Selasa, 23 Ogos 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Skandal MB Selangor: SAMM buat laporan rasmi SPRM Jumaat ini

Posted: 23 Aug 2016 06:19 AM PDT

Badrul Hisham Shaharin Badrul Hisham Shaharin
 ARIF ATAN

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan mengemukakan laporan rasmi kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal status tanah Lot 68054 di kawasan Paya Indah Wetland, Kuala Langat membabitkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Jumaat ini.

 Penyelarasnya, Badrul Hisham Shaharin berkata, pihak beliau dan pasukan khas dikenali sebagai #skandalAzmin68054 mengambil keputusan berbuat demikian selepas Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR gagal menukar semula status kawasan pembangunan kepada tanah pertanian dalam tempoh tujuh hari sejak 15 Ogos lalu.

Tempoh seminggu itu juga, ujar Badrul Hisham, diberikan bagi Azmin memohon maaf kepada semua rakyat, ahli PKR, parti komponen Pakatan Harapan terutama rakyat di Selangor atas kesalahan yang dilakukan.

Datuk Seri Mohd Azmin Ali Datuk Seri Mohd Azmin Ali "Namun sehingga semalam tamat tempoh tujuh hari nampaknya Azmin tidak mampu memberikan respon positif menjelaskan perkara tersebut malah terus menggunakan media menunjukkan sikap sombongnya. Dia juga melalui beberapa 'kartelnya' cuba melobi supaya saya dipecat," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai Chegubard, 'booklet' pendedahan isu #skandalAzmin68054 yang akan mengandungi 85 peratus segala dokumen bukti berkaitan, fakta dan kronologi skandal itu akan dilancarkan sebelum diikuti laporan rasmi kepada SPRM.

"Booklet ini akan disasarkan kepada pegawai-pegawai kerajaan, kepimpinan Pakatan Harapan khususnya PKR dan rakyat Selangor. Semua dijemput hadir bersama di hadapan Ibu Pejabat SPRM (pukul 3 petang di Putrajaya) untuk sama menjadi yang terawal memilikinya.

"Kenapa tujuh hari dan kenapa hendak buat booklet pendedahan? Saya ingatkan semua dengan terbaru berkenaan aduan rasuah seks dalam pejabat Menteri Besar Selangor yang didedahkan oleh Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan). Apa kesudahannya? Adakah Rafizi membuat aduan kosong atau aduan disapu di bawah karpet?" bidasnya.

Mengulas lanjut tindakan berkenaan, Chegubard menyifatkan sudah tentu terdapat 'payung kembang' bakal melindungi memandangkan baginya isu #skandalAzmin68054 membabitkan 'kapitalis besar' negara.

"(Itu) pilihan yang saya ada dan itulah latihan demokrasi gerakan reformasi rakyat perlu diberi maklumat penuh dan biar rakyat menghakimi - Rakyat Hakim Negara," tegasnya lagi






Anak orang kaya mengaji luar negara selepas Tingkatan 3, kata menteri

Posted: 23 Aug 2016 06:15 AM PDT

 
Rekod Kementerian Pendidikan mendapati hanya 86% pelajar menamatkan pengajian sehingga Tingkatan 3 meneruskan pengajian ke sekolah menengah atas


mahdzir-1


KUALA LUMPUR: Pelajar daripada keluarga kaya meninggalkan Malaysia untuk belajar di luar negara sebaik menamatkan peperiksaan Tingkatan 3.

Mendedahkan perkara itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata hanya 86% pelajar yang melengkapkan pengajian hingga Tingkatan 3 meneruskan pengajian ke sekolah menengah atas.

"Kita temui masalah di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 sahaja, apabila pelajar kaya mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian di luar negara," katanya kepada pemberita seusai simposium Pendidikan 2030 di Hotel Istana hari ini.

Beberapa pelajar berhenti sekolah sama sekali.

Mahdzir tidak menjelaskan mengapa golongan kaya memilih untuk belajar di luar negara.

Menteri itu bagaimanapun sukacita 98% anak yang layak bersekolah mendaftar masuk sekolah rendah, lebih tinggi daripada 94.4% yang didaftarkan pada 2013.

Menurut Mahdzir, peningkatan itu lantaran lebih ramai murid daripada keluarga berpendapatan rendah bersekolah.

Sebelum ini, katanya, ramai ibu bapa daripada golongan berpendapatan rendah memilih untuk tidak menyekolahkan anak mereka.

Di kawasan lain, seperti keluarga yang mendiami sempadan Sarawak-Kalimantan, sukar untuk hadir ke kelas.

"Masih ada kumpulan kecil sekitar 10 isi rumah yang menetap di kawasan sangat pedalaman. Untuk ke sekolah mengambil masa dua hingga tiga hari.

Kementerian mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah itu dengan membina asrama untuk murid belajar dan menetap.

Terdapat 93 sekolah rendah dan menengah dan 58 asrama untuk anak Orang Asal di Malaysia Barat dan Timur.

 

Kes bunuh Amila: Abang ipar tiri didakwa esok

Posted: 23 Aug 2016 06:09 AM PDT

 
Suspek lelaki berumur 26 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.


Noor-Amila-Edrus-Norsyam-2


KUALA LUMPUR: Suspek yang membunuh Noor Amila Edrus Norsyam yang dijumpai mati di Kampung Kemensah, Hulu Kelang pada Khamis lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok atas dakwaan membunuh kanak-kanak berusia lima tahun itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy berkata, suspek lelaki berumur 26 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

"Suspek yang merupakan warganegara Malaysia dan bekerja sebagai mekanik akan dituduh di Mahkamah Majistret esok," katanya yang dipetik Bernama.

Beliau berkata, tahanan reman suspek pada Jumaat lalu akan berakhir esok.

Noor Amila Edrus dilaporkan hilang selepas selesai solat Maghrib di surau berhampiran rumahnya di Jinjang Utara pada 11 Ogos lalu, sebelum mayatnya ditemui di kawasan semak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang, pada jam 12.30 tengah hari Khamis lalu.

Suspek dilaporkan adalah abang ipar tiri mangsa yang didakwa menyembunyikan Amila dalam bengkelnya dengan kaki dan tangan diikat serta mulutnya disumbat.

Tanpa sebarang makanan mahupun minuman, mangsa yang dalam kelaparan dan kesejukan itu diserang asma sebelum meninggal dunia.

Isteri suspek yang juga kakak tiri mangsa, Nazura dipetik China Press berkata, suaminya membunuh mangsa mungkin kerana dengki dan menyimpan dendam akibat tidak berpuas hati Amila terlalu dimanjakan sehingga menyebabkan dia dimaki ibu mertuanya.

‘Pelabur jauhkan diri dari hartanah Malaysia hingga dilema selesai’

Posted: 23 Aug 2016 06:09 AM PDT


MALAYSIAKINI


Pelabur asing kurang berminat menceburi pasaran hartanah Malaysia sehingga 'dilema' negara selesai, kata seorang ejen hartanah veteran, Siva Shanker.

Pasaran hartanah kini didorong oleh permintaan domestik, kata Siva, seorang bekas presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA).

"Saya tidak fikir ramai pelabur hartanah asing mahu bergegas datang ke Malaysia sekarang. Saya fikir mereka akan menjauhi Malaysia.

"Sehingga kita selesaikan dilema hari ini atau hingga ia berakhir, saya fikir setiap orang akan melayan kita dengan agak berhati-hati," katanya ketika menyampaikan persembahan slaid mengenai tinjauan pasaran hartanah di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan mengenai 'dilema' yang disebutkannya pada majlis itu dan turut tidak mahu mengulas lanjut pada sidang media selepas itu.

Siva juga berkata industri itu asalnya menjangkakan pasaran hartanah yang kekal 'tidak menarik' pada suku pertama 2015 akan menjadi lebih baik pada suku keempat tahun berkenaan.

"Tetapi, malangnya, ini tidak berlaku kerana saya fikir, terutamanya antara lain, The Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan berita mengenai 1MDB dan pasaran sedikit terjejas dengan para pelabur mengambil pendekatan menjauhkan diri," katanya.

Dalam persembahan slaid itu, Siva berkata senario politik semasa juga memberi kesan kepada pasaran.

Pada sidang akhbar selepas itu, Siva, enggan mengulas mengenai peranan kerajaan dalam membantu pemulihan pasaran hartanah berikutan kemelut 1MDB.

"Sidang akhbar ini adalah mengenai rakan kongsi (kami) dengan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan pasaran hartanah. Saya akan menjauhkan diri daripada politik mengenai ini," katanya




Umno tidak rebut jawatan pengerusi BN P. Pinang kerana tiada kuasa politik

Posted: 23 Aug 2016 05:50 AM PDT

 
Zainal Abidin berkata, jawatan itu tiada kuasa pentadbiran, kecuali amanah, tanggungjawab, tugas dan kerja berat semata-mata.


Zainal Abidin Osman


GEORGE TOWN: Umno tidak pernah melobi untuk jawatan pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang kerana ia tiada kuasa politik atau sebarang keistimewaan di negeri pimpinan Pakatan Harapan.

Sebaliknya, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berikrar akan terus menyokong Teng Chang Yeow memimpin BN Pulau Pinang dalam usaha merampas negeri itu daripada DAP.

"Umno Pulau Pinang tidak pernah mencadangkan atau melobi perdana menteri untuk mengambil alih jawatan itu. Pelantikan pengerusi BN negeri adalah prerogatif pengerusi BN pusat iaitu perdana menteri.

"Lagipun tidak pernah timbul dalam sebarang perbincangan di peringkat Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang cadangan mengambil alih jawatan pengerusi BN negeri yang disandang Teng.

"Jawatan pengerusi BN negeri di sebuah negeri ditadbir pembangkang tidak mempunyai sebarang kuasa politik atau kuasa pentadbiran.

"Ia juga tidak ada apa-apa keistimewaan kecuali amanah, tanggungjawab, tugas dan kerja berat semata-mata. Ia tidak pernah menjadi rebutan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainal Abidin berkata, hubungan Umno dengan rakan komponen BN di Pulau Pinang adalah akrab, baik dan saling melengkapkan satu sama lain, malah kerjasama mereka juga di tahap baik.

Beliau mengulas laporan FMT bertajuk "Umno bakal memimpin BN Pulau Pinang, Gerakan disisih?" yang disiarkan Jumaat lalu.

Seorang ahli kanan jawatankuasa pusat Gerakan memberitahu FMT, Umno berminat mengambil alih jawatan itu yang dipegang Gerakan secara tradisi.

Pemimpin Gerakan yang enggan dikenali itu berkata, BN Pulau Pinang menjadi lemah untuk menentang kerajaan pimpinan DAP ekoran masalah dalaman dan pertelagahan antara puak.

Sehubungan itu, seorang pemimpin Umno dari Pulau Pinang yang merupakan menteri dicadangkan memegang jawatan pengerusi BN negeri.

Kemelut dalaman Gerakan Pulau Pinang timbul selepas Timbalan Setiausaha Agungnya, Dr Thor Teong Gee meletak semua jawatan dalam parti kerana mendakwa reputasinya terjejas ekoran pergeseran dalaman untuk jawatan Penyelaras Bahagian Sungai Pinang serta perebutan kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

Susulan laporan FMT itu, Malaysiakini memetik bekas dan pemimpin sekarang mengesahkan berlaku "krisis dalaman" kerana parti terbabit diketuai "boneka dan pengikut" bukannya "pemimpin dan cendikiawan".

Apabila dihubungi FMT, Teng bagaimanapun enggan mengulas.

Namun, beliau memberitahu Malaysiakini: "Selepas anda tulis laporan bagus yang menghentam saya, arahan tutup mulut dikeluarkan, jadi saya tidak boleh komen."

Posted: 23 Aug 2016 05:50 AM PDT

 
PAS sedia berbincang dengan PKR dan Bersatu berhubung pembahagian kerusi pada PRU14.


nik-bersatu-pas


KOTA BHARU: PAS sedia membuka ruang perbincangan dengan parti yang ingin bekerjasama dengannya, kecuali DAP dan Amanah yang disifatkannya pengkhianat parti itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tawaran itu juga terbuka kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilaporkan sedang mengintai kerusi pembangkang untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menjelaskan pendirian PAS terhadap DAP dan Amanah, Mohd Amar berkata: "Pendirian ini jelas kerana DAP jelaskan sikapnya yang anti PAS dan terbaharu jawatankuasa pemudanya juga menyatakan kalau ingin berkawan dengan DAP, jangan cakap pasal Islam.

"Mana boleh PAS sebagai parti Islam berbuat demikian…takkan kita nak korbankan perjuangan parti kita. Amanah pula sudah jelas adalah pengkhianat kepada parti (PAS)…kalau (parti) yang lain boleh dibincangkan," katanya selepas Istiadat Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Ke-18 di Balai Islam, Lundang, hari ini.

Konvokesyen itu dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Kenyataan Mohd Amar itu sebagai mengulas kenyataan Presiden penaja Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berhasrat mengadakan rundingan pembahagian kerusi pembangkang, sebaik pendaftaran parti itu diluluskan Pendaftar Pertubuhan.

Mohd Amar berkata, setakat ini tiada sebarang rundingan rasmi diadakan antara PAS dan Bersatu berhubung perkara itu.

"Lagipun perkara ini perlu dibincang di peringkat parti. Kita kena rujuk kepada jawatankuasa PAS pusat," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada kerajaan Persekutuan dalam menangani isu keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

"Kita akui sempadan negeri kita dan Thailand terlalu terbuka kerana jaraknya yang panjang dan tiada benteng. Walaupun ada kawalan, ruang untuk diceroboh itu terbuka," katanya mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sempadan Kelantan paling teruk dibolosi, khasnya untuk kegiatan penyeludupan dadah dan senjata api.

‘Zainuddin cuba lagakan parti komponen, hancurkan BN’

Posted: 23 Aug 2016 05:47 AM PDT

 
Zainuddin turut didakwa cuba melakukan provokasi melampau bagi 'menghancurkan' BN.


ti lian ker


PETALING JAYA: Tan Sri Zainuddin Maidin didakwa cuba melaga-lagakan parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi menghancurkan parti pemerintah menerusi kenyataannya yang Umno masih buta manakala MCA, Gerakan dan MIC hanya menunggu masa dikuburkan pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, kenyataan bekas menteri penerangan itu bertujuan mencetuskan konflik perkauman di kalangan parti komponen BN yang kini dalam keadaan baik.

Beliau berkata, Umno, MCA, Gerakan, MIC dan parti komponen BN lain saling memerlukan bagi memastikan BN kekal berkuasa.

"Zainuddin cuba cetuskan konflik perkauman dalam BN, sebab pakatan pembangkang sedang terumbang-ambing, mereka banyak konflik. BN hari ini tidak berdepan masalah, malah pucuk pimpinan kita tidak ada isu dan kita tidak lari daripada prinsip perjuangan parti.

"Kita bertanding atas satu tiket BN bukan bersendirian, tidak macam DAP yang memperjuangkan cauvinis, PKR banyak main isu apa yang rakyat di kawasan suka dan parti pembangkang lain banyak main isu perkauman," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zainuddin menerusi blognya mempersoalkan pemimpin MCA yang tidak mempertahankan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak kerana takut tindakan itu akan menjauhkan lagi masyarakat Cina daripada parti itu.

Beliau menyifatkan MCA ialah duri dalam daging BN kerana perkauman Cinanya terserlah apabila Umno dalam keadaan lemah, malah MCA turut memainkan isu popular yang diketengahkan DAP pada pilihan raya lalu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin yang berang dengan kenyataan Zainuddin itu berkata, bekas Ahli Parlimen Merbok itu cuba melakukan provokasi melampau bagi 'menghancurkan' BN.

Beliau berkata, Umno bukan parti buta manakala MCA, Gerakan dan MIC juga belum mati, sebaliknya parti pemerintah itu berjaya mengembalikan sokongan rakyat selepas menyedari dan memperbaiki kepincangan dihadapi parti komponennya.

"Untuk pengetahuan Datuk Zainuddin, Umno tidak bisu dan tidak buta sehingga tak nampak apa yang berlaku.

"Kita berpendapat adalah wajar bagi Umno terus berdiri teguh bersama parti komponen lain dan terus memberi kekuatan semangat serta menyusun strategi bagi memastikan rakyat kembali menyokong BN.

"Ketiga-tiga parti komponen ini tidak mati dan masih berjuang bersama Umno, apa yang berlaku (krisis dalaman parti) cuma satu proses biasa adat berpolitik, ada masanya kita disokong ramai orang, ada masanya kita tidak mendapat sokongan ramai," katanya.

AMANAH mohon sokongan Agong bagi saman tindakan perwakilan

Posted: 23 Aug 2016 05:18 AM PDT

Koh Jun Lin


LIHAT VIDEO DI SINI


Parti Amanah Negara (AMANAH) akan memohon sokongan daripada Yang di-Pertuan Agong bagi saman tindakan perwakilan atau 'class action' di Amerika Syarikat yang dimulakan oleh peguam, Mattias Chang dan ADUN Salor, Datuk Husam Musa.

Ketua Biro Antarabangsa AMAANH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah berkata parti itu juga bercadang mengambil tindakan undang-undang yang serupa di luar negara berhubung skandal 1MDB, termasuk di Amerika Syarikat, Switzerland, Hong Kong dan Singapura.

"Ini adalah kemungkinan yang sedang kami teliti, dengan bantuan peguam tertentu.

"Justeri, kami berharap mendapat perkenan Yang di-Pertan Agong untuk menyokong inisiatif Husam dan Chang untuk mengembalikkan kembali aset yang dicuri ke Malaysia," kata Raja Kamarul Bahrin pada sidang media hari ini.

Surat kepada Agong akan ditandatangani oleh enam ahli parlimen AMANAH dan parti itu juga akan mendapatkan sokongan daripada wakil rakyat lain dalam usaha berkenaan, termasuk dari BN.

Ketua Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata sokongan Agong akan mengukuhkan tuntutan Husam dan Chang, sekiranya kesahihan atau locus standi tuntutan mahkamah mereka dipersoalkan.

Pada 13 Ogos lalu, kedua-dua mereka memfailkan saman itu yang bertujuan memohon ganti rugi bagi kecurian dana 1MDB dan mendapatkan semula aset yang diperoleh dengan menggunakan dana berkenaan.

Tindakan tersebut dibuat bagi pihak rakyat Malaysia dan difailkan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Selatan New York.

Chang dan Husam menamakan firma Red Granite, pengasas syarikat pengeluar dan pengedar filem Christopher Joey McFarland dan Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai defendan.

Menurut pemfailan mahkamah, kedua-dua mereka mendakwa defendan sengaja menggunakan dana yang dicuri dari 1MDB untuk kepentingan peribadi mereka termasuk mengadakan pesta untuk bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah jutawan yang berasal dari Malaysia, Jho Low dan peguam percukaiannya, Debra Whelan Johnson serta firma miliknya, Metropolis IX Capital Advisors LLC.

BENARKAH NAJIB TIDAK MAHU SAMA-SEKALI MENGGANGGU PENGGANTINYA?

Posted: 23 Aug 2016 01:58 AM PDT

shahbudindotcom


Berkatalah Najib Razak, satu-satunya Perdana Menteri dalam sejarah Malaysia yang skandal kewangan melibatkan dirinya menjadi sebutan seluruh dunia, banyak perkara lain yang boleh dilakukannya selepas bersara nanti selain mengganggu penggantinya.

Katanya, beliau akan menghabiskan masanya melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan ketika berkuasa kerana kesuntukan masa.

"Bercucuk tanam ke, tengok Manchester main bola ke. Macam-macam kita boleh buat. Boleh pergi ke negara yang belum pernah dilawati.

"Boleh tulis buku. Kenapa saya nak ganggu pengganti saya?" ujar Najib lagi.

Mengapakah Najib awal-awal lagi memberi jaminan tidak mahu mengganggu penggantinya sedangkan beliau tiada perancangan sama sekali untuk berundur dalam masa terdekat ini?

Apakah beliau benar-benar boleh dianggap sebagai seorang yang baik dan budiman dengan pendiriannya itu?

Adakah Najib masih mahu berdiam diri juga jika penggantinya nanti melakukan kesalahan lebih besar sehingga menjadi kecaman masyarakat dan dunia?

Bagaimana pula jika penggantinya selepas PRU 14 nanti bukan daripada UMNO, apakah beliau masih tidak mahu mengganggu juga?

Sebenarnya adalah menjadi hak Najib untuk berpendirian tidak mahu mengganggu sesiapa yang menjadi Perdana Menteri selepas beliau bersara nanti. Tetapi ia juga dalam masa yang sama menunjukkan Najib sangat-sangat sedar tentang wajah dirinya yang sebenar.

Untuk menjadi penegur dan pengkritik kepada sesiapa yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri, seseorang itu mestilah terbukti lebih baik, diterima ramai, diiktiraf masyarakat dan dunia antarabangsa, mempunyai wibawa yang tinggi, bersih serta  tidak terlibat dengan apa-apa skandal yang mencemar dirinya.

Tun Mahathir berani menegur dan mengkritik penggantinya kerana beliau memang seorang pemimpin yang istimewa dan terbukti kepimpinannya di dalam dan luar negara sepanjang 22 tahun berkuasa. Tiada sesiapa dapat menafikan pemikiran dan kehebatannya dalam mentadbir negara.

Sebab itulah beliau berani menegur dan mengkritik sesiapa juga yang dianggapnya melakukan kesalahan serta merugikan negara. Lihatlah apa yang ditegurnya berkaitan Tun Abdullah Badawi dan Najib, semuanya kerana mereka berbuat sesuatu yang tidak wajar dan merugikan negara.

Dengan pelbagai kemelut melibatkan diri, isteri dan anak-anak, skandal kewangan, hutang serta kerosakan negara yang diakibatkan olehnya, kita tentu saja boleh menjangka bahawa Najib pasti akan terus mengunci mulutnya serapat-rapat yang boleh apabila bersara nanti.

Sebagaimana Tun Abdullah Badawi terus berdiam diri selepas bersara kerana bimbang orangramai mengungkit-ungkit kebejatan budak-budak tingkat 4 dalam era kepimpinannya, Najib yang jauh lebih besar "pekungnya", tentunya akan lebih membatukan dirinya.

Sebarang percubaannya untuk menegur dan bersuara, penggantinya pasti akan sentiasa merujuk kepada pelbagai masalah dan kelemahan dalam kepimpinannya dahulu.

Tentu sekali lebih menyakitkan bagi Najib jika penggantinya turut mengungkit-ungkit mengenai skandal 1MDB, hubungannya dengan Jho Low dan wang RM2,600 juta yang pernah berada dalam akaun peribadinya.

Jadi, memang difahami jika Najib siang-siang lagi memberi jaminan tidak mahu menggangu penggantinya. Beliau tidak mahu mengganggu mereka dengan harapan penggantinya juga tidak mengganggu dunia persaraannya dengan mengungkit-ungkit sebarang kesalahannya.

Itu jika penggantinya daripada UMNO juga. Andainya pengisi jawatan Perdana Menteri selepas PRU 14 bukan daripada UMNO, Najib bukan saja tidak mungkin bersuara, malah barangkali juga akan memilih untuk berhijrah ke negara lain.

Bayangkanlah apa nasib Najib jika Perdana Menteri selepas PRU 14 ialah Muhyiddin Yassin, Azmin Ali, Anwar Ibrahim atau sesiapa yang lain daripada Pakatan Harapan?

Di mana beliau dan apa yang bakal dihadapinya?

Barangkali sebelum pun Najib bersuara, tugas utama mereka ialah memburu Najib terlebih dahulu. Najib paling mungkin akan diadili dan diminta menjawab pelbagai isu yang berlaku sepanjang era pentadbirannya.

Maka, bila Najib cuba menunjuk baik tidak mahu mengganggu penggantinya, eloklah kita senyum-senyum saja membacanya.


Gaji besar belum tentu hidup selesa

Posted: 23 Aug 2016 01:40 AM PDT

Kuala Lumpur
 

"Wahhh...orang KL dah balik, boleh la kita mintak orang KL belanja...orang KL kan kaya-kaya..." - Itulah ungkapan yang biasa kita dengar bila mereka yang kerja dan tinggal di Kuala Lumpur ataupun Lembah Klang pulang ke kampung halaman. Label 'orang kaya', 'geng berduit' dan sebagainya sering digambarkan kepada golongan warga kota itu.

Namun, realitinya jauh berbeza. Masih ramai orang di kota yang 'kaya' tapi 'miskin'. Bergaji mencecah RM5,000 belum tentu boleh hidup mewah di kota raya. Bermacam-macam hutang dan bil perlu
dibereskan. Apatah lagi dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang melonjak sejak kebelakangan ini sehingga memaksa ada orang KL yang terpaksa ikat perut.

Sinar Harian mengupas realiti hidup warga kota dan memaparkan luahan rasa serta kesukaran mereka menguruskan kewangan demi kelangsungan hidup.

KISAH 1- Baki pendapatan hanya 'cukup-cukup makan'

Harga barangan yang melonjak naik selepas pelaksanaan GST menyebabkan rakyat termasuk golongan masih bujang rasa terhimpit menjalani rutin harian tinggal di kawasan bandar.

Peniaga makanan, Muhammad Aidil Zailani, 23 berkata, meskipun pendapatan diperoleh hampir RM3,000 sebulan, namun setelah ditolak perbelanjaan dan kos keperluan lain, baki yang tinggal hanya 'cukup-cukup' makan untuknya bertahan hingga ke bulan seterusnya.

Anak sulung daripada lima beradik ini berkata, dia yang masih bujang perlu menanggung seorang adiknya yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Katanya, hanya dia seorang bekerja dan tidak boleh bergantung harap kepada ibu dan bapanya berikutan kedua-duanya perlu menanggung tiga lagi adik yang masih bersekolah.

"Ikutkan saya boleh dapat lebih kurang RM3,000 sebulan, tapi itu belum tolak ansuran pinjaman kereta, petrol, bil telefon, api dan air serta peruntukan wang saku adiknya.

"Kalau dikira-kira, kadang-kadang memang tak cukup wang yang diperoleh, jadi saya terpaksa membuat kerja sampingan berniaga gajet alat komunikasi dan sebagainya untuk cari wang lebih," katanya.

Muhammad Aidil berkata, kos sara hidup menjadi tinggi apabila barangan keperluan dibeli naik mendadak sejak kerajaan melaksanakan GST.

Katanya, sebagai peniaga, dia juga perlu menanggung GST, sebagaimana yang ditanggung pengguna akhir.
Lebih membebankan dia yang tinggal di Puchong terpaksa menanggung kos tol sekiranya ada urusan di luar Puchong.

"Bila nak urus kewangan memang saya akan dahulukan mana yang perlu dulu, kalau terdesak sangat barulah pinjam daripada ahli keluarga.

"Cuma saya agak bernasib baik kerana tak perlu tanggung kos rumah sewa kerana tinggal bersama keluarga," katanya.


Ketua Audit Negara sedia beri keterangan berhubung klasifikasi laporan 1MDB

Posted: 23 Aug 2016 01:38 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
MELAKA: Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, beliau sedia memberi keterangan di mahkamah berhubung semakan kehakiman bagi mencabar keputusan mengklasifikasi Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rahsia rasmi.
 
Beliau berkata, hadir ke mahkamah bagi memberi keterangan dan memberikan kerjasama penuh pada bila-bila masa bagi menjadi saksi adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya.
 
"Kalau saya diperlukan datang ke mahkamah untuk menjadi saksi saya akan hadir, itu tanggungjawab saya. Lagipun nama saya telah disebut, jadi saya kena bagi penjelasan.
 
"Setakat ini saya belum dipanggil dan saya bersedia pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Audit 1Malaysia dan Persidangan Juruaudit Sektor Awam Jabatan Audit Negara 2016 disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.
 
Pada 15 Ogos lepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan mengklasifikasi Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB sebagai rahsia rasmi.
 
Ditanya tentang permohonan semakan kehakiman berkenaan, Ambrin berkata, Azmin mempunyai hak untuk memfailkan semakan tersebut dan beliau (Ambrin) akan melihat perkembangan kes tersebut.
 
 

Rasuah RM500,000: Lagi Datuk ditahan SPRM

Posted: 23 Aug 2016 01:30 AM PDT


SPRM
SPRM


PUTRAJAYA - Seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai terlibat dengan suapan lebih RM500,000 membabitkan projek pembalakan di Pantai Timur.

Lelaki itu ditahan SPRM di rumahnya di Bukit Jalil, Kuala Lumpur jam 4.40 petang semalam.

Menurut sumber, lelaki itu dipercayai menerima suapan tersebut bagi membolehkan kontraktor tertentu mendapat tander membawa keluar kayu balak.

"Setakat ini, tiada rampasan dibuat," katanya.

Beliau berkata, lelaki berusia 64 tahun itu direman selama lima hari bermula hari ini.

"Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya.


Viral: Pemain Pokemon Go ganggu orang awam beriadah

Posted: 23 Aug 2016 01:24 AM PDT

Pokemon Go
 

KUMPULAN besar didakwa pemain Pokemon Go yang melalui Taman Jaya, Petaling Jaya dikatakan mengganggu aktiviti riadah sebuah keluarga, kelmarin.

Perkara tersebut diluahkan oleh seorang pelayar laman Facebook yang sedang bersama-sama isteri dan anaknya di sebuah taman ketika kejadian.

"Gerombolan pemain datang buatkan pengunjung tiba-tiba hilang arah dekat mana anak dan ahli keluarga masing-masing," kata pelayar tersebut dalam sebuah perkongsian.

Katanya, anak dan isterinya sedang bermain badminton ketika kawasan tersebut 'diserbu' pemain Pokemon Go.

"Anak dan isteri tengah main badminton pun mereka redah begitu sahaja," kata pelayar tersebut lagi.

Dua buah video yang merakamkan kejadian tersebut juga disertakan dalam perkongsian berkenaan dan kini viral di laman Facebook.


Isytihar harta: Alasan Adnan tak masuk akal

Posted: 23 Aug 2016 01:21 AM PDT

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


SHAH ALAM - PKR melahirkan rasa terkilan dengan alasan diberikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung isu pengisytiharan harta.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa alasan risiko keselamatan sekiranya bersetuju untuk membuat pengisytiharan harta diberikan Tengku Adnan itu tidak masuk akal.

"Sebenarnya beliau takut dengan rakyat kerana beliau tidak berani untuk memperincikan harta dan sumbernya seperti yang saya buat tahun lalu.

"Oleh kerana harta itu dikumpul sebelum menjadi wakil rakyatlah maka harta itu perlu diisytiharkan secara terperinci supaya rakyat tahu bahawa seorang wakil rakyat itu tidak terlibat dengan salah laku rasuah atau penyelewengan semasa menjawat jawatan awam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Tengku Adnan dilaporkan melahirkan kebimbangan keluarganya mungkin menjadi sasaran penjenayah jika beliau bertindak mengisytiharkan harta kepada rakyat.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan berkata beliau telah mengisytiharkan hartanya dalam bentuk Akuan Bersumpah tahun lalu dan sejak itu kedudukannya sebagai seorang wakil rakyat serta ahli politik bertambah baik.

"Saya menjadi lebih popular dan lebih ramai pengundi atas pagar dan dari Umno sendiri yang mengikuti saya di laman media sosial malah dari semasa ke semasa ada sahaja orang biasa yang datang ke Pusat Khidmat untuk menderma kerana mereka simpati dengan kedudukan kewangan saya dan keluarga.

"Saya jarang mendapat permohonan tajaan kerana semua orang tahu saya tidak berduit dan saya tidak pernah diugut atau sesiapa dari keluarga saya menerima ancaman kerana penjenayah tahu saya tidak berduit," katanya.

Menurutnya lagi, ada dua cara ciri-ciri pengisytiharan harta yang jika diamalkan oleh wakil rakyat ia boleh membantu mereka hidup lebih selamat dan aman.

"Ia perlu memberi perincian harta dan sumbernya sebelum menjadi wakil rakyat dan pada setiap tahun, diisytiharkan pula perubahan harta bagi menunjukkan sama ada harta dibelanjakan bagi tujuan politik atau ada harta baru yang ditambah sejak menjadi wakil rakyat dan sumbernya.

"Ia juga perlu memberi perincian pendapatan dan perbelanjaan bulanan sebagai wakil rakyat untuk membuktikan bahawa tiada sumber tidak baik yang dilibatkan setiap bulan. Hanya dengan cara ini, barulah rakyat dapat menilai sama ada pengisytiharan harta itu adalah benar atau tidak kerana rakyat boleh membandingkan pengisytiharan harta tersebut dengan gaya hidup seorang wakil rakyat," katanya.

Sebelum ini, PKR menggesa Tengku Adnan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Abd Aziz mengisytiharkan harta mereka kepada rakyat dengan kadar segera selepas Tengku Adnan memaklumkan setiap jabatan di bawah kementeriannya telah diarahkan untuk meneliti semula pengisytiharan harta pegawai bagi membendung gejala rasuah.

Namun, Tengku Adnan berkata beliau tidak akan berbuat demikian kerana bimbang keselamatan keluarganya terancam kerana mendakwa mempunyai banyak aset semasa menjadi ahli perniagaan sebelum menyertai politik.

Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pegawai tinggi DBKL bergelar 'Datuk Seri' selama tujuh hari  bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah.


Ringgit rendah berbanding dolar AS pagi ini

Posted: 23 Aug 2016 01:14 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ringgit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pembukaan perdagangan hari ini kerana sentimen bulis mengenai ekonomi AS merangsang pengukuhan dolar AS, kata peniaga.
 
Pada jam 9 pagi, unit mata wang tempatan itu berada pada paras 4.0280/0330 berbanding dolar AS daripada 4.0200/0260 yang dicatatkan semalam.
 
Peniaga berkata, komen daripada pembuat dasar Rizab Persekutuan AS melonjakkan harapan satu lagi kenaikan kadar faedah tahun ini.
 
Bagaimanapun, ia mungkin menunggu perangkaan domestik AS selanjutnya untuk merealisasikan kenaikan kadar faedah pada Disember ini.
 
Sementara itu, ringgit rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
 
Ia jatuh berbanding pound kepada 5.2904/3002 daripada 5.2662/2749 semalam, dan mengukuh berbanding yen kepada 4.0212/0282 daripada 3.9921/9992, sementara menyusut berbanding dolar Singapura kepada 2.9830/9885 daripada 2.9747/9802.
 
Mata wang tempatan menyusut berbanding euro kepada 4.5617/5690 daripada 4.5402/5478 semalam.
 
 

Mahkamah Rayuan tolak tuntutan kerajaan terhadap BERSIH

Posted: 23 Aug 2016 01:13 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan pihak polis dan kerajaan untuk memulakan tuntutan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (PPA) bagi mendapatkan ganti rugi yang dialami pada perhimpunan BERSIH 3.0 pada tahun 2012.
 
Keputusan itu dibuat  panel tiga anggota, yang menggugurkan saman terhadap anggota jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 termasuk bekas pengerusinya Datuk Ambiga Sreenavasan.
 
Hakim Datuk Rohana Yusof berkata PPA tidak boleh digunakan untuk memulakan tuntutan itu.
 
Dua tahun lalu Hakim Datuk John Louis O Hara memerintahkan PPA adalah mengikut perlembagaan tetapi menolak tuntutan saman oleh kerajaan.
 
Hakim Rohana membuat keputusan itu bersama hakim Datuk Varghese George Varughese dan Datuk Mary Lim.
 
Setiap seorang daripada hakim berkenaan menulis penghakiman berasingan dalam keputusan itu tetapi Rohana yang mengetuai panel membaca keputusan ringkas.
 
Mengenai tuntutan balas oleh responden keenam, Wong Chin Huat, Hakim Rohana membenarkan sebahagian daripada rayuan kerajaan.
 
Mahkamah Rayuan mengesahkan penganugerahan RM10,000 sebagai ganti rugi teruk dan RM5,000 lagi bagi kesakitan dan penderitaan Wong, yang mendakwa polis membelasahnya semasa ditangkap.
 
Ambiga, yang menyambut baik keputusan bersejarah itu berkata: "Kami sangat gembira dengan keputusan ini dan kami juga gembira setiap hakim menulis penghakiman yang berasingan di bahagian undang-undang yang berbeza.
 
"Kami gembira bahawa mahkamah mengambil kes ini dengan serius dan membuat kesimpulan bahawa penghakiman Mahkamah Tinggi adalah betul."
 
Ambiga berkata keputusan itu bermakna kerajaan tidak boleh menyaman untuk mendapatkan ganti rugi di bawah PAA.
 
"Mahkamah memutuskan bahawa kerajaan telah gagal untuk membuktikan kes mereka dalam apa jua keadaan," kata bekas presiden Badan Peguam Malaysia itu.
 
 

Parti Pribumi perlu bersaing sesama pembangkang tarik pengundi - Tun Faisal

Posted: 23 Aug 2016 01:11 AM PDT

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi diramal bakal berdepan kesukaran untuk menarik sokongan pengundi Melayu, kata bekas Exco Pemuda Umno Tun Faisal Ismail Aziz.
 
Ujarnya, kesukaran ini bersandarkan kepada pengundi yang anti Umno-Barisan Nasional (BN) mempunyai pilihan parti Melayu lain antaranya PAS, PKR mahupun Amanah.
 
"Tidak guna dia (Parti Pribumi) menawarkan diri untuk undi Melayu sedangkan kalau orang yang tidak sokong Umno BN, PAS dan PAN (Amanah) boleh ambil undi itu tanpa perlu ada Pribumi (Parti Pribumi).
 
"Kenapa perlu mereka (pengundi) undi Pribumi sedangkan mereka boleh lakukan itu dengan mengundi PAS mahupun PAN (Amanah) ataupun PKR. 
 
"Ada atau tidak Pribumi ini sebenarnya bagi orang yang tidak suka kepada Umno BN, dia boleh lakukan perkara itu tanpa wujudnya Pribumi," katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos.
 
Terdahulu, Parti Pribumi pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu mengintai beberapa kerusi milik PAS dan PKR bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
 
Malah parti serpihan Umno itu juga telah memperincikan maklumat kawasan yang mereka mahu tandingi di kerusi PKR dan PAS.
 
Parti mana mahu serah kerusi? 
 
Tambah Tun Faisal, adalah mustahil untuk Parti Pribumi bertanding di kerusi majoritinya Cina kerana asas parti itu hanya memberi fokus kepada golongan Melayu/Bumiputera sahaja.
 
"Tentunya kalau Pribumi dia tidak boleh bertanding di kawasan DAP kawasan majoriti Cina, tiada cara untuk dia (Parti Pribumi) duduk di situ (kawasan Cina)," katanya.
 
Beliau juga kurang yakin untuk PAS tunduk kepada kemahuan Parti Pribumi mahupun Amanah dalam memberikan kerusi mereka yang boleh mengurangkan kerusi mutlak parti itu.
 
"Kalau kata PAS bagi kerusi mereka, maka ia akan mengurangkan peluang untuk dia (PAS) merampas kawasan Umno BN yang ada sekarang ini.
 
"Ada kemungkinan kerusi PAS yang akan Parti Pribumi ambil sama seperti PAN (Amanah). Sekarang dia (Amanah) bersaing dengan PAS. Takkan dia (Amanah) nak bertanding di kawasan DAP. Takkan dia (Amanah) nak berlaga dengan PKR. Mahu atau tidak dia kena ambil kawasan yang ada pada PAS," katanya.
 
Justeru katanya, Parti Pribumi perlu memastikan rundingan bersama pembangkang mengenai pembahagian kerusi dapat dilakukan demi pertembungan satu lawan satu bersama BN.
 
Selain itu tambah Tun Faisal, Parti Pribumi perlu sedar dan mengambil kira kewujudan parti baru seperti Amanah dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).
 
"Tapi kalau bila melihatkan dalam Pakatan Harapan (PH), dia (Parti Pribumi) memang terpaksa ambil salah satu  daripada kerusi tiga parti itu samada kerusi PKR, PAN (Amanah) mahupun kerusi PAS. Ini mungkin mereka (Parti Pribumi) tidak sedar. 
 
"Sekarang bila sudah ditubuhkan parti, bila nampak kena bertanding di pilihan raya dan nampak bahawa dia (Parti Pribumi) terpaksa minta belas ehsan ataupun terpaksa berbincang dengan parti pembangkang yang pegang kerusi pada pilihan raya secara tradisi," kata Tun Faisal lagi.
 
Muhyiddin sebelum ini berkata prinsip pembahagian kerusi antara parti pembangkang haruslah bersandarkan kepada parti yang mempunyai peluang kemenangan besar di sesebuah kawasan.
 
Ujar bekas Timbalan Perdana Menteri itu, pembangkang perlu fokus kepada perjuangan menjatuhkan Umno BN dan sesiapa sahaja yang mempunyai kemampuan untuk menang perlu diberikan peluang.
 
 

Jangan kacau kerusi kami, kata PAS

Posted: 23 Aug 2016 01:07 AM PDT

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS terus bertegas untuk tidak memberi laluan kepada mana-mana parti yang mahu meminta kerusi mereka untuk bertanding di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, demikian kata Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad.
 
Ujarnya, parti itu menyambut baik prinsip lawan satu untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN), namun tidak mahu parti lain 'mengacau' kerusi tradisi mereka.
 
"Kita (PAS) belum lagi di tahap untuk mengadakan perbincangan dengan Amanah tapi daripada segi, satu lawan satu kita tidak ada masalah. Tapi janganlah kacau kerusi PAS dan PAS tidak akan kacau kerusi orang lain. 
 
"Kita (PAS) bertindak tegas bahawa kita tidak akan melepaskan mana-mana kerusi kita kepada BERSATU dan juga kepada PAN (Amanah)," katanya kepada Antarapos. 
 
Malah beliau mengingatkan Amanah untuk tidak berebut kerusi dengan parti itu kerana mereka telah pun merampas empat kerusi PAS dengan menubuhkan parti baru.
 
Antara kerusi itu adalah Hulu Klang, Kota Raja, Shah Alam dan Sepang.
 
Iskandar berkata demikian merujuk kenyataan Presiden Parti Pribumi Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa parti itu kini mengintai beberapa kerusi milik PAS dan PKR untuk ditandingi pada PRU14 akan datang.
 
Tegasnya lagi, PAS tidak akan teragak-agak untuk bertanding di kerusi-kerusi milik pembangkang yang lain jika meneruskan niat untuk meletakkan calon di kawasan parti itu.
 
"Kita (PAS) boleh bertanding di kerusi kita dan tidak akan bertanding di kerusi lain sebab dari segi jentera PAS kita berkemampuan untuk bertanding lebih. Sekarang PAS bertanding di 20 kerusi DUN (Selangor) dan 6 kerusi parlimen (Selangor) dan kita berupaya untuk bertanding lebih daripada itu. 
 
"Kita ada jentera hampir di setiap kawasan sebab kita ada struktur di peringkat akar umbi yang kuat. Kita boleh bertanding di semua kerusi kalau kita nak, tapi berdasarkan kepada PRK Sungai Besar perlu ada satu lawan satu," ujar Iskandar.
 
Semalam Pengarah Strategik Amanah Khalid Samad berkata PAS perlu bersedia melepaskan beberapa kerusi miliknya kepada BERSATU dan Amanah pada pilihan raya akan datang.
 
Jelas Khalid, langkah itu penting  bagi menyaksikan perlawanan satu lawan satu dan menjamin kemenangan dikesemua kerusi yang bakal ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH), PAS dan Parti Pribumi, sekaligus menjatuhkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).
 
 

Slogan 'PAS For All' tak pernah diganti - Nik Zawawi

Posted: 23 Aug 2016 01:06 AM PDT

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
BESUT: Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan PAS pada Muktamarnya Jun lalu, bukan hanya untuk mengubah dalaman PAS saja, demikian menurut Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh.
 
Menurut Nik Zawawi, ramai pihak yang tersalah anggap dan menyifatkan BPMS sebagai pendekatan PAS untuk mematangkan 'diri sendiri' saja, sebaliknya menurut beliau, pendekatan itu diwujudkan untuk menjadi pengajaran kepada semua parti politik yang yang dirasakan masih tidak matang.         
 
"Parti-parti politik yang ada ini parti yang tidak matang. Jadi kita sebagai model, sebab itu kita yang bawa supaya semua parti politik ini lihat ini budaya yang ada dalam PAS. Sebab itu saya sebut parti politik yang ada dalam negara kita sangat tidak matang.
 
"Umno-BN bila berpolitik, ia menghukum, sebagai contoh guru yang mengajar. Kalau (guru itu) tak kuat Umno, tak boleh.
 
"Itu Umno yang memerintah, kalau parti lain yang tidak memerintah seperti PAN (Amanah). Kalah bertanding kemudian tubuh parti lain. Ini bukan saja tak matang malah tak cerdik," katanya dalam satu temubual bersama Antarapos baru-baru ini, mengulas mengenai pendekatan baru parti berkenaan.
 
PAS memperkenalkan BPMS sewaktu muktamar tahunannya, Jun lalu, bermaksud mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera dengan setiap tindakan perlu berdasarkan maklumat yang betul serta pertimbangan akal dan syarak, dan bukannya berasaskan emosi kebencian politik kepartian.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sewaktu ucapan dasarnya pada muktamar itu berkata, PAS mahu keluar daripada budaya politik lama yang melampau dan kasar. 
 
Pendekatan PAS itu mengundang kritikan parti serpihannya sendiri, iaitu Amanah yang menyifatkan BPMS memperlihatkan langkah PAS yang lebih cenderung untuk bersama Umno, berdasarkan beberapa pendirian parti itu kebelakangan ini yang lebih 'menyokong' parti Melayu tersebut.
 
Mengulas mengenai perkara itu, ujar Nik Zawawi, PAS enggan menitikberatkan kritikan parti serpihan berkenaan, malah menambah, apa jua membabitkan Amanah langsung tidak pernah dibincangkan atau termasuk dalam 'kamus' parti itu.
 
Di sebalik kritikan itu juga, Nik Zawawi malah berkata, pendekatan BPMS disokong oleh hampir 70 peratus badan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai pihak di dalam negara ini.     
 
Mengulas lanjut ujarnya, pendekatan BPMS tidak bermakna PAS 'meninggalkan' slogan PAS For All seperti yang diperkenalkan sebelum ini.
 
Beliau turut menyangkal tanggapan sesetengah pihak yang menyifatkan BPMS sebagai slogan ikut-ikutan PAS bagi 'menghalalkan' hubungan tahaluf siyasi bersama parti lain seperti Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).
 
"PAS meneruskan dasar yang dibawa sebelum dari ini. PAS For All jelas masih kekal sehingga sekarang. Memang perjuangan kita untuk semua dan agama Islam untuk semua. PAS For All ini kita tak pernah ganti.
 
"Cuma sekarang kita sebut BPMS kerana kita lihat arus yang berkembang dalam dunia pada hari ini, kita mesti ikut supaya negara kita tak ketinggalan. 
 
"Jadi sebab itu, yang menentukan kemajuan dalam negara, yang menetukan tamadun, kesatuan dalam negara kita adalah budaya politik matang dan sejahtera," ujarnya lagi, sambil menambah pendekatan tersebut tidak mengelirukan akar umbi.

Tiada ulasan: