Rabu, 11 Januari 2017

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem Meninggal Dunia

Posted: 11 Jan 2017 12:01 AM PST



Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem dilaporkan telah meninggal dunia kira-kira jam 1.20 tengahhari tadi di Institut Jantung Negara(IJN) Samarahan.

Di Twitter, Menteri Belia dan Sukan mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dengan berkata: "Takziah kepada Puan Sri Jamilah & keluarga serta rakyat negeri Sarawak atas kembalinya ke Rahmatullah Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem. Al Fatihah."

Selain itu, Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman turut mengucapkan takziah di Twitternya sebentar tadi.

"Takziah atas pemergian YAB Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Satem. Al-Fatihah", tulis beliau.

Arwah meninggal dunia 14 hari sebelum hari lahirnya yang ke-73.

Al-Fatihah.






Ingatan Buat Jamal: Jawatan Presiden FAS Bukan Tempat Asah Bakat Badut

Posted: 10 Jan 2017 10:01 PM PST



Gabungan Kelab Penyokong Selangor (GKPS) menempelak hasrat Ketua Kumpulan Gerakan Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Penaung GKPS Datuk Adam Rosly berkata, pihaknya risau jika Jamal menjadi presiden akan ada pemain pasukan yang akan tinggal tuala sahaja apabila hendak beraksi satu hari nanti.

"Jangan jadikan The Red Giants modal politik dan tempat mengasah bakat badut serta parasit," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Adam (kanan, baju putih), pihaknya maklum dengan impian Jamal untuk bergelar presiden FAS dan angan-angan tersebut dizahirkan secara rasmi ketika bertandang ke pejabat FAS, semalam.

"Nasihat saya mudah, sudah-sudahlah memasang angan dan cuba menangguk di air keruh.

"Kemelut FAS ini tidak wajar dipolitikkan dan usahlah seorang ahli politik picisan seperti Jamal menjadikan ini sebagai batu loncatan untuk popular," katanya.

Semalam, Jamal yang bermuka celoreng bendera Selangor bersama penyokongnya hadir ke pejabat FAS untuk menyerahkan surat itu bersama anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Shohaimi Shadan dan exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Surat tawaran tersebut diserahkan kepada Exco FAS, Adnan Sarrif.

Jamal juga turut berjanji akan menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai selepas 14 hari jika dilantik menjadi presiden.

Pada 30 Disember lalu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali meletak jawatan sebagai presiden FAS kerana membantah budaya "politik berlebih-lebihan, melakukan kerja cara lama dan mentaliti bergantung kepada subsidi".

Adam berkata, tindakan Mohamed Azmin dan Exco Belia dan Sukan Selangor Amirudin Shari mengumumkan untuk tidak bersama FAS bukan bermakna persatuan ini harus dipimpin oleh individu sembarangan dan menjadi alat politik orang lain.

Kataya, amat menghairankan apabila secara tiba-tiba Jamal berminat dengan urusan bola sepak yang selama ini tidak pernah diambil kisah.

"Dakyah bahawa hendak membawa bola sepak Selangor setanding dengan JDT adalah satu kenyataan lucu.

"Sebagai penyokong setia, semua peminat tahu kedua-dua pasukan berada pada kelas tersendiri dan berada pada era kegemilangan masing-masing.," katanya.

Menurut Adam, semua pihak perlu faham bahawa FAS perlu dirombak sepenuhnya bukan sekadar tukar presiden sahaja.

"Kami di Gabungan ingin menasihatkan Jamal agar simpan sahaja impian untuk menjadi presiden FAS kerana jelas hanya akan menghuru-harakan lagi keadaan," katanya.

- mkini




Penggodam Rusia dakwa kompromi maklumat diri Trump

Posted: 10 Jan 2017 07:19 PM PST



Kandungan dokumen yang diklasifikasikan sulit yang dibentangkan minggu lepas kepada presiden dipilih Donald Trump termasuk dakwaan bahawa operatif Rusia mendakwa telah mengkompromi maklumat mengenai dirinya, CNN melaporkan semalam.

Dakwaan itu terkandung dalam sinopsis dua halaman yang dilampirkan dengan laporan yang dibentangkan oleh para pegawai perisikan AS kepada Trump dan Presiden Barack Obama mengenai campurtangan Rusia dalam pilihan raya 2016, lapor CNN yang memetik pelbagai pegawai AS yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai taklimat tersebut.

Dakwaan tersebut, sebahagiannya, datang dari memo yang dikompilasi oleh seorang bekas operatif perisikan British, yang mana hasil kerjanya sebelum ini dianggap oleh pegawai perisikan AS sebagai boleh dipercayai, lapor CNN.

Ia berkata FBI sedang menyiasat kredibiliti dan ketepatan dakwaan itu, yang berdasarkan kepada maklumat dari sumber Rusia, tetapi tidak mengesahkan banyak perincian penting dalam memo mengenai Trump.

FBI enggan ulas

Tuduhan bahawa Rusia cuba untuk mengkompromi maklumat tentang diri Trump, yang merupakan seorang ahli perniagaan hartanah, telah tersebar di Washington sejak beberapa bulan, dan ianya telah dimaklumkan kepada para pegawai Amerika Syarikat tahun lalu.

Reuters tidak dapat mengesahkan dakwaan itu atau mengesahkan kewujudan sinopsis dua halaman yang dilaporkan oleh CNN.

Amaran kepada Trump itu, bagaimanapun, bertepatan dengan kebimbangan yang semakin meningkat tentang apa yang pengarah Perisikan Nasional James Clapper sebut sebagai pengaruh "pelbagai aspeks" Rusia dan kempen pengintipan di Eropah dan Amerika Syarikat.

Selain menggodam rangkaian komputer dan menyebarkan propaganda dan berita palsu, ia termasuk usaha untuk memupuk pemimpin perniagaan dan politik serta mencari maklumat kewangan dan peribadi dan lain-lain yang boleh menjejaskan orang yang disasarkan, kata pegawai perisikan AS.

Taklimat minggu lepas itu disampaikan oleh Clapper, pengarah Biro Siasatan Persekutuan James Comey, pengarah Agensi Perisikan Pusat John Brennan dan Pengarah Agensi Keselamatan Negara Mike Rogers.

Salah satu sebab ketua-ketua perisikan AS itu mengambil langkah luar biasa termasuk sinopsis dalam dokumen taklimat itu adalah untuk menyedarkan Trump bahawa dakwaan mengenai dirinya sedang beredar di kalangan agensi perisikan, anggota kanan Kongres dan para pegawai kerajaan, kata CNN.

Satu laporan perisikan yang tidak diklasifikasikan sebagai sulit yang dikeluarkan pada hari Jumaat, membuat kesimpulan bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin mengarahkan usaha untuk membantu peluang Trump menang pilihan raya dengan mencemarkan calon Demokrat Hillary Clinton dalam kempen presiden 2016.

Menurut laporan itu, agensi perisikan AS telah membuat kesimpulan bahawa sebagai sebahagian daripada usaha agensi perisikan tentera Rusia, GRU, menggunakan perantara seperti WikiLeaks dan lain-lain untuk mengeluarkan emel yang digodam.

- Reuters




Tiada ulasan: