Khamis, 8 September 2016

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Hj Hadi : Jangan baca facebook!

Posted: 08 Sep 2016 09:00 AM PDT

     Sunyi sepilah dunia fesbuk lepas nih! Para wala'un sakalian enta jangan ada yang nak berani lawan cakap Tok Lobai korang aaa...

 Menurut Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan,  Hj Hadi melarang  ahli dan penyokong parti itu baca fesbuk! Kena sentiasa membaca al-Quran!
    
  Nasrudin berkata, Hj Hadi selepas mendengar laporan serta celotehnya mengenai sikap dan pendekatan PAS dalam pelbagai isu, ia hanya mengulas dengan sepatah ayat: 

"Anta (kamu) baca al-Quran, jangan baca Facebook."

 Bagaimanapun untuk makluman Nasrudin menyatakan kisah dan nasihat berkenaan melalui Facebook, lapor ortal berita malaysiakini secara sinis!

 Nasrudin juga kata, sewaktu usrah ahli jawatankuasa pusat parti, seminggu selepas itu, ahli usrah lain turut membangkitkan perkara serupa, betapa Facebooker dan pengamal media sosial lain sebahagiannya mengecam PAS bertali arus dan mereka mahu mendapatkan respons balas dari Tuan Guru Presiden.

  Menurut laporan itu, Nasrudin menulis bahawa  Hj Hadi menegaskan :  
"Baca al-Quran! Al-Quran tidak ada akaun palsu. Al-Quran adalah benar! Al-Quran adalah kalamullah. Al-Quran adalah mukjizat Nabi SAW. Al-Quran adalah petunjuk dan pedoman hidup kita di dunia ini untuk sampai ke akhirat dengan selamat.

"Baca al-Quran! Jangan baca Facebook saja!"
 Kenyataan itu turut dimuat naik dalam portal Harakahdaily diiringi gambar Abdul Hadi (atas) sedang menatap komputer riba.

RUU 355 : Hj Hadi lebih bermotifkan untuk meraih undi politik

Posted: 08 Sep 2016 05:15 AM PDT

Himpunan lebih 1000?? NGO Islam yang menyokong RUU 355 di Pusat Islam pada
18/7/16 lalu.. Apa perlu buat majlis sokongan pindaan RUU 355..? Untuk mendapat 
kelulusan di Dewan Rakyat, atau untuk meraih political mileage PRU 14 nanti?
Perkembangan mutakhir RUU 355 ini nampaknya semakin giat diperkatakan. Saya menerima klip video dan poster yang berkempen supaya semua orang menyokong Ahli Parlimen Marang semasa pembentangan RUU 355 pada bulan Oktober ini. Saya juga ambil maklum bahawa penyokong Ahli Parlimen Marang telah menubuhkan jawatankuasa yang dianggotai para ustaz untuk tujuan memberikan kuliah berkaitan RUU 355 di masjid, surau atau di dewan kuliah. Terdapat juga jawatankuasa yang ditugaskan untuk berjumpa dengan NGO bagi mengadakan 'engagement' untuk tujuan menyokong RUU 355. Saya terlihat di FB saya sekumpulan warga guru di Pulau Pinang yang membuat ikrar beramai-ramai untuk menyokong RUU 355 ini.

 Ada juga seruan daripada aktivits Felda yang membuat gesaan supaya kesemua warga Felda membuat desakan kepada ahli parlimen masing-masing untuk menyokong RUU 355 Ahli Parlimen Marang. Beberapa himpunan juga diadakan untuk menzahirkan sokongan kepada RUU 355. Di puncak klimaks itu, saya terbaca Nota Kesal Terhadap Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan.

 Saya semakin tidak faham apakah sebenarnya arah dan halatuju RUU 355. Adakah RUU 355 ini dibentangkan bagi tujuan supaya Parlimen meluluskannya atau bagi tujuan meraih undi politik untuk PRU 14 kelak.

 Jika tujuannya adalah untuk mendapatkan kelulusan di Dewan Rakyat, kenapa pula warga guru digembeling semata-mata untuk dibuat penerangan dan untuk membuat ikrar sokongan kepada Ahli Parlimen Marang. Warga guru itu bukanlah ahli parlimen yang dapat mengundi di Dewan Rakyat. Saya ada berbual dengan rakan saya, seorang pensyarah kanan undang-undang di sebuah universiti tempatan berkaitan tindakan warga guru ini dan pada pendapatnya, tindakan ini adalah refleksi kepada sindrom 'bebalism' dan 'pandirism' yang semakin merebak dalam negara ini.

 Saya tidak nampak keperluan untuk menggembeling semua warga Malaysia bagi menyokong RUU Marang ini. Warga Malaysia tidak mengundi di Dewan Rakyat. Hanya ahli parlimen yang akan mengundi di Dewan Rakyat. Adakah penyokong RUU 355 Ahli Parlimen Marang ini sedar bahawa ini objektif yang perlu dicapai adalah akhirnya untuk mendapat undi majoriti mudah daripada ahli-ahli Dewan Rakyat.

Sekiranya program yang dibuat itu berbentuk forum atau sidang meja bulat maka ianya tidaklah menjadi sesuatu yang ralat. Misalnya, forum yang dibuat oleh IKRAM tempohari banyak memberikan maklumat dan kefahaman. Begitu juga perbincangan terfokus dengan kumpulan stakeholders seperti persatuan peguam syarie atau pegawai mahkamah seperti yang dibuat oleh Persatuan Peguam Syarie Kelantan kerana mereka adalah warga yang dekat dengan isu RUU 355. Melalui metod ini, isu-isu berkaitan RUU 355 ini dapat dikenalpasti dan penambahbaikan dapat dibuat.

 Masalahnya, program yang banyak dibuat di seluruh negara adalah kuliah di masjid dan surau atau himpunan. Program seperti ini hanyalah sekadar untuk menaikkan emosi orang ramai bagi meraih sokongan politik. Emosi jamaah surau dan masjid serta peserta himpunan disuburkan dengan ucapan yang berapi-api kononnya ini pertentangan antara orang Islam dan bukan Islam. Peserta diapi-apikan bahawa orang bukan Islam tidak sepatutnya campur tangan dalam RUU 355 ini. Bahkan ada yang menyatakan bahawa jatuh hukum wajib kepada ahli parlimen Islam untuk menyokong RUU 355 seolah-olah sesiapa yang tidak menyokong RUU 355 Ahli Parlimen Marang ini akan jatuh berdosa. Tindakan Ahli Parlimen Marang ini sudah menjadi perkara yang tidak dapat dipersoalkan betul atau salahnya.

  Sedangkan jika ditelitikan perjalanan RUU 355 Ahli Parlimen Marang ini ada beberapa kelemahan yang wujud sepertimana yang pernah ditulis sebelum ini. Draf RUU 355 ini pun belum dapat diperjelaskan bagaimanakah ianya didrafkan. Siapakah yang mendrafkannya bagi Ahli Parlimen Marang? Apakah justifikasi ianya dibawa oleh Ahli Parlimen Marang? Kenapakah bukan Menteri yang membawa RUU 355 ini ke Parlimen sekaligus akan mempercepatkan dan mempermudahkan kelulusan RUU 355 ini?

  Adakah Ahli Parlimen Marang sudah berjumpa dengan Peguam Negara bagi berbincang mengenai draf yang dicadangkan? Jika diluluskan oleh Dewan Rakyat, bilakah 'timeline' atau jangka masa Menteri akan membawanya kepada bacaan kedua? Adakah Ahli Parlimen Marang sudah menghadap Majlis Raja-Raja untuk mendapatkan maklumbalas istana berkaitan RUU 355 ini?

 Kita melihat penerangan yang dibuat di masjid dan surau serta perhimpunan awam ini tidak diperjelaskan kepada orang ramai masalah dalam RUU 355 ini. Apa yang sering diperkatakan hanyalah mengenai keperluan untuk meminda dan menaikkan had hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah dan keperluan untuk meningkatkan martabat Mahkamah Syariah supaya 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi' dengan Mahkamah Sivil. Dikatakan bahawa hukuman '356' itu membawa malu kepada institusi Mahkamah Syariah tanpa diperjelaskan berapakah statistik sebenar pendakwaan syarie yang dibuat dan apakah jenis kesalahan syarie yang didakwa di Mahkamah Syariah. Belum pernah setakat ini dibuat apa-apa wacana ilmiah untuk membedah masalah yang berlaku di peringkat pendakwaan syarie. Penerangan yang dibuat hanya sekadar untuk membangkitkan emosi pendengar yang juga pengundi di Dun dan Parlimen masing-masing. Pendengar yang mendengar kuliah dan ceramah itu akhirnya terpengaruh dengan emosi yang akhirnya membangkitkan perasaan benci kepada semua Ahli Parlimen yang tidak menyokong pindaan RUU 355 Ahli Parlimen Marang.

 Pada hari ini saya juga ada membaca Bayan Linnas Siri 67 berkaitan isu RUU 355 yang dikeluarkan oleh SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan. Pandangan tersebut adalah amat baik dengan pernyataan kesimpulan bahawa RUU 355 ini perlu dipinda. Saya nyatakan bahawa saya bersetuju RUU 355 ini dipinda tetapi metod yang dibuat oleh Ahli Parlimen Marang ini yang tidak dipersetujui. Saya juga tidak bersetuju dengan kandungan RUU 355 Ahli Parlimen Marang ini. Saya percaya draf RUU 355 itu perlu diperbaiki bagi mengelak masalah yang mungkin timbul pada masa akan datang yang mungkin boleh menghentikan operasi terus Mahkamah Syariah.

 Saya juga percaya Menteri berkenaan juga menerima saranan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar institusi Mahkamah Syariah ini diperkuatkan. Saya juga ambil maklum bahawa pihak Kerajaan Persekutuan juga telah berbuat sesuatu untuk meminda Akta 355 sebelum Ahli Parlimen Marang membuat usul RUU 355. Namun, tindakan di pihak Kerajaan Persekutuan akhirnya terhenti dengan usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang. Pada saya isu yang sebenar adalah soal kegopohan Ahli Parlimen Marang yang membuat usul tersebut tanpa rundingan dengan pihak yang berkepentingan (stakeholder) yang membuatkan pindaan RUU 355 ini menjadi kusut. Sekiranya pihak Menteri yang membawa usul pindaan Akta 355 pasti hal ini tidak menjadi polemik seperti sekarang.

 Secara umumnya, kita boleh menilai setakat mana RUU 355 Ahli Parlimen Marang ini akan disokong. Statistik yang kita lihat daripada 222 Ahli Dewan Rakyat, sebanyak 88 orang adalah UMNO; MCA - 7, MIC - 4; Gerakan - 2; PRS - 6; SUPP - 1; PBB - 14; PBRS - 1; UPKO - 3; SPDP - 4; PBS - 4. Keseluruhannya Ahli Parlimen BN adalah seramai 134 orang. Manakala keseluruhan Ahli Parlimen pembangkang adalah 88 orang yang terdiri daripada DAP - 37; PKR - 29; PAS - 14; PSM - 1; AMANAH - 6. Manakala seorang lagi Ahli Parlimen adalah bebas. Daripada keseluruhan jumlah itu jika diambil kira ahli parlimen Islam daripada UMNO (88), PAS (14), PKR (16), Amanah (6) dan Bebas (1) kesemuanya berjumlah 125 orang.

 Penyokong Ahli Parlimen Marang menwar-warkan bahawa jika kesemua ahli parlimen Islam itu menyokong RUU 355 Ahli Parlimen Marang maka RUU 355 itu dapat diluluskan. Pernyataan ini sungguhpun logik tetapi tidak realistik. Sehingga kini tidak ada kepastian berapakah ahli parlimen yang sudah bersumpah setia dengan Ahli Parlimen Marang yang bersetuju untuk menyokong RUU 355 itu. Bahkan, setakat ini tiada kepastian siapakah ahli parlimen yang akan hadir pada sesi pengundian RUU 355 ini. Ketua Menteri Sarawak sebelum ini pernah menyatakan arahan beliau kepada semua Ahli Parlimen Sarawak supaya tidak menyokong RUU 355 Ahli Parlimen Marang. YB Datuk Nancy Shukri yang pada waktu itu menjadi Menteri yang bertanggungjawab mengenai undang-undang menyatakan beliau tidak akan hadir pada waktu pengundian RUU 355.

 Sehingga ini belum ada apa-apa proses konsultasi antara Ahli Parlimen Marang dengan ahli parlimen selain daripada PAS. Tanpa proses konsultasi dibuat, laluan Ahli Parlimen Marang kelihatan sukar. Bahkan, jika diukur program untuk menyokong RUU 355 yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan juga gagal padahal dikatakan pihak UMNO telah bersetuju untuk hadir sama sehingga menyebabkan kerugian kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan kerana terpaksa menyewa dewan hotel. Apakah yang diharapkan kepada Ahli Parlimen UMNO untuk mengundi RUU 355 ini jika di peringkat pemuda negeri pun sudah tidak tepati janjinya.

 Namun, nasib RUU 355 ini akan berbeza jika ianya dibawa oleh Menteri. Sehingga ke saat ini belum pernah apa-apa rang undang-undang yang dibawa oleh Menteri telah gagal untuk diluluskan di Parlimen. Tambahan lagi, apa yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang itu hanyalah suatu usul untuk meminda undang-undang dan jika lulus usul tersebut baharulah usul itu akan diangkat menjadi Bacaan Pertama. Bilakah pula Bacaan Kedua dan Ketiga akan dibuat? Tiada tempoh tertentu yang ditetapkan berbanding jika kelaziman rang undang-undang yang dibawa oleh Menteri adalah Bacaan Pertama dan Bacaan Kedua akan dibuat dalam sidang yang sama atau paling lambat sidang yang akan datang.

  Kesimpulannya, tindakan untuk menimbulkan polemik RUU 355 ini lebih banyak bermotifkan untuk meraih undi politik daripada untuk meningkatkan wibawa Mahkamah Syariah. Sebab itu, penerangan dan himpunan lebih banyak dibuat kepada masyarakat awam berbanding dibuat kepada ahli parlimen sendiri. Apabila emosi umat Islam diusik dengan perbandingan had hukuman di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah pasti ianya memberikan impak positif kepada parti berkenaan yang akhirnya diharap akan diterjemah ke atas kertas undi kepada parti berkenaan kelak.

Terdapat cara dan metod alternatif yang lebih mudah, kurang polemik, kurang popular tetapi mengambil sedikit masa sebelum ianya dapat dibentang di Parlimen tetapi langkah ini pasti berjaya iaitu dengan menunggu Menteri membawanya. Namun, cara ini pasti tidak menguntungkan dari segi meraih undi politik.

Dr Zulqarnain Lukman
1 September 2016 / 29 Zulkaedah 1437H ~ sumber

Kaji balik kesan dan natijah RUU Marang

Posted: 07 Sep 2016 08:05 PM PDT

Dr Zulqarnain Lukman
WAWANCARA: Presiden Pas yang juga ahli parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membawa rang undang-undang persendirian untuk meminta Akta 355 Mahkamah Syariah ke Dewan Rakyat. Selepas tiga kali dibawa, ia akhirnya dibenarkan oleh Dewan Rakyat untuk dibawa.

 Ekoran itu, pelbagai perbincangan dibuat tentang isu ini. Ia telah menimbulkan masalah kepada Pakatan Rakyat sehingga pecah dan telah timbulkan juga masalah kepada Barisan Nasional.

 Akhbar mingguan Amanah telah mewawancara DR ZULQARNAIN LUQMAN, seorang peguam yang mempunyai PhD dalam undang-undang. Beliau juga seorang peguam syarie yang sangat aktif di Malaysia.

 Beliau juga ahli kepada Jawatankuasa Teknikal peringkat kebangsaan yang dibentuk oleh kerajaan pusat dan Kelantan untuk meneliti usaha untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah di Malaysia. 

 Ikuti WAWANCARA yang dibuat oleh wartawan akhbar Amanah dengan Dr Zulqarnain. Wawancara ini disiarkan semula oleh Malaysiadateline.com dengan keizinan akhbar Amanah.
 ----------------------------------------------------------------------------------
 Dari segi sejarahnya, bagaimana boleh bermulanya usul mengenai Akta  355 bidang kuasa mahkamah syariah ini?

  Usaha meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah ada sejarah tersendiri, kata Dr Zulqarnain Bagi saya, ia bermula pada akhir 2013, ketika Peguam Negara ketika itu Tan Sri Abdul Gani Patail bermesyuarat dengan penal syariah di AG chamber. Antara yang hadir adalah Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman, Ketua Unit Syariah di Jabatan Peguam Negara. Beliau adalah bekas ketua hakim syarie Wilayah Persekutuan dan juga ketua hakim syarie pertama di jabatan kehakiman syariah Malaysia.

 Dalam mesyuarat itu, timbul isu bidang kuasa mahkamah syariah. Dalam perbincangan itu, kuasa mahkamah syariah diberikan melalui Akta 355 dan AG mengakui bidang kuasanya sangat rendah berbanding mahkamah sivil. Untuk meningkatkan bidang kuasanya, Gani berkata, kita bagi bidang kuasanya sama dengan mahkamah sesyen sivil iaitu boleh bicarakan kesemua kesalahan kecuali yang membawa hukuman mati.

 Selepas itu berlakulah lain-lain mesyuarat sehinggalah tertubuhnya Jawatankuasa Teknikal Undang Jenayah Syariah peringkat kebangsaan antara wakil persekutuan dan wakil Kelantan. Tujuan jawatankuasa ini adalah untuk fasilitate agenda kerajaan Kelantan selepas kenyataan menteri bersetuju membantu pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah. Ia berdasarkan permintaan dari kerajaan negeri ke kerajaan pusat dan sebahagiannya untuk kepentingan nasional. Kita bincang setakat mana Kelantan boleh buat.

 Anggota jawatankuasa ini adalah wakil persekutuan yang diketuai Sheikh Ghazali selaku pengerusi jawatankuasa, Profesor Sham Rahayu dari UIA, Datuk Nasir Disa, Datuk Hassan (bekas hakim mahkamah tinggi), Datuk Sulaiman Daud (bekas hakim), wakil AG, wakil bahagian undang-undang parlimen, wakil penjara dan PDRM.

 Kerajaan Kelantan di ketuai oleh ketua hakim syarei Kelantan Datuk Aria Diraja Datuk Daud Mohamad, peguam Nik Baharum, peguam Hisham Fauzi, Dr Azahar pensyarah dari Kias, seorang lagi yang saya lupa namanya dan saya sendiri Dr Zulkarnain Luqman.

 Perkara yang dibincangkan adalah halangan dan cabaran kalau nak laksanakan hudud, qisas dan takzir. Antara yang kami kenalpasti adalah Akta 355 kerana bidang kuasa mahkamah syariah hanya 356 sahaja iaitu RM3,000 denda, lima bulan penjara dan enam kali sebatan.

 Oleh kerana AG telah setuju untuk pinda Akta 355, maka kita teruskan apa yang AG dah setuju sebagai sebahagian roadmap undang-undang ini. Cadangannya adalah hukuman yang sama dengan mahkamah sesyen.

 Roadmapnya adalah pindaan Akta 355 akan dibawa oleh menteri bagi pihak kerajaan persekutuan kerana AG dah mulakan. Prosedurnya akan lebih praktikal dan mudah dan undang-undang ini akan dipakai untuk peringkat nasional juga dan semua negeri akan dapat bidang kuasa yang sama.

 Akta ini berkaitan dengan mahkamah syariah dan dalam bidang kuasa negeri-negeri dan sewajar diperkenan oleh sultan atau raja bagi setiap negeri. Ia juga telah dibawa dalam mesyuaraat Majlis Kebangsaan Perundingan Islam (MPI) yang dipengerusikan oleh perdana menteri sendiri yang berlangsung Disember 2014 dan ia telah dipersetujui oleh mesyuarat itu.

 Dua langkah lagi yang perlu dibuat sebelum ke parlimen adalah mesyuarat Majlis Raja-raja (MRR) yang dijadualkan pada waktu itu awal Mac 2015. Selepas MRR, ia akan dibawa masuk ke kabinet dan barulah ke parlimen. Ketika itu, kami jangka ia akan dibentangkan di parlimen paling lewat pada sidang Jun 2015.

 Tiba-tiba ada masalah apabila ia tidak disempat dibincang dalam MRR kerana ditolak oleh pra mesyuarat MRR. Kertas pindaan Akta 355 ini bersekali dengan kertas-kertas lain. Pra mesyuarat itu tidak setuju beberapa perkara termasuk cadangan penubuhan lima peringkat mahkamah syariah sebagaimana mahkamah sivil di mana yang tertingginya adalah mahkamah rayuan syariah persekutuan. Ini yang raja-raja tidak berapa setuju dan minta diperhalusi.

 Apabila ini tidak persetujui, dengan sendirinya kertas yang ada cadangan pindaan Akta 355 dalam fail yang sama itu tertolak sama.

 Bagaimana ia dibawa oleh presiden Pas ke Parlimen?

 Sekitar tarikh yang sama, Dewan Undangan Negeri Kelantan telah luluskan Enakmen Jenayah Syariah dalam sidangnya pada 18-19 Mac 2015. MRR bermesyuarat sekitar tarikh itu juga.

 Apabila Kelantan dapat tahu keputusan MRR itu, tiba-tiba MP Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memasukkan notis Rang Undang Undang Persendirian ke parlimen. Ia dibuat tanpa pengetahuan parti - kerana sampai sekarang saya sendiri tidak tahu siapa yang merangka RUU itu. Sedangkan saya ahli JK Teknikal dan saya ahli jawatankuasa Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) dan Jabatan Undang dan hak Asasi Manusia (Juham) Pas.

 Sebanyak tiga kali ia berada di senarai terakhir dalam senarai aturan mesyuarat Dewan Rakyat dan hanya dinaikkan dengan sokongan menteri dalam notis ketiga untuk dibawa ke depan. Peraturan 49 aturan mesyuarat Dewan Rakyat menyebut ia boleh diangkat dengan syarat menteri sokong.

  Apa masalah dengan RUU ini?

Dari awal lagi sudah ada masalah. Dan beberapa komen sudah dibuat oleh para peguam mengenainya. Yang last sekali apabila ia disokong oleh menteri, saya sendiri telah menelitinya dan memang ada kecacatannya.

 Perkataan yang digunakan, ada masalah dari segi teknikalnya. Pada saya yang perlu dipinda adalah perenggan kedua seksyen kedua Akta 355 yang memperuntukkan hukuman 356 itu untuk memasukkan tujuan pindaan ini iaitu meningkat bidang kuasa hukuman di mahkamah syariah.

 RUU ini telah turut meminda perenggan 1 seksyen 2 itu. Bagi orang awam, mereka tidak nampak tetapi peguam yang selalu membuat kes perlembagaan, dia akan perasan soal ini.

 Kesannya akan besar. Jika mahkamah kata perenggan 1 seksyen 2 yang dipinda itu tidak sah, bermakna bahagian jenayah di mahkamah syariah akan tergantung. Lebih baik ia dikekalkan dengan yang sedia ada (perenggan 1) yang sudah ditest sejak sekian lama dan tidak ada masalah. Apabila perkataannya diubah, ia akan berikan tafsiran baru terhadapnya. Sebelum ini, apa yang ada sudah dibawa hingga ke mahkamah persekutuan dan ia disahkan tiada masalaah.

 Jika ada cabaran nanti, jika dipersetujui oleh mahkamah tentang kesilapan pindaan ini, ia akan mendatangkan aib kepada seluruh rakyat beragama Islan dan memberikan aib kepada ketua agama Islam iaitu sultan dan raja-raja Melayu.

 Kenapa semua ini berlaku dan bagaimana proses merangka rang undang-undang ini sepatutnya?

 Marang tidak perlu malu untuk membuat kebaikan, kata Dr Zulqarnain.

  Bagi saya kerana ia tidak dibuat melalui perbincangan dengan pihak berkepentingan atau state holder. Akta yang besar kesannya tetapi tidak dibawa berbincang dengan state holder. Saya bukan nak tentang peningkatan bidang kuasa mahkamah syariah, kerana itu yang kita perjuangkan selama ini, tetapi kita kena buat secara profesional.

 Kita tahu, yang Marang bawa hanya usul, ia perlu dibahas, lepas bahas ada undian. Kalau lulus pun, ia baru akan menjadi bacaan pertama. Akan ada bacaan kedua yang perlu dibawa oleh menteri mengikut peraturan mesyuarat 49. Tiada tempoh masa ditetapkan dan menteri nak simpan selama mana, tiada hal.

 Isu ini sturk (tersangkut) di situ. Jika menteri nak bawa, menteri patut bawa sekarang. Kalau Marang dapat undi majoriti ok. Kalau Marang kalah undi, bila pula kerajaan persekutuan akan bawa semula untuk meminda Akta 355. Saya yakin tidak mungkin sehari dua ini mereka akan bawa, ia akan memakan masa. Bagi saya, ia akan lambatkan lagi transformasi mahkamah syariah dari segi undang-undang jenayahnya.

 Cara terbaik sebenarnya melalui proses mana?

 Sebab itu kita nak menteri yang bawa. Dalam sejarah Malaysia tidak pernah ada rang undang-undang yang dibawa menteri kalah di Dewan Rakyat. Dan tidak pernah RUU yang dibawa oleh pembangkang menang di parlimen. 

 Dengan sultan dan raja-raja pula macamana. Kalau Marang berjaya mendapat majoriti oklah. Menteri yang nak bawa kali kedua kena berunding dengan sultan dan raja-raja juga. Kena ikut proses yang asal semula. Dari segi legalnya, ia tidak vible untuk di bawa oleh pembangkang. 

 Bagi saya, yang Marang patut buat adalah mendesak menteri cepatkan proses membawanya ke parlimen bukan membawanya sendiri. Sekarang bila Marang bawa, semua proses di peringkat kerajaan pusat terhenti bukannya mereka membantu.

 Ini kerana prosedur membawa dan kandungannya bermasalah. Nak percepat tetapi kemungkinannya melambatkan lagi pelaksanaannya.

 Apa kesan bila Marang bawa?

Ia telah melambatkan lagi proses untuk tingkatkan usaha untuk menambahkan kewibawaan mahkamah syariat. Bila Marang bawa, JK Teknikal yang telah dibentuk hanya sekali sahaja mesyuarat selepas itu iaitu memaklumkan kerajaan negeri Kelantan telah membawa RUU ini melalui Marang.

 Selepas itu tidak ada lagi sebarang perbincangan mengenai usaha peningkatan kuasa mahkamah syariah ini. Bukan JK Teknikal sahaja tidak lagi bermesyuarat bahkan juga mesyuarat-mesyuarat di peringkat jabatan kerajaan yang lain untuk membantu proses pelaksanaannya termasuk mesyuarat di Jakim juga terhenti.

 Jadi saya bimbang, kesannya adalah usaha untuk tingkatkan wibawa mahkamah syariah ini dari pihak kerajaan persekutuan sudah terhenti.

 Bila Marang bawa, ia sudah jadi out of control. Sepatut ia dibuat secara low profile bukan secara terbuka. Semua sudah bincang secara out of contack. Orang bukan Islam sudah jadi khuatir kalau-kalau ada lagi pindaan lain menyusul yang melanggar hak mereka sebagaimana dalam isu kalimah Allah, isu gereja dan lain-lain dikaitkan sekali.

 Ia telah timbulkan keresahan dan kegusaran kepada orang ramai. Bilamana seksyen yang di bawa Marang boleh kenakan segala hukuman kecuali hukuman mati - termasuk boleh potong tangan, mungkin Gani tidak pernah fikir hal itu sebelum ini. Di situ orang akan bincang, pelbagai hukuman boleh dibuat termasuk untuk mengaibkan orang yang melanggar undang-undang Islam yang dibolehkan syariat.

 Kalau di mahkamah sivil orang tak bincang sebab hukumannya jelas, penjara, denda dan sebat tetapi apabila diberikan bidang yang begitu luas, bagaimana kalau ada kerajaan negeri yang secara nakal membuat hukuman yang bukan-bukan misalnya botak kepala untuk yang tak puasa misalnya. Ia memang dibenarkan dalam hukuman takzir.

 Apa roadmap asal yang dibincangkan oleh Jawatankuasa Teknikal yang tuan sertai itu?

 Roadmap asalnya yang kami bincangkan, pelaksanaannya akan melalui tiga fasal. Yang pertama, untuk hukuman yang kesalahannya sudah ada dalam undang-undang syariah iaitu zina, qazaf, minum arak dan murtad.

 Fasa keduanya adalah untuk sariqah dan hirabah. Ia konstroversi kerana kesalahan ini sudah ada dalam bidang kuasa mahkamah sivil iaitu di bawah kanun keseksaan.

 Fasa ketiga adalah undang-undang yang melibatkan hukuman mati.9 Bila buat fasal demi fasal, kita boleh uji sejauhmana pelaksanaannya dari segi sistem, pegawai dan juga mahkamahnya.

 Kenapa pindaan yang dibuat Marang ini bermasalah?

 Marang pernah sebut, kita tidak mahu membuat sarikah dan hirabah dahulu. Jika begitu, pindaan yang perlu dibuat adalah tukar sahaja bilangan sebat kepada 100 iaitu perenggan kedua Akta 355 ini bukan ubah juga perenggan pertamanya. Ia boleh kurangkan kegusaran orang ramai dan bukan Islam berbanding dengan pindaan yang dibuat sekarang iaitu yang sesuai dengan Islam kerana ia terlalu luas.

 Pada pandangan tuan, apa jalan terbaik yang perlu dibuat sekarang?

 Bagi saya, cara terbaik adalah Marang tarik balik dulu RUU ini sebab risikonya jika tidak lulus mudarabnya lebih besar kepada bukan Marang saja tetapi semua orang Islam dan institusi mahkamah syariah. Sebab kalau kalah tidak mungkin dalam masa terdekat kerajaan persekutuan akan membuat RUU baru untuk perbetulkan kesilapan yang dibuat melalui usul Marang itu.

 Bagi saya, Marang kena tarik balik dan dalam masa sama mendesak kerajaan persekutuan membawa RUU ini untuk meminda Akta 355. Ia lebih munasabah dan rendah risiko untuk gagal.

 Tidakkah tindakan ini akan memalukan perjuangan Islam yang dibawa oleh Marang?

 Ia bukan soal malu tetapi maruah mahkamah syariah dan orang Islam semuanya. Marang kena berjiwa besar. Kalau RUU Marang tidak lulus, hasrat Kelantan untuk melaksanakan KJS2015 hanya tinggal atas kertas sahaja dan boleh simpan di muzium.

 Tidakkah pemimpin Umno sudah berjanji untuk menyokong usul ini?

 Tidak semua yang sokong dan sudah ada menteri yang kata tidak akan sokong. Apa yang saya jangka jika RUU Marang ini diteruskan, MP Umno tidak tolak tetapi tidak akan hadir sidang dengan pelbagai alasan.

 Itupun kalau Speaker Dewan, Tan Sri Pandikar bagi laluan sekali lagi sebab ia perlu dimasukkan ke dalam aturan mesyuarat baru selepas Marang hanya bentangkan saja tetapi tidak bahas ketika diberikan peluang sebelum ini.

 Prosedurnya selepas ini, kena masuk aturan mesyuarat sekali lagi untuk dibahas. Jika lulus, RUU ini akan jadi bacaan kali pertama.

 Salinannya akan diserah kepada pihak berkepentingan untuk dikaji. Untuk bacaan kedua, menteri kena bawa dan undi perlu dibuat sebelum lulus. Ini semua satu proses yang panjang dan bersimpang siur.~ sumber

Tiada ulasan: