Isnin, 2 Mei 2016

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Nurul : Tiada lagi rayuan, tak perlu lagi percaya pembuli

Posted: 02 May 2016 03:52 AM PDT

Geraldine Tong  




Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak akan menulis satu lagi surat rayuan kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem walaupun beliau terus dihalang daripada memasuki negeri itu.

"Ada yang bertanya kepada saya jika saya akan menghantar satu lagi surat rayuan. Saya tak fikir.

"Ada had untuk penyalahgunaan kuasa sewenang-wenangnya. Kita tidak perlu memberikan kepercayaan lagi kepada pembuli," katanya kepada Malaysiakini hari ini selepas tiba di Kuala Lumpur berikut pengusiran beliau dari lapangan terbang Miri pagi tadi.

Beliau sebelum ini melahirkan rasa terkejut apabila diusir walaupun telah menghantar surat kepada ketua menteri pada Jumaat lepas.

Nurul Izzah pertama kali mendapati dirinya dihalang daripada memasuki Sarawak pada Disember tahun lepas.

Bagaimanapun, Adenan berkata beliau akan menimbang untuk membenarkan Nurul dan ibunya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke negeri itu jika mereka memohon secara 'sopan' untuk dibenarkan masuk ke Sarawak.

Wan Azizah dibenarkan masuk ke Sarawak selepas mendarat di lapangan terbang Miri semalam, walaupun perjalanan beliau terhad sehingga 5 Mei, dua hari sebelum hari mengundi.

Surat terbuka

Nurul Izzah telah menulis surat terbuka kepada Adenan dengan menyatakan larangan berterusan beliau ke Sarawak membuktikan pembangkang berjaya menolak manifesto BN dalam Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.

Katanya, ia dapat dilihat lebih jelas apabila Adenan dan BN terpaksa membuat banyak perubahan dan janji berkaitan isu-isu autonomi dan hak-hak tanah adat di Sarawak.

Beliau menggesa Adenan, yang menyifatkan dirinya sebagai berbeza daripada bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, untuk berpegang kepada janjinya.

"Marilah kita bersaing dengan cara yang sihat dan membawa Sarawak ke jalan kejayaan yang sebenar," katanya.

Zahid mahu tengok, siapa anggota PGA akan pangkah?

Posted: 02 May 2016 03:46 AM PDT

Lu Wei Hoong





Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peruntukan RM250,000 untuk Pasukan Gerakan AM (PGA) di Kuching, sehari sebelum anggota pasukan itu membuang undi esok.

Peruntukan RM100,000 diberikan kepada surau dan gereja bagi anggota yang beragama Islam dan Kristian, manakaka RM50,000 lagi bagi Persatuan Keluarga Polis (Perkep).

Zahid berkata beliau juga akan mempertimbangkan permintaan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menaikkan elaun anggotanya, namun menyatakan beliau mahu 'melihat' siapa akan mereka undi terlebih dahulu.

"Tan Sri IGP pun bisik dengan saya tiap-tiap kali mesyuarat, 'elaun anak-anak buah saya macam mana?

"Tuan-tuan dan puan-puan, buktikanlah kepada saya. Saya cakap saya buat.

"Tetapi (saya) nak tengok dulu, (anda akan) pangkah siapa?," katanya pada majlis di kem batalion ke 11 PGA di Kuching.

Zahid menambah beliau juga merancang untuk menaiktaraf unit PGA kepada jabatan penuh.

"Apabila ia jadi sebuah jabatan maka ada naik pangkat. Ada nombor satu, nombor dua, nombor tiga.

"Saya jaga anak buah saya naik pangkat, tetapi sebelum ini dibuat, saya nak bukti dulu. Kalau bukti memalukan susahlah saya nak minta dengan YAB PM. Insha Allah kita buktikan dulu nanti perjuangkan," katanya.

Perkenalkan calon BN

Turut hadir ialah Khalid dan Presiden SUPP, Dr Sim Kui Hian yang bertanding bagi kerusi Batu Kawah.
Menyedari esok adalah hari penting, Zahid menggesa anggota PGA tidak 'lupa dan membantu' beliau.

Beliau menekankan tidak berkempen kepada mereka, namun pada masa sama turut memperkenalkan calon BN.

"Saya tak ada kempen di sini...yang saya lakukan untuk jaga kebajikan anak-anak buah saya.

"Saya tak kempen, tapi saya nak Dr Sim datang ke depan sikit, angkat tangan la sikit," katanya sambil disambut tepukan daripada mereka yang hadir.

Zahid kemudian memberitahu Sim jika memenangi pilihan raya, calon BN itu perlu menjaga kebajikan semua anggota dalam pasukan polis.

"Kalau Prof Sim tak ada peruntukan untuk bantu anak buah saya, bagitahu saya salurkan peruntukan melalui DUN Batu Kawah yang terpilih.

"Saya minta sekali sahaja dia terpilih sebab dia mahu bukti bagi perkhidmatan terbaik untuk semua kita dalam penggal ini.

"Kalau dia bagi perkhidmatan yang baik, kita teruskan. Tapi kalau tidak, baik, ini yang pertama dan terakhir untuk kamu," katanya.

Zahid juga menegaskan rekod menunjukkan beliau telah meluluskan pelbagai peruntukan untuk PGA termasuk untuk topi keledar, jaket dan kereta perisai.

Unit PGA merupakan cawangan kepada Polis Diraja Malaysia.


Indira kecewa polis gagal cari bekas suami mualaf

Posted: 02 May 2016 03:42 AM PDT

Alyaa Azhar





Hanya dua hari lepas guru tadika M Indira Ghandi membuat laporan polis menyatakan kebimbangan beliau bahawa bekas suaminya melarikan diri dari negara ini.

Kini, seolah-olah kebimbangan itu mungkin menjadi kenyataan.

Mengulas kegagalan polis mengesan mualaf Mohd Ridhuan Abdullah @ K Patmanathan, kemarahan Indira itu dapat difahami.

"Ia tidak logik bagaimana polis tidak dapat mencari dia, kenapa polis tak dapat cari?

"Pihak polis baru sahaja memberikan alasan untuk tidak menahannya. Dia (Ridhuan) adalah rakyat Malaysia, memegang pasport Malaysia, mempunyai kad pengenalan dan menggunakan nombor telefon yang sama sejak lapan tahun lalu. Jadi, mengapa mereka tidak boleh mencari dia?" kata Indira kepada Malaysiakini.

Ibu kepada tiga anak itu terus terang menyatakan kekecewaan beliau terhadap polis.

"Semua orang kecewa dan marah tentang perkara ini. Apa orang asing akan fikir tentang sistem Malaysia?

"Saya tidak dapat meluahkan perasaan marah saya sekarang. Semua orang bertanya kepada saya apa yang polis lakukan (dan) saya tidak boleh memberi jawapan," katanya.

Indira juga mengeluh kerana pihak polis tidak menghubungi beliau dengan maklumat terkini mengenai perkara itu.

"Tiada, tak ada langsung," katanya ketika ditanya sama ada polis telah menghubungi beliau.

Ketua Polis Daerah Ipoh Sum Chang Keong dilaporkan berkata pihak polis telah memeriksa semua alamat Ridhuan dan bertanya ahli keluarganya di mana dia berada, namun tidak dapat mengesan lelaki itu.

Peguam juga terkejut

Peguam Indira, M Kulasegaran, yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat, juga melahirkan rasa terkejut apabila pihak polis tidak dapat mengesan Ridhuan.

"Ridhuan telah menggunakan nombor telefon yang sama, pasti penyedia perkhidmatan boleh mengetahui.
"Polis juga boleh memohon peruntukan Akta Multimedia untuk mengetahui perkara ini. Ini berada dalam wilayah mereka untuk berbuat demikian.

"Dan dia seorang pelarian sekarang. Jadi mengapa polis meminta orang lain untuk membantu, kerana ia bukan satu perkara yang baru dan (mereka) tidak boleh mencarinya langsung? " kata Kulasegaran.

Pengarang NST sah letak jawatan, enggan beri sebab

Posted: 02 May 2016 03:39 AM PDT

Alyaa Alhadjri  




Pengarang kumpulan News Straits Times (NST), Mustapha Kamil Mohd Janor disahkan telah meletakkan jawatan namun tidak mengulas lanjut berhubung tindakannya itu.

Mustapha menamatkan tempoh perkhidmatannya selama 26 tahun dengan akhbar berbahasa Inggeris itu hujung bulan ini.

"Ya, benar, Saya telah meletakkan jawatan, berkuat kuasa hujung bulan ini," ujar beliau kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, ditanya mengenai khabar angin yang mendakwa keputusannya itu ada kaitan dengan tuduhan "campur tangan" dalam jabatan pengarang, wartawan veteran itu tidak mahu mengulas.

"Tiada sebab. Saya hanya mengesahkan saya telah letak jawatan," jelasnya.

Menurut profil awamnya, Mustapha menyertai NST sebagai pelatih pada 1989, sebelum diambil bekerja sebagai wartawan kadet Business Times.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai koresponden luar negara NST di New York mulai 1999 hingga 2002.

Sebelum jawatan semasa, beliau pernah menjadi pengarang urusan Business Times dan bahagian Lifestyle.
Pengunduran wartawan veteran

Peletakan jawatan oleh Mustapha Kamil dibuat sejurus selepas Berita Harian - penerbitan lain di bawah kumpulan NSTP - menghentikan kolum yang dikendalikan Abdul Kadir Jasin yang diberi nama 'Kunta Kinte Original'.

Abdul Kadir, yang mana penulisannya disifatkan sebagai terlalu kritikal terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, pernah mengatakan ada "kuasa lebih besar" yang mampu menolak cubaan Berita Harian untuk mempertahankan kolumnya.

Awal tahun ini, Ku Seman Ku Hussain, meletakkan jawatan sebagai pengarang Mingguan Malaysia, menamatkan kerjaya 32 tahunnya bersama Kumpulan Utusan.


131,813 termasuk tentera naik gaji Julai ini

Posted: 01 May 2016 08:10 PM PDT

MALAYSIAKINI




Seramai 131,813 kakitangan awam Kementerian Pertahanan termasuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menikmati kenaikan satu tangga gaji bermula 1 Julai ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kenaikan itu dilaksanakan mengikut Skim Perkhidmatan Awam Persekutuan di bawah Sistem Saraan Malaysia.

"Agenda penambahbaikan ini juga melibatkan aspek kebajikan anak-anak anggota dengan menyediakan perkhidmatan bas sekolah termasuk perumahan yang selesa," katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Tun Hussein Onn, hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata bagi anggota Lain-Lain Pangkat ATM, Perajurit Muda yang tamat latihan asas akan menikmati gaji permulaan Prebet sebanyak RM1,564 sebulan berbanding RM1,137 yang diterima sebelum ini.

Katanya bagi Pegawai Kadet berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Vokasional Malaysia akan menerima RM1,500 sebulan berbanding RM1,104.

"Pegawai berpangkat Leftenan Muda yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda pelbagai jurusan dan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang memperolehi gaji sebanyak RM2,585 dan RM2,730.61 berbanding RM2,411.85.

"Pemegang ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan akan menerima gaji sebanyak RM2,876.67 berbanding RM2,703.37 manakala pemegang ijazah Sarjana Muda Perubatan Veterinar akan menerima RM3,022.13 berbanding RM2,593.94," katanya.

Terdahulu Hishammuddin menyerahkan kunci RKAT Desa Tun Hussein Onn kepada 160 warga ATM berkeluarga yang berpangkat korperal dan ke bawah.

Projek RKAT bernilai RM11.2 juta melibatkan dua blok kediaman itu siap dibina pada 28 Mac lepas.
- Bernama


Pertembungan 6 DUN: Undi asal bukan BN - Wan Azizah

Posted: 01 May 2016 08:08 PM PDT

Zulaikha Zulkifli

 


Walaupun berlaku pertembungan dengan DAP, namun, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berharap pengundi di enam buah kerusi dalam pilihan raya negeri Sarawak itu dapat memilih calon daripada Pakatan Harapan.

Malah, beliau turut menjelaskan, meskipun berlaku pertembungan kerusi namun hubungan antara pemimpin dua parti tersebut di peringkat Pusat tetap baik.

"Kita harap pengundi akan undi (calon) yang bukan BN.

"Kita di peringkat persekutuan kita ada hubungan yang baik antara parti Pakatan Harapan," katanya dalam sidang media sebelum melakukan tinjauan (walkabout) di Kampung Hilir, Sibu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keyakinan partinya itu untuk menang di enam buah kerusi yang bertembung dengan DAP.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad dan calon PKR DUN Nangka, Abdul Raafidin Majidi.

Enam kerusi yang bertembung iaitu Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Abdul Raafidin memberitahu bahawa debat yang ingin dianjurkan sebelum ini dibatalkan ekoran calon BN DUN Nangka Dr Annuar Rapaee menolak untuk hadir dalam acara tersebut.

Sehubungan itu, katanya, acara debat tersebut ditukar kepada program santai anak muda bagi beliau membentangkan manifestonya kepada penduduk di DUN Nangka.

"Saya akan bentang manifesto saya untuk DUN Nangka. Dan saya ada lima perkara dalam manifesto itu," katanya.

Antara manifesto itu ialah beliau berjanji untuk berada di DUN tersebut dan tidak membuka cawangan perniagaan di Kuala Lumpur atau di luar kawasan berkenaan, memastikan wang pampasan, derma mangsa kebakaran Kampung Datu dikembalikan, berjuang mempertahankan tanah asal orang Melayu, Cina dan Iban di DUN tersebut.


Usul pecat Umno: Apalah nasib saya, kata Muhyiddin

Posted: 01 May 2016 08:06 PM PDT

Shakira Buang    




Timbalan Presiden Umno yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau sendiri tidak tahu bagaimana nasibnya selepas ini ketika ada pihak dikatakan cuba mengemukakan usul untuk memecat beliau daripada Umno.

"Ada orang usulkan nama saya untuk dipecat dan saya pun tak tahu apa nasib saya selepas ini," kata Muhyiddin.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata demikian ketika menjawab soalan salah seorang peserta Dialog generasi muda: Integriti dan masa depan di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini.

Menteri Pelancongan yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz kelmarin berkata beliau berhasrat untuk mengemukakan usul pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz daripada Umno pada mesyuarat parti itu akan datang yang dijadualkan selepas pilihan raya negeri Sarawak Ke-11.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam reaksi balasnya berkata, anggota MT Umno berhak menyuarakan pandangan dan mengemukakan usul pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz.

Ab Rauf berkata, pandangan berkenaan juga selaras dengan rasa hormat ahli-ahli MT terhadap kepimpinan institusi Umno yang menerima pelbagai tohmahan dan fitnah yang menjejas reputasi parti itu.

Sementara itu, Muhyiddin ketika diminta mengulas pilihan raya negeri Sarawak, ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau tidak mahu bercakap langsung mengenainya.

"Saya tak mahu bercakap langsung," katanya ringkas sebelum berlalu pergi meninggal media.
Kempen pilihan raya negeri Sarawak masuk hari ketujuh hari ini.

Baki kempen kini tinggal enam hari lagi sebelum pengundian 7 Mei ini.

Pada pilihan raya negeri kali ini sebanyak 82 kerusi DUN dipertandingkan termasuk 11 kerusi baru.

BN menang tanpa bertanding di dua kerusi pada hari penamaan calon 25 April lalu.


Tindih kerusi: PKR gagal jadi orang tengah

Posted: 01 May 2016 08:04 PM PDT

Tindih kerusi: PKR gagal jadi orang tengah
PKR dilihat gagal memainkan peranan sebagai orang tengah dalam PRN Sawarak. - Foto Bernama


SHAH ALAM – Penganalisis politik melihat situasi yang melanda Pakatan Harapan dan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak membuktikan PKR gagal memainkan peranannya sebagai orang tengah seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Pensyarah Kanan Universiti Selangor (Unisel), Dr Shamsinor Abdul Azzis berkata, dalam keadaan ini, parti-parti pembangkang perlu mengambil iktibar atas pertindihan sehingga sebelas kerusi Dun di negeri itu dan mencari jalan menanganinya.

"Sepatutnya perkara ini disusun lebih awal, capai kata sepakat sebelum pencalonan lagi. Sekiranya ada konsensus di hujung terowong pun, itu lebih baik berbanding mereka meneruskan dengan meletakkan calon masing-masing di kawasan yang bertindih itu.

"Jika isu ini dapat diuruskan sebelum PRN, masyarakat akan dapat melihat keharmonian dalam Pakatan Harapan itu. Jadi, apabila sudah berlaku seperti ini, mereka (pembangkang) perlu mengambil iktibar kerana masyarakat di Semenanjung pun memerhati perkara ini," katanya kepada Sinar Online.

Selepas penamaan calon PRN Sarawak, berlaku pertembungan di enam kerusi Dun antara PKR dengan DAP iaitu Mulu, Mambong, Ngemah, Murum, Simanggang dan Batu Kitang.

Sementara pertindihan tiga Dun antara PKR dengan Pas iaitu di Kakus, Jepak dan Lambir manakala dua Dun antara Pas dengan DAP di Dun Samalaju dan Pujut.

Namun PKR dan DAP memilih untuk terus bergerak ke depan dan hanya akan berbincang isu pertindihan itu selepas hari pengundian, 11 Mei ini.

Menurut Shamsinor, apa yang berlaku di Sarawak itu jelas menjejaskan imej PKR sebagai orang tengah kepada rakan pakatannya termasuk Pas.

"PKR ini orang tengah, parti banyak kawan tapi kalau ini ditunjukkan sebagai contoh...sukarlah.

"Ditambah pula apabila nama Datuk Seri Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) naik walaupun beliau tidak mengiakan dakwaan, begitu juga beberapa nama pemimpin lain di peringkat pusat yang disebut dalam menentukan kerusi di Sarawak itu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya situasi sama masih berulang lama Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, Pakatan Harapan akan dilihat sebagai satu pakatan yang longgar.

"Tapi saya yakin pembangkang akan bincang dan elak berlaku pertindihan lagi pada Pilihan Raya Umum nanti dengan menjadikan kes di PRN Sarawak ini sebagai satu iktibar. Sebab kita bercakap bukan tentang satu atau dua kerusi. Itu yang pelik.

"Sebelum ini, saya menjangkakan akan ada pertindihan antara Pas dengan DAP sahaja ataupun Pas dengan Amanah. Tak sangka PKR pun yang sepatutnya menjadi orang tengah dalam Pakatan itu ada pertindihan juga," katanya.

Sementara, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, langkah 'move on' yang diambil PKR dan DAP dalam isu pertindihan kerusi itu cara terbaik buat masa ini.

"Sepatutnya mereka perlu selesaikan lebih awal isu ini tapi sekarang sudah gagal...kalau nak tarik diri pun tak boleh. Tak apalah mungkin itu menunjukkan kelemahan pembangkang tapi kena fikirkan cara terbaik selepas ini jika tidak mereka akan dilihat tidak bersatu dan gagal," katanya.

Katanya, pembangkang perlu meneliti kembali dasar mereka bersatu namun masih berebut kerusi dan kuasa.

"Tidak boleh menuding jari kepada sesiapa. Semua bersalah. Ini bukan lagi isu satu parti yang buat kesalahan. Ini menunjukkan kegagalan peringkat kepimpinan tertinggi PKR untuk menyelesaikan isu ini.

"Kegagalan ini mungkin berpunca daripada tidak ada satu suara pemutus utama iaitu Pakatan Harapan yang akan memutuskan siapa bertanding setiap kerusi," katanya.


Dakwaan Azmin langgar perjanjian DAP tidak tepat

Posted: 01 May 2016 07:56 PM PDT

MALAYSIAKINI




Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, dakwaan timbalan presiden parti itu melanggar perjanjian dengan DAP berhubung pilihan raya negeri Sarawak adalah tidak tepat.

"Laporan Malaysiakini semalam mengenai timbalan presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang didakwa memungkiri perjanjian rundingan kerusi di Sarawak adalah tidak tepat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysiakini semalam, melaporkan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng sebagai mendakwa Azmin memungkiri janjinya.

"Pada 7 April, kedua-dua, Azmin dan saya menanda tangani perjanjian rundingan pengagihan kerusi.

"Beliau tidak sepatutnya memungkiri perjanjian itu, ia menampakkan kepada yang lain seolah-olah (anda) menelan kata-kata sendiri," Lim dipetik sebagai berkata.

Nurul Izzah, yang juga pengarah pilihanraya nasional PKR, berkata, ada beberapa fakta yang harus diperbetulkan.

"Azmin hanya menanda tangani senarai pada 7 April 2016 dan 'secara prinsipnya' seperti yang dilakukan oleh wakil DAP, menandakan ia belum dimuktamadkan.

"Selepas itu, ada mesyuarat lain dan rundingan selanjutnya berlangsung. Parti kemudiannya memberi kepercayaan kepada Azmin untuk menyelesaikan isu-isu tersebut dengan pimpinan negeri kita di Sarawak.

"Komunikasi selanjutnya berterusan dengan DAP sehingga malam sebelum hari penamaan calon, namun malangnya, tidak berjaya.

"Oleh itu, tidak sepatutnya ada rundingan lanjut tentang pemungkiran perjanjian seperti itu," jelas Nurul Izzah.


Tiada ulasan: