Selasa, 20 September 2016

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Pemergian 'Sang Murabbi' undang kesedihan ummah

Posted: 19 Sep 2016 08:09 PM PDT

Oleh USTAZ MOHAMMAD IBRAHIM 

TANGGAL 16 September, tatkala seluruh Malaysia meraikan Ulang Tahun Hari Malaysia, negara dikejutkan dengan pemergian insan yang digelar sebagai 'Murabbi Ummah' dan 'Mutiara Ummah', Tuan Guru Datuk Dr Haron Din Al-Hafiz.

Pemergian insan hebat ini disambut dengan tangisan oleh seluruh pejuang Islam di bumi Malaysia dan mereka yang cukup mengenali keperibadian dan ketokohan Almarhum Tuan Guru Dr Haron Din.

Tautan Rahmat melahirkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum khususnya kepada isteri dan anak-anak almarhum yang sesungguhnya sedang bersedih dengan kehilangan insan yang juga menjadi 'bapa ummah' ini.

Tautan Rahmat merasai kehilangan ini, apatah lagi Almarhum Tuan Guru Dr Haron Din adalah insan yang pertama merestui dan merasmikan pertubuhan ini pada September 2014 di Surau An Nur, Bandar Baharu Bangi.

Dua tahun lalu, Tautan Rahmat secara rasminya bergelar pertubuhan dan melalui tangan insan yang bergelar Murabbi Ummah itulah Tautan Rahmat mencipa rentak meredah onak badai melayarkan perjuangan membawa sinar dakwah di muka bumi Malaysia.

Sesungguhnya kami warga Tautan Rahmat akan terus merindui dirimu wahai Murabbi Ummah. Bersemadilah dirimu wahai mutiara ummah, kami akan meneruskan gemilang jalan dakwahmu yang dibina sekian lama. Alfaatihah.

Siapa pun kita, hidup biar beradab bukan biadab

Posted: 19 Sep 2016 08:01 PM PDT

Oleh HASSAN MOHD. NOOR

KETIKA seluruh umat Islam di Malaysia amat merasai kehilangan seorang tokoh ulama, ada pula suara-suara sumbang memberi komen yang menyakitkan hati dan menyinggung perasaan. Bukan sahaja tidak adil kepada orang yang telah meninggal dunia tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat seluruhnya. 

Banyak pihak yang menyentuh beberapa isu yang jelas berunsur sindiran. Ternyata golongan seperti ini, bukan Islam tidak memahami beberapa perkara berkaitan yang ditimbulkan melalui Twitter atau Facebook masing-masing. Persoalannya ada ayat-ayat itu kita tahu niat mereka bukan bersandarkan kepada pengetahuan yang terbatas dalam perkara berkaitan. Ini termasuk soal kematian itu adalah kuasa Allah, tidak kira di mana dan ketikanya seseorang itu berada. Begitu juga soal pengurusan jenazah.

Apabila 'ayat-ayat' itu dilontarkan, ia pasti menimbulkan kemarahan. Inilah bahana teknologi maklumat (IT) yang dalam sekelip mata sahaja, pandangan mereka yang dangkal itu tersebar luas ke seluruh pelosok negara malahan dunia. Bagaimana keadaan ini boleh berlaku dalam masyarakat yang hidup dengan pelbagai kaum dan agama? Di mana rasa hormat terhadap orang lain?

Islam hakikatnya mengajar umatnya menghormati jenazah tanpa mengira siapa mereka. Hormat jenazah itu sebagai nyawa atau manusia. Lihat dua hadis ini. Pertama riwayat Jabir bin Abdullah ra., ia berkata: Ada iringan jenazah lewat, lalu Rasulullah SAW berdiri menghormatinya dan kami ikut berdiri bersama. Kemudian kami berkata: Wahai Rasulullah, jenazah itu adalah jenazah Yahudi. Rasulullah SAW. bersabda: Sesungguhnya kematian itu menggetarkan, maka jika kalian melihat iringan jenazah, maka berdirilah. (Shahih Muslim No.1593).
Begitu juga dengan ha­dis riwayat Qais bin Saad ra. dan Sahal bin Hunaif ra.. Ketika mereka sedang berada di Qadisiyah, tiba-tiba ada iringan jenazah melewati mereka, maka keduanya berdiri. Lalu dikatakan kepada kedua­nya: Jenazah itu adalah termasuk penduduk setempat (yakni orang kafir). Mereka berdua berkata:
Sesungguhnya Rasulullah SAW. pernah dilewati iringan jenazah, lalu baginda berdiri. Ketika dikatakan: Jenazah itu Yahudi, Rasulullah SAW bersabda: Bukankah ia juga manusia?. (Shahih Muslim No.1596)
Adakah 'kejahilan' yang berlaku pada hari ini disebabkan kesilapan masyarakat Islam sendiri? Apakah usaha-usaha dakwah selama ini gagal atau terbatas kepada orang Melayu Islam semata-mata? Apa pula peranan parti-parti politik dalam membimbing masyarakat terutama anggota parti mereka supaya lebih saling hormat menghormati antara satu sama lain?

Sesungguhnya manusia tidak mempunyai kebebasan mutlak dalam melakukan tindakan atau mengeluarkan kenyataan. Amat malang, ada dalam kalangan masyarakat kita yang tidak sensitif dengan isu-isu berkaitan agama dan budaya sesuatu kaum. Ketika ada pihak begitu mudah melabelkan rasis terhadap orang Melayu Islam, di pihak mereka pula dengan mudah mengeluarkan kenyataan maki-hamun, berbaur perkauman yang mengundang kemarahan.

Provokasi yang menguji kesabaran. Apakah yang akan terjadi kepada sebuah negara seperti Malaysia yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan agama jika hal sebegini tidak dibendung?

Memang yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan menyakitkan hati itu sedikit bilangannya tetapi dalam era IT hari ini, pandangan seperti itu akan tersebar luas dalam sekelip mata. Bukan sedikit yang membaca dan kemudian tumpang 'cut & paste' untuk disebarkan kepada orang lain melalui WhatsApp, Twitter, Face­book dan pelbagai lagi. Setelah tersebar dan dipersoalkan, maka jawapan popular yang sering diterima itu bukan kenyataannya, kenyataan itu tidak bertujuan menghina sesiapa atau akaun digodam. Ada juga yang menuding jari kepada orang lain atau ibarat lempar batu sembunyi tangan.

Memang mudah memohon maaf apabila didesak berbuat demi­kian. Selak kembali berapa banyak kenyataan yang sudah diucapkan yang menimbulkan kemarahan tetapi akhirnya mereka tampil memohon maaf. Sudah menjadi seperti satu budaya masyarakat di negara ini termasuk dalam kalangan pemimpin parti politik yang mengeluarkan pelbagai kenyataan sensitif, menyinggung perasaan dan melukakan tanpa memikirkan kesan buruk­nya. Amat mudah mereka tampil di khalayak untuk memohon maaf.

Hakikatnya, sudah banyak hati yang terluka dengan kenyataan-kenyataan itu tetapi disebabkan kesabaran masih menguasai diri, maka semuanya berakhir begitu sahaja. Semangat yang memun­cak ketika marah beransur hilang. Kata orang, mereka sudah lali dengan kenyataan-kenyataan yang menghina, memperlekeh dan memperkecilkan.

Inilah keistimewaan rakyat Malaysia ter­utama orang Melayu yang tahap kesabarannya amat tinggi, Mereka masih mampu bertolak ansur walaupun hakikatnya mereka sudah terluka. Lebih-lebih lagi bagi orang Islam, umat yang pemaaf.Walaupun kesabaran itu sebahagian daripada iman dan insan pemaaf, sesuatu harus dilakukan supaya rakyat pelbagai kaum dapat mengukuhkan perpaduan dan keharmonian.

Didiklah masyarakat untuk memahami sensitiviti sesuatu kaum dan agama. Mungkin pihak-pihak berkenaan seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Institut Wasatiyyah Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada beragama Islam atau sebaliknya bergabung tenaga membimbing masyarakat supaya menghormati antara satu sama lain. Elakkan sebarang permusuhan dalam agama.

Perbezaan politik, agama dan kepercayaan tidak seharusnya menjadikan manusia hilang sifat kemanusiaan ketika berkata-kata. Bagi masyarakat Islam, mereka diasuh untuk menghormati orang lain. Konsep toleransi terserlah dalam Islam apabila umatnya diwajibkan menghormati orang bukan Islam. Agama dan akidah yang berbeza tidak boleh dijadikan halangan bagi mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.

Renungi firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang le­bih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Penge­tahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Tanpa mengira siapa pun kita, sama ada orang biasa atau pe­mimpin politik, berusahalah untuk tidak menyakiti orang lain. Ja­ngan jadikan agama sebagai alasan menimbulkan permusuhan sebaliknya jadikan ia sebagai jambatan perpaduan ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni serta saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Kisah kecil kami dan Tuan Guru Dr Haron Din

Posted: 19 Sep 2016 07:55 PM PDT

Oleh IMAM MUDA FAKHRUL 

MULA membuka mata di kala subuh hari di bumi Sudan. Hujan lebat membasahi bumi kering ini. Sebasah jiwa yang membungkam menangisi pemergian Murabbi Ummah Tuan Guru Datuk Dr Haron Din.

Insan yang terlalu banyak jasanya untuk Islam khususnya Pusat Dakwah Serantau yang kami sedang bina sudah masuk lima tahun. Almarhum adalah pengerusi majlis perunding Pusat Dakwah Serantau. Hasil usahanya memimpin kami dan Pusat Dakwah telah berjaya mengislamkan lebih 1000 orang di Malaysia, Indonesia, Kemboja dan lain-lain negara rantau ini. Hanya dalam masa 5 tahun.

Masih terpahat dalam ingatan ketika dalam mesyuarat majlis perunding membincangkan proses pembinaan kompleks Pusat Dakwah Serantau yang memakan belanja 25 juta. Salah seorang ahli mesyuarat bertanya dengan penuh keraguan, "macam mana kita nak cari 25 juta?" Spontan Almarhum menjawab "Minallah!", "Dari Allah!" Semua tersentak termotivasi dengan jawapan yang sangat meyakinkan. Allahu Akbar!

Alhamdulillah, dalam masa dua tahun Pusat Dakwah sudah mula dibina. Tanah sudah dibeli dan pembinaan sudah masuk fasa pertama. Pelajar pun sudah masuk pengambilan yang ke-6 dan anak didiknya sudah bertebaran di seluruh rantau asia menjadi selebriti langit mengajak insan kembali kepada Islam.

Kini kami mengorak langkah untuk menerbitkan Hidaya TV hasil sokongan kuat idea dan bantuan dari beliau. TV internet yang hanya fokus dakwah kepada yang belum Islam dengan pelbagai pendekatan.

Kini usaha sedang giat dilakukan dengan pelbagai penggambaran dan perbincangan. Masih teringat cukup semangat beliau membincangkan kandungan dan majlis pelancaran yang dicadangkannya besar-besaran. Malangnya beliau tidak sempat melihat hasilnya. Insya-Allah kami akan teruskan usaha ini. Semoga segala kebaikan dan pahala berterusan sampai kepadanya.

Terkadang rasa hairan di dalam jiwa. Bagaimana dia boleh menguruskan nyawanya sebegini hebat dalam keadaan dia sebagai seorang Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia PAS. Ketua Kluster Dakwah Kerajaan, Pengerusi Darul Syifa, Pengerusi Majlis Perunding Pusat Dakwah Serantau dan puluhan lagi tugas besar yang terpikul di bahunya.

Tiada jawapan lain kecuali kelebihan ini adalah karamah yang Allah berikan hanya kepada mereka yang terpilih.

Kini beliau telah meninggalkan kami walaupun kami masih lagi sangat memerlukannya. Allah lebih menyanyanginya. Walau di hujung dunia jasadmu dikebumikan tidak menjadi masalah kerana jiwamu sentiasa tertanam dihati dan doa kami.

Rehatlah wahai Murabbi Ummah daripada kekalutan dan makar dunia. Sudah bertahun dikau menanam. Kini tiba masanya menuai hasilnya. Bergembiralah menemui Pencipta dan Rasul-Nya. Senyumlah menemui para Murabbi yang sudah lama mendahului.

Semoga kami sentiasa istiqamah bersama jalan yang telah kau lalui. Tak dapat dibayangkan betapa seronoknya menemuimu kembali nanti dibelakang Rasul yang dirindui.

Damailah Murabbi Ummah..

اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه.....

Dari Al-Faqir IM Fakhrul, Khartoum Sudan.

Tuan Guru Dr Haron Din: Permata milik ummah

Posted: 19 Sep 2016 07:27 PM PDT

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR
 
Saat golongan intelektual selesa dengan kehidupan mereka dalam dekad 1970-an, beliau telah pun menjadi Ahli Jawatankuasa kerja PAS Pusat. Maestro dakwah ini membangunkan jamaah semenjak zaman mudanya, walaupun menjadi tenaga pensyarah di kampus Bangi yang saat itu masih berhutan tebal. Beliau membangunkan jamaah saat, sebahagian besar kelompok kelas menengah masih meragui keupayaan Parti Islam mengurus dan mentadbir negara.

Tokoh sarjana muslim ini bukan sahaja mencanai intelektualnya dengan puluhan buku dan ratusan kerta kerja di menara gading, namun menyumbang kepakarannya untuk masyarakat umum negara ini. Namanya mengharum dalam perubatan Islam, bukan sekadar beliau mengubati masyarakat yang sakit daripada sudut akidah tetapi melahirkan jumlah yang besar pengamal perubatan Islam dengan tertubuhnya Darul Shifa' di Bangi. Darul Shifa' juga mempunyai jaringannya di seluruh negara, berbakti pada masyarakat.

Minat murabbi ini kepada pendidikan Islam tak mampu diremehkan, kerana usaha jihad ta'lim telah berakar dalam jiwanya. Beliau menjadi banyak penasihat kepada institusi pendidikan dan dakwah, antaranya Pusat Dakwah Serantau yang banyak melahirkan para daie dan menebarkan dakwah di kawasan pedalaman. Tuan Guru juga dalam keadaan uzur, masih lagi berulang ke Perlis, negeri kelahirannya untuk menyampaikan kuliah, antaranya di MATIN. Jiwanya segar apabila menyampaikan ilmu kerana itulah cinta dan citranya dalam kehidupan. Memberikan ilmu seolah therapi baginya dan tak banyak memberi alasan bila diajak menyumbangkan ilmu kepada masyarakat. Jika beliau tak hadir dalam majlis ilmu yang dirancangkan, bermakna beliau sakit yang tenat atau dalam pemerhatian doktor.

Dr Haron Din antara tokoh PAS yang dibenci oleh kelompok politikus liberal pragmatis kerana ketegasan beliau mempertahankan prinsip perjuangan Islam. Beliau dicaci dan dinista, namun ini tidak menjadi kudis buta kepada semangat beliau untuk membahterai perjuangan Islam ini. Sebagai Mursyidul Am, beliau mengambil tindakan bersama Majlis Syura dalam menentukan PAS tidak menjadi perkakas politik kepada musuh Islam untuk memanipulasi kekuatan jentera PAS. Memutuskan hubungan dengan rakan pemuafakatan politik yang tidak menghormati prinsip Islam mungkin pahit kepada pemimpi Putrajaya, namun itulah rakaman sejarah yang berlaku semasa Dr Haron memimpin Majlis Syura Ulamak.

Sikap pemurah beliau diketahui umum, membantu pembinaan kompleks tarbiah, sekolah agama, masjid serta pelbagai institusi Islam di negara ini. Masyarakat umum menghormatinya melepasi garisan sempadan politik kepartian, beliau dianggap milik ummat Islam. Kitab tulisannya bertebaran dan digunakan sebagai teks pengajian, termasuk oleh PDRM.

Penulis teringatkan sosok maestro dakwah ini dalam mengobarkan api semangat, beliau hadir ke daerah Besut dalam bulan Mac tahun ini untuk merasmikan kompleks Dakwah  Malaysia (KODIM) yang diusahakan oleh Ustaz Datuk Nik Zawawi. Murabbi ini berucap lebih sejam di atas mimbar masjid, guratan wajahnya gembira serta energinya kelihatan seperti masih muda. Beliau juga merasmikan majlis pecah tanah kompleks Pendidikan an-Nur Besut yang penulis usahakan, dalam keadaan agak penat beliau tidak menghampakan. Mendoakan supaya diberkati segala usaha mengajak manusia untuk hidup bertuhan serta dimudahkan segala gerak kerja membina mercutanda pendidikan di daerah agrarian itu.

Hari ini kita kehilangan murabbi ummah dengan segunung kebaktian di medan amal Islami. Negara kita bersedih kerana almarhum adalah milik semua orang, menyantuni orang susah, merawat yang sakit, mencerdaskan akal ummat. Terbayang senyuman manis dan doanya yang lirih serta taujihatnya yang menunjal-nunjal lubuk hati dan akal kita. Bersemadilah wahai sang murabbi, kami semua menjadi saksi akan kebaktianmu, kebaikanmu, juga dedikasimu di jalan juang ini.

Meraikan jagoan istimewa 
bertaraf dunia

Posted: 19 Sep 2016 07:21 PM PDT

OLEH  nazmizan mohamad 

MEREKA dikategorikan Orang Kelainan Upaya atau ringkasnya OKU, namun keupayaan mereka jauh menandingi kita yang dikategorikan normal. Saat negara meletakkan harapan kepada atlet normal untuk menghadiahkan emas pertama buat negara sekali gus menyaksikan lagu Negaraku berkumandang di bumi Rio, Brazil, impian tersebut hanya tinggal impian.

Misi memburu emas pertama Olimpik ditunda ke empat tahun lagi pada edisi berikutnya di Tokyo, Jepun. Namun hari ini, atlet yang dikatakan kurang upaya telah membuatkan rakyat Malaysia mengalirkan air mata apabila lagu Negaraku berkumandang bukan sekali tetapi dua kali di bumi Rio.

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli membuka mata dan minda seluruh masyarakat bahawa kekurangan yang ada pada diri masing-masing bukanlah titik noktah dalam kehidupan, sebaliknya kekurangan itulah yang menjadikan mereka kini permata yang bernilai.

Kejayaan kedua-dua atlet paralimpik itu hadir melalui pengorbanan yang cukup besar – bukan sahaja diri mereka sendiri tetapi seluruh ahli keluarga mereka. Sebagaimana ibadah haji dan korban melatih kita untuk berkorban dalam hidup ini, begitu juga yang telah dilalui kesemua atlet paralimpik ini.

Hidup ini memerlukan pengorbanan. Kalau diperhatikan bagaimana Nabi Ibrahim AS yang tidak memiliki anak sehingga dikatakan berusia 89 tahun, lalu dikurniakan anak-anak bernama Ismail dan Ishak, tiba-tiba diarahkan untuk ditinggalkan Ismail dan Hajar di Padang Pasir Mekah yang kering kontang.

Bentuk geografi Mekah pada ketika Nabi Ibrahim dia­rahkan meninggalkan anak dan isterinya itu bukan seperti Mekah hari ini yang ada penduduk, orang pun ramai, ada kemudahan tetapi Mekah pada ketika itu ialah padang pasir yang luas, kering-kontang yang tidak ada apa-apa dan tidak berpenghuni.

Ke hulu ke hilir Sayyidatina Hajar mencari-cari air untuk diberikan kepada anaknya Ismail, sehingga terbitnya air zamzam yang terus menerus mengalir hingga ke hari ini yang lahir hasil daripada pengorbanan Nabi Ibrahim.

Begitulah juga kejayaan atlet paralimpik negara tidak hadir sekelip mata sahaja. Pelbagai onak duri, cabaran berliku yang perlu ditempuhi sebelum sejarah pingat emas di Temasya Sukan Paralimpik Rio ini.

Lebih besar juga pengorbanan ibu ayah serta keluarga yang tanpa lelah memikul amanah yang telah diberikan Allah. Jika dahulu layanan 'negara' terhadap mereka ha­nya satu pertiga daripada layanan yang diberikan kepada atlet normal, kini di bawah teraju Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Khairy Jamaludin - kita dan mereka tiada bezanya lagi.

Sebagaimana sukarnya latihan yang atlet normal lalui, sebegitu sukar juga yang mereka jalani, malahan kudrat dan tenaga mereka lebih banyak digunakan terutama bagi atlet paralimpik yang kekurangan anggota dan perlu menggunakan kerusi roda.

BINA PRASARANA KHUSUS

Sebagai seorang bekas atlet negara yang lebih 15 tahun berkecimpung di dalam arena ini, saya merasakan sudah tiba masanya kerajaan menyediakan prasarana dan kemudahan yang lebih khusus untuk golongan OKU ini.

Saya akui, kita telah memiliki kompleks latihan di Kampung Pandan untuk kegunaan atlet paralimpik negara, namun apa yang cuba diutarakan di sini ialah kemudahan di peringkat permulaan.

Sebagaimana Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail dan sekolah sukan lain yang diwujudkan di Malaysia bagi menghimpunkan atlet yang cemerlang di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) mahupun Sukan Malaysia (Sukma), sebegitu jugalah yang perlu ada untuk atlet paralimpik negara.

Mereka ini rata-ratanya lahir dari pelbagai latar belakang pendidikan dan cemerlang di negeri masing-masing seterusnya dihimpunkan di Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menjalani latihan berpusat di bawah kendalian jurulatih yang telah dipilih.

Namun, majoriti daripada mereka tidak menyambung pengajian sebaliknya menjalani latihan secara sepenuh masa. Sekiranya kerajaan prihatin dengan masa depan atlet paralimpik ini, tidak salah sekiranya dibina sebuah sekolah sukan khas untuk menempatkan mereka ini.

Jika tidak pendidikan formal, cukup sekadar menyediakan peluang kemahiran dengan dibimbing oleh pelatih profesional serta dilengkapi pelbagai keperluan sebagaimana yang ada di sekolah-sekolah sukan.
Setidak-tidaknya, apabila bersara kelak, ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh atlet paralimpik negara untuk menampung kehidupan masing-masing terutama bagi yang tidak begitu menyerlah di pentas antarabangsa.

Bukanlah niat saya menafikan inisiatif yang telah diambil kerajaan ketika ini antaranya i-Talent yang menyediakan peluang untuk OKU mencapai impian menjadi atlet profesional, namun apa yang saya cuba nyatakan di sini ialah mewujudkan pusat pengajian khusus untuk mereka meningkatkan kemahiran sampingan dalam diri.

Terlalu besar sebenarnya ruang untuk kita melahirkan lebih ramai jaguh dunia menerusi kategori paralimpik, terlalu luas kategori yang dipertandingkan, apakah kita hanya berpuas hati dengan seorang Mohamad Ridzuan dan Muhammad Ziyad?

Jika kedua-duanya mampu melakar kejayaan di sebalik kekurangan yang dimiliki, tidak mustahil lebih ramai ibu bapa yang memiliki anak-anak OKU kini terbuka minda untuk menyerahkan anak mereka ke pangkuan negara jika segala prasarana lengkap disediakan.

Olahraga telah membuktikan dan tidak mustahil kita juga mampu melahirkan jagoan dalam acara renang, angkat berat, tenis, bola sepak, bola tampar, badminton, futsal dan acara lain lagi.

Pahit getir hidup dan perjuangan, terpaksa dihadapi demi kejayaan, terdidik sejak mula tabah berusaha, tanpa cuba melangkah tak mana, di mana kau berada, pencapaian tak tiba dengan mudah.

Moga bait lirik, Standing In The Eyes Of The World ini akan terus menjadi azimat dalam melahirkan atlet para­limpik bertaraf dunia. Teruskan melangkah atlet para negara, semangat juang anda tidak mampu ditandingi atlet normal lainnya. Anda kebanggaan negara!

PENULIS ialah Timbalan Pengarah Pusat Sukan, Universiti Malaysia Perlis.

Tuan Guru Haron Din, ulama tegas dan cekal

Posted: 15 Sep 2016 07:39 PM PDT

Pagi Jumaat penuh barakah menyaksikan Tuan Guru Dr Haron Din (Al Mursyidul Am PAS) telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Perginya seorang ulama tegas dan cekal dalam mengharungi fitnah mehnah dalam perjuangan. Seorang lagi pemimpin utama PAS yang istiqamah pergi ketika sedang memimpin jamaah, pergi ketika jamaah masih memerlukannya.

Almarhum antara generasi awal menyertai PAS. Pernah berguru dengan pemimpin utama PAS pada masa itu Almarhum Dr Zulkifli Mohammad sewaktu menuntut di Kolej Islam Klang. Antara kata-kata Tuan Guru yang masih segar dalam ingatan ini: "Penyokong PAS sudah ditarbiah bahawa kita berjuang selama ini bukan untuk kemenangan peribadi, kita berjuang untuk kemenangan Islam, untuk mendaulatkan Islam sebagai ad-den".

Ulama yang banyak menjadi bahan hinaan pihak tertentu ini tetap konsisten terhadap perjuangannya mendaulatkan Islam. Walaupun Tuan Guru belum pernah menang dalam dalam mana-mana pilihan raya umum, ternyata pada hari ini Tuan Guru menikmati kemenangan sejati, insya Allah.

Tuan Guru, insya Allah kami akan meneruskan perjuanganmu tanpa jemu. Semoga rohmu ditempatkan bersama para anbiya'.

Sekalung takziah buat keluarga Almarhum.

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ...

أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتُ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النّار

AKMAL KAMARUDIN
Kg Rusila
14 Zulhijjah 1437

Tuan Guru Datuk Dr Haron Din dalam kenangan

Posted: 15 Sep 2016 07:37 PM PDT

Selepas solat Isya' tadi di Masjidil Haram, ingatan kepada Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din begitu kuat bermain dalam ufuk minda kami. Sementelahan pula pada sebelah petang, kami dikejutkan dengan berita beliau dalam rawatan jantungnya. Hati kami sedikit hiba dengan berita itu.

Pada akhir Ogos yang lalu, kami sempat berbual panjang dengan beliau dalam banyak topik seumpama hukum hakam agama, isu politik antarabangsa, coup détat di Turki, termasuklah isu RUU355 dalam satu pertemuan ziarah di rumah beliau. Alhamdulillah, pada masa itu sempat juga kami bertanyakan kesihatannya. Ketika itu, beliau nampak sangat bersemangat bila berbicara walaupun zahirnya nampak agak keletihan. Sedar tak sedar, hampir 3 jam diskusi kami.

Sebelum mengetahui berita pemergiannya, kami sempat mengambil kesempatan dengan keberadaan kami di Kota Suci Mekah dan pada malam Jumaat 14 Zulhijjah dengan penuh kesayuan berdoa kepada-Nya supaya diberi kesembuhan kepada beliau. Pun begitu, Allah lebih menyayangi hamba-Nya.

Kami lafazkan innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Sesungguhnya kita semua adalah milik Allah dan kita semua pasti akan kembali kepada-Nya. Dengan perasaan redha dengan taqdir-Nya dan sabar kami ucapkan kalimah yang telah diajarkan kepada kita.

Kami tidak katakan berkenaan almarhum kecuali hal yang baik sahaja. Sesungguhnya almarhum merupakan tokoh yang mempunyai pendirian yang jelas dalam ilmu, tegas, cintakan Islam serta mendalam ilmunya. Mempunyai kefahaman yg tinggi ketika mana ramai orang kabur dan keliru dalam tindakan. Cintakan perpaduan dan mempunyai impian untuk melihat Islam dijunjung tinggi di tanah air.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan keampuman serta ditempatkam bersama orang-orang yang beriman. Allahummaghfirlahu warhamhu wa 'afihi wa'fu 'anhu.

Akhukum fillah,
SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri -

Tiada ulasan: