Sabtu, 19 November 2016

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Lebih 30,000 Peserta Kuning Tawan KLCC

Posted: 19 Nov 2016 01:59 AM PST



Kawasan lapang berhadapan Menara Berkembar Petronas yang menempatkan pusat beli belah KLCC di Jalan Ampang kini dibanjiri lebih 30,000 peserta BERSIH5 petang ini.

Mereka berkumpul di situ dari beberapa lokasi selepas mendapat arahan daripada pengelola perhimpunan.

Sebahagian daripada mereka tiba di lokasi berkenaan menaiki LRT, manakala selebihnya berjalan.

Jika berjalan tempoh yang diperlukan untuk tiba ke situ dari kawasan Masjid Jamek ialah kira-kira 30 minit. Dianggarkan 3,000 orang memilih untuk berjalan setakat ini.

Dianggarkan ada kira-kira 30,000 orang sedang berkumpul di situ atau kawasan berhampiran sambil mendengar ucapan beberapa pemimpin termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Mahathir tiba di perhimpunan hari ini sejurus selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dari luar negara.

Sementara itu kira-kira 2,000 lagi penyokong BERSIH masih melepak di Jalan Tun Perak manakala sebahagian besar peserta Baju Merah sudah bersurai.



Kumpulan Baju Merah Berarak Tutup Muka, Bawa Kayu Dan Buluh

Posted: 18 Nov 2016 09:40 PM PST



ADA beberapa perkara pelik aku perhatikan di kalangan Samseng Baju Merah — kebanyakan tak berani tunjuk muka, rata-rata menutup muka agar identiti mereka tidak diketahui. Kalau ada pun yang tidak menutup muka, mereka akan cepat-cepat tutup muka bila sedar ada yang merakam atau mengambil gambar mereka.

Aku rasa mungkin kebanyakan peserta kumpulan baju merah ini berasa malu nak dedahkan diri mereka. Siapa pun akan malu bila orang tahu dia sokong Najib pemimpin rasuah. Tambah lagi datang berhimpun semata-mata nak dapat 'dedak' RM50 dan nasi bungkus, sangat memalukan.

Satu lagi perkara pelik ialah ada sebilangan besar kumpulan Baju Merah yang membawa senjata, seperti buluh dan kayu. Ramai berpendapat kayu-kayu itu akan digunakan untuk mempersembahkan aksi pukul-pukul badan macam orang gila seperti yang selalu mereka lakukan.



Buluh-buluh itu dibekalkan oleh sebuah van yang diletakkan berhampiran Bangunan Umno PWTC.



Ada juga yang kata, kayu-kayu dan buluh itu semua akan digunakan sebagai kayu bendera.

Aku tak fikir samseng Baju Merah ini semua berani nak cari pasal dengan kumpulan Bersih yang berbaju kuning, dengan menjadikan kayu dan buluh itu sebagai senjata, kerana Kumpulan Baju kuning jumlahnya berlipat kali ganda berbanding kumpulan merah.


Tapi apa pun kita tahu mereka ni samseng, jadi tidak salah untuk berhati-hati. Aku harap semua peserta Himpunan Bersih, dapat mengambil langkah keselamatan.

- milosuam

Langsung Himpunan BERSIH5 Dan Baju Merah

Posted: 18 Nov 2016 09:08 PM PST



Peserta Baju Merah tiba di Padang Merbok

12.27 pm: Padang Merbok- Sebahagian daripada kumpulan yang menyertai Perhimpunan Baju Merah tiba di Padang Merbok manakala sebahagian peserta perhimpunan berkenaan berada di tepi jalan di Jalan Parlimen.

Ketika ini keadaan terkawal dengan ratusan anggota polis bertugas mengawal  di sepanjang jalan dari Jalan Raja Laut sehingga Padang Merbok. 

Armand ketika ditemui pemberita berkata, kejayaan gerakan Baju Merah tiba di Padang Merbok membuktikan bahawa gerakan tersebut cintakan keamanan.

Ketika ditanya apakah perangan seterusnya selepas tiba di Padang Merbok, Armand hanya berkata kehadiran mereka adalah untuk "rileks-rileks" di padang berkenaan.

"Kita nak tunjukkan yang kita gerakan cintakan keamaman bukan seperti baju kuning.

"Hari ini hadir membuktikan bahawa gerakan Merah ganas, radikal adalah salah sekali. Kita juga mendengar arahan pihak polis dari pagi tadi," katanya.

'Kami tak mahu diperintah oleh proksi Yahudi'

12.25pm: Jalan Kuching - Norazimah, 60, dan tiga rakannya menonjol di kalangan penyokong gerakan Baju Merah yang terdiri kebanyakannya golongan belia.

"Kami hanya orang Melayu bersatu ... Negara kita mesti  diperintah oleh orang Islam, bukan proksi Yahudi," katanya.

Beliau menambah walaupun Baju Merahnampak "ganas", mereka bagaimanapun adalah orang baik.

"Lihat wartawan  Cina, adakah mereka diserang? Tidak, bukan?" soalnya.

Polis tak benar penyokong BERSIH ke Dataran Merdeka

12.25pm:  Jalan Travers: Pihak polis mengambil ketetapan untuk tidak membenarkan peserta himpunan BERSIH5 melepasi sekatan polis bagi menuju Dataran Merdeka.

"Mereka akan berhimpun di sana saja (Jalan Travers), mereka tak akan dibenarkan melepasi sekatan polis. Semua boleh bergerak ke sana," kata salah seorang pegawai polis yang cuba berunding dengan Ambiga.

Ambiga berunding dengan pihak polis

12.20pm:  Jalan Travers: Ambiga teruskan perbincangam dengan pihak polis bagi membenarkan mereka meneruskan himpunan mereka ke Dataran Merdeka.

Lebih 200 polis dikerahkan menjaga Jalan Travers kini sedang bersiap sedia menanti peserta BERSIH5.

Polis benarkan Baju Merah berarak ke Padang Merbok

12.05pm: Jalan Raja Laut - Selepas rundingan, polis membenarkan Baju Merah berarak ke Jalan Kuching, dan kemudian ke Padang Merbok melalui Jalan Kinabalu.

12.00pm: Jalan Raja Laut - Kira-kira 4,000 penyokong Baju Merah berkumpul di hadapan Kompleks Pertama menunggu pemimpin mereka, Armand Azha dan Musa Sheikh Fadzir berunding dengan pihak polis untuk membolehkan mereka berarak ke Jalan Kuching ke arah Padang Merbok.

Sebelum membenarkan mereka untuk bergerak, polis meminta mereka tidak membawa sebarang alat tajam seperti kayu dan buluh yang mereka gunakan sebagai kayu bendera ke Padang Merbok, atas sebab-sebab keselamatan.

FRU arahkan peserta kosongkan Jalan TAR

11.55am: Jalan Tunku Abdul Rahman - anggota FRU mula menyekat Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut menuju ke pusat membeli-belah Sogo.

Pengumuman dibuat melalui pembesar suara meminta semua mengosongkan kedua-dua belah jalan raya di hadapan pusat membeli-belah itu.

"Sila kosongkan sebelah kiri dan kanan jalan raya. Sila beri kerjasama anda," kata seorang anggota FRU sambil membunyikan loceng.

Polis juga mengarahkan peserta Baju Merah untuk membuang kayu dan buluh yang digunakan sebagai tiang bendera.

Baju Merah lontar botol air ke arah peserta BERSIH

11.50am: Jalan Mara - Suasana menjadi hangat apabila Baju Merah yang berkumpul di Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju Jalan Raja Laut.

Ketika perarakan itu, Baju Merah mereka mengesan lima penyokong BERSIH di sebuah kedai makan sekitar kawasan itu dan mula untuk mengasak mereka.

Anggota keselamatan BERSIH bagaimanapun cepat campur tangan dan meminta kumpulan berkenaan supaya  tidak menimbulkan kekacauan.

"Kami bangsa bermaruah," kata seorang anggota keselamatan itu dan meminta kumpulan Baju Merah terus beredar.

Bagaimanapun permintaan itu tidak dihiraukan dan beberapa penyokong membaling botol air kepada penyokong BERSIH.

Ketegangan itu bagaimanapun tidak berlarutan apabila kumpulan berkenaan meninggalkan Jalan Mara ke Jalan Raja Laut.

Dipaksa buang kuning pakai merah

11.45am: Medan Tuanku - Seorang penyokong BERSIH5 yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Pak Su Mat, mendakwa dia dikasari oleh penyokong Baju Merah, yang memaksanya menanggalkan T-shirt kuning yang dipakainya dengan baju merah.

Katanya, dia hampir ditumbuk oleh kumpulan berkenaan yang beredar selepas dia menyalin bajunya kepada merah.

"Mereka hanya berani apabila berada dalam kumpulan besar," katanya.

4,000 baju Merah berkumpul depan Kompleks Pertama

11.50am: Jalan Raja Laut- ketika ini kira-kita 4,000 peserta Baju Merah berkumpul di hadapan Kompleks Pertama.

Seorang pemimpin gerakan ini, Datuk Armand Azha dan Datuk Musa Sheikh Fadzir berunding dengan pihak polis bagi membenarkan gerakan tersebut melalui Jalan Kuching untuk menuju ke Padang Merbok.

Sebelum membenarkan gerakan Baju Merah melalui Jalan Kuching, pihak polis meminta supaya peralatan tajam serta batang kayu yang membawa bendera dan buluh tidak di bawa ke Padang Merbok atas sebab keselamatan.

Pada jam 12.04 tengahari mereka kemudiannya diberi kebenaran untuk melalui Jalan Kuching dan seterusnya ke Jalan Kinabalu untuk menuju ke Padang Merbok.

Polis tutup Jalan TAR, Jalan Raja Laut melalui Sogo

11.45am: Jalan Tar: Anggota FRU mula menutup jalan dari arah Jalan TAR dan Jalan Raja Laut melalui Sogo.

FRU turut membuat pengumuman supaya orang awam mengosongkan kiri dan kanan jalan di hadapan Sogo.

"Sila kosongkan kiri dan kanan jalan, Sila beri kerjasama sekarang." 

Lebih 10 ribu peserta BERSIH, tiga ribu Baju Merah di KL

11:40am: Kuala Lumpur - Lebih 10,000 penyokong BERSIH berhimpun di beberapa tempat di ibu negara manakala jumlah penyokong Baju Merah pula adalah kira-kira 3,000 orang.

Walaupun berikrar untuk hadir di mana sahaja peserta BERSIH5 berkumpul, penyokong Baju Merah tidak kelihatan di Dataran Maybank di Bangsar dan Masjid Negara.

Di Bangsar, kira-kira 3,000 penyokong BERSIH berhimpun di Dataran Maybank.

2,000 lagi peserta BERSIH berada di Masjid Negara. Kumpulan Baju Merah yang menduduki Masjid Negara semalam juga tidak kelihatan selepas bersurai lewat malam semalam berikutan penahanan pemimpin mereka, Razali Zakaria.

Menariknya, sebilangan besar penyokong BERSIH sudah berada di Jalan Tun Perak dan Jalan Pudu, lokasi yang tidak ditetapkan sebagai tempat pengumpulan tetapi adalah tempat perhimpunan biasa untuk himpunan sebelum ini.

Jumlah peserta BERSIH di Jalan Tun Perak dan Jalan Pudu masing-masing dianggarkan pada  3,500 dan 2,000.

Terdapat juga kumpulan kecil peserta BERSIH di beberapa tempat lain, termasuk kira-kira 350 orang di Jalan Tuanku Abdul Rahman

Sementara itu, kira-kira 2,000 baju merah yang berhimpun di PWTC mula berarak bagi  menyertai kumpulan mereka yang menunggu Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ini menjadikan jumlah mereka hampir 3,000 orang.

Anggota keselamatan BERSIH, kemudiannya mengarahkan penyokongnya untuk meninggalkan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Peserta rakam selfie bersama kenderaan FRU

11.35am: Jalan Tun Perak - Lebih 3,000 penyokong BERSIH berkumpul di Jalan Tun Perak, berhampiran Dataran Merdeka, yang telah dikepung oleh polis.

Dengan tidak ada tempat untuk ditujui, peserta duduk dan melaung "BERSIH", "Hidup Rakyat" dan "Dedak".

Tujuh kenderaan FRU, termasuk trak meriam air, diletakkan di sepanjang jalan. Kesempatan ini digunakan oleh sesetengah peserta untuk merakam selfie dengan kenderaan polis itu sebagai  latar belakang.

Lebih banyak tangkapan dijangkakan

11.20am:  Polis mengesahkan bahawa daripada 14 individu yang ditahan semalam, 10 adalah berkaitan dengan perhimpunan BERSIH5.

Polis juga dilaporkan masih mencari beberapa individu lain yang berkaitan dengan gerakan reformasi pro-pilihan raya itu.

Empat yang lain itu adalah, Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah, pemimpin Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan Ariffin Abu Bakar serta Ahli Parlimen DAP Anthony Loke ditahan berhubung perkara lain.

'Kuning, kuning, Najib pening'

11:00am: Gereja St John - Annie Ong, yang lebih dikenali sebagai 'Aunty BERSIH', berkata beliau hadir hari ini kerana mahu "wangnya yang dicuri" dikembalikan.

"Lama kita sudah berdiam diri... Kini, kita kembali kuning. 'Kuning, kuning, Najib pening, ini yang kita mahu," katanya merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Wanita berusia 70 tahun itu tidak pernah ketinggalan dalam sebarang perhimpunan BERSIH  juga tidak bimbang tentang kemungkinan polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air.

"Hanya lima minit tidak selesa, siapa peduli tentang meriam air," kata beliau.

'Kita nak bersiar-siar je'

11.05 am: PWTC - Kira-kira 2,000 kumpulan Baju Merah kini berarak menuju ke arah Dataran Merdeka melalui Jalan Putra.

Mereka berarak sambil melaungkan kalimah "Lailahaillallah" serta bertakbir.

Seorang pemimpin gerakan itu, Datuk Armand Azha beliau memberitahu bahawa beliau ingin "bersiar-siar" di Dataran Merdeka hari ini.

Beliau turut memberi jaminan tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

"Kita hari ini nak bersiar-siar di Dataran Merdeka. Tak ada apa-apa akan berlaku. Kita nak bersiar-siar je," katanya kepada pemberita.

Selain Armand, turut kelihatan ialah Rafi Awang Kechik dan pemimpin Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Bishop sembahyang, kemudian salin baju kuning

10:50am: Gereja St John - Sesi doa khas diadakan oleh Keuskupan Agung Kuala Lumpur yang dihadiri lebih 300 orang.

Bishop Bernard Paul memohon himpunan BERSIH5 aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini dan Malaysia terus damai.

"Setiap perubahan bermula daripada kita, kita perlu memainkan peranan kita, Tuhan akan melakukan kerjanya," katanya, sebelum menyarung kemeja-T BERSIH dan menyertai perhimpunan tersebut.

Paul juga tidak bimbang tentang kawalan ketat polis dan berkata polis telah dikerahkan untuk melindungi rakyat Malaysia yang aman.

'Duduk', 'Senyap', Bersurai' dan 'undur'.

10.50am: Jalan Tuanku Abdul Rahman- Sepanduk arahan BERSIH kelihatan di himpunan untuk memberi arahan kepada peserta dengan lebih jelas.

Mengikut seorang sukarela Pasukan BERSIH, Hanun, antara sepanduk arahan yang disediakan oleh Bersih termasuklah "DUDUK",  "SENYAP", "BERSURAI" dan "UNDUR".

Katanya ini adalah untuk membolehkan semua peserta boleh nampak dan terima arahan Bersih dengan Jelas. 

Katanya, ini adalah kali pertama Bersih menyediakan sepanduk arahan.

Baju Merah tersekat di Jalan Raja Laut

10.50am: Jalan Tuanku Abdul Rahman: Sekumpulan kira-kira 30 peserta Baju Merah berjalan keluar dari arah Masjid India dan menuju le jalan yang memisahkan mereka dengan peserta BERSIH5.

Bagaimanapun kedua-dua kumpulan itu tidak bertembung.

Seorang penyokong Baju Merah yang berusia 50-an yang memperkenalkan dirinya sebagai Tuan Mat, memberitahu Malaysiakini bahawa mereka mahu menuju ke Padang Merbok.

Namun setiba mereka di Jalan Raja Laut, mereka dihalang oleh penghadang polis.

Kumpulan itu hilang punca buat seketika dan kemudiannya menerima arahan supaya bergerak dan berkumpul di PWTC.

Peserta baju kuning di Jalan TAR

10.30am: Jalan Tuanku Abdul Rahman - Kira-kira 300 peserta baju kuning berkumpul di Jalan Tuanku Adbul Rahman dekat Dataran Merdeka.

Mereka berdiri sambil sekelompok kecil duduk di atas jalan untuk mendengar ucapan pemimpin. 

Ketua Wanita AMANAH Siti Mariah menyeru peserta kuning agar menjaga keamanan himpunan tanpa provokasi.

Pelbagai gerai kecil yang menjual baju kuning,  makanan dan air minuman juga terdapat di sepanjang jalan. 

Persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman berdekatan Dataran Merdeka telah ditutup oleh polis untuk menghalang orang ramai daripada masuk ke situ.

Aktivis Hishamudin Rais ditahan

‎10.30am: Jalan Kamuja Bangsar - Aktivis BERSIH 2.0 Hishamudin Rais ditahan pihak polis ketika sedang minum di restoran berhampiran sejurus menyampaikan ucapan di hadapan peserta BERSIH 5.

Sebelum dibawa kira-kira enam anggota polis, beliau sempat meninggalkan pesan supaya meneruskan himpunan tersebut.

"Walaupun saya tidak ada, teruskan. Teruskan, inilah perjuangan.

"Jangan risau, mereka juga bersama kita hari ini. Teruskan," katanya yang sempat mengambil garam dan sapu tangan di dalam sebuah beg sebelum dibawa polis.

Roti percuma untuk peserta perhimpunan

10.15am: Jalan Petaling - Rasa lapar ketika menghadiri perhimpunan BERSIH5? Jangan bimbang, ada 'roti BERSIH' percuma.

Seramai 10,500 bungkus roti sedang diedarkan di Jalan Petaling kepada orang ramai, sebagai tanda sokongan untuk perhimpunan tersebut.

Orang yang bertanggungjawab Tan Soon Kit, 23, datang dari Muar, Johor ke Kuala Lumpur hari ini dengan misinya untuk menjamu selera peserta perhimpunan itu.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa ini adalah kali kedua mereka mengedarkan roti BERSIH percuma sejak perhimpunan yang lalu.

"Kami dalam industri roti dan kek. Sebelum perhimpunan ini, kempen derma kami telah mengumpul RM4,000, dan kami sedang mengedarkan 10,500 keping roti," katanya dengan penuh semangat, sambil menambah "roti percuma, GST percuma".

Selain itu, sebuah lagi kedai roti telah menaja 1,200 keping kek.

Sekatan halangan untuk pisahkan penyokong BERSIH dan baju merah

10.10am: Jalan Kinabalu - Sekatan halangan yang dikendalikan oleh lebih 100 anggota polis diletakkan di jalan masuk dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka.

Pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi memberitahuMalaysiakini bahawa sekatan adalah untuk memisahkan penyokong BERSIH dan baju merah.

"Kami hanya mahu segala-galanya berjalan dengan aman dan berakhir secara aman," kata pegawai itu.

Pada jam 9.45 pagi, kira-kira 1,000 baju merah kelihatan di sekitar kawasan Jalan Raja Laut.

Kehadiran Adam Adli semarakkan semangat peserta BERSIH

10 pagi - Bangsar - Kehadiran aktivis BERSIH Adam Adli menyemarakkan semangat lebih 1,000 peserta BERSIH 5 di sekitar LRT Bangsar.

Adam tampil memberi ucapan dan mendakwa dirinya terlepas dari serbuan pihak polis di rumahnya, malam tadi.‎

"Rakyat Malaysia tidak gentar, rakyat Malaysia tidak takut. Rakyat Malaysia seperti dijanjikan 60 hari lepas kita berhimpun di KL.

"Seluruh dunia mahu melihat sejuah mana rakyat Malaysia mampu berjuang untuk kedaulatan negara.

"Semalam saya hampir ditahan kira-kira 20 orang polis dari Bukit Aman, tetapi saya berjaya berada di sini," katanya.

Turut bersama Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu dan beberapa pimpinan lain.

Penyokong baju merah berarak menuju ke PWTC

9.37am: Sogo - lebih 1,000 penyokong baju merah kini mula berarak menuju ke PWTC. Mereka melalui Jalan Raja Laut Sambil menyanyikan lagu inilah barisan kita dan juga berselawat.

Sementara itu 20 anggota pasukan  FRU berkawal di sini.

Tiada baju merah kelihatan di kawasan Masjid Negara

9.28am: Masjid Negara- Tiada kumpulan Baju Merah kelihatan di kawasan Masjid Negara.

Bagaimanapun terdapat kira-kira 20 orang pemuda dari Taiping yang memakai baju-T biasa dipercayai datang ke ibu negara bagi menyertai perhimpunan baju Merah.

Seorang pemuda memberitahu, dia datang ke Masjid Negara dari Taiping menaiki bas dan tiba di ibu negara kira-kira jam 5 pagi tadi.

Ketika diajukan soalan apakah tujuannya hadir pada perhimpunan hari ini, pemuda tersebut berkata, tiada sebarang arahan diberikan kepadanya dan mereka bebas untuk buat apa sahaja.

"Saya tak tahu (nak buat apa). Kami memang datang untuk baju Merah.

"Kami tunggu je ni sebab tak ada apa-apa pun lagi," katanya.

"Kita semua adalah Maria, kita semua Mandeep," kata Ambiga

‎9.20am: Bangsar - ‎Peserta BERSIH yang berhimpun di sekitar LRT Bangsar menyambut kehadiran Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Datuk S Ambiga.

Ambiga dalam ucapan ringkasnya berkata, perhimpunan hari ini tetap meriah dengan kehadiran orang ramai walaupun Pengeruis BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah ditangkap.

"Kita semua adalah Maria, kita semua Mandeep," laung beliau kepada peserta.

200 baju merah menuju ke Padang Merbok

9.15am: Masjid Jamek - Sekumpulan kira-kira 200 baju merah berselisih dengan kira-kira 300 penyokong BERSIH bertentangan dengan Hotel Swiss Hotel berhampiran stesen LRT, ketika mereka menuju ke Padang Merbok.

Bersorak "Hidup Merah !," mereka berjalan melewati stesen LRT Bandaraya di sini.

Pasukan keselamatan BERSIH yang berpakaian ungu kelihatan membentuk benteng manusia untuk menghalang kemaraan mereka.

Kumpulan baju merah itu kini berjalan ke arah pusat membeli-belah Sogo, dan berhenti di stesen LRT Bandaraya

'Penderma Arab' membuat kemunculan semula dendangkan Sha La La La

9.10am: Bangsar - 'penderma Arab' membuat penampilan sekali lagi. Memakai pakaian tradisi Arab, lelaki itu membuat kemunculan pertamanya ketika perhimpunan BERSIH 4 perhimpunan tahun lepas.

Dia kemundiannya mendendangkan 'Sha La La La' - lagu Danish Glam Rock Band, The Walkers.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendendangkan lagu itu di majlis makan malam peribadi meraikan Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang melawat Malaysia baru-baru ini.

"Sha la la la, mari Datang bersama-sama," kata 'orang Arab' itu.

Lelaki itu, Mok Sek Chool, memberitahuMalaysiakini beliau berada di sini untuk perhimpunan BERSIH kerana "kerajaan tidak mampu untuk menjawab" soalan berkaitan isu derma RM2.6 bilion.

"Sebab itu saya membuat pakaian ini, untuk membuat orang tahu (mengenai isu itu)," katanya.

Tiada baju merah kelihatan di Bangsar

9am: Bangsar - Semasa memantau kawasan itu dari Jalan Bukit Pantai ke Dataran Maybank sejak jam 8 pagi hingga sekarang, Malaysiakini mendapati tiada kelihatan penyokong merah.

Kebanyakan jalan menuju ke Bangsar telah ditutup sejak jam 7 pagi.

Sementara itu, pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow melaporkan di Facebook bas-bas yang mereka sewa untuk penyokong dari utara telah menarik diri.

Menurutnya kesemua lima buah bas yang disewa oleh DAP Pulau Pinang telah dibatalkan pada saat akhir dan mendakwa pengusaha bas tidak berani untuk mengambil risiko permit mereka dibatalkan.

Namun, katanya, mereka dalam perjalanan dengan menaiki kereta, melalui jalan udara dan kereta api.

Stesen LRT Bangsar beroperasi seperti biasa

8.50am: Stesen LRT Bangsar - perkhidmatan LRT di sini berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Ini walaupun ketua setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah tweet bahawa stesen itu telah ditutup dan menasihatkan peserta BERSIH turun di stesen berdekatan.

Tinjauan Malaysiakinibagaimanapun mendapati penumpang masih turun di Stesen LRT Bangsar.

Seorang kakitangan Prasarana memberitahuMalaysiakini bahawa perkhidmatan di stesen tidak akan dihentikan.

"Perkhidmatan hanya akan dihentikan jika keadaan tidak terkawal," katanya.

Kesukarah hidup dorong sertai perhimpunan

8.45am: Masjid Negara - Dua lelaki warga emas adalah antara 100 penyokong BERSIH di Masjid negara.

Berusia 65 tahun, Tajudin Mohamed dan Jamaluddin Harun, 57, kedua-duanya adalah ahli AMANAH dari Johor, yang menurut mereka datang atas kapasiti peribadi.

Mereka memberitahu Malaysiakini mereka didorong oleh penderitaan rakyat, terutama golongan muda, kerana kos sara hidup yang meningkat.

Menurut Tajuddin, keadaan begitu sukar, dan sebagai seorang Muslim, kadang-kadang beliau tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya ketika bersolat.

Jamaluddin berkata mereka tiba di sini pada waktu awal pagi dengan menaiki bas yang dipenuhi penyokong BERSIH dari pelbagai parti.

Pikachu pun ada

8.30am: Sogo - Satu pasukan FRU sekitar 50 anggota diberi taklimat di depan Sogo.

Beberapa trak dan kenderaan meriam air dapat dilihat diletakkan di luar balai polis daerah Dang Wangi.

Polis telah mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman di hadapan Sogo untuk menghalang orang ramai yang memakai baju merah atau kuning daripada memasuki jalan itu.

Sogo bukan tempat berkumpul peserta BERSIH ataupun baju merah dan setakat ini hanya beberapa orang dengan baju-T kuning BERSIH kellinatan melalui kawasan itu.


8.20am: Masjid Negara - Seorang lelaki dalam pakaian Pikachu meraih perhatian di sini dengan orang ramai bergambar dengannya.

Lelaki itu, Abdul Malik Abdul Razak, berkata, dia datang dengan sekumpulan orang lain dari Kluang, Johor dengan bas hari ini.

Beliau merancang untuk berarak dalam pakaian tersebut.

8.15am: PWTC - Polis menutup jalan masuk ke pusat bandar Kuala Lumpur. 

Tidak kelihatan orang ramai berkumpul di PWTC, di mana ibu pejabat Umno terletak. Bagaimanapun, kelihatan seorang sedang menjual baju-T merah 'di tepi jalan.

7.50am: Masjid Negara - Gerai makan jadi tumpuan

Peniaga menjual nasi lemak dan barangan lain menjadi tumpuan penyokong BERSIH dan lain-lainnya.

Terdapat juga beberapa gerai yang menjual barangan BERSIH.

Kira-kira dua dozen peserta BERSIH dalam pakaian berwarna kuning sudah berada di sini, di kalangan orang ramai yang terdiri daripada 50 orang berpakaian biasa.

Terdapat kawalan keselamatan yang ketat di sini, dan kenderaan meriam air FRU dan sebuah trak diletakkan bersebelahan dengan masjid.

Tiada baju merah kelihatan di situ walaupun semalam mereka berkata akan berkumpul di Masjid Negara.

7.40am: Jalan Petaling - Penyokong BERSIH mula tiba

Ramai penyokong BERSIH telah tiba di pusat bandar Kuala Lumpur sebelum perhimpunan bermula, kerana ada yang risau mengenai penutupan jalan utama dan tidak dapat masuk ke pusat bandar kemudian.

Jalan Petaling, yang menyaksikan perhimpunan baju merah September lalu, kelihatan aman dan tenang.

Mereka kelihatan sedang bersarapan dan bersiap sedia untuk perhimpunan hari ini.

FRU sudah bersiap sedia

7.26am: Masjid Jamek LRT Jln Tun Perak - Pasukan 50 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berada hadapan stesen LRT Masjid Jamek dan berbincang tugas mereka dalam menangani peserta perhimpunan BERSIH dan baju merah.

Di sepanjang jalan terletak tujuh trak FRU dengan trak meriam air.

Polis telah menutup jalan di hujung Jalan Tun Perak, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut, menghalang peserta dan wartawan daripada memasuki Dataran Merdeka.

Lebih 100 anggota polis berdiri di hadapan ketiga-tiga kawasan yang ditutup itu, menghalang orang ramai daripada memasuki Dataran Merdeka.

Seorang kakitangan LRT yang lalu di situ berkata tiga stesen LRT di sekitar pusat bandar - Stesen Masjid Jamek, stesen Bandaraya dan stesen Plaza Rakyat mungkin ditutup jika keadaan menjadi kecoh.

"Tetapi sekarang, penumpang masih boleh menaiki LRT di stesen-stesen itu," katanya.

7am: Keadaan tenang menjelang perhimpunan pagi ini

Peserta perhimpunan dijadual berkumpul di Jalan Bangsar dan Masjid Negara. Keadan masih tenang walaupun sekatan jalan raya mula dilakukan.

Dataran Merdeka di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Tunku Abdul Rahman ditutup.

Di Bangsar, jalan dari Jalan Maarof ke Jalan Bangsar telah ditutup di mana Dataran Maybank merupakan salah satu tempat BERSIH akan berkumpul.

Keadaan kelihatan seperti biasa di Jalan Petaling dengan para peniaga membuka perniagaan mereka.

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah dan setiausaha sekretariat gabungan itu, Mandeep Singh beserta beberapa ahli politik ditahan malam tadi.

Turut ditahan ialah pemimpin baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos pada pukul 1.30 pagi tadi.


Sorotan Penting

Jamal ditahan bersama 12 lagiDr M: BERSIH5 peluang terakhir rakyat

- mkini

Video: Pok Mat Su Hampir Kena Tumbuk, Kena Paksa Pakai Baju Merah

Posted: 18 Nov 2016 08:28 PM PST





Jamal Ditangkap Polis Malam Tadi

Posted: 18 Nov 2016 03:42 PM PST



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jamal Md Yunos yang berikrar menghalang perhimpunan Bersih 5 menerusi Gerakan Baju Merah yang dipimpinnya ditangkap polis awal pagi ini dalam operasi polis yang berjalan sejak semalam.

Jamal ditahan di sebuah hotel di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan ringkasnya, ketua Umno Sungai Besar it berkata dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam jam 1.30 pagi tadi.

"Saya berharap penahanan saya tidak mematahkan semangat para penyokong Baju Merah," katanya.

Penasihat undang-undang gerakan itu, Mohd Imran Tamrin ketika dihubungi jam 2.00 pagi tadi berkata pihaknya menuju ke ibu pejabat polis untuk maklumat lanjut.

Adalah dipercayai penangkapan Jamal dibuat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kerana merusuh.

Jamal merancang perhimpunan balas hari ini sejak beberapa bulan lalu, sebagai membantah Bersih 5 yang antara lain mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Polis mengisytiharkan kedua-dua perhimpunan Bersih 5 dan Baju Merah tidak memenuhi syarat Akta Perhimpunan Aman walaupun menerima notis 10 hari.

Sementara itu, aktivis pelajar Adam Adli Abd Halim turut disoal polis.

Adam melalui akaun Twitter berkata polis datang ke bilik hotelnya berhampiran KL Sentral jam 1.30 pagi.

"Mereka datang, tanya soalan, ambil butiran diri termasuk nombor kad pengenalan."

"Kemudian mereka beredar," katanya kepada FMT ketika dihubungi.

Sebelum ini Ronnie Liu ditangkap atas tuduhan merusuh, dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke berhubung ucapan di Konvensyen Pakatan Harapan Sabtu lepas.

Polis turut menangkap Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan urusetia Mandeep Singh selepas pejabat mereka di Petaling Jaya diserbu polis petang semalam.

Setakat berita ini ditulis, difahamkan 14 orang termasuk Jamal ditahan pihak berkuasa.

Berikut senarai mereka yang ditahan:

1. Maria Chin Abdullah
2. Mandeep Singh
3. Anthony Loke
4. Ronnie Liu
5. Luqman Nul Hakim Zul Razali
6. S. Artuchelvan
7. Jimmy Wong
8. Lee Khai Ming
9. Anis Syafiqah
10. Ariffin Abu Bakar
11. Razali Zakaria
12. Muhammad Safwan Anang
13. Adam Adli
14. Datuk Seri Jamal Yunos

- fmt




Senarai Terkini Tangkapan Menjelang BERSIH5 Esok

Posted: 18 Nov 2016 05:55 AM PST




Polis hari ini menjalankan beberapa tangkapan menjelang perhimpunan BERSIH5 dan Baju Merah esok.

Ia melibatkan pelbagai pihak, termasuk aktivis, ahli politik dan pelajar.

Mereka ditahan menggunakan pelbagai peruntukan undang-undang.

Setakat laporan ini ditulis, senarai tangkapan seperti berikut:

Sumber - malaysiakini

Tiada ulasan: