Tradisinya, kedua-dua kerusi itu menyaksikan pertembungan antara UMNO dan Pas. Bagaimanapun senario politik yang berbeza termasuk perbalahan dalam kalangan parti-parti pembangkang memungkinkan pertarungan di kedua-dua kerusi Parlimen tersebut amat menarik untuk diperhatikan.

Perlu diakui sama ada UMNO mahupun pembangkang masing-masing mempunyai kekangan tersendiri apabila turun ke gelanggang mulai hari penamaan calon pada 5 Jun diikuti pengundian pada 18 Jun.

UMNO mempunyai tanggungjawab besar dan cabaran getir bagi mempertahankan kedua-dua kerusi tersebut. Jumlah undi majoriti yang diperolehi oleh Allahyarham Noriah Kasnon di Sungai Besar dan Allahyarham Datuk Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad di Kuala Kangsar membuktikan BN bukanlah berada dalam kedudukan selesa untuk mempertahankan kedudukannya.

Pakatan pembangkang sudah pasti akan membangkitkan pelbagai isu dengan tujuan meraih sokongan rakyat. Pelbagai dakwaan, tohmahan dan mengungkit isu-isu lama pasti akan menjadi "peluru" dalam usaha mereka merampas kedua-dua kerusi tersebut.

Atas sebab itulah, UMNO perlu bekerja keras terutamanya dalam memastikan segala masalah dalaman dapat dielakkan dan calon yang dipilih benar-benar mampu menarik hati rakyat.

Di Kuala Kangsar sudah wujud kebimbangan bahawa apa yang berlaku di Parlimen Bukit Gantang dalam pilihan raya umum akan berulang. Apatah lagi sudah ada desas-desus di peringkat kepemimpinan bahagian ada individu cuba menjadi "taiko" dengan "memadamkan" individu-individu yang dilihat layak dipertimbangkan menjadi calon.

Kalau benarlah senario ini berlaku, ia bukanlah satu petanda yang baik untuk UMNO. Atas sebab itulah, kepemimpinan pusat perlu bertegas dalam soal ini dan tidak lagi bertolak ansur dengan mana-mana pemimpin di peringkat bahagian yang melakukan tindakan yang boleh menjejaskan peluang BN mempertahankan kerusi tersebut.

Sokongan rakyat

Sepatutnya di Perak tidak ada masalah untuk BN memenangi kerusi itu memandangkan di bawah pentadbiran Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar, negeri itu sudah mencapai kemajuan dan pembangunan yang cukup pesat. Pelbagai program dan perancangan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memperkukuhkan sokongan rakyat kepada BN.

Di Sungai Besar pula, suasana dikatakan lebih aman. Jentera pilihan raya dikatakan sudah bersiap sedia sepenuhnya. Setakat ini difahamkan enam calon sudah disenarai pendek termasuk calon muda.

"Kita memahami cabaran getir untuk mempertahankan kerusi tersebut, tetapi kita sama sekali tidak akan berputus asa sebaliknya akan mempertingkatkan lagi usaha bagi memastikan kerusi Parlimen Sungai Besar kekal dalam genggaman BN," kata satu sumber ketika dihubungi.

Tidak kira apa juga senario di Kuala Kangsar mahupun Sungai Besar, apa yang lebih penting ialah bagaimana pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat di kedua-dua negeri itu memahami betapa pentingnya PRK tersebut.

Agak melegakan apabila difahamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN telah menegaskan, pemilihan calon akan dilakukan secara teliti. Ia bukan sahaja sekadar bergantung kepada cadangan Badan Perhubungan UMNO Negeri atau bahagian, tetapi juga pihak-pihak lain yang berkaitan.

Langkah itu amat tepat sekali bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar layak pada pandangan rakyat bukannya layak pada pandangan pemimpin bahagian atau mana-mana individu.

Ini adalah pertarungan yang bukan sahaja melibatkan maruah UMNO, tetapi juga bagi mengelakkan parti-parti pembangkang menjadikan ia modal bahawa UMNO semakin ditolak oleh rakyat jika tewas.

Perlu difahami ancaman bukan sahaja akan datang daripada parti-parti pembangkang tetapi juga segelintir pemimpin dan bekas pemimpin UMNO yang mungkin berhasrat mahu menjadikan gelanggang PRK itu sebagai medan untuk melunaskan agenda peribadi mereka.

Dalam berhadapan dengan situasi tersebut, UMNO tidak ada pilihan selain memastikan parti itu meletakkan calon yang tepat dan menghapuskan mana-mana individu yang boleh menjejaskan peluang untuk mencapai kemenangan.

Perbalahan dalam pembangkang bukanlah kelebihan untuk UMNO. Ini memandangkan rakyat mempunyai pandangan sendiri. Lagipun tiada apa yang hendak dihairankan dengan sikap DAP dan PKR yang terus mahu "membuli" Pas biarpun tidak lagi berada dalam pakatan pembangkang.

Pemimpin-pemimpin PKR dan DAP mempunyai pandangan berbeza sesama mereka. Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu Pas kembali ke meja rundingan, tetapi Presiden PKR, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail menganggap itu pandangan peribadi Menteri Besar Selangor tersebut, bukannya pendirian parti.

Begitu juga DAP, Nga Kor Ming mahu Pas berunding dengan parti-parti pembangkang yang lain tetapi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sudah menyatakan parti itu tidak akan menyokong calon Pas.

Perbalahan ini membuktikan bahawa parti-parti pembangkang sejak dulu, kini dan selamanya tidak akan mencapai kata sepakat. Apabila melibatkan soal kuasa dan kedudukan sikap mereka pasti akan berbalah.

Namun itu bukanlah "durian runtuh" untuk UMNO dan BN. Pertarungan dalam gelanggang pilihan raya melibatkan banyak faktor. Kalau mahu dilihat dari segi jasa dan keupayaan antara BN dan pakatan pembangkang bagai langit dan bumi, tetapi soalnya adakah itu boleh dianggap mampu menjamin kemenangan BN?

Sebab itulah dalam berhadapan kedua-dua PRK tersebut, UMNO benar-benar perlu berhati-hati dalam mengatur strategi dari segala sudut, khususnya melibatkan calon dan pergerakan jentera.

Tidak boleh ada sebarang masalah dalam usaha BN mahu mempertahankan kedua-dua kerusi itu. Tetapi sama ada ia akan berjaya atau tidak segala-galanya bergantung kepada pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat bahagian di kedua-dua negeri.

Keikhlasan, kejujuran dan ketelusan mereka amat dituntut. Tidak boleh ada pengkhianat dalam kalangan mereka sehingga ia akhirnya menyebabkan kedua-dua kerusi itu terlepas ke tangan pembangkang.