Khamis, 3 Disember 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Apakah “Nothing 2Hide” berulang pada PAU2015

Posted: 03 Dec 2015 04:08 AM PST

Tun M telah menyatakan kesudian untuk hadir ke PAU 2015 dan jika ia menjadi kenyataan jutaan mata  tertumpu kepada pertemuan beliau dengan Najib



najib_mahathir_muhyiddin_600


Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 dilihat begitu banyak sensasi, kontroversi dan publisiti walaupun tiada pemilihan jawatan parti.

Wadah perhimpunan terbesar pemimpin parti politik orang Melayu yang akan berlangsung 8 hingga 12 Disember ini menjadi teka- teki terhadap kedudukan orang teratas dalam parti khususnya nasib Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan ramai lagi.

Persoalan yang bermain di benak fikiran apakah PAU 2015 akan membawa satu pembaharuan untuk mencari penyudah dan titik persefahaman di kalangan pemimpin parti.

Orang Melayu ternanti-nanti apakah lagi drama yang akan berlaku selepas ini dan ia menjadi semakin menarik apabila bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan kesudian untuk hadir sekiranya dijemput. Tegasnya beliau masih ahli dan sayangkan parti.

Seakan sejarah beberapa bulan lalu akan berulang sekiranya Tun M datang ke PAU kali ini dan bersemuka dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Masih segar di ingatan kehadiran beliau di program "Nothing 2Hide" sebelum ini yang sepatutnya turut dihadiri Perdana Menteri. Kehadiran Tun menyebabkan ia terpaksa dibatalkan dan kononnya atas alasan keselamatan, Najib dinasihat supaya tidak datang.

Pada kali ini, bertempat di lokasi yang sama di PWTC, apakah akan berlaku lagi kejutan sekiranya Tun M dijemput datang. Lensa kamera, pengamal media akan sabar menunggu untuk merakam serta mencatat detik pertemuannya dengan pemimpin nombor satu UMNO dan negara.

Mengenalinya sebagai negarawan, semangatnya amat tinggi dan tidak akan menghampakan permintaan khususnya daripada suara bawahan. Pasti beliau akan datang. Bahkan jika tidak dijemput sekalipun terdapat kemungkinan Tun M akan bertandang.

Apa yang pasti, jika diundang, beliau akan berada di barisan hadapan dan sama sekali tidak akan diberi ruang untuk bercakap tetapi percayalah sepatah perkataan yang terpacul daripada mulutnya akan menjadi inti pati berita. Sama ada sensasi atau tidak ia bergantung kepada persepsi.

Fokus media akan tertumpu terhadap dirinya. Pastinya jika detik itu menjadi kenyataan, Tun M akan menggunakannya sebagai wadah untuk meluah apa yang terbuku terhadap nasih parti yang pernah diterajunya.

Ramai yang tertunggu-tunggu kritikan dan luahan beliau yang melihat UMNO kini terlalu banyak masalah dan kepincangan berbanding 12 tahun lalu.

Selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin tersisih dan diibarat seperti tunggul pada PAU kali ini, kumpulan yang tidak sebulu dengan Najib mengharapkan 'keajaiban' Tun M selaku orang lama untuk bersuara.

Apapun kita tunggu detik itu nanti, mungkinkah antara Tun M dan Najib akan bersemuka? Hanya masa yang akan menentukan.

Azalina beri jawapan paling bodoh -DAP

Posted: 03 Dec 2015 03:41 AM PST

 
Panggilan itu dibuat Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang mempersoal kenyataan Azalina berhubung nasihat Peguam Negara kepada Najib


Azalina_Lim-Lip-Eng_Apandi_najib_600


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dikatakan memberi jawapan paling bodoh berhubung kenyataannya bahawa Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali telah menasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya tidak hadir ke Dewan Rakyat bagi menjelaskan mengenai dana derma RM2.6 bilion ke dalam akaunnya.

Panggilan itu dibuat Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

"Hari ini kita lihat jawapan paling bodoh di Parlimen setakat ini, di mana Azalina berkata Peguam Negara menasihat Najib supaya tidak menjawab (mengenai dana RM2.6 bilion)," katanya.

Wakil DAP berkata, Peguam Negara adalah peguam kepada kerajaan dan sebarang nasihatnya Perdana Menteri supaya tidak dijawab akan diikuti.

Berikutan kenyataan itu, dia turut mempertikai penjelasan yang dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Jangan hanya suruh timbalannya menjawab dan penjelasan dengan masa tiga minit," katanya kepada FMT di Lobi Parlimen.

Mengulas mengenai penggantian yang dibuatnya, Ahmad Zahid berkata, Peguam Negara telah menasihat Najib supaya tidak membuat sebarang kenyataan kerana masih dalam siasatan.

Dalam jawapan ringkasnya, beliau mengulangi bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memaklumkan bahawa RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib bukan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dr M: Dulu Umno diisytihar haram, sekarang apa perlu ROS buat?

Posted: 03 Dec 2015 03:10 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Tun Dr Mahathir Mohamad terus menjadikan isu RM2.6 bilion sebagai sasarannya dengan mengimbas semula ketika Umno diisytiharkan haram semasa beliau adalah presiden parti.

Beliau menimbulkan isu berkenaan sebagai mengulas dakwaan bahawa jumlah wang yang amat besar yang dimasukkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelang pilihan raya umum lalu adalah untuk Umno.

Jika itu adalah kesnya, Mahathir, yang mengetuai parti Melayu itu selama lebih dua dekad, berkata Akta Pertubuhan menetapkan bahawa semua urus niaga kewangan perlu dilaporkan.

"Tidak ada bukti bahawa ini telah dilakukan. Ia melanggar Akta Pertubuhan.

"Umno diharamkan pada masa saya. Sebab-sebabnya langsung tidak serius.

"Umno tidak melapor dan bertindak bagi mendapatkan semula wang itu dan melaporkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS). Apakah kata undang-undang yang perlu mereka lakukan?" soalnya.

FAM amal sistem pengurusan dalam gua?

Posted: 03 Dec 2015 03:07 AM PST

Shakira Buang 





Nampaknya Lim Teong Kim belum serik untuk mengeluarkan kenyataan pedas kepada pihak yang terbabit secara langsung dalam pengurusan bola sepak negara.

Hari ini bekas pemain kebangsaan yang menjadi Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) itu berkata, prestasi sukan bola sepak negara akan terus memburuk jika FAM kekal menggunakan kaedah pengurusan "zaman gua".

Tidak cukup dengan itu, Teong Kim mendakwa FAM tidak mempunyai kesungguhan melaksanakan program pembangunan sukan bola sepak.

Justeru, katanya yang pernah menjadi penolong jurulatih skuad remaja Bayern Munich berkata, tidak mengejutkan apabila prestasi bola sepak negara kini berada pada tahap kronik sekarang.

"Ramai jurulatih pernah bermain untuk negara dan ada yang masih berkhidmat dengan negara sekarang. (Cuba) tanya mereka, apakah ada perbezaan cara latihan dulu dan sekarang?

"Sebab itu saya katakan (kalau guna kaedah lama) sukan kita tidak ke mana dan masih berada dalam gua. Jadi, bagaimana sukan bola sepak kita nak naik?" soal Teong Kim di Bukit Jalil hari ini.

Dia ditemui di majlis sidang media mengumumkan pertandingan bola sepak Piala SuperMokh 2015.

Kamu tanya FAM

Mengulas lanjut, Teong Kim berkata program pembangunan bola sepak bukan sesuatu yang baru namun FAM tidak pernah mengambil peduli malah idak mempunyai semangat untuk berbuat demikian.

"Benda (program pembangunan bola sepak) ini bukan baru, FAM tahu dan sudah lama tahu, tapi saya tidak tahu (kenapa mereka tidak ambil peduli), kamu kena tanya FAM sendiri.

"FAM tahu tapi tak ada semangat nak buat. Itu yang saya boleh beritahu, mereka tak peduli dan tak semangat," ulas Teong Kim dengan nada kesal.



Teong Kim bukanlah baru dalam polemik kontroversi sukan bola sepak. Baru-baru ini dia menaikkan kemarahan ramai jurulatih apabila mendakwa pihak terbabit bersikap "bodoh sombong" dan "ego" untuk bertukar-tukar idea.

Katannya, jurulatih tempatan hanya bekerja dalam negara sahaja dan ia tidak mampu mengangkat prestasi skuad kebangsaan ke arah lebih baik..

Menurut Teong Kim, FAM dan jurulatih perlu mencari pendekatan baru dengan melaksanakan program pembangunan di setiap negeri.

"Kalau bola sepak dijaga oleh persatuan bola sepak dengan memberi fokus kepada program pembangunan, ia bukan saja boleh berjaya, malah boleh medidik pemain supaya berdisiplin.

"Tetapi jika dididik (pemain) menjadi liar sudah tentu mereka menjadi liar," katanya.

Berhubung kejohanan jemputan antarabangsa Piala SuperMokh edisi kedua kali ini, Teong Kim berkata, ia akan bermula Isnin ini dan menjadi medan terbaik untuk pemain muda bola sepak negara meraih pengalaman.

Sebanyak 30 pasukan luar negara akan bertanding dalam dua katogeri iaitu bawah 12 dan 13 tahun.

Tambahnya, pertandingan akan diadakan di padang rumput tiruan Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam, Kompleks Sukan Maybank Bangi dan Akademi KLFA, Taman Melati.

Kejohanan itu akan berakhir pada 13 Disember ini.


Usul undi tidak percaya Najib tersenarai nombor 40

Posted: 03 Dec 2015 03:05 AM PST


Dewan Rakyat
Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR - Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tersenarai dalam kertas Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini pada urutan ketiga terakhir.

Usul yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu berada di kedudukan nombor 40 dalam senarai tersebut.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada usul itu akan sempat dibahaskan pada sesi ini.

Mesyuarat ketiga penggal ketiga Parlimen ke-13 akan berakhir hari ini.

Pada 22 Oktober lalu, Wan Azizah mengemukakan pemberitahuan usul undi tidak percaya terhadap Najib kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Usul tersebut difailkan berdasarkan Perkara 43(1) dan 43(4) Perlembagaan Persekutuan, Konvensyen Parlimen dan Peraturan 26 dan 27 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat.

Sebelum ini, semua ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Pas telah menyatakan komitmen untuk menyokong undi tidak percaya terhadap Najib sekiranya usul itu berjaya dibawa di Dewan Rakyat.


WSJ: 'Pelik' bagi 1MDB berurusan dengan bank kecil, kata pakar

Posted: 03 Dec 2015 02:58 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Tindakan syarikat pelaburan negara 1MDB untuk berurusan dengan sebuah bank kecil di Switzerland adalah 'pelik', memandangkan saiz dan kepentingan dananya, kata seorang pakar perbankan dan kewangan.

Akhbar Wall Street Journal melaporkan demikian selepas pasukan Swiss menjadikan sebuah bank di Zurich, Falcon Private Bank sebagai tumpuan untuk menentukan kaitannya dengan 1MDB.

"Agak pelik bagi (syarikat) dana kerajaan walaupun mempunyai akaun dengan yang bank swasta kecil," kata Daniel Marovitz yang dipetik akhbar itu.

Marovitz menguruskan operasi Eropah untuk perkhidmatan pembayaran bank merentas sempadan bersama Earthport PLC dan sebelum ini adalah pengarah urusan di bahagian transaksi global, Deustche Bank AG.

Katanya, bank-bank besar akan mengidamkan pelanggan besar seperti 1MDB dan bersaing secara agresif untuk berurus niaga dengan mereka.

Pakar yang dirujuk oleh WSJ juga berkata bank-bank global yang besar lazimnya digunakan untuk memindahkan jumlah yang besar, manakala 1MDB pula menggunakan sebuah bank swasta kecil untuk urus-niaga berbilion ringgit.

Gelaran 'pengkhianat, hipokrit' gamatkan dewan

Posted: 03 Dec 2015 02:54 AM PST



Dewan Rakyat
Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR - Pembangkang berang digelar hipokrit oleh Ahli Parlimen BN ketika sesi perbahasan usul untuk merujuk Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan susulan kontroversi gambarnya dengan anak pengganas, Jacel Kiram di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bangkit menuntut agar kenyataan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) itu ditarik balik.

Raime sebelum ini berkata, "jangan kita jadi hipokrit seperti pembangkang yang mendabik dada mengatakan kononnya perjuangan mereka atas prinsip demokrasi."

Suasana menjadi kecoh apabila ahli-ahli Parlimen BN dan pembangkang saling bertingkah mempertahankan pendirian mereka.

Datuk Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) bangkit dan menyifatkan perkataan hipokrit itu terlalu berat.

Namun Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee menyatakan bahawa pembangkang juga sering melemparkan pelbagai tuduhan ke atas kerajaan.

"Semalam YB...biasanya YB hari-hari tuduh kerajaan. Saya tidak memihak. YB Kapar tuduh kerajaan menipu rakyat. Saya diam sahaja. Perkataan-perkataan ini sudah menjadi kebiasaan.

"Semalam menteri minta YB Kapar tarik balik pun Kapar tak tarik balik," katanya.

Sebelum itu, Raime turut mendakwa Nurul Izzah sebagai petualang bangsa dan pengkhianat negara," katanya.

Katanya, beliau menganggap hanya Nurul Izzah berpura-pura dalam menjelaskan isu tersebut.

"Jelas pembangkang ini tidak patriotik dan tidak cintakan negara. Tanpa segan silu mereka sanggup meletakkan kepentingan politik melebihi kedaulatan negara.

"Maka amat bersesuaian jika saya ibaratkan mereka sebagai petualang bangsa dan pengkhianat negara kita. Adakah begitu penting politik peribadi keluarga bekas ketua pembangkang ini sehingga sanggup YB Lembah Pantai berkawan baik dengan Jacel Kiram dan bersekongkol dengan musuh?," katanya.

Namun Nurul Izzah bangkit membantah dan menyifatkan kenyataan itu satu sangkaan jahat dan dakwaan liar.

Timbalan Speaker kemudiannya meminta Raime menjelaskan dakwaan itu.

"Saya cuma cakap Lembah Pantai bersekongkol dengan musuh negara. Ada juga saya menyatakan beliau tidak mengambil kira bahawa pengganas Sulu ini telah menceroboh Sabah dan membunuh pejuang-pejuang negara kita. Salahkah saya cakap?," katanya.

Sehubungan itu, Timbalan Speaker mengingatkan ahli-ahli dewan tentang nasihat Speaker , Tan Sri Pandikar Amin Mulia agar tidak mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati.

"Cukuplah sekadar kalau kita menyatakan bahawa YB Lembah Pantai telah bergambar dengan anak pengganas Sulu yang telah dianggap sebagai musuh negara. Bermakna tidak merujuk kepada YB Lembah Pantai bersekongkol atau menjadi petualang kepada negara.

"YB kena faham usul ini timbul kerana perasaan sakit hati rakyat negeri Sabah terhadap gambar yang telah dikeluarkan," katanya.

Usul untuk merujuk Nurul Izzah kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

PasMa gesa Azmin sisihkan PAS daripada kerajaan negeri Selangor

Posted: 03 Dec 2015 02:52 AM PST

ANTARAPOS.COM


Post Pic


GEORGE TOWN: Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) menggesa kerajaan negeri Selangor supaya mengikut jejak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang tegas menyisihkan PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas parti itu enggan menganggotai Pakatan Harapan.

Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali sepatutnya tegas dengan pendirian dan resolusi yang telah dipersetujui antara parti komponen Pakatan Harapan.

"Beliau (Mohamed Azmin) perlu buat keputusan sama seperti di Pulau Pinang iaitu tidak perlu kekalkan PAS dalam kerajaan negeri yang diterajuinya itu.

"Mungkin Mohamed Azmin masih kekalkan PAS dalam pentadbirannya kerana beliau mahu memujuk parti Islam itu menganggotai Pakatan Harapan, tetapi saya percaya mereka (PAS) tidak akan bersetuju," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata PasMa juga bersedia untuk mengemukakan nama anggotanya untuk memegang jawatan dalam kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan termasuk pelantikan sebagai anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Negeri (JKKKN).

Katanya, sebelum ini di Pulau Pinang seramai 1,083 anggota JKKKN daripada PAS telah meletak jawatan dan PasMa bersedia dilantik sekiranya kerajaan negeri menghendaki mereka. – BERNAMA

Pahlawan Bugis lari lagi ..

Posted: 03 Dec 2015 02:36 AM PST



Oleh Shahbudin Husin 


Sebagaimana yang diduga banyak pihak, Perdana Menteri Najib Razak sekali lagi mengelak untuk menjawab isu berkaitan derma RM2,600 juta yang mengalir masuk ke akuan bank peribadinya.

Beliau yang sepatutnya menjawab isu itu di Parlimen hari ini, sebaliknya menyerahkan kepada bekas Setiausaha Politiknya yang kini dilantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi untuk mewakilinya memberikan jawapan.

Speaker Parliman, Pandikar Amin Haji Mulia juga memaklumkan bahawa tiada sebarang soalan atau perbahasan ketika Zahid Hamidi memberikan jawapan yang mewakili Najib itu.

Aduhh...sudahlah diwakilkan kepada orang lain, tiada soalan dan tiada perbahasan pula dibenarkan.

Apabila Azalina Othman Said sebelum ini memberitahu bahawa Najib akan menjawab sendiri isu berkaitan derma berbilion ringgit yang diterimanya itu di Parlimen pada hari terakhir sessi Parlimen, lebih ramai yang sangsi daripada meyakini keberanian Najib untuk berdepan dengannya.



Ia bukan saja kerana isu itu sudah berlalu begitu lama dibiarkan tanpa jawapan yang meyakinkan, tetapi pemilihan hari terakhir sessi Parlimen turut menimbulkan banyak persoalan.

Kesangsian itu menjadi kenyataan akhirnya dengan Najib langsung langsung tidak berani walau untuk mengeluarkan satu patah perkataan sekali pun.

Jika dalam program Nothing To Hide tidak lama dulu, Najib tidak berani menjejakkan kakinya ke PWTC berikutan Tun Mahathir sudah menunggu untuk berhujah dengannya di sana, tetapi di Parlimen kali ini beliau sekali lagi menunjukkan ketakutannya berdepan Ahli-Ahli Parlimen dengan Zahid Hamidi pula ditolaknya ke depan.

Memang pelik dan tidak masuk akal apabila Zahid yang disuruh menjawab sedangkan duit berkenaan masuk ke akaun peribadi Najib. Maka, itukah sebabnya tiada soalan dan perbahasan dibenarkan?

Zahid pula dalam rumusannya mengenai wang itu hanya mengambil masa kira-kira 3 minit saja untuk menjawabnya. Begitu banyak wang yang mengalir masuk dan banyak pula persoalan yang timbul, namun hanya 3 minit saja yang mampu diluangkan.

Sampai bila agaknya Najib mahu bersembunyi dan terus melarikan diri?

http://shahbudindotcom.blogspot.my 

Umno Sudah Hantar Surat Pecat Kepada Hamidah - Ku Nan

Posted: 03 Dec 2015 02:24 AM PST

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, parti itu telah menghantar surat pemecatan kepada bekas Ketua Wanita Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman.

"Dah hantar surat, dia macam (Datuk) Saifuddin (Abdullah) juga, bila kita dah hantar surat tapi kata tak terima surat," katanya yang merujuk Saifuddin yang merupakan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang keluar dari parti untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya dah hantar surat dan dia bukan perwakilan," katanya pada sidang media mengenai Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 di Menara Dato' Onn di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai surat pemecatan yang belum diterima Hamidah seperti yang didakwanya.

Tengku Adnan bagaimanapun tidak mengulas lanjut bila surat pemecatan itu dihantar kepada Hamidah.
Pada Rabu, Hamidah yang membuat dakwaan itu berkata, selagi belum mendapat surat pemecatan berkenaan, beliau masih lagi anggota parti.

"Saya tidak dapat lagi surat rasmi pemecatan sehingga hari ini. Selagi tak ada surat hitam putih, saya menganggap masih lagi ahli Umno.

"Saya akan hadir pada Perhimpunan Agung Umno nanti kalau masih lagi jadi ahli. Bagaimanapun, saya akan cuba dapatkan penjelasan berhubung status saya," katanya.

Minggu lalu, Umno memutuskan Hamidah dipecat dari parti kerana pelanggaran disiplin.

Pemecatan Hamidah berikutan bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng itu menggesa presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya meletakkan jawatan perdana menteri.

MT Khas akan putuskan jika Muhyiddin boleh berucap di PAU 2015

Posted: 03 Dec 2015 02:14 AM PST

QURNISHA HAMKA

 

IMG_0037 L
MT Khas Umno akan tentukan jika Muhyiddin berpeluang berucap di akhir PAU 2015. - Foto arkib TRP/ Mokhsin Zamani


KUALA LUMPUR,  Peluang Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddn Yassin untuk menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 akan ditentukan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Khas parti itu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata demikian ketika mengulas ucapan penggulungan PAU yang mungkin memecah tradisi parti, dengan menyaksikan hanya Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak berucap.

"Pada pandangan saya sehingga ke hari ini, presiden cukuplah, tak payah orang lain.

"Itu pandangan saya, tunggu bila mesyuarat Majlis Tertinggi Khas nanti barangkali (akan putuskan)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Umno, di Menara Dato' Onn, hari ini.

Semalam, Muhyiddin menyifatkan dirinya sekadar menjadi tunggul di atas pentas, jika beliau tidak dibenarkan menyampaikan ucapan penggulungan pada PAU 2015.

Bagaimanapun beliau akan menghormati keputusan itu, meskipun haknya untuk berucap bagi merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umni serta pada sesi penggulungan dinafikan.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan membidas dakwaan bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman yang mendakwa beliau belum menerima surat pemecatan rasmi daripada parti.

"Dah hantar surat (kepada Hamidah)…dia ini macam Saifuddin (Abdullah) jugalah…kita dah hantar surat, dia kata tak terima surat.

"Saya dah hantar surat…dan dia bukan perwakilan (dipercayai merujuk kepada kenyataan Hamidah semalam yang mengatakan akan tetap menghadiri PAU 2015)," kata Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi.

Semalam, Hamidah turut mengingatkan Umno supaya tidak menjadi parti pasar, ekoran tindakan parti itu memecatnya tanpa mengikut prosedur.

‘Anda boleh buat laporan, jangan tuding jari sewenang-wenangnya’

Posted: 03 Dec 2015 02:12 AM PST

FERNANDO FONG

 

adnan
Adnan (kanan) melihat Draf Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands 2030 di Tanah Rata, hari ini. - Foto TRP/ Fernando Fong


CAMERON HIGHLANDS,  Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengeluh, beliau sentiasa  dipersalahkan terhadap semua bencana alam di Cameron Highlands.


"Saya rasa tidak ada keperluan untuk media menemubual saya apabila bencana berlaku kelak. 

"Tulis sahaja bencana itu berlaku kerana saya, banjir berlaku kerana saya (kencing) terlalu banyak," katanya secara berseloroh kepada hadirin, ketika perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands 2030 (Penggantian) di Tanah Rata, hari ini.

Adnan berkata, alam sekitar boleh dimusnahkan akibat kerakusan manusia. 

Bagaimanapun, tegasnya, Kerajaan Negeri Pahang komited untuk melindungi Cameron Highlands dan mengembalikan zaman kegemilangannya sebagai destinasi pelancongan yang bersih.

Draf Rancangan Tempatan 2030 itu, katanya, bertujuan mengembalikan zaman kegemilangan Cameron Highlands.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai menggunakan sepenuhnya peluang itu untuk menyuarakan pandangan mereka demi masa depan Cameron Highlands, melalui Draf Rancangan Tempatan 2030 itu. 

Disediakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Draf Rancangan Tempatan 2030 sebagai strategi Pengurusan Khas akan menggantikan Rancangan Tempatan Cameron Highlands 2003-2015 . 

"Jika perlu, kita boleh mengubah Draf Rancangan Tempatan itu, tetapi jangan tunggu sehingga draf itu dimuktamadkan. 

"Orang ramai juga perlu mempunyai kesedaran dan etika, kerana sungai sentiasa dicemari sampah. Malah, anda boleh nampak mesin basuh dan perabot dalam sungai," katanya sambil menambah, perancangan sedang dibuat untuk membersihkan sungai-sungai.

Orang ramai mempunyai masa sehingga awal bulan depan untuk memberi maklum balas mereka berhubung draf itu di majlis daerah.

Mereka boleh melihat rancangan itu dan memberi maklum balas menerusi borang yang disediakan. 

Selepas Rancangan Tempatan itu diwartakan, pembangunan perlu mengikur rancangan berkenaan atau mereka dianggap melanggar Akta Perancangan Bandar dan Desa.

Pada masa sama, Adnan berkata, kawasan berisiko yang terdedah kepada hakisan tanah dan banjir telah dikenal pasti dan akan diberikan perhatian.

Bagi penerokaan hutan secara haram, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memantau dan menjalankan penguatkuasaan, khasnya terhadap petani besar.

Petani terbabit diklasifikasikan sebagai mereka yang mempunyai tanah melebihi lima ekar.

Adnan berkata, pertanian boleh menjadi perniagaan menguntungkan, kerana petani boleh menjadi jutawan dengan 10 ekar tanah di Cameron Highlands.

Beliau turut menggesa orang ramai membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, bukannya menyindir pihak berkuasa seperti MKN merasuah.

"Anda boleh buat laporan bila-bila masa, jangan tuding jari sewenang-wenangnya," katanya.

Zaid akan didakwa esok

Posted: 03 Dec 2015 02:10 AM PST

NORAIZURA AHMAD

 

zaid
Zaid (tengah) hadir ke IPD Dang Wangi kira-kira jam 2.15 petang tadi, dengan ditemani dua peguamnya. - Foto TRP/ Noraizura Ahmad


KUALA LUMPUR,  Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok, mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, susulan ucapan yang dimuat naik ke blognya pada 2 September lalu.


Zaid didakwa menggunakan aplikasi Internet secara sedar untuk membuat pernyataan dengan niat bagi menyakitkan hati orang lain dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 2.15 petang tadi, dengan ditemani dua peguamnya dan beredar setengah jam kemudian.

Zaid berkata, beliau dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan dan gambar berkaitan blog mengandungi ucapannya, kerana menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

"Saya bersedia untuk sebarang kemungkinan.

"Kita dalam negara demokrasi, mesti ada hak untuk menyuarakan pandangan demi kebaikan negara," katanya ketika ditemui media di luar IPD Dang Wangi, petang ini.

Ucapan Zaid itu turut dimuat naik ke blognya www.zaid.my yang bertajuk 'Rally Behind Tun Mahathir Mohammad'.

Bulan lalu, Zaid dipanggil memberi keterangan berhubung perkara sama dan disiasat di bawah Akta Hasutan.

SPRM turun padang siasat dakwaan rasuah di Cameron Highlands

Posted: 03 Dec 2015 02:08 AM PST

THE RAKYAT POST

 

MACC_L1
SPRM sedang mengambil tindakan proaktif susulan aduan yang dibuat kepada SPRM.


KUALA LUMPUR, "SPRM telahpun bertemu dengan petani yang dimaksudkan dalam laporan tersebut."

Itu maklum balas Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berhubung pendedahan laporan The Rakyat Post mengenai isu rasuah di Cameron Highlands bertajuk 'Farmer alleges corruption in Cameron Highlands', semalam.


Azam berkata, SPRM sentiasa siasat kes-kes ada unsur rasuah.

Sehubungan itu, katanya, SPRM sedang mengambil tindakan proaktif susulan aduan yang dibuat kepada SPRM.

"SPRM memberi jaminan akan menjalankan siasatan mengikut Akta SPRM 2009 jika wujud elemen rasuah.

"Kami hanya boleh menjalankan siasatan berkaitan perlakuan rasuah.


Semalam, The Rakyat Post melaporkan seorang petani dari Kampung Raja,  Kaliyappan Perumal, 33, mendakwa rasuah berleluasa di Cameron Highlands yang mencapai kadar yang endemik dan jika lewat ditangani akan menjadikannya mustahil untuk diatasi.

Menurutnya, dakwaan rasuah dan berpakat dengan pemaju timbul selepas Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Cameron Highlands memusnahkan sebuah ladang, Khamis lalu.

Justeru, Azam berkata SPRM menasihatkan agar mana-mana pihak supaya berhubung dengan pihak berkuasa tempatan atau Pejabat Tanah sekiranya melibatkan aspek-aspek lain di luar bidang kuasa Akta SPRM 2009.

"Untuk makluman, SPRM sentiasa mengambil tindakan yang sewajarnya demi kepentingan rakyat dan penduduk Cameron Highlands, termasuk telah mengadakan Ops Sejuk pada awal Julai 2015, di mana SPRM telah berjaya menahan 22 pekebun sayur kerana cuba merasuah anggota penguat kuasa di Cameron Highlands.

"Oleh itu, mereka yang ada maklumat boleh menyalurkan kepada SPRM.

"Kerjasama semua pihak adalah sangat penting bagi SPRM," tegasnya.

Sindiket dadah terbesar Kelantan lumpuh dalam tempoh 24 jam

Posted: 03 Dec 2015 01:20 AM PST

ADNAN MOHAMAD

 

jsj kelantan
Ketua JSJN Kelantan, Superintendan Mit Emong (tengahari) bersama pegawainya menunjukkan Eramin 5 dan ubat batuk yang dirampas dalam sidang media di IPK Kelantan, hari ini. - Foto TRP/Adnan Mohamad

jsj kelantan 1
Ketua JSJN Kelantan, Superintendan Mit Emong (tengahari) bersama pegawainya 
 menunjukkan
Eramin 5 dan ubat batuk yang dirampas dalam sidang media di IPK Kelantan, hari ini. – Foto TRP/Adnan Mohamad

KOTA BHARU, Hanya dalam tempoh 24 jam, pasukan Taskforce yang ditubuhkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) berjaya menahan tujuh lelaki dan merampas 900 biji Eramin 5 dan 13 gelen ubat batuk bernilai RM21,300 dalam tiga serbuan bermula tengahari semalam.

Kejayaan itu dianggap sebagai rampasan terbesar di dalam Kota Bharu dan dipercayai berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah jenis itu di sekitar Wakaf Mek Zainab dan Telipot, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Superintendan Mit Emong berkata, rampasan membabitkan Eramin 5 dan ubat batuk 'Codaine' itu amat mengejutkan kerana dadah jenis itu sudah lama tidak diperolehi.
Menurutnya, sebelum ini tumpuan banyak diberikan kepada pil kuda dan tidak menyangka dadah jenis itu muncul semula.

"Kemungkinan ekoran banyak pil kuda dirampas, rangkaian pengedar dadah sudah kehabisan bekalan dan mula kembali mengedar Eramin 5 dan ubat batuk," katanya pada sidang media di IPK, di sini hari ini.

Jelasnya, dalam serbuan bermula jam 12 tengahari semalam pasukan 'taskforce' berjaya menahan dua lelaki di Jalan Telipot dan merampas sebanyak 52 liter ubat batuk.

Katanya, dalam serbuan kedua selepas itu pasukan terbabit menahan pula seorang lelaki berusia 21 tahun dan merampas 400 biji Eramin 5 di Jalan Bayam.

"Operasi terakhir pada jam 8 malam, pasukan khas itu berjaya menahan empat lelaki di dalam sebuah kereta dan merampas 500 biji Eramin 5 bernilai RM7,500.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 29 tahun. Polis berjaya mendapatkan perintah tahanan reman kepada semua suspek sehingga 9 Disember depan untuk siasatan lanjut," katanya.

Mit berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Najib ‘culik’ demokrasi, wayang ‘ancaman’ direka

Posted: 03 Dec 2015 01:13 AM PST

Oleh Wong Kah Woh

1mdb


ADAKAH Kerajaan Barisan Nasional (BN) cuba untuk 'menculik' sistem perundangan dan demokrasi di negara ini melalui pembentangan Pembentangan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015?
DAPSY mendesak kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang itu dengan segera supaya ahli-ahli parlimen, pengamal undang-undang dan rakyat mempunyai peluang meneliti, mengkaji dan berunding tentang hal itu.

Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 memberi kuasa yang amat luas dan besar kepada majlis itu dan Perdana Menteri untuk membuat peristytiharan mana-mana kawasan sebagai kawasan keselamatan jika didapati 'diganggu atau diancam dengan serius oleh mana-mana pihak yang menyebabkan bahaya kepada orang ramai'.

Seterusnya, melaksanakan kuasa mengikut rang undang-undang termasuk membuat perintah berkurung.
ISAKita harus mengambil iktibar betapa kerajaan pernah memberi jaminan semasa pembentangan Rang Undang-Undang pada 1960 kononnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak akan digunakan terhadap ahli-ahli politik pembangkang.

Dan, kita sedia maklum hakikat sebenarnya selepas ISA dilulus, sangat bertentangan apabila mereka yang memegang kuasa mentafsir istilah 'ancaman terhadap keselamatan negara' dengan sebegitu luas.

Kita juga maklum lebih 30 ahli politik, ahli akademik, aktivis dituduh mengikut Akta Hasutan sejak 2014 sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah memberi janji untuk menghapuskannya pada 2011.

Bagaimana sesuatu kawasan boleh diistihar sebagai satu kawasan keselamatan, terbuka kepada pentafsiran luas. Dengan ini, bertambah kebarangkalian untuk akta itu jika diluluskan, disalah guna khasnya dalam keadaan kredibiliti Perdana Menteri sedang dipersoal.

Persoalan yang wajib dibincang ialah sama ada perisytiharan itu akan mempunyai kesan seperti darurat yang sistem pilihan raya ditangguh sehingga tempoh itu tamat.

Apabila Najib melumpuhkan segala institusi yang terlibat dalam siasatan skandal 1MDB melalui pelantikan Peguam Negara baru dalam masa 24 jam, empat ahli PAC dibawa ke Kabinet, kita boleh bayangkan betapa besar kesannya jika beliau diberi kuasa sebegitu luas dan muktamad melalui rang undang-undang berkenaan.

Sehari sebelum rang undang-undang itu dibentang, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi amaran bahawa IS mencadang untuk menculik tiga pemimpin utama.

Persoalan sekarang ialah sama ada ia suatu kebetulan ataupun ia sekadar wayang kerajaan untuk menjustifikasi pembentangan rang undang-undang itu dengan kadar melulu?

parlimenSama ada ia suatu percubaan kerajaan untuk 'menculik' sistem demokrasi sedia ada?

Niat sebenar Kerajaan BN dalam memperkenal rang undang-undang itu amat meragukan, membawa bayang-bayang POTA, SOSMA dan Akta Hasutan yang pernah dijanjikan Najib untuk dimansuh.

Undang-undang sebegini kononnya untuk melindungi keselamatan negara tetapi akhirnya dan sebenarnya, digunakan untuk melindungi kepentingan peribadi pihak tertentu dan melakukan penindasan politik ke atas pengkritik kerajaan.

Janganlah Kerajaan Barisan Nasional sekali sekala cuba menggunakan atau menyalahgunakan nama dan istilah 'keselamatan' untuk mencapai tujuan politik yang tersirat.

* Wong Kah Woh ialah Ketua DAPSY Kebangsaan yang juga Adun Canning.


Kerajaan BN abai projek bekalan air, Impian Sarawak turun sambung paip

Posted: 03 Dec 2015 01:09 AM PST

Oleh Fatih Hassan Nordin


sar12279191_971838432853992_8487966715588327994_n


SARAWAK  : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelawan, Wong Kee Woan kesal berikutan Kerajaan Sarawak seolah-olah menghukum rakyat yang menyokong pembangkang, dengan sengaja mengabai aspek kemudahan asas, khususnya penduduk pedalaman negeri itu.

Beliau berkata, ia berikutan banyak kawasan yang pengundinya menolak Barisan Nasional (BN) tidak menerima bekalan air dan elektrik menyebabkan penduduk kesukaran meneruskan aktiviti seharian.

"Sebagai contoh, RH Timban yang terletak di Sungai Iran, Song, menempatkan 14-pintu rumah panjang masih tidak mempunyai bekalan air sejak 15 tahun lepas," katanya.

Kata Kee Woan, kesusahan sedia ada pula seolah-olah bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka dimaklumkan tiada projek bekalan air akan dilaksana oleh Kerajaan Sarawak walaupun ada menerima dana Kerajaan Persekutuan.

"Terdapat baki bahan daripada projek di RH Chirry seperti paip yang boleh digunakan untuk kegunaan penduduk RH Timban tetapi disimpan di dalam stor.

"Perbuatan itu kejam dan tidak menghormati perasaan penduduk yang sepatutnya dibela dan dilayan secara adil", katanya.

Justeru, beliau menuntut penjelasan Ketua Menteri Sarawak berhubung dana Projek Pembangunan Luar Bandar – Minor Rural Project (MRP) yang diluluskan Kerajaan Pusat bernilai RM 1.115 billion.

Beliau berpendapat Kerajaan Pusat seolah-olah sengaja menganak tiri penduduk kerana dilihat cenderung menyokong pembangkang.

"Selain itu, ada banyak kes Kerajaan Pusat membatalkan pelantikan tuai rumah serta memotong dana MRP."

Kesal dengan tindakan itu, katanya DAP melalui projek Impian Malaysia baru-baru ini melakukan kerja menyambung paip sepanjang 1.5 meter ke kawasan berkenaan, antara lokasi paling sukar dimasuki.

Impian Malaysia adalah projek seliaan DAP untuk memastikan penduduk luar bandar Sarawak dan Sabah, khasnya, dapat menikmati keperluan asas seperti jalan raya, elektrik dan air.

Kee Woan yang juga Naib Pengerusi DAP Sarawak, berkata kewujudan kawasan yang tiada keperluan asas seperti air dan elektrik, sangat memalukan apatah lagi selepas 52 tahun pembentukan Malaysia,.



Desak semak kadar tambang, kenaikan 57 peratus ‘cekik darah’

Posted: 03 Dec 2015 01:06 AM PST

oleh Fatih Hassan Nordin


ERL


KUALA LUMPUR  – Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming mendesak Kementerian Pengangkutan menyemak semula kadar tambang baharu yang dikenakan kepada penguna perkhidmatan Express Rail Link (ERL) yang disifatkanya sebagai "cekik darah".

Beliau berkata, KLIA Express tidak wajar menaikkan kadar tambang kerana syarikat itu mencatat keuntungan sekitar 40 peratus sejak pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tahun lalu dengan penambahan 6 gerabak baharu.

"Peningkatan jumlah penumpang seharusnya menyumbang kepada peningkatan keuntungan KLIA Express," katanya pada kenyataan media, hari ini.

Kian Ming juga mengingatkan kos pembinaan lanjutan ke KLIA2 yang bernilai RM100 juta dibayar sepenuhnya oleh kerajaan, sekali gus bermakna KLIA Express menerima kelebihan dari segi kewangan tanpa perlu mengeluarkan modal.

Beliau juga tertanya-tanya sama ada kenaikan itu disebabkan kenaikan kadar pajakan Perbadanan Aset Keretapi (PAK) bagi landasan yang menghubungkan KL Sentral, KLIA serta KLIA 2.

"Menteri Pengangkutan harus mendedahkan perjanjian pajakan itu kerana ia melibatkan kepentingan bersama," katanya yang mengesyaki peningkatan cukai lapangan terbang dari RM51 ke RM65 ada kena mengena dengan peningkatan kadar tambang ERL.

"Adakah KLIA Express masih menerima bayaran cukai itu? Jika ya, mengapa KLIA Express menaikkan kadar tambang dengan begitu tinggi?" katanya merujuk jawapan Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat yang mengesahkan RM5 dari setiap cukai, dibayar kepada KLIA Express.

Semalam, syarikat itu mengumumkan kadar tambang baru bagi perjalanan sehala dari KL Sentral ke KLIA dan ke KLIA2 ialah RM55 berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan. Ia menyaksikan kenaikan kadar tambang sebanyak 57 peratus – dari RM35 kepada RM55.

Menyifatkan langkah kenaikan itu sebagai 'penswastaan' keuntungan, Kian Ming menganggap kenaikan itu menguntungkan kroni kerana sebahagian besar saham KLIA Express dikuasai oleh YTL Corporation yang pemegang sahamnya pemimpin BN.


DAP kecam penjelasan ‘derma’ RM2.6 bilion hanya tiga minit

Posted: 03 Dec 2015 01:04 AM PST

Oleh Fatih Hassan Nordin
 
SUFI3192




KUALA LUMPUR: DAP kesal berikutan penjelasan mengenai 'derma' RM2.6 bilion yang ditunggu-tunggu ramai bukan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya dibuat timbalannya hanya dalam masa tiga minit.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata Najib tidak wajar menyerahkan tanggungjawab itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana dana itu dimasukkan ke akaun peribadinya.

Beliau juga menyifatkan sidang Parlimen memberi keutamaan salah apabila mengambil masa singkat untuk penjelasan 'derma' sedangkan berjam-jam berbahas untuk menggantung Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

"Rakyat pasti tidak akan dapat menerima kenyataan ringkas seumpama itu, lebih-lebih lagi ia dijawab oleh Zahid bukan Najib. Ini akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap fungsi Parlimen," katanya pada sidang media, hari ini.

Zahid hari ini hanya mengambil masa tiga minit untuk memberi penjelasan mengenai derma itu kononnya atas alasan skandal itu masih dalam siasatan dan tidak wajar dibincang kepada awam.

Malah, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak membenarkan sebarang soalan atau berbahas dengan jawapan Zahid itu.

Pada sidang media sama, Ketua Pemuda Sosialis DAP Malaysia (DAPSY), Teo Kok Seong pula percaya pengundi akan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam sehari jika isu sebesar itu hanya dijawab dalam masa tiga minit,

Selain jawapan tiga minit itu, Chin Tong kesal berikutan sidang Parlimen dipendekkan dari 61 hari kepada 53 hari tahun depan sekaligus bimbang banyak isu rakyat tidak dapat dibahas dengan baik.

"Ia juga menyukar Ahli Parlimen membuat persediaan dalam sesebuah isu dan menyebabkan sesi Dewan Rakyat berlarutan hingga lewat malam," katanya.


Isu YaPEIM dan pimpinan yang amanah

Posted: 03 Dec 2015 12:59 AM PST



Oleh MAIZATUL AKMR JUMAIN


AMALAN membelanjakan Aarta (infaq) boleh sahaja diberi langsung kepada individu yang memerlukan dan boleh juga diberi kepada badan-badan tertentu yang mengelolakannya. Malah, ia boleh diberikan kepada negara untuk dikelolakan dan boleh sahaja bagi negara mewujudkan atau melantik badan-badan tertentu untuk tujuan menguruskannya.

Apa yang menjadi isu di sini ialah infaq yang diberi kepada negara atau pihak-pihak tertentu untuk menguruskannya, sebagai pemegang amanah. Dalam Islam, segala pengurusan harta akan dikendalikan oleh Baitulmal atau badan yang dilantik oleh Baitulmal untuk menguruskannya.

Jadi, tugas Baitulmal dalam kes ini ialah untuk memastikan harta yang diinfaqkan itu sampai kepada tujuannya. Kerana itu, negara wajib memastikan pegawai yang ditugaskan di Baitulmal ialah terdiri daripada mereka yang diyakini dan terbukti akan ketakwaannya.

Harta amanah sama sekali tidak boleh (haram) digunakan untuk tujuan peribadi atau atas nama "urusan rasmi" kerajaan atau untuk manfaat mana-mana individu tertentu, termasuk penjaganya.

Menangani penyelewengan harta amanah dalam dunia yang bertunjangkan sistem kapitalisme hari ini, ramai manusia yang menjadi sengsara atau tinggal dalam kesengsaraan.

Dalam sistem kapitalismedemokrasi ini, kita semua maklum yang berapa ramai manusia yang tidak mendapatkan haknya kerana pemerintah telah merampas hak rakyat dan menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

Fenomena pemerintah hidup dalam limpahan kekayaan manakala rakyat hidup dalam kubang kemiskinan merupakan fenomena biasa. Melihat kepada keadaan ini, maka tidak hairanlah wujudnya ramai individu dan Isu YaPEIM dan pimpinan yang amanah badan-badan yang simpati dan berniat murni untuk membantu mereka yang memerlukan, lalu mereka menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dan amanah, walaupun tidak semuanya begitu.

Dalam sejarah Negara Islam (Khilafah), kita telah lihat bagaimana sejahteranya rakyat yang hidup di dalamnya sehingga boleh dikatakan hampir tiada masalah kemiskinan, sehingga tidak memerlukan badanbadan amal yang bekerja untuk memungut derma bagi membantu orang miskin, anak yatim mahupun para pelajar. Kesemua hal itu ditanggung sepenuhnya oleh pemerintah.

Namun malangnya, pemerintah sekarang, selain tidak melaksanakan kewajipannya menjaga rakyat, menubuhkan pula badan-badan kebajikan seumpama ini dengan memungut derma atau sumbangan, sama ada daripada kakitangan kerajaan sendiri mahupun daripada rakyat atas alasan membantu fakir miskin, anak-anak yatim, para pelajar dan lain-lain.

Kewujudan badan-badan seumpama ini oleh pemerintah, setidaktidaknya telah berjaya mencapai dua objektif. Pertama, ia berjaya menutup segala kesalahan dan kepincangan pemerintah dan kedua, dana tersebut boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain apabila mereka memerlukannya. Walhal menjadi kewajipan pemerintah untuk membantu rakyatnya yang memerlukan dan bantuan ini tidak boleh diambil dari duit sumbangan atau derma orang ramai, kecuali dalam keadaan darurat.

Pemerintah wajib memastikan tidak ada seorang pun rakyatnya yang tidak cukup makan, tidak ada pekerjaan, tidak ada pendidikan dan seumpamanya dan wang/harta bagi menguruskan kewajipan ini wajib diambil daripada sumber pendapatan negara yang telah ditetapkan oleh hukum syarak, bukannya diambil dari wang derma orang ramai dengan cara menubuhkan yayasan untuk memungutnya.

Dalam kes ini, apabila kakitangan kerajaan (apatah lagi menteri), dilihat atau diketahui, apatah lagi kalau adanya bukti, bahawa dia telah melakukan kesalahan, maka pihak yang menuduh atau yang mempunyai bukti tersebut wajib membawa pengaduan ke mahkamah.

Pendedahan salah laku pemerintah (atau kakitangan mereka - yang dilakukan oleh mereka secara terbuka) dalam rangka untuk memuhasabah mereka, adalah suatu yang baik.

Namun, ia sepatutnya disusuli dengan membawa dakwaan ke muka pengadilan.

Dalam Islam, ada sebuah mahkamah khusus iaitu Mahkamah Madzalim yang akan membicarakan apa jua aduan atau sengketa di antara rakyat dengan pemerintah atau kakitangan mereka.

Kesalahan pecah amanah atau penyelewengan terhadap harta amanah, jika terbukti, maka pesalah itu wajib dikenakan ta'zir.

Abdurrahman al-Maliki di dalam kitabnya Nidzam al-Uqubat menetapkan yang setiap orang yang diberi amanah berupa harta atau diberi kepercayaan memegang harta, kemudian ia mengkhianati amanah harta tersebut, maka pelakunya akan dikenakan hukuman sebat dan penjara sehingga 5 tahun.

Termasuk dalam kategori ini ialah setiap orang yang mengkhianati harta yang diamanahkan kepadanya, seperti halnya ia berkedudukan sebagai pemegang wasiat bagi anak yatim, pengelola wakaf atau sebagai wakil atau sebagai pegawai atau yang lainnya. Selain itu, kakitangan pemerintah yang melakukan kesalahan itu mesti dipecat daripada jawatannya.

Cuma masalahnya sekarang ialah mahkamah yang ada kini bukanlah mahkamah Islam dan telah banyak bukti yang ia tidak membawa keadilan. Atas dasar itulah yang mungkin menjadi penyebab kepada rakyat tidak percayakan mahkamah dan tidak mahu membawa kes, apatah lagi apabila melibatkan pemerintah, kerana ternyata sudah banyak kes di mana individu yang cuba melaporkan kesalahan pemerintah, individu itu pula yang terlebih dahulu ditangkap dan disoal-siasat oleh pihak berkuasa. Seharusnya isu skandal YaPEIM dan lain-lain skandal pecah amanah, mampu membuka mata umat Islam akan kelayakan para pemimpin dalam memegang amanah.

Itu baru amanah yang kecil, apatah lagi ternyata para pemimpin yang ada tidak menerapkan amanah yang lebih besar yakni menerapkan hukum Allah secara kaffah.

Selain itu, umat Islam juga wajar membuka mata bahawa keadilan yang mereka cari tidak akan mereka temui dalam sistem demokrasi yang ada pada hari ini yang terbukti telah melahirkan ramai pemimpin yang tidak amanah. Kita tidak akan mendapat keadilan dalam sistem demokrasi kerana ia merupakan sistem kufur buatan manusia yang rosak lagi merosakkan.

Sesungguhnya keadilan hanya akan wujud apabila kekuasaan dipegang oleh mereka yang amanah, ahlinya dan takutkan Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w, "Apabila amanah telah disiasiakan, maka tunggulah saat-saat kehancurannya'. Salah seorang bertanya, 'Bagaimana bentuk menyia-nyiakan amanah itu wahai Rasulullah?' Baginda bersabda, 'Apabila urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat-saat kehancurannya" [HR Bukhari].

Keadilan yang sebenar hanya akan wujud apabila kita dinaungi oleh hukum Allah. Justeru, di samping mendedahkan dan memuhasabah setiap kesalahan pemerintah, setiap Muslim wajib berusaha menegakkan sistem yang datangnya daripada Allah dan menegakkan negara yang diperintahkan oleh Allah untuk didirikan yakni Negara Khilafah Rasyidah dan melantik seorang Khalifah yang amanah lagi bertakwa, agar kita semua terhindar daripada dosa dan kehancuran.

MAIZATUL AKMAR JUMAIN Unit Perhubungan Media Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM)

Zahid rumus derma RM2.6b Najib dalam 3 minit

Posted: 02 Dec 2015 09:35 PM PST

Zikri Kamarulzaman  





Jawapan ataupun penjelasan yang ditunggu-tunggu berhubung 'derma' RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Najib Razak di Dewan Rakyat menjadi anti-klimaks.

Pertama, bukan sahaja Najib yang tampil bagi menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku tetapi tanggungjawab itu diserahkan kepada ayam tambatan barunya, iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kedua, speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, ahli parlimen bukan sahaja tidak dibenarkan mengemukakan sebarang soalan tetapi mereka juga tidak boleh membahaskan jawapan atau penjelasan yang diberikan.

Ketiga, Ahmad Zahid 'menjelaskan' semuanya mengenai dana RM2.6 bilion itu dalam masa tiga minit.
Katanya, dana di akaun bank Najib itu kini masih dalam siasatan dan menjadi perkara yang subjudis jika ia dibincang kepada awam.

Beliau berkata, siasatan berhubung isu itu juga dijalankan dengan bebas oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.

Laporan Lansung:

11:53an: Gobind menggunakan 'point of order' dan berkata bahawa dana parti mesti diisytiharkan melalui audit.

Pandikar, bagaimanapun, berkata bahawa beliau tidak boleh membiarkan persoalan itu, dan sebaliknya, mengarahkan Gobind memfailkan usul untuk membahaskan perkara berkenaan.

Dewan beransur ke usul seterusnya iaitu untuk merujuk Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

11:50am: Zahid mengakiri kenyataannya dengan mengulangi bahawa perdana menteri telah menubuhkan sebuah majlis untuk mengkaji mengawal selia derma politik.

Katnaya, isu itu kini masih dalam siasatan dan menjadi perkara yang subjudis jika ia dibincang kepada awam.

Beliau berkata, siasatan berhubung isu itu juga dijalankan dengan bebas oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.

11:49am: Zahid ulangi bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati bahawa dana RM2.6 bilion itu adalah sumbangan dan telah mengenal pasti penderma berkenaan.

Beliau kemudian mempertahankan sumbangan itu.

"Malaysia tiada undang-undang yang mengatakan bahawa sumbangan politik mesti diisytiharkan atau tidak dibenarkan..

"Yang lain, tidak boleh berpura-pura bahawa mereka tidak perlu derma politik," kata beliau sambil menambah bahawa Najib telah berikrar untuk mengawal sumbangan politik.

Zahid berkata usaha untuk mengawal sumbangan politik bagaimanapun ditolak oleh pihak pembangkang.

11.45am: Pandikar batuk berulang-kali sebagai isyarat halus kepada Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) daripada mengganggu prosiding itu.

Beliau kemudian memberi laluan kepada Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) untuk berucap. Azeez membidas pembangkang yang membuat 'bising; apabila Zahid cuba menjawab bagi pihak Najib.
"Jika tidak mahu dengar jawapan, mereka boleh keluar," katanya.

Zahid bangun untuk mula menjawab

11.40am: Pandikar menyatakan bahawa apabila penjelasan diberikan mengikut Peraturan Mesyuarat 14 (1) (i), tiada soalan boleh dikemukakan dan tidak akan ada perdebatan.

11:35am: Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) mencelah dan berkata isu itu perlu dijawab oleh Najib sendiri, kerana ia perkara peribadi.

"Ini mesti dijawab oleh Najib bukan timbalan perdana menteri. Kami akan dapat menyoalnya," katanya dan menggesa Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk membuat keputusan.

Pandikar menjawab bahawa beliau telah memberikan pertimbangan yang sewajarnya dan mahu Zahid meneruskan penjelasan itu.

"Menteri-menteri lain juga boleh jawab kerana itu peraturan dewan. Seterusnya adalah timbalan perdana menteri," katanya.

11:33: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid berdiri untuk menjawab isu bilion RM2.6, memetik perintah berdiri 14 (1) (i).


'Malaysia bakal jadi negara polis dengan akta baru MKN'

Posted: 02 Dec 2015 09:32 PM PST

 MALAYSIAKINI

 

 
Pakatan Harapan menggesa kerajaan membatal atau menangguhkan rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 yang dirancang untuk diluluskan di Parlimen hari ini.

"Saya mahu undang-undang ini dimansuhkan. Jika kerajaan masih mahu meneruskannya, berikan kami masa yang cukup (untuk persedian berbahas secara menyeluruh di Dewan Rakyat)," kata Mohamed Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang).

"Kami sibuk dengan perbahasan Bajet 2016 [...] kami tidak mempunyai masa yang mencukupi (untuk persediaan membagas rang undang-undang itu). Rang undang-undang itu mengandungi banyak peruntukan yang zalim dan menindas" katanya.

"Jika rang undang-undang itu diluluskan hari ini, kita akan menuju menjadi negara polis. Kami akan menentangnya habis-habisan," katanya.

"Saya harap keadilan dan akal akan diguna pakai, biarlah kerajaan tarik balik rang undang-undang itu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Akta baru itu hanya dibentangkan Selasa lalu. Ia memberikan MKN kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana tempat sebagai 'kawasan keselamatan' dan pasukan keselamatan boleh campur tangan untuk menangkap dan menyita tempat itu tanpa waran

Hutang kerajaan persekutuan RM623.3b setakat 30 September

Posted: 02 Dec 2015 09:30 PM PST

MALAYSIAKINI







PARLIMEN l Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan setakat 30 September 2015, berjumlah RM623.3 bilion, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani.

"Daripada jumlah berkenaan 96.4 peratus atau RM601.1 bilion adalah hutang domestik, sementara baki RM22.2 bilion atau 3.6 peratus adalah pinjaman luar pesisir dalam pelbagai denominasi mata wang.

"Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan ini kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang mahu penjelasan daripada Menteri Kewangan mengenai jumlah hutang Kerajaan Persekutuan.

Johari berkata, tahap ukuran hutang Kerajaan Persekutuan, setakat tempoh itu, dari segi peratusan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) adalah 50.7 peratus.

Berhubung hutang yang dijamin oleh kerajaan, beliau berkata hutang itu berjumlah RM175.8 bilion setakat Jun 2015, dan telah dikeluarkan kepada 27 institusi termasuk syarikat milik kerajaan.

"Pemberian jaminan itu adalah bagi membolehkan institusi terbabit memperoleh kos pembiayaan yang lebih rendah bagi melaksanakan projek pembangunan strategik yang bersifat jangka panjang yang akan memanfaatkan rakyat secara keseluruhan.

Johari turut berkata, Kerajaan Persekutuan menanggung hutang sebanyak RM30 bilion setakat Jun 2015 bagi melaksanakan program-program di bawah model Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Menurutnya, komitmen hutang itu telah pun dimasukkan ke dalam peruntukan bajet tahunan bagi tujuan membiayai bayaran balik pinjaman.

"Komitmen (hutang PFI) juga telah diambil kira dalam pengiraan defisit fiskal dan kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan, dan ini tidak akan meningkatkan sasaran defisit sedia ada," katanya.- Bernama


SPRM dijangka soal-siasat Najib hari ini

Posted: 02 Dec 2015 09:23 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadualkan memberikan kenyataannya kepasa Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadinya.

Menurut Reuters yang memetik sumber, SPRM akan merakamkan keterangannya mengenai siasatan daklwaan rasuah ke atas 1MDB dan anak syarikatnya, SRC International.

Najib sedang berrdepan dengan desakan menuntut beliau meletak jawatan kerna terpalit dengan syarikat pelaburan negara, 1MDB yang diilhamkannya tetapi kini sarat hutang.

Najib sebelum ini, memberi komitmen akan bekerjasama dan emberi kenyataan kepada agensi anti-rasuah itu dan pejabatnya juga dijangka menjawab soalan mengenai isu yang sama, hari ini.

Najib menafikan sebarang salah laku atau mengambil mana-mana wang itu untuk kepentingan peribadinya.

SPRM telah pun menyatakan wang itu adalah sumbangan politik dari dermawan Asia Barat yang tidak dikenali.

Penganalisis: Sukar bagi Najib jelaskan isu ‘derma’ RM2.6b esok

Posted: 02 Dec 2015 09:01 PM PST

Alyaa Alhadjri  





Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mungkin mempunyai masa yang mencukup untuk meyakinkan pengkritiknya apabila beliau menjawab soalan mengenai isu 'derma' RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadinya di Dewan Rakyat, esok.

Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal parlimen, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini berkata, isu itu akan dijawab semasa sesi esok tetapi menyatakan bahawa sukar bagi ahli parlimen mendapat peluang bagi menyoal atau meminta penjelasan berhubung apa yang akan diperkatakan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berkata, meletak agenda itu pada hari terakhir sesi Dewan Rakyat adalah tanda keengganan Najib untuk menjawap pengkritiknya.

"Sudah tentu masa yang tidak cukup untuk Najib jelaskan. Beliau tidak serius mahu menjawab soalan.

"Jika beliau serius, perkara itu tidak ditolak ke belakang hingga ke hari yang terakhir. Perlu ada lebih banyak masa diperuntukkan untuk sesi soal jawab," kata Wan Saiful.

Beliau berkata, Najib sepatutnya juga menawarkan dirinya untuk memberikan keterangan secara kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sedang menyiasat 1MDB.

Menurut Wan Saiful, masa yang terhad diperuntukkan juga akan menyukarkan Najib untuk meyakinkan pengkritiknya.

"Menjelang esok, ia sudah menjadi terlalu lewat dan walaupun beliau memberikan jawapan yang jujur (tetapi) masih sukar untuk menyakinakan orang ramai.

"Dalam usaha untuk kekal berkuasa, beliau perlu meyakinkan ahli-ahli Umno tanpa menjadi liabiliti kepada parti, beliau juga perlu meyakinkan rakyat. Beliau tidak boleh hanya menyakinkan satu pihak sahaja," katanya kepada Malaysiakini.

Penganalisis politik Azmi Hassan bagaimanapun berkata beliau percaya bahawa Najib akan menawarkan "sesuatu yang baru" dalam jawapannya esok.

"Kedua-dua isu itu telah berlarutan untuk seketika. Saya percaya bahawa perdana menteri tidak akan kitar semula jawapannya esok walaupun beliau hanya mempunyai jumlah masa yang singkat," kata Azmi.

Mengenai jangkaan jawapan Najib, Azmi berkata presiden Umno itu boleh merujuk kepada kenyataan terbaru dari 1MDB mengenai penjualan aset
tenaganya, Edra Global Eergy.
"Ia sudah jelas berdasarkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB bahawa syarikat itu mempunyai potensi untuk berdaya maju secara komersial.

"Mengenai dana RM2.6 bilion itu, Najib hanya perlu meyakinkan rakyat bahawa sumbangan yang diterima tidak digunakan untuk kepentingan peribadi," katanya.


Tiada ulasan: