Kerajaan harus memikul tanggungjawabnya untuk memastikan setiap rakyat mempunyai peluang untuk mendapat peluang pendidikan yang percuma dengan tidak kira bangsa, agama, jantina dan kekayaan. Tiada sesiapapun boleh meragut hak asasi ini. Situasi ini dapat mengelakkan pelajar hanya fokus kepada persaingan dalam pendidikan kerana takut disingkirkan.

PENDIDIKAN SIVIL

Kerajaan harus menambahkan bujet pendidikan negara supaya dapat memuatkan pendidikan sivil dan pengetahuan hak asasi manusia dalam pendidikan formal negara kita. Pada masa yang sama, kerajaan juga harus membekalkan lebih banyak peluang kerjasama antara badan bukan kerajaan yang berasaskan hak asasi manusia dengan pendidikan. Ini dapat memastikan kesedaran sivil masyarakat dapat ditingkatkan.

KEBEBASAN AKADEMIK

Kami membantah segala sIstem pendidikan yang memenuhi permintaan sama ada pemasaran atau agenda parti politik terutamanya Barisan Nasional yang berasaskan agenda perkauman. Ini akan menyebabkan institusi pendidikan memproseskan pelajar yang berjenis "makanan tin". Oleh itu, kami memegang bahawa setiap institusi pendidikan terutamanya universiti harus mempunyai kuasa autonomi dan kebebasan akademik. Pada masa yang sama, kami juga menyeru pihak berkuasa untuk memberhentikan segala penindasan terhadap staf akedemik.

KEPELBAGAIAN DAN PENDIDIKAN BAHASA IBUNDA

Kami juga menuntut untuk pendidikan yang terdiri daripada pelbagai aliran dan bahasa. Ini adalah kerana situasi begini akan mewujudkan toleransi pendidikan dan mengelakkan daripada kehilangan peluang pendidikan untuk segelintir masyarakat. Kami juga menekankan bahawa pendidikan ibunda merupakan hak asasi manusia dan tambahan pula pendidikan ibunda dapat memastikan penguasaan pengetahuan yang telah diajar dalam sekolah.

Kami membantah Barisan Nasional yang cuba mempolitikkan pendidikan bahasa ibunda. Di sini kami ingin menegaskan bahawa pendidikan ibunda tidak berlandaskan isu perkauman dan tidak dimiliki oleh sesiapa kaum, sesiapa sahaja juga boleh mempelajarinya. Justeru itu kami membantah pendidikan yang hanya fokus kepada satu aliran. Pendidikan seharusnya mempunyai pelbagai aliran dan hanya dengan ini, semua pihak dapat saling belajar.

AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI

MANSUHKAN AUKU

Tuntutan utama kami ialah mansuhkan AUKU yang bermotifkan politik. Akta zalim yang diwujudkan semata-mata untuk mengukuhkan kedudukan politik sesetengah pihak, tanpa mempertimbangkan perkembangan akademik, adalah sesuatu yang akan menjejaskan kualiti mahasiswa. Justeru, akta zalim ini harus dimansuhkan. Akta Universiti yang melindungi demokrasi kampus, autonomi pelajar, dan kebebasan akademik harus diwujudkan untuk menggantikan akta yang zalim ini, AUKU. Dengan ini, barulah hak mahasiswa dapat dijamin, dan seterusnya turut menjamin kualiti mahasiswa dan memastikan kesedaran politik mahasiswa.

DEMOKRASI KAMPUS

Kami menyeru agar demokrasi kampus dikembalikan kepada universit dan kolej universiti. Pusat pengajian tinggi harus mempunyai hak bertadbir yang bermotifkan akademik, dan bukannya seperti AUKU yang memberikan kuasa yang sepenuhnya kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Sekiranya pusat pengajian tinggi dapat ditakbir secara bersama-sama oleh pelajar dan pengajar yang benar-benar memahami keperluan warga pusat pengajian tinggi, maka mahasiswa dapat belajar dalam persekitaran yang lebih baik, dan seterusnya meningkatkan kesedaran politik mereka melalui proses yang demokrasi dalam kampus.

MASYARAKAT DAN PERSEKITARAN

PENGLIBATAN POLITK DARI BAWAH KE ATAS

Kami membantah polisi kerajaan yang kurang mendengar pendapat rakyat. Sistem politik dari atas ke bawah telah mengabaikan kepentingan penglibatan demokrasi. Kerajaan berslogan "rakyat didahulukan" dengan mengabaikan pendapat rakyat adalah tidak berkesan tentang polisi yang dikatakan memihak rakyat. Oleh itu, kami meminta kerajaan mengadakan dialog atau forum secara terbuka supaya rakyat yang berlainan bidang dan lapisan dapat menglibatkan diri dalam membuat keputusan bagi membina sistem politk dari bawah ke atas.

KEBEBASAN MAKLUMAT

Rakyat menglibatkan diri dalam membuat keputusan dengan lebih efisien bersama kerajaan jika menerima maklumat yang mencukupi. Hal ini juga akan meningkatkan permikiran berdikari dan kritik. Oleh itu, kami meminta kerajaan mengumumkan segala informasi yang berkaitan dengan rakyat iaitu memansuhkan Akta Rasmi Rahsia dan menggubal Akta Kebebasan Informasi. Perbelanjaan agensi kerajaan ditanggung oleh rakyat, oleh itu informasi kerajaan adalah dimiliki oleh rakyat, kerajaan hanya mengurus dan menyimpan informasi. Rakyat mendapatkan informasi daripada kerajaan merupakan hal yang berpatutan.

PENOLAKAN POLITIK PERKAUMAN

Politik perkauman merupakan musuh utama rakyat yang bersatu padu dan menghalang kemajuan negara. Ia juga mengakibatkan rakyat menjadi irrational. Justeru itu, kami membantah politk perkauman menjadi taktik parti politik.

PENGLIBATAN DIRI DALAM POLITIK

KEMBALIKAN AUTONOMI PELAJAR

Justeru, dengan tegasnya kami menyeru agar AUKU dimansuhkan untuk mengembalikan autonomi pelajar. Pendidikan kini bukan sahaja harus menekankan teori tetapi harus juga menitikberatkan praktikal. Kewujudan autonomi pelajar memberikan peluang kepada mahasiswa untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari. Mereka akan lebih prihatin, mengambil inisiatif dan bertanggungjawab dalam hak bersama.

KEMBALIKAN HAK PENGLIBATAN POLITIK MAHASISWA

Kami juga menyeru agar hak penglibatan dalam politik mahasiswa dikembalikan. Mengikut Perlembagaan, semua warganegara yang berusia 21 tahun ke atas mempunyai hak penglibatan dalam politik. Namun, AUKU telah meyekat kebebasan berpolitik mahasiswa yang dinyatakan dalam Perlembagaan. Kementerian Pengajian Tinggi harus memandang politik sebagai sesuatu yang positif kerana penglibatan politik dapat melahirkan mahasiswa yang berfikiran matang, dan bertanggungjawab atas segala kelakuannya.

*Deklarasi Belia dan Mahasiswa sempena Hari Hak Asasi Mahasiswa pada 8 Jun.

Sokongan daripada:
1.Malaysia Youth and Students Democratic Movement
2.UPM Student Progressive Front (UPMSPF)
3.USM Student Progressive Front (USMSPF)
4.UUM Student Progressive Front (UUMSPF)
5.NEC Student Progressive Front (NECSPF)
6.NEC Student Union
7.Persatuan Bahasa Tionghua UPM (PBTUPM)
8.Persatuan Bahasa Cina UM (PBCUM)
9.KLSCAH Youth Section
10.NEC Debate Society
11.Universiti Malaya Association of New Youth (UMANY)
12.UTM Chinese Students Council (CSCUTM)
13.NEC Media Studies Society
14.Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
15.Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
16.Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
17.Centre for Independent Journalism (CIJ)
18.Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
19.Civil Rights Committee of the Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (CRC)
20.Gabungan Anak Muda & Pelajar (GAMP)
21.Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)

Benarkah Kerajaan UMNO BN Belum Keluarkan Lesen Judi Bola Kepada Si Vincent Tan

Posted: 08 Jun 2010 07:26 AM PDT

Gara-gara dek kerana "suara rakyat" dan takut dengan Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) yang bakal diadakan pada 3 Julai ini, maka akhirnya kerajaan UMNO BN dan Si Vincent Tan terpaksa mengatur strategi lain untuk mengelirukan rakyat. Malah, kerajaan juga cuba mengaburi mara rakyat seolah-olah pemilik syarikat Ascot Sport Sdn Bhd itu belum pun memperolehi lesen judi bola sepak piala dunia berkenaan seperti yang diwar-warkan oleh media.

Semalam, Kementerian Kewangan menegaskan bahawa kerajaan belum mengeluarkan lesen pertaruhan sukan tersebut kononnya ingin mendapatkan maklum balas daripada orang ramai berhubung perkara itu. Masalahnya sekarang kenapa tiba-tiba alasan ini diberikan?. Apakah kerana melihat rakyat dan umat Islam di seluruh negara memprotes isu itu. Soalnya sekarang, kenapa sebelum ini si Timbalan Menteri Kewangan yang paling "bangang dan kurang ajar" iaitu Awang Adek Hussin boleh mengeluarkan kenyataan kononnya kerajaan bersedia meluluskan lesen tersebut dengan kawalan. Kononnya dengan adanya kawalan itu maka aktiviti perjudian haram bola sepak piala dunia akan dapat dilakukan dengan lebih teratur dan pada masa yang sama kerajaan akan mendapat hasil yang boleh digunakan termasuk untuk pembangunan pelbagai jenis sukan di negara ini.

Bukankah kenyataan ini membuktikan bahawa kerajaan UMNO BN memang sudah bersetuju dan bersedia untuk menganugerahkan lesen itu kepada Vincent Tan. Namun, kini mereka menjadi serba salah dan berada dalam dilema. Mahu diberi takut imej UMNO BN tercalar di mata rakyat. Jika tidak diberi juga mereka takut Vincent Tan akan menarik balik banyak "subsidi" yang diberikan kepada kerajaan terutamanya setiap kali pilihanraya berlaku di negara ini. Maka, jalan terbaik ialah mengatakan bahawa lesen tersebut belum diluluskan lagi.

Itu pun hanya melalui jawapan bertulis di parlimen. Apakah kita boleh percaya dengan kenyataan "yang dibuat-buat" ini agaknya. Atau apakah kita akan terus tertipu lagi dengan isu sensitif ini agaknya?. Puak-puak ini kadang-kadang kita bukan boleh percaya lagi, "cakap tak serupa bikin" dan sengaja untuk mengelirukan rakyat. Inilah mentaliti menteri ciptaaan UMNO BN. Itu pun masih ada puak-puak mereka yang percaya !

p/s: Sesuatu yang amat memusykilkan kita pula ialah perjudian Piala Dunia Fifa 2010 di negara Malaysia secara sah diumumkan oleh si Awang Adek Hussin pada 6 Mei 2010 yang lalu. Manakala selepas itu seorang lagi Timbalan Menteri Kewangan iaitu Chor Chee Heung (foto) mengesahkan yang lesen judi bola telah diluluskan dan dikeluarkan kepada Berjaya Group, syarikat kepunyaan Vincent Tan. Malah kerajaan juga menetapkan syarat pekerja beragama Islam tidak terlibat dan dilarang menjual tiket pertaruhan kepada pelanggan Islam. Lesen tersebut bukan lesen baru tetapi pembaharuan lesen lama yang diberikan semula kepada Berjaya.

Tujuan utama kelulusan lesen judi kepada syarikat Berjaya Group / Sport Toto itu ialah bagi mengekang perjudian dan pertaruhan haram yang tetap akan berlaku dan tanpa kawalan. Hasil judi itu dapat digunakan untuk pembangunan sukan. Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram
.

Apco, Nazri diarah beri keterangan

Posted: 08 Jun 2010 07:20 AM PDT

Jawatankuasa hak dan kebebasan, Parlimen yang sepatutnya mendengar Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri kerana kenyataannya yang mengaitkan 1Malaysia dengan konsep One Israel terpaksa ditangguhkan.

Penangguhan itu kerana jawatankuasa berkenaan menolak permintaan Anwar supaya ahli parlimen dibenarkan hadir sebagai pemerhati, manakala peguamnya walaupun dibenarkan mengikuti prosiding itu tetapi kuasanya tidak jelas.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata Anwar akan dipanggil semula pada tarikh yang ditentukan kemudian.

Mesyuarat jawatankuasa itu hari ini juga mengambil keputusan untuk mengarahkan wakil firma perhubungan awam, Apco Worldwide untuk tampil memberi keterangan esok.

Selain itu, Pandikar Amin yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata mesyuarat jawatankuasa yang bersambung esok akan juga memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai saksi.

Ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menganggotai jawatankuasa itu, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) dan R Sivarasa (PRK-Subang) memaklumkan wartawan berhubung keputusan penolakan itu.

"Anwar dinafikan haknya untuk hadir bersama seorang peguam, keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa berkenaan. Saya dan Sivarasa menentangnya tetapi empat yang lain tidak mahu berganjak," katanya.

Menurut Karpal, di bawah Peraturan Dewan 83 (7)(a) jawatankuasa hak dan kebebasan mempunyai hak membenarkan peguam kepada sesiapa yang dihadapkan kepadanya.

Anwar hari ini tiba pada jam 12.35 tengah hari, sejam selepas jawatankuasa itu bermesyuarat tetapi diarahkan meninggalkan bilik itu.

Ini kerana jawatankuasa yang bersidang belum membuat keputusan berhubung permintaannya supaya perbicaraan diadakan secara terbuka dan dia dibenarkan diwakili oleh peguam.

Beberapa ahli parlimen - Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), Azmin Ali (PKR-Gombak) dan Loh Gwo-Burne (PKR-Kelana Jaya) cuba memasuki bilik mesyaurat sebagai pemerhati tetapi juga diarahkan keluar.

"Ia adalah jelas. Menurut peraturan, hanya ahli parlimen dibenarkan masuk, tetapi apabila kita membuat bantahan, mereka sedang mempertimbangkannya," kata Gobind.

Jawatankuasa berkenaan kemudiannya memutuskan bahawa peguam Anwar yang juga bekas ketua Majlis Peguam - Datuk S Ambiga dibenarkan hadir sebagai pemerhati tetapi beliau tidak benarkan mengambil bahagian.

Pada perbicaraan ini, Anwar akan diminta mengemukakan bukti-buktinya yang mengaitkan 1Malaysia dengan konsep One Israel.

Beliau yang juga ketua umum PKR sebelum ini berkata Apco Worldwide adalah firma yang bertanggungjawab mencetuskan kedua-dua idea 1Malaysia dan One Israel.

Berikutan itu, pada 22 April lalu, Dewan Rakyat memutuskan melalui undian suara untuk merujuk Anwar kepada jawatankuasa tersebut.

Selain Karpal dan Sivarasa anggota parlimen lain yang menganggotai jawatankuasa itu ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee, Datuk Seri Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar) dan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong).

Akar umbi Umno mulai gelisah

Posted: 08 Jun 2010 07:13 AM PDT

Bibit-bibit protes mula kedengaran hari ini daripada kem penyokong kerajaan berhubung isu pemberian lesen judi sukan.

Tentangan tersebut mula dikesan pada satu sidang mesyuarat cawangan Umno di Teluk Intan yang mengusulkan supaya kerajaan menarik balik pemberian lesen tersebut.

Usul tersebut dikemukakan oleh seorang pemimpin akar umbi, Yuzaile Yusof ketika mesyuarat Umno Cawangan Lorong Masjid, Teluk Intan pada 22 Mei lalu.

Yuzaile berkata, pergerakan pemuda Umno sebelum ini tidak mampu untuk menepis isu judi kerana ia sememangnya memberi kelebihan kepada golongan yang bukan penyokong BN.

"Keadaan begini memberi ruang kepada (pro-Pakatan Rakyat) untuk bersuara.Jadi pemuda Umno tidak boleh menepis isu ini, sebab judi sememangnya haram walaupun lesen itu sah atau tidak," katanya.

"(Jadi) kami menggesa agar kerajaan menarik balik lesen judi bola sepak," kata Yuzaile yang juga ketua pemuda bahagian Teluk Intan.

Katanya lagi, selain isu judi, mesyuarat cawangan kali ini dilihat tidak mengandungi banyak perkara berbangkit untuk diutarakan.

Ini disebabkan, cawangan-cawangan lain masih tidak menyerahkan usulnya ke mesyuarat negeri, katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mesyuarat tahunan peringkat cawangan itu bermula Sabtu lalu di seluruh negara hingga 15 Jun depan.

Ini akan diikuti dengan persidangan perwakilan bahagian serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dalam tempoh bermula 16 Jun dan berakhir 16 Julai sebelum perhimpunan agung dari 28 hingga 30 Oktober depan.

Siapa berbohong - Najib atau BERJAYA?

Posted: 08 Jun 2010 07:07 AM PDT

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika beliau tidak memberi gambaran yang sebenar berhubung pemberian lesen judi sukan.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata kenyataan bercanggah antara Kementerian Kewangan dan BERJAYA Corporation Bhd menimbulkan kontroversi mengenai siapa yang sebenarnya berbohong.

Pada notis kepada Bursa Malaysia 12 Mei lalu, BERJAYA berkata: 'Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan berhubung pemberian semula lesen kepada Ascot untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.'

Sesalinan notis itu kemudiannya diedarkan oleh Pua kepada wartawan pada sidang medianya di lobi parlimen, pagi ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan bertulisnya di parlimen semalam berkata lesen berkenaan belum dikeluarkan kerana masih menunggu maklum balas orang ramai dan beberapa syarat masih dirangka.

Rakyat perlu tolak proksi zionis Israel di Malaysia

Posted: 08 Jun 2010 07:02 AM PDT

Pengerusi Lajnah Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat, Mohamad Sabu (gambar) mengajak rakyat supaya menolak proksi zionis Israel di Malaysia sebagaimana dunia menolak kuasa haram itu di peringkat antarabangsa.

"Kalau zionis Israel yang jauh pun kita sebagai rakyat menyertai dunia mengecam kuasa haram itu di Dewan Rakyat dan di jalan raya, sepatutnya kita perlu menolak proksi-proksi mereka ini yang ada dekat di dalam negara," jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut beliau, proksi zionis Israel yang dimaksudkan adalah mereka yang terbabit melantik firma perunding antarabangsa APCO Worldwide (IAC) sebagai syarikat perunding komunikasi penuh dalam membantu kerajaan menjayakan wawasan Satu Malaysia walaupun firma tersebut dibuktikan umum mempunyai hubungan langsung dengan kuasa zionis Israel.

Tambahnya lagi, proksi yang dimaksudkan termasuk juga mereka yang terbabit membawa masuk dua agen perisikan ketenteraan Israel ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman melalui firma Asiasoft (M) Sdn. Bhd seperti yang dilaporkan oleh beberapa media sebelum ini.

Bagi beliau, selagi rakyat tidak menggunakan ruang demokrasi dengan menolak para pemimpin Umno BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak, selagi itu negara akan terus dipimpin oleh mereka yang nyata mengikut telunjuk Amerika Syarikat serta seakan memelihara kepentingan negara haram Israel.

Beliau seakan turut menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana dilihat tidak berani mengkritik Amerika Syarikat yang nyata bersikap bias pada zionis Israel.

"Malaysia baru sehari dua ini bercinta dengan Barrack Obama, sebab itu Perdana Menteri kita kurang menyerlah berbanding Amerika Syarikat yang nyata melindungi kepentingan negara Israel sekian lama," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan para pemimpin negara-negara umat Islam supaya tidak sekadar mencari populariti dengan bersandiwara menentang zionis Israel ekoran bantuan kemanusiaan sedunia dihalang masuk ke Gaza baru-baru ini.

"Tiba-tiba saja kita mendengar pemimpin itu dan ini menjadi juara menentang zionis hingga tenggelam kuasa-kuasa yang lantang seperti Iran dan Venezuela kerana populariti, sedangkan mereka ini ada yang diam-diam menyokong dasar-dasar Amerika dan Israel," jelasnya lagi.

Tuntas dari itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa segelintir pemimpin Umno BN terbabit sanggup menggadai kepentingan negara demi memelihara kepentingan bersama Amerika Syarikat serta negara haram Israel sekiranya mereka terus menjadi kerajaan di Malaysia.

Tiada ulasan: