Sabtu, 5 Disember 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Janji semua orang boleh janji tapi ‘deliver’?

Posted: 05 Dec 2015 03:35 PM PST


Mohamed Azmin
Azmin


BANGI – "Janji semua orang boleh janji... tapi 'deliver' itu soal yang berbeza,"demikian ulas Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali  berhubung  kenyataan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mendakwa BN akan memberi pendidikan agama percuma jika berjaya merampas semula negeri ini.

Mohamed Azmin berkata, kini rakyat sudah hilang keyakinan kepada orang politik dan parti politik.
Justeru, katanya, PKR dan gabungan parti pembangkang mengambil iktibar pengalaman yang berlaku selama ini.

"Kita kena kembalikan keyakinan rakyat, apa yang kita janjikan mesti tunaikan, mesti pikul amanah dengan baik. Mengenai kenyataan Noh itu, bagi saya semua orang boleh janji tapi soal 'deliver' itu yang berbeza," katanya.

Beliau berkata, Umno memerintah Selangor selama 50 tahun namun rekod menunjukkan pemerintah parti itu gagal  memenuhi kebajikan rakyat.

"Apakah rakyat yakin dengan mereka (BN), saya serahkan kepada rakyat... kita ada 'success story' sendiri yang boleh kita kongsi dengan rakyat negeri Selangor," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian  melaporkan BN Selangor menawarkan pendidikan percuma untuk sekolah agama sekiranya parti tersebut berjaya merampas semula negeri itu pada PRU14 akan datang.

Janji itu turut dikongsi Noh di akaun laman sosial miliknya, semalam.

"Kalau BN memerintah, kita janji sekolah agama ini semua percuma. Tak payah bayar macam sekolah kebangsaan," katanya sebelum ini.


Akta MKN Boleh Jadi Senjata Makan Tuan

Posted: 05 Dec 2015 06:23 AM PST

KALAU hasrat tersirat kerajaan meluaskan bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah bagi melindungi dan memperkukuhkan kedudukannya maka ia tentu amat berkesan.

Dengan mewujudkan sebuah akta agung (super act) untuk MKN, anggotanya akan memperoleh kuasa yang sangat luas sehingga boleh mengancam kebebasan sivil seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Demikianlah antara jawapan saya kepada soalan yang dikemukakan oleh pemberita sebuah portal berita bukan arus perdana mengenai cadangan akta itu.

Kalau tujuan akta ini adalah untuk memberikan kuasa yang lebih luas kepada pasukan keselamatan dalam menangani ancaman luar, keganasan bersenjata atau situasi darurat (macam serangan ke atas Sabah pada tahun 2013) negara kita sudah pun mempunyai undang-undang dan peraturan yang cukup.

Kita pernah melalui darurat komunis selama 12 tahun (1948-60) dan rusuhan kaum 13 Mei, 1969. Kita wujudkan undang-undang khas seperti Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri bagi menanganinya.  

Tetapi Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, sendiri yang memansuhkan undang-undang ini atas nama transformasi dan liberalisasi.

Andainya BN Kalah

 

Perdana Menteri tentu mengharap dan menjangkakan sokongan padu Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional.

Tetapi sebelum bertindak mengiakan rang undang-undang itu, mereka patut memikirkan kemungkinan undang-undang yang mereka wujudkan itu digunakan ke atas mereka sekiranya BN kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ramalan dan konsensus umum mengatakan BN akan kalah dalam PRU akan datang jika Mohd Najib terus menerajui kerajaan dan BN.

Seandainya itu berlaku, kerajaan yang menggantikan BN mempunyai alasan kuat menggunakan akta ciptaan BN itu untuk menyiasat, menangkap dan membicarakan anggota kerajaan yang ada sekarang.

Mereka juga pasti menyiasat ketua-ketua aparatus kerajaan seperti Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Gabenor Bank Negara serta aparacik Umno seperti Setiausaha Agung, Bendahari Agung dan Setiausaha Kerja sebagai orang yang disyaki atau saksi.

Selepas itu, kerajaan baru nanti (bukan BN) sama ada meminda atau memansuhkan akta itu supaya tidak dituduh meneruskan undang-undang kejam kerajaan BN.

Hatta kalau BN kekal sekali pun, asalkan Mohd Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri, anggota kerajaan beliau serta kakitangan awam yang melakukan kesalahan atau bersubahat tetap akan berasa padah persekongkolan mereka.

Mubarak, dari Jeneral kepada pesalah


Sejarah padat dengan contoh ketua negara atau ketua kerajaan yang kalah pilihan raya atau digulingkan dalam rampasan kuasa, menderita padah yang sangat buruk.Tetapi nasib mereka tidak seburuk pegawai awam yang kerap dijadikan kambing korban. Ketua Negara atau ketua kerajaan yang hilang kuasa boleh menggunakan kekebalan (immunity) untuk mengelak daripada dipenjarakan, tetapi ada pegawai awam yang dihukum mati atau meringkuk dalam penjara.

Paling baru dan diketahui umum adalah perbicaraan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, dan anak-anaknya atas tuduhan melakukan pembunuhan, rasuah dan mensabotaj ekonomi. Turut dihadapkan ke mahkamah adalah Menteri Dalam Negeri dan pegawai-pegawai kanan polis.

Jadi Ahli Parlimen BN janganlah seronok sangat meluluskan rang undang-undang itu seolah-olah mereka menongkat langit manakala aparatus awam dan aparacik Umno perlulah sedar bahawa apabila pokok tempat mereka bergayut tumbang, merekalah yang paling teruk terhempap.

Nota kaki: Kalau tidak disekat oleh aparatus negara dan/atau diganggu oleh aparacik Umno, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, akan berucap dalam satu perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman Kg Baru pada Isnin 7 Disember kira-kira jam 8.30 malam.

Wallahuaklam.


Mustafa: AMANAH sudah hilang 'steam'

Posted: 05 Dec 2015 06:12 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu yang mengaitkan PAS dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) adalah strategi DAP untuk terus memburukkan parti berkenaan.

Ini kerana, menurut bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berdasarkan sumber dalaman, kenyataan tersebut sebenarnya tidak dipersetujui oleh sebahagian besar pimpinan utama AMANAH sekali gus tidak mendapat restu mereka.

"Ketika ini, Mat Sabu (panggilan lazim untuk Mohamad) dilihat lebih mementingkan survival politiknya sendiri berbanding AMANAH yang dia sendiri sudah sedar telah kehilangan steam dan momentum setelah hanya beberapa bulan ditubuhkan.

"Walaupun majoriti pengundi Cina menyokong DAP tetapi masih terdapat sebahagian mereka yang masih menyokong PAS," kata Mustafa dalam satu kenyataan petang ini.

Kata Mustafa, DAP di bawah pimpinan Lim Guan Eng mahukan dominasi total ke atas pengundi Cina apatah lagi dalam suasana menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

Justeru, Mustafa mendakwa Mohamad cuba mengaitkan PAS dengan IS untuk menakutkan pengundi Cina.

Keadaan itu, katanya, ditambah pula dengan khabar angin bahawa Mohamad sudah mendapat jaminan Lim untuk bertanding di satu kawasan selamat dalam pilihan raya umum ke-14 nanti, sama ada di bawah parti AMANAH atau DAP.

"Ini kerana Mat Sabu sedar bahawa kedudukannya sebagai Presiden AMANAH goyah kerana pengaruh kumpulan Islamis Ikram, Alami dan lain-lain mula meresap dan golongan ini tidak senang dengan Mat Sabu yang mempunyai latar belakang yang diketahui umum.

"Untuk menyelamatkan diri, Mat Sabu tidak kisah untuk menjadi alat atau jurucakap DAP apalagi persepsi umum sudah melihat AMANAH tidak lebih dari proksi DAP," tegas Mustafa.

Oleh itu, katanya, walaupun tuduhan itu berniat jahat tapi provokasi itu tidak akan memberi kesan kepada PAS kerana rakyat dan masyarakat umum sudah memahami pendirian PAS.

Sebaliknya, tegas Mustafa tuduhan Mohamad itu hanya akan mengesahkan pandangan rakyat bahawa AMANAH dan pemimpin mereka adalah proksi DAP sebagai satu realiti.


Dr Mahathir: Najib rampas kuasa Agong, raja

Posted: 05 Dec 2015 06:10 AM PST

Alyaa Azhar  





Tindakan Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan merampas kuasa Yang Dipertuan Agong, dakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Akta itu juga, kata Dr Mahathir, MKN juga akan memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selain mengurangkan kuasa raja-raja.

"Kuasa Agong sekarang telah dipindahkan kepada beliau (Najib).

"Dengan kuasa itu, dia boleh mengisytiharkan darurat dengan mendakwa terdapat ancaman keselamatan. Siapa saja yang didakwa cuba sabotaj negara boleh ditangkap," katanya di majlis Bicara Santai Bersama Dr Mahathir di Senawang hari ini.

Proses pembentangan dan undian rang undang-undang itu didakwa dilakukan secara tergesa-gesa pada hari terakhir sidang parlimen kali ini.

Ia mendapat bantahan keras daripada wakil rakyat pembangkang hingga memaksa perbahasan berlarutan hampir enam jam, sebelum diluluskan melalui undi belah bahagi.

Ketika undian dijalankan rang undang-undang itu mendapat 107 undi menyokong manakala 77 undi menolak.

Dilulus undian majoriti

Antara hujah ketika perbahasan pembangkang adalah bahawa rang undang-undang itu menghakis kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong.

Rang undang-undang itu antara lain, memberi perdana menteri - atas kedudukannya sebagai Pengerusi MKN - kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai "zon keselamatan" dengan hanya kelulusan daripada anggota majlis berkenaan.

Apabila pengisytiharan dibuat, pasukan keselamatan dibenarkan membuat tangkapan, mengawal pergerakan, menahan atau memindah suspek, menyita dan menggeledah, merampas atau memusnahkan harta serta mengetepikan inkues dikemukakan pihak berkaitan.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas rang undang-undang yang diluluskan secara undi majoriti Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu.

Mengulas lanjut, bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat di negara ini berkata sekiranya rang undang-undang tersebut diluluskan ia boleh digunakan untuk menangkap sesiapa saja yang dianggap kerajaan sebagai "mengancam keselamatan negara".

Bagaimanapun, pemimpin veteran Umno itu berkara pentadbiran Najib lupa sekiranya pembangkang berjaya mengambil alih Putrajaya nanti, kerajaan sekarang pula akan berdepan tindakan sama.

"Tetapi mereka lupa bahawa jika mereka kalah dalam pilihan raya umum dan yang jadi kerajaan parti lawan, pembangkang akan tangkap mereka semua," kata Mahathir sambil disambut tepukan gemuruh daripada hadirin.


Isu RM2.6b: Kerajaan tak hirau rakyat

Posted: 05 Dec 2015 06:08 AM PST

Alyaa Azhar


 


Tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi memberikan jawapan atau penjelasan yang ditunggu-tunggu berhubung 'derma' RM2.6 bilion di parlimen dalam masa tiga minit menunjukkan bahawa kerajaan tidak prihatin dengan kebimbangan rakyat mengenainya.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, isu 'derma' itu adalah penting dan memerlukan lebih banyak masa untuk menjelaskannya dengan baik.

"Ini menunjukkan bahawa dia tidak menghiraukan rasa tidak puas hati rakyat.

"Ia adalah satu perkara yang sangat serius, jadi dia perlu menjelaskan dengan betul, bukan dalam tiga minit," kata Dr Mahathir dalam satu sidang media di Senawang hari ini.

Jawapan atau penjelasan yang ditunggu-tunggu berhubung dana RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun persendirian Perdana Menteri Datuk Najib Razak di Dewan Rakyat pada Khamis lalu dianggap sebagai antiklimaks.

Pertama, bukan sahaja Najib gagal tampil bagi menjelaskan sendiri apa sebenarnya yang berlaku, tetapi tanggungjawab itu diserahkan kepada ayam tambatan barunya, iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kedua, speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia (gambar) berkata, ahli parlimen bukan sahaja tidak dibenarkan mengemukakan sebarang soalan tetapi mereka juga tidak boleh membahaskan jawapan atau penjelasan yang diberikan.

Ketiga, Ahmad Zahid 'menjelaskan' semuanya mengenai dana RM2.6 bilion itu dalam masa kira-kira tiga minit.

Katanya, dana di akaun Najib itu masih dalam siasatan dan menjadi perkara yang subjudis jika ia dibincang secara terbuka.

Malah, Zahid berkata siasatan berhubung isu itu juga dijalankan dengan bebas oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.

Najib sengaja pilih hari terakhir sidang dewan?

Posted: 05 Dec 2015 06:03 AM PST


Datuk Hamidah Osman
Datuk Hamidah Osman


SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa sengaja memilih untuk menjelaskan isu RM2.6 bilion pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat bagi mengelak dipersoal oleh pembangkang.

Bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman berkata, ia merupakan sebahagian daripada taktik Najib daripada terus 'diserang' dengan isu tersebut.

"Itu taktik beliau untuk meredakan isu tersebut daripada pertikaian hebat pembangkang. Dan kalau hanya itulah jawapan yang kami (rakyat) terima, kami memang hampa.

"Seluruh dunia sudah tahu isu RM 2.6 bilion, beliau tidak boleh mempersendakan kami sebegini," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Dewan Rakyat pada Khamis menyaksikan,  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili Najib untuk menjelaskan isu berkaitan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.

[ARTIKEL BERKAITAN: Zahid tolong Najib jawab isu derma RM2.6 bilion]

Tindakan Zahid mewakili Najib itu bagaimanapun mengundang kritikan keras pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said‎ kemudiannya menjelaskan,
ketidakhadiran Najib di Dewan Rakyat bagi menjelaskan sumbangan dana RM2.6 bilion pada hari tersebut kerana telah dinasihatkan Peguam Negara untuk tidak berbuat demikian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isu RM2.6b: Najib beri keterangan kepada SPRM]


Hudud: Husam dakwa Umno tipu Pas

Posted: 05 Dec 2015 06:00 AM PST


Husam Musa
Husam Musa


KOTA BHARU – Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mendakwa Umno jelas menipu Pas apabila tidak memberi laluan kepada parti itu untuk membentangkan pindaan Akta 355 di parlimen bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Berucap selepas Majlis Pelancaran Buku Peringatan Orang Terpedaya di Gelanggang Seni, di sini, malam tadi, Adun Salor itu berkata, kegagalan Pas itu  disebabkan sikap pimpinannya yang terdahulu melanggar keputusan mesyuarat mengenai perkara itu.

"Kita boleh ditipu sebab kita tak pakai keputusan mesyuarat, kita telah tetapkan tidak boleh bawa sendiri (Rang Undang-undang Persendirian) Akta 355, sebab kalau kita bawa bukan Islam akan 'celik' mata, Majlis Raja-Raja masih masih  tidak lulus lagi.

"Kita juga nak ahli parlimen semua sokong khususnya BN yang mempunyai banyak kerusi, jadi jika dah bincang dengan BN, biarkan dia bawa (usul), tetapi kita gatal nak bawa sendiri, lepas tu jadi ke tidak sekarang?," soalnya di hadapan kira-kira 1,000 penyokongnya.

Husam yang juga bekas Exco Kanan Kerajaan Kelantan turut mendakwa, jika sebelum ini Pas begitu bersemangat untuk melaksanakan hukuman ini, tetapi kini pimpinannya senyap apabila rang undang-undang itu gagal dibentangkan.

"Tak jadi kenapa senyap semua, dulu ceramah seluruh Kelantan, pinda enakmen hudud, dum dum dicanang sana sini, lepas itu bawa bulan  April kena tipu,  bawa bulan Jun, kena  tipu, bawa bulan Oktober ghaib, bulan November habis, Disember senyap,

"Kalau begini, macam mana nak hadapi pilihan raya, kita hanya boleh bagi tahu kepada rakyat kita nak buat sahaja,"katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hudud: MB Kelantan tak akan letak jawatan]

Husam berkata demikian sebagai merujuk kepada sidang Dewan Rakyat yang berakhir Khamis lalu yang menyaksikan Pas sekali lagi gagal membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) bagi membolehkan perlaksanaan hukuman hudud berjalan di negeri Kelantan.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang mempertaruhkan jawatannya bagi memastikan hukuman itu dilaksanakan sebelum menukar keputusannya.

Ahmad berkata, beliau tidak meletak jawatan kerana sudah berusaha supaya hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.


Tunku Abdul Jalil dilaporkan mangkat

Posted: 05 Dec 2015 05:58 AM PST


Tunku Abdul Jalil dilaporkan mangkat


SHAH ALAM - Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim dilaporkan mangkat sekitar jam 7.00 malam ini.

Berita sedih itu dikongsi Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah menerusi laman Instagram miliknya sebentar tadi.

"Innalillahiwainnailaihirojiun... Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh anak saudara saya, Jalil yang baru mangkat kembali ke rahmatullah...al-Fatihah," tulisnya.

Sehingga berita ini ditulis, belum ada makluman rasmi yang dikeluarkan oleh Istana Johor berhubung kemangkatan Tunku Abdul Jalil.

Sementara itu, Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman pula memuatnaik gambarnya bersama Almarhum dengan kapsyen, 'al-Fatihah'.

Almarhum Tunku Abdul Jalil yang terkenal sebagai seorang yang merendah diri dan begitu dekat dengan rakyat didiagnosis menghidap kanser 20 Ogos tahun lalu.

Al-Fatihah.


Saya sama dengan Tun Razak, bukan Najib, kata Dr Mahathir

Posted: 05 Dec 2015 04:07 AM PST



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada 1 pun corak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyamai apa yang dilakukannya ketika mentadbir kerajaan selama 22 tahun sejak 1981. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 5 Disember, 2015.  
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada 1 pun corak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyamai apa yang dilakukannya ketika mentadbir kerajaan selama 22 tahun sejak 1981. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari. 
 
 
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada 1 pun corak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyamai apa yang dilakukannya ketika mentadbir kerajaan selama 22 tahun sejak 1981. 
 
Beliau menepis wujud sebarang persamaan antara pentadbiran perdana menteri sekarang dengan era pemerintahannya, sebaliknya menyifatkan corak pentadbirannya sama dengan bapa Najib, Tun Abdul Razak Hussein.

"Mana ada. Apa yang Najib buat sama dengan saya buat? Dia punya hutang RM42 bilion. Dia buat syarikat sendiri. Dia jadi penasihat syarikat. Saya tak pernah buat.

"Macam mana orang boleh kata saya macam dia? Saya pun tidak faham. (Kalau kata) Saya macam bapa dia, ya," kata Dr Mahathir pada majlis Wacana Bersama Anak Muda Negeri Sembilan di Senawang hari ini. 
 
Dr Mahathir berkata, semasa memegang tampuk kuasa, banyak polisi yang dilaksanakannya sama dengan Tun Razak, di mana pembangunan luar bandar menjadi keutamaan.

"Bapa dia utamakan pembangunan orang Melayu.

"Masa saya jadi perdana menteri, saya buat jalan, saya buat sekolah, kita buat klinik. Saya buat macam-macam di kampung," katanya.

Malah, Dr Mahathir menegaskan, kerajaan diperintahnya tidak pernah terpalit dengan skandal seperti dihadapi pentadbiran Najib ketika ini yang banyak merugikan negara.

"Tetapi, yang Najib buat adalah, duit hutang banyak, sembunyi duit dalam akaun dia sampai RM2.6 bilion. Saya tak ada.

"Dalam akaun saya ada lah duit sikit, tetapi tak sama," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini antara penyokong kuat Najib, tetapi bertukar angin susulan pelbagai skandal menyelubungi pentadbiran perdana menteri itu, seperti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Pengkritik paling lantang Najib itu juga mendesak supaya beliau meletak jawatan sebelum Umno tewas dalam pilihan raya umum nanti.


Mat Sabu jurucakap DAP, kata PAS

Posted: 05 Dec 2015 04:04 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali berkata, kenyataan Mohamad Sabu yang mengaitkan PAS dengan Isis juga strategi DAP untuk terus memburukkan PAS yang kini dianggap musuh nombor satu DAP. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 Disember, 2015. 
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali berkata, kenyataan Mohamad Sabu yang mengaitkan PAS dengan Isis juga strategi DAP untuk terus memburukkan PAS yang kini dianggap musuh nombor satu DAP. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Kenyataan Mohamad Sabu yang mengaitkan PAS dengan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) hanya mengesahkan yang presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu bertindak sebagai jurucakap kepada DAP, kata parti Islam itu hari ini. 
 
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali berkata, ia juga strategi DAP untuk terus memburukkan PAS yang kini dianggap musuh nombor satu DAP.

Memetik sumber dalaman, Mustafa berkata, kenyataan Mohamad, lebih dikenali sebagai Mat Sabu, sebenarnya tidak dipersetujui sebahagian besar pimpinan utama Amanah, tetapi beliau terus membuat kenyataan tanpa merujuk mereka.

Katanya, Mat Sabu dilihat lebih mementingkan survival politiknya sendiri berbanding kepentingan Amanah, yang beliau sendiri sedar kini kehilangan "steam" dan momentum selepas hanya beberapa bulan ditubuhkan. 
 
"DAP di bawah Lim Guan Eng mahukan dominasi total ke atas pengundi Cina apatah lagi dalam suasana menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

"Oleh itu, Mat Sabu cuba mengaitkan PAS dengan Isis untuk menakutkan pengundi Cina.

"Khabarnya, Mat Sabu juga mendapat jaminan Lim untuk bertanding di satu kawasan selamat dalam PRU ke-14 akan datang, sama ada di bawah simbol Amanah atau DAP," katanya.

Mustafa berkata, ini kerana Mat Sabu sedar kedudukannya sebagai presiden Amanah goyah kerana pengaruh kumpulan seperti Ikram, Alami dan lain-lain yang mula meresap dalam Amanah dan golongan ini tidak senang dengan latar belakang Mat Sabu.

"Untuk menyelamatkan diri, Mat Sabu tidak kisah menjadi alat atau jurucakap DAP. Apa lagi persepsi umum sudah melihat Amanah tidak lebih daripada proksi DAP," katanya.

Bagaimanapun, kata Mustafa, walaupun tuduhan itu berniat jahat, provokasi itu tidak akan memberi kesan kepada PAS kerana masyarakat umum sudah memahami pendirian PAS.

"Sebaliknya ia akan mengesahkan pandangan rakyat yang Amanah dan Mat Sabu adalah proksi DAP sebagai satu realiti, bukan lagi sekadar satu persepsi," kata Mustafa. 
 
 

Isu RM2.6 bilion serius, 3 minit tidak cukup, kata Dr Mahathir

Posted: 05 Dec 2015 03:58 AM PST



 Tun Dr Mahathir Mohamad membidas tindakan Putrajaya yang mengambil masa hanya 3 minit membuat penjelasan berhubung wang derma RM2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 5 Disember, 2015.  
Tun Dr Mahathir Mohamad membidas tindakan Putrajaya yang mengambil masa hanya 3 minit membuat penjelasan berhubung wang derma RM2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari. 
 
 
Tun Dr Mahathir Mohamad membidas tindakan Putrajaya yang mengambil masa hanya 3 minit membuat penjelasan berhubung wang derma RM2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat sebelum ini. Bekas perdana menteri itu menyifatkan hal tersebut sebagai suatu yang serius dan sewajarnya penjelasan dibuat secara terperinci.

"Itu menunjukkan beliau tidak menghiraukan ketidakpuasan hati orang ramai.

"Ia hal yang serius, jadi kamu sepatutnya jelaskan dengan baik, bukannya (dalam masa) 3 minit," kata Dr Mahathir pada sidang media selepas menghadiri program Wacana Anak Muda Negeri Sembilan di Senawang hari ini. 
 
Pada Khamis, penjelasan yang dinantikan di Dewan Rakyat berhubung wang yang disalurkan ke akaun bank peribadi Najib menjadi hambar apabila perdana menteri menyerahkan perkara itu kepada timbalannya.

Ahli Parlimen bukan sahaja tidak dibenarkan mengemukakan soalan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, atau membahaskan jawapan yang diberikan, malah penjelasan itu keseluruhannya hanya mengambil masa 3 minit.

Dr Mahathir berkata, seluruh dunia mengetahui mengenai wang RM2.6 bilion dalam akaun Najib itu, sambil mengulangi gesaan supaya nama penderma yang dikatakan menyumbang wang untuk tujuan politik itu didedahkan.

"Satu dunia tahu mengenai wang RM2.6 bilion dalam akaun Najib. Kita nak tahu siapa penderma itu. Siapa dia dan datang dari mana?" soalnya.

Lebih mengecewakan Dr Mahathir, pada perhimpunan agung kali ini perwakilan dilarang bercakap isu sensitif seperti RM2.6 bilion dan juga 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Yang hanya boleh berucap adalah presiden. Timbalan presiden tidak boleh berucap.

"Perwakilan juga dilarang daripada sentuh isu tidak disenangi presiden, contohnya isu RM2.6 bilion dan 1MDB," katanya.

Beliau berkata, situasi ini tidak mencerminkan demokrasi yang sudah lama wujud dalam Umno sehingga pelbagai sekatan dibuat.

"Ini keadaan sekarang, tidak ada demokrasi. Ahli dan wakil tidak boleh bercakap. Kalau sokong Najib sahaja boleh bercakap," katanya.

Hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menemui Najib bagi merekodkan kenyataan beliau mengenai SRC International Sdn Bhd (SRC) dan wang RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya.

Beliau juga ketika ini berdepan tindakan saman bekas ahli Wanita Umno, Anina Saadudin, yang memfailkan saman terhadapnya dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf pada 28 Ogos lepas.

Anina antara lain menuntut pembayaran RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan Najib ke dalam satu akaun bank bukan milik Umno di Singapura.


PAU2015 tidak terjejas tanpa ucapan Muhyiddin – Ku Li

Posted: 05 Dec 2015 03:55 AM PST

 
Apa yang penting pada perhimpunan itu nanti adalah ucapan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak  kerana ia akan menjadi topik perbincangan 


Ku Li


KUALA LUMPUR: Ketiadaan ucapan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2015) tidak akan menjejaskan perhimpunan itu.

Mengulas mengenainya, bekas Naib Presiden UMNO, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah menegaskan ia hanya berbentuk perasmian.

Atas alasan itu, beliau berpendapat pimpinan parti berpendirian ucapan yang sebelum ini menjadi tradisi boleh dibuat ketua sayap masing-masing.

Katanya, apa yang penting pada perhimpunan itu nanti adalah ucapan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Ini semua ceremonial sahaja kerana apa yang berlaku adalah ucapan presiden yang akan dibincangkan.

Itu yang penting sekali. Ucapan-ucapan orang lain berupa pandangan yang barangkali menambah tokok apa yang diucapkan Presiden dan memberi perkhabaran apa yang berlaku dalam parti dan negara," katanya.

Ketika ditanya mengenai pelbagai insiden yang timbul sebelum PAU 2015, Ahli Parlimen Gua Musang itu menjelaskan ia bukannya drama.

Sebaliknya, situasi yang berlaku adalah perubahan yang dirasakan pimpinan perlu dilakukan.

"Barangkali pimpinan rasa perlu dilakukan. Itu dia punya keputusan, jadi kita terima dengan terhormat.

Jadi ada juga orang dalam parti demokratik berlainan pendapat sudah tentu akan ada pertelingkahan pendapat dalam soal ini," katanya ketika ditemui selepas Forum Islam dalam Demokrasi Berperlembagaan, di Universiti Malaya.

RUU MKN akan diterima jika tidak disalah guna – Ku Li

Posted: 05 Dec 2015 03:50 AM PST

 
Beliau berpendapat kerajaan pada masa sekarang telah mempunyai cukup kuasa undang-undang dan ia tidak perlu kepada RUU MKN2015


Tengku-Razaleigh-Hamzah.parlimen


KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015 (RUU MKN 2015) akan diterima rakyat jika pelaksanaannya tidak disalah guna.

Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, ia akan menjadi masalah jika ia dibuat untuk tujuan lain.

"Pada pandangan saya pemimpin merasakan mereka perlukan banyak kuasa untuk menangani masalah yang mereka hadapi pada hari ini tetapi itu pandangan mereka dan selalunya pandangan itu menjadi masalah," katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga berpendapat kerajaan pada masa sekarang telah mempunyai cukup kuasa undang-undang dan ia tidak perlu kepada RUU MKN2015.

Katanya atas faktor itu, orang awam, mereka daripada pembangkang tidak gembira dengan rang undang-undang berkenaan.

Ketika ditanya sama ada RUU MKN 2015 akan mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, di mana lebih banyak kuasa diberikan kepada Perdana Menteri, beliau menyangkal pandangan itu.

"Saya tidak melihat ia mengambil alih peranan Yang di-Pertuan Agong, tidak lagi sehingga saya melihatnya, saya harap ia tidak jadi sebegitu seperti mana yang berlaku pada ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), katanya.

Pemerintahan saya tak sama dengan Najib – Dr Mahathir

Posted: 05 Dec 2015 03:43 AM PST

 
Najib mempunyai hutang RM42 bilion, dia buat syarikat sendiri dan dia jadi penasihat syarikat.


mahathir-najib


SENAWANG : Tun Dr Mahathir Mohamed menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai persamaan dengannya semasa menjadi Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri yang berkhidmat selama 22 tahun itu sebaliknya mempersoalkan dakwaan yang dibuat oleh pihak terbabit.

"Apa yang Datuk Seri Najib buat dengan saya buat? Dia punya hutang RM42 bilion, dia buat syarikat sendiri. Dia jadi penasihat syarikat. Saya tak pernah buat.

"Macam mana orang boleh kata saya macam dia? Saya pun tak faham. Saya macam bapa dia, ya," katanya pada Majlis Bicara Santai Bersama Mahathir Mohamad di sini pada Sabtu anjuran Anak Muda Negeri Sembilan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari salah seorang penonton yang bertanyakan mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak 'iras-iras' kepimpinannya dahulu.

Dr Mahathir menambah, pemerintahan Najib juga berbeza dengan bapanya iaitu Tun Abdul Razak Hussein semasa menjadi Perdana Menteri.

"Bapa dia utamakan pembangunan orang Melayu. Saya masa jadi Perdana Menteri saya buat jalan, saya buat sekolah, kita buat klinik. Saya buat macam-macam di kampung.

"Tapi yang Najib buat hutang duit, sembunyi duit dalam dia punya akaun sampai RM2.6 bilion. Saya tak ada. Dalam akaun saya ada lah duit sikit. Tak sama," jelasnya.

Tiada ulasan: