Khamis, 1 September 2016

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


ADAKAH SAYA HIPOKRIT JIKA SAYA MENUTUP AURAT TETAPI MASIH MELAKUKAN MAKSIAT?

Posted: 01 Sep 2016 12:38 AM PDT



Antara bentuk jerat syaitan ialah menjadikan manusia berputus asa daripada rahmat Allah.

Antara jalannya ialah menjadikan manusia berputus asa di atas dosa-dosa yang dia lakukan sehingga merasakan tiada lagi pintu taubat untuknya.

Antara jalannya ialah menjadikan manusia meninggakan ketaatan kepada Allah lantaran rasa diri tidak layak menunaikannya kerana masih ada maksiat yang dilakukan.

Tidak ada manusia yang tidak berhak melakukan kebaikan. Di zaman Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam ada sahabat yang penzina, ada yang kaki arak, akan tetapi adakah mereka menjauhkan diri daripada melakukan kebaikan yang lain?

Iman manusia sentiasa naik dan turun. Oleh kerana itu setiap hari kita meminta kepada Allah:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
Tunjukkan kami jalan yang lurus. [Al-Fatihah : 6]

Kenapakah kita meminta jalan yang lurus sedangkan kita sudah Muslim ketika membaca ayat ini?

Ini kerana yang kita minta ialah agar kita istiqamah di jalan yang lurus.

عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ :
Anas radiallahu 'anhu berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam kerap membaca doa:

" يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ " ،
Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan hati aku di atas agama Mu.

فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا ؟ قَالَ : " نَعَمْ ، إِنَّ الْقُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ "
. Lalu aku bertanya: Ya Rasulullah, kami beriman kepada engkau dan apa yang engkau bawa. Adakah engkau ada rasa takut/khuatir ke atas kami? Baginda menjawab: Ya. Sesungguhnya hati-hati ini berada di antara dua jari daripada jari jemari Allah. dia akan akan membolak-balikkan ia sebagaimana yang Dia kehendaki [Sunan at-Tirmizi, Kitab al-Qadr, hadis no: 2066, hadis hasan]

Isteri Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam, iaitu Ummu Salamah radiallahu 'anha menyatakan ini adalah doa yang kerap dibaca oleh baginda.

Oleh kerana itu kita berdoa dengan doa berikut:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati kami selepas Engkau beri petunjuk kepada kami. Kurniakanlah kepada kami rahmat Mu. Sesungguhnya Engkau maha pemberi kurnia. [Ali 'Imran : 8]

Lazimilah doa ini agar hati kita kuat untuk kekal di atas jalan kebenaran.

Jika kita sudah tergelincir, kembalilah kepada Allah. Bukankah Allah sentiasa menerima taubat hambaNya?

حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ ، قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ : " قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى : يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي ،
Anas bin Malik radiallahu 'anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Allah berkata: Wahai anak Adam. Selagi mana engkau berdoa dan mengharapan kepada Ku, nescaya Aku ampuni apa sahaja yang engkau lakukan, Aku tidak kisah.

يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ وَلَا أُبَالِي ،
Wahai anak Adam. Jika dosa mu melangit tinggi, kemudia engkau memohon keampunan Ku, Aku akan ampuni diri mu, Aku tidak kisah.

يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً " . قَالَ أَبُو عِيسَى : هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ ، لَا نَعْرِفُهُ إِلَّا مِنْ هَذَا الْوَجْهِ .
Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepada ku dengan dosa seluas bumi, dan engkau bertemu dengan Aku dalam keadaan engkau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku akan datang kepada mu dengan seluas keampunan.
[Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Daawat, hadis no: 3491, hasan gharib].

Kenapakah kita memilih menambah dosa di atas dosa yang lain?

Jika kita melakukan satu kebaikan dan masih melakukan satu kejahatan, kenapakah kita memilih membuang kebaikan itu atas alasan kita masih lagi melakukan kejahatan?

Bilakah kita akan menjadi manusia yang lebih baik jika kita menambah kejahatan di atas kejahatan?

Boleh jadi satu kebaikan ini akan menjadi bekalan kita untuk memotivasi diri menjadi lebih baik, akan tetapi kita memilih untuk membuangnya sehingga kita melakukan kejahatan yang lain. Adakah kita sedang melarikan diri daripada hidayah Allah.

Kita yang melihat seorang yang baik melakukan kejahatan, wajarkah kita berkata: Buat apa kau buat baik ni sedangkan benda jahat kau masih buat! Allah tak terima amal baik engkau! Buat apa solat kalau masih buat maksiat? Sia-sia sahaja tutup aurat tetapi masih buat maksiat!

Mereka yang berkata seperti di atas, renungilah hadis di bawah:

قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ كَانَ رَجُلاَنِ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ مُتَآخِيَيْنِ فَكَانَ أَحَدُهُمَا يُذْنِبُ وَالآخَرُ مُجْتَهِدٌ فِي الْعِبَادَةِ
Abu Hurairah radiallahu 'anhu berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Ada dua orang lelaki bersaudara daripada Bani Israel. Salah seorang sering melakukan dosa dan seorang lagi bersungguh-sungguh beribadah.

فَكَانَ لاَ يَزَالُ الْمُجْتَهِدُ يَرَى الآخَرَ عَلَى الذَّنْبِ فَيَقُولُ أَقْصِرْ .
Lelaki yang bersungguh-sungguh dalam ibadah ini setiap kali dia melihat saudaranya melakukan dosa dia akan berkata: Tinggalkanlah dosa ini.

فَوَجَدَهُ يَوْمًا عَلَى ذَنْبٍ فَقَالَ لَهُ أَقْصِرْ فَقَالَ خَلِّنِي وَرَبِّي أَبُعِثْتَ عَلَىَّ رَقِيبًا
Pada suatu hari, dia mendapati saudaranya sedang melakukan dosa lalu dia berkata: Tinggalkanlah dosa ini. Lalu saudaranya menjawab: Biarkan aku dan Tuhan ku. Adakah engkau diutuskan kepada ku untuk menjadi pemerhati ke atas ku?

فَقَالَ وَاللَّهِ لاَ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكَ أَوْ لاَ يُدْخِلُكَ اللَّهُ الْجَنَّةَ .
Saudaranya menjawab: Demi Allah, Allah tidak akan mengampuni engkau, Dia tidak akan memasukkan engkau ke dalam syurga.

فَقُبِضَ أَرْوَاحُهُمَا فَاجْتَمَعَا عِنْدَ رَبِّ الْعَالَمِينَ فَقَالَ لِهَذَا الْمُجْتَهِدِ أَكُنْتَ بِي عَالِمًا أَوْ كُنْتَ عَلَى مَا فِي يَدِي قَادِرًا وَقَالَ لِلْمُذْنِبِ
Lalu nyawa mereka berdua diambil dan mereka berkumpul di hadapan Tuhan sekalian alam. Allah berkata kepada lelaki yang kuat beribadah: Adakah engkau tahu apa yang Aku tahu? Adakah engkau berkuasa atas apa yang ada pada Tangan ku? Allah berkata kepada yang sering berdosa:

اذْهَبْ فَادْخُلِ الْجَنَّةَ بِرَحْمَتِي وَقَالَ لِلآخَرِ اذْهَبُوا بِهِ إِلَى النَّارِ. .
Pergilah, masuklah ke dalam syurga dengan rahmat Ku. Allah berkata kepada yang lain pula: Pergilah bersamanya (iaitu lelaki yang rajin beribadah itu) ke neraka.

قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَكَلَّمَ بِكَلِمَةٍ أَوْبَقَتْ دُنْيَاهُ وَآخِرَتَهُ
Abu Hurairah berkata: Demi tuhan yang diri ku di TanganNya, lelaki itu (iaitu yang kuat beribadah itu) berkata dengan satu perkataan yang memusnahkan dunia dan akhiratnya.
[Sunan Abi Daud, Kitab al-Adab, hadis no: 4883]

Hipokritkah kita jika masih melakukan maksiat dalam masa yang sama masih melakukan ketaatan kepada Allah?

Hipokrit itu ialah manusia yang melakukan ketaatan dan menzahirkan kesalehan kepada orang ramai akan tetapi sebenarnya dia berpura-pura.

Adakah kita sedang berpura-pura? Atau sebenarnya kita sedang berusaha membaiki diri kita yang penuh kelemahan?

Semoga kita semua terus menerus mencari hidayah Allah.

- Mohd Masri Mohd Ramli -

BAYAN LINNAS SIRI 67 : ISU CADANGAN PINDAAN AKTA 355 : SATU PANDANGAN

Posted: 31 Aug 2016 08:00 PM PDT



BAYAN LINNAS SIRI 67 : ISU CADANGAN PINDAAN AKTA 355 : SATU PANDANGAN

Menjunjung Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku al-Haj Abdul Halim Mu`adzam Shah Ibni al-Marhum Sultan Badlishah yang dilafazkan dalam Majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ketiga Belas pada 7 Mac 2016:

"Beta menyokong penuh segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan damai di negara ini. Beta berharap langkah-langkah ke arah MEMPERKUKUHKAN INSTITUSI AGAMA DAN KECEKAPAN PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN AGAMA ISLAM MELALUI PEMERKASAAN MAHKAMAH SYARIAH DAPAT DISEGERAKAN. Isu-isu keagamaan perlu dirujuk kepada pihak berautoriti agama dan tidak wajar dibuat tafsiran secara individu atau berkelompok kerana boleh mencetuskan kecelaruan, ketegangan dan konflik dalam masyarakat."


1.0 Mukadimah

Alhamdulillah kami rafa'kan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Puji-pujian kepada-Nya atas nikmat yang kita perolehi dengan keamanan, keselamatan, keharmonian, dan kemerdekaan yang kita kecapi sehingga saat ini. Nikmat ini mewajibkan kita menzahirkan kesyukuran kepada-Nya jua.

Pada Siri Bayan Linnas kali ini, kami berasa terpanggil untuk mengemukakan sedikit pandangan berkaitan Usul Persendirian bagi mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Ahli Persendirian bernama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, selepas ini disebut "Cadangan Pindaan Akta 355". Usul Persendirian ini mencadangkan pindaan ke atas undang-undang ibu iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau dalam Bahasa Inggeris, The Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) Act 1965, yang selepas ini disebut sebagai "Akta 355". Semenjak usul persendirian itu dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016, rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, merentasi kaum, agama dan ideologi telah memberi komentar dalam isu ini. Mereka termasuk rakyat biasa daripada petani, nelayan, orang kampung sehinggalah ahli akademik, cerdik pandai, profesional, pengamal undang-undang dan ahli politik mengemukakan hujahan masing-masing; sama ada menyokong atau menentang cadangan pindaan Akta 355 tersebut.

Selepas tempoh yang begitu panjang dan lama isu ini dikemukakan, timbul rasa bertanggungjawab bagi kami untuk memberikan satu pendapat dan kecenderungan kami dalam kemelut ini. Sebenarnya semasa kami menekuni isu ini, kami telah bertanya kepada mereka yang berkeahlian dan juga cendekiawan di samping membuat rujukan dalam pelbagai lapangan ilmu berkaitan sama ada secara kajian kepustakaan dan juga kajian lapangan.

Kami mengambil kesempatan untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu memberi sebuah tasawwur dan mafhum yang jelas berkaitan isu cadangan pindaan Akta 355. Kami ucapkan jazakumullahu khairal jaza'. Semoga Bayan Linnas ini memberikan satu jawapan penyelesaian kepada khalayak masyarakat yang masih keliru dalam hal ini.



2.0 Beberapa Noktah Penting

Syeikh Muhammad al-Ghazali menyatakan,

"Apabila kamu ingin memelihara kebenaran dan menentukan batas-batasannya, kamu sepatutnya terlebih dahulu mengetahui kebenaran itu dan pelbagai perkara yang berkaitannya dengan kebenaran tersebut. Kamu mungkin menimbulkan persoalan kenapa perkara-perkara ini begitu penting? Kenapa tidak mengetahui pelbagai perkara yang berkaitan dengan sesuatu kebenaran itu akan merosakkan dan tersalah kefahaman mengenai kebenaran tersebut? Jawabnya, "Pengetahuan yang sempurna pasti memiliki batas-batasannya. Oleh itu, pengetahuan kamu berkenaan sesuatu perkara itu tidak akan pernah sempurna kecuali kamu benar-benar mengetahui perkara-perkara yang lain berkenaan dengan kebenaran tersebut atau yang menyerupai dengannya. Oleh itu, orang-orang terdahulu pernah mengungkapkan sesuatu perkara itu boleh diketahui daripada perkara yang bertentangan dengannya.[1]
Kami mulakan dengan beberapa noktah penting bagi tajuk ini.



Pertama: Panduan Mengutarakan Pendapat

Kami dapati semua lapisan masyarakat masing-masing telah mengemukakan pendapat dalam isu ini, sama ada pro atau kontra, dengan pelbagai hujah dan alasan.

Kami sedar di sinilah uniknya pengamalan sistem demokrasi di Malaysia apabila rakyat diberi kebebasan untuk melontarkan pelbagai idea dalam ruang lingkup yang diizinkan. Hak kebebasan ini termaktub dalam Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan:

"tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;"

Kami tidak menentang budaya intelektualisme yang sihat, bahkan menggalakkannya. Sekurang-kurangnya buah fikiran dan idea dapat disampaikan hingga hiwar ilmiah (diskusi ilmiah) dapat dilangsungkan. Inilah Malaysia.

Walaupun begitu, sebarang lontaran idea atau pendapat yang dikemukakan perlulah kepada asas, dalil dan hujah samada naqli (revealed knowledge) atau aqli (acquired knowledge) dengan cara istinbat serta istidlal yang betul. Adapun jika hujah itu hanya menurut sikap paranoia[2], hawa nafsu, sentimen emosi serta kepuakan, sudah barang tentu tidak akan menatijahkan sebuah keputusan yang baik, tuntas dan jitu.

Saat yang sama, perbincangan dan perbahasan perlulah disulami dengan adab dan akhlak yang tinggi lagi luhur. Tidak rugi bahkan ia satu kejayaan yang besar bagi sesiapa yang menghormati pendapat orang lain atau secara mudahnya 'bersetuju untuk tidak bersetuju'. Inilah ciri yang sepatutnya kita laksanakan dalam membina tamadun bangsa yang menuju ke arah kegemilangan.



Kedua: Kejahilan (Ignorance)

Inilah isu yang terbesar yang menjadi hijab kepada kita, dan antara kita. Benarlah kata mufakkir Islam, Syeikh Muhammad al-Ghazali, "Musuh utama kita adalah kejahilan kita sendiri."

Ini seerti dengan kata-kata pujangga:

الجَهْلُ عَدُو لِنَفْسِهِ

Maksudnya: "Kejahilan adalah musuh kepada dirinya sendiri."

Syeikh Amir Syakib Arsalan melalui bukunya Li Maza Taakhkhara al-Muslimun wa Limaza Taqaddama Ghayruhum? (Mengapa Umat Islam Mundur dan Mengapa Umat Selainnya Maju?) antara lain menyebut faktor utama penyebab kemunduran ialah faktor kejahilan dalam umat Islam sehingga ada di kalangan mereka tidak dapat bezakan antara arak dan cuka. Natijahnya, orang jahil akan pasrah sahaja menerima permasalahan yang dikemukakan tanpa tahu cara menolaknya.[3]

Ketidakjelasan dan salah faham isu menyebabkan timbul lontaran idea yang tidak lagi berpijak kepada hakikat yang nyata. Kegagalan memahami isu hasil daripada salah faham maklumat berpunca daripada kehilangan adab di kalangan pencari kebenaran akibat cuba mendapatkan ilmu daripada orang yang bukan sebenarnya ahli dalam satu bidang.

Natijahnya, keluar pelbagai kenyataan yang kami nisbahkan sebagai Socratic Ignorance (Kejahilan menurut faham Sokrates) seperti;

Mendakwa penggubalan cadangan Pindaan Akta 355 ini adalah 'pintu belakang' melaksanakan hudud;
Cadangan pindaan Akta 355 ialah senjata politik bagi kepentingan parti tertentu; dan
Mengaitkan cadangan Pindaan Akta 355 dengan undang-undang draconian, radikal dan ekstrem bertujuan untuk menakutkan masyarakat Islam dan bukan Islam, serta menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat.
Untuk itu kami katakan, penawar bagi penyakit kejahilan ini ialah dengan merujuk, bertanya dan berbincang kepada ahli bidang ini dan juga pihak yang membentangkan cadangan pindaan Akta 355 ini untuk penjelasan yang sebenarnya. Matlamat mulia ini tidak akan kesampaian jika cadangan pindaan Akta 355 ini terus dibantah dan dihalang perbincangannya di dalam Dewan Rakyat oleh pihak-pihak yang tidak memahami aspirasi pendidikan demokrasi berperlembagaan yang diamalkan di negara kita. Ingatlah, dengan salahfaham dan kejahilan akan terus menyebabkan kerosakan keharmonian dan adab dalam negara dan kehidupan masyarakat setempat. Ini akan merencatkan sebuah kejayaan yang sepatutnya dimiliki bersama.



Ketiga: Perbincangan Perundangan Islam

Kami sengaja menyatakan di sini beberapa konsep asas berkenaan dengan perundangan Islam untuk meminimumkan berlakunya sebarang alergi dan tohmahan yang bukan-bukan terhadap perundangan Islam. Perkara yang terpenting ialah penjelasan bahawa perkara ini bukanlah hanya retorik pihak tertentu yang berkepentingan, sebaliknya, sebuah manifestasi keadilan yang dasarnya ideal lagi praktikal bersumberkan Tuhan Semesta Alam untuk mengatur kehidupan manusia dengan kebenaran dan saksama.

Untuk itu, seorang tokoh murabbi (pendidik) Islam yang terkenal, Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dipetik sebagai menulis di dalam bukunya, al-Madkhal Ila al-Syari`ah al-Islamiyyah:

"Memadailah kita memetik rumusan beberapa kongres antarabangsa yang diadakan pada kurun lepas, (untuk membuktikan perlunya kita kembali kepada fitrah agama) iaitu:

Kongres antarabangsa yang membincangkan mengenai undang-undang perbandingan yang diadakan di Bandar Lahai pada tahun 1938[4]. Pihak Universiti Azhar juga diundang menyertai kongres tersebut, di samping dua orang wakil ulama bagi membincangkan "Tanggungjawab Kemajuan Dan Jenayah Dalam Syariat Islam" dan "Fiqh Islam Yang Bebas Dan Tidak Terpengaruh Dengan Undang-Undang Roman".
Kongres itu meninggalkan pengaruhnya mengenai ketentuan sejarah yang penting dengan adanya perkaitan tokoh undang-undang barat. Di dalamnya ada menyebut mengenai:

Syariat Islam dianggap sebagai salah satu sumber rujukan syariat umum;
Islam adalah syariat yang hidup yang boleh menerima segala perkembangan; dan
Syariat Islam adalah syariat yang tulen, bukan yang diambil dari syariat lain.
Di bandar yang sama pada tahun 1948, diadakan satu Kongres Peguam Bela Antarabangsa yang dihadiri oleh 53 buah negara dunia. Antara yang hadir juga adalah segolongan professor dan peguambela dari pelbagai bangsa serta daerah. Pada tahun 1950, peguam bela daripada bahagian timur dari Bahagian Undang-undang Perbandingan Antarabangsa telah mengadakan kongresnya bagi membahaskan fiqh Islam di fakulti undang-undang di sebuah universiti di Perancis sempena Minggu Fiqh Islami. Ia dihadiri oleh Professor Fakulti Undang-undang, peguambela berbangsa Arab, Perancis dan lain-lain. Beberapa wakil universiti termasuk Universiti al-Azhar serta golongan orientalis menghadirinya. Perbincangan mereka tertumpu kepada 5 persoalan mengenai fiqh yang telah ditentukan oleh kesatuan antarabangsa tersebut iaitu:

Hak milik perseorangan.
Hak milik umum.
Tanggungjawab jenayah.
Pengaruh sebahagian mazhab kemasyarakatan kepada yang lalai.
Teori riba dalam Islam.
Berdasarkan kepada hasil yang didapati daripada beberapa pembentangan ketika berlangsungnya Minggu fiqh Islami, resolusi yang dipersetujui adalah:

Tidak dapat disangkal bahawa segala dasar fiqh Islami mempunyai nilai perundangan.
Perselisihan pandangan mazhab fiqh menunjukkan kefahaman dan bahan maklumat sentiasa berkembang. Prinsip undang-undang Islam di antara yang menakjubkan dengan fiqh Islam pasti dapat menyahut semua tuntutan kehidupan moden.
Kongres antarabangsa tersebut menunjukkan bahawa syariat itu bersesuaian, boleh diperbaharui serta memberi, lengkap serta kekal sepanjang zaman."

Rumusan di atas menunjukkan penerimaan tokoh-tokoh Islam dan bukan Islam terhadap Syariat Islam sebagai sebuah sistem perundangan yang sah. Ini juga menunjukkan sistem perundangan Islam juga tidak bersifat kaku dan literal, tetapi fleksibel dan menyeluruh di dalam perlaksanaannya kerana dipandukan oleh nilai-nilai sejagat yang boleh difahami oleh sesiapa pun yang memiliki fitrah yang sihat. Perbincangan untuk menghalusi proses perlaksanaan itu amatlah digalakkan dan diraikan juga sumbangan ahli intelektual yang bukan Islam.

Elok juga disebutkan di sini bahawa di negeri-negeri Melayu yang kuasa politiknya diketuai oleh para sultan atau raja, undang-undang dan adat yang dipakai adalah berteraskan kepada syariat Islam. Berbagai jenis undang-undang bertulis yang telah dikaji dan diteliti oleh pakar-pakar sejarah seperti undang-undang yang terpahat pada Batu Bersurat Terengganu bertarikh Juma'at 4 Rejab 702 Hijrah bersamaan 22 Februari 1303 Masihi[5]. Hakikat keteguhan kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu/Islam yang tegak berdiri sejak berabad-abad lamanya ini diperkukuhkan lagi dengan pemakaian kanun-kanun Negeri-Negeri Melayu (Malay Digest) yang berlandaskan hukum Syarak. Bahkan di dalam mukadimah Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan Perak tercatat bahawa sebuah negara akan aman damai sekiranya pemerintah mengamalkan dasar pemerintahan dan perundangan yang berlandaskan Quran[6] –

"Jika didirikan hukum Quran dengan hukum undang-undang di dalam sebuah negeri nescaya amanlah isi negeri itu. Maka barangsiapa tiada mengikut hukum seperti yang tersebut di dalam undang-undang, maka orang itu duduk di luar negeri, diam dalam hutan. Maka amanlah orang memerintah negeri. Jika tiada mau memakai undang-undang dan hukum Quran, maka tersebut di dalam undang-undang orang itu tiada boleh memegang perintah di dalam negeri."
Jelas kepada kita bahawa adat dan hukum kanun yang berteraskan syariat Islam bukanlah sesuatu yang baru diperkenalkan di negeri-negeri Melayu, bahkan ia jauh lebih lama menjadi law of the land berbanding undang-undang Inggeris yang dibawa masuk oleh Francis Light ke Pulau Pinang menerusi apa yang dikenali sebagai Piagam Keadilan pertama hanya pada tahun 1807.



Keempat: Tokoh Pemerintah Islam

Sebenarnya, ramai tokoh-tokoh yang berwibawa yang memimpin ummah telah mengemukakan usaha yang begitu bernilai dalam memartabatkan kehidupan masyarakat dan negaranya.

Antaranya Khalifah Umar bin Abdul Aziz Rahimahullah. Kajian berkenaan riwayat hidupnya jelas menunjukkan transformasi yang dilakukan olehnya dalam memartabatkan keadilan di kalangan masyarakat tanpa batasan agama. Kami nyatakan dua contoh sikap Khalifah Umar bin Abdul Aziz:

Menegakkan keadilan
Hal ini amat jelas dalam pemerintahannya dan beliau mewarisi sifat tersebut daripada datuknya, Saidina Umar Ibn al-Khattab RA. Beliau telah menempa pada matawangnya amarallah bi al-wafa' wa al-'adl (أَمَرَاللهُ بِالْوَفَاءِ وَالْعَدْلِ) yang membawa maksud, "Allah telah memerintahkan untuk bersifat amanah dan berlaku adil." Simbolisme ini jelas menunjukkan falsafah pemerintahan Khalifah Umar yang berkempen kepentingan integriti, amanah dan keadilan sebagai asas kesaksamaan ekonomi.

Khalifah Umar Bin Abdul Aziz juga pernah menulis surat kepada gabenornya yang bernama al-Jarrah bin Abdullah al-Hakami yang menjadi gabenor di Khurasan[7] dengan berkata:

"Wahai Ibn Ummi Jarrah, janganlah kamu memukul orang-orang yang beriman dan kafir mu'ahad (membuat perjanjian dengan orang Islam) dengan menggunakan tongkat atau rotan kecuali pada kebenaran. Awasilah kamu daripada melaksanakan qisas kerana ia membawa kepada banyaknya khianat dan perkara yang tersembunyi. Baca semua surat dan jangan disembunyikan atau diabaikan kecil atau besar urusan kecuali hendaklah dihitungkannya."
Kenyataan ini menunjukkan pengiktirafan Khalifah Umar kepada nilai kemuliaan insan, maruah mereka, ketelusan dan akauntabiliti institusi kehakiman bagi mengelakkan kezaliman daripada berlaku.

Ciri-ciri pemimpin seperti ini tidak mungkin dapat 'dihidupkan' kembali pada masa kini melainkan dengan pemerkasaan Mahkamah Syariah dan konsep taqnin (kodifikasi/penggubalan undang-undang) yang komprehensif mengikut saluran demokrasi yang telah dipersetujui bersama sepertimana yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun ungkapan demokrasi itu tiada tercatat dalam Perlembagaan, namun amalan yang digariskan dalam Perlembagaan adalah menyerupai amalan Demokrasi yang masih tetap memelihara kedaulatan monarki.

Menghormati hak rakyat yang bukan Islam.
Hal ini dengan jelas menunjukkan keadilan Khalifah Umar ibn Abdul Aziz. Beliau sentiasa menasihati gabenor dan umat Islam yang menjadi rakyatnya supaya jangan menceroboh rumah ibadat dan menyakiti hati rakyat yang bukan Islam. Antara isi kandungan surat yang dihantar kepada gabenor-gabenornya berbunyi:

"Jangan kamu robohkan gereja, biara dan rumah api yang menjadi tempat ibadat kepada orang-orang bukan Islam yang kamu telah buat perjanjian perdamaian dengan mereka."[8]
Beliau juga meringankan beban cukai dan segala bentuk pembayaran yang dikenakan terhadap orang bukan Islam yang telah ditetapkan oleh pemerintah. Di samping itu, memberi hak kebebasan kepada rakyat untuk menjalankan perniagaan samada di laut atau di darat.[9]

Beginilah sikap terbaik yang diwarisi daripada Rasulullah SAW dan khalifah-khalifah sebelumnya, dalam bermuamalah dengan golongan yang bukan Islam yang tidak memerangi Islam dengan penghormatan dan keadilan, bukan dengan kekerasan dan kezaliman.

Pendekatan sebegini juga nyata berlaku di Malaysia apabila Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kebebasan menganut dan mengamal agama-agama lain sekalipun agama Islam sahaja yang dimartabatkan sebagai satu-satunya Agama Negara. Malahan dalam perkara-perkara khusus berkaitan Syariah dan Islam, hanya orang-orang Islam sahaja yang tertakluk kepada undang-undang Islam.



Kelima: Kedaulatan Undang-Undang dalam Sejarah Islam

Dengan menekuni dan makrifah sejarah Islam sepanjang zaman seperti zaman Rasulullah SAW dan zaman kegemilangan Islam, pasti kita dapati para pemerintah menegakkan dan mengekalkan keadilan menggunakan sistem kehakiman. Antara contoh bagaimana Saidina Umar al-Khattab terlibat dalam satu kes isu pembelian kuda namun beliau telah kalah di mahkamah yang didengar oleh Hakim Syuraih[10], meskipun ketika itu Umar al-Khattab adalah seorang ketua negara. Begitu juga Hakim Syuraih memberi kemenangan kepada orang Yahudi dan menafikan tuntutan Saidina Ali bin Abi Talib RA atas dasar bukti dan hujah, bukan atas sentimen sama agama atau warna kulit. Inilah hukum yang diambil daripada zahir dan hujah yang diterima pakai. Itulah maksud sebuah keadilan.

Kisah-kisah ini menunjukkan betapa pentingnya Mahkamah Syariah sentiasa perlu diperkasakan, mengikut keperluan zaman, agar ia benar-benar menjadi tempat rujukan dan keputusan yang berkredibiliti oleh masyarakat dalam menuntut keadilan.

Warisan perundangan syariat Islam tidak dikesampingkan sama sekali oleh Perlembagaan Persekutuan sekalipun setelah pembentukkan negara Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, malah ia termaktub di bawah perkara 74 Perlembagaan Persekutuan. Bidang kuasanya tetap terpelihara oleh raja-raja Melayu yang berperanan sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri baginda masing-masing. Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan jelas menggariskan hal perkara (subject matter) undang-undang syariah dan juga penubuhan mahkamah syariah di negeri-negeri. Ia membolehkan proses kelansungan kodifikasi undang-undang syariah berterusan berjalan di negara ini bagi memastikan pentadbiran keadilan menurut syariah terus hidup di kalangan umat Islam negara ini.



Keenam: Sikap Toleransi Umat Islam

Islam menjamin keadilan kepada semua jenis rakyat walaupun mereka tidak beragama Islam. Antara prinsip-prinsip tersebut adalah[11]:

Kemuliaan manusia (al-karamah al-insaniyyah)
Keadilan (al-'adalah)
Kebebasan (al-hurriyyah)
Persamaan (al-musawah)
Menunaikan janji (al-wafa' bi al-'ahd)
Tindakan yang setimpal (al-mu'amalah bi al-mithl)
Tolak ansur (al-tasamuh)
Kerjasama (al-ta'awun)
Mencegah keburukan (man'u al-fasad)
Dasar teori dan pergaulan antara Muslim dan bukan Muslim adalah berasaskan kepada pemikiran dan hakikat yang telah ditanam dalam akal dan hati setiap Muslim.[12] Justeru, mana-mana orang Islam yang tidak menjunjung prinsip-prinsip ini, dia tidak menjalankan tanggungjawab sebenar sebagai seorang Muslim.



Ketujuh: Garis Pemisah Antara Dua Masa

Berdasarkan buku Maza Khasira al-'Alam bi Inhitat al-Muslimin karya agung Maulana Abi al-Hasan Ali al-Hasani al-Nadwi antara lain menyebut:

"Seorang pujangga pernah berkata, 'Dua perkara yang tidak dapat diketahui saat terjadinya dengan tepat iaitu tidur dalam hidup seseorang dan saat keruntuhan satu-satu ummah. Kedua-duanya tidak dapat dirasakan kecuali jika benar-benar terjadi."
Memang hal itu boleh dikata hampir dialami oleh setiap umat, namun keruntuhan yang dialami oleh umat Islam jauh lebih hebat dapat dirasakan berbanding umat lain. Jika kita letakkan jari kita bagi membuat garis pemisah antara masa kegemilangan dan keruntuhan Islam, dengan mudah dapat kita letakkan pada garis sejarah yang memisahkan antara zaman Khulafa' al-Rasyidin dengan zaman pemerintahan bangsa Arab ataupun kerajaan Islam yang lainnya.[13]

Ini jelas menunjukkan amat wajar kita merujuk kepada sejarah untuk mengambil iktibar yang amat penting agar kita tidak dipatuk kali keduanya dari lubang yang sama.



3.0 Maqasid/ Tujuan Perlaksanaan Hukum Syariah

Selesai menitipkan beberapa noktah penting pengenalan kepada sifat Islam, kami sebutkan juga di sini matlamat perundangan Islam, atau disebut, Maqasid al-Syariah. Konsep ini adalah merupakan salah satu elemen penting yang diambil kira dalam proses penentuan hukum syarak bagi isu-isu dan masalah hukum semasa. Pengamalan Maqasid al-Syariah bukan terhad pada penentuan hukum, bahkan menurut para fuqaha dan ilmuan Islam, kepentingan dan peranan Maqasid al-Syariah adalah meluas dan digunapakai dalam sistem pembangunan sesebuah negara Islam bagi menggubal dasar-dasar dan polisi-polisi yang berkaitan dengan sosial, ekonomi dan politik supaya selari dengan kehendak Syarak.



Definisi Maqasid Syariah

Kami mendatangkan beberapa maksud asas kepada kefahaman dalam memahami Maqasid al-Syariah, di sini kami nukilkan beberapa pandangan ulama menetapkan definisi Maqasid al-Syariah:

Syeikh `Allal al-Fasi[14] di dalam kitabnya Maqasid al-Syariah menyatakan Maqasid al-Syariah adalah matlamat syariat dan rahsia yang diletakkan oleh syarak pada setiap hukum.
Syeikh Isma'il al-Husani dalam kitab beliau Nazariyat al-Maqasid 'Inda al-Imam Muhammad al-Tahir ibn 'Ashur menjelaskan bahawa Maqasid al-Syariah adalah matlamat yang memberikan kebaikan yang dikehendaki oleh hukum-hukum syarak dan makna yang dikehendaki oleh perintah Allah SWT.
Syeikh Dr. Ahmad al-Raisuni turut menjelaskan makna Maqasid al-Syariah dalam kitab beliau Nazariyyat al-Maqasid 'Inda Imam al-Syatibi dengan menyatakan Maqasid al-Syariah merupakan matlamat yang ditentukan oleh syarak untuk dilaksanakan bagi memberi kebaikan hambanya.
Syeikh Dr. Yusof al-'Alim dalam kitabnya Maqasid al-Ammah Li al-Syariah al-Islamiyyah menjelaskan bahawa maksud Maqasid al-Syariah adalah kebaikan yang kembali kepada hamba di dunia dan di akhirat sama ada dengan cara mendatangkan kebaikan atau menjauhkan kemudharatan.
Syeikf Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili antara lain menyatakan dalam Usul al-Fiqh al-Islami bahawa Maqasid al-Syariah bererti nilai-nilai sasaran yang tersirat dalam segenap atau bahagian terbesar dari hukum hakamnya. Nilai-nilai dan sasaran itu dipandang sebagai tujuan dan rahsia syariah yang ditetapkan oleh al-Syari' (Pembuat syariat yakni, Allah SWT) dalam setiap ketentuan hukum.
Husain Abdul Aziz dalam al-Usul al-'Ammah wa al-Qawaid al-Jamiah lil Fatawa al-Syariah menjelaskan maksud Maqasid al-Syariah ialah objektif yang kerananya hukum hakam disyariatkan, untuk merealisasikan objektif tersebut. Ia merupakan kebaikan-kebaikan yang kembali kepada para hamba, untuk membahagiakan mereka di dunia dan akhirat, sama ada objektif itu dicapai melalui penghasilan manfaat ataupun penolakan mudarat/bahaya. Sebahagian ulama menghuraikan maqasid dengan katanya: "Maqasid am pensyariatan ialah maksud-maksud dan hikmah yang terpelihara oleh Pensyariat (Allah SWT) dalam semua atau sebahagian besar keadaan pensyariatan." Takrif yang lebih baik daripada itu ialah hikmah-hikmah yang dikehendaki oleh Allah dalam semua keadaan pensyariatan.
Berdasarkan kepada pendapat ulama di atas, di sini kami tertarik dengan definisi tokoh silam seperti Imam al-Syatibi yang menyebut; "Tujuan akhir hukum tersebut adalah satu, iaitu maslahah atau kebaikan dan kesejahteraan umat manusia." Dilihat dari sudut tujuan Tuhan (iradah Ilahi), Maqasid al-Syariah ialah kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat. Dari sudut ini, Maqasid al-Syariah mengandungi empat aspek,

Penetapan syariat ialah tujuan awal yang menurunkan syariat, yakni Allah SWT.
Penetapan syariat sebagai sesuatu yang mesti difahami
Penetapan syariat sebagai hukum taklifi yang harus dilaksanakan.
Penetapan syariah bertujuan membawa manusia di bawah lindungan hukum.
Secara pastinya, syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah merangkumi kesemua kebaikan dunia dan akhirat. Ia mempunyai kaitan yang amat kukuh dan ampuh antara fiqh dan aqidah serta kehidupan.

Syeikh Dr. Ali Ahmad al-Qulaishi menyebut berkenaan kaitan antara aqidah dan syariah:

"Bahawa sesungguhnya syariah itu merangkumi segala perkara yang diturunkan oleh Allah berupa hukum-hakam yang berkaitan dengan aqidah, amalan dan akhlak. Dan bahawasanya semua hukum yang diturunkan oleh Allah adalah dikira syariah. Perkara aqidah itu berhubungkait dengan syariah. Aqidah adalah asas dan prinsip yang mendorong kepada perlaksanaan syariah. Syariah merupakan perlaksanaan oleh anggota tubuh untuk beramal dengan tuntutan aqidah. Sesiapa yang beriman dengan aqidah namun membatalkan syariah atau menerima syariah namun mensia-siakan aqidah; maka dia bukanlah seorang Muslim yang berserah diri kepada Allah SWT dan dia tidak mengambil jalan yang membawa kepada keselamatan (dari api neraka)." [15]
Syeikh Dr. Yusof Ahmad al-Badwi dalam Maqasid al-Syariah 'Inda Ibn Taymiyyah telah menyimpulkan maksud Maqasid al-Syariah pada pandangan beliau setelah mengkaji pelbagai karya Syeikh Ibn Taymiyyah Rahimahullah dengan menyatakan:

Akibat, matlamat kebaikan, objektif, hikmah, kehendak, keperluan dan keindahan adalah mempunyai maksud yang sama.
Allah mempunyai matlamat dan kehendak dalam penciptaan dan perintah-Nya.
Matlamat-matlamat tersebut merupakan kehendak Allah dalam syarak-Nya dan disukai oleh Allah kerana ia mencerminkan perhambaan kepada-Nya dan Dia memberikan kebaikan kepada hamba-Nya di dunia dan akhirat.
Berdasarkan kepada definisi di atas, dapat difahami bahawa setiap peraturan ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah SWT bertujuan memberikan kebaikan kepada manusia atau menjauhkan mereka daripada keburukan. Maqasid al-Syariah ialah perkara yang memberikan kebaikan kepada manusia yang menjadi objektif Syariah dalam peraturan ajaran Islam. Oleh itu, maslahah dan kebaikan adalah perkataan yang sama maksud dengan objektif syariah.

Prof. Dr. Jasser Auda dalam penulisannya ada menyatakan:

"Oleh itu, pendekatan maqasid boleh mengangkat isu-isu fiqh ke satu landasan falsafah yang lebih tinggi bagi menangani perbezaan bersifat sejarah, sekitar politik antara mazhab Islam dan menggalakkan satu budaya yang diperlukan iaitu kehidupan bersama yang harmoni (al-ta`ayush al-silmi) dan saling memperbaiki (al-tasalih) yang kita amat memerlukannya sekarang ini."[16]
Justeru, kami berpendapat Maqasid al-Syariah sama sekali tidak bertentangan dengan syariat yang merangkumi semua hukum dan undang-undang yang telah termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah, bahkan mendokong, menyokong dan memberi kefahaman yang jelas dan penghayatan berkenaan syariat itu sendiri.

Kami menutup perbincangan ini dengan menukilkan kesimpulan dari kertas kerja yang bertajuk Perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah Di Malaysia Ditinjau Dari Perspektif Maqasid Syariah oleh Prof. Emeritus Dato' Dr. Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid. Antara lain menyebut:

"Konsep bahawa menghasilkan kebaikan atau maslahah dan menolak keburukan atau mafsadah sebagai asas dalam menentukan hukum merupakan samudera yang amat luas untuk dilayari, tetapi tentunya ia bukan tidak bertepi. Dengan mengambil kira limitasi ini kita boleh mengatakan 'Ya' bahawa Undang-Undang Jenayah Islam yang dilihat dari perspektif Maqasid al-Syariah boleh dilaksanakan dengan baik dan selesa."[17]


4.0 Latar Belakang Ringkas Berkenaan Cadangan Pindaan Akta 355

Mengikut apa yang kami fahami, bahawa Akta 355 merupakan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen bagi menentukan had bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk membicarakan dan menjatuhkan hukuman ke atas orang-orang Islam yang melakukan kesalahan terhadap perintah agama Islam. Akta ini menentukan had bidang kuasa berkaitan hukuman kesalahan Syariah yang boleh digubal oleh Badan Perundangan Negeri, dijatuhkan, dan seterusnya dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia. Seksyen 2 akta tersebut memperuntukkan:



Seksyen 2. Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Seksyen 2 dalam akta tersebut juga menjelaskan hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.

Mengikut kronologi sejarah, Parlimen Persekutuan sebagai penggubal undang-undang telah meluluskan dan mewartakan Akta 355 pada tahun 1965 dengan mengambil punca kuasa daripada Perlembagaan Persekutuan pada Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan. Bahagian yang bersesuaian daripada Butiran tersebut ialah urusan berkaitan Islam dan urusan negeri termasuklah, "...keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, ... tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan;....".

Tajuk panjang dan mukadimah Akta 355 dinyatakan bahawa ia bertujuan memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah yang ditubuhkan di bawah undang-undang negeri bagi mengendalikan kesalahan-kesalahan di bawah undang-undang Islam. Ia bertujuan untuk membezakan kesalahan atau jenayah yang berada dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri serta meletakkan hal berkaitan jenayah di bawah kawalan Persekutuan walaupun hal ehwal Islam dan perundangan Islam diisytiharkan sebagai kuasa autonomi negeri.

Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan, telah dibentang oleh Menteri Tanah dan Galian pada ketika itu, YB Encik Abdul Rahman Yaakub (sekarang Tun Datuk Patinggi), seorang anak jati Negeri Sarawak. Beberapa Ahli Parlimen telah membahaskan RUU ini termasuk Ahli Parlimen Pasir Puteh, YB Encik Mohamed Asri bin Haji Muda yang telah mengajukan soalan kepada sidang Parlimen

"Tuan Yang di-Pertua, pengemukakan Rang Undang2 yang mengenai Mahkamah Shara'iyah ini, pada pandangan saya, ada-lah satu perchubaan yang baik dalam langkah awal bagi menyatukan kedudokan perjalanan Mahkamah Shara'iyah di-seluroh negara kita ini. Dalam pada itu, saya suka meminta jaminan daripada Menteri Yang Berhormat bahawa had2 sekatan bagi hukuman2 yang paling berat di dalam kesalahan jenayah sa-bagaimana yang terchantum di-dalam Fasal 2 dalam Rang Undang2 ini bukan-lah sa-bagai satu hak yang mutlak; yang saya maksudkan hak yang mutlak ya'ani mati, yang tidak akan . dapat di-pinda2 dan di-ubah2 lagi."[18]
Merujuk kepada Penyata Rasmi Parlimen pada ketika itu, telah dipetik sebagai berkata:

"Tuan Yang di-Pertua,…Ahli Yang Berhormat daripada Pasir Puteh telah menimbulkan satu soalan, ia-itu beliau berharap bahawa tingkatan hukuman yang tersebut didalam Clause 2 dalam Rang Undang2 ini tidak merupakan satu tingkatan yang tidak boleh di-pinda dan di-ubah dalam menggunakan perkataan-nya ialah bukan satu Undang2 yang mutlak. Jawapan-nya ya, kerana Parlimen boleh membuat, Parlimen boleh mengubah Undang2, Parlimen boleh meminda Undang2, Parlimen boleh memansokhkan Undang2; itu jawapannya. Kalau Parlimen berfikir di-masa akan datang hukuman tersebut di dalam Clause 2 itu tidak menchukupi, ia-nya boleh di-ubah."[19]
Setelah dibahaskan, RUU tersebut telah dipersetujui oleh semua Ahli Parlimen Dewan Rakyat. Dengan itu, bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah pada ketika itu meliputi Semenanjung Malaysia, kecuali Sabah dan Sarawak, dan kuasa hukuman ditetapkan pada kadar maksimum hukuman penjara tidak lebih dari 6 bulan dan denda tidak melebihi RM1,000.

19 tahun kemudian, Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 telah dibentang (bacaan kali yang kedua), dibahas dan dipersetujukan oleh Dewan Rakyat pada 10, 11 dan 12 Oktober 1984 di Penggal Kedua, Parlimen Keenam. Pindaan itu telah dibentang oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu itu, YB Dr. Mohamad Yusof bin Haji Mohamad Noor dengan dipetik kenyataan beliau sebagai berkata:

"Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan iaitu Suatu Akta untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dibacakan kali yang kedua sekarang. Tuan Yang di-Pertua, pindaan yang dicadangkan ini adalah bertujuan untuk memperluaskan lagi bidang kuasa jenayah bagi membolehkan Mahkamah-mahkamah Syariah membicarakan kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau apa-apa denda tidak melebihi $5,000 atau sebat tidak melebihi 6 kali atau apa-apa cantumannya berbanding dengan kuasa sekarang yang menghadkan kepada penjara 6 bulan atau dengan denda $1 ,000 atau kedua­duanya sekali."[20]
Pada tahun 1989, Akta 355 sekali lagi dipinda untuk meluaskan pemakaiannya ke negeri Sabah dan Sarawak. Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan dan Perluasan) 1989 dibuat bacaan kali kedua (tiada ahli yang berbahas) dan dipersetujukan oleh Dewan Rakyat pada 24 Mac 1989 di Penggal Ketiga, Parlimen Ketujuh. Seksyen 1(2) Akta 1965 dipinda dengan menggantikan perkataan-perkataan " hanya bagi negeri-negri di Malaysia Barat " dengan perkataan-perkataan " bagi semua Negeri di Malaysia".[21] Pindaan ini adalah bertujuan memperluaskan pemakaiannya ke negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan mengesahkan bidang kuasa yang telah dilaksanakan oleh mahkamah-mahkamah Syariah di kedua-dua negeri tersebut. Dalam kata lain, keputusan-keputusan Mahkamah Syariah berkuatkuasa secara kebelakangan (retrospective effect).

Pada 26 Mei 2016, Ahli Parlimen Marang, Yang Berhormat Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang telah diberi kebenaran oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat setelah Kerajaan bersetuju mendahulukan Usul Persendirian dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi mencadangkan satu Rang Undang-undang Ahli Persendirian (Private Members Bill) bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 seperti berikut;

menggantikan Seksyen 2 dengan seksyen berikut;
"2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan, Undang-undang Persekutuan."; dan
(ii) memasukkan selepas Seksyen 2 dengan seksyen berikut
"2A. dengan menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas selain daripada hukuman mati."
Penting juga untuk diperhatikan bahawa cadangan pindaan Akta 355 juga hanya melibatkan peruntukan kesalahan-kesalahan sedia ada dalam enakmen jenayah negeri-negeri dan sama sekali tidak melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah di bawah Senarai Persekutuan.



5.0 Keperluan Penambahbaikan Akta 355 dari Sudut Perundangan

Walaupun sedikit sahaja aspek yang terkesan dengan pindaan, implikasinya ke atas kuasa negeri berkenaan kesalahan Syariah adalah sangat besar. Halangan bidang kuasa di dalam Akta 355 ini merupakan cabaran besar dalam memperkasa hukuman kesalahan-kesalahan Syariah, sekiranya mahu ditambah jumlah dan tahap hukuman kepada kesalahan Syariah. Hal ini berikutan tidak semua hukuman syariah berada di bawah paras hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi 6 kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut. Justeru, akta ini perlu dipinda supaya relevan dengan tuntutan syarak. Ia adalah bidang tugas Parlimen Persekutuan, kerana ia adalah sebuah akta yang diterima pakai di semua negeri. Cadangan pindaan perlu dilakukan di peringkat Persekutuan kerana ia adalah undang-undang Persekutuan sekali pun yang tercatat dalam Butiran 1, Senarai Negeri. Memandangkan ia adalah keperluan Perlembagaan, adalah tidak munasabah untuk membuat suatu tanggapan bahawa Akta 355 adalah bercanggah dengan Perlembagaan. Frasa as conferred by federal law amat jelas dan nyata memerlukan penggubalan akta ini. Jika pada tahun 1984 ia telah ditambah baik, masakan setelah 32 tahun penambahbaikan tidak boleh dilakukan. Hanya setelah had maksima hukuman yang ditetapkan oleh Akta 355 ditingkatkan barulah hukuman yang bersesuaian boleh ditentukan di dalam enakmen-enakmen Syariah di negeri-negeri.

Secara ringkasnya, Enakmen atau Akta Jenayah Syariah telah memperuntukkan kesalahan-kesalahan jenayah seperti berikut:

kesalahan yang berhubung dengan akidah;
kesalahan berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya;
kesalahan berhubung dengan rukun Islam, arak, judi dan kesusilaan;
kesalahan seksual;
kesalahan berhubung dengan kesejahteraan orang lain; da
kesalahan pelbagai;
Manakala Enakmen atau akta undang-undang keluarga Islam pula mengandungi:

penalti berhubung dengan akad nikah dan pendaftaran perkahwinan; dan
penalti am.
Sebagai contoh, terdapat sepuluh jenis kesalahan seksual yang diperuntukkan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu perbuatan sumbang mahram, pelacuran, muncikari, persetubuhan luar nikah, perbuatan persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah, hubungan jenis antara orang yang sama jantina, persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii, khalwat, lelaki berlagak seperti perempuan dan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

Secara umumnya, persetubuhan haram (zina), qazaf (tuduhan bohong atas kesalahan zina), minum arak, keluar Islam (murtad) adalah kesalahan-kesalahan yang telah sedia ada diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah di negeri-negeri. Justeru, cadangan pindaan dengan membenarkan Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman, "selain dari hukuman mati." bermakna hukuman denda, penjara dan sebatan boleh ditingkatkan, misalnya sebatan sehingga 100 kali bagi menepati kehendak syarak.

Tun Abdul Hamid bin Haji Omar dalam satu kertas kerjanya[22] ada memberikan cadangan untuk membolehkan Badan Perundangan Negeri menggubal undang-undang di bawah Senarai Negeri (misalnya zina, menuduh orang berzina, meminum minuman yang memabukkan) agar Parlimen Persekutuan terlebih dahulu meminda Akta 355. Dengan melakukan pilihan ini, Badan Perundangan Negeri boleh mempraktikkan undang-undang di bawah Senarai Negeri yang terpakai hanya kepada orang Islam dan ditadbirkan oleh Mahkamah Syariah.

Dari sudut perbincangan sejarah pula, Cadangan Pindaan Akta 355 bertujuan meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah bukanlah satu perkara asing kerana pindaan Akta ini pernah dilakukan pada tahun 1984 dari hukuman penjara tidak melebihi tempoh 6 bulan dan denda tidak melebihi RM1,000 kepada hukuman seperti hari ini iaitu hukuman maksimum 3 tahun penjara, denda RM 5,000.00, dan 6 kali sebatan. Dengan kata lain, bidang kuasa membicarakan dan menjatuhkan hukuman oleh Mahkamah Syariah atas kesalahan-kesalahan jenayah syariah seperti yang termaktub di bawah Akta 355 adalah tidak mencukupi untuk mencapai keadilan seperti mana yang diperuntukkan di dalam Syarak.

Kami tertarik dengan kenyataan oleh Prof. Madya Dr. Zulfakar Ramlee, Pensyarah di Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Law (AIKOL), International Islamic University Malaysia (IIUM) yang dilontarkan dalam Wacana Undang-Undang Rahmah 2016 Siri 1 bertajuk RUU Akta 355 : Apa Implikasinya?[23]

Menurut beliau, Cadangan Pindaan Akta 355 adalah penting dan sesuai dengan keadaan di Malaysia kini. Jika diimbau 32 tahun lepas, hukuman maksimum 3 tahun penjara, denda RM 5,000 dan 6 kali sebatan adalah hasil penambahan dari hukuman sebelumnya di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang hanya memperuntukkan denda maksimum RM1000 dan penjara tidak melebihi 6 bulan.

Beliau juga berpandangan seperti berikut:

"Pindaan Akta 355 ini seumpama permit atau lesen untuk membina lebuh raya lima lorong (lima lorong yang memperkasakan lima maqasid syariah)."[24]

Tambahan lagi, peruntukan hukuman sedia ada untuk kesalahan syariah adalah tidak munasabah. Contohnya, jika dilihat dari gejala aqidah yang berleluasa di Malaysia, seperti isu beberapa individu yang mengaku sebagai Imam Mahdi, isu Ayah Pin dan pembawa ajaran sesat, mereka tidak akan pernah serik jika hukuman ini dianggap "mampu" ditanggung dan tiada nilai pendidikan atau hukuman.

Langkah yang bersejarah ini juga sebenarnya menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku al-Haj Abdul Halim Mu`adzam Shah Ibni al-Marhum Sultan Badlishah dalam titah baginda sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ketiga Belas pada 7 Mac 2016 yang menyebut:

"Beta menyokong penuh segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan damai di negara ini. Beta berharap langkah-langkah ke arah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan perlaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah syariah dapat disegerakan. Isu-isu keagamaan perlu dirujuk kepada pihak berautoriti agama dan tidak wajar dibuat tafsiran secara individu atau berkelompok kerana boleh mencetuskan kecelaruan, ketegangan dan konflik dalam masyarakat."



6.0 Beberapa Kekeliruan Yang Perlu Dijelaskan

Kami nyatakan di sini beberapa kekeliruan yang perlu diberi kefahaman yang jelas agar kita tidak terperangkap dalam kesamaran yang sepatutnya difahami dengan sebaik mungkin. Antaranya:

Penentuan Bidang Kuasa Mahkamah Syariah Ialah Hak Mutlak Negeri
Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan secara khususnya menetapkan bidangkuasa Mahkamah Syariah sebagai hak mutlak negeri-negeri kecuali dalam menentukan had maksima hukuman ia menyerahkan kuasa berkenaan kepada suatu undang-undang Persekutuan iaitu Akta 355.

"...pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan;"
Keluasan bidangkuasa Mahkamah Syariah adalah sepertimana yang terkandung dalam butiran 1 ini dan ia tidak meliputi perkara-perkara dalam senarai Persekutuan.

Seorang panel Pemikir Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Shamrahayu Abdul Aziz dalam satu tulisan ringkasnya di laman sesawang IKIM[25] berpendapat, Akta 355 tersebut bermaksud untuk membezakan kesalahan[26] dan jenayah[27] yang berada dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri. Ini sekaligus meletakkan hal berkaitan jenayah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan kesalahan di bawah Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, dengan kehadiran akta ini dapat membetulkan pemahaman umum terhadap bidang kuasa negeri yang dikatakan mempunyai peruntukan mutlak terhadap perkara-perkara berkaitan Islam apatah lagi apabila ia melibatkan persoalan-persoalan penguatkuasaan undang-undang jenayah. Justeru, pemahaman orang ramai yang mengatakan Badan Perundangan Negeri memiliki kuasa mutlak menggubal undang-undang Islam adalah tidak tepat. Penggubalan dan pemindaan perlu bermula daripada Kerajaan Persekutuan.



Cadangan Pindaan Akta 355 ialah 'Jalan Belakang' Menuju Perlaksanaan "Hudud".
Di negeri Kelantan, selain Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan, 1985 yang sedang berkuatkuasa, juga telah diwujudkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Negeri Kelantan (selepas ini disebut "EKJS II") pada tahun 1993 dan telah ditambahbaik dengan pindaan 2015 EKJS II (Pindaan) 2015. Pindaan Akta 355 ini tidak terkesan kepada EKJS II atau lebih dikenali Kanun Hudud di negeri Kelantan kerana ia mengandungi kesalahan dan hukuman qisas ( bunuh balas bunuh) dan mencuri (sariqah) dengan hukuman potong tangan. Ini kerana EKJS II telah melangkaui bidang kuasa yang diperuntukkan dalam Akta 355, di mana kesalahan bunuh dan mencuri serta hukuman mati adalah terkandung di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) yang terletak dalam Senarai Persekutuan.

Bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di Negeri Kelantan, pindaan perlu dibuat ke atas Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan, 1985 yang sedang berkuatkuasa mengenai hukuman bagi kesalahan sedia ada berkaitan dengan ajaran agama Islam termasuk zina, qazaf, dan minum arak. Misalnya Seksyen 11 mengenai zina memperuntukan: -

"Sesiapa yang berzina yang tidak boleh dikenakan hukuman hadd mengikut Hukum Syarak adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya dan disebat enam kali."
Juga Seksyen 25 mengenai minuman yang memabukkan memperuntukan:- –

"(1) Sesiapa yang minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan yang tidak boleh dikenakan hukuman hadd mengikut Hukum Syarak adalah bersalah atau suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat enam kali.
(2) Sesiapa yang membuat, menjual, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa arak atau minuman yang memabukkan adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya."
Hukuman ke atas kesalahan zina dan minuman yang memabukkan (arak) tersebut bolehlah dipinda dengan hukuman denda, penjara dan sebatan yang lebih tinggi, malah sebatan yang memenuhi kehendak syariah. Begitu dengan Negeri-negeri lain, maka Dewan Undangan Negeri masing-masing perlu meluluskan pindaan yang dicadangkan oleh Majlis Agama Islam Negeri melalui kerajaan Negeri masing-masing. Ini bermakna, bukan secara automatik pindaan Akta 355 akan boleh dilaksanakan di negeri-negeri kerana kerana tertakluk kepada Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Jika tiada pindaan di buat di negeri-negari, maka Enakmen Kesalahan Jenayah Negeri juga tidak berubah, kekal seperti sedia ada.

Justeru adalah tidak benar dakwaan bahawa cadangan pindaan Akta 355 adalah jalan belakang bagi perlaksanaan hudud, tetapi yang lebih tepat ialah pemerkasaan undang-undang Islam yang sedia ada secara lebih luas dan menyeluruh untuk mencapai objektif atau maqasid yang terkandung di dalam Syarak.



Usul bagi mencadangkan Pindaan Akta 355 tidak berperlembagaan
Hakikatnya, kesemua usul khususnya Usul Persendirian bagi mencadangkan RUU Ahli Persendirian akan diteliti oleh Setiausaha dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebaik sahaja diterima bagi memastikan mematuhi Peraturan Mesyuarat 27(3) dan 49. Pihak Kerajaan, di bawah Kementerian yang bertanggungjawab, dan Jabatan Peguam Negara dirujuk terlebih dahulu bagi memastikan usul tersebut tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan juga undang-undang yang sedia ada. Sekiranya tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat dan/atau wujud percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang, maka usul tersebut akan ditolak. Oleh kerana Usul Persendirian oleh YB Marang ini telah dimasukkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat setelah memenuhi tempoh notis, maka tidak timbul isu ia tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Kami nyatakan juga terdapat Usul Persendirian bagi mencadangkan RUU Ahli Persendirian yang ditolak oleh Parlimen diperingkat awal lagi. Misalnya, Ahli Parlimen Sungai Siput pernah mengemukakan Usul Persendirian bagi mencadangkan RUU Suruhanjaya Saksama pada tahun 2014 tetapi telah ditolak oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat kerana bertentangan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga RUU Ahli Persendirian yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan Akta Pemansuhan Darurat, dan lain-lain, turut ditolak oleh Parlimen dan tidak dimasukkan dalam Aturan Mesyuarat.



Kadar bilangan hukuman sebatan yang tinggi adalah kejam dan melampau.
Perkataan sebatan ini atau dalam Bahasa Arabnya al-jald diambil daripada perkataan al-jild yang membawa maksud kulit. Menurut Ibn Manzur, perkataan al-jald adalah kata terbitan daripada perkataan asalnya yang membawa maksud pukulan atau deraan.[28] Ibn Qudamah menjelaskan bahawa al-jald boleh difahami sebagai memukul dengan cemeti (al-sawt)[29]

Kami sendiri pernah menyaksikan bentuk sebatan dan caranya seperti yang dijelaskan oleh mereka yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya. Justeru, apa yang dikemukakan berkenaan perbezaan cara sebatan adalah amat ketara. Sebatan dalam Islam bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan kesalahan.



Ciri-Ciri Cemeti (Al-Sawt)
Al-Syaukani menghuraikan ciri-ciri cemeti yang digunakan untuk sebatan sebagai satu ranting bersaiz sederhana, tidak terlalu baru atau lama. Panjangnya adalah satu hasta dan ukur lilitnya adalah sebesar satu jari.[30]

Di bawah Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), dinyatakan bahawa alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.



Kaedah Sebatan
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menjelaskan kaedah sebatan iaitu dengan satu bentuk pukulan yang sederhana (tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan) dengan menggunakan cemeti yang sederhana (tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan).[31]

Secara ringkasnya, dinyatakan beberapa syarat utama perlaksanaan kaedah sebatan itu sebagaimana yang terkandung di bawah Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560).

Sebelum dilaksanakan, pesalah mesti diperiksa oleh seorang pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman itu.
Jika pesalah sedang hamil, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh 2 bulan selepas melahirkan atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan.
Hukuman hendaklah dilaksanakan di depan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan.
Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman hendaklah adil dan matang.
Orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
Selepas satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.
Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.
Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.
Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dibuat dalam keadaan dia berdiri dan bagi perempuan, dalam keadaan duduk.
Jika semasa perlaksanaan hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga diperakui semula tubuhnya sihat.
Selain itu, sebatan juga tidak boleh mengenai muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit dan ianya secara pasti tidak melukakan pesalah. Melihat kepada huraian di atas, dapat kita fahami bahawa sebatan dalam Islam adalah pukulan menggunakan alat yang tertentu dan dikhususkan tanpa menembusi isi serta tulang dengan menggunakan tenaga secara sederhana.

Ia sama sekali berbeza dengan sebatan sivil yang merupakan pukulan kuat yang terhasil daripada hayunan yang tinggi serta difokuskan kepada satu bahagian tubuh badan sahaja yang pastinya akan menembusi kulit. Oleh itu, jelas bahawa sebatan 100 kali secara syar'ie adalah tidak melampau dan kejam sebagaimana yang digembar-gemburkan sesetengah pihak.



Salahfaham Berkenaan Kenyataan Ibn Qayyim
Ramai yang berhujah dengan kenyataan Ibn Qayyim berkenaan dengan mafhum sebenar syariah sehingga membawa kepada kesimpulan yang lain seperti maslahat, suasana yang tidak kondusif dan lain-lain dikemukakan. Kami nukilkan di sini kenyataan Ibn Qayyim yang diambil secara terpotong oleh mereka yang salah faham akan hal ini .

فَإِنَّ الشَّرِيعَةَ مَبْنَاهَا وَأَسَاسُهَا عَلَى الْحِكَمِ وَمَصَالِحِ الْعِبَادِ فِي الْمَعَاشِ وَالْمَعَادِ، وَهِيَ عَدْلٌ كُلُّهَا، وَرَحْمَةٌ كُلُّهَا، وَمَصَالِحُ كُلُّهَا، وَحِكْمَةٌ كُلُّهَا؛ فَكُلُّ مَسْأَلَةٍ خَرَجَتْ عَنْ الْعَدْلِ إلَى الْجَوْرِ، وَعَنْ الرَّحْمَةِ إلَى ضِدِّهَا، وَعَنْ الْمَصْلَحَةِ إلَى الْمَفْسَدَةِ، وَعَنْ الْحِكْمَةِ إلَى الْعَبَثِ؛ فَلَيْسَتْ مِنْ الشَّرِيعَةِ وَإِنْ أُدْخِلَتْ فِيهَا بِالتَّأْوِيلِ



Maksudnya: "Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu adalah segalanya keadilan, kebaikan dan hikmah. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmah kepada sia-sia, maka ianya bukanlah syariah sekalipun diberikan takwilan untuknya."[32]

Sebenarnya, kenyataan ini menunjukkan sifat syariah yang dibina serta asasnya dipenuhi hikmah dan maslahat. Sifatnya juga adil dan rahmat. Ramai pihak yang hanya mengambil sebahagian daripada keterangan Ibn Qayyim dan meninggalkan sebahagian yang lain. Ibn Qayyim menyebut selanjutnya:

فَالشَّرِيعَةُ عَدْلُ اللَّهِ بَيْنَ عِبَادِهِ، وَرَحْمَتُهُ بَيْنَ خَلْقِهِ، وَظِلُّهُ فِي أَرْضِهِ، وَحِكْمَتُهُ الدَّالَّةُ عَلَيْهِ وَعَلَى صِدْقِ رَسُولِهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - أَتَمَّ دَلَالَةً وَأَصْدَقُهَا، وَهِيَ نُورُهُ الَّذِي بِهِ أَبْصَرَ الْمُبْصِرُونَ، وَهُدَاهُ الَّذِي بِهِ اهْتَدَى الْمُهْتَدُونَ، وَشِفَاؤُهُ التَّامُّ الَّذِي بِهِ دَوَاءُ كُلِّ عَلِيلٍ، وَطَرِيقُهُ الْمُسْتَقِيمُ الَّذِي مَنْ اسْتَقَامَ عَلَيْهِ فَقَدْ اسْتَقَامَ



Maksudnya: "Syariah itu adalah keadilan Allah sesama manusia, rahmat-Nya terhadap makhluk-Nya dan bayangan-Nya di muka bumi. Hikmahnya itu menunjukkan kepada-Nya serta benarnya Rasul-Nya SAW yang menyempurnakan menyempurnakan dalilnya dan kebenarannya. Ia merupakan cahaya yang dengannya dapat melihat orang yang faham, dan petunjuk bagi mereka yang mengambilnya. Ia juga sebagai penyembuh yang sempurna bagi merawat orang yang sakit, jalan yang lurus yang dengannya siapa yang beristiqamah pasti mendapatnya."[33]

Justeru, maksud sebenar bukannya sebagaimana yang disalahfahami iaitu segala hikmah dan maslahat yang terdapat Syariat adalah perlu dikecapi terlebih dahulu berbanding perlaksanaan Syariat itu sendiri. Sebaliknya, kenyataan Ibn Qayyim adalah menyeru kepada perlaksanaan syariah itu sendiri dan bukannya membincangkan keutamaan mengangkat hikmah dan maslahat mengatasi perlaksanaannya. Itulah mafhum sebenar syariah. Untuk menegakkan keadilan, sudah barang tentu memerlukan mahkamah yang bebas melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Tuhan. Bahkan, perlaksanaan Syariat Islam juga tidak terhad kepada undang-undang yang dinaskan dalam al-Quran dan al-Sunnah sahaja bahkan Islam mensyariatkan hukuman ta'zir, yang memberikan bidang kuasa kepada para hakim untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah berdasarkan elemen keadilan, syura dan ihsan.

Syeikh Rasyid Ghannouchi ada menyebut pendapat Syeikh Ibn Asyur dengan menyatakan bahawa:

"Secara asasnya, setiap yang bersifat wasilah dalam merealisasikan maqasid Islam seperti keadilan, syura dan lain-lain, ia merupakan sebahagian daripada shari'ah sekalipun tiada nas mengenainya dalam al-Quran dan hadis, demikianlah yang banyak terdapat dalam pandangan para ulama."[34]
Syeikh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya Usul al-Fiqh al-Islami (hal. 1/650) berkata:

"Kadang-kadang hikmah bersifat perkara yang tersembunyi yang tidak dapat dikesan oleh pancaindera yang zahir. Justeru, sifatnya tidak mundhabit menyebabkan jumhur ulama usul menegah ber'illahkan dengan hikmah semata-mata."[35]
Kerana itulah Cadangan Pindaan Akta 355 perlu disokong kerana ia tidak hanya memfokuskan perlaksanaan juzuk-juzuk kecil dalam Syariah Islam sahaja tetapi keseluruhan sistem perundangan Islam di Malaysia itu akan mendapat faedahnya termasuklah pengurusan zakat, kebajikan anak-anak, kaum wanita, menghalang pelacuran, perjudian, dan lain-lain kesalahan yang termaktub di dalam enakmen dan akta jenayah syariah di negeri-negeri.



7.0 Lontaran Persoalan Kepada Pihak Yang Membantah Cadangan Pindaan Akta 355

Ada segelintir pihak yang tidak selesa dengan hal ini berhujah bahawa ia bertentangan dengan perlembagaan, menggugat keharmonian dan cubaan merosakkan sistem undang-undang sedia ada yang telah berfungsi dengan jayanya sejak Merdeka.

Kita bertanya kembali:

Adakah ini jawapan-jawapan yang adil sedangkan ia masih belum selesai dibincangkan di Parlimen? Umum mengetahui isu mempertingkat bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah bukan suatu isu yang baru dan tergesa-gesa, sebaliknya sejarah membuktikan bahawa isu ini telah diperdebatkan dengan tuntas, dan antaranya yang hangat ialah pada tahun 1990 sehingga melahirkan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan pada tahun 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Terengganu pada tahun 1999. Bahkan sebelum itu lagi, Perlembagaan Persekutuan itu sendiri telah memperuntukkan wujudnya suatu mahkamah yang bebas daripada mahkamah sivil, yang mengendali isu-isu orang Islam seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan. Akta 355 juga bukanlah suatu akta yang diluluskan secara semberono tetapi mengikut proses demokrasi, bacaan demi bacaan, tahap demi tahap, dibincang dalam Parlimen dan akhirnya diluluskan. Ini suatu undang-undang yang terhormat hasil keputusan rakyat Malaysia bersama dan ia dicadangkan penambahbaikan melalui saluran yang sama.
Lalu, mengapa masih ada pihak yang begitu keras melarang perkara ini dibincang sama sekali dan seolah-olah tidak menghormati sistem demokrasi negara ini?
Adakah bantahan seperti ini wajar dikemukakan sedangkan kewujudan akta ini sebenarnya ialah keperluan perlembagaan? Ini berpandukan punca kuasa di dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan yang menyebut urusan berkaitan Islam dan urusan negeri termasuklah, "...keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, ... tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan...". Bahagian ini jika difahami dengan sebenarnya menunjukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan sendiri memerlukan Akta 355 untuk pentadbiran dan sistem kehakiman undang-undang Islam di negara ini.


8.0 Pendapat Tokoh Berkenaan Dengan Isu Mahkamah Syariah dan Taqnin

Ramai tokoh membincangkan isu ini yang betapa pentingnya memperkasakan undang-undang Islam dengan sistem kehakiman dan pengkanunan yang berfungsi dan kuat. Antaranya ialah:

Syeikh Prof. Dr. Yusuf al- Qaradhawi
Secara ringkasnya beliau menegaskan bahawa kita mestilah meraikan semua faktor dan ke arah itu jika mahu melaksanakan qanun bersumberkan Syariah Islamiah dengan melihat kepada Syariah, Feqahnya dan keperluan semasa yang sentiasa baru serta permasalahan pelbagai. Ini memerlukan kepada membentuk generasi ulama yang menghimpunkan thaqafah syar'iyyah bertunjangkan sumber utama bergabung dengan thaqafah qanuniyyah yang moden yang ketika itu mereka mampu mentajdidkan feqah tanpa hilang asolah dan keasliannya.[36]



Syeikh Abdullah bin Mahfudh Bin Bayyah
Beliau menyokong usaha ke arah taqnin fiqh tetapi dalam ruang lingkup yang lebih sesuai dengan tuntutan semasa. Ini berdasarkan pengalamannya sebagai Menteri Undang-Undang Mauritania dalam mengendalikan penggubalan undang-undang keluarga di sana.[37]



Para ulama muktabar yang bersetuju dengan taqnin[38]:


Ramai tokoh ulama dunia pada kurun ini bersetuju dengan taqnin dan juga mahkamah syariah untuk diperkasakannya. Antaranya:

Syeikh Allamah Mustafa al-Zarqa' (ulama besar Syam)
Syeikh Muhammad Abu Zahrah (Tokoh ulama besar al-Azhar)
Syeikh Ali 'Muhammad al-Khafif (Mantan Ulama Besar al-Azhar)
Syeikh Rashid Khunain )Mantan Ahli Kibar Ulama Saudi(
Syeikh Abdullah Khayyat (Mantan Imam Masjid al-Haram)
Syeikh Abdullah bin Mani' (Mantan Ahli Kibar Ulama Saudi)
Syeikh Abdul Majid bin Hassan (Mantan Ahli Kibar Ulama Saudi)
Syeikh Soleh bin Ghusun (Mantan Qadhi Masyhur Di Saudi)
Perkara ini bertepatan dengan kaedah:

مَا لاَ يَتِمّ الوَاجِبُ إلاّ بِهِ فهُوَ وَاجبٌ

Maksudnya: "Sesuatu yang menyebabkan tidak sempurna kewajipan kecuali dengan sesuatu perkara, maka perkara itu menjadi wajib."[39]

Kaedah ini signifikan dengan isu di tangan bahawa penubuhan Mahkamah Syariah dan taqnin yang berfungsi itu wajib bagi menegakkan keadilan.

Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Dato' Haji Zainul Rijal Bin Abu Bakar dipetik daripada tulisannya dalam akhbar Sinar Harian pada 26 Ogos 2016:

"Sudah tiba masanya pengamal undang-undang di Malaysia mengakui hakikat bahawa Islam adalah sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia. Malah rakyat bukan Islam juga mengakui hakikat ini. Marilah sama-sama kita menginjak paradigma ke arah melaksanakan undang-undang lazim Islam yang lebih sesuai dan adil kepada masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama."


9.0 Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Kami mulakannya berkenaan dengan adab berbincang. Kadangkala kita bersusah payah cuba memenangi hati orang dengan pelbagai skil kemahiran tetapi akhirnya mereka menjarakkan daripada kita. Hal ini biasanya terjadi disebabkan kurangnya kemahiran dalam berbincang dan berhujah. Satu renungan yang cukup menarik, "Kebijaksanaan adalah bukan untuk memenangi perbalahan tetapi untuk mengelakkannya."

Syeikh Muhammad Ali al-Sais dalam kitabnya Sejarah Fiqh Islam menyebut bahawa perundangan Islam tegak di atas 3 dasar iaitu tidak susah ('adam al-haraj), sedikit bebanan (qillatu al-takalif) dan beransur-ansur (al-tadarruj) dalam perundangan. Sedangkan Dr. Muhammad Yusuf Musa pula dalam kitabnya Pengantar Kepada Kajian Fiqh Islami menyatakan tiga asas iaitu tidak susah dan menghindarkan kesusahan serta menjaga maslahat manusia seluruhnya serta termasuk melaksanakan keadilan sejagat.

Kita semua boleh bersetuju dalam soal asolah dan thawabit (perkara dasar dan prinsip) tetapi cabaran yang utama ialah soal pendekatan dan cara penyampaian. Justeru perlu ada satu anjakan paradigma dan tindakan yang pro-aktif dalam usaha pendekatan Islam kepada umat Islam sendiri dan juga kepada bukan Islam. Kaedah ini merangkumi soal mesej, uslub, medium penyampaian, pendekatan, dan keutamaan yang dinyatakan.

Sekali lagi kami nyatakan bahawa isu taqnin di Mahkamah Syariah adalah amat penting. Pernah dalam satu lawatan seorang ulama yang terkenal, almarhum Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili satu ketika dahulu di mana ada satu perbincangan antara kami dan juga tokoh ilmuan Islam yang berpengaruh di Malaysia, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili membangkitkan keperluan dan kepentingan untuk ditaqninkan[40] hukum berkaitan kehidupan umat Islam. Ini kerana peri pentingnya satu sistem kehakiman dan mahkamah yang berasaskan kepada mendaulatkan undang-undang dan keadilan.

Kami telah bentangkan pendahuluan, keperluan dan juga jawapan atas syubhah atau kekeliruan yang mungkin berlaku berkenaan dengan isu Cadangan Pindaan Akta 355. Kami nyatakan di sini betapa perlunya sokongan dan dokongan terhadap Cadangan Pindaan Akta 355 berasaskan kepada intipati dalam memperkasakan institusi kehakiman syariah di Malaysia.



Ahli Parlimen Muslim Wajib Menyokong
Saidina Ali R.A berkata: "Prinsip keadilan merupakan prinsip yang signifikan dalam memelihara keseimbangan masyarakat dan/dengan mendapat perhatian."

Ibn Farhun dalam menjelaskan siyasah'adilah atau pemerintahan dan pentadbiran yang adil dengan mengembalikan hak pihak yang dizalimi di samping menghapuskan segala bentuk kezaliman, membanteras kerosakan bagi mencapai maksud syariat atau maqasid syariah. Ini kerana syariah akan sentiasa memelihara hak-hak manusia dan menutup pintu-pintu kezaliman dan kerosakan[41].

Sifat dan tabiat yang adil mencerminkan kesempurnaan akal dan akhlak dalam menjanjikan kebahagiaan hakiki. Keadilan di sisi Islam salah satunya adalah dengan mengakui sifat holistik (syumuliah) dengan cara berusaha untuk mempraktikkan Islam sebagai satu panduan hidup yang sempurna. Dalam Surah al-Ma'idah, Allah berfirman berkenaan perlakuan adil yang mesti ada pada manusia. Firmannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Surah al-Ma'idah, (5:8)

Allamah Ibn 'Asyur berkata: "Kemudian diikuti dengan pelbagai hukum muamalat berkaitan diantara lelaki dan perempuan, maka ia sepenting-penting perkara yang ditunjukkan ialah keadilan dan penyaksian, dan ia didahulukan daripada yang lain. Justeru al-Qist ialah keadilan dalam qadha'. Kerana itulah perkataan al-Qist didahului dengan huruf ba'."[42]

Kepada YB sekalian yang beragama Islam, kami nyatakan beberapa tambahan noktah penting untuk difikir dan difahami:

Salah satu daripada cara yang unggul memartabatkan keadilan Islam ialah dengan mewujudkan sistem mahkamah dan bidang kuasanya melalui Akta yang berkaitan.
Seseorang yang beriman wajib baginya memartabatkan perundangan Islam seupaya mungkin termasuk melalui pemerkasaan Mahkmah Syariah dan taqnin (kodifikasi/penggubalan undang-undang) yang diperlukan.
Dengan RUU pindaan Akta 355 makanya maslahat umat Islam akan terjamin dan dihormati.


Ahli Parlimen Bukan Muslim Perlu Menyokong
Terdapat beberapa hujah yang bersifat empirik dan logik yang perlu ditekuni oleh semua Ahli Parlimen bukan Muslim sebagai satu simbol kepatuhan dan persetujuan kepada falsafah keadilan itu sendiri.

RUU Pindaan Akta 355 sama sekali TIDAK terpakai kepada golongan bukan Islam kerana akta itu sendiri menjelaskan bahawa ia hanya melibatkan orang Islam sahaja.
Akta itu sudah sedia ada wujud dan hanya akan dipinda dan diberi penambahbaikan.
Ia bukan satu usaha 'jalan belakang' ke arah perlaksanaan hudud kerana pemerkasaan sistem kehakiman Islam secara menyeluruh yang sangat diperlukan oleh umat Islam dan Malaysia. Usaha itu juga menggunakan sistem demokrasi berparlimen yang menjadi tonggak utama negara ini, prinsip itulah yang akan dipegang secara bersama.
Fitrah kebaikan. Kami berpendapat, setiap manusia dikurniakan Tuhan, tabiatnya dan fitrahnya yang baik untuk melakukan yang baik dan mencintai yang baik. Itulah sifat semulajadi manusia. Mana-mana yang menentang yang baik bukan daripada fitrahnya yang baik tetapi nafsu yang cuba menafikan akan hakikat kebenaran. Justeru, bila mana ingin membina kebaikan, maka semua pihak perlulah menyokongnya.
Menyokong usaha RUU pindaan Akta 355 ini juga adalah interpretasi kepada dua prinsip dalam Rukun Negara iaitu keluhuran perlembagaan[43] dan kedaulatan undang-undang[44].
Kami analogikan seperti kita sedang berjiran dengan seorang yang Muslim. Jiran kita begitu tegas terhadap anaknya supaya tidak melanggar etika dan moral disamping amat menghormati jiran-jiran mereka. Hasilnya, anaknya menjadi begitu beradab dan baik. Sebenarnya, sikap sebegitu juga akan memberi tempias kepada diri kita dan keluarga kita dan menyebabkan kita merasa selesa dan aman dari sifat yang tidak baik daripada anak jiran kita.
Kami menyeru agar Ahli Parlimen menyokong RUU pindaan Akta 355 kerana ia dibentang oleh wakil rakyat yang membawa aspirasi para pengundi Islam yang mahukan pemerkasaan Mahkamah Syariah di Malaysia.
Kami juga menyeru agar Ahli Parlimen sekalian menyokong pindaan ini untuk menunjukkan tanggungjawab seorang ahli Parlimen yang juga mewakili keperluan dan kebajikan rakyat beragama Islam terutama sekali ia meliputi hal kekeluargaan, hal kesucian aqidah dan isu-isu masjid, waqaf, zakat dan sebagainya di kawasan parlimen masing-masing.


Seruan Kepada Semua Ahli Parlimen

Sekali lagi kepada YB ahli-ahli Parlimen yang amat saya hormati, marilah kita fikirkan dengan penuh kebijaksanaan, kematangan dan insaf yang bahawa:-

Kuasa sebenarnya yang bakal menentukan kadar hukuman yang bersesuaian dengan keperluan maslahah dan Maqasid al-Syariah semasa adalah Dewan Undangan Negeri (DUN). Ruang dan peluang untuk berbahas lebih mendalam boleh dilakukan di peringkat DUN.
Dalam membuat keputusan terkadang-kadang kita terpaksa merentasi keputusan daripada siapa pun semata-mata kerana mencapai 'maslahat' yang lebih besar dan aula demi negara dan rakyat.
Kebanyakan negara maju sentiasa mengkaji semula undang-undang mereka dari semasa ke semasa agar undang-undang mereka seiring dengan kehendak zaman dan kemunasabahan semasa[45].
Ingatlah bahawa sebarang tindakan kita ini adalah sejarah yang pasti dibaca dan diteliti oleh generasi kita akan datang. Itulah hakikatnya.
Dengan kedudukan Islam yang begitu tinggi dan terserlah ini, sudah tentu tiada sebab untuk Syariah Islam tidak dapat dilaksanakan atau sekurang-kurangnya diperkasakan dalam konteks perundangan yang sedia ada.[46]
Saya memohon maaf kepada semua di atas bahasa yang mungkin kurang cermat dan sesuai dalam mengemukakan pandangan. Kerana hal itu, kami namakan makalah ini Bayan Linnas, Isu Cadangan Pindaan Akta 355: Satu Pendapat.

Kebenaran adalah milik-Nya juga. Benarlah firman Allah SWT:

الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلاَ تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

Maksudnya: Kebenaran adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan yang ragu-ragu.

Surah al-Baqarah, (2:147)

Akan tetapi tatkala ia didapatinya, maka sewajar dan semestinya kita menguruskannya dengan mengikutinya;

الْحَقُّ أَحَقُّ أَن يُتَّبَعَ

Maksudnya: Kebenaran itu lebih layak diikuti.

Sekali lagi saya memohon maaf kerana dilihat merentasi garisan yang telah ditetapkan. Dengan menginsafi diri ini yang berniat untuk melihat Malaysia sebuah negara yang maju dan hebat, saya dalam posisi yang telah ditetapkan cuba seupaya mungkin untuk tidak keluar daripada tugasan hakiki berkaitan fatwa. Isu ini dinilai lebih kepada maslahat yang ingin dicapai.

Sesungguhnya syariat Islam tidak menuntut kepada seorang hamba untuk melaksanakan kewajipan yang di luar kemampuannya. Syariat Islam juga tidak memberikan bebanan kepada seorang hamba melebihi kapasiti kemampuannya sehingga seseorang itu berat dan susah melakukannya. Dalam syariat Islam tiada kesusahan dan kezaliman kerana ianya datang dengan maksud untuk memberikan ketenteraman, keamanan dan kebahagiaan kepada seseorang hamba, di dunia dan di akhirat. Semua ini adalah merupakan sifat dasar syariat Islam untuk ketenangan hati, penyucian jiwa serta pembebasan daripada perasaan sedih dan susah. Justeru, syariat yang bersifat dengan sifat syumul dan tasamuh islami dapat ditegakkan salah satu caranya dengan mempunyai sistem mahkamah dan kehakiman yang kukuh dan mantap.

Semoga Malaysia negara yang kita cintai ini, yang baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan untuk kali ke 59 akan menatijahkan keutuhan perpaduan, kesepakatan idea, toleransi yang unggul, menghormati sesama masyarakat, serta mengecapi kedamaian dan keamanan yang menatijahkan Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur. Amin.

Akhir kalam, sekali lagi kami tegaskan bahawa melihat kepada maslahat untuk membina sebuah negara yang maju dan berdaya saing adalah menjadi tuntutan utama kepada kita semua menyokong pindaan Akta 355. Kami mengakhirinya dengan berdoa

اللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقًّا وَارزُقنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارزُقنَا اجتِنَابَهُ

Maksudnya: Ya Allah! Tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikanlah kami jalan untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami jalan untuk menjauhinya.



Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

1 September 2016 / 29 Zulkaedah 1437



Nota Hujung:



[1] Al-Ghazali, Muhammad. Jaddid Hayatak! : Petunjuk Islam untuk Hidup Lebih Tenteram dan Bahagia (Jakarta: Penerbit Zaman, 2015), hal. 451.

[2] Gangguan mental yg menye­babkan seseorang mengkhayalkan perkara yg aneh-aneh, spt merasa dirinya terlalu penting atau percaya bahawa orang lain sentiasa meng­ancamnya; 2. perasaaan takut, curiga atau tidak percaya terhadap orang lain dgn ber­lebih-lebihan. Rujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=paranoia.

[3] Al-Amir Syakib Arsalan. Li Maza Ta'akhkhara al-Muslimun wa Li Maza Taqaddama Ghayruhum (Beirut: Dar Maktabah al-Hayah, t,t,), hal. 75.

[4] Lihat juga Kongres Peguam Antarabangsa di Lahai 1948, Resolusi Kongres Himpunan Dekan Undang-undang dan Syariah di Universiti Beirut 1973, Universiti Baghdad 1974, Resolusi Kongres Tasyri' Islami di Bandar Baidha' Libya 1972, dan Resolusi Muktamar Fiqh Islami di Riyadh 1976. Sila rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh oleh Dr Wahbah al-Zuhaili (4/3220) cetakan Dar al-Fikr 2006.

[5] Al-Attas, Syed Muhammad Naguib. The Correct Date of the Trengganu Inscription. (Kuala Lumpur: Museum Department, States of Malaya, 1984), hal. 23-24.

[6] Jelani Harun,Undang-undang Kesultanan Melayu dalam Perbandingan(Gelugor: Penerbit USM Pulau Pinang, 2008), hal. 310.

[7] Juga dieja Khorasaan, Khurasan dan Khurasaan, adalah istilah moden untuk wilayah timur Iran kuno atau Parsi sejak abad ke-3. Khorasan Raya meliputi wilayah yang kini merupakan sebahagian wilayah-wilayah dalam negara-negara seperti Iran, Afghanistan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan. Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Khorasan_Raya

[8] Ibn al-Jauzi. Sirah al-Manaqib 'Umar bin 'Abd al-'Aziz, hal. 107-108.

[9] Zulkifli Mohamad al-Bakri. Umar Abdul Aziz, hal. 94-95.

[10] Nama beliau adalah Syuraih Bin al-Harith Ibn Qais al-Kindi, Abu Umayyah menjadi Qadhi di Kufah. Memeluk Islam pada zaman Nabi SAW, berpindah dari Zaman pada zaman pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq. Beliau menjadi Qadhi selama 60 tahun. Beliau meninggal dunia pada tahun 78 hijrah dalam usia 108. Lihat Siyar A'lam al-Nubala' (1/756).

[11] 'Abd al-Karim 'Uthman. Al-Nizam al-Siyasi fi al-Islam, hal. 138.

[12] Zulkifli Mohamad al-Bakri. Negara Sejahtera, Rahmat Untuk Semua. hal. 59-60.

[13] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali. Kerugian Dunia Karena Kemunduran Umat Islam, diterjemahkan daripada Bahasa Arab oleh Bey Ariffin dan Yunus Ali Al-Muhdlar (Changi Road: Pustaka Islamiyah), hal. 159.

[14] Allal bin Abdul Wahid bin Abdus Salam bin Allal al-Fassi al-Fahri. Lahir di Fez, Morocco, 10 Januari 1910 – meninggal di Bukares, Romania, 19 Mei 1974 pada umur 64 tahun Fez, Maroko, 10 Januari19 10–meninggal di Bukares, Romania, 19 Mei1974 pada umur 64 tahun) ialah seorang politik, pengarang, penulis puisi, dan sains Islam dari Morocco. Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Allal_al-Fasi.

[15] Ali Ahmad al-Qulaishi. Madkhal ila Maqasid as-Syari'ah, hal.12-13.

[16] Jasser Auda. Maqasid al-Syari`ah Dalil lil al-Mubtadi'in. al-Ma'had al-`Alami li al-Fikr al-Islami, hal. 104.

[17] Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid, "Perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah Di Malaysia Ditinjau Dari Perspektif Maqasid Syariah" dalam Perlaksanaan Hudud di Malaysia: Satu Analisa, disunting oleh Asyraf Wajdi Dusuki (Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia), hal. 32.

[18] Malaysia. Dewan Ra'ayat. Penyata Rasmi Parlimen (3 Mac 1965) hal. 6524

[19] Malaysia. Dewan Ra'ayat. Penyata Rasmi Parlimen (3 Mac 1965) hal. 6550

[20] Malaysia. Dewan Rakyat. Penyata Rasmi Parlimen (10 Oktober 1984) hal. 4489 – 4490

[21] Malaysia. Dewan Rakyat. Penyata Rasmi Parlimen (24 Mac 1989) hal. 2572 - 2576

[22] Tun Abdul Hamid merupakan bekas Ketua Hakim Negara menulis kertas kerja bertajuk Perlaksanaan Undang-undang Jenayah Islam (Hudud, Qisas, Takzir) di Malaysia – Prospek dan Cabaran.

[23] Wacana ini boleh ditonton di https://www.youtube.com/watch?v=TmwX3D6YTUQ

[24] Kenyataannya ketika forum Wacana RUU 355: Wajarkah Bukan Islam Bimbang? anjuran Pertubuhan IKRAM baru-baru ini. Wacana ini boleh ditonton di https://www.youtube.com/watch?v=mG7XyhaWOR8

[25] http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/berita-harian-dr-shamrahayu/9232-akta-355

[26] Frasa 'kesalahan' bermaksud kesalahan-kesalahan yang melibatkan bidang kuasa undang-undang Islam seperti kesalahan berkait soal zakat, solat Jumaat, perkahwinan dan hutang.

[27] Frasa 'jenayah' bermaksud kesalahan-kesalahan yang melibatkan bidang kuasa undang-undang Kod Penal seperti jenayah mencuri, merompak dan membunuh.

[28] Ibn Manzur. Lisan al-'Arab (Beirut: Dar al-Sadr, 1955), jil. 12, m. 25.

[29] Ibn Qudamah. Al-Mughni wa Yalihi Sharh al-Kabir (Beirut: Dar al-Kitab al-'Arabi, t.t.), jil. 10, m 28.

[30] Al-Syaukani. Nail al-Autar Sharh Muntaqa al-Akhyar (Beirut: Dar al-Fikr, 1983), jil. 7, m. 285.

[31] Ibn Taimiyyah. Al-Siyasah al-Shar'iyyah fi Islahi al-Ra'i wa al-Ra'iyyah (Beirut: Dar al-Kutub al-'Arabiyyah, 1966), hal. 101.

[32] Ibn Qayyim, I'lam al-Muwaqqi'in 'an Rabb al-'Alamin (Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1991), jil. 3, hal. 11.

[33] Ibid.

[34] Ibn 'Ashur, Maqasid as-Shari'ah al-Islamiyyah, ad-Dar al-Tunisiyyah Li al-Nashr. Ghannouchi, Racid. 2016. Politik & Demokrasi. Terjemahan Marwan Bukhari. (Shah Alam : Institut Darul Ehsan, 2016) hal. 19.

[35] Dalam isu ini terdapat 3 mazhab:

Harus ber'illahkan dengan hikmah. Inilah yang ditarjihkan oleh Imam al-Razi, al-Baidhawi dan Ibn al-Hajib.
Inilah pendapat kebanyakan ulama dan jumhur.
Ditafsilkan dengan perincian. Inilah pendapat al-Amidi. Katanya, "Jika hikmahnya bersifat zahir dan mundhabit, maka hukumnya harus. Kalau tidak, hukumnya tidak dibolehkan." Lihat al-Ibhaj 3/91 dan al-Ihkam 3/12.
[36] Al-Qaradhawi, Yusuf. Madkhal li Dirasat al-Shari'ah al-Islamiyyah (Beirut: Mu'assasah al-Risalah, 1993), hal. 263

[37] Lihat http://binbayyah.net/arabic/archives/1423

[38] Al-Lahwi, 'Amir bin Isa. Harakah Taqnin al-Fiqh al-Islami, hal. 6.

[39] al-Ghazzali, Abu Hamid. Al-Mustasfa fi Ilmi al-Usul, jil. 2, hal. 92.

[40] Syeikh Mustafa al-Zarqa telah membicarakan isu ini dengan panjang lebar ketika membincangkan kerajaan Uthmaniyyah dalam isu taqnin antara lain menyebut: "Membina majallah al-ahkam berasaskan fiqh Hanafi semata-mata sekalipun mazhab yang satu ini luas, tetapi tidak mungkin menyelesaikan semua keperluan zaman dan maslahat yang berkembang yang boleh jadi tidak terdapat penyelesaiannya dalam mazhab tersebut sebaliknya memerlukan ijtihad yang lain." Lihat al-Madkhal al-Fiqh al-'Am jil.1, hal. 212-214).

[41] Lihat Tabsirah al-Hukkam Fi Usul al-Aqdiyah wa Manahij al-Ahkam (Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1995), jil. 1, hal. 115

[42] Muhammad al-Tahir Ibn 'Ashur. al-Tahrir wa al-Tanwir (Tunis: Dar al-Tunisiah, 1984) jil. 6, hal. 135.

[43] Prinsip ini menekankan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.

[44] Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.

[45] Prof. Ulung Tan Sri Prof. Dr. Mohd Kamal Hassan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersetuju bahawa pindaan RUU 355 adalah perlu untuk dinaik tarafkan, kerana ia sudah lapuk dan tidak sesuai buat masa sekarang untuk diaplikasikan. Kenyataan ini diambil melalui perbualan telefon antara kami dengan beliau pada 27 Ogos 2016.

[46] Menurut Professor Ahmad Ibrahim: "Perkataan Islam dan bukan Ugama Islam yang digunakan dalam perkara 3 bolehlah dihujahkan bahawa apa yang dimaksudkan ialah Islam sebagai cara hidup iaitu Islam sebagai Addin. Jika disebut agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian persekutuan, orang bukan Islam mendakwa bukan sahaja mereka diberi kebebasan mengamalkan kepercayaan dan upacara-upacara agama mereka akan tetapi cara hidup mereka. Jika ini makna yang dikehendaki diberi kepada perkataan agama oleh orang-orang yang bukan Islam lebih-lebih lagilah orang Islam berhak memberi makna yang luas kepada Islam sebagai agama persekutuan." (Lihat Artikel "Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia" oleh Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim, http://www.Islam.gov.my/buu/artikel2.html.)

Tiada ulasan: