Jumaat, 6 Januari 2017

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Siasatan KSU: SPRM temui dokumen, akan panggil kontraktor terlibat

Posted: 06 Jan 2017 06:40 AM PST

 
SPRM akan memanggil kontraktor dan vendor dipercayai terlibat ketika suspek memegang jawatan KSU, sebaik sahaja semua dokumen selesai diteliti.


azam-baki2


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas dokumen disyaki mempunyai maklumat penglibatan ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian kerana penyelewengan dan rasuah, hari ini.

Menurut sumber, SPRM akan memanggil kontraktor dan vendor dipercayai terlibat ketika suspek memegang jawatan tersebut, sebaik sahaja semua dokumen selesai diteliti.

"Beberapa pegawai dan kakitangan kementerian dijangka dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

"SPRM juga menyiasat penglibatan suspek dalam beberapa projek ketika memegang jawatan sama di kementerian lain sebelum dilantik sebagai KSU kementerian terbabit," kata sumber itu.

Perkara ini disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi dan menjelaskan siasatan masih di peringkat awal.

Beliau turut memaklumkan lebih banyak dokumen berhubung siasatan itu akan dirampas.

"Setakat ini tidak ada tangkapan baru namun tidak menolak akan ada tangkapan pada masa akan datang."

Semalam, SPRM turut menemui 8kg emas dianggarkan bernilai RM1.6 juta dan menemui peti simpanan milik suspek di beberapa bank.

Turut dirampas daripada simpanan adalah wang tunai RM1 juta termasuk AU$80,000 (RM262,431) dan menyita sebuah kenderaan Toyoto Estima milik anak suspek.

KSU itu dikatakan mempunyai lebih 10 lot tanah atas nama ahli keluarga di sekitar Lembah Klang dan difahamkan SPRM sedang membuat pengesahan serta menilai tanah-tanah terbabit.

KSU dan 2 anak lelakinya direman selama seminggu bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram

PAS tawar diri beri penerangan RUU 355 kepada Sarawak

Posted: 06 Jan 2017 04:28 AM PST

 
Naib presiden PAS yakin Nancy Shukri dapat memahami isu RUU 355 dengan baik dan sedar ia tidak menjejaskan hak orang bukan Islam.


ibrahim-pas


PETALING JAYA: PAS bersedia memberikan penjelasan mengenai cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 kepada mana-mana pihak termasuk Sarawak.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata ia tidak pernah menolak pelawaan sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai RUU 355.

"Kalau mereka (pemimpin Sarawak) panggil PAS, kita sendiri bersedia untuk memberikan penjelasan. Setakat yang saya maklumkan, tiada permohonan daripada mereka," katanya kepada FMT, hari ini.

Idris berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Datuk Seri Nancy Shukri semalam yang pemimpin Sarawak masih tidak diberikan taklimat mengenai RUU 355 tersebut.

Justeru, kata Nancy kedudukan negeri itu tetap sama iaitu menolak cadangan pindaan yang dilihat sebagai satu cara untuk melaksanakan undang-undang hudud.

Idris turut memberikan contoh yang pemimpin parti itu pernah mengadakan pertemuan dan penerangan dengan Persekutuan Persatuan Hokkien pada September tahun lalu.

Kata ahli Parlimen Bukit Gantang itu, isu RUU 355 mudah difahami namun ia dipolitikkan sesetengah pihak.

"Beliau peguam (Nancy), tidak munasabah beliau tidak tahu mengenai RUU 355, benda 'simple' sangat. Benda mudah, tidak mengganggu langsung hak bukan Islam, lebih kepada politik," katanya.

Pindaan RUU 355 yang dicadangkan dibawa ke Parlimen oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui rang undang-undang persendirian tahun lepas.

Ia berhasrat memberi kuasa menghukum tidak terhad kepada mahkamah Syariah, yang menyebabkan orang ramai mempercayai ia hanya satu cara bagi PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Bagaimanapun, Hadi menangani kebimbangan ini dengan meminda cadangan beliau dan mengehadkan hukuman penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

Banyak parti komponen Barisan Nasional, masih percaya ia hanyalah pintu belakang untuk memperkenalkan undang-undang hudud.

Tikus dalam mesin pemanas makanan kes terpencil, kata 7-Eleven

Posted: 06 Jan 2017 04:21 AM PST

 
Langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan agar kualiti dan kebersihan produk dan kemudahan mereka terus diyakini pengguna.


7elevan_tikus


PETALING JAYA: Kejadian tikus yang ditemui dalam mesin pemanas makanan di cawangan rangkaian kedai serbaneka 24 jam, 7-Eleven, merupakan kes terpencil.

7-Eleven Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan agar kualiti dan kebersihan produk dan kemudahan mereka terus diyakini pengguna.

"Kami telah mengadakan siasatan dalaman dengan segera dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Daerah Petaling.

"Kami ingin memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kerana kesabaran dan pemahaman anda sementara kami mengambil tindakan pembetulan lagi untuk mengelakkan kejadian seperti itu daripada berlaku lagi," kata 7-Eleven menurut lapor Sinar Harian hari ini.

Penemuan tikus hidup dalam mesin pemanas di salah satu cawangan 7-Eleven di Petaling Jaya baru-baru ini hangat diperkatakan selepas gambar kejadian tersebar di media sosial.

Rangkaian kedai serbaneka popular itu menjual pelbagai jenis keperluan dan makanan, serta menyediakan mesin layan diri, yang popular dalam kalangan masyarakat bandar.

Dalam usaha meyakinkan pengguna, 7-Eleven berkata pihaknya mempunyai jaminan kualiti audit dan langkah kawalan serangga dan binatang perosak untuk mencegah kejadian itu.

"Keselamatan dan kesejahteraan pelanggan kami adalah amat penting kepada kami.

"Kami ingin menegaskan bahawa 7-Eleven Malaysia memastikan semua produk makanan kami adalah berkualiti tinggi dan dihasilkan secara bersih dalam kemudahan yang diluluskan dan yang telah diaudit," katanya.

Fitnah DAP beri ‘dedak’ RM50, portal berita pro-BN dituntut mohon maaf

Posted: 06 Jan 2017 04:14 AM PST


Roketkini.com


GEORGE TOWN: Serangan bertali arus yang dilakukan pihak tertentu terhadap DAP dalam bentuk sebaran mesej berunsur fitnah seolah-olah tidak ada penghujungnya.

Kali ini, laman portal berita atas talian pro-BN, KLXPRESS melalui satu artikelnya mendakwa DAP akan memberikan RM50 kepada mereka yang hadir menyatakan solidariti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu hadapan.

Menafikan sekeras-kerasnya laporan berkenaan, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang,
Syerleena Abdul Rashid berkata, ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab bagi menganggu-gugat keharmonian rakyat negara ini.

"Memandangkan pilihan raya umum yang ke-14 menjelang tiba, kita akan saksikan lebih banyak lagi fitnah yang akan dihamburkan.

"Sebagai peringatan, kita semua perlu berhati-hati dan menilai kesahihan sebarang maklumat yang kita tatapi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel bertajuk 'Hadir Himpunan Solidariti, DAP Beri dedak RM 50' yang disiarkan semalam itu turut disertakan dengan sebaran mesej melalui aplikasi Whatsapp seperti berikut:

"Selamat pagi. Datuk Seri Anwar akan berada di Mahkamah Tinggi George Town pada hari Isnin ini 9/1/17, jam pukul 8.30 am. anggota parti dan sukarelawan diminta tunjukkan sokongan dgn menyertai perhimpunan di situ. Adakah saudara boleh turut serta? Perkhidmatan bas dan makanan disediakan. Masa 8.30 am hingga 12 tengah Hari. Sila respon. Thanks"

Anwar dijangka hadir ke Pulau Pinang bagi menghadiri kes mahkamah bermula 9 hingga 11 Januari di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berhubung saman beliau terhadap akhbar The New Straits Times.

Mengulas lanjut, Syerleena yang juga Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang berkata, portal berita itu harus memohon maaf dan menarik semula artikel tersebut jika didapati ia tidak bersandarkan fakta yang benar.

"Pihak KLXPRESS perlu menunjuk mesej Whatsapp asal yang juga mengandungi nombor penghantar sebagai bukti sekiranya mereka benar-benar mendapat mesej tersebut.

"Mereka juga mesti menarik balik tuduhan yang tidak berasas itu dan segera meminta maaf kerana cuai dan gagal untuk menonjolkan etika kewartawanan yang profesional," katanya.

Tiga minggu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, difitnah kononnya menyokong keganasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar dan terbaru beliau yang juga Setiausaha Agung DAP turut dilemparkan tuduhan kononnya mahu menutup Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Beliau menafikan sekeras-kerasnya kedua-dua dakwaan itu, dan dua laporan polis telah dibuat bagi menggesa pihak berkuasa mencari dalang di sebalik penyebaran mesej-mesej palsu terbabit. – Roketkini.com


Panjat arca Ipoh tidak seburuk ‘rembat’ duit rakyat – Tengku Zul

Posted: 06 Jan 2017 04:12 AM PST


Roketkini.com

MENTAKAB: Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berpendapat kumpulan remaja yang memanjat arca Ipoh baru-baru ini tidak wajar dicemuh.

Sebaliknya apa yang perlu diberi adalah nasihat supaya dalam masa akan datang mereka lebih berhati-hati menjalankan aktiviti mereka.

"Tindakan mengecam, mengugut adalah tidak kena pada tempatnya.

"Kita sepatutnya bersyukur kerana remaja negara ini berani dan mempunyai hobi sukan lasak," katanya dalam status facebook beliau.

Menurut Adun Mentakab itu, golongan yang meminati sukan lasak perlu diberi lebih galakkan dan latihan.

"Tindakan mereka tidaklah seburuk seperti salah guna dadah, salah guna kuasa dan tidak 'merembat' duit rakyat," kata beliau.

Baru-baru ini media sosial gempar dengan rakaman video dan foto wefie sekumpulan remaja yang berada di puncak arca IPOH.

Aksi berani mereka mendapat perhatian masyarakat negara ini dengan pelbagai komen positif dan tidak kurang juga kritikan pedas.

Rentetan itu, mereka telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh 2 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan melibatkan perbuatan membahayakan diri sendiri atau orang lain.

Kelmarin, kumpulan lapan remaja terbabit  memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat umum dalam satu sidang media. -Roketkini.com


IPeguam selar matlamat kerjasama PH-PPBM

Posted: 06 Jan 2017 04:06 AM PST


ISMA WEB
 
 


IPEGUAM memandang serius dan menyelar kerjasama di antara Pakatan Harapan yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (PAN) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dimaktubkan dalam satu dokumen perjanjian yang ditandatangani pada 13 Disember 2016 yang lalu.

Kerjasama ini tidak lain dan tidak bukan merupakan satu bencana bagi masa depan dan kedudukan Islam di Malaysia bahkan ia tidak selari dengan peruntukan dan semangat Perlembagaan khususnya Perkara 3 seperti yang didakwa dalam dokumen perjanjian tersebut.

Kandungan berkontroversi

IPeguam mempersoalkan satu petikan daripada dokumen perjanjian yang didapati bertujuan secara jelas atau tersirat berniat jahat dan bertujuan untuk melemahkan kedudukan Islam yang terkandung dalam Perlembagaan. Berikut adalah petikan tersebut:

"i. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan DAN agama-agama lain boleh diamalkan dengan BEBAS, aman dan damai di di negara ini sejajar dengan Perkara 3; serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153;"

IPeguam mengajak rakyat Malaysia untuk meneliti peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:

"Islam ialah agama bagi Persekutuan ; TETAPI agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman DAN damai di mana-mana Bahagian Persekutuan."

Perbandingan petikan dan Perkara 3

Sekiranya dibandingkan dengan peruntukan Perkara 3 ini, ternyata terdapat dua perbezaan ketara yang sudah tentu membawa maksud yang berbeza dan perlu diberikan perhatian.

Pertama, petikan dokumen perjanjian tersebut telah menambah satu perkataan yang tidak terdapat dalam Perkara 3. Perkataan tersebut adalah 'bebas'.

Kedua, petikan dokumen perjanjian tersebut telah menggantikan perkataan 'tetapi' yang termaktub dalam Perlembagaan dengan perkataan 'dan'.

Perubahan-perubahan ini tidak boleh lari daripada kenyataan mahupun dakwaan bahawa kerjasama perjanjian PH dan PPBM ini bertujuan untuk membawa satu perjuangan dalam kerangka 'kebebasan beragama' yang berbeza daripada kerangka yang diamalkan sekarang.

Mengancam kedudukan Islam

Apakah kerangka tersebut? Kerangka tersebut adalah keutamaan dan keluasan pengaruh Islam di dalam Negara sepadan dengan peruntukan Perkara 3 yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan.

Kerangka ini turut diiktiraf dan disokong oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors yang memutuskan bahawa:

"Islam is not just a mere collection of dogmas and rituals but it is a complete way of life covering all fields of human activities, private or public, legal, political, economic, social, cultural, moral or judicial."

Hasil daripada pengiktirafan ini, kedudukan disisi Perlembagaan diangkat menjadi satu agama yang boleh mempunyai pengaruh dalam segenap aspek kemasyarakatan dan kenegaraan di Malaysia, dan bukan terhad kepada amalan 'ritual' mahupun 'ceremonial' dalam kalangan umat Islam sahaja.

Kerangka kebebasan beragama di Malaysia ini seiring dengan maksud menjaga serta memelihara kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan yang harus diberikan keutamaan dan keistimewaan.

Penafian kesamarataan agama

Benar, Islam adalah agama bagi Persekutuan dan kedudukan serta pengiktirafan ini tidak boleh dilihat sebagai mencanangkan keperluan atau kefahaman untuk mencapai kesamarataan antara semua agama di Malaysia. Perkataan 'tetapi' membawa konotasi bahawa agama Islam adalah diutamakan, dijaga dan diberi keistimewaan berbanding dengan agama-agama lain.

Dalam erti kata mudah, agama Islam adalah satu keutamaan dan bersifat tunjang, namun selagi ia tidak menggugat kedudukan dan keistimewaan (ajaran, peraturan dan undang-undang) Islam, dan selagi ia tidak memprejudis umat Islam atau memurtadkan mereka, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Maksud 'aman dan damai'

Apakah maksud 'aman dan damai' mengikut kerangka kebebasan beragama di sisi Perlembagaan? Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur v. Menteri Dalam Negeri and Kerajaan Malaysia (The Herald) memutuskan bahawa:

[33] In short, Article 3(1) was a by-product of the social contract entered into by our founding fathers who collectively produced the Federal Constitution, which is recognized as the Supreme Law of the country. It is my judgment that the purpose and intention of the insertion of the words: "in peace and harmony" in Article 3(1) is to protect the sanctity of Islam as the religion of the country and also to insulate against any threat faced or any possible and probable threat to the religion of Islam. It is also my judgment that the most possible and probable threat to Islam, in the context of this country, is the propagation of other religion to the followers of Islam. That is the very reason as to why Article 11(4) of the Federal Constitution came into place.

IPeguam suka untuk memetik Perkara 11(1) yang memperuntukkan bahawa:

"11. (1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya."
 
Berikut adalah Perkara 11(1) Fasal 4:

"(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam."

Berdasarkan kedua-dua Fasal ini, ternyata bahawa kebebasan beragama terutamanya apabila ia melibatkan atau menggugat kedudukan Islam dan umat Islam, Islam dan umat Islam perlu diberikan keutamaan, keistimewaan dan perlindungan selayaknya menurut Perlembagaan.

Ini bermakna, penganut agama lain boleh mengamalkan agamanya namun mereka tidak boleh mengembangkan agama mereka kepada umat Islam. Larangan ini juga terpakai ke atas ajaran-ajaran tertentu yang diwartakan sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan mahupun Negeri.

Kebebasan beragama mutlak

Walaubagaimanapun, matlamat kerjasama yang dinukilkan dalam dokumen perjanjian tersebut dengan perubahan-perubahan berkontroversi itu sama sekali tidak mencerminkan pembawaan peruntukan, maksud dan semangat Perlembagaan yang seharusnya dipertahankan dan dihormati oleh parti-parti politik ini.

Dengan perkataan 'bebas' itu, mereka berhasrat untuk menanam ideologi sekularisme bagi menafikan kedudukan dan pengaruh Islam dalam aspek kemasyarakatan dan kenegaraan, juga fahaman pluralisme dan kebebasan beragama mutlak acuan liberal bagi memberi laluan kepada agenda Kristianisasi dan Syiah yang semakin bertapak di negara ini.

Tidak hairanlah sekiranya keputusan kes penggunaan kalimah Allah oleh makalah Kristian yang memihak kepada Islam bahkan mendukung aspirasi Perlembagaan dan serbuan pihak jabatan agama Islam terhadap penganut-penganut Syiah dikritik hebat oleh media dan pembangkang pro-liberal.

Tidak dilupakan juga hak beragama mengikut akal dan nafsu sendiri seperti yang diperjuangkan oleh puak ultra-liberal Melayu. Sehinggakan pada mereka, pihak jabatan agama Islam tidak boleh mencegah zina atau melakukan serbuan dan tangkapan khalwat. Bagi mereka, perlakuan dosa menurut agama Islam adalah tertakluk kepada individu semata-mata dan tidak boleh dihalang atas nama hak peribadi dan kebebasan beragama (mutlak).
 
Namun, seperti kata-kata Hakim Mahkamah Persekutuan di dalam kes The Herald:

"[36] … any freedom is not absolute. Freedom cannot be unfettered, otherwise like absolute power, it can lead to chaos and anarchy."

Usaha mengubah Perlembagaan

Oleh yang demikian, IPeguam mengingatkan agar rakyat Malaysia peka dengan sebarang usaha dan fahaman untuk mengubah Perlembagaan, khususnya Perkara 3 yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Ancaman ini turut dapat disaksikan melalui cadangan beberapa pihak yang mahu menambah 'preamble' kepada Perlembagaan Malaysia dengan 'mission statement' yang menjurus kearah mendukung fahaman liberalisme dan kebebasan mutlak dengan tujuan yang sama, iaitu antara lain melemahkan kedudukan Islam, menghapuskan keistimewaan orang Melayu dan menghakis kuasa Raja-Raja.

IPeguam mengutuk kerjasama perjanjian PH-PPBM yang bertujuan memperkenal dan menanam kerangka kebebasan beragama yang baharu dan bercanggah dengan peruntukan, maksud dan semangat Perlembagaan yang sedia ada sehingga boleh membuka laluan kepada perjuangan liberalisme, pluralisme dan sekularisme.

IPeguam juga ingin mengingatkan semua pihak khususnya pihak kerajaan dan semua anggota Parlimen (lebih-lebih lagi yang berugama Islam) supaya tidak tunduk atau sengaja menjadi penyebab kepada penularan wabak anti-Islam ke dalam batang tubuh Perlembagaan Malaysia atau menjadi pemudahcara kepada bertapaknya agenda COMANGO dan tuntutan-tuntutan IFC, Liberal, Syi'ah dan Evangelisma, yang benar-benar merupakan ancaman terbesar kepada umat Islam, keharmonian kaum dan kedaulatan undang-undang.

Keserakahan parti-parti politik untuk mendapat sokongan rakyat atau memenangkan agenda atau perjuangan politik masing-masing tidak boleh menjadi alasan untuk bereksperimen dengan Perlembagaan Malaysia sesuka hati mereka.

Mereka harus ingat bahawa rakyat melantik dan memberi mandat kepada mereka untuk menjadi wakil yang akan menjaga dan memelihara tunjang Perlembagaan, bukannya mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat demi muslihat politik masing-masing.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia agar bekerjasama membanteras dan menangkis anasir-anasir yang cuba mengubah lanskap kemasyarakatan di negara kita yang kaya dengan kepelbagaian agama dan budaya.

Rakyat juga berhak memuhasabah dan menghukum mana-mana pihak (termasuk parti-parti politik) yang berniat jahat untuk merosakkan atau mencabar kedaulatan Perlembagaan Malaysia.

Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
(IPeguam)


Kerajaan lulus RM800 juta usaha selesai masalah banjir Kelantan

Posted: 06 Jan 2017 04:02 AM PST

ISMA WEB
 
 


KULAI – Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM800 juta dalam usaha menyelesaikan masalah banjir di Kelantan untuk tempoh masa panjang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga termasuk kerja mendalamkan dua sungai di negeri berkenaan.

Katanya, bagi penyelesaian jangka pendek, projek dan kajian di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu dijangka dilaksanakan pada Jun tahun ini bagi menyelesaikan masalah banjir di Kelantan dan Terengganu.

"Kerajaan Pusat sedia maklum dan prihatin dengan kejadian banjir saban tahun termasuk di lembangan Sungai Golok dan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), projek tebatan banjir fasa pertama bernilai RM300 juta sudah diluluskan.

"Kerajaan juga sudah meluluskan projek pengorekan muara Sungai Kelantan dan pembinaan tambak berjumlah RM500 juta di bawah RMK-11," katanya pada sidang media selepas melawat rakannya yang juga bekas anggota komando, Abu Bakar Md Ahmad, 66, yang diserang penyakit angin ahmar di Taman Bukit Senang di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau juga mengesyorkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaksanakan penilaian kerosakan sosio-ekonomi fasa awal bagi membantu rakyat yang terkesan akibat banjir sejak akhir Disember lalu hingga minggu pertama bulan ini.

Ahmad Zahid berkata, meskipun Kelantan dipimpin oleh PAS, namun kerajaan Pusat mengambil pendekatan mengenepikan fahaman politik dan membantu rakyat di negeri itu demi kesejahteraan semua pihak.

"Bagaimanapun, saya berharap dua projek besar ini mendapat kerjasama semua termasuk kerajaan negeri kerana jika masih berlaku pembalakan berterusan akan menyebabkan hakisan dan penurunan air dan tanah di kawasan sungai, ianya tidak selesai," katanya

Shahrir dilantik pengerusi baru Felda

Posted: 06 Jan 2017 03:55 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melantik Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai pengerusi barunya selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan dan memantapkan lagi kepimpinan badan tersebut.
 
Shahrir, Ahli Parlimen Johor Bahru dilantik menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang telah tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi Felda.
 
Dalam pada itu, Mohd Isa akan terus memegang jawatan sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd, kata Felda dalam satu kenyataan, hari ini.
 
"Dibawah penyusunan ini, adanya pembahagian tanggungjawab iaitu terhadap kebajikan dan sosio-ekonomi peneroka, dan perniagaan FELDA," kata lembaga tersebut.
 
 

PAS sifatkan pelantikan Saifuddin sebagai 'dedak'

Posted: 06 Jan 2017 03:54 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Lidah rasmi PAS, Harakah Daily menyifatkan pelantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution ke jawatan Penasihat Strategik kerajaan Pulau Pinang, sebagai 'dedak'. 
 
"Pelantikan itu hanyalah 'dedak' supaya individu atau parti yang dilantik akan terikat.
 
"Dengan kelebihan sebagai kerajaan, DAP menggunakan kesempatan itu memberikan jawatan bagi menggerakkan misinya," menurut komen yang diterbitkan portal itu menerusi ruangan editorial, semalam.
 
Menurut komen itu lagi, pelantikan Saifuddin adalah sebahagian usaha DAP menyekat sebarang kerjasama PKR dengan PAS.
 
Menurutnya, pelantikan 'orang penting PKR' dalam pentadbiran DAP itu berlaku ketika PKR masih menunjukkan 'sayang dan rindu' kepada PAS, yang ketika ini masih meneruskan tahaluf siyasi. 
 
"Kebimbangan itulah mendesak DAP membuat tindakan 'strategik' mengikat Saifuddin yang baharu sahaja sebelum ini dilantik sebagai Setiausaha Agung PKR.
 
"Secara halusnya, Saifuddin akan menjadi sekurang-kurangnya sebagai 'penimbang tara' terhadap kepentingan DAP di dalam keputusan PKR dan mengukuh dalam gabungan PH-PPBM," menurut penulisan itu.
 
Ia merujuk kepada perjanjian kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditandantangani bulan lalu.
 
Pelantikan Saifuddin menerima sokongan Biro Politik PKR Pusat. Saifuddin memulakan tugasnya dari pejabat pentadbiran negeri di Komtar, di tingkat sama pejabat Ketua Menteri Lim Guan Eng.
 
PAS sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan PH disebabkan keanggotaan DAP dan Amanah dalam gabungan itu.
 
Parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bagaimanapun meneruskan tahaluf siyasi bersama PKR dan dalam masa yang sama membentuk blok baru bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menerusi Gagasan Sejahtera (GAGASAN).
 
 

Kenapa Guan Eng lantik 'orang luar' jadi penasihat?, soal BN P Pinang

Posted: 05 Jan 2017 08:57 PM PST

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar


Post Pic
SHAH ALAM: ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad hari ini mempersoalkan pelantikan Datuk Saifuddin Nasution sebagai Penasihat Strategik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam.
"Apa yang beliau tahu tentang Pulau Pinang? Pejabat Ketua Menteri sudah ada ramai pegawai, berkali ganda jumlahnya berbanding KM terdahulu daripada BN.
"Saya tak pasti beliau hendak menguatkan kerajaan negeri atau dirinya iaitu Ketua Menteri. Sebab pada saya, jika untuk memajukan Pulau Pinang, saya rasa dengan kakitangan sedia ada sudah mencukupi. Mereka dibenarkan  bersuara untuk beri pandangan," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Saifuddin merupakan Setiausaha Agung PKR menggantikan Rafizi Ramli yang bertindak mengosongkan kerusi itu selepas dijatuhi hukuman penjara kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi.
Upacara tersebut dijalankan dihadapan Guan Eng dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus.
Turut hadir exco-exco kerajaan negeri, Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Datuk Anas Ahmad Zakie dan Pegawai Kewangan Negeri Sarul Bahiyah Abu.
Mengulas lanjut, Farid juga menimbulkan persoalan apakah pelantikan itu sebagai 'persediaan' Guan Eng yang akan menghadapi perbicaraan kes rasuahnya bermula Mac ini.
"Mengambil kira beliau (Guan Eng) mungkin berdepan dengan kes mahkamah nanti, maka banyak masa dan tumpuan diberikan terhadap kes. Itu mungkin diharapkan bahawa ada seseorang yang mengatur strateginya di Pulau Pinang. 
"Namun takkanlah pemimpin lain seperti Datuk Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri 1) dan Datuk Mansor Othman (Pengerusi PKR Pulau Pinang) dan Datuk Malek Kasim (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam) tidak boleh memainkan peranan sehingga memerlukan orang dari luar?," soalnya lagi.
Kes rasuah Guan Eng akan dibicarakan pada Mac 2017 yang dijangka mengambil masa 34 hari sehingga Julai nanti dan seramai 60 saksi yang akan dipanggil.
Pada 30 Jun tahun lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada perumahan dan pembelian lot tanah serta banglo di bawah nilai pasaran. 
Ramai pihak terus mendesak Guan Eng melepaskan jawatanya sebagai Ketua menteri Pulau Pinang selepas terpalit tuduhan itu



Kelantan umum sertai Liga M jam 11 pagi ini

Posted: 05 Jan 2017 08:51 PM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic


KOTA BHARU: Kelantan dijangka kekal dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2017 berdasarkan kepada jemputan satu sidang media khas yang akan diadakan jam 11 pagi ini dan turut disertai beberapa wakil penaja.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dikatakan akan mengumumkan perkara itu di Hotel Sutra Inn Prima, di sini bersama wakil penaja, RedOne dan Group Presiden Al Hamra.

Kira-kira jam 10.45 malam tadi, satu perbincangan khas diadakan antara pengurusan tertinggi KAFA dengan Annuar untuk mencari kata putus serta formula terbaik dalam usaha untuk terus menyertai saingan Liga M.
 
Media sebelum ini melaporkan, KAFA mungkin mengekalkan keputusan Kongres Luar Biasa baru-baru ini yang membuat ketetapan menarik diri apabila gagal mendapatkan bantuan kerajaan negeri serta penaja utama.

Walaupun berjanji untuk membantu, hingga jam 10 pagi semalam, tiada sebarang jawapan bertulis diberikan kerajaan negeri kepada KAFA.

Keputusan terkini itu dilihat akan melegakan peminat serta pemain yang begitu mengharapkan Kelantan kekal dalam saingan musim ini.

Petang semalam, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menjelaskan Kelantan sudah mengesahkan penyertaan dan menghantar senarai pemain pada 30 November lalu serta dokumen berkaitan untuk menyertai Liga M.

Setakat ini, FMLLP tidak menerima sebarang permohonan rasmi untuk menarik diri.

Kes rasuah KSU: Kini lebih RM5 juta tunai & jongkong emas dirampas

Posted: 05 Jan 2017 08:35 PM PST

 BERNAMA
Jumlah wang tunai yang dirampas dalam kes dakwaan rasuah membabitkan KSU sebuah kementerian meningkat. Jumlah wang tunai yang dirampas dalam kes dakwaan rasuah membabitkan KSU sebuah kementerian meningkat.


Wang tunai dan jongkong emas bernilai lebih RM5 juta dirampas dan disita setakat ini susulan penahanan ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian disyaki terlibat dalam rasuah.

Dalam penemuan terbaharu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam merampas dan menyita wang tunai serta jongkong emas bernilai RM2.6 juta daripada peti simpanan beberapa bank.

Menurut sumber SPRM, rampasan terbaharu itu dilakukan setelah SPRM membuka peti simpanan emas di sebuah bank dan merampas jongkong emas seberat lapan kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

"SPRM turut membuka beberapa peti simpanan di bank lain dan merampas wang tunai hampir RM1 juta termasuk AUD80,000," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Kelmarin, SPRM merampas dan menyita wang tunai serta jongkong emas bernilai kira-kira RM3 juta selepas menahan KSU yang bergelar 'Datuk' dan berusia 59 tahun bersama dua anak lelakinya yang berumur 29 tahun dan 34 tahun di kediaman mereka di USJ, Subang Jaya, dekat sini.

Selain itu, sumber itu berkata pihaknya turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima milik anak suspek di rumahnya di USJ, Subang Jaya, semalam.
Sumber itu turut memberitahu, suspek-suspek berkenaan dipercayai mempunyai lebih 10 lot tanah di atas nama anggota keluarganya di sekitar Lembah Klang, namun SPRM masih sedang melakukan pengesahan serta menilai tanah-tanah terbabit.
"SPRM juga akan bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan sama ada suspek berkenaan pernah membuat sebarang pembayaran cukai sejak 2010 lepas," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut tetapi enggan memberikan butiran.

Beliau berkata tiada tangkapan baharu dilakukan setakat ini.

Walaubagaimanapun, Azam tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes itu.

KSU dan kedua-dua anaknya itu ditahan reman tujuh hari bermula semalam sehingga 11 Jan bagi membantu siasatan menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya untuk menerima rasuah.


Ketika penjenayah 1MDB dihukum di negara lain, Malaysia tak buat apa-apa

Posted: 05 Jan 2017 08:30 PM PST

MALAYSIA DATELINE
 
 
Skandal 1MDB bukan sahaja memalukan negara malah menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.Skandal 1MDB bukan sahaja memalukan negara malah menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pujian Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani terhadap  Autoriti Kewangan Singapura (MAS) kerana mengambil tindakan ke atas individu yang terlibat dalam jenayah pensonglapan dan aktiviti penggubahan wang haram melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepatutnya mengaibkan pemimpin negara.

Ini kerana ketika mereka yang terlibat dengan penyelewengan dana 1MDB itu telah diambil tindakan di beberapa negara, namun pihak berkuasa Malaysia masih gagal melakukan sebarang pendakwaan walaupun jenayah itu berpunca daripada negara ini, kata Pengarah Strategi Parti Amanah Negara, Dr Dzulkefly Ahmad.

"Beliau (Johari) dilaporkan menyebut Malaysia sedang dalam proses menyiasat. Sangat baik Menteri, tetapi lama mana lagi ya?

"Tahun 2016 telah pun menutup tirainya. Sementara enam negara atau jurisdiksi asing sedang menjalani pendakwaan, setelah selesai siasatan dijalankan dan kini ada yang dijatuhkan hukuman. Di negara kita sendiri di mana jenayah ini berlaku, belum ada seorang pun didakwa dan kita masih menyiasat," soalnya sinis.

Dr Dzulkefly Ahmad2Dr Dzulkefly Ahmad2Menurut Dr Dzulkefly, Singapura telah mendahului negara-negara lain dalam mensabitkan kesalahan pelaku apabila tiga pegawai bank dan pengurus bahagian kekayaan di Bank BSI telah disabit kesalahan bersabitan urusniaga dengan 1MDB.

Malah Singapura telah menutup dua bank swasta di Singapura iaitu BSI dan Falcon, serta mengenakan penalti kewangan yang berat ke atas DBS Group, UBS dan Standard Chartered Bank kerana terlibatkan dengan kegiatan penggubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.

"Terkini Hakim Persekutuan Amerika Syarikat, Dale  Fischer, menolak permohonan keluarga Jho Low untuk menangguhkan pendengaran kes merampas kembali (forfeiture of assets) harta dan aset yang dirompak dari 1MDB, yang dikemukakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat pada Julai 2016.

"Abu Dhabi pula telah menahan Khadem Al-Qubaishi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat minyak milik kerajaan Emirate yakni lnternational Petroleum Investment Company (IPIC) dan Mohamed Badawy al-Huseiny, Pengarah Urusan Aabar Investments PJS.

"Kedua-duanya ditahan atas kesalahan penggubahan wang haram dan songlap serta tipu dana 1MDB," jelas beliau.

Dr Dzulkefly juga mengingatkan bahawa 1MDB adalah 100% syarikat milik kerajaan Malaysia dan mereka yang mengetuai 'merompak' dana ini adalah juga rakyat Malaysia.
"Sangat mengaibkan sehingga kini, ketika pelbagai tindakan telah diambil oleh negara lain, tiada seorang penyangak pun pernah didakwa jauh lagi hendak disabit kesalahan di mahkamah kita sendiri!" ujarnya.

Nasihat buat Radio IKIM.fm

Posted: 05 Jan 2017 08:25 PM PST

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA),  
 

Seseorang yang tidak pernah berjumpa dengan Nabi S.A.W. semasa hidupnya, tidak boleh dipercayai tentang dakwaannya bermimpi bertemu Nabi S.A.W.

Dia bercerita, kita dengar sahajalah. Percaya jangan sekali-kali.

Ini sebagai menutup pintu kejahatan. Kejahatan itu ialah terbitnya arahan-arahan baharu melalui mimpi itu yang dianggap mendatangkan manfaat atau mudarat, dikira sebagai ibadat, atau sekurang-kurangnya orang yang bermimpi itu dikira mempunyai autoriti dalam bab agama sehingga boleh membelakangkan al-Quran dan Sunnah, Ijmak dan Qias.

Kesemua itu adalah kejahatan yang mesti ditutup jalan ke arahnya.

Berbincanglah tentang isi al-Quran. Belajarlah tentang petunjuk Sunnah. Ketahuilah tentang Ijmak Para Sahabat dan Ijmak para ulama. Pelajarilah ilmu tentang Qias. Jika tidak mampu, dengarlah nasihat daripada orang yang menggunakan hujah al-Quran dan Sunnah secara menyeluruh dan menurut disiplin ilmunya.

Radio IKIM sepatutnya tidak menjadi saluran kepada dakwaan-dakwaan peribadi yang tidak berasas dan berpotensi mencelarukan kefahaman Islam umat di Malaysia ini. Ia bertentangan dengan misi IKIM.

Kuatkan rujukan kefahaman umat pada sumbernya yang muktamad; Quran dan Sunnah, menurut disiplin ilmu yang berkaitan.

Nota: Mimpi tidak boleh dijadikan dalil hukum, apatah lagi dijadikan asas kefahaman tentang Islam.

Ustaz Haji Mohd Hazizi Ab Rahman, Ketua Penerangan Isma

Amanah Mahu Bertanding 40 Kerusi, Adakah Keputusan PH, Soal PAS

Posted: 05 Jan 2017 08:16 PM PST




khairuddin

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) diminta untuk tidak terus berdiam diri berhubung kenyataan Amanah yang mahu bertanding di 40 kerusi milik PAS dan PKR pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman hari ini menegaskan parti itu terbuka untuk menghormati keputusan pembangkang yang lain, sekiranya tidak menggugat kerusi mereka.


Tetapi ujarnya, jika perkara sebaliknya berlaku PAS tidak akan teragak-agak untuk bertanding kerusi selain yang dimiliki parti itu.

"PH kena buat pendirian berhubung kenyataan Amanah. Sekiranya PH menghormati PAS, nyatakan bahawa mereka menghormati kerusi-kerusi kita. Dan kita akan menghormati kerusi kawan-kawan kita dalam PH.

"Sekiranya PH menyatakan mereka bersedia mengambil kerusi (PAS) di Selangor, maka selari dengan konsep 'free for all', kita juga bersedia untuk masuk mana-mana kerusi di Selangor," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad pada minggu lalu mengajak Amanah untuk 'sama-sama menanggung akibat' jika parti itu tetap mahu meletakkan calon di kerusi tradisi miliknya pada PRU14.

Ujarnya partinya bersedia untuk turut sama menerokai kawasan baru, jika Amanah membuat langkah pertama dengan mengusik kerusi PAS.

Ekoran kenyataan itu, Amanah kemudiannya secara terbuka memberitahu mahu bertanding kerusi DUN Chempaka, yang dimiliki Iskandar selepas mendakwa pemimpin PAS itu mengamalkan politik 'mengugut'.

Sehubungan dengan itu, Khairuddin mempersoalkan adakah tindakan Amanah ini mendapat persetujuan antara PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Persoalan besar, adakah PKR, PPBM dan DAP mengiktiraf kenyataan Amanah? Ini yang PAS Selangor hendak tahu

"Ataupun ini hanya pandangan yang tidak diiktiraf oleh kawan-kawan dalam PH?," ujar ADUN Paya Jaras itu.

Amanah menerusi Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad baru-baru ini memberitahu partinya berminat untuk bertanding di 40 kerusi pada pilihan raya akan datang termasuk milik PKR dan PAS.

Ujar Khalid, pemilikan kerusi tradisi yang selama ini dipertahan parti pembangkang tertentu sudah tidak relevan dengan suasana politik hari ini – AP

LIHAT VIDEO DI SINI


Datuk nafi terlibat dalam pembunuhan Bill Kayong

Posted: 05 Jan 2017 08:08 PM PST

Bernama, 
Datuk Stephen Lee Chee Kiang, 45, dituduh melakukan kesalahan itu bersama tiga yang lain di persimpangan lampu isyarat berhampiran E-Mart Supermarket di Jalan Kuala Baram pada Jun tahun lalu. - Gambar fail The Star
Datuk Stephen Lee Chee Kiang, 45, dituduh melakukan kesalahan itu bersama tiga yang lain di persimpangan lampu isyarat berhampiran E-Mart Supermarket di Jalan Kuala Baram pada Jun tahun lalu. – Gambar fail The Star

MIRI – Seorang ahli perniagaan tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap tuduhan bersubahat dalam pembunuhan setiausaha PKR Bill Kayong.

Datuk Stephen Lee Chee Kiang, 45, dituduh melakukan kesalahan itu bersama tiga yang lain di persimpangan lampu isyarat berhampiran E-Mart Supermarket di Jalan Kuala Baram pada kira-kira 8.20 pagi 21 Jun 2016.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Alwi Abdul Wahab menetapkan 9 Jan sebagai tarikh sebutan semula kes selepas peguam David Chua, yang mewakili tertuduh, memberitahu mahkamah bahawa Orlando Chua, seorang lagi peguam yang mewakili Lee, sedang cuti sakit di luar negara dan dijangka pulang ke tanah air minggu depan.

Lee dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama-sama Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzila Ishak bertindak bagi pihak pendakwa.

Lee akan dibicarakan berama-sama tiga tertuduh lain yang dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pada 25 Nov, pembantu peribadi Lee, Chin Wui Ching, 50, dan pemilik pub Lie Chang Loon, 37, meminta dibicarakan terhadap tuduhan bersubahat dengan Mohamad Fitri Pauzi, 29, membunuh Bill, yang nama Islamnya, Mohd Hasbie Abdullah.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di tempat dan pada tarikh sama, mengikut Seksyen 109, dibaca bersama-sama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tertuduh pertama, Mohamad Fitri, juga mengaku tidak bersalah pada 25 Nov terhadap tuduhan membunuh Bill di tempat dan pada waktu sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan

Buka semula kes SRC dan dakwa Najib, kata Ezam

Posted: 05 Jan 2017 08:04 PM PST

Pengerusi HISBAH Centre For Reform, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor. - Gambar fail NSTP/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA
Pengerusi HISBAH Centre For Reform, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor. – Gambar fail NSTP/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA

KUALA LUMPUR – Pengerusi Hisbah Centre for Reform, Mohd Ezam Mohd Noor mendesak agar Peguam Negara Apandi Ali membuka semula siasatan kes terhadap SRC International (SRC) dan mendakwa Perdana Menteri Najib Razak.

Ezam mendakwa, alasan siasatan SRC sebelum ini ditutup kerana tiada kes adalah tidak munasabah sebaliknya ianya ditutup kerana mempunyai asas yang kuat untuk mendakwa Najib.

"Kes SRC ditutup bukan kerana tiada asas tetapi kerana asasnya terlalu kuat untuk sabitkan Perdana Menteri sendiri sebagai pihak yang bertanggungjawab.

"Antara bukti kes adalah akaun bank Perdana Menteri sendiri yang jelas wujud kemasukan puluhan juta ringgit duit SRC, sebuah anak syarikat Kementerian Kewangan (MOF) sendiri," katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Bekas senator Umno itu berkata, Hisbah Centre percaya rakyat dan dunia mempunyai alasan yang amat kukuh untuk mempercayai apa yang sebenarnya berlaku didalam siasatan kes SRC ini adalah satu penyelindungan peringkat tertinggi negara hanya untuk selamatkan seorang Perdana Menteri yang jelas telah melakukan jenayah.

"Peguam Negara wajib membuka semula kes ini dan mendakwa PM segera!" katanya.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Abdul Rahman Dahlan semalam mendakwa tiada pendakwaan dilakukan dalam siasatan membabitkan SRC kerana tiada kes untuk disabitkan.

Ezam dalam kenyataannya bagaimanapun membidas Abdul Rahman, dan berkata, kenyataan ahli Parlimen Kota Belud itu adalah bodoh dan tidak bertanggungjawab.

"Perdana Menteri dan jenteranya terpaksa berhenti menipu rakyat setelah pasukan penyiasat menjumpai bukti kemasukan puluhun juta ringgit dari sumber yang jelas iaitu SRC kedalam akaun Najib.

"Seluruh dunia melihat bagaimana Najib cuba melarikan diri dari tanggungjawab dengan mengatakan tidak tahu menahu wang itu dimasuk ke akaunnya.

"Seluruh dunia kewangan dan perundangan juga tahu alasan tidak tahu tidak boleh menjadi alasan untuk bebas dari dakwaan jenayah, yang tidak tahu hakikat ini adalah konco-konco pemakan dedak Najib termasuk menteri-menterinya yang bebal seperti Abdul Rahman Dahlan ini," kata Ezam.

Beliau berkata, tindakan bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Bahri Mohamad Zain sebenarnya mempunyai asas.

"Yang tidak berasas adalah kenyataan bodoh menteri penjilat dan pembodek Perdana Menteri yang sudah jelas terpalit dangan salah guna kuasa dan rasuah."

Kerajaan Selangor dipuji berjaya kuatkuasakan peraturan 20 Sen untuk beg plastik

Posted: 05 Jan 2017 08:01 PM PST

 

Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipuji kerana telah berjaya menguatkuasakan peraturan setiap pengguna perlu membayar 20 sen untuk beg plastik sebagai menyokong kempen "Hari Tanpa Beg Plastik".

"Keputusan kerajaan Selangor mengenakan caj 20 sen untuk setiap beg plastic yang digunakan di negeri itu, mendapat sambutan baik dari semua peniaga dan majoriti peniaga dan pemilik pasaraya.

"Sebelum ini peraturan tersebut hanya dilaksanakan pada hari Sabtu saja dan ia ternyata merugikan peniaga kerana tidak banyak keuntungan yang dibuat hasil dari penjualan beg plastik ini bila ia hanya 'dibayar' seminggu sekali.

"Tapi setelah keputusan terbaru ini bermaksud peniaga dan pemilik pasaraya di seluruh negara boleh membuat lebih banyak wang hasil dari penjualan plastik saja.

"Seperti yang semua orang tahu, kos pembuatan plastik ini hanya sekitar 1 – 3 sen satu, tapi sekarang ia akan dijual 20 sen satu, itu bermaksud keuntungan beratus peratus. Hasil dari perlaksanaan penggunaan beg plastik pada hari Sabtu sebelum ini, peniaga mampu mendapat sekitar RM 500 sehari secara purata bagi sebuah pasaraya besar.

"Dengan kadar sekarang, dijangka peniaga mampu menjana pendapatan lebih RM 5,000 sebulan – hasil penjualan beg plastik sahaja. Ini sudah tentu menguntungkan peniaga dari semua segi.

"Terima kasih Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali," puji laman negarapakatanrakyat.com.

Pada 21 Disember lalu, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong dilaporkan berkata, bekas makanan polisterina dan beg plastik tidak akan dibekalkan peniaga secara percuma mulai 1 Januari lalu.

"Undang-undang pihak berkuasa tempatan berkaitan hal itu sudah dikaji bagi menyokong dasar ini dan peniaga harus bersetuju mengamalkan kempen bebas plastik dan polistirena apabila memperbaharui lesen perniagaan," kata Adun Bukit Lanjan itu.

Selangor mula melaksanakan kempen "Hari Tanpa Beg Plastik" pada 2010, dengan sokongan kebanyakan pasar raya besar, pasar mini dan premis perniagaan, pada setiap Sabtu.

Pengguna akan dikenakan bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik dan wang itu akan disalurkan kepada badan kebajikan atau program kepenggunaan serta pemuliharaan alam sekitar.

Tiada golf pada waktu pejabat walaupun ketika bercuti: Idris Haron

Posted: 05 Jan 2017 07:59 PM PST

Bernama, 
 

MELAKA – Penjawat awam di negeri Melaka tidak dibenarkan bermain golf ketika waktu pejabat iaitu antara 8 pagi hingga 5 petang, walaupun ketika bercuti dan pada hujung minggu.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata langkah yang dilaksana sejak beliau menjadi Ketua Menteri pada 2013, antara lain bertujuan menjaga imej dan tanggapan masyarakat terhadap penjawat awam dan kerajaan negeri terutama di mata rakyat.

"Saya sendiri jika hendak main golf selepas pukul 5 petang. Ada yang kata mereka cuti tetapi saya tetap tegaskan tiada penjawat awam dibenarkan main golf ketika waktu pejabat, nak main (golf) luar dari Melaka.

Pada awal-awal ada yang langgar tetapi kita panggil dan ambil tindakan, sekarang mereka semua sudah faham," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini pada Rabu.

Beliau mengulas laporan media mengenai peringatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya penjawat awam berhenti bermain golf di luar negara dan SPRM sentiasa melakukan pemantauan dan mempunyai maklumat mengenai kegiatan penjawat awam.

Sementara itu, dalam sebuah majlis berasingan Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik berkata bermain golf merupakan satu rekreasi dan antara cara penjawat awam beriadah.

Beliau berkata ia tidak menjadi kesalahan buat penjawat awam menyertai sukan itu selagi tidak menggangu tugas rasmi atau menggunakan wang jabatan dan sumber diragui untuk membiayai sukan berkenaan.

"Kalau mereka ada persidangan, mesyuarat penting dan selepas itu main golf apa salahnya tetapi untuk songlap duit jabatan pergi Bangkok main golf itu memang salah.

Tak kan kita nak bersidang 24 jam dalam dewan, kita pun pengsan. Tentu ada masa rehat, masa tidur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Landscape Management Comparative Study Exhibition: Seoul Korea' di Alor Gajah di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat penglibatan penjawat awam yang bermain golf di luar negara dengan elemen penyelewengan atau rasuah adalah wajar dan perlu diteruskan.

Katanya tindakan berkenaan perlu menjadi rujukan dan peringatan pada semua penjawat awam di negara ini agar menjalankan tugas dengan amanah dan tidak melakukan penyelewengan dengan menggunakan duit jabatan untuk kepentingan diri.

Tiada ulasan: