Rabu, 7 September 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


APAKAH BERTEMUNYA TUN M DENGAN ANWAR SEBAGAI PERSEDIAAN JIKA BERSATU TIDAK DILULUSKAN?

Posted: 07 Sep 2016 07:52 AM PDT

shahrudindotcom


Tidak ada sesiapa dapat menafikan bahawa pertemuan Tun Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim setelah 18 tahun bermusuhan, adalah "rahmat besar"  kepada parti-parti pembangkang dalam usaha untuk menyingkirkan Najib Razak.

Gabungan pembangkang yang ditunjangi Pakatan Harapan dan Bersatu kini mendapat lebih keyakinan daripada rakyat untuk terus menggerakkan perubahan. Apabila dua tokoh berpengaruh yang selama ini bermusuhan, sanggup melupakan perbezaan atas keinginan bersama menyelamatkan negara, rakyat juga tidak teragak-agak untuk turut serta.

Blog ini dalam artikelnya pada 17 Mei lalu, berikutan tersebarnya surat Anwar yang meminta pimpinan PKR agar berhati-hati terhadap muslihat Tun Mahathir, pernah menyarankan agar kedua-dua pemimpin berkenaan bersatu hati dan melupakan persengketaan jika benar Najib yang sama-sama mahu disingkirkan.
 
 
 
 
Ketika itu, Tun Mahathir sudah keluar UMNO dan mula berbaik-baik dengan pimpinan parti-parti pembangkang termasuk PKR, tetapi terlihat masih membuat beberapa ulasan yang tidak menyeronokkan mengenai Anwar. Ia kemudian disusuli pula dengan surat yang ditulis Anwar dari dalam penjara yang turut menyebut mengenai kronisme dan nepotisme.

Hari ini, semua kita tentunya bersyukur kerana Tun Mahathir dan Anwar benar-benar sudah berdamai. Walaupun pada permulaan ini ia mungkin hanya berkaitan Akta Majlis Keselamatan Negara, namun ia pasti berkembang menjangkau pelbagai isu lain dari semasa ke semasa.

Dengan berbaiknya Tun Mahathir dan Anwar, lebih ramai yang berani dan terbuka bercakap mengenai perubahan. Ikut hukum akal, selain Najib sendiri semakin terbelenggu dengan banyak isu ciptaannya sendiri, sukar diterima dan hanya keajaiban saja yang mampu menyelamatkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.

Tetapi, mengapa Tun Mahathir memilih untuk bertemu dan berbaik dengan Anwar pada tarikh 5 September 2016?

Jika kita masih ingat, parti Bersatu yang diinisiatifkan oleh Tun Mahathir dan diketuai oleh Muhyiddin Yassin, telah mengemukakan pendaftarannya pada 9 Ogos yang lalu. Mengikut janji Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi, tempoh 30 hari diperlukan oleh sebuah jawatankuasa penilai yang akan mencadangkan kepadanya, sama ada Bersatu memenuhi segala syarat untuk diluluskan atau sebaliknya.

Ini bermakna, menjelang 9 September ini, cadangan jawatankuasa itu sudah sepatutnya berada di atas meja Zahid Hamidi untuk beliau umumkan sama ada  pendaftaran Bersatu diberikan kelulusan atau tidak.

Dalam hal ini, apakah Tun Mahathir sengaja memilih untuk bertemu dan berdamai dengan Anwar beberapa hari sebelum Bersatu sepatutnya menerima jawapan, sebagai satu cara untuk memberi tekanan kepada Najib dan kerajaan?

Kiranya pendaftaran itu diluluskan dalam beberapa hari akan datang, Bersatu dengan sendirinya akan mendapat lonjakan politik yang tinggi kerana ia berlaku beberapa hari saja selepas bersalamnya Tun Mahathir dengan Anwar.

Rakyat akan melihat Bersatu sebagai parti yang benar-benar untuk perubahan dan Najib semakin tidak selamat kedudukannya.

Jika Bersatu tidak diluluskan pula, ia dengan sendirinya memberi gambaran bahawa Najib dan kerajaan sedang ketakutan dan cuba melakukan sekatan terhadap kewujudan parti itu.

Persepsi berkenaan akan didendangkan dengan seluas-luasnya yang akhirnya menjelmakan Najib sebagai pemimpin yang tidak demokratik, menyalahgunakan kuasa serta takutkan cabaran. Bersama ketakutan seperti berdebat dan menjawab isu 1MDB serta derma RM2,600 juta di Parlimen sebelum ini, imej Najib tentu saja kian tersudut di hati rakyat.

Bermakna, sama ada Bersatu diluluskan atau tidak, Tun Mahathir lebih dahulu menghitung untung ruginya. Percaturannya ialah berbaik semula dengan Anwar.

Malah, jika Bersatu tidak diluluskan sehingga PRU 14 akan datang, dengan termetrainya hubungan baik dengan Anwar itu, tidak memeranjatkan jika PKR akan menjadi wadah pilihan sementara bagi Kumpulan Tun Mahathir untuk bertanding dalam pilihanraya nanti.

Melalui hubungan yang sudah terjalin dengan Anwar, Tun Mahathir lebih mudah merundingkan penyatuan itu bersama PKR nanti. Penyokong Tun Mahathir yang ketika ini rata-ratanya sudah dapat menerima Anwar, tidak lagi menjadi masalah untuk bersama-sama dengan PKR.
 
 
 

Pendakap Gigi Haram Undang Risiko Kesihatan

Posted: 07 Sep 2016 07:47 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
- Gambar hiasan
 
 
PUTRAJAYA: Pemasangan pendakap gigi secara haram boleh mengundang risiko kesihatan termasuk dijangkiti virus HIV dan Hepatitis jika pembasmian kuman ke atas peralatan tidak dilakukan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pendakap gigi merupakan rawatan untuk membetulkan susunan gigi dan memperbaiki rahang yang tidak sempurna namun sesetengah masyarakat terutama golongan remaja melihatnya sebagai simbol kemewahan, status dan fesyen.

Dr Noor Hisham berkata terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan berikutan permintaan terhadap pendakap gigi yang tinggi dengan menawarkan perkhidmatan pemasangan melalui dalam talian yang cepat, mudah dan caj yang sangat rendah sedangkan mereka tidak berkelayakan.

"Ini berjaya menarik ramai pelanggan (pesakit) sekaligus mengaburi mereka risiko yang bakal dihadapi dari aspek keselamatan dan komplikasi rawatan.

"Antara kesan dan komplikasi daripada rawatan pendakap gigi oleh pengamal pergigian haram adalah pergerakan gigi yang tanpa kawalan, kehilangan gigi serta gusi bengkak dan bernanah. Malah, risiko untuk dijangkiti virus HIV dan Hepatitis adalah tinggi apabila pembersihan dan pembasian kuman tidak dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius dan berasa kesal kerana masih ramai yang memandang ringan tentang kesan pemasangan pendakap gigi oleh pengamal pergigian haram.

Beliau berkata modus operandi aktiviti haram itu adalah berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain dan juga dari satu negeri ke negeri yang lain.

"Lokasi yang menjadi pilihan mereka termasuk hotel, rumah persinggahan, pusat kecantikan atau spa dan rumah-rumah kediaman.

"Ia dijalankan semata-mata untuk mengaut keuntungan sehingga pelbagai janji manis ditaburkan tanpa memberitahu sepenuhnya kesan dan akibat yang bakal berlaku," katanya.

Beliau berkata perkhidmatan pergigian di premis tidak berdaftar adalah salah di bawah Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan boleh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sehingga kini, katanya, sembilan kes telah dihadapkan ke mahkamah di bawah seksyen itu dan satu daripadanya telah dipenjarakan kerana gagal membayar denda.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai agar tidak mendapatkan rawatan pendakap gigi yang diberikan oleh pengamal pergigian haram yang tidak berkelayakan, tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) dan tidak dibenarkan menjalankan apa-apa juga rawatan pergigian.

Orang awam boleh membuat aduan terus ke Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-883 4215 atau e-mel kepada ohd@moh.gov.my supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab serta membahayakan kesihatan awam, katanya.

Semalam, seorang gadis 21 tahun didenda M25,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana menyediakan perkhidmatan memasang pendakap gigi secara haram di sebuah hotel.
 
 

Kerajaan Diminta Beku Sementara Lesen Pusat Beli-Belah Baharu

Posted: 07 Sep 2016 07:43 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
- Gambar hiasan
 
 
KUALA LUMPUR: Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) meminta kerajaan membekukan sementara lesen pusat beli-belah baharu untuk menangani ruang runcit yang berlebihan.

Timbalan Presidennya, Valerie Choo, berkata bilangan pusat beli-belah berkemungkinan akan terus meningkat antara 2017 dan 2018, dan ini akan menjejaskan margin peruncit.

"Terdapat peningkatan sebanyak 50 peratus bagi ruang pusat membeli-belah  (sebaik sahaja pusat membeli-belah baharu siap).

"Terlalu banyak pusat membeli-belah juga boleh menjejaskan peruncit," katanya kepada pemberita di sesi 'MRCA Bertemu Media' di sini Rabu.

Beliau berkata industri peruncitan menerima impak berikutan keadaan ekonomi yang lembap dan ringgit yang lemah yang membawa kepada peningkatan kos.

"Kami bergantung kepada barangan import, yang mengalami peningkatan yang besar. Kami mencuba sedaya upaya untuk tidak menaikkan harga kepada pengguna akhir tetapi selagi kami mampu bertahan," kata Choo.

Choo berkata Indonesia memutuskan untuk membekukan pembangunan pusat beli -belah bagi mengekang penawaran berlebihan yang telah memperlahankan perkembangan industri peruncitannya.

Beliau juga menggesa kerajaan supaya menggalakkan industri pelancongan turut membantu merangsang jualan peruncit di pusat beli-belah.

"Pelancong boleh mengambil kesempatan daripada ringgit yang lemah. Ia akan membantu meningkatkan akviti berbelanja di pusat membeli-belah," kata Choo.

MRCA mewakili lebih daripada 300 peruncit di Malaysia yang meliputi lebih 20,000 kedai dan menyediakan lebih daripada 100,000 pekerjaan di seluruh negara.

Himpunan pendakwah, wehdahtul fikri dan amal

Posted: 07 Sep 2016 07:40 AM PDT

HARAKAHDAILY





Firman Allah s.w.t. dalam surah al Fussilat ayat 33-35 bermaksud:

"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"

"Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib."

"Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat."

Perhimpunan julung-julung kali diadakan oleh Majlis Dakwah Negara dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia pada 6 September 2016 di Bandar Baru Bangi, Selangor melakarkan sejarah baru dalam usaha dakwah di negara ini.

Persidangan ini yang berusaha menghimpunkan para pendakwah dengan kepelbagaian latar belakang dari kalangan para ulamak, guru takmir, guru agama, ustaz, penceramah, pendakwah, aktivis NGO Islam, pensyarah universiti, imam, selebriti Islam, pegawai agama, personaliti tv, penasihat agama, pembimbing haji dan umrah, penulis buku agama, graduan bidang agama dan ramai lagi adalah satu usaha yang sangat positif dalam arena dakwah.

Kejayaan menempatkan kepelbagaian latar belakang para pendakwah dalam meja bulat bagi membincangkan isu-isu dakwah dan solusinya adalah menjadi titik tolak kepada permulaan yang sangat signifikan ke arah kebangkitan Islam yang lebih cerah.

Dakwah pada hakikatnya adalah merupakan satu tanggungjawab setiap umat Islam yang menjadi mata rantai penyambung risalah Nabi Muhammad s.a.w. itu sendiri. Malah tanggungjawab itu berlipat kali ganda pabila dikaitkan dengan seseorang yang dikurniakan oleh Allah kefahaman dalam urusan agama.

Sejarah telah menunjukkan bahawa penyebaran Islam ke serata dunia sehingga hampir 2/3 dunia adalah daripada usaha para pendakwah yang begitu cekal dan gigih menyebarkan Islam. Islam hanya mengambil masa 80 tahun sahaja sehingga berjaya sampai ke China di timur termasuk Asia Tenggara dan Sepanyol di barat termasuk benua Afrika.

Kejayaan penyebaran Islam dengan sebegitu pantas ini adalah berpunca daripada fitrah Islam itu sendiri di samping faktor para pendakwah yang istiqamah dan komited di samping kebijaksanaan pendakwah dalam menyampaikan dakwah.

Ketibaan Islam di Tanah Melayu khasnya dan Asia Tenggara amnya seawal tahun 700 Masihi adalah melalui jalan dakwah yang dibawa menerusi kedatangan para pedagang muslim dan pendakwah sama ada daripada Arab Selatan atau dari negara China yang mengislamkan penduduk Tanah Melayu yang asalnya penganut agama Hindu dan Buddha.

Kejayaan dakwah Islam di Tanah Melayu bukan sahaja kepada masyarakat dan rakyat tetapi turut berjaya mengIslamkan raja-raja dan para pembesar Tanah Melayu sekali gus menjadikan negeri Melayu sebagai negeri Islam dan mempraktikkan kesyumulan Islam.

Siapa Pendakwah

Pendakwah sebagaimana yang disebut dalam ayat 33 di atas "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" adalah mereka yang sendiri mendapat petunjuk hidayah Islam dalam erti kata memahami Islam yang sebenar. Lantaran itu mereka menyeru manusia kepada segala kebaikan dan mencegah manusia daripada keburukan.

Justeru itu, para pendakwah adalah mereka yang memahami dan sekali gus mempraktikkan Islam dalam diri mereka dengan kesyumulan ajaran Islam dan menyebarkan kepada orang lain. Para pendakwah semestinya berupaya untuk memperlengkapkan diri mereka dengan ilmu yang diperlukan dalam dakwah khasnya berkait dengan ajaran Islam itu sendiri.

Bagaimana harus tercapai matlamat dakwah apabila pendakwah itu sendiri tidak memahami Islam sebagai ad Deen atau keliru dengan Islam, malah mungkin jahil dengan agama yang diserunya? Kalau pendakwah itu sendiri bersifat sekular atau berfikiran sekularisme dan liberalisme yang sememangnya kedua-duanya adalah bercanggah dengan kesucian Islam dan keindahannya, sudah tentu mesej sebenar dakwah itu tidak tercapai.

Maka perlu ditegaskan bahawa pendakwah berkewajiban memiliki kefahaman Islam yang sebenar daripada petunjuk Allah menerusi usaha gigih pencarian ilmu malah tidak cukup sekadar ilmu tanpa amal.

Method Dakwah

Dakwah tidak sekadar mengajak dan menyeru serta melontarkan segala apa sahaja yang ada dalam pengetahuan seseorang itu. Akan tetapi dakwah juga amat berkait rapat dengan persoalan uslub dan method penyampaian Islam tanpa menggadaikan prinsip Islami.

Ayat 34 di atas Allah s.w.t. telah menyatakan dan mengajar kepada kita salah satu method atau uslub dakwah yang amat efektif iaitu dengan cara yang terbaik dalam berdakwah.

Hikmah, kebijaksanaan, pengalaman dan uslub yang pelbagai bersesuaian dengan madu'u atau sasaran dakwah adalah rukun penting berdakwah. Dakwah tidak boleh dengan cara yang statik akan tetapi ia perlu kreatif, inovatif dan berupaya mengimprovisasikan ilmu, suasana sekeliling dan pengalaman, lalu digarap bersama dan dimanfaatkan untuk menjayakan misi iaitu menyampaikan Islam.

Ini adalah kerana misi dakwah Islam ialah untuk menyelamatkan seramainya manusia berpayung di bawah rahmat dan hidayah Allah menerusi ajaran Islam dan bukannya mencari musuh dan permusuhan. Penyebaran Islam ke serata dunia adalah melalui jalan perdamaian dan bukannya peperangan.

Malah sirah Baginda Nabi s.a.w. adalah buktinya tatkala Baginda menerima Perjanjian Hudaibiyyah dengan musuh tradisinya iaitu Abu Sufyan yang setelah berbelas tahun menzahirkan permusuhan dan siri peperangan.

Kedapatan melalui perdamaian Baginda s.a.w. berjaya memikat dan menarik ramai masyarakat Arab kepada Islam melalui dakwah samada dakwah melalui keadilan pemerintahan Islam di Madinah dan juga dakwah bil hal (dakwah dengan akhlak, peribadi dan tindakan) sehingga masyarakat Arab lembut dan lunak hati tercenderung kepada Islam yang memuncakkan kepada pembukaan Kota Mekah (Fath Mekah) iaitu Membuka Hati Manusia.

Maka dakwah adalah merupakan satu cara dan teknik untuk memikat hati manusia kepada Islam dna bukannya menjauhkan hati manusia daripada Islam dan membencinya. Selama dakwah itu berupaya membuatkan manusia terpikat, ingin tahu, berminat, terbuka hati kepada Islam, maka itulah dakwah.

Dakwah Tidak Gopoh

Allah menjanjikan bahawa dakwah adalah secara fitrahnya tidak dihamparkan dengan permaidani merah dan layan istimewa. Dakwah dan pendakwah pasti berhadapan dengan rintangan, ujian, tentangan yang memenatkan, menyakitkan dan menyeksakan yang memerlukan ketabahan, kesabaran, istiqamah dan tidak gopoh.

Ini adalah kerana tugas pendakwah bukan memberi hidayah, tugasnya adalah menyampaikan Islam dan menunjukkan kepada manusia jalan kepada hidayah Allah s.w.t. Hidayah adalah hak mutlak Allah azza wajalla yang tidak dimiliki oleh sesiapapun termasuk Baginda Nabi s.a.w.

Pendakwah berusaha sedaya kekuatan dan kemampuan yang ada dalam berdakwah dan menyampaikan Islam kepada manusia dan selebihnya diserah sebulat hati penggantungan kepada Allah pemberi hidayah. Pendakwah yang beranggapan bahawa manusia menerima Islam dan mengikutinya disebabkan kepandaian, kebijaksanaan, kehebatan dirinya sendiri, Allah pasti menjauhi dan melepaskan urusannya dan pertolongannya.

Lihatlah sejumlah kejayaan Islam tidak dicapai tatkala Nabi s.a.w. masih hidup, tetapi dicapai setelah kewafatannya. Contohnya, Negeri Taif, Kekalahan Rom dan Parsi, Kemenangan Byzantine, Islam di Eropah dan Asia semuanya berlaku sesudah beratus tahun kewafatannya.

Maka, dakwah amat memerlukan kesabaran, ketabahan dan istiqamah berpanjangan dan berterusan sekalipun pendakwah tidak memperoleh keberhasilan dalam dakwahnya sewaktu dia masih hidup tetapi mungkin berjaya selepas kematian pendakwah itu. Nilaian pahala di sisi Allah juga bukan atas kejayaan dakwah akan tetapi atas usaha dan jihad pendakwah dalam dakwahnya.

Semoga usaha menghimpunkan para pendakwah menerusi MDN Yadim menghasilkan natijah yang positif dan memberangsangkan dalam usaha menjadikan Islam sebagai cara hidup lengkap dan syumul memayungi rahmat kepada sekalian alam. Wallahua'alam

*  Ustaz Muhammad Najhan Halim
Pengarah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat


Menjawab fitnah terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Posted: 07 Sep 2016 07:35 AM PDT

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz





Saya diminta untuk menjawab, sekurang-kurangnya bagi pihak keluarga, atau sebaik-baiknya atas nama Ketua Pemuda PAS Malaysia, perihal dakwaan oleh seorang bekas pemimpin PAS yang dipecat bahawa jika almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat masih ada, maka dia akan memilih untuk masuk PAN, parti baru serpihan PAS. Alasan yang diberi, PAS sudah keluar dari landasan asal perjuangan. Kelantan kini tidak lagi Kelantan yang dulu.

Saya kata, saya sudah menjawabnya di laman sosial saya di FB. Pendek dan sinis sahaja. Pada saya ia mencukupi. Sekuntum dua bunga seroja mencukupi untuk dipadankan dengan wajah yang memang sedia ayu dan menawan. Kuntuman segar bunga istiqamah dan amanah yang kembang pada tubuh Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah mencukupi bagi mereka yang mahukan qudwah dan contoh dalam kehidupan beranjau dan berduri ini.

Tetapi sebahagian mahukan yang lebih panjang dan lebih menjelaskan. Setiap fitnah walaupun terlalu teruk untuk dipercayai, akan tetap ada telinga yang sedia menadah dengar sebagai terapi bagi jiwa yang sudah lama sakit dan tidak sedia diubati lagi. Ia akhirnya hanya boleh hidup melalui ubat pelalian dengan dos yang tinggi. Fitnah dosnya memang tinggi. Akhirnya fitnah jika dibiar berkembang, ia akan membaham mangsa baru yang tidak berdosa.

Hidup seseorang muslim itu nilainya pada hujung hayatnya. Sampaikah dia ke destinasi yang ditujunya. Jika dia menuju Allah, sehebat mana perjalanan hidupnya menuju Allah itu, hebat itu hanya kekal terpakai apabila dia memang sampai kepada Allah di hujung hayatnya. Awalnya, tengahnya sehinggalah hujungnya adalah tauhid. Jika tidak, ia sama sahaja, apa erti hebat memandu dalam perjalanan yang jauh menuju destinasi, tetapi hujungnya berakhir di hospital atau terjun longkang?

Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, kita meyakini pada zahir yang kita lihat bahawa dia telah mengakhiri hidupnya dalam istiqamah menuju Allah. Hidupnya untuk Allah. Dia berjuang demi Allah.

Demi menjaga kekuatan dirinya dalam perjalanan, dia memilih sedari mudanya untuk mengenderai parti PAS sehinggalah akhir hayatnya. Tak pernah bertukar atau tersentak atau terhenti.

Itu haknya yang nyata. Haknya ke atas semua adalah menyebut istiqamahnya itu. Menyatakan sebaliknya adalah memperlekehkan nilai istiqamahnya dalam hidupnya itu.

Ertinya, jika saya masuk PAN (semoga dijauhi Allah), demi menjaga hak istiqamah ayahanda, saya mesti berkata bahawa saya telah memilih untuk berbeza pandangan daripada ayahanda. Saya sama sekali tidak boleh berkata, jika ayahanda masih ada, dia pun akan pilih jalan saya yang baru ini. Itu perlecehan yang nyata ke atas hak orang yang telah pergi kepada tuhannya dengan penuh kemuliaan.

Itu pertama. Yang kedua, dalam PAS ayahanda Tuan Guru adalah sejarah hidup dan jatuh bangun PAS. PAS membinanya dan dia jugalah yang begitu membina PAS. Dia pernah mentaati dan dia pernah ditaati. Dia memandu dan dia dipandu juga. Puluhan tahun lamanya. Yang tua, yang muda, yang lama dan baru semua pejam celik dengan wajah ayahanda menjadi wajah PAS.

Berapa kali PAS berkrisis dan berpolemik. Terserpih dan pecah. Tewas dan jatuh. Ditertawa dan diperlekeh. Tenggelam dan hilang. Akhirnya saat PAS bangkit, ayahandalah yang di depan menangkis dan menjulang. Dia adalah tanpa was-was dan tanpa ragu-ragu sedikitpun bahawa Islam adalah perjuangannya dan PAS adalah kenderaan dan jamaahnya.

Jika hanya dengan krisis terbaru yang sempat dicium oleh ayahanda sendiri sebelum dia pergi itu dijadikan alasan untuk menukar sinar sejarah perjuangan sucinya dengan PAS yang penuh istiqamah, maka itu adalah perlecehan yang nyata. Mempercayainya adalah penghinaan terhadap diri sendiri bagai melahap bangkai fitnah yang busuk dan menjengkelkan.

Ketiga, saksi-saksi adalah nyata bahawa ayahanda menolak PASMA dan serangan-serangan dalaman oleh beberapa pimpinan PAS pada masa itu terhadap PAS. Saya, keluarga, ahli jamaah Masjid Pulau Melaka, apatah rakan-rakan pimpinan PAS di Kelantan dan di luarnya yang lama bersama ayahanda, semua mengecam dan melihat kemarahan dan ketidakpuasan hatinya terhadap tindakan-tindakan mengkritik Majlis Syura Ulamak dan Presiden PAS sendiri oleh pimpinan PAS yang hari ini berkumpul di dalam PAN dan membedil PAS dengan bantuan DAP sesudah kalah membedil PAS daripada dalam.

Datuk Husam Musa jangan menipu diri sendiri bahawa hari-hari akhir ayahanda adalah hari-hari akhir yang tidak indah buat hubungan dirinya dengan ayahanda. Jangan kaitkan dengan alasan sekatan-sekatan oleh keluarga atau sesiapa. Lebih setahun ayahanda berehat dari kerusi Menteri Besar sebelum perginya adalah masa yang mencukupi untuk dia memerhatikan seluruh tindak tanduk anak-anak buahnya yang kini bersama bekerja bersama Menteri Besar baru yang menjadi pilihannya.

Kerana tindak tanduk sesetengah pimpinan termasuk Datuk Husam yang bersifat 'memberontak' itulah yang mendorong ayahanda secara berterus terang menuntut ahli PAS memberi wala' dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Presiden PAS dan Majlis Syura Ulamak PAS. Sila rujuk siaran-siaran di akhbar-akhbar pada masa itu.

Adakah anda ingin memperlecehkan persaksian nyata itu dengan senjata fitnah yang membunuh kebenaran dan hakikat?

Keempat, benarkah Kelantan hari ini sudah tidak lagi seperti dulu?

Ya, Kelantan dulu ada aura Tuan Guru. Kelantan dulu ada style dan cara Tuan Guru. Kelantan dulu ada sentuhan Tuan Guru. Ya, itulah bezanya.

Jadi, adakah itu ukurannya perjuangan PAS di Kelantan berubah? Jika anda berkata ya, saya berkata, padanlah anda masuk PAN pun.

Anda sering menggambarkan yang manis-manis dari zaman Tuan Guru untuk anda bandingkan dengan yang pahit-pahit dari zaman YAB Datuk Ahmad Yakob.

Mengapa kejayaan-kejayaan oleh Datuk Ahmad Yakob yang tak berlaku di zaman Tuan Guru tidak diangkat dan dipuji?

Saya akan menulis mengenainya nanti, insya Allah. Kelantan boleh jatuh bila-bila masa pun. Tapi janganlah kerana fitnah dalaman yang memusnahkan sejuta kebaikan sedia berkembang mekar.

Kelantan pernah boleh jatuh bila-bila masa pun pada PRU11 2004 dulu. PAS Kelantan bergayut pada majoriti satu kerusi yang menang dengan kelebihan 2 undi.

Tetapi kerana api fitnah dalaman tiada, PAS mara dan kembali mengukuh sehingga kini.

Pesan saya, siapa pun boleh membakar dengan bahan bakar fitnah. Tetapi ingat, anda tidak akan memuliakan hidup sendiri dengan pekerjaan sebagai pencetus fitnah, bukan pencetus ummah.


*  Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz,  Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY

Mayat reput dipercayai dibunuh sebelum disumbat dalam kotak polisterin

Posted: 07 Sep 2016 07:30 AM PDT

MSTAR ONLINE


14264209_1074102572638958_5356130689550459533_n


DUNGUN: Mayat reput yang dijumpai di Pulau Tenggol, di sini semalam dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum disumbat ke dalam kotak polisterin, kata Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub.

Katanya, hasil laporan bedah siasat juga mendapati terdapat kesan tetakan pada rusuk kiri, kanan dan belakang badan mangsa yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu.

"Mangsa dipercayai seorang lelaki telah meninggal dalam tempoh lebih dua minggu… mangsa tidak dipotong namun (dipercayai) dibiarkan mengalami proses mereput sebelum dibungkus rapi dengan plastik dan disumbat ke dalam kotak," katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam seorang pemandu bot pelancong bersama-sama tiga rakannya menjumpai kotak polisterin itu ketika berehat selepas  pulang daripada melakukan aktiviti 'snorkeling' kira-kira pukul 9.15 pagi di pesisir pantai Pasir Tenggara, Pulau Tenggol.

Ahmad Zailani berkata polis yakin kotak berkenaan telah diletakkan di lokasi berkenaan dan bukannya dihanyutkan arus sehingga terdampar ke pesisir pantai.

"Tiada kesan berlumut mahupun warna pudar pada kotak berkenaan… kita percaya ia memang diletakkan di pulau itu dan bukannya dicampak ke dalam laut sehingga terdampar," katanya sambil menambah kes itu disiasat sebagai kes bunuh.— Bernama


‘Politik murahan’, Dr M digesa jawab nak Anwar atau tak!

Posted: 07 Sep 2016 07:29 AM PDT

THE MALAYSIAN TIMES


Anwar tunM


PUTRAJAYAT: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diminta menyatakan pendirian sama ada beliau sudah menerima bekas Timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai rakan politik susulan pertemuan mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lepas.

Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun berkata beliau mempertikai kenyataan yang diberikan Dr Mahathir kononnya kehadirannya bagi memberi sokongan terhadap Anwar yang mengemukakan saman kepada kerajaan berhubung Akta Majlis Keselamatan Negara 2015.

Dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata kedua-dua personaliti itu diketahui umum mempunyai sejarah pahit sesama mereka serta melihat tindakan Dr Mahathir itu sebagai mainan politik murahan.

"Tindakan Tun M (Mahathir) jelas menunjukkan beliau mengamalkan matlamat politik menghalalkan cara," katanya.

Di IPOH Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pertemuan Dr Mahathir dan Anwar tidak boleh dipandang ringan, oleh itu UMNO atau Barisan a Nasional jangan sesekali beranggapan pakatan mereka tidak menjejaskan parti, sebaliknya terus bersedia menghadapi segala kemungkinan.

"Saya tidak nampak dari segi pendekatan yang dilakukan sebagai perkara di luar daripada kebiasaan tetapi kemungkinan itu akan berlaku.

"Mungkin hari ini berlaku sebegini, esok berlaku pendekatan yang lain lagi sebab niatnya satu sahaja, ingin menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.

Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Perak menyifatkan pertemuan itu sebagai usaha baharu untuk menjatuhkan perdanamenteri.

"Mungkin disebabkan mereka merasakan untuk jatuhkan perdana menteri tidak boleh dilakukan oleh seorang manusia yang bernama Mahathir ataupun dilakukan oleh seorang manusia yang bernama Anwar," katanya.

Dr Mahathir memecat Anwar pada 1998 sebagai timbalan perdana menteri dan Anwar juga dipecat daripada UMNO.


Kecewa dengan Umno, cucu bekas TPM sertai Bersatu

Posted: 07 Sep 2016 07:23 AM PDT

DETIK DAILY
 

 
Oleh Nawar Firdaws


PETALING JAYA: Tariq Ismail yang merupakan cucu bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Ismail Abdul Rahman mengumumkan akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)


Katanya, walaupun tahu tindakannya itu akan mengecewakan sebahagian ahli keluarganya, beliau masih memilih Bersatu dan bukannya Umno kerana tidak lagi percaya kepada cara pengurusan parti itu.

"Ia mengenai perubahan dan kemajuan. Ia mengenai kepimpinan melalui teladan.
 
"Saya mengambil keputusan menyertai Bersatu bukan kerana saya marah, cemburu atau kecewa dengan Umno. Saya hanya tidak percaya dengan cara parti itu dikendalikan sekarang.
 
"Saya orang Melayu, tetapi saya juga progresif. Oleh itu, saya tidak percaya dengan (konsep Umno) melindungi Tuan Presiden (Datuk Seri Najib Razak)," katanya kepada FMT hari ini.
 
Ditanya kenapa beliau menyertai Bersatu yang hendak menjatuhkan parti di mana datuknya mengabdikan seluruh hidupnya,
 
Tariq berkata, Umno hari ini memerlukan perubahan yang hanya boleh dilakukan dari luar.
"Umno hari ini lebih baik menjadi syarikat berkaitan kerajaan kerana semua orang berada di dalam sana demi wangnya.
 
"Selagi mereka kekal berkuasa, mereka tidak akan berubah. Mereka menjadi begitu angkuh. Selain itu, ramai orang seperti (bekas Timbalan Perdana Menteri) Tun Musa Hitam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba mengubah Umno dari dalam.
 
"Ia tidak berjaya dan tidak kira apa pun, golongan progresif dalam Umno akan 'dibunuh'," katanya.
 
Beliau berkata, Bersatu yang merupakan parti serpihan Umno akan kembali kepada perjuangan asal parti itu untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan, institusi diraja, hak Melayu dan Bumiputera.
 
"Ia bertujuan menyatukan semua dan menyedari sebagai rakyat Malaysia, kita semua mempunyai perbezaan unik dan kepelbagaian yang perlu diraikan.
 
"Untuk membolehkan semua orang mendapat hak mereka yang sepatutnya dan pada masa sama memperjuangkan nilai Melayu asal, termasuk integriti, kesopanan, maruah dan rasa hormat kepada orang lain," katanya.
 
Bersatu ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata parti itu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menjatuhkan Umno-BN pada pilihan raya umum akan datang.
 
Minggu lalu, Setiausaha penaja Bersatu, Kamarulazman Habibur Rahman dilaporkan berkata, pendaftaran parti itu dijangka diluluskan Jumaat ini, selepas jawatankuasa penaja memenuhi semua syarat ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS)
 
 

Mengenang Anwar sebagai mangsa kebobrokan sistem pemerintah

Posted: 07 Sep 2016 07:20 AM PDT

Oleh Nurul Izzah Anwar


Pada malam 10 Ogos lalu, saya sempat merenung jauh ke tembok Penjara Sungai Buloh yang suram – menyembunyikan genggaman rindu serta sayu – tinggalan sejarah reformasi yang juga disulami realiti terkini.

Anwar

Malam itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ayahanda kepada kami enam beradik menyambut kelahirannya yang ke-69, walau jeriji besi 13 lapisan memisahkan kami buat masa ini. Seakan-akan deja vu melihat wajah sahabat, taulan, kenalan, teman, keluarga, semuanya seperjuangan.

Zaman silih berganti, namun sesiapa saja yang lantang berprinsip dalam menegakkan kebenaran menentang kezaliman masih lagi diperlakukan tanpa keadilan oleh parti pemerintah. Ayah saya merupakan salah seorang mangsa kebobrokan sistem. Kali pertama ketika beliau diperlakukan dengan tidak adil, yang kekal terpahat sebagai memori hitam adalah pada tahun 1998.

Ayahanda telah ditahan di bawah akta ISA tahanan tanpa bicara, disusuli dakwaan palsu yang menyebabkan beliau dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun lamanya. Yakni, setelah saban tahun berlalu, diakui bahawa dakwaan palsu tersebut merupakan konspirasi politik berskala mega. Kerana lantang bersuara dalam mendedahkan salah urus tadbir negara, beliau sekali lagi dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun di Sungai Buloh.

Pengalaman terdahulu, bermula dengan hampir 2 tahun ditahan di Kamunting semasa zaman mahasiswa – mengetuai protes di Baling pada tahun 1974, menjadikan jumlah beliau dipenjarakan di Malaysia adalah 13 tahun.

Tiga belas tahun merupakan tempoh yang signifikan sebagai fasa transisi pembelajaran. Bayangkan tempoh pengajian bermula dari pra sekolah 5 tahun sehingga tamat pengajian menengah pada umur 17 tahun. Bahkan, analogi yang lebih universal adalah tempoh 13 tahun itu sudah melebihi jumlah diperlukan untuk planet Jupiter mengelilingi Matahari!

Begitulah jika hendak dikira betapa lamanya tempoh itu, di mana satu perlima daripada hayat ayahanda diluangkan di penjara. Namun demikian, demi prinsip menolak penindasan yang berterusan, serta membuka ruang lingkup terhadap ke arah keadilan dan pemantapan demokrasi, berundur daripada prinsip tidak sekali.

Menerusi usaha beliau yang berterusan untuk mengangkat nilai keadilan sosial menerusi demokrasi dan dimulakan dengan seruan Reformasi mula bertapak di Malaysia. Sorotan krisis ekonomi dan politik pada 1998, reformasi kekal teguh dan tak lapuk dek zaman sehingga kini. Arakian, kini merupakan masa yang lebih relevan apabila reformasi diangkat sebagai keperluan dalam menyelamatkan masa depan Malaysia. Semangat Reformasi adalah satu agenda jelas dan takkan pernah luput.

DSAI

Ketika diheret pergi, beliau sempat berbisik kepada saya bahawa perjuangan untuk rakyat perlu diteruskan bersama rakyat. Pada 1998, saya yang ketika itu remaja berumur 18 tahun nekad untuk menceburi politik. Dengan tunjuk ajar daripada ibu, dukungan daripada ahli keluarga, serta sokongan tak berbelah bahagi daripada rakyat, saya menyahut seruan perjuangan reformasi.

Hampir dua dekad telah berlalu, saya masih menggalas gelaran 'Puteri Reformasi' yang saya fikir amat berat untuk membawa anugerah sebesar itu, dan jujurnya telah saya usahakan sehabis daya. Gelaran itu adalah lebih daripada sekadar nama. Ia merupakan simbol pengiktirafan terhadap usaha yang digalas oleh ayahanda dalam membawa Malaysia ke tahap demokrasi yang sihat dan prinsip-prinsip asas keadilan demi Malaysia yang lebih baik. Lapan belas tahun lamanya, saya telah menggalas tanggungjawab ini dan membawa semangat perjuangan reformasi terus dipertahankan.

Agenda reformasi yang saya kira menjadi sebati dengan identiti semenjak memegang tampuk taklifan sebagai ahli Dewan Rakyat dan ibu kepada dua cahaya mata. Untuk masa yang telah berlalu dan tahun-tahun yang akan datang, saya tetap dan akan berterusan menjuarai isu berkait rapat dengan demokrasi, untuk mengetengahkan isu hak asasi manusia berkenaan wanita, isu kesaksamaan hak antara gender, memperkasakan golongan belia dan perlindungan kanak-kanak.

Salah satu usaha yang telah diinisiatifkan pada 2010 adalah Rang Undang-undang Persendirian memohon pembatalan kesemua 4 Deklarasi Darurat yang sering disalahgunakan oleh undang-undang lapuk, dan kerajaan kuku besi terutamanya seperti akta ISA. – Sinar Harian Online

* Nurul Izzah merupakan Naib Presiden merangkap Pengarah Pilihan Raya KEADILAN dan Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Polis pulas tangan guru hingga patah

Posted: 07 Sep 2016 07:09 AM PDT

 
 
Dua anggota polis menahan Sheikh Asroff secara keras dan kasar
Dua anggota polis menahan Sheikh Asroff secara keras dan kasar
Sheikh Asroff mengalami cedera patah tangan kiri
Sheikh Asroff mengalami cedera patah tangan kiri


Tidak ada kompromi, walaupun seseorang itu anggota polis sekalipun, kata Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi.

Beliau diminta mengulas berhubung kejadian dua anggota polis dari Balai Polis Lenggong, Gerik, Perak telah mencederakan seorang guru dalam operasi membanteras dadah di kawasan itu petang kelmarin.

Menurut Abdul Rahim, anggota polis berkenaan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu pagi tadi untuk mendapatkan tempoh tahanan reman bagi membantu siasatan.

"Siasatan ini dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan beberapa tindakan tertentu telah diambil untuk siasatan," katanya.

Dalam kejadian jam 7.15 malam itu, seorang guru, Sheikh Asroff Umar, 30-an telah ditahan secara kasar oleh dua anggota polis dari Cawangan Narkotik Lenggong.

Guru itu, yang baharu keluar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Sapi, Lenggong selepas selesai mengajar kelas tambahan untuk muridnya yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) secara tiba-tiba ditahan polis.

Mangsa yang menyangka dua lelaki itu penjahat kerana memakai topi keledar dan meluru ke arahnya tanpa memperkenalkan diri, cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditangkap.

Dari situ berlaku pergelutan antara dua anggota polis berkenaan dengan Sheikh Asroff, yang kemudian memaklumkan mereka telah tersalah orang.

Polis terbabit cuba memulas dengan kasar kedua-dua tangan guru berkenaan untuk digari, sebelum membawanya ke Balai Polis Lenggong untuk siasatan.

Bagaimanapun, setelah mendapati guru itu bukan penagih dadah seperti yang disyaki, dia dibebaskan dan dibawa guru besar sekolah berkenaan ke hospital untuk rawatan.

Doktor mengesahkan tangan kiri Sheikh Asroff patah dan diberi rawatan lanjut.

Guru berkenaan yang pernah bertugas sebagai wartawan akhbar tabloid di Kota Bharu pada 2005 sekarang berada dalam keadaan stabil, tetapi masih trauma dengan kejadian yang menimpanya. - MalaysiaGazette


12 keluarga terima bantuan sempena Aidil Adha

Posted: 07 Sep 2016 06:56 AM PDT

OLEH SYASYA SUFIAN


GOMBAK- Sebanyak 12 keluarga menerima bantuan  berjumlah RM6,500 daripada masyarakat prihatin dalam Program Sumbangan dan Ziarah Rumah ke Rumah Fakir Miskin.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Shamshida Taharin, berkata program itu merupakan anjuran badan itu bagi membantu golongan asnaf menyambut Hari Raya Aidiladha.

"Bantuan ini diberikan kenalan rapat untuk saya sampaikan sendiri kepada golongan asnaf.

"Sebanyak tujuh rumah dihulurkan bantuan, manakala lima buah lagi dilaksanakan pada 9 September ini," katanya selepas Program Sumbangan di sekitar Gombak, di sini, hari ini.

IMG_2382

Hadir sama mengiringi beliau, isteri Ahli Dewan Negari (ADN) Gombak Setia, Ruhaiza Mohamed dan pegawai Pejabat Ahli Parlimen Gombak.

Tambahnya, masyarakat disekeliling perlu turut sama membantu golongan tersebut dalam menyebarkan maklumat berkenaan bantuan dilaksanakan Kerajaan Negeri.

"Terdapat pelbagai program seperti bantuan HIJRAH dan Foodstamp yang masih golongan ini tidak tahu ia wujud dan dimana mereka perlu dapatkan bantuan tersebut.

"Menjadi tanggungjawab bersama kita mencari mereka dan menyampaikan maklumat begitu banyak bantuan ditawarkan Kerajaan Negeri dalam meringankan beban mereka," katanya.

Selangor anjur festival rakyat, medium perkenal program MES

Posted: 07 Sep 2016 06:53 AM PDT

OLEH ERMIZI MUHAMAD


SHAH ALAM: Festival rakyat, Selangor Feast 2016 dianjurkan ke seluruh negeri membabitkan enam pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal diadakan, bermula September hingga Disember ini.

Program di bawah gerak kerja, Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau itu dilaksanakan sebagai inisiatif memperkenalkan program Merakyat Ekonomi Selangor (MES) kepada rakyat seluruh negeri.

"Penganjurannya juga bertujuan memupuk semangat muhibah masyarakat setempat dengan PBT serta memperkenalkan produk Kerajaan Negeri kepada rakyat.

"Kita juga mahu mewujudkan peluang ekonomi masyarakat setempat serta membantu golongan muda dan masyarakat kurang bernasib baik menerusi bantuan juga sumbangan," katanya pada sidang media di pejabatnya, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

IMG_0674

Katanya, penganjuran itu turut memfokuskan pameran daripada agensi kerajaan, syarikat milik Kerajaan Negeri dan badan bukan kerajaan (NG0).

Festival itu juga bakal dimeriahkan dengan persembahan selebriti tempatan dan artis budaya PBT seluruh Selangor bagi menarik golongan muda untuk turut sama memeriahkan program tersebut.

"Program ini tidak mencakupi aspek politik kerana sasaran kita untuk menghidupkan 'mood' karnival kepada pengunjung. Kita berharap rakyat memahami usaha Kerajaan Negeri untuk terus memperkenalkan pelbagai program dan produk kita demi kebajikan rakyat," katanya.

Dalam perkembangan itu, penganjuran festival berkenaan disokong sepenuhnya Usahawan Koperasi Selayang Berhad menerusi penglibatan 60 sekretariatnya di setiap lokasi karnival.

Dijangka, sejumlah peruntukan RM180,000 diperuntukan Usahawan Koperasi Selayang Berhad bagi penganjuran festival di setiap lokasi.

Festival bermula di Pantai Bagan Lalang (Majlis Perbandaran Sepang) pada 16 hingga 18 September, Stadium Kajang (Majlis Perbandaran Kajang), 27 hingga 30 Oktober dan Stadium Pandaramaran (Majlis Perbandaran Klang), 24 hingga 27 November ini.

Seterusnya, festival itu diadakan di Padang Awam Batu Caves (Majlis Perbandaran Selayang), 24 hingga 27 November ini sebelum kemuncak program di Stadium Shah Alam (Majlis Bandaraya Shah Alam) pada 26 Disember hingga 1 Januari 2017.

Nik Abduh paling layak berhujah tentang Nik Aziz, bukan Husam - MUAFAKAT

Posted: 06 Sep 2016 10:37 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tindakan bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa mempergunakan nama Nik Aziz Nik Mat dalam karier politiknya muktahir ini menunjukkan beliau seorang yang terdesak meraih sokongan.
 
Husam, sepatutnya berhujah mengikut peredaran semasa bersama fakta, bukannya mempergunakan nama tokoh politik yang sudah meninggal dunia, demikian menurut Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ismail Mina.
 
Ismail yang juga ahli PAS seumur hidup hari ini mempersoalkan tindakan ahli baru Amanah itu.
 
Menurut beliau, Nik Abduh merupakan orang yang paling layak untuk menerima wasiat tentang masa depan PAS setelah ketiadaan Almarhum Nik Aziz, bukannya Husam. 
 
Ini kerana Nik Abduh merupakan orang yang paling rapat semasa hayat bekas mursyidul am itu.
 
"Pertamanya, kenyataan(Husam) ini lucu. Kenapa disebut kepada orang yang dah meninggal? Kalau benar Tok Guru Nik Aziz mewasiatkan demikian, maka orang yang paling aula yang paling utama dia wasiatkan adalah anaknya Nik Abduh. Orang yang hari-hari bersama dengan dia, dekat dengan dia.
 
"Desperate(terdesak), saya setuju.Depa (mereka) ni sudah desperate, jadi terpaksa guna nama besar.
 
"Kita berhujah (sepatutnya) ikut waktu semasa, ada fakta," katanya ketika dihubungai Antarapos.
 
Husam sebelum ini mendakwa bahawa bekas Mursyidul Am PAS, Almarhum Nik Aziz Nik Mat akan bersama dengan beliau untuk menyertai Amanah sekiranya tokoh PAS itu masih hidup.
 
Beliau membuat kenyataan tersebut di Cyberjaya ketika majlis penyertaannya bersama Amanah secara rasmi.
 
Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut memakan diri bekas Naib Presiden PAS itu yang dikatakan 'menjual' nama Nik Aziz.
 
Meskipun pernah menjadi pengkritik tegar Nik Aziz, Ismail Mina tidak bersetuju dengan tindakan Husam.
 
Menurut beliau, parti baru yang disertai oleh Husam itu bertentangan dengan cara perjuangan Nik Aziz.
 
"Nik Aziz dia benar-benar nak mendaulatkan Islam dengan cara yang kita semua faham, tidak sedemikian (Amanah) yang menyimpang daripada hasrat Tok Guru Nik Aziz.
 
"Yang keluar dari PAS tu berapa orang saja, jadi takkanlah yang ramai-ramai ahli (masih) dalam PAS tu tidak tahu bagaimana cara perjuangan Nik Aziz, berbeza dengan Amanah ini," katanya lagi.
 
 

Indonesia tundukkan Malaysia 3-0 dalam aksi persahabatan

Posted: 06 Sep 2016 10:35 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SOLO: Malaysia tumpas kepada Indonesia dengan jaringan 3-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Manahan di sini semalam. 
 
Dua gol pantas Indonesia di awal permainan sudah cukup meleburkan cabaran Malaysia sebelum tuan rumah melengkapkan gol ketiga pada pertengahan babak pertama.
 
Biarpun tuan rumah sudah setahun tidak beraksi dalam perlawanan antarabangsa akibat penggantungan, skuad Garuda jelas bagai pasukan yang lapar sehingga mudah membaham pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee.
 
Laluan pasukan negara mula nampak sukar seawal minit keenam apabila ketua pasukan, Boas Salossa membuka jaringan apabila pertahanan Malaysia gagal mengawal pergerakannya dari garisan tengah.
 
Belum pun reda sorakan penonton, kelalaian pertahanan skuad Harimau Malaysia sekali lagi dihukum empat minit kemudian, kali ini menerusi jaringan penyerang Irfan Haarys Bachdim.
 
Segala kebangkitan yang diharapkan skuad negara menjadi semakin pudar apabila pergerakan pantas pasukan Indonesia memaksa pemain negara berkampung di kawasan sendiri.
 
Akhirnya Boas sekali lagi menjadi pemusnah apabila bertindak pantas membawa bola secara solo dalam kotak penalti dan menghasilkan gol ketiga untuk Indonesia pada minit ke-21.
 
Babak kedua menyaksikan perubahan pada pasukan Malaysia dengan mula menguasai permainan dan melancarkan serangan demi serangan, namun kekentalan pertahanan Indonesia berjaya menyekat serangan pelawat.
 
Indonesia yang tampil lebih defensif berjaya mengekalkan kedudukan 3-0 sehingga tamat permainan

Replika Helang: Rais saran perbincangan mendalam dibuat sebelum roboh

Posted: 06 Sep 2016 10:34 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUANTAN: Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim menyarakan satu perbincangan dengan mengambil kira nilai estetika Islam perlu dilakukan sebelum merobohkan replika burung helang di Dataran Lang, Langkawi, Kedah.
 
Ujarnya, ini berikutan replika burung itu sebelum ini menjadi simbol keindahan tarikan pelancongan di Kedah dan bukannya disembah mana-mana pihak.
 
"Keindahan yang dilihat menerusi kaca mata Islam itu tetap ada, bukan tidak ada. Kita harus mengambil iktibar daripada nas bahawa Allah itu menyukai benda-benda yang cantik dan indah, jadi hal itu (cadangan meroboh replika helang) perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira hal ini," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Perubatan Pakar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)(IMSC) di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi IMSC Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Rektor UIAM Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin.
 
Isu replika helang hangat selepas Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim mengeluarkan kenyataan bahawa pembinaan replika berkenaan sebagai mercu tanda adalah haram kerana menyerupai bentuk haiwan hidup dan ia wajar dirobohkan.
 
Mengulas lanjut, Rais yang juga Presiden UIAM berkata cadangan merobohkan replika helang itu perlu dibincangkan sebaik mungkin kerana perlu mengambil kira kewujudaan Tugu Negara di Kuala Lumpur dan patung kucing di Kuching, Sarawak, misalnya.
 
Beliau berkata pihak berkuasa perlu berfikir secara mendalam berhubung cadangan berkenaan demi membina sahsiah budaya dan kemasyarakatan di negara ini.
 
 

Anwar-Mahathir berjabat tangan tanda damai atau muslihat?

Posted: 06 Sep 2016 10:28 PM PDT

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 

[ULASAN] Episod pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan anak didiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah lapan belas tahun dua hari berenggang dan saling bermusuhan dalam politik Malaysia kelmarin meninggalkan banyak tanda tanya.

Sebenarnya, pertemuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu bertema politik. Lantaran itu persoalan yang menyusul ialah di antara mereka, siapakah dalam senario politik hari ini yang memerlukan siapa?

Latar pertemuan mereka adalah jelas politik. Anwar memohon injunksi untuk menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 kerana percaya ia bertentangan dengan semangat Perlembagaan Negara.

Sementara Mahathir pula mendakwa bahawa beliau hadir di mahkamah untuk menunjukkan sokongan kepada usaha Anwar itu dan tidak semestinya mahu berbaik semula dengan Anwar. Umum itu hanya jawapan politik.

"Saya bukannya berdamai dengannya. Saya tak boleh kata kami berkawan.  Tetapi kami ada berbual.

"Saya berminat dengan kes ini kerana ia membabitkan keselamatan negara. Perkara ini pun ada ditulis dalam blog saya," kata Dr Mahathir.

Jika pertemuan itu adalah satu kebetulan dan bukan bertunjangkan motif politik, mengapa kedua bekas pemimpin itu dalam masa yang singkat bertemu dua kali di mahkamah berkenaan?.

Mereka pada mulanya bertemu di galeri awam. Setelah Anwar dibawa masuk ke bilik saksi oleh pegawai penjara, Mahathir dilihat memasuki bilik sama dengan ditemani oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Lebih kurang 20 minit kemudian, Mahathir keluar dari bilik saksi dan meninggalkan mahkamah. Mahathir tidak menunggu sidang bermula. Maka kesimpulannya, pertemuan itu memang ada sisi politiknya.

Nampaknya pertemuan mereka ini diatur. Sudah tentu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali boleh menjawab persoalan pertemuan itu satu kebetulan atau memang beliau sendiri yang mengaturkannya.

Sememangnya, Azmin memang rapat dengan Mahathir. Azmin bekerja dengan Anwar sehingga beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri. Khabarnya Mahathirlah yang meminta Anwar mengambil Azmin menjadi pembantunya.

Ada juga khabar lain mengatakan Azmin anak angkat Mahathir. Maka tidak janggal jika Azmin yang mengatur pertemuan itu. Mengekori hal ini ialah, siapa yang meminta pertemuan itu diadakan. Anwar atau Mahathir?

Anwar sentiasa melaungkan dakwaan bahawa beliau dipecat pada 1998 dari kerajaan dan Umno kerana difitnah penyokong-penyokong Mahathir yang iri hati dengan hubungan beliau yang begitu rapat dengan Mahathir.

Mahathir sebaliknya mendakwa beliau tidak boleh mengizinkan Anwar menjadi penggantinya sebagai presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia  kerana Anwar mempunyai moral yang buruk kerana terbabit kegiatan homoseksual.

Maknanya, bagi Mahathir tidak mungkin beliau mahu merendahkan neraca nilainya hidupnya dengan mahu berbaik semula dengan Anwar yang terang-terang dianggapnya seorang peliwat.

Anwar pula masih tegas mengatakan bahawa pemecatannya 18 tahun ialah fitnah dan orang paling percaya fitnah itu adalah Mahathir. Akibatnya beliau dipenjara dari 1998 hingga 2004.

Dilihat dari perspektif ini agak kurang cerdik jika dibaca bahawa Anwarlah sebenarnya mahu menemui Mahathir.

Ini kerana lantaran Mahathirlah beliau tersekat kerjaya politiknya dan keluarganya pula diaibkan.

Namun ada pihak yang berteori bahawa Anwar sebenarnya ingin tahu betapa tulen dan luhurnya komitmen Mahathir mahu menumbangkan Umno daripada mulut Mahathir sendiri.

Kononnya Anwar mahu menilai seberapa tegarnya Mahathir mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan ingin bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan pembangkang amnya.

Hujah penyokong golongan ini ialah, Anwar pernah membantutkan percubaan menggerakkan Deklarasi Rakyat Mahathir melalui surat khususnya kepada pemimpin PKR supaya berhati-hati dengan politik licik Mahathir.

Akibatnya sokongan PKR pada deklarasi itu menjadi hambar. Berikutan itu Mahathir merintis peluang baru dengan menubuhkan parti Pribumi Bersatu dan menyatakan masih ghairah bekerjasama dengan pembangkang lain.

Lantas bolehkah pertemuan 20 minit itu diertikan sebagai satu temuduga oleh Anwar ke atas Mahathir bagi menentukan sama ada beliau layak memimpin angkatan pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang?

Anwar insaf dalam keadaan sekarang beliau tidak berpeluang memimpin barisan pembangkang dalam pilihanraya umum ke-14. Beliau juga akur kini tiada tokoh lain boleh menggantikan tempatnya; kecuali mungkin Mahathir.

Maka tidak hairanlah jika Anwar meminta Azmin mengatur pertemuan itu walaupun beliau tidak mungkin lupa dan terlepas pandang keberangkalian "hati kering" Mahathir akan mendorongnya "belot" jika pembangkang berjaya kelak.

Mungkinkah dalam pertemuan itu Anwar membentangkan syarat-syarat yang perlu Mahathir patuhi jika mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan parti pembangkang lainnya?

Yang pasti matlamat perjuangan Anwar dan Mahathir berbeza. Mahathir hanya mahu menjatuhkan Najib yang dianggap anak didik yang derhaka. Seraya itu beliau sekaligus mahu melampiaskan kekecewaannya terhadap Umno.

Mahathir mahu dan sanggup meruntuhkan Umno. Bagaimanapun Anwar mengimpikan natijah lebih besar daripada itu – reformasi sistem kerajaan. Anwar mahu perubahan total tetapi matlamat Mahathir hanyalah Najib.

Sememangnya naluri dan ftrah politik Mahathir sentiasa mahu menang dan menjadi pemimpin. Anwar sudah mengingatkan ahli pemimpin PKR akan betapa liciknya politik Mahathir. Hal itu tidak mungkin dilupai Mahathir.

Rekod Mahathir menunjukkan beliau tergamak menggunakan platform PAS ketika menentang Tunku Abdul Rahman hingga dipecat dari Umno.

Mahathir bergabung dengan Bersih walaupun mengutuk gerakan politik jalanan bila rakyat bangkit mempertahankan Anwar pada 1998.

Mahathir penganut fahaman politik Machiavelli di mana matlamat menghalalkan cara. Beliau mahu menang sentiasa. Kini jika perlu berkompromi dengan seorang yang dianggap peliwat, beliau sanggup melakukannya asal hasratnya tercapai.

Namun agak mustahil Anwar mahu merelakan Mahathir memimpin pembangkang. Mungkin Anwar hanya mahu mempamerkan beliau berjiwa besar dan membina persepsi yang bolehmemuncakkan aura politiknya.

Bagaimanapun Mahathir tetap Mahathir. Beliau menegur dan bertolak ansur dengan Najib pada permulaannya kerana mahu melontarkan imej mentor politik yang berwawasan sebab beliaulah yang memilih Najib jadi perdana menteri.

Bagaimanapun apabila Najib melawan dan kemudian bertindak balas, Mahathir sanggup keluar parti dan kini menggunakan apa jua cara untuk membakar Umno sampai rentong; dan tidak terkecuali Anwar Ibrahim sendiri.

Anwar mungkin mahu menggunakan faktor Mahathir bagi menjalin kerjasama di kalangan pembangkang hanya untuk memenangi pilihanraya umum akan datang. Ketika itu beliau berkira sudah bebas dari penjara.

Namun Mahathir pula sudah tentu sudah ada lakaran strategi licik untuk memastikan kesudahan drama politik ini akan memihak padanya. Sudah tiga kali Mahathir keluar Umno. Apapun beliau pasti mahu kembali pada Umno.

Anwar atau Mahathir adalah pelaku politik yang sukar diramal pemikiran dan sasaran politik mereka kerana masing-masing pandai menggunakan topeng politik yang pelbagai.

Jika pisang diizin berbuah dua kali, semakin jauhlah nampaknya harapan pembangkang mencipta kemenangan dalam pilihanraya umum ke-14 dan semakin hampir pula berkubur impian reformasi di negara ini.


Tan Sri, Datuk Seri seleweng RM15 juta didakwa pagi ini

Posted: 06 Sep 2016 10:18 PM PDT

Bernama


Pengerusi sebuah bank bergelar 'Tan Sri' dan Pengarah Urusan bank sama bergelar 'Datuk' akan didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pagi ini berhubung kes penyelewengan dana penerbitan buku bernilai hampir RM15 juta.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki berkata kedua-dua mereka akan didakwa atas beberapa pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan.

Pada 30 Ogos lepas, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman lelaki berusia 65 tahun bergelar Tan Sri itu selama tujuh hari sehingga 5 Sept bagi membantu kes penyelewengan dana penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.

Lelaki bergelar Datuk berusia 48 tahun itu pula ditahan reman tiga hari bermula 26 Ogos oleh mahkamah sama bagi membantu siasatan kes sama.- Bernama



UMPAMA TERSARUNG STOKIN BUSUK

Posted: 06 Sep 2016 10:17 PM PDT

shahbudindotcom

Masih kedapatan sebenarnya pemimpin-pemimpin UMNO, selain yang berjawatan Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen, yang tetap mengharapkan Najib Razak dapat meletak jawatan sebelum pilihanraya akan datang dan seterusnya memberi laluan kepada orang lain mengambil alih tempatnya.

Setelah pertemuan dan berbaiknya semula Tun Mahathir Mohamad dengan Anwar, tidak sedikit yang jadi susah hati dan semakin hilang keyakinan mengenai masa depan UMNO dan BN.

Mereka kini melihat masa depan UMNO, selagi dipimpin Najib, semakin kabur dan tidak menentu masa depannya.

Di sebalik Zahid Hamidi mengatakan pertemuan dengan Anwar itu sebagai tidak ikhlas dan langkah terdesak Tun Mahathir untuk meraih sokongan pembangkang, kata mereka, apakah UMNO dan BN tidak jadi terdesak setelah melihat kedua-dua pemimpin itu berbaik semula?

Jika pada 2013, Anwar Ibrahim berjaya menjadikan 52 peratus undi popular rakyat memihak kepada pembangkang, apakah dengan adanya Tun Mahathir dan Muhyiddin Yassin bersama mereka, tidak mungkin angka itu menginjak kepada 65 peratus, 70 peratus atau lebih daripada itu?

Realiti itu tidaklah sukar untuk difahami. Bukan saja pemimpin pertengahan atau ahli-ahli biasa saja yang mudah memahaminya, malah majoriti Ketua Bahagian, Ahli Parlimen dan menteri-menteri UMNO  juga sedar mengenainya. 

Tetapi, ibarat "sudah tersarung stokin busuk", itulah yang terjadi kepada pemimpin-pemimpin UMNO. Tidak ramai yang mahu memakai stokin busuk kerana ia membuatkan seseorang tidak selesa dan hilang keyakinan diri sepanjang hari.

Kadang-kadang,  disebabkan kesibukan dan tidak cermat, kerapkali antara kita tersarung  stokin busuk yang sudah beberapa hari tidak dibasuh. Ia memang tidak menyelesakan, malah merimaskan. 

Mahu ditanggal dan berkasut tanpa stokin, lagi kelihatan janggal. Mahu pergi ke kedai dan menukarnya di sana, terasa malu pula kerana baunya yang semerbak itu.

Mahu tidak mahu, jika sudah tersarung stokin busuk, terpaksalah seseorang itu memakainya sepanjang hari sehingga balik ke rumah pada lewat petang atau malamnya.

Itulah dilema pemimpin-pemimpin UMNO sekarang. Dalam UMNO hanya Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen yang benar-benar ada kuasa menyingkirkan Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Namun, mereka ini majoritinya sudah termakan budi Najib. Ada yang diberikan duit jutaan ringgit seperti yang berlaku kepada Shahrir Samad dan  Ahmad Maslan. Tun Mahathir ada menyebut sebelum ini, jika Shahrir Samad dan Ahmad Maslan menerima duit daripada Najib, adalah janggal jika Ketua Bahagian lain tidak diberikan sama duit oleh Najib.

Ada pula yang diberikan jawatan seperti menteri, timbalan menteri atau pengerusi syarikat GLC supaya jadi termakan budi dengan Najib. Yang lain-lain, diberikan pula kontrak, peluang perniagaan, anugerah gelaran dan pelbagai lagi. Pendeknya, di kalangan Ketua Bahagian UMNO dan Ahli Parlimen, tidak ada yang terkecuali daripada menerima habuan masing-masing.

Oleh kerana sudah termakan budi dan menjadikan mereka seperti seseorang yang tersarung stokin busuk tadi, apa lagi yang mampu mereka lakukan. Tidak selesa atau rimas, mereka akan terus memakainya biar bagaimana besar sekali pun masalah yang ditimbulkan oleh Najib.

Bukan mereka tidak sedar beban yang dibawa Najib kepada UMNO dan kerajaan. Bukan mereka tidak sedar  UMNO kini diambang kehancuran dan negara kian dipandang jelek di peringkat antarabangsa. Mereka tiada pilihan selain terpaksa menyokong dan mempertahankan Najib sehingga ke penghujung perjuangan.

Sebab itu, Tun Mahathir berulangkali menyatakan UMNO kini sudah jadi parti Najib. Yang dipertahankan bukan lagi UMNO, tetapi Najib. Selagi Najib ada, mereka akan terus mempertahankannya meskipun sedar ketidakselesaan yang diakibatkan olehnya sebagaimana tidak selesanya apabila tersarung stokin yang sudah busuk.

Kini, rakyat dan pengundilah yang mampu menjadikan peratusan 65, 70 atau lebih daripada itu benar-benar menjadi kenyataan supaya pemimpin tidak terus dipertahankan sepertimana seseorang tidak mahu menanggalkan stokin busuknya.


Kenapa diskaun rumah bumiputera tak berguna

Posted: 06 Sep 2016 10:17 PM PDT

Salkukhairi Abd Sukor


Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) melihat polisi baru kerajaan negeri Selangor yang mewajibkan pemaju membina unit mampu milik dalam setiap pembinaan pangsapuri perkhidmatan, SOHO (rumah pejabat) dan Sovo (pejabat maya di rumah) sebagai langkah ke arah perlaksanaan kawalan harga rumah.

Polisi tersebut selari dengan cadangan HartaGuam sebelum ini yang mahukan kerajaan sama ada kerajaan negeri mahu pun persekutuan, memperkenalkan harga siling sesuatu harta tanah untuk mengawal harganya yang makin meningkat dari tahun ke tahun.

Dasar itu juga sewajarnya diperluas untuk kesemua jenis hartanah kediaman di negeri tersebut dan bukannya sekadar terhad untuk unit pangsapuri perkhidmatan, SOHO dan Sovo sahaja.

Melalui dasar itu, dilaporkan pemaju diwajibkan membina 10 hingga 20 peratus unit mampu milik pada harga RM230,000 hingga RM270,000 berbanding harga jualan hartanah SOHO dan Sovo yang kini melebihi RM450,000 hingga RM500,000.

Walaupun melalui dasar itu kerajaan negeri telah "menghapuskan" diskaun 10 peratus pembelian harta tanah untuk bumiputera, ia dilihat tidak akan memberikan kesan terhadap pemilikan harta tanah oleh bumiputera.

Tiada guna menawarkan diskaun kepada bumiputera sedangkan harga jualan asal harta tanah yang ditawarkan oleh pemaju sejak daripada awal lagi memang tidak mampu dimiliki oleh golongan tersebut, khususnya belia.

Perlu perincian

Misalnya, jika harga jualan asal untuk sesuatu harta tanah pun sudah melebihi RM500,000, jika diskaun 10 peratus ditawarkan kepada bumiputera sekalipun, ia tetap tidak mampu dimiliki golongan bumiputera berpendapatan sederhana.

Akhirnya apabila tiada golongan bumiputera yang mampu membeli, harta tanah tersebut akan ditawarkan kepada golongan bukan bumiputera.

Sebaliknya, menetapkan harga siling untuk bumiputera bagi sesuatu projek perumahan baru mampu memberi peluang kepada golongan bumiputera berpendapatan sederhana memiliki rumah.

Pun begitu, dasar kerajaan negeri tersebut tidak harus hanya sekadar terhenti setakat itu sahaja.

Ia perlu diperincikan dengan lebih teliti supaya tiada pihak cuba mengambil kesempatan dengan membeli harta tanah tersebut secara pukal dan kemudian menjualnya kepada orang ramai dengan harga lebih mahal.
Kuota tersebut seharusnya dihadkan untuk golongan berpendapatan sederhana yang masih belum memiliki rumah sahaja.

Dasar 'harga patut'

Proses pemilihan juga haruslah dikaji dan diperketatkan untuk memastikan hanya golongan yang berhak sahaja dibenarkan membeli harta tanah dalam kategori tersebut.

Yang paling penting, kerajaan negeri perlu memberi latihan dan pendedahan awal secara percuma kepada golongan belia atau golongan bumiputera berpendapatan sederhana.

Ini supaya mereka merancang dan menguruskan pendapatan serta kewangan dengan baik sebelum membuat keputusan membeli harta tanah dalam kategori harga tersebut.

Apalah gunanya dasar "harga patut" diperkenalkan dengan matlamat supaya lebih ramai golongan belia dan berpendapatan sederhana memiliki harta tanah sendiri, tetapi semuanya tidak lepas dari segi pembiayaan perumahan dengan bank.

Ini disebabkan kegagalan mereka merancang dan menguruskan pendapatan dan kewangan mereka dengan baik sejak daripada awal lagi.

Sudah pasti dasar tersebut tidak akan mencapai sasaran yang diharap-harapkan.

SALKUKHAIRI BIN ABD SUKOR presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam).

Hujan lebat, LRT kandas perangkap warga kota pagi ini

Posted: 06 Sep 2016 10:12 PM PDT

MALAYSIAKINI


Ramai warga kota terkandas ketika masa puncak untuk ke tempat kerja hari ini susulan gangguan teknikal kereta api LRT dan hujan lebat.

Dilaporkan terdapat gangguan tenaga elektrik di laluan Kelana Jaya dari Masjid Jamek ke Ampang Park.
Hujan lebat pula menyebabkan ramai pengguna kenderaan sangkut dalam kesesakan lalu lintas.

Malah berlaku kemalangan di Lebuh Raya Elite yang menyebabkan trafik perlahan dari Putrajaya ke Seafield, menurut Lembaga Lebuh Raya Malaysia.

Sementara jalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, berlaku kelewatan kira-kira sejam dari Citta Mall ke Lebuh Raya Persekutuan, juga kerana kemalangan jalan raya
.
Di LRT, RapidKL dilapor menyediakan bas untuk membawa penumpang yang terjejas.
 
9.10am ELITE : Kemalangan di KM 7 NB menyebabkan trafik perlahan dari Putrajaya ke Seafield. Berhati-hati memandu.



Demo BERSIH 5 pada November ini

Posted: 06 Sep 2016 10:08 PM PDT

Kow Gah Chie  


LIHAT VIDEO DI SINI

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah mengumumkan BERSIH 5 akan diadakan pada November depan.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan tarikh tepat buat masa ini.

"Kita akan ada BERSIH 5 pada November ini.

"Saya tidak akan beritahu kamu tarikhnya," katanya ketika ditemui di Putrajaya hari ini.

Gabungan proreformasi sistem pilihan raya akan mengadakan sidang media pada 14 September depan bagi mengumumkan tarikh itu.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa BERSIH sudah mengenal pasti dua hari cuti hujung minggu untuk himpunan besar itu.

'PAS tak runding PKR, kekal kerusi PRU lalu'

Posted: 06 Sep 2016 10:05 PM PDT

Anne Muhammad 


Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman menafikan parti itu berunding dengan PKR untuk menentukan pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Katanya PAS dan PKR kekal dengan kerusi masing-masing dan kini terserah kepada DAP untuk memberi kerusi kepada Parti Amanah Negara (AMANAH).

"Setakat yang kita (PAS) dan PKR setuju, semua kerusi kita kekal sebagaimana yang sedia ada mengikut PRU13.

"Kita tak akan bagi kerusi, tumpuan PKR adalah kerusi PKR dan tumpuan PAS adalah kerusi PAS. Sekarang terpulang pada DAP lah kalau dia nak bagi kerusi pada AMANAH," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan akar umbi AMANAH yang mendakwa PAS kini menggunakan PKR untuk membuat rundingan bagi pihaknya dalam menentukan kerusi untuk ditandingi pada PRU14.

Semalam Naib Ketua AMANAH Sepang, Abdul Halim Mohd Sharif turut memberi amaran kepada PAS supaya jangan sekali-kali mencampuri dan memperkudakan PKR dalam rundingan kerusi yang melibatkan parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Pada masa sama, Abdul Halim turut menggesa PKR menyatakan pendirian mereka sama ada mahu terus 'bersekongkol' dengan PAS atau meninggalkan AMANAH bersama DAP dalam gabungan itu.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin yang juga ADUN Paya Jaras berkata beliau tidak tahu mengapa AMANAH mengeluarkan kenyataan sedemikian, namun PAS tidak akan melayan perkara tersebut.

"Dia boleh cakap apa dia nak cakap sebab dia tak ada kerusi. Kita tak akan layan kata-kata macam tu sebab kita tak ada kepentingan dengan AMANAH.

"(Dan) kita tak perlu berunding sebab kita dah ada kerusi," tegasnya.

Pada PRU13, Pakatan Rakyat- gabungan parti PAS, PKR dan DAP memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

PKR memenangi 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi. BN memenangi 12 kerusi.

Demi Malaysia : Pertautan Dua Tiang Seri Politik Malaysia

Posted: 06 Sep 2016 09:59 PM PDT


Oleh Husam Musa    




Saya sudah impikan dua tokoh yang bersalingan selama 19 tahun untuk kembali duduk sebaris. Saya nyatakan 'mimpi' saya itu dalam ucapan saya di depan Tun dalam majlis ceramah Tun yang pertama di atas pentas Pakatan di Pandan, awal Mac tahun ini.

YB Rafizi menjadi tuan rumah ceramah tersebut dan ia adalah ceramah Tun yang pertama selepas secara rasminya Deklarasi Rakyat dilancarkan.

Tun M dan Tun Hasmah hanya tersenyum.

Saya hanya memberanikan diri dan berharap ia menjadi katalis Tun dan Kak Wan untuk menerimanya. Kak Wan tidak ada dalam majlis pada malam itu tetapi saya berharap kata-kata itu sampai ke pengetahuan beliau.

Itu yang saya mampu lakukan untuk melihat dua elemen yang dulunya sangat serasi tetapi kemudian bertentangan atas pengaruh keadaan, untuk kembali mencari _'sinergi ying dan yang'_ politik Malaysia.
Keadaan negara masa kini sangat memerlukan sinergi itu.

Malaysia telah kehilangan proses pergantian pemimpin mengikut jalur natural untuk satu tempoh yang panjang.

Ini juga yang telah membawa kepada politik Malaysia yang bersimpang siur kini.

DSAI adalah _'natural successor'_ yang masih aktif. Ku Li dan Tun Musa telah berada di tepi gelanggang atas sebab tersendiri. Keguguran mereka antara lain telah mencipta _'vacuum'_ kepimpinan. Tun Ghafar pula telah pergi.

Anwar menggenggam idealisma politik tersendiri yang amat kukuh dalam jiwanya sehingga beliau tidak ingin mengalah untuk melihat Malaysia yang terus hebat.

Kehilangan proses penggantian pemimpin yang natural ini telah mencipta 'gap' dan 'vacuum'.

Adanya kekosongan dan lompang kepimpinan ini menjadi punca terbesar pemimpin kurang bersedia, terpaksa memikul tugas memimpin negara dengan kekurangan kejituan atau nilai kepimpinan kental yang diperlukan.

Malaysia masih memerlukan Anwar, selain TS Muhyidin untuk mengemudi negara ini keluar dari perairan berbatu dan bergelora pada masa ini.

Tetapi Anwar yang direstui oleh arkitek negara Malaysia yang masih cergas memerhatikan hala tuju negara - Tun M.

Kombinasi dua gergasi ini melengkapkan semula dua tenaga. *Sinergi*. Tenaga penyatuan.
Anwar dan Muhyidin pula telah pernah bergandingan.

Paling penting, Malaysia dapat diselamatkan.

*Demi Malaysia*

Tip elak bil telefon bimbit tinggi ketika tunaikan haji

Posted: 06 Sep 2016 09:49 PM PDT

DETIK DAILY




Warga Malaysia yang menunaikan haji dinasihatkan supaya tahu mengenai perkhidmatan perayauan antarabangsa dengan telefon mudah alih bagi mengelak menerima bil telefon yang tinggi bila pulang ke
tanah air

Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) berkata mereka perlu memahami bagaimana panggilan suara dan data perayauan antarabangsa berfungsi serta tahu caj bagi perkhidmatan berkenaan menggunakan pelan mudah alih mereka.

"Ini penting oleh kerana pengguna bertanggungjawab atas semua caj dikenakan semasa di luar negara oleh kerana perkhidmatan ini tidak saja melibatkan pembekal perkhidmatan di Malaysia tetapi juga rakan perayauan di negara yang mereka lawati," kata CFM dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai tip berhubung perayauan antarabangsa, CFM berkata jika pengguna hanya mahu menerima panggilan dan SMS semasa di luar negara, mereka boleh menutup terus data perayauan antarabangsa.

Pengguna hendaklah juga menyahaktif 'Sambungan automatik ke rangkaian' dan pastikan mereka sentiasa dihubungkan ke rakan perayauan pembekal perkhidmatan bagi menikmati kadar utama ini.

"Jika anda ingin terus berhubung hanya menggunakan Wifi, anda boleh memilih menukar mod telefon pintar ke mod 'Airplane' atau 'Flight', dan gunakan sepenuhnya WiFi awam yang boleh didapati," kata CFM.

Ia berkata pilihan lebih murah ialah mendapatkan kad SIM Saudi dan memilih pakej terbaik yang menepati kegunaan yang dirancang semasa di luar negara.
 
Ia juga menasihatkan pengguna membuat salinan semua maklumat kenalan dan data penting dalam telefon mereka, untuk kegunaan jika mereka kehilangan telefon pintar mereka.

"Ia turut menasihatkan pengguna sentiasa berbincang dengan pembekal perkhidmatan tempatan sebelum melawat ke luar negara agar mereka tahu dan faham sepenuhnya tentang semua caj yang dikenakan," ujar CFM.- Bernama
 
 

Huluran tangan Tun, Anwar: Ancaman buat BN

Posted: 06 Sep 2016 05:57 PM PDT

Aksi bersalaman Tun M-Anwar trending di media sosial
Gambar bersalaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi viral di media sosial. - Sumber foto Facebook
 
 
SHAH ALAM – Huluran tangan antara dua seteru hampir dua dekad lamanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, disifatkan sebagai satu amaran jelas kepada BN.

Penganalisis politik menjangkakan peristiwa itu mungkin menjadi titik perubahan landskap politik dalam kalangan pembangkang dan politik tanah air.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata titik sejarah itu perlu dipandang serius oleh BN kerana pertemuan itu bukan sekadar untuk menghantar mesej kepada kepimpinan dalam pembangkang tetapi juga amaran kepada kerajaan.

"Sebelum mereka bertindak untuk bertemu itu, pastinya mereka sudah membuat suatu perkiraan yang menyeluruh. Untuk itu BN perlu berhati-hati dan melihat perkembangan tindakan selanjutnya oleh kedua-dua pemimpin ini.

"Jelas bukan mudah utk Mahathir sendiri mengunjungi, bersalaman dan berbicara dengan seteru politiknya selepas 18 tahun Anwar dipecat. Maksudnya, pasti ada sesuatu yang menggerakkan beliau untuk meleburkan ego politiknya sehingga bersedia membuka hatinya kepada orang yang pernah dimasukkannya ke penjara...sesuatu yang amat penting dan kuat.

"Ini mungkin titik tolak yang memberi sinar baru kepada masa depan politik Malaysia dan menjurus ke arah kerjasama politik lebih bermakna dalam kalangan pembangkang bagi berdepan dengan BN dalam pilihan raya akan datang," katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, kehadiran Mahathir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikatakan sebagai tanda sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 menarik perhatian banyak pihak apatah lagi kedua-duanya bersalaman selepas 18 tahun bermusuhan.

Ketika diminta mengulas soal kehadirannya ke persidangan itu, Mahathir menafikan soal berbaik-baik namun mengulang beberapa kali kehadirannya ada kaitan dengan akta tersebut.

Dalam pada itu, Jeniri akui masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian namun sama ada pertemuan itu bakal mencoret sejarah baharu dalam landskap politik tanah air atau tidak, ia bergantung kepada perkembangan selanjutnya pasca pertemuan tersebut.

"Bergantung pada bagaimana perkembangan politik atau tindakan yang akan diambil Mahathir dan kumpulan Anwar dalam minggu-minggu yang akan datang.

"Kalau ada sesuatu yang konkrit berlaku dari segi kerjasama dalam kalangan parti politik pembangkang ini, kemungkinan kita dapat mengharapkan sesuatu yang lebih bermakna kerana mereka tidak ada pilihan sebenarnya jika betul-betul nak menumbangkan BN kecuali bersatu dari segi hati dan strategi. Ini juga termasuk dengan memastikan Pas berada di pihak mereka," katanya.

Sementara Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan melahirkan keyakinan pertemuan itu bukan sekadar atas alasan MKN.

"Kalau sekadar nak menyokong isu MKN ini satu sahaja, satu kenyataan media sudah cukup daripada pihak Tun Mahathir. Mungkin itu (sokongan kes MKN) kenyataan politik yang dikeluarkan tapi hakikatnya lebih besar," katanya.

Melihat kepada suasana itu, beliau melihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu segera mengambil peluang memainkan peranan atas pertemuan itu.

"Saya lihat Bersatu ini agak perlahan dalam gerak kerjanya. Sebelah Anwar memang sudah lama bergerak tetapi di sebelah Tun Mahathir ini nampaknya...kalau Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum diumumkan penubuhan lagi, mereka sudah buat kerja.

"Bersatu ini sudah memohon untuk daftar pun tapi kelihatan masih tidak bergerak lagi. Bersatu kena tunjuk bahawa parti itu hidup," katanya.

Beliau yang melihat pertemuan itu sebagai bukti dalam politik tidak ada kawan atau musuh selama-lamanya juga percaya Mahathir mengiktiraf Anwar itu mempunyai pengaruh yang besar dalam politik Malaysia.

"Dan untuk mencapai agenda Tun Mahathir, memang sokongan Anwar itu diperlukan.

"Mungkin kedua-duanya tak setuju antara satu sama lain sepenuhnya namun yang penting sekarang musuh mereka sama," katanya.

Mengulas kemungkinan ada penyokong yang tidak berkenan dengan pertemuan itu, Wan Saiful berkata, penyokong tidak ada keperluan untuk berbaik-baik antara satu sama lain.

"Mungkin ada yang tidak selesa, rasa tidak setuju kerana mereka ini seteru sekian lama tapi sekarang ini, ada musuh yang lebih besar daripada mereka berdua.

"Penyokong boleh kekal dengan pendirian mereka cuma perubahannya dengan pertemuan ini ialah musuh kedua-dua pihak itu menjadi sama iaitu Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri). Saya rasa dalam politik itu yang penting.

"Selagi mana musuh yang nak dilawan adalah entiti yang sama, pihak yang satu lagi ini tidak perlu berkawan pun, hanya perlu melawan musuh yang sama," katanya.


Tiada ulasan: