Rabu, 21 Disember 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


KOS PROJEK MRT MELEBIHI RM100 BILION (ANGGARAN KINI RM124 BILION): SAMAN SAYA JIKA ITU TIDAK BENAR

Posted: 20 Dec 2016 06:00 PM PST

Nota : Sehingga sekarang masih ada yang berbunyi kononnya saya fitnah Najib Razak mengenai kos sebenar MRT. Saya hanya nyatakan fakta yang diumumkan sendiri oleh beliau dan MRT Corp. Sebab itu hari ini saya buat jemputan paling beradab dengan #pang5bugis ini: 

"eyh kalau betul aku fitnah kos MRT lebih RM100 bilion, saman di mahkamah la. Nak juga saya tengok Najib masuk kandang. Kandang saksi pun jadi la".

 Mohon sebarkan supaya lebih ramai yang #celikfakta
 20 DISEMBER 2016

 Sehingga sekarang, Dato' Seri Najib Tun Razak atau mana-mana menterinya berdiam diri mengenai kos keseluruhan projek MRT sepanjang 150 km apabila saya menimbulkan isu anggaran kosnya telah mencecah RM124 bilion.

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada projek penswastaan dan perancangan ekonomi iaitu Datuk Abdul Rahman Dahlan lebih gemar bermain politik menjadi kaki pukul Dato' Seri Najib, sedangkan tugas sebenar beliau iaitu menangani isu penswastaan dan perancangan ekonomi diabaikan.

 Projek MRT adalah projek penswastaan yang terbesar di dalam sejarah Malaysia. Ia akan menelan belanja sekitar RM124 bilion apabila kesemua 150 km disiapkan dalam tahun 2026. Semasa mengumumkan projek ini bersama-sama pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi (Economic Transformation Plan atau ETP) di awal pentadbiran beliau, Dato' Seri Najib secara jelas menyebut kos RM40 bilion dan projek MRT sepanjang 150 km. Jumlah kos RM40 bilion ini diulang lagi di dalam ucapan Belanjawan 2011 beliau.

 Malah, pendedahan saya bahawa kos keseluruhan 150 km projek MRT ini melebihi RM100 bilion juga telah disahkan sendiri oleh MRT Corporation melalui kenyataan media yang dibuat sendiri seperti berikut:

 1. Kos MRT1 jajaran Sg Buloh – Kajang: RM21 bilion seperti yang diumumkan Dato' Seri Najib sendiri 

2. Kos MRT2 jajaran Sg Buloh – Putrajaya: RM32 bilion seperti yang diumumkan Dato' Najmuddin Abdullah, Pengarah Komunikasi Strategik MRT Corp pada 14 September 2016 dan dilaporkan di http://www.thesundaily.my/node/394710 

3. Kos MRT3 jajaran bawah tanah "Circle Line": sekurang-kurangnya RM50 bilion seperti yang diumumkan Dato' Najmuddin Abdullah, Pengarah Komunikasi Strategik MRT Corp pada 14 September 2016 dan dilaporkan di http://www.nst.com.my/…/mrt-corp-planning-3rd-line-klang-va…

Daripada pengumuman Dato' Seri Najib dan pengumuman rasmi MRT Corp sendiri, jelas bahawa keseluruhan projek MRT meliputi 150 km ini akan menelan belanja melebihi RM100 bilion (RM21 bilion + RM32 bilion + sekurang-kurangnya RM50 bilion).

 Kenapa Dato' Seri Najib masih berkeras menafikan perkara ini dan sanggup menuduh saya memfitnah beliau dengan menafikan bahawa kos projek kos akan melebihi RM100 bilion (seperti dilaporkan Bernama dan Malaysiakini semalam di http://www.malaysiakini.com/news/366619).

 Hakikatnya, penjimatan RM2 bilion yang disebut-sebut itu tidak berlaku kerana pada keseluruhannya, kos akan meningkat 2 kali ganda berbanding dengan kos RM40 bilion yang diumumkan pada 2010.

 Oleh itu, saya mencabar Dato' Seri Najib menyaman saya di mahkamah jika betul kos keseluruhan projek MRT sepanjang 150 km tidak melebihi RM100 bilion dalam tempoh 7 hari dari sekarang. Jika beliau tidak memfailkan saman itu dalam tempoh 7 hari dari sekarang, saya mahu beliau meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana telah memberi kenyataan yang mengelirukan apabila beliau mengaku berjaya menjimatkan RM2 bilion.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN 
NAIB PRESIDEN KEADILAN ~ sumber

Tiada ulasan: