Jumaat, 30 Disember 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Harga runcit RON95, diesel dijangka meningkat Januari ini

Posted: 30 Dec 2016 07:35 AM PST

BERNAMA
 
 
Datuk Lokman Noor AdamDatuk Lokman Noor AdamHarga runcit petrol RON95 dan diesel dijangka meningkat pada Januari ini berikutan harga pasaran minyak mentah dunia mencatat peningkatan bulan ini, kata Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau berkata harga runcit RON95 dan diesel ditetapkan mengikut purata harga bahan api itu di pasaran dunia selama sebulan selain dipengaruhi oleh pergerakan nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika.

"Purata maksudnya harga dari tarikh 1 hingga 31 dibahagi dengan 31 hari. Bukan mengikut harga di hujung bulan seperti pemahaman sesetengah pihak.

"Dengan pengukuhan dolar Amerika berbanding Ringgit Malaysia kini, ia mengakibatkan kos pembelian minyak juga meningkat. Ia memberi kesan kepada penetapan harga bahan api di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Lokman Noor berkata harga runcit petrol dan diesel ditetapkan berdasarkan apungan terurus dengan harga bulanan ditentukan kuasa pasaran bermula 1 Dis 2014 berikutan kejatuhan harga minyak dunia ketika itu.

Lokman Noor berkata masih ramai tidak dapat menerima bahawa kerajaan perlu menghentikan pemberian subsidi secara pukal dan membantu mereka melalui pengagihan subsidi kepada kumpulan sasar yang betul.
Katanya subsidi pukal yang diberi sebelum ini bererti golongan kaya dan miskin menerima nilai subsidi yang sama.

"Contohnya pada Julai 2014, bagi setiap liter RON95, kerajaan memberikan subsidi RM0.6843 seliter," katanya sambil menjelaskan yang kaya menggunakan kuantiti minyak jauh lebih banyak berbanding yang miskin.

"Mereka yang miskin menggunakan kereta Kancil, setelah mengisi tangki mereka penuh dengan RON95, jumlah subsidi yang diterima hanyalah sekitar RM16.29.

"Mereka yang datang dari kelas menengah pula menggunakan Toyota Camry dan membelanjakan RM150 untuk mengisi penuh tangki mereka. Jumlah subsidi yang terpaksa kerajaan bayar kepada mereka adalah RM48.87, yang mana tiga kali ganda lebih besar daripada yang miskin tadi," katanya.

Lokman Noor berkata berdasarkan kajian Kementerian Kewangan, kerajaan membelanjakan 70 peratus daripada nilai subsidi untuk membantu golongan kaya dan hanya 30 peratus subsidi yang diberikan dalam bentuk RON95 dan diesel yang dinikmati golongan sasaran.

Pada masa sama, di bawah sistem subsidi pukal warga asing yang tinggal di Malaysia juga akan menikmati subsidi hasil daripada cukai yang dibayar oleh rakyat Malaysia.

Setiap hari terutamanya di hujung minggu, katanya, subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat Malaysia turut bocor kepada kenderaan Singapura, selain ia diseludup ke Thailand dan Filipina serta dijual di perairan antarabangsa.

"Subsidi bererti bantuan, pertolongan dan pemberian daripada kerajaan kepada rakyatnya. Jika ditanya siapakah yang patut mendapat pertolongan, sudah pastilah pertolongan itu perlu kita utamakan yang susah dahulu sebelum yang senang.

"Mestilah diberikan kepada rakyat kita, bukan warga asing," katanya.

Kes JANS: 3 kena 37 tuduhan babit RM61.57 juta

Posted: 30 Dec 2016 07:30 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Selepas menjalankan siasatan selama hampir tiga bulan membabitkan jumlah dokumen sehingga setinggi bangunan dua tingkat dan hampir 100 individu dirakam percakapan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa bekas Pe­ngarah Jabatan Air Sabah, Awang Mohd. Tahir Mohd. Talib, 54, bagi kesalahan menyeleweng dana infrastruktur air negeri.
 
Pendakwaan di hadapan Hakim Ummu Khaltom Abdul Samad di Mahkamah Sesyen di sini itu mendapat tumpuan apabila isteri Awang Mohd. Tahir iaitu Fauziah Piut, 51, dan bekas timbalan pengarah jabatan itu yang telah bersara, Lim Lam Beng, 62, turut didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram.
 
Awang Mohd. Tahir sebagai tertuduh pertama berdepan de­ngan 12 pertuduhan iaitu memiliki secara haram sebanyak RM56.9 juta yang ditemukan di rumah dan keretanya
serta di dalam akaun bank, beberapa kenderaan mewah dan 86 utas jam tangan mewah.
 
Beliau dan isteri didakwa me­lakukan kesalahan itu di Graceville, Sembulan pada Oktober lalu.
 
Sementara itu, Fauziah yang ditahan oleh SPRM semalam berdepan dengan 19 pertuduhan iaitu kesalahan memiliki secara haram wang sebanyak RM2.2 juta di dalam akaun bank di Sabah dan Semenanjung termasuk lebih RM600,000 dalam unit pelaburan dan 93 utas beg tangan daripada pelbagai jenama terkemuka di rumah mereka pada Oktober serta November lalu.
 
Selain pertuduhan individu, pasangan suami isteri berkenaan turut dituduh atas dua kesalahan iaitu secara bersama memiliki sebanyak 921 jenis pelbagai barang kemas dan barangan mewah yang tidak dinyatakan nilainya di lokasi sama pada bulan Oktober.
 
Dalam pada itu, Lam Beng yang juga merupakan bekas penasihat kewangan di Kementerian Kewangan negeri berdepan empat pertuduhan memiliki kereta mewah dan wang tunai secara haram berjumlah RM2.38 juta di beberapa lokasi pada Oktober serta November lalu.
 
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan dan bagi pertuduhan individu, mereka didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
 
Pertuduhan bersama antara Awang Mohd. Tahir dan isterinya pula dibuat mengikut akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
 
Selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, Ummu Khaltom memberi kebenaran Awang Mohd. Tahir diikat jamin sebanyak RM10 juta dengan dua penjamin, isteri­nya sebanyak RM2 juta berserta dua penjamin dan Lam Beng seba­nyak RM1 juta oleh dua penjamin.
 
 

Ezam sah keluar PPBM

Posted: 30 Dec 2016 07:19 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mengesahkan keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), selepas kurang daripada tiga bulan menyertai parti tersebut.
 
"Ya, betul," katanya dipetik Malaysiakini. 
 
Terdahulu, portal Free Malaysia Today yang memetik sumber melaporkan, Ezam memaklumkan perkara itu kepada setiausaha agung PPBM dalam suratnya.
 
Menurut sumber portal itu, Ezam mengambil tindakan berkenaan kerana kecewa dengan haluan parti yang baru-baru ini menyaksikan Anina Saadudin, diturunkan daripada jawatan ketua sayap wanitanya, Srikandi.
 
Namun Ezam menafikan sebeb pengundurannya ada kaitan dengan masalah dalaman parti. Beliau sebaliknya berkata mahu menumpukan perhatian kepada NGO antirasuah Hisbah yang dipengerusikannya.
 
Katanya, mesyuarat tahunan lembaga pengarah Hisbah juga memintanya menjadi tidak partisan dalam menumpukan perhatian kepada kemelut 1MDB dan dakwaan berkaitan Felda.
 
"Atas sebab itu saya secara rasmi hantar surat undur diri dari PPBM kepada setiausaha agung.
 
"Tidak ada sama sekali soal masalah dalaman parti. Saya tidak pernah terlibat dalam pimpinan parti sama sekali dan saya tidak mahu dilibatkan," katanya.
 
Untuk misi antirasuah melalui Hisbah itu, kata Ezam lagi, beliau akan bekerjasama dengan semua pihak, termasuk PPBM.
 
Ezam berkata telah menghantar surat pengundurannya seminggu lalu.
 
Bagaimanapun, beberapa pemimpin PPBM yang dihubungi Antarapos petang ini berkata mereka tidak tahu menahu berkaitan perkembangan itu.
 
Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh ketika ditanya perkara itu hanya menjawab 'Maaf, tiada maklumat'. 
 
Ini adalah kali ke-2 PPBM berdepan dengan 'pengunduran' ahli selepas kali pertama oleh Datuk Khairuddin Abu Hassan pada 27 Oktober lalu.
 
Untuk rekod, Ezam menyertai PPBM pada 13 Oktober lalu, selepas mengumumkan keluar Umno pada 2 Oktober.
 
 

PAS sambut baik gencatan senjata di Syria

Posted: 30 Dec 2016 07:17 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM : PAS mengalu-alukan perkembangan positif proses gencatan senjata yang dipersetujui di kalangan pihak yang bertempur di Syria.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya melihat keadaan yang tegang dan berdarah di bumi Syria sememangnya perlu dihentikan segera.
 
"Kesejahteraan rakyat awam perlu dikembalikan segera, dan pada masa yang sama sebarang cubaan provokasi jahat untuk menggagalkan gencatan ini mestilah dihalang dari berlaku terutamanya pada masa yang sangat kritikal ini.
 
"Formula ini adalah antara syarat awal dalam memastikan gencatan ini dapat dipertahankan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
 
Menurutnya lagi, umat Islam juga mestilah cermat memahami bahawa apa yang berlaku adalah campurtangan strategik kuasa besar dunia untuk mewujudkan ketidakstabilan di bumi Syria sebagai tindakan menjaga kepentingan keselamatan Israel di rantau itu.
 
"Maklumat risikan rekacipta dan propaganda media negara kuasa besar ini diangkat sebagai fakta yang dikelirukan terhadap umat Islam.
 
"Negara-negara Arab dipergunakan sebagai proksi dengan cagaran mempertahankan takhta kerajaan masing-masing sebagai umpannya dan seterusnya ditiupkan adu domba api peperangan Sunni-Syiah.
 
"Percaturan kompleks geo-politik sebegini memerlukan kefahaman di kalangan umat Islam supaya tidak dikelirukan oleh agenda zionis dan kepentingan mereka," katanya lagi.
 
Tambah Abdul Hadi, apabila keadaan keselamatan lebih terpelihara, maka baharulah isu berkaitan dengan kezaliman dan pembunuhan semasa tragedi berdarah ini berlaku dapat disiasat seterusnya diambil langkah sewajarnya.
 
Turki dan Rusia bersetuju dengan gencatan senjata untuk seluruh wilayah yang dilanda konflik bermula 28 Disember lalu.
 
 

PKR jangan berperangai seperti Amanah - Mohd Amar

Posted: 30 Dec 2016 07:12 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan parti itu berpendirian tidak mengamalkan budaya tikam belakang, terutamanya dalam menjalinkan persahabatan bersama rakan sekutu politik.
 
Justeru ujarnya atas dasar sama, PAS ingin mengingatkan mana-mana pihak yang ingin menjalinkan persahabatan politik dengan parti itu untuk menghormati dan jujur dengan pendirian yang dipegang parti itu.
 
"Sahabat kita, baru atau lama, duduk elok-elok dengan kita. Terutamanya PKR. Nak berkawan dengan Amanah boleh, tapi jangan berperangai seperti Amanah. Kena jaga, terutamanya di Kelantan.
 
"Kita sejak dari dulu hingga kini, tidak pernah sekali pun khianati sahabat. Kita tidak suka budaya tikam belakang. Kalau nak tikam, tikam depan-depan," katanya dipetik Sinar Harian.
 
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di Karnival Ekonomi Anak Muda Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
 
Menurutnya, PAS telah berkali-kali dikhianati iaitu semasa berada di dalam BN dan ketika menjalinkan persahabatan dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP sebelum ini.
 
Beliau juga memberitahu, malah Pas bukanlah 'tangga' untuk batu loncatan mana-mana pihak sehingga parti itu dilupakan apabila sudah sampai ke atas puncak.
 
"Bila sampai atas, lupakan tangga yang naik tadi. Kena ingat, tidak selamanya kita berada di atas, satu masa mesti kita mahu turun. Masa itu, tangga juga yang dicari nanti," katanya.
 
 

Eagle High: Siapa Sondakh Kepada Najib?

Posted: 30 Dec 2016 04:09 AM PST

PADA mulanya saya tidak bercadang menambah apa-apa lagi kepada apa yang telah saya tulis mengenai urusan jual-beli luar biasa yang membabitkan Felda/FGV dan Rajawali Group sejak tahun lalu.

Kalau pembaca berminat boleh rujuk tampalan bertajuk "FGV Bayar Mahal Kepada Sondakh" pada 13 Jun 2015 di pautan ini.

Berkenaan silap mata korporat memindahkan pembelian 37 peratus saham ladang Eagle High (helang tinggi) daripada Felda Global Ventures (FGV) kepada sebuah anak syarikat Felda lain bernama FIC Properties Sdn Bhd, saya rasa komen Pengerusi CIMB, (Datuk Seri) Mohd Nazir Abdul Razak, lebih daripada memadai.

Sebagai orang korporat dan adik Perdana Menteri sendiri, saya yakin kebimbangan beliau adalah berasas. Nazir mahu Felda memberi justifikasi mengapa ia membayar harga yang rata-rata dianggap terlalu tinggi dan tidak mencerminkan realiti pasaran serta potensi aset.

FeIda membayar AS$505.4 juta (kira-kira RM2.3 bilion) atau tiga kali lebih mahal daripada harga purata 2015. Saya yakin tidak ada siapa pun akan menentang pembelian oleh Felda jika harganya berpatutan, selari dengan pasaran dan telus.

Peter Sondakh: Sahamnya naik tapi FGV turun

Anehnya, boleh kata semua urusan jual-beli oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia yang membabitkan Kumpulan Rajawali dan taukenya, Peter Sondakh, diselubungi misteri dan keluarbiasaan.

Misteri Rajawali

Banyak cerita saya dengar, termasuk daripada pembahas blog ini, yang memberi maklumat atas dasar sulit & persendirian mengenai pertalian di antara Najib dengan Sondakh.

Ada sesetengah maklumat itu memang saya pun tidak berani menyiarkannya sekali pun tanpa label P&C kerana terlalu peribadi dan sukar disahkan.

Cuma yang hendak saya tambah kali ini adalah beberapa kebetulan yang sedikit sebanyak menyokong khabar-khabar angin dan kisah misteri yang melibatkan perhubungan Najib-Sondakh.

Fakta-fakta yang akan saya sebutkan di bawah adalah maklumat awam. Sesiapa pun yang berminat dan tekun boleh memperolehnya di domain awam.

Antaranya:

1. Kalau Najib berketurunan Bugis yang buminya Sulawesi, Sondakh pula dilahirkan di Manado, Sulawesi.

2. Jikalau Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953, Sondakh pun dilahirkan pada 23 Julai 1953 juga.

3. Najib beragama Islam dan sering mempamerkan keislamannya di khalayak ramai manakala Sondakh dilaporkan oleh akhbar The Star sebagai pengamal setia agama Kristian.

4. Kebugisan Najib menjadi mutakhir dengan penganugerahan gelaran tertinggi Bugis "I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil" pada tahun 2005.

5. Apabila Najib menjadi Perdana Menteri pada bulan April 2009, tidak lama selepas itu Sondakh mendapat anugerah gelaran Tan Sri (kehormat) dan muncul sebagai penasihat Najib mengenai Indonesia.

6. Antara kepakaran Sondakh, menurut laporan akhbar The Star pada 23 Jun 2015 adalah menjual-beli syarikat dan membangun semula syarikat yang rugi.

7. Catatan Wikipedia bahasa Indonesia pula berkata, bintang Sondakh menjadi terang apabila berjaya merapati gerakan Orde Baru (New Order) pimpinan Allahyarham Presiden Suharto.

8. Urus niaga terawalnya dengan GLC Malaysia adalah penjualan saham miliknya dalam firma telekomunikasi, Excelcomindo Pratama kepada Telekom Malaysia (TM) pada tahun 2005 dengan harga AS$400 juta (nilai hari ini kira-kira RM1.8 bilion) dan sekali gus menjadikannya antara orang terkaya di Indonesia.

9. Tidak lama selepas penjualan kepada TM, Sondakh mula membeli aset-aset di Malaysia, termasuk aset milik Khazanah Nasional Berhad. Ini sangat menarik – dia jual asetnya di Indonesia kepada Khazanah (melalui TM) dan beli aset-aset Khazanah di Malaysia.

10. Timbul tanda tanya apakah Sondakh lebih menghargai aset-aset Khazanah di Malaysia daripada asetnya sendiri di Indonesia? Apakah penjualan Eagle High kepada Felda juga cara beliau menukar aset mentah yang belum produktif di Indonesia dengan aset matang dan teruji di Malaysia?

11. Antara aset Malaysia milik Sondakh termasuklah Sheraton Imperial Kuala Lumpur, Four Seasons Resort Langkawi, Pusat Konvensyen Langkawi dan Hotel  St Regis, Langkawi. Hampir  semua aset ini sama ada dibeli daripada Khazanah atau dibangunkan bersama Khazanah dengan kesemua atau sebahagian modalnya diperoleh dari pasaran tempatan.

12. Apakah Sondakh terlibat membantu Najib dengan apa cara jua dalam menangani skandal 1MDB/SRC, khususnya berkaitan misteri "kehilangan" orang yang terbabit langsung dengan skandal itu seperti Jho Low, Nik Faisal Arif Kamil dan Datuk Suboh Mohd Yassin?

13. Akhir sekali, apakah urus niaga Felda-Rajawali ini ulang tayang kepada skim cepat kaya dan pengumpulan tabung pilihan raya seperti yang berlaku kepada 1MDB dan FGV sebelum PRU 2013?

Kesimpulannya, sebarang penghalusan mengenai urus niaga yang melibatkan Sondakh dan Malaysia tidak lengkap tanpa mendalami apa yang tersurat dan tersirat dalam perhubungan di antara Najib, keluarganya dan Peter Sondakh.

Wallahuaklam. 


Kemurahan Selangor bawa keberkatan

Posted: 30 Dec 2016 04:06 AM PST

OLEH AFIX REDZUAN


SHAH ALAM: Kemurahan pentadbiran Selangor pimpinan PAKATAN yang memberikan banyak skim bantuan kepada rakyat membuka lebih banyak pintu keberkatan.

Pendakwah bebas, Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, program bantuan diperkenalkan Kerajaan Negeri dari bayi sehingga warga emas berhasil membuat rakyat gembira dan selesa dengan pentadbiran sedia ada.

dsc_0896

"Ambil contoh Selangor, walaupun dihujung 2015 buat unjuran Belanjawannya defisit, sama dengan Kerajaan Persekutuan.

"Tetapi di hujung tahun 2016 ini rupanya keberkatan Allah buka kepada Selangor, kita ada lebihan RM300 juta. Bahkan Negeri Selangor juga mempunya rizab simpanan tinggi.

"Apabila rakyat gembira, lebih banyak pintu keberkatan terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu forum perdana bertajuk 'Rezeki Berkat, Keluarga Selamat, Allah Rahmat' bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Dipengerusikan selebriti terkenal, Sharifah Anis Al-Idrus, forum berkenaan turut disertai Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dato' Dr Mohd Izhar Ariff.

Forum berlangsung lebih sejam itu antara lain menekankan soal keberkatan dalam mencari rezeki supaya dapat membentuk sahsiah keluarga yang harmoni.

Disamping itu juga, ibu bapa perlu memberikan penekanan terhadap perkembangan anak-anak supaya mengamalkan akhlak Islam bagi mengelakkan mereka mudah terjerumus dalam kancah hiburan melalaikan.
-nR-

Tindakan kunci tayar mulai 1 Sept - DBKL

Posted: 30 Dec 2016 03:57 AM PST

astro awani


Tindakan kunci tayar mulai 1 Sept - DBKL
Mohd Amin berkata tindakan tegas itu akan dilaksanakan di seluruh ibu kota terutama di jalan-jalan utama kawasan tumpuan atau pelancongan. -Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan mengunci tayar kenderaan yang diletakkan sesuka hati sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas bermula 1 Sept.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata tindakan tegas itu akan dilaksanakan di seluruh ibu kota terutama di jalan-jalan utama kawasan tumpuan atau pelancongan.

Kawasan itu ialah Jalan Masjid India, Jalan Tun Sambanthan (Brickfield), Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Jalan Bulan, Jalan Changkat Bukit Bintang, Jalan Chow Kit, Jalan Kenanga, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Solaris Mont Kiara dan Jalan Klang Lama.

"Pelaksanaan ini dilakukan berdasarkan kajian dan penelitian Pemudah (Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan) DBKL yang mendapati sikap pengguna meletak kenderaan secara tidak bertanggungjawab ini menjadi antara punca utama kesesakan lalu lintas.

"Dari Januari hingga Julai tahun ini sebanyak 746,185 kompaun telah dikeluarkan kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas, 232,726 kepada kenderaan yang tidak membayar caj parkir serta 4,857 ditunda kerana kesalahan parkir, jadi tindakan lebih tegas perlu diambil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Kuala Lumpur Low Carbon Society Blueprint 2030 di sini hari ini.

Mhd Amin berkata pemilik kenderaan perlu hadir dan menjelaskan bayaran denda berjumlah RM50 dalam tempoh empat jam tayar kenderaan dikunci bagi tuntutan semula sebelum tindakan menunda diambil dengan denda RM100 dikenakan.

Pelaksanaan undang-undang itu adalah di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.

Denda RM2,000 jika guna pembungkusan plastik, polisterin mulai September 2017

Posted: 30 Dec 2016 03:49 AM PST

ASTRO AWANI


Denda RM2,000 jika guna pembungkusan plastik, polisterin mulai September 2017
Kompaun maksimum sehingga RM2,000 kepada peniaga dan penjaja yang melanggar penguatkuasaan penguatkuasaan larangan pembungkusan plastik - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengenakan kompaun maksimum sehingga RM2,000 kepada peniaga dan penjaja yang melanggar penguatkuasaan larangan pembungkusan plastik dan polisterin mulai 1 Sept 2017.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata tindakan itu susulan pelaksanaan penggunaan produk jenis biodegradasi (boleh urai) yang berkuat kuasa mulai Ahad ini.

Beliau berkata kementerian memberi tempoh selama sembilan bulan sebagai usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada warga kota sebelum melaksanakan 100 peratus penggunaan bahan tersebut.

"Dalam tempoh tersebut, kita menyasarkan agar Kuala Lumpur menjadi bandar raya bebas plastik. Saya menggalakkan rakyat agar berhenti menggunakan beg plastik, sila bawa beg anda sendiri apabila membeli-belah," katanya pada sidang media sempena penguatkuasaan penggunaan produk biodegradasi di sini hari ini.

Katanya kementerian telah memaklumkan kepada persatuan peniaga dan pasar malam berhubung pelaksanaan itu selain mendapat kerjasama daripada pembekal produk biodegradasi yang menepati keperluan peniaga dan pengguna.

"Kebiasaannya bahan biodegradasi ini mahal...hasil daripada perbincangan bersama pembekal, mereka telah pun bersetuju untuk menawarkan harga borong yang wajar kepada peniaga-peniaga setanding dengan harga polisterin dan plastik," katanya.

Loga Bala berkata tindakan proaktif kementerian itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman polisterin dan plastik terhadap kesihatan, sekali gus menggalakkan pembangunan industri pengeluaran produk biodegradasi.

Pelancaran penggunaan bahan boleh urai itu telah disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 3 Jun lepas.

Mengulas mengenai pelaksanaan undang-undang itu, rakan kongsi Restoran Chat Masala Brickfields dan Klang, N. Palaniappan berkata restoran itu sedang menggantikan bekas polisterin kepada bekas makanan biodegradasi secara berperingkat.

"Kami faham akan keburukan bekas polisterin itu...jadi kami guna pendekatan gantikan ia dengan bekas mesra alam bagi pengguna.

"Biarpun harga bekas itu lebih mahal berbanding bekas polisterin, kami tak kisah melaksanakannya...harga makanan yang dijual akan tetap sama, margin keuntungan mungkin kurang tetapi kami tidak akan rugi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, restoran itu pernah menerima notis daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung pelaksanaan penggunaan produk jenis biodegradasi.
 
Sementara itu, peniaga pasar malam di Pantai Dalam di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Kadir berkata larangan penggunaan plastik di pasar malam sukar dikawal memandangkan pengguna lebih 'mesra plastik'.

"Mungkin mereka perlu membawa beg kertas atau beg kain sendiri ketika ke pasar malam, implementasi sepenuhnya tetap akan mengambil masa panjang," katanya. -- BERNAMA 
 
 

PAN 'bayi tabung uji' DAP?

Posted: 30 Dec 2016 03:38 AM PST


 
Oleh IZWAN ABDUL HALIM


SELIDIK secara teliti di seluruh negara, PAN didirikan kerana atau oleh mereka yang punya tiga faktor utama iaitu kecewa, kedudukan dan keras. Untuk tubuh satu wadah hakikatnya mereka tidak punya kekuatan, jauh sekali asas atau dasar. PAN hanya lahir dari golongan yang bercampur dengan serpihan genetik JIM dan disuntik dengan ubat 'booster' khas DAP.

DAP mahu melanjutkan agendanya dan mengukuhkan dendamnya akibat diputuskan tahaluf oleh Majlis Syura Ulamak PAS yang menyaksikan kedudukannya di arena politik tergugat, apatah lagi setelah gagal menguasai Pakatan Rakyat.

Maka PAN ditubuhkan kononnya menggantikan PAS yang dilabel telah tergelincir dari landasan perjuangan Islam. PAN dikatakan lebih Islam dan moderat, walaupun PAN sebenarnya diambil alih asalnya dari Parti Pekerja berlogo cangkul di mana pengerusi atau pengasasnya seorang India beragama Hindu. Jadi, di mana dasar atau asas dan Perlembagaan Islam PAN?

Malah, ulama seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsudin yang mulanya ditonjolkan ketika menyaingi kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, hari ini langsung tenggelam dari kepimpinan PAN.

Begitu juga penubuhan Pakatan Harapan (PH) gabungan bersama DAP, PKR dan PAN, hakikatnya sekadar merawat kesedihan sendiri dan cuba menunjuk kuat. Sebaliknya, sokongan kepada PAS semakin menunjukkan peningkatan.

Penubuhan itu juga membuktikan ketidaktelusan DAP kerana Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak diikat bersama. Sedangkan, PAS dijadikan mangsa dengan seteruk-teruknya dalam isu Kota Damansara pada PRU13 lalu. Walhal, PAS berpendirian kerana pembahagian kerusi hanya melibatkan sesama anggota Pakatan Rakyat (PR). PAS mengambilnya sebagai waspada dari risiko memberi kemenangan percuma kepada BN, sementelah lagi PSM pula bukan anggota PR.

Bermakna wujud percaturan lain dibelakang yang turut didalangi (baca: dikhianati) beberapa pimpinan PAS ketika itu. Tetapi hari ini, setelah PAS tiada dalam gabungan mereka, mengapa tidak dijemput PSM untuk bersama? Kerana PSM juga hanya mahu dijadikan alat mereka.

Apatah lagi pimpinan PSM boleh dikatakan terdiri dari mereka yang berprinsip dalam sesuatu perkara di mana hal itu kurang disenangi DAP. Kerana DAP sudah terpalit pelbagai skandal dan kontroversi seperti hidup mewah atas jawatan, rasuah, melindungi kegiatan-kegiatan pusat hiburan dan rumah urut yang dipercayai berselindungnya gangsterisme, pelacuran, arak dan sebagainya.

Usaha DAP untuk berlagak dengan dengan PH tidak menjadi, akhirnya melenting apabila pemimpin PKR masih sepentas bersama PAS dalam program-program besar. Ketika sama, program PAN terlalu hambar dan mengecewakan.

Begitu juga tatkala ditubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sedaya upaya diusahakan bersama PH supaya PAS dilihat sendirian. Malangnya PPBM sekadar berminat menjalin kerjasama pilihan raya, tetapi tetap bebas bersama PAS.

Begitu angkuhnya DAP hingga cuba menghalau PAS dari Kerajaan Negeri Selangor. Padahal mereka lupa, tidak akan tertegak kerajaan tanpa gabungan bersama PAS+DAP+PKR. PAS terus kekal atas mandat asal yang datang daripada rakyat. Jika keluar PAS, maka tidak cukup gabungan untuk menjadi kerajaan, mandat rakyat akan dikecewakan atau dikhianati.

PAS boleh sahaja mengambil langkah berani, tetapi yang sengsaranya ialah DAP, kerana dengan tindakan itu tentunya PKR memilih untuk bersama PAS dan menjauhi DAP. Reputasi nasional DAP akan terjejas dan hanya menambah kekusutan serta melambakan masalah.

Maka, segalanya serba tidak menjadi bagi DAP ditambah PAN yang sememangnya dari dulu populis sering mengeluarkan pendirian bercanggah dan kalut.

Malah, mutakhir ini DAP dilihat semakin menikus apabila banyak isu-isu berlaku berkaitan Islam, Melayu dan Raja. Tidak mampu mereka untuk menampakkan muka. DAP barangkali sedar bahawa imej politik mereka akan kian merudum jika masuk campur. Maka terpaksalah digunakan PAN sebagai khadam yang setia.

Percayalah, selepas ini semakin PAS memperkasakan "Inilah Penyelesaian Kita" iaitu merujuk kepada penyelesaian Islam, akan semakin banyak hiruk pikuk dan sibuk tak tentu pasal yang PAN timbulkan untuk menyaingi PAS.

Hakikatnya, mereka dibayangi DAP yang tidak pernah selesa dengan agenda Islam dimartabatkan dalam negara ini

'Tetapkan harga siling RON95 pada RM2 seliter'

Posted: 30 Dec 2016 03:20 AM PST

DETIK DAILY
 



Ahli Parlimen Pandan dari PKR, Rafizi Ramli mahu kerajaan menetapkan harga siling RM2 seliter bagi minyak petrol gred RON95 dengan mengembalikan subsidi minyak

Kata beliau, sebarang kenaikan harga petrol gred itu yang melepasi RM2 seliter perlulah diimbangi dengan kenaikan pendapatan luar yang diperolehi kerajaan ekoran lonjakan harga minyak mentah.

"Saya jangka harga (petrol gred) RON95 mengikut formula kerajaan akan kekal sekitar RM2.20 bagi beberapa bulan pertama 2017.

"Ia setelah mengambil kira suasana ekonomi global yang menunjukkan harga minyak mentah akan kekal melebihi paras ASD55 setong bagi beberapa bulan akan datang dan nilai ringgit yang kekal lemah," katanya dalam kenyataan.

Sebulan yang lalu, kerajaan mengumumkan harga minyak petrol RON95 dan RON97 serta diesel turun lima.
Harga baru untuk bulan ini ditetapkan pada RM1.90 untuk RON95, RM2.25 untuk RON97 dan RM1.80 (diesel).

Kerajaan menentukan harga minyak melalui sistem apungan terkawal yang mengambil kira harga pasaran minyak mentah dunia dan kekuatan mata wang negara untuk bulan sebelumnya.

Mengulas lanjut, kata Rafizi, berdasarkan kajian yang dilakukan, kenaikan melebihi 25 sen seliter itu adalah tinggi bagi keluarga berpendapatan bawahan dan pertengahan.

"Bagi keluarga biasa yang mempunyai sebuah kereta dan tinggal di bandar atau separa bandar, dengan anggaran purata penggunaan petrol sebanyak 250 liter sebulan, kenaikan 25 sen ini bermakna peningkatan kos sebanyak RM62.50 setiap isirumah bagi bulan Januari 2017.

"Bagi keluarga yang pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan (sekitar 60 peratus dari keluarga di Malaysia), peningkatan kos petrol RM62.50 sebulan ini bersamaan dengan kehilangan 2.5 peratus gaji mereka bagi bulan itu," kata Rafizi.

Oleh itu, jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membenarkan harga ditetapkan mengikut formula yang beliau sendiri tetapkan sebelum ini, ia adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan kejam dalam keadaan sebahagian besar isirumah Malaysia bergelumang dengan gaji yang rendah dan kenaikan kos sara hidup, katanya.


Ezam Nor keluar PPBM?

Posted: 30 Dec 2016 03:14 AM PST

DETIK DAILY




PETALING JAYA: Bekas senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor dipercayai keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kurang 3 bulan menyertai parti itu selepas keluar daripada Umno, menurut sumber.

Sumber memberitahu , bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memaklumkan perkara itu kepada setiausaha agung PPBM dalam suratnya.

FMT masih gagal menghubungi Ezam bagi mengesahkan perkara itu.

Ia merupakan kali ke-2 PPBM berdepan tindakan ahli keluar parti, selepas Datuk Khairuddin Abu Hassan pada 27 Oktober lalu.

Ezam merupakan antara orang kuat Anwar yang memainkan peranan penting mengasaskan Parti Keadilan Nasional, yang kemudian dinamakan semula kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas bersatu dengan Parti Rakyat Malaysia.

Ezam bagaimanapun menyertai semula Umno pada 2008, dipercayai ekoran perselisihan faham dengan Anwar dan beberapa pimpinan tinggi PKR.

Sumber memberitahu FMT, Ezam yang dilihat rapat dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, kecewa dengan haluan parti yang baru-baru ini menyaksikan Anina Saadudin, diturunkan daripada jawatan ketua sayap wanitanya, Srikandi.

Sumber turut memberitahu FMT, lebih ramai aktivis PPBM yang menyertai parti serpihan Umno itu akan mengikut jejak Ezam dan Khairuddin.

"Sebab itu kini PPBM gagal menarik masuk ramai ahli baru kerana parti ini kelihatan seolah-olah milik eksklusif individu tanpa bersikap inklusif," kata sumber itu, sambil mempersoalkan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih "bercuti di Eropah" ketika ahli pembangkang "berjuang di peringkat akar umbi di seluruh negara".

"Gerak kerja PPBM cukup lemah setakat ini dan tidak memberi keyakinan kepada orang ramai untuk menjadi ahlinya," tambahnya.-FMT

PAS tak perlukan Pakatan Harapan untuk terus tadbir Kelantan

Posted: 30 Dec 2016 03:11 AM PST

DETIK DAILY




PETALING JAYA: PAS Kelantan dan Terengganu menolak cadangan Pakatan Harapan (PH) membenarkan parti itu "mengetuai" pembangkang di 2 negeri terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata setiausaha PAS Kelantan.

Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, Amanah tidak perlu memberi nasihat atau cadangan kepada PAS kerana parti serpihan itu tiada pendirian jelas.

"Kita tidak nampak akan ada kerjasama dengan Amanah selepas pengkhianatan yang dilakukan Amanah, malah PAS juga tidak nampak dasar jelas yang ada pada Amanah, selain melaksanakan apa-apa arahan atau kehendak DAP," katanya kepada FMT hari ini.

Beliau sebaliknya mengingatkan Amanah untuk menyedari hakikat kekuatan mereka sebenarnya tidak diyakini sekutunya dalam PH, sehingga ada pemimpin yang mencadangkan parti itu dibubarkan.

"Di peringkat pusat sendiri ada cadangan daripada pemimpin PKR supaya Amanah ini dibubarkan dan bergabung dengan PKR, itu satu petunjuk rakan yang sudah bersama Amanah pun sedar tidak ada sebab untuk Amanah ini wujud.

"PKR sebelum ini pernah bekerjasama dengan DAP, bekerjasama dengan PAS, tetapi tidak pernah lagi mereka beri cadangan supaya PAS dibubar dan bergabung dengan PKR. Begitu juga dengan DAP, mereka tidak minta parti itu dibubarkan kerana PKR melihat kedua-dua parti ini ada peranan dan kekuatan tersendiri."

Katanya, PAS Kelantan yakin mampu mengekalkan pentadbiran di negeri itu tanpa perlu menyertai PH kerana rakyat masih menyokong parti Islam itu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bahri Mamat berkata, pihaknya akan mematuhi arahan PAS pusat dan tidak akan sesekali mengadakan rundingan dengan PH, termasuk Amanah berhubung soal pembahagian kerusi.

"PAS Terengganu sedia berdepan pertandingan 3 penjuru, PAS mempunyai kelebihan tersendiri kerana parti sudah bertapak sejak 1959 dan pernah memerintah 2 kali. Kita tidak terikat dengan PH, jadi kita boleh buat keputusan sendiri.

"Setakat ini, kerusi yang kita bertanding pada PRU lepas kita kekal bertanding dan kita juga putuskan bertanding di semua kerusi di Terengganu melibatkan 8 Parlimen dan 32 DUN. Soal pembahagian kerusi dengan PKR, kita tunggu bagaimana keputusan PAS pusat," katanya.

Selasa lalu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, PAS tidak dipinggirkan daripada perancangan PH untuk PRU14, sebaliknya mereka bercadang membenarkan parti Islam itu "mengetuai" pembangkang di Kelantan dan Terengganu dengan syarat mareka bekerjasama dengan pakatan berkenaan.

"Jika PAS mahu turut serta, sudah tentu kami akan benarkan mereka 'mengetuai' Kelantan dan Terengganu.

"Walaupun kami akan bertanding di beberapa kerusi di Kelantan, tetapi kami akan pastikan PAS 'mengetuai' di Kelantan and Terengganu," kata Khalid.

Kelakuan PAN porak perandakan PH

Posted: 30 Dec 2016 03:08 AM PST


 
Oleh IZWAN ABDUL HALIM


DALAM bulan Disember ini sahaja terlalu banyak hiruk pikuk, kekalutan dan pendirian saling bercanggah antara pimpinan Pakatan Harapan (PH) - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). (*Kronologi lengkapnya akan disusuli kemudian insya-Allah)

Sedangkan mereka baharu sahaja menandatangani perjanjian kerjasama antaranya berkaitan pilihan raya. Perkara paling penting menghadapi pilihan raya tentulah pembahagian kerusi. Malangnya, masing-masing menunjukkan ketamakan. Bahkan sibuk pula dan kemudian saling bercanggah lagi mengenai calon Perdana Menteri.

Walhal, untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil pun mereka kekurangan tenaga, inikan pula nanti Pilihan Raya Umum. Modal pilihan raya bukan air liur ceramah sahaja....

Tiba-tiba, di sebalik keghairahan mereka mengenai kerusi dan calon PM, diumumkan oleh Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad kesediaan membenarkan PAS mengetuai kerajaan di Kelantan dan Terengganu nanti. Apakah ertinya? Bahkan sebelumnya rakan mereka di Johor mahu menawan kubu BN itu dengan membawa seramai mungkin pemimpin nasional PH berpotensi ke negeri Selatan Tanah Air itu. Di manakah sebenar-benarnya mereka sasarkan?

Sebenarnya gelabah, porak peranda, hilang punca dan bayang-bayang kecemasan mulai melanda kem mereka. PAN cuba menagih PAS untuk berbaik dengannya memberi ihsan kerusi ditandingi, sesuatu yang mustahil untuk pengkhianat. Ketika sama bermakna longgarnya keyakinan, cuba menikam rakan yang lain, cuba menipu dan melanjutkan pencurian.

Nyawa PAN benar-benar bergantung kepada perolehannya pada PRU nanti dan banyak berharap DAP akan memihak banyak perkara kepadanya. Ketidaktentuan dan sikap mereka akan terus dibawa-bawa. Ingat sebagaimana terjadinya saling berebut pada Pilihan Raya Negeri Sarawak lalu, seperti itulah mengulangi keadaannya kepada PKR - DAP - PAN - PPBM.

Mereka hanya bersatu di atas kertas dan gambar sidang media, tapi haluan mereka sendiri-sendiri. Mana mungkin angkatan yang kucar kacir seperti ini dapat menumbangkan gergasi ganas BN? Melainkan kebijaksanaan seperti Nabi Daud AS menewaskan Jalut yang tentunya baka hikmah ini dimiliki kelompok ramai ulama iaitulah PAS

50,000 pekerja akan dibuang tahun depan?

Posted: 30 Dec 2016 03:06 AM PST


 
Oleh Arif Atan


Ekoran pertumbuhan perlahan yang dialami industri sejak Ogos 2015, puluhan ribu pekerja menjengah tahun 2017 ini diramal akan hilang sumber pendapatan akibat diberhentikan majikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), MEF, Datuk Samsuddin Bardan menjangkakan jumlah pekerja terbabit akan terus meningkat antara 45,000 hingga 50,000 orang.

Dipetik daripada laporan Free Malaysia Today (FMT), beliau berkata, sektor teknologi kewangan (Fintech),
teknologi insurans (Insurtech), pembuatan dan pembinaan menyaksikan risiko tinggi pemberhentian kerja ekoran kemerosotan kadar permintaan.

Langkah membuang pekerja, jelasnya, didorong oleh kesukaran syarikat meraih keuntungan akibat kelemahan produk dan perkhidmatan di pasaran tempatan serta eksport.

"Ini disebabkan ketidaktentuan ekonomi di negara pengeksport utama, termasuk negara Eropah, Amerika Syarikat, China dan Jepun yang mengakibatkan pasaran eksport lemah.

"Dalam pasaran tempatan pula, harga barangan dan perkhidmatan akan naik menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkat dan pengguna berwaspada ketika berbelanja," jelasnya.

Pada masa sama, Samsuddin memberitahu, kadar kenaikan gaji di kebanyakan syarikat tidak tinggi bahkan lebih rendah berbanding kadar kenaikan tahun ini.

Menurutnya, kadar kenaikan gaji bagi pekerja bukan eksekutif tahun ini ialah 5.51 peratus dan tahun depan dijangkakan 5.43 peratus manakala kadar kenaikan gaji bagi eksekutif pula ialah 5.55 peratus tahun ini tetapi mungkin naik sekitar 5.3 peratus sahaja tahun hadapan.

"Pendapatan dan keuntungan kebanyakan majikan terjejas dan dijangka mengalami penurunan 30 hingga 40 peratus tahun ini berbanding tahun 2015.

"Cabaran terbesar majikan pada tahun depan ialah bagaimana mengekalkan prestasi perniagaan dan jumlah pekerja ketika modal berniaga semakin meningkat," ujar Samsuddin lagi.

Ringgit jatuh teruk  

Sementara itu, MIDF Research menjangkakan ringgit akan bergerak dalam turun naik yang tidak menentu pada tahun depan akibat ketidaktentuan di pasaran global.

Firma penyelidik itu dalam nota penyelidikannya semalam mengunjurkan ringgit dijangka bergerak hampir tidak berubah pada tahun 2017 dan mencecah paras 4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir tahun depan.

Ringgit menyaksikan terus berdepan tekanan apabila sekali lagi mencecah paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1998 apabila dibuka pada 4.4783 berbanding dolar AS, sebelum mencecah 4.4838 pada sesi dagangan semalam.

Menurut perangkaan Bloomberg, kedudukan tersebut adalah paras terendah sejak Januari 1998.-malaysiadateline.com

Setahun berlalu, tapak taman komuniti di Kluang kini masih terbiar kosong

Posted: 29 Dec 2016 08:42 PM PST


Oleh Syazana Hasanudin


KLUANG- 2016  bakal melabuhkan tirainya, namun tapak untuk projek Taman Komuniti Kampung Melayu Kluang yang dijanjikan oleh Majlis Perbandaran Kluang (MPK) masih kosong tanpa sebarang tanda ia akan dibangunkan.

Demikian keluhan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali yang meminta pihak berwajib memberi jawapan segera dan status semasa pembangunan projek yang menggunakan peruntukan sebanyak RM3 juta dalam Belanjawan Johor 2016 itu.

Beliau berkata, semasa mengedarkan akhbar The Rocket di Pasar Tani Kluang beberapa hari lalu, ramai penduduk termasuk golongan peniaga meluahkan rasa tidak puas hati dan mempersoal sama ada janji yang dibuat oleh MPK tersebut hanyalah 'cakap tak serupa bikin'.

Lebih-lebih lagi, sebelum ini ia merupakan kawasan perniagaan pasar tani dan pasar malam yang cukup strategik dan memberi kemudahan kepada peniaga serta pengunjung.

Namun, atas arahan MPK dengan alasan akan dibangunkan taman komuniti, mereka terpaksa berpindah ke tapak baru, sedangkan kawasan lama sesuai untuk tujuan parkir, aliran keluar masuk kenderaan dan pemunggahan barang jualan peniaga.



"Hingga kini, tapak tersebut masih kosong. Tidak ada petanda yang sebuah Taman Komuniti akan dibangunkan. Sebatang pancang pun tidak naik.

"Ia menimbulkan tanda tanya di kalangan peniaga pasar tani dan pasar malam yang 'dihambat' keluar dan terpaksa memindahkan aktiviti perniagaan mereka sebelum ini," katanya kepada Roketkini.

Menurut pemerhatian Pegawai Khas Ahli Parlimen Kluang itu, hanya ada tiga papan tanda projek yang dinaikkan, justeru beliau bimbang tapak itu akan menjadi kawasan 'lepak' di kalangan anak muda Kluang.
"Kita khuatir hal ini akan membuka pintu kepada aktiviti yang lebih buruk lagi.

"Oleh itu, saya ingin bertanya kepada pihak MPK dan jabatan di kementerian yang terlibat, apakah perkembangan terkini berhubung projek ini?

"Rakyat mahukan penjelasan tentang kedudukan sebenar berkaitan projek taman komuniti yang dijanjikan," tegasnya. – Roketkini.com


Anak muda dan dadah, di manakah titik noktah: Dr Rafidah

Posted: 29 Dec 2016 08:30 PM PST

Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim 
 
 


IBU muda itu datang membawa anaknya yang berumur 1 tahun, dengan aduan demam, batuk dan sesak nafas selama seminggu. Bertanya lanjut hal pemakanan si bayi, si ibu sudah sebulan memberi bayinya "susu" dari bancuhan air bersama krimer pekat manis yang biasa digunakan untuk menyediakan minuman seperti teh tarik.

Selain daripada berat badan bayi yang berkurangan daripada yang sepatutnya dan menunjukkan tanda-tanda malnutrisi, bayi tersebut mengalami jangkitan pernafasan pneumonia yang teruk, dengan bibir kebiruan, yang menyebabkan saya terpaksa merujuknya ke hospital besar segera agar mendapat mendapat rawatan lebih intensif.

Si ibu rupanya terpaksa tidak menyusukan anak dengan susu badan kerana beliau bekerja. Ditanya mengenai sejarah keluarga, beliau mengakui suaminya seorang penagih dadah dan tidak dapat memberikan nafkah beliau anak-beranak.

Suami juga kerap meminta wang daripada beliau, yang akhirnya memaksa beliau bekerja kerana kesempitan wang. Anak yang masih kecil itu terpaksa dihantar ke penjaga, dengan bekalan "susu" krimer pekat manis, apabila susu formula biasa sudah kehabisan.

Sebelum beliau dan bayinya menaiki ambulan untuk dirujuk ke hospital, saya bergegas ke kedai runcit di hadapan klinik bagi membeli setin susu formula dan diberikan kepada beliau. Saya tahu ia tidak mencukupi, dan keadaan akan kembali seperti asal sebaik beliau dan bayi keluar dari hospital nanti, tetapi itulah yang termampu yang saya lakukan sebagai seorang doktor yang baru ditahun kedua perkhidmatan ketika itu.

Oleh kerana itulah, ketika diundang sebagai salah seorang ahli panel Forum Seminar Antarabangsa Pencegahan Penyalahgunaan Dadah (PREVENT 2016) anjuran Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) dan Mahasiswa Sarjana Kaunseling Penyalahgunaan Dadah (SPADA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertajuk Adakah Pencegahan Berkesan? , saya mengulangi pendirian, bahawa perang ke atas gejala penagihan dadah ini, baik dari sudut pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah perlu diteruskan secara berterusan dan dalam skala yang lebih besar.

Pengharaman sebarang bahan yang mempunyai elemen ketagihan perlu sentiasa disokong oleh kerajaan dan semua pihak, walaupun ada gesaan untuk dilonggarkan pengharaman ini demi manfaat pengkomersilan. Impak dadah ke atas faktor sosial, kesihatan penagih dan kesihatan keluarga penagih seperti yang saya gambarkan diawal artikel ini, tidak dapat diukur dengan timbal-balik keuntungan dari pengkomersilan bahan-bahan ketagihan ini.

Dadah yang disalahgunakan secara umumnya terbahagi kepada opiate seperti opium, heroin, morfin, kodein; stimulant (dadah perangsang) seperti Amphetamine (pil kuda, yaba), Methamphetamine (syabu, ice), pil ekstasi; depressant (dadah penenang) seperti dormicum, valium, eramin 5; hallucinogen (dadah pengkhayal) seperti LSD, ketamin dan marijuana (kanabis) seperti ganja.

Dadah dan pelajar sekolah

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia mendedahkan keputusan satu kajian yang melibatkan 35,755 responden merangkumi pelajar tingkatan satu hingga enam yang mendapati 1,457 daripada mereka mengambil dadah. 

Jumlah ini merupakan 4 peratus daripada jumlah sampel kajian. 74 peratus daripada mereka yang terlibat dengan dadah ini mengambil Methamhetamine, 20 peratus kanabis dan selebihnya dadah jenis lain. Pelajar tingkatan lima mencatat peratusan tertinggi pengambilan dadah iaitu 40.6 peratus, diikuti tingkatan empat (32.5 peratus), tingkatan tiga (19.8 peratus), tingkatan dua (5.4 peratus) dan tingkatan satu (0.08 peratus).

Trend pengambilan dadah dikalangan pelajar ini membimbangkan kita. Di samping sekolah yang bekerjasama dengan AADK memantau gejala ini, didikan dan pemantauan ibubapa kekal sebagai instrumen paling utama. Kajian menunjukkan remaja mengambil dadah stimulant ini akibat faktor dalaman dan faktor luaran.

Faktor dalaman


Bagi faktor dalaman, remaja mengambil kerana ingin menghilangkan masalah dan rasa kebosanan. Oleh kerana itu penting bagi ibubapa untuk menjadi tempat anak-anak merujuk permasalahan mereka dan mendengar luahan rasa remaja.

Ibu bapa mesti meluangkan masa untuk anak-anak walau sesibuk mana pun mereka. Meluangkan masa tidak semestinya memerlukan percutian keluarga yang mahal. Memadai memastikan ada aktiviti bersama keluarga walaupun hanya dirumah, agar anak-anak rasa diberi perhatian.

Selain daripada itu, ibu atau bapa, boleh bergilir keluar dengan setiap anak remaja seorang demi seorang, sekadar temujanji makan bersama contohnya, agar mereka mendapat momen istimewa atau saat privasi mereka bersama ibubapa.

Sudahkah anda membuat temujanji dengan setiap anak anda agar mereka berasa istimewa?

Remaja juga mengambil dadah kerana rasa ingin tahu, tekanan rakan sebaya dimana mereka tidak berani mengatakan tidak kepada pelawaan rakan, tidak mengetahui bahaya dadah dan terpengaruh dengan dakyah rakan-rakan yang mengatakan dadah boleh memberi faedah seperti dapat menurunkan berat badan, bertenaga, lebih berkeyakinan dan sebagainya.

Oleh kerana itu, ibu bapa harus menekankan aspek jatidiri dengan memperkasakan anak-anak anda dari sudut membentuk mereka kuat dan yakin mempertahankan pendapat mereka bila berhadapan dengan tekanan rakan-rakan.

Bagaimana membentuk kekuatan jati diri ini? Ibu bapa harus terlebih dahulu menanam rasa percaya kepada diri sendiri pada anak-anak, dengan meraikan pendapat mereka, menghormati pandangan anak-anak, mengambil serius lontaran pendapat mereka dan tidak keterlaluan dalam mengkritik pendapat mereka.

Membina kepercayaan diri sendiri itu sebenarnya bermula dari rumah. Bagi seorang remaja Muslim, disiplin menunaikan tanggungjawab untuk solat 5 waktu tanpa diperingatkan, misalnya, adalah satu pembentukan kawalan diri (self-disciplined and self controlled) yang penting agar remaja, dapat menguasai diri sendiri dan tidak mudah mengalah dengan desakan kawan-kawan dan juga pengedar dadah diluar sana.

Kajian oleh Partnership for a Drug-Free America menunjukkan 50 peratus remaja kurang menggunakan dadah jika mereka mengetahui risiko penggunaan dadah dari ibubapa sendiri. Oleh itu, ibubapa perlu berkongsi maklumat dengan anak-anak apakah bahaya dadah.

Apakah bahaya dadah Methamphetamine?

Apakah yang perlu diterangkan kepada anak-anak remaja anda dan apakah tanda-tanda yang perlu anda perhatikan?

Metamphetamine, walaupun digembar-gemburkan sebagai boleh memberi tenaga, akan "menuntut" semula tenaga tersebut selepas tamat aktiviti dadah tersebut di dalam badan. Penagih boleh berjaga sehingga berhari-hari, namun kemudiannya lesu dan tidur pula berhari-hari.

Dadah tersebut boleh menyebabkan percakapan berlebihan, rasa kegelisahan dan panik, hiperaktif, penurunan berat badan yang ketara, menjadi agresif, dan perubahan emosi. Selain daripada itu, terdapat penurunan prestasi pelajaran yang mendadak, kerap ponteng sekolah, hilang minat ke atas perkara yang sebelum ini diminati pelajar, kerap bertukar-tukar kawan (biasanya remaja mempunyai sahabat baik yang dipercayai atau kumpulan kawan rapat "click').

Dari sudut psikologi, pelajar boleh mengalami kemurungan dan mempunyai idea untuk mengambil nyawa sendiri atau mencederakan orang lain.

Dipetik daripada buku Garis Panduan Pengendalian Penyalahgunaan Stimulan Jenis Amfetamin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia:

" Methamphetamine/methamphetamine chloride juga dikenali dengan nama Speed, Speedball, Meth, Chalk, Syabu, Ice, Crank, Glass, Crystal, Tweak. Kebanyakan dadah jenis ini diproses secara haram di dalam makmal rahsia oleh mereka yang tidak terlatih. Ia juga boleh diklasifikasikan kepada tiga kategori mengikut kualiti ketulinannya.

Sebagai contoh, jenis berkualiti tinggi berwarna putih kristal diikuti dengan yang berwarna putih kemerahan dan yang paling rendah kualitinya pula mempunyai rasa yang pahit. Dadah jenis ini digunakan secara "chasing the dragon" atau menggunakan peralatan yang hampir menyerupai penghisap candu.

Ibu bapa dengan itu harus cakna tentang barangan yang dimiliki oleh anak-anak, dan bertindak segera sebelum mereka pergi lebih jauh lagi dalam penagihan.

 Faktor luaran

Faktor luar adalah faktor persekitaran, tekanan dari drug pushers atau pengedar dadah juga keldai dadah. Ibubapa perlu mengawasi dengan siapa anak-anak kita berkawan.

Selain daripada itu, dadah kini dijual dalam bentuk yang sama seperti ubat-ubatan lain dalam bentuk pil.
Sebagai contoh dadah dalam kumpulan Methylenedioxyamphetamine atau MDMA, lebih dikenali dengan nama Ecstasy (pil ekstasi), MDM, XTC, E's, Ease, X, XTC, Eccies, Love Drugs, Hug drug, dan Disco Biscuits adalah lebih kuat daripada bahan kimia induknya iaitu methamphetamine.

Pil ekstasi dijual dalam bentuk tablet kecil atau kapsul berwarna kuning atau putih. Ada juga yang berwarna merah jambu, ungu, biru, berbintik-bintik atau berjalurjalur. Terdapat berbagai-bagai bentuk tablet seperti bentuk hati, dove, robin, rabbit dan champagne bottle.

Penting bagi ibubapa mengawasi pengambilan sesuatu yang kelihatan seperti "ubat" oleh anak-anak.

Polisi negara harus tegas terhadap bahan ketagihan


Tidak berapa lama dahulu hangat diperkatakan apabila beberapa pihak mencadangkan agar status pengharaman ganja dibawah Akta Dadah Merbahaya 1952 dipinda. Ganja atau marijuana dari tumbuhan Cannabis sativa dikatakan sebagai penghilang tekanan dan mempunyai khasiat perubatan.

Beberapa contoh negara Eropah seperti Belanda yang membenarkan penggunaan ganja sebagai dadah rekreasi dijadikan contoh dalam menyokong gesaan ini. Penulis yang pernah ke Belanda melihat bagaimana cannabis (weed, hash dan marijuana) dijual secara terbuka di kedai kopi berlesen, bahkan tema ganja dijadikan barangan cenderahati seperti rantai kunci, cawan dan t-shirt.

Dalam 5 tahun kebelakangan ini, terdapat kajian jangka panjang berkenaan ganja yang telahpun selesai.

Dalam tahun 2012, penyelidik dari New Zealand melaporkan hasil kajian mereka yang melibatkan 1037 peserta dalam "The Dunedin Study" yang lahir dalam tahun antara tahun 1972 dan 1973. Penggunaan ganja dikenalpasti melalui temuramah ketika mereka berumur 18, 21, 26, 32, dan 38 tahun.

Ujian neurofisiologi dilakukan lebih awal dari itu, iaitu ketika berumur 13 tahun sebelum mereka menggunakan ganja, dan sekali lagi ketika mereka berumur 38 tahun.

Kajian ini mendapati mereka yang menggunakan ganja sejak dari remaja mempunyai IQ yang lebih rendah, dan kadar IQ tidak meningkat walaupun mereka berhenti menggunakannya setelah dewasa.

Dalam tahun 2015, kajian Coronary Artery Risk Development in Young Adults (CARDIA) yang melibatkan 4000 dewasa muda selama 25 tahun melaporkan penggunaan ganja menurunkan memori lisan dengan ketara.

Dari sudut produktiviti dan disiplin, sebuah kajian melibatkan sekumpulan pekerja menunjukkan mereka yang disahkan positif ganja melalui ujian air kencing sebelum diambil bekerja, 85% dari kalangan mereka merekodkan kecederaan sewaktu bekerja dan 75% menunjukkan gejala ponteng dibandingkan dengan rakan sekerja yang disahkan bebas ganja melalui ujian air kencing.

Begitu juga dengan ketum, di mana timbul isu mengenai potensi ia untuk dikomersilkan dan dijual ke negara-negara maju sebagai ubat-ubatan.

Pokok ketum, juga dikenali sebagai Kratom dalam sains herba, ialah sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae banyak terdapat di utara dan tengah Semenanjung Malaysia serta di selatan Thailand.

Nama botaninya ialah Mitragyna speciosa korth. Ia tidak tersenarai dalam Akta Dadah Merbahaya namun penjualan atau pembelian air ketum boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, dengan denda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketum, walaupun dikatakan mempunyai khasiat tradisional memulihkan tenaga, namun sejak akhir-akhir ini dilaporkan berlaku penjualan air ketum berleluasa yang menyebabkan ketagihan kepada para remaja dan pelajar, terutamanya dibahagian utara tanah air.

Kajian oleh Darshan Singh dan para penyelidik dari Pusat Penyelidikan Dadah, Universiti Sains Malaysia (USM) dalam tahun 2014 menunjukkan lebih 50 peratus daripada 293 responden kajian yang mengambil air ketum secara konsisten lebih dari 6 bulan menunjukkan ketagihan yang serius.

Mereka melaporkan tanda-tanda withdrawal fizikal apabila berhenti mengambil air ketum seperti demam, kejang dan kesakitan otot, susah tidur, mata dan hidung berair, kurang selera makan dan cirit birit.

Tanda withdrawal psikologi ialah tidak keruan, tertekan dan mudah marah serta gementar. Ini menunjukkan air ketum mempunyai kesan ketagihan. Kita berasa bimbang dengan para pelajar yang memulakan tabiat ini sejak dari awal, yang berpotensi mendatangkan kesan jangkapanjang kepada perkembangan otak.

Kita tidak mahu mengulangi sejarah lama dengan cadangan pengkomersilan daun ketum ke luar negara atas sebarang tujuan. Syed Hussein Alatas menyatakan dalam bukunya "The Myth of Lazy Natives" bahawa ketika Malaysia masih dijajah, kerajaan British ketika itu memonopoli jualan dadah opium di Malaya sekitar tahun 1910, dan opium menjadi antara hasil utama Malaya sehingga 60 peratus jumlah hasil eksport, selain bijih timah dan getah.

Walaupun dibantah orang ramai yang meminta opium diharamkan, kerana ia menyebabkan penagihan dalam kalangan pribumi Malaya, penjajah British enggan mengharamkannya dan meneruskan penanaman dan jualan kerana opium menurut penjajah British, meningkatkan produktiviti pekerja dan menjadikan pekerja lebih patuh arahan!

Ironinya, opium diharamkan di England ketika itu. Tidak ada jaminan penanaman daun ketum secara besar-besaran dapat dikawal daripada jatuh ke tangan remaja dan disalahgunakan.

Peranan masyarakat dalam memerangi gejala ketagihan

Peranan masyarakat adalah amat penting dalam memberi mesej kepada pihak pembuat dasar, bahawa kita menolak elemen yang akan memudaratkan anak bangsa, walaupun terdapat unsur keuntungan (yang sebenarnya bersifat jangkapendek) disudut ekonomi.

Kerugian adalah amat besar dan tak ternilai dari sudut sosial dan yang berkait dengannya seperti pembentukan generasi yang sihat perkembangan otak dan bebas pengaruh dadah dan pembentukan keluarga yang utuh, jika kita gagal melihat isu dadah dan penagihan dari sudut yang lebih mendasar dan mendalam.

Episod si ibu memberi bayi susu krimer pekat manis, kerana suami penagih, biarlah tidak berulang lagi!

*  Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Ketua Penerangan Wanita ISMA


Tiada ulasan: