Ahad, 1 Januari 2017

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Felda rugi: Najib, Umno kena tarik balik ucapan dasar PAU

Posted: 31 Dec 2016 10:37 PM PST


Mahfuz OmarMahfuz Omar
Krisis yang melanda Felda hari ini sangat bertentangan dengan ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016, kata ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.
"Najib cuba menimbulkan ketakutan bangsa Melayu kononnya jika Umno BN kalah PRU14 ini maka DAP yang akan menerajui kerajaan Malaysia dan Cina DAP yang akan jadi Perdana Menteri.
"Bila Cina DAP jadi PM dan terajui kerajaan Malaysia maka habis semua institusi Melayu dan Islam akan ditutup termasuk agensi-agensi seperti Felda akan ditutup.
"Ternyata ucapan tersebut adalah satu 'kurafat' yang ditanam untuk memperbodohkan bangsa Melayu khususnya ahli Umno sedangkan apa yang berlaku kini terhadap Felda adalah kerana ketidakcekapan mengurus," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Felda yang berada dalam keadaan tenat serta tidak setabil dan saham Felda Global Venture Holdings Bhd (FGVH) yang jatuh ke paras rendah menimbulkan kerisauan peneroka dan rakyat tentang krisis pengurusan kewangan Felda.
Ini katanya, ditambah lagi dengan pembelian 37 peratus saham Syarikat Eagle High Plantations (EHP) yang dimiliki PT Rajawali Capita dengan kadar harga dua hingga tiga kali ganda melebihi harga pasaran.
Pembelian Felda ini menggunakan syarikat khas milik penuh Felda iaitu FIC Properties Sdn Bhd (FICP).
"Pembelian saham EHP dengan kadar harga yang tinggi tidak menjadikan FICP sebagai pemegang saham yang mempunyai kuasa pemutus atau kuasa pengawal dalam pengurusan EHP kerana majoriti saham EHP tetap dipegang PT Rajawali Capita walaupun FICP memiliki 37 peratus saham syarikat itu.
Mahfuz mempersoal jenis plan perniagaan yang dilakukan oleh Felda apabila pembayaran RM2.26 bilion hanya sekadar menjadikan FICP pemegang saham minoriti (minoriti share holder) yang besar dalam kalangan pemegang saham minoriti dan tidak memiliki kuasa untuk pengawal pengurusan.
"Sepatutnya FICP hanya perlu membayar pada harga RM826 juta sahaja. Apa yang berlaku FICP membayar 173% atau RM1.43 bilion, lebih dari harga sebenar.
"Adakah titik akhir RM1.43 bilion berakhir dalam akaun peribadi Malaysian Official One (MO1) sebagai 'derma' dari Felda?
"Kebimbangan dan kerisauan warga Felda dan rakyat Malaysia sekarang ialah apakah ini skandal 1MDB part 2 yang akan meranap ekonomi Malaysia".
"Di samping itu EHP juga terkenal sebagai sebuah syarikat perladangan yang gagal menjual stok sahamnya sejak Julai 2012," jelasnya.
Justeru kata Mahfuz, tindakan menyalahkan bangsa Cina dan DAP atas perbuatan jenayah yang dilakukan pimpinan Umno adalah satu perbuatan yang memalukan bangsa Melayu dan umat Islam.
"Adakah Najib sedar bahawa reputasi beliau sebagai perdana menteri akan rosak, selain menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada peneroka Felda yang dipujuk untuk melabur dalam saham FGVH?
"Tindakan perwakilan Umno bersama ahli Majlis Tertinggi meluluskan dan menerima ucapan dasar Najib dengan tepukan gemuruh suatu tindakan yang bodoh dan merelakan diri diperbodohkan oleh Najib.
"Ternyata sebelum Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan BN tumbang pada PRU14 nanti, Felda yang menjadi tulang belakang 'institusi kebanggaan bangsa Melayu' terlebih dahulu sedang dirobohkan oleh Umno bersama Najib," katanya.
Beliau mencadangkan Umno mengadakan sidang khas untuk membawa usul bagi menarik balik kelulusan dan penerimaan ucapan dasar dan membawa usul baharu menolak ucapan dasar tersebut.
"Apa yang sedang berlaku pada Felda pada hari ini mewajar dan mewajibkan untuk seluruh rakyat khususnya bangsa Melayu menolak Umno BN pada PRU14 demi menyelamatkan kelangsungan kuasa politik Melayu yang bermaruah, beretika dan beramanah bagi menegakkan kerajaan 'Malaysia Baru' tanpa Umno BN," katanya.

Tiada ulasan: