Khamis, 3 Disember 2015

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Dr Mahathir mahu SPRM buktikan RM2.6 bilion bukan daripada 1MDB

Posted: 03 Dec 2015 11:12 AM PST

Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan wang derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan datang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 Pengkritik lantang syarikat kontroversi itu berkata, penjelasan SPRM tidak boleh diterima kerana tiada bukti dikemukakan, malah mereka yang membuat laporan terhadap 1MDB ditekan dengan pelbagai tindakan.

 "Mereka yang membuat laporan ditangkap. Peguam ditangkap. Mereka yang hidup berdepan ancaman tidak boleh dipercayai apabila memberi kenyataan.

 "Jadi kita tidak boleh terima kenyataan pegawai SPRM dengan begitu saja. Kami mahukan bukti. Kami mahu tahu ke mana bagaimana wang RM2.6 bilion dalam akaun PM (perdana menteri),"kata Dr Mahathir dalam tulisan terbaharunya di blog Chedet.cc hari ini.

 Dr Mahathir berkata tidak cukup dengan hanya mengatakan jumlah aset melebihi pinjaman sudah memadai, sebaliknya setiap sen pinjaman perlu diambil kira.

 "Menjelaskan kamu (1MDB) mempunyai lebih banyak aset daripada pinjaman tidak mencukupi. Setiap sen daripada wang yang anda dipinjam mesti diambil kira," katanya.

 Beliau juga membangkitkan mengenai isu wang yang disimpan di Pulau Cayman, mendesak supaya 1MDB menjelaskan di mana wang itu disimpan dan siapa berhak membawa keluarnya.

 "Di mana wang dari Pulau Cayman? Dalam bentuk apakah ia? Anda berkata sudah melihatnya.

 "Adakah ia wang tunai atau akaun dalam bentuk kertas bank saja. Mengapa bank berkata mereka tidak memiliki wang itu? Bank manakah memiliki wang tersebut? Siapa yang dilantik layak untuk mengeluarkan wang itu?" soal Dr Mahathir.

 Bekas perdana menteri itu berkata, sejumlah wang besar perlu mendapat kelulusan Bank Negara, bagaimanapun laporan pergerakan tersebut dinafikan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang sebelum ini mengatakan tiada kesalahan dilakukan 1MDB walaupun bank pusat menghantar kertas siasatan mereka.

 "Namun, laporan Bank Negara, yang saya percayai mengenai pergerakan wang RM2.6 bilion sudah ditolak peguam negara baharu," kata Dr Mahathir.9

 Sementara itu, Dr Mahathir berkata setiap dana yang diperoleh perlu dilaporkan dalam transaksi kewangan, langkah yang gagal Najib lakukan kerana tidak mengisytiharkan kewujudan wang tersebut yang sama sekali melanggar Akta Pertubuhan.

 "Perdana menteri kata ia untuk Umno. Menurut Akta Pertubuhan, Umno perlu melaporkan semua transaksi kewangan.

 "Tidak ada bukti ia sudah dilakukan. Ia melanggar Akta Pertubuhan. Umno diisytiharkan haram masa waktu saya. Ini menunjukkan ia suatu yang serius. Sekarang Umno tidak melaporkan dan tidak mengambil langkah mendapatkan semula wang tersebut dan tidak melaporkan kepada Pendaftar Pertubuhan. Undang-undang apakah yang mengatakan pendaftar wajar lakukan?" katanya.

 Beliau juga mahu kerajaan memberikan bukti yang lebih berkredibiliti dan selagi mereka gagal, selagi itu beliau akan terus membangkitkan mengenai isu RM2.6 bilion dan 1MDB yang terpalit dengan kontroversi dan skandal.

 "Dengan hanya mengatakan ia wang derma tidak mencukupi. Beri bukti yang boleh dipercayai. Institusi kerajaan dihalang daripada mengaudit dan melaporkan mengenai 1MDB. Terdapat percubaan yang sengaja menyembunyikan aktiviti 1MDB, RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib, transaksi melibatkan PetroSaudi, Caymans, Seychelles, Hong Kong, Switzerland, United Kingdom dan Amerika.

 "Sehingga kerajaan membenarkan audit oleh juruaudit bukan kerajaan, saya berhak membuat andaian yang munasabah dan menganggap terdapat lebih daripada sekadar transaksi mencurigakan membabitkan 1MDB," katanya. – 3 Disember, 2015. ~ themalaysianinsider

'Malaysia bakal jadi negara polis dengan akta baru MKN'

Posted: 02 Dec 2015 11:05 PM PST

Oleh : Kow Gah Chie
Pakatan Harapan menggesa kerajaan membatal atau menangguhkan  rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 yang dirancang untuk diluluskan di Parlimen hari ini.

 "Saya mahu undang-undang ini dimansuhkan. Jika kerajaan masih mahu meneruskannya, berikan kami masa yang cukup (untuk persedian berbahas secara menyeluruh di Dewan Rakyat)," kata Mohamed Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang).

 "Kami sibuk dengan perbahasan Bajet 2016 [...] kami tidak mempunyai masa yang mencukupi (untuk persediaan membagas rang undang-undang itu). Rang undang-undang itu mengandungi banyak peruntukan yang zalim dan menindas" katanya.

 "Jika rang undang-undang itu diluluskan hari ini, kita akan menuju menjadi negara polis. Kami akan menentangnya habis-habisan," katanya.

 "Saya harap keadilan dan akal akan diguna pakai, biarlah kerajaan tarik balik rang undang-undang itu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

 Akta baru itu hanya dibentangkan Selasa lalu. Ia memberikan MKN kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana tempat sebagai 'kawasan keselamatan' dan pasukan keselamatan boleh campur tangan untuk menangkap dan menyita tempat itu tanpa waran. ~  malaysiakini 

Rasa dapat gaji untuk bayar pengangkutan awam saja – rintihan pengguna LRT, KTM

Posted: 02 Dec 2015 04:59 PM PST

Oleh Mohamad Fadli
PETALING JAYA: Prabagaran A/L Balakrishnan, 34, merupakan seorang penuntut di Universiti Malaya maka beliau sering berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur. Demi menyara kelangsungan cita-citanya, beliau mengajar sebagai seorang pensyarah di Politeknik Ungku Omar yang terletak di Jalan Dairy, ibu negeri Perak.

 Ditemui di KL Sentral, beliau antara 10 pengguna pengangkutan awam yang disapa Free Malaysia Today dan terkesan dengan kenaikan kadar harga tambang KTM Komuter dan Transit Aliran Ringan (LRT).

"Gaji RM3000 pun sudah tidak memadai," keluh Prabagaran, "Saya berhabis RM1200 hanya untuk pengangkutan awam."

 "Kos ulang-alik RM50 sehari. Rasa amek gaji untuk bayar pengangkutan sahaja," katanya.

 Barangkali kesibukan mengimbangi kerjaya dan pembelajarannya menyebabkan Prabagaran tidak sempat bersedia – kenaikan harga tambang menimpa bahunya secara mengejut.

"Semalam saya turun dari stesen KL sentral ke Universiti…tiket RM1.60-2.00…naik RM0.40. Sebab kita selalu amek dan terkejut bila tiba-tiba naik," tambah beliau.

 FMT turut meninjau Stesen LRT Kelana Jaya dan stesen KTM Kuala Lumpur untuk mendengar sendiri pendapat orang awam apabila kenaikan harga tambang pengangkutan awam berkuatkuasa Rabu.

 Amar Farham Mohd Shukarno, 24, bekerja di sebuah syarikat swasta dan menggunakan dua mod pengangkutan awam iaitu LRT dan perkhidmatan bas Rapid KL untuk ke tempat kerja dan pulang ke rumah.

 Beliau masih belum boleh mengubah gaya hidup dengan kenaikan kadar tambang sehingga 100 peratus. "Jika dulu kos tambang pergi dan balik dari LRT dari Taman Bahagia ke Ampang adalah RM5.80 pergi dan balik. Sekarang selepas kenaikan menjadi sehingga RM12.00.

"Ini sangat membebankan bagi saya yang baru memulakan pekerjaan," keluhnya.

 Begitu juga dengan Nicole. Gadis ini baru sahaja bekerja di Kuala Lumpur selama dua bulan, dan tidak mampu memiliki kenderaan sendiri.

"Kenaikan harga pengangkutan awam dilihat sangat tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana rakyat telah terbeban dengan banyak benda seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kadar tol, minyak dan ini semua membebankan rakyat," katanya.

 Dalam pada itu, pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Suu Lin, 22, berkata sebagai seorang pelajar kenaikan itu sangat memberi kesan kepada kos pembelajaranya di universiti.

 "Ya, sangat memberi kesan lebih lagi saya tinggal di luar dari universiti dan ulang-alik menggunakan LRT untuk ke pulang ke rumah," katanya.

 Beliau masih berharap kerajaan akan mengambil-berat nasib siswa sepertinya.

 "Saya berharap kerajaan boleh memberi diskaun untuk pelajar yang menggunakan LRT." ~ freemalaysiatoday

Tiada ulasan: