Khamis, 29 Disember 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


KKLW peruntuk RM350 juta bina, baik pulih PPRT

Posted: 29 Dec 2016 03:38 PM PST

MALAYSIA GAZETTE
 

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob


Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan sejumlah RM350 juta bagi membina dan membaik pulih Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bermula tahun depan.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 2,100 unit rumah PPRT akan dibina manakala sebanyak 12,500 unit rumah sedia ada diletakkan di bawah projek membaik pulih.

Menurutnya, KKLW juga memberi keutamaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk terlibat dalam program membaik pulih rumah berkenaan, sekali gus membantu kampung itu mendapat manfaat daripada peruntukan yang diberikan.

"Kabinet pun setuju untuk kementerian mengutamakan JKKK bagi membaiki rumah seperti baiki atap, kerja-kerja mudah, dan tidak perlu untuk kita melantik kontraktor dalam projek itu (baik pulih)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, sejumlah RM200 juta pula diperuntukkan bagi Projek Rumah Bina Negara yang dilaksanakan oleh Felcra Berhad dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi membantu golongan belia luar bandar memiliki rumah sendiri.

"Pembinaan 7,000 unit rumah tersebut hanya akan dikhaskan untuk golongan belia sahaja dan bukannya untuk dibeli sebagai pelaburan.

Kita bina rumah itu untuk belia luar bandar dan kita tidak akan jual untuk dijadikan sebagai satu pelaburan atau untuk disewa," katanya.-- BERNAMA


Tiga kementerian bertanggungjawab kawal selia penggunaan vape

Posted: 29 Dec 2016 03:31 PM PST

ISMA WEB
 
 

KUALA LUMPUR– Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Kementerian Teknologi, Sains dan Inovasi (MOSTI) ditugaskan untuk mengawal selia penggunaan rokok elektronik dan vape.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Oktober lalu.

KPDNKK dalam satu kenyataan berkata, kementeriannya akan mengawal selia dan menguatkuasa peraturan standard keselamatan bagi bateri dan peranti mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

KPDNKK juga akan mengawal selia dan menguatkuasa penandaan maklumat berkaitan pada label peranti dan cecair tanpa nikotin rokok elektronik serta vape mengikut akta sedia ada.

Selain itu, aktiviti pelesenan, pengeluaran, pengedaran termasuk import, eksport dan peruncitan peranti dan cecair tanpa nikotin rokok elektronik dan vape mengikut akta baharu juga akan dikawal oleh KPDNKK.

Sementara itu, KKM pula akan mengawal selia penjualan cecair yang mengandungi nikotin, mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

"KKM juga akan mengawal selia penjualan, promosi, penajaan dan pelabelan yang berkaitan dengan kesihatan bagi cecair tanpa nikotin rokok elektronik atau vape, manakala larangan merokok termasuk larangan penggunaannya bagi pengguna bawah umur.

"MOSTI melalui Jabatan Standard Malaysia akan membangunkan standard bagi bateri, peranti dan pembungkusan cecair tanpa nikotin rokok elektronik dan vape mengikut Akta Standard Malaysia 1996," kata kenyataan itu.


Ejaan Bagan Datuk ganti Bagan Datoh bermula 9 Januari

Posted: 29 Dec 2016 03:27 PM PST

ISMA WEB





IPOH, Ejaan baharu bagi Bagan Datoh di Perak iaitu 'Bagan Datuk' akan mula diguna semasa pengisytiharan rasmi daerah baharu itu oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada 9 Januari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, ia diputuskan dalam persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 22 November lalu.

"Sehubungan itu, jabatan dan agensi kerajaan perlu mengguna pakai ejaan baharu tersebut dalam pengurusan masing-masing," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Abdul Puhat, pengisytiharan bersejarah itu akan dilakukan di Dewan Sekolah Menengah Sains dekat Bagan Datoh dengan jangkaan kehadiran kira-kira 15,000 penduduk daerah itu.

Bagan Datoh secara rasmi diwartakan sebagai daerah pentadbiran yang ke-12 di Perak melalui satu warta kerajaan pada 15 Jun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2016 di sini Julai lalu mengumumkan Bagan Datoh dinaik taraf sebagai daerah penuh, hasil persetujuan bersama antara kerajaan negeri dengan persekutuan. – Bernama


Felda suntik modal tanpa suara penentu, kata Rafizi

Posted: 29 Dec 2016 02:57 AM PST

MALAYSIAKINI


Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli membidas keputusan Felda untuk memperolehi kepentingan 37 peratus dalam Eagle High Plantations (EHP) tanpa mempunyai suara penentu termasuk akses kepada bank tanah seluas 425,000 hektar milik firma di Indonesia itu.

Dalam satu kenyataan media, Rafizi berkata keputusan berhubung tanah dan isu lain berkaitan EHP masih akan ditentukan oleh jutawan Indonesia Tan Sri Peter Sondakh, yang akan terus menguasai firma berkenaan, walaupun pegangannya berkurangan kepada 31.6 peratus melalui Kumpulan Rajawali miliknya.

"Ini adalah kegilaan yang tidak pernah berlaku iaitu pemegang saham yang bukan terbesar mendapat kuasa mengawal syarikat," kata Rafizi yang juga adalah ahli parlimen Pandan sambil merujuk kajian laporan CIMB dan Credit Suisse ke atas EHP pada Jun tahun lalu.

"Oleh yang demikian, tidak timbul soal Felda mempunyai akses kepada bank tanah yang besar kerana hakikatnya (berdasarkan rundingan asal dalam tahun 2015), Felda seolah-olah hanya menyuntik modal ke dalam EHP tanpa mempunyai suara penentu bagaimana perniagaan itu akan dilaksanakan," katanya.

Ini, kata Rafizi, adalah di sebalik kebimbangan awalnya mengenai status kewangan semasa Felda dan keupayaan agensi persekutuan itu untuk membiayai pembelian saham bernilai AS$505.4 juta iaitu pada harga tiga kali melebihi nilai pasaran.

Rafizi, yang menyifatkan Sondakh sebagai sahabat karib Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, juga mempersoalkan sama ada Felda "dipaksa" untuk menyuntik dana ke dalam EHP tanpa sebarang kuasa untuk mengawal operasi syarikat berkenaan.

"Adakah Najib memainkan peranan untuk memaksa Felda menyuntik wang pada harga yang mahal ke dalam EHP untuk membantu sahabat karibnya Tan Sri Peter Sondakh sedangkan Felda tidak ada kuasa untuk mengawal operasi EHP?" soalnya.

S.M. Salim meninggal dunia

Posted: 29 Dec 2016 02:53 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR:  Biduan negara, Tan Sri SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, 88, menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 5.44 petang tadi.
 
Dia meninggal dunia akibat sakit tua di rumah anaknya yang terletak di Sering Ukay, Ulu Klang, Ampang.
 
Menurut anak kedua daripada tujuh adik beradik, Sheikh Shamsul, 52, mereka sudah bersedia untuk menerima kehilangan ayahnya itu.
 
"Kami adik beradik memang redha dengan pemergiannya apatah lagi sudah lima tahun dia terlantar selama ini.
 
"Penderitaan yang dihadapi oleh ayah memang sakit untuk kami lihat dan sebab itu kami redha dengan pemergiannya," katanya.
 
Tambahnya lagi, SM Salim sebelum meninggal berada dalam keadaan tidak stabil dan ada kalanya terpaksa bergantung pada bantuan pernafasan.
 
Doktor juga telah memberi tahu lebih awal lagi bahawa SM Salim sudah tidak mempunyai kekuatan untuk kembali pulih seperti sebelum ini.
 
SM Salim meninggalkan isterinya, Puan Sri Aishah Abdul Ghani dan tujuh orang anak.
 
Anak pertamanya Siti Nuraishah, 60; Sheikh Samsuddin, 68; Siti Nur Huda, 56; Siti Maheran, 54; Siti Huzayah, 53; Sheikh Shamsul, 51 dan Siti Zubaidah, 35.
 
SM.Salim sebelum ini pernah tampil secara duet bersama penyanyi terkenal negara antaranya Datuk Yusni Hamid, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Datuk Siti Nurhaliza.
 
Antara lagu popularnya termasuklah lagu berjudul Satu (bersama Zainal Abidin), Entahkan Jadi Entahkan Tidak (bersama Datuk Sheila Majid) dan Pandang Pandang Jeling Jeling (bersama Datuk Siti Nurhaliza). 


WOWW...SAMPAI KE LONDON MENTERI CARI TEH TARIK!!

Posted: 29 Dec 2016 02:47 AM PST

  shahbudindotcom

 

 
 
Sebagaimana yang tersebar dalam grup whatsapp dan media sosial, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom dilaporkan hadir dalam satu program "sessi teh tarik Akta 355" di Malaysia Hall, London pada 27 Disember, baru-baru ini.

Turut  diajak "ngeteh"  bersama dingin salji di kota London itu ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr. Khairuddin Aman Razali yang juga merupakan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat dan Ahli Jawatankuasa  Majlis Syura parti Islam itu.

Mengapa sampai ke London membawa perbincangan Akta 355? 

Apa kaitannya orang-orang Melayu di London dengan akta 355?
 
 
 
 
Malangnya, bersama gambar-gambar yang turut tersebar, khabarnya "sessi teh tarik" di kota London itu hanya mencatat jumlah kehadiran yang kecil saja.

Kenapa tidak pernah diadakan "sessi teh tarik" membincangkan akta yang sama di dalam negara atau di Jerai yang merupakan kawasan Parlimen Jamil Khir sendiri?

Adakah semua orang dalam negara sudah faham mengenai Akta 355, lalu tidak perlu diadakan sessi dialog atau kerana teh tarik mamak di sini tidak sesedap teh tarik di kota London?
 
 
 
 
Bila pula Jamil Khir mahu mengadakan "sessi teh tarik" dengan MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen di Sabah dan Sarawak yang masih menentang Akta 355 itu?

Apakah mungkin selepas London ini, "sessi teh tarik"  bersama Jamil Khir dan pemimpin Pas juga bakal diadakan di Paris, Amerika, Australia, New Zealand dan lain-lain kota percutian kerana di semua tempat itu juga terdapat orang-orang Melayu Malaysia yang ditakrif "sangat-sangat"  perlu diberikan penerangan berkaitan akta 355? 


Kos tunai haji kekal

Posted: 29 Dec 2016 02:39 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Meskipun kos pengurusan haji meningkat saban tahun, namun Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kadar bayaran haji untuk jemaah negara kekal dan tidak berubah iaitu RM9,980 seorang.
 
Perdana Menteri memberitahu, kadar itu tidak berubah sejak tahun 2009 lagi walaupun kos pengurusan haji meningkat kepada RM19,550 seorang pada tahun depan.
 
Beliau berkata, kos selebihnya akan ditanggung oleh Tabung Haji dengan penambahan subsidi keseluruhan berjumlah RM200 juta untuk tahun 2017 berbanding RM160 juta pada tahun ini.
 
"Ini adalah sebahagian daripada usaha kita memelihara serta terus menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia dan membantu umat Islam menyempurnakan Rukun Islam kelima.
 
"Mudah-mudahan, Malaysia akan terus berada dalam peliharaan, dikurniakan rahmat keamanan dan kesejahteraan oleh Allah SWT, insya-Allah," katanya menerusi entri terbaru di laman blog najibrazak.com hari ini.
 
Menurut Najib, kerajaan amat prihatin dan sedar bahawa umat Islam di negara ini menyimpan hasrat mengunjungi tanah suci sebagai tetamu Allah sekiranya berpeluang suatu hari nanti.
 
Jelas beliau, sekiranya suatu ketika dulu umat Islam di Malaysia terpaksa menyimpan selama berpuluh-puluh tahun lamanya sehingga ada yang menjual barang kemas, harta benda serta haiwan ternakan untuk menziarah tanah suci Mekah, tetapi kini urusan jemaah lebih mudah dengan adanya Tabung Haji.
 
"Selain memberikan ruang untuk umat Islam menyimpan wang secara beransur-ansur bagi melengkapkan perbelanjaan di tanah suci, Tabung Haji turut berperanan mengatur serta menguruskan pemergian jemaah ke kota Mekah dengan memastikan keselamatan, keselesaan dan kebajikan mereka terpelihara ketika menunaikan fardhu haji.
 
"Malah, lebih daripada itu, Tabung Haji turut memberikan subsidi buat jemaah haji bagi membantu memudahkan lagi urusan mereka dalam menyempurnakan ibadah dan memperoleh haji yang mabrur," jelas beliau.
 
 

MH8205 Madinah-KL terpaksa mendarat di Bombay

Posted: 29 Dec 2016 02:38 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pesawat MH8205 yang dalam penerbangan dari Madinah ke ibu negara, semalam terpaksa mendarat di Bombay, India selepas mengalami masalah teknikal. 
 
Pesawat sewa khas untuk jemaah umrah itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Muhammad Bin Abdul Aziz pada jam 8.49 malam waktu tempatan semalam dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.30 pagi ini. 
 
Malaysia Airlines Berhad (MAB) menerusi kenyataan menjelaskan sistem pemindahan minyak dalam pesawat mengalami masalah, menyebabkan juruterbang mengambil keputusan mendarat di Bombay. 
 
"Juruterbang bertindak sedemikian walaupun masalah teknikal berkenaan tidak mempunyai sebarang isu keselamatan. "Ini kerana keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kami dalam mengharungi sebarang masalah ketika dalam penerbangan. 
 
"Sehubungan itu, pesawat berkenaan ketika ini selamat mendarat di Bombay dan sedang diperiksa jurutera tempatan," katanya, hari ini. 
 
MAB turut memberi jaminan untuk menjaga kebajikan penumpang sementara pesawat berkenaan diperiksa di Bombay dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. 
 
"Kami memohon maaf kepada penumpang berikutan masalah ini," katanya.
 
 

Amanah sasar kerusi PKR kalah - Khalid Samad

Posted: 29 Dec 2016 02:34 AM PST

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Amanah hanya mensasarkan kerusi milik PKR yang gagal dimenangi pada pilihan raya lepas, jelas Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad.
 
Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub bahawa partinya tidak akan bertanding di mana-mana kerusi sekutu politiknya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
"Apa yang dijawab Salahuddin itu adalah (kerusi) yang telah dimenangi atau diisi oleh PKR. Bermakna yang mana telah dimenangi oleh PKR kita tidak kacau.
 
"Bukan kita nak ambil kerusi mereka, kita hendak bincang. Yang penting sekarang ialah kita nak tentukan untuk menang. Kerusi yang dimana (dirasakan) Amanah kuat, kita bincang dan banding lihat bagaimana kekuatan untuk memenangi kerusi itu. Namun akhirnya ia akan diputuskan secara perbincangan sesama kita," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Selasa lalu, Khalid memaklumkan partinya berhasrat untuk bertanding 40 kerusi Parlimen termasuk yang dimiliki PKR dan PAS untuk PRU14 nanti.
 
Ujarnya pemilikan kerusi tradisi yang dipertahan sesama parti pembangkang tidak lagi relevan dengan senario politik hari ini.
 
Justeru, Amanah nekad untuk mengemukakan senarai 40 kerusi yang mahu ditandinginya pada mesyuarat Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang dijadual pada Januari nanti berhubung isu pembahagian kerusi.
 
Khalid kemudiannya memberitahu, Amanah tetap mensasarkan kerusi tradisi PAS untuk diletakkan calon pada pilihan raya akan datang, memandangkan parti itu bukanlah rakan sekutu mereka dalam PH.
 
"Walaupun PAS tiada dalam mesyuarat, kita akan bincang tentang pembahagian kerusi. Jika ada yang mengatakan sesuatu kerusi itu serah kepada PAS, kita bincangkan seperti apa baiknya kita lepas kepada PAS. 
 
"Jika tidak mahu serah PAS kerana ia tak bersama kita maka kita fikir siapa calon kita untuk bertanding di kerusi itu," kata Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi.
 
Semalam Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad menyifatkan parti Amanah sebagai tidak amanah apabila mahu 'mencuri' kerusi rakan sekutunya sendiri (PKR) dalam PH.
 
"Bukan soal nak rebut kerusi, curi kerusi sebagaimana yang Iskandar kata. Ini soal kita mempunyai 40 kerusi, kita ada calon dan ada harapan yang cerah untuk menang dan bawa ke mesyuarat untuk bincang. 40 kerusi yang kita hendak tandingi ini adalah sebahagian besar daripada PAS, dan satu atau dua daripada PKR yang mereka tak menang," ulas Khalid.
 
 

Tiga mengaku tak bersalah seleweng dana JANS

Posted: 29 Dec 2016 02:33 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic


KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 12 pertuduhan penyelewengan dana infrastruktur agensi berkenaan.

Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ummu Khaltom Abd Samad.

Beliau didakwa memiliki RM56.9 juta wang tunai dan simpanan, enam kereta mewah serta 86 jam tangan mewah pada 4 Oktober lalu di beberapa lokasi di sini termasuk pejabat JANS.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Isterinya, Fauziah Piut, 51, dan bekas Timbalan Pengarah JANS yang bersara pada 2015, Lim Lam Beng, 62, turut dihadapkan ke mahkamah sama.

Fauziah didakwa atas 19 pertuduhan membabitkan wang RM2.2 juta tidak termasuk beg tangan mewah dan barang perhiasan emas serta bukan emas, manakala Lam Beng didakwa atas empat pertuduhan membabitkan wang RM2.38 juta serta sebuah kenderaan mewah, namun kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Awang Mohd Tahir dan isteri turut didakwa atas dua pertuduhan bersama mengikut seksyen dan akta sama masing-masing atas tuduhan memiliki 575 dan 346 barang kemas pelbagai jenis. Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farez Rahman, Husmarudin Husin, Rozana Abd Hadi dan Rustam Sanip.

Awang Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam, Hairul Vaiyron Othman serta Ariel C Dasan, manakala Lam Beng diwakili peguam Chin Tek Ming, Baldev Singh dan Karpal Singh.

Ummu Khaltom menangguhkan prosiding kepada jam 1 tengah hari ini untuk menetapkan jaminan terhadap semua.


Mufti Perak: Berdosa bukan muhrim duduk bersebelahan dalam bas

Posted: 29 Dec 2016 02:26 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Mufti Perak memuji pengusaha bas ekspres TransMalaya mengasingkan jantina penumpang dalam bas sebagai usaha baik menepati kehendak Islam kerana haram untuk bukan muhrim duduk bersebelahan sepanjang perjalanan.
 
Tan Sri Harussani Zakaria berkata, umat Islam yang cuba menentang usaha syarikat bas ekspres itu dianggap jahil agama dan menentang hukum Tuhan.
"Usaha itu cukup baik dan patut dicontohi syarikat bas lain.
 
"Malah tindakan pengasingan itu bukannya untuk menyekat kebebasan kerana dari segi Islam, suami isteri atau muhrim boleh duduk sekali, tetapi kalau pasangan bukan muhrim duduk bersebelahan haram bagi mereka sepanjang jalan dan berdosa sepanjang jalan.
 
"Orang kafir ini dia tidak akan bersetuju dengan undang-undang Islam, apa pun mereka tidak bersetuju dengan Islam kerana mereka hanya mahukan kebebasan," lapor FMT hari ini.
 
Semalam, pemilik dan pengasas KRZ Management Sdn Bhd, Noorlini Ramli yang menguruskan TransMalaya berkata, pengasingan itu dilaksanakan sejak Februari 2015 bagi mencegah pasangan bukan muhrim melakukan perkara tidak senonoh sepanjang perjalanan.
 
"Saya biasa naik bas berseorangan ketika belajar di UiTM Jengka dan pada masa itu juga saya nampak sendiri beberapa pasangan berkelakuan tidak senonoh dalam bas
yang boleh dilihat penumpang lain.
 
"Saya juga terpaksa duduk di sebelah orang asing yang mengganggu saya. Ini adalah asas kepada inisiatif kami hari ini. Wanita yang menaiki bas berseorangan selalu terdedah kepada bahaya," kata Noorlini.
 
Usaha itu bagaimanapun diselar peguam dan aktivis, Siti Kasim yang mahu penumpang diberikan kebebasan semasa menaiki bas.
 
"Saya tidak akan guna syarikat ini. Jika saya hendak duduk sebelah lelaki atau perempuan, itu pilihan saya. Siapa mereka hendak jadi polis moral?" kata Siti.
 
Ketua Biro Agama Pemuda PKR, Wan Ji Wan Hussin berkata, setiap syarikat mempunyai cara tersendiri menarik pelanggan dan kerajaan tidak perlu campur tangan dengan menjadikannya peraturan supaya syarikat lain turut mencontohi TransMalaya.
 
"Terpulang kepada syarikat bas terbabit atas inisiatif mereka dan pihak kita perlu meraikan inisiatif terbabit," kata pendakwah bebas itu.
 
 

Anina dakwa tunggu masa tekan 'kunci'

Posted: 29 Dec 2016 02:24 AM PST

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin mengugut untuk menggunakan 'kunci' yang ada padanya untuk menghancurkan pihak yang cuba menjatuhkannya.
 
"Kepada mereka yang begitu ghairah bermain dengan kehidupan seorang ibu kepada 3 srikandi hidup saya ini, saya ingin berpesan. Kuncinya ada pada saya. Anda perlu tahu bahawa sekiranya saya TEKAN butang kunci ini, ledakannya akan menghancurkan semua. 
 
"Jangan sampai saya fikir anda di atas sana lebih teruk dari apa yang ada di sebelah sini. Saya sudah cukup baik selama ini. Saya tidak melayan isu sampah, namun pada masa yang sama anda masih sumbatkan sampah ke mulut rakyat," demikian memetik tulisan Anina di laman Facebooknya.
 
Anina pada baru-baru ini terpalit dakwaan skandal seks apabila 'screenshot' perbualan intim dalam aplikasi WhatsApp yang didakwa antara beliau dan seorang lelaki tidak dinamakan, tersebar.
 
Bukan itu sahaja Anina juga 'dilucutkan' jawatan sebagai Ketua Srikandi PPBM selepas dikatakan wujud 'kesilapan teknikal' dalam pelantikan itu.
 
Kekeliruan yang wujud terhadap skandal peribadi dan politiknya, menurut Anina akan dijawab dalam satu sidang media sambil menunggu reaksi pimpinan tertinggi partinya.
 
Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Anina dalam tulisannya juga menjelaskan tidak gentar untuk berdepan dengan pihak yang cuba menjatuhkannya.
 
"Jika saya berdiri di hadapan Presiden kepada sebuah parti yang berkuasa tanpa gentar, saya juga akan berdiri di hadapan sesiapa sahaja yang kencing perjuangan saya.
 
"Jika anda tidak tahu erti keadilan, pembelaan dan sifat keperimanusiaan, anda tidak layak duduk di sebelah saya," katanya.
 
Anina juga berkata, beliau seperti wanita lain mahukan seorang lelaki yang melindunginya dan bukannya mengancamnya jika sesuatu yang diinginkannya gagal dimilikinya.
 
 

Jamal Yunos langgar undang-undang - Ketua Polis Selangor

Posted: 29 Dec 2016 02:19 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
AMPANG JAYA: Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Yunos, seharusnya menggunakan saluran betul seperti menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa tempatan sesebuah daerah berhubung aktiviti premis perjudian yang wujud di sekitar Selangor.
 
Ini kerana tindakan melakukan pemeriksaan dan serbuan tanpa kebenaran adalah melanggar undang-undang jika pemilik premis tampil membuat laporan, selain turut mengancam keselamatan Jamal dan pengikutnya.
 
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata tindakan Jamal itu melanggar undang-undang ditetapkan iaitu melakukan pencerobohan ke atas sesuatu tempat.
 
"Jika pemilik sesebuah premis membuat laporan, Datuk Seri Jamal boleh dikenakan tindakan atas kesalahan berkenaan.
 
"Dia mungkin mempunyai niat yang baik untuk mendedahkan kegiatan judi dan maksiat serta pusat hiburan haram sekitar Selangor, namun gunakanlah saluran yang betul," katanya dipetik BH, sebentar tadi.
 
Beliau memberitahu, Jamal boleh membuat laporan polis berhubung aktiviti seperti ini jika berpendapat tindakannya untuk memaklumkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor, tidak dilayan.
 
"Saya bimbang juga kerana aktiviti mesin judi mempunyai rangkaian dengan elemen kongsi gelap dan ini boleh membahayakan dirinya sendiri," katanya.
 
Abdul Samah bagaimanapun ingin melihat secara terperinci mengenai dakwaan Jamal bahawa terdapat sekurang-kurangnya lebih 400 premis perjudian di sekitar daerah Ampang Jaya sahaja.
 
 

SM Salim masih hidup, henti sebar viral

Posted: 29 Dec 2016 02:16 AM PST


SM Salim
SM Salim. - Sumber internet

"HENTI sebarkan berita palsu itu," itu antara luahan cucu saudara Tan Sri SM Salim, Ellyna Ali berhubung viral yang sedang bertebaran berhubung kematian penyanyi legenda kesayangan ramai ini.

Sehingga jam 3 petang tadi, SM Salim masih bernafas biarpun dengan bantuan oksigen.

"Betul, kami sekeluarga redha dengan apa juga ketentuan Yang Maha Esa, tetapi berita palsu sebegitu tidak baik untuk kami, sedangkan beliau masih ada lagi," ujarnya.

Sehingga jam 1 petang tadi, ramai kenalan SM Salim datang menziarahi termasuk beberapa persatuan hiburan iaitu Seniman, Karyawan dan juga FDAM.

SM Salim kini terlantar dan keadaannya semakin kurang stabil sejak setahun lalu akibat sakit tua.

Tanding 40 kerusi: Tidak timbul istilah Amanah mahu 'curi' kerusi PKR

Posted: 29 Dec 2016 02:10 AM PST

MALAYSIA DATELINE
 
 
Khalid Abdul SamadKhalid Abdul Samad
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata, jumlah 40 kerusi yang mahu dipertandiingkan berdasarkan kekuatan yang ada pada parti itu, antara sebab ia perlu dibincangkan dalam Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 Beliau berkata tidak timbul soal mencuri kerusi PKR sebagaimana dakwaan Naib Presiden Pas Iskandar Abdul Samad.

"Jumlah 40 kerusi itu adalah berdasarkan kekuatan yang ada pada Amanah sebagai parti baharu yang tidak mempunyai kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya sebelum ini.

"Itulah sebabnya ianya perlu dibincang bersama dalam mesyuarat Pakatan Harapan dan PPBM.

"Ia juga mengambil kira strategi yang dicadangkan di mana setiap parti ditentukan Negeri untuk dipimpinnya.
Ini mungkin akan menyebabkan sedikit pengubahsuaian agihan kerusi antara parti termasuk PPBM.

"Oleh kerana ianya akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat, maka istilah 'mencuri' tidak sesuai," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Iskandar dalam kenyataan semalam menyebut Amanah seharusnya menghormati sekutunya dalam Pakatan Harapan, parti itu tidak akan sesekali "mencuri" kerusi PKR.

Sambung Khalid lagi, istilah 'mencurl' adalah sesuai untuk kisah seperti di Kota Damansara pada PRU13 lalu.

"Pada masa itu Pas melanggar keputusan yang dibuat bersama dan mencuri kerusi PKR. Amanah tidak akan berkelakuan begitu," bidasnya.

Justeru Ahli Parlimen Shah Alam ini berkata Pas tidak perlu risau mengenai Amanah jika berbalah dengan PKR berhubung pembahagian kerusi.

"Pakatan Harapan dan Bersatu akan sentiasa berbincang untuk mencapai persetujuan tanpa perbalahan.

"Namun demikian teguran dari YB Iskandar diterima oleh kami dengan hati terbuka. InsyaAllah hubungan kami dalam Pakatan Harapan dan Bersatu tidak akan terjejas atas sebab kerusi.

"Kami mengutamakan matlamat mengalahkan BN dan oleh itu usaha mengukuhkan Pakatan Harapan dan Bersatu akan sentiasa diutamakan berbanding isu kerusi," ujarnya.

Semalam dalam satu kenyataan Khalid dipetik berkata Amanah akan bertanding 40 kerusi Parlimen, termasuk milik PKR dan Pas pada PRU akan datang.

Khalid berkata pemilikan kerusi tradisi yang dipertahankan sesama parti pembangkang tidak lagi relevan dengan senario politik hari ini.

Katanya ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan dan PPBM. Apa yang penting senario politik hari ini sudah berubah. Tidak seperti 2013 (PRU13).

"Kita tidak boleh jadikan 2013 sebagai asas untuk pembahagian kerusi. Kita alu-alukan kenyataan PKR yang menyatakan kesediaan mereka serahkan kerusi kepada PPBM," ujar Khalid.

Golongan mualaf pilih jadi ahli Amanah

Posted: 29 Dec 2016 02:08 AM PST

ARIF ATAN
 
 
Parti Amanah Negeri Selangor terus menyaksikan sokongan segenap lapisan masyarakat termasuk mengumumkan penyertaan untuk menjadi ahli parti Islam itu.Parti Amanah Negeri Selangor terus menyaksikan sokongan segenap lapisan masyarakat termasuk mengumumkan penyertaan untuk menjadi ahli parti Islam itu.


Parti Amanah Negeri Selangor terus menyaksikan sokongan segenap lapisan masyarakat termasuk mengumumkan penyertaan untuk menjadi ahli parti Islam itu.

Naib Pengerusinya, Ustazah Mariam Abdul Rashid memberitahu sebanyak 30 borang keahlian daripada kumpulan India Muslim dan mualaf diterima hari ini di Kampung Paya Jaras Tengah dalam kawasan Subang.

"Gerak kerja turun ke lapangan lebih meyakinkan rakyat untuk menyokong dan memilih Amanah. Rakyat mahu lihat siapa yang banyak berjumpa dan mendengar masalah mereka.

"Menyantuni dan membantu mereka sedikit sebanyak akan lebih meyakinkan lagi mereka untuk bersama menyokong perjuangan Amanah," katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Sehubungan itu, beliau menyeru Amanahdi peringkat kawasan di Selangor bahkan seluruh Malaysia melipatgandakan usaha turun menemui seberapa ramai bakal pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 yang semakin hampir.

"Terutama pengundi Melayu dan pengundi di kawasan pedalaman serta kampung tradisi," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Selangor Danial Al-Rashid turut mengakui keterbukaan parti itu serta PKR dan DAP yang berpayung di bawah Pakatan Harapan menarik minat rakyat pelbagai kaum.

"Warna oren (lambang Amanah) itu sendiri warna hidup dan bersifat remaja. Naib Ketua Pemuda saya di Shah Alam berketurunan Cina yang sebelum ini tidak pernah menyertai mana-mana parti.

"Bagi saya itu perkembangan yang baik. Cantiknya Amanah dan Pakatan Harapan, setiap komponen parti membuka keahlian kepada semua kaum.

"Hal inilah mampu menarik minat ramai anak muda sebab kita inklusif," ujar Danial dipetik dalam satu rakaman temubual portal berita baru-baru ini.

Tiada ulasan: