Ahad, 29 November 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Azmin dakwa Selangorkini palsu didalangi Umno-BN

Posted: 29 Nov 2015 06:51 AM PST

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yakin penyebaran akhbar Selangorkini palsu dilakukan Umno dan Barisan Nasional yang dianggap sebagai cubaan terdesak untuk memperlekehkan pentadbiran di Selangor. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 29 November, 2015. 
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yakin penyebaran akhbar Selangorkini palsu dilakukan Umno dan Barisan Nasional yang dianggap sebagai cubaan terdesak untuk memperlekehkan pentadbiran di Selangor. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal.


Susulan penyebaran akhbar Selangorkini palsu yang menghentam pentadbiran Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, beliau  mendakwa ia disebarkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan presiden PKR itu berkata, beliau yakin ia tidak dilakukan pihak pembangkang.

"Saya rasa ia merupakan langkah terdesak daripada Umno dan BN yang cuba untuk memperlekehkan pentadbiran di Selangor.


"Mereka tidak boleh menerima hakikat, mereka tidak boleh menghadapi orang-orangnya. Mereka cuba mengendalikan beberapa roadshow untuk menjelaskan isu-isu tetapi tiada sesiapa yang kisah untuk mendengarnya dan kini mereka mula mengedarkan Selangorkini," katanya kepada pemberita selepas Kongres Nasional Tahunan PKR ke-11 di Shah Alam, Selangor hari ini.

Akhbar edisi 13-20 November itu turut disangkal Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin semasa ucapannya.

Antara tajuk dan kandungan laporan berita akhbar itu ialah "Kenaikan tarif air melampau" yang "ditulis "Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim", "Khalid lebih baik daripada Azmin – Adun DAP", "Wan Azizah cuba digulingkan?".

Akhbar palsu itu turut melaporkan "kartel Azmin" dikatakan akan melakukan rampasan kuasa terhadap Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Suami, isteri sarat mengandung maut, anak terselamat

Posted: 29 Nov 2015 06:42 AM PST

BERNAMA

 

nahas
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kereta terbalik ke dalam longkang di tepi Jalan Seremban-Tampin, pagi tadi. - Foto Bernama


REMBAU, Seorang wanita yang mengandung lapan bulan bersama suaminya maut, selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain di KM14.7, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, pagi tadi.


Mangsa, Khairul Anwar Tajjuddin, 34, dan isterinya, Murni Muhamat, 26, yang dijangka bersalin hujung bulan depan, meninggal dunia di tempat kejadian, akibat cedera parah di kepala dan badan.

Anak lelaki pasangan itu, Muhammad Khair Maizudin, 2, dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, untuk rawatan.

Kemalangan pada jam 6 pagi itu membabitkan Proton Persona yang dinaiki keluarga itu dengan sebuah kereta Honda Civic.

Kedua-dua kereta terbabit dipercayai bertembung, sebelum kereta mangsa terbalik di dalam longkang di tepi jalan, menyebabkan pasangan itu tersepit di tempat duduk masing-masing.

Pegawai operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Kasim Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.23 pagi dan sebuah jentera dengan enam anggota digegaskan ke lokasi kejadian.

Katanya, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing dan bomba mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mangsa dan dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

Pemandu kereta Honda Civic yang turut cedera telah dibawa ke HTJ untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Ibrahim Sharif mengesahkan kejadian itu dan punca kemalangan masih dalam siasatan.

Amanah parti dalam beg poli, segar tapi berkembang dalam bekas saja

Posted: 29 Nov 2015 06:36 AM PST

ADNAN MOHAMAD

 

ahmad yakob (m)
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kanan) pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jubli Emas PKINK di Kota Bharu, hari ini. Foto TRP/Adnan Mohamad 


KOTA BHARU,  Pas Kelantan mengibaratkan Parti Amanah Negara (Amanah) seperti parti dalam `beg poli' yang bercambah selepas diberikan baja dan sentiasa dijirus.


Bagaimanapun, Amanah dianggap tidak akan ke mana-mana kerana hanya berada di dalam 'bekasnya' sahaja walaupun segar.

Timbalan Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob secara berseloroh mengatakan Amanah adalah sebuah parti yang baru bercambah dan Pas akan melihat setakat mana kekuatannya.

"Pas adalah sebuah parti yang sudah lama…sudah rasai pelbagai cabaran dan gelombang besar.

"Amanah ini saya lihat seperti benih yang baru bercambah…banyak diberikan baja, jirus air dengan banyak supaya nampak segar tetapi hanya di dalam 'polybag' sahaja," katanya.

Difahamkan, Amanah yang ditubuhkan oleh bekas ahli dan pemimpin Pas termasuk bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang kini Presiden Amanah dikatakan sedang giat mengumpul keahlian dan Kelantan adalah antara negeri yang mempunyai keahlian tertinggi.

Konflik antara Pas dan Amanah semakin meruncing apabila Amanah yang sebelum ini menyatakan tidak akan menganggu Kelantan membuat pusingan `U' apabila Mat Sabu secara tiba-tiba memberitahu Amanah mungkin akan mengambil alih pemerintahan di Kelantan dan menggantikan Pas.

Ketegangan semakin kuat apabila penubuhan Pakatan Harapan dengan peranan Amanah dilihat sebagai penganti Pas dalam pakatan pembangkang itu tidak berfungsi seperti mana kerjasama pakatan sebelum ini iaitu Pakatan Rakyat.

Pada masa sama, Pas juga dikatakan melihat seolah-olah Amanah hanyalah `anak didik' kepada musuh ketatnya iaitu DAP.

Muhyiddin Rela Dipecat Jika Benar Lakukan Kesalahan Serius

Posted: 29 Nov 2015 06:23 AM PST

MSTAR ONLINE
 
 
Muhyiddin Yassin.
 
 
MUAR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau rela dipecat keanggotaannya dalam parti jika benar dirinya telah melakukan kesalahan yang serius.

Anggota Parlimen Pagoh itu bagaimanapun mendakwa apa yang dilakukan dirinya selepas tidak lagi menjawat jawatan timbalan perdana menteri, ia sebenarnya tidak pernah melanggar peraturan dan disiplin parti.

"Kalaulah benar saya dikatakan telah membuat kesalahan besar, apa pun saya reda dipecat...tidak apa.

"Apa yang saya lakukan adalah bersuara demi untuk menyatakan apa yang saya rasakan benar. Apa pun diharapkan janganlah buat begitu kepada ahli yang telah berpuluh tahun berkorban untuk parti," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan sokongan terhadapnya yang diadakan di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di sini, Ahad.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh, menerima memorandum sokongan daripada 106 cawangan di bahagian itu yang diserahkan wakil mereka, Datuk Samat Aripin.

Muhyiddin berkata walau apa pun yang berlaku, beliau tetap merupakan anggota Umno yang setia kepada parti.

"Biarlah dicincang dan dipancung, saya tetap (setia pada) Umno," katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis penutupan Program Gerak Mesra Zon 20 Kempen Cegah Denggi di Pekan Panchor, Pagoh, Muhyiddin berkata tidak sedetik pun dalam hatinya untuk menghancurkan Umno walaupun beliau tidak lagi berada dalam kerajaan.

Katanya, beliau masih tetap bersama mempertahankan parti yang didukungnya lebih 40 tahun lalu.

"Janganlah kaitkan saya untuk menghancurkan Umno kerana apa yang berlaku terhadap saya telah pun saya terima dengan tenang. Saya orang Umno. Jiwa dan perjuangan saya tetap dalam Umno," katanya.

Muhyiddin berkata, apa yang turut diperjuangkan beliau kini juga bagi memastikan Umno tidak tewas pada pilihan raya umum akan datang dan parti itu terus mendapat sokongan besar. - Bernama

Pemberontak Abu Sayyaf Di Sebalik Kes Culik Rakyat Malaysia Ditahan

Posted: 29 Nov 2015 06:16 AM PST

 
 
Thien Nyuk Fun (kiri) dan Bernard Then.
 
 
PETALING JAYA: Polis dan tentera Filipina menahan seorang pemberontak Abu Sayyaf yang terlibat dalam kes penculikan dua rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Selatan di selatan Filipina, menurut satu laporan.

Laporan Mindanao Examiner pada Ahad memetik pegawai sebagai berkata bahawa mereka telah menahan Saddam Jaliani, seorang pengikut pemimpin Abu Sayyaf, Alhabsi Misaya di Pelabuhan Joho pada Jumaat lalu.

Jailani dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan yang menculik dua rakyat Malaysia, Bernard Then dan Thien Nyuk Fun pada Mei lalu, dan warga Korea Selatan, Hong Nwi-Seong yang diculik pada Januari lalu.

Thien telah dibebaskan pada 8 November lalu, dan Then dipenggal kepala pada 17 November.

Hong ditemui mati pada 31 Oktober lalu. Dia dilaporkan meninggal dunia akibat sakit ketika masih dalam tawanan.

Jailani ditahan oleh Pasukan Siasatan dan Pengesanan Jenayah Polis Filipina.

Penahanan Jailani sehari selepas pasukan tentera Filipina merampas enam senapang automatik milik kumpulan Abu Sayyaf di kampung Bonbon di bandar Patikul berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada orang awam.

Mindanao Examiner turut melaporkan penahanan dua anggota iaitu Menu Maganaka dan Rex Bacana dari kumpulan pemberontak Pentagon di bandar Kabacan di wilayah Cotabato Utara.

Ia melaporkan bahawa pihak berkuasa merampas senapang automatik dan tiga pistol serta 11 majalah daripada kedua-dua individu berkenaan.

Polis Akan Panggil Peguam Charles Morais - KPN

Posted: 29 Nov 2015 06:14 AM PST

MSTAR ONLINE
 
 
Charles Morais.
 
 
KUALA LUMPUR: Peguam Americk Sidhu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan berhubung kenyataan yang dibuat anak guamnya, Charles Suresh Morais berhubung kematian abangnya, Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Americk perlu menjelaskan pelbagai dakwaan Charles menerusi akuan sumpah mendakwa kononnya kematian abangnya itu ada kaitan dengan kertas pertuduhan sedang disiapkan oleh mendiang melibatkan 'pegawai tinggi kerajaan'.

"Kita akan memanggil dia (Americk) esok atau lusa bagi merakamkan percakapannya. Mereka (peguam Charles) mesti bertanggungjawab terhadap apa jua yang perkara yang dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutupan Kejohanan Karate Piala Ketua Polis Negara 2015 di Kompleks Majlis Sukan Negara, Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sini, Ahad.

Pada Sabtu, polis mengesahkan Charles bertindak melarikan diri ke luar negara pada Khamis lepas selepas membuat pelbagai dakwaan berhubung kes kematian abangnya itu.

Baru-baru ini, media sosial dan portal berita dalam talian melaporkan dakwaan Charles kononnya kes pembunuhan abangnya itu antaranya (Kevin) terlibat dalam siasatan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Mayat Kevin, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 Sept lepas setelah beliau dilaporkan hilang pada 4 September lalu. - Bernama

Jawatankuasa DAP Pulau Pinang 2015-2017

Posted: 29 Nov 2015 06:12 AM PST

MSTAR ONLINE


 
 
GEORGE TOWN: Chow Kon Yeow kembali memegang jawatannya sebagai pengerusi jawatankuasa DAP Pulau Pinang untuk penggal kelapan.

Antara mereka yang mengekalkan kedudukan dalam 15 anggota jawatankuasa ialah Jagdeep Singh Deo (timbalan pengerusi), Dr P. Ramasamy dan Zairil Khir Johari (naib pengerusi), Lim Hui Ying (setiausaha) dan A. Tanasekharan (penolong setiausaha).

Mereka yang dilantik semula termasuk Dannny Law Heng Kiang (bendahari), Jeffrey Chew (penolong bendahari), Wong Hon Wai (setiausaha organisasi), Lay Hock Peng dan Goh Choon Keong (penolong setiausaha organisasi), Ng Wei Aik (setiausaha publisiti), Syerleena Abdul Rashid (penolong setiausaha publisiti) dan Steven Sim (pengarah pendidikan politik).

Anggota jawatankuasa pula Lim Siew Khim, Soon Lip Chee, Phee Boon Poh, R. Sanisvara Nethaji Rayer, Gooi Seong Kin dan Lim Hock Seng.

Seramai 766 daripada 1,067 perwakilan menghadiri konvensyen DAP Pulau Pinang pada Ahad, menyaksikan 48 calon bersaing untuk merebut jawatan dalam 15 anggota jawatankuasa.

Obama dah pergi, baru Nasha nak bersuara?

Posted: 29 Nov 2015 06:08 AM PST



Oleh Nomy Nozwir 


Minggu lalu, heboh ketua bagi segala ketua negara dalam dunia ini, Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama datang ke negara ini buat kali kedua sepanjang beliau menjadi presiden.

Ini sememangnya bersejarah kerana sebelum Obama, satu-satunya presiden AS yang pernah datang ke Malaysia ialah Presiden Lyndon Johnson pada zaman Perang Dingin, dan itu pun sekali.

Dan sejak Amerika menjadi kuasa dunia sejak Perang Dunia Kedua, jika seorang presiden AS datang ke sesebuah negara, negara itu menjadi sangat penting bagi kuasa dunia itu untuk meneruskan kuasa hegemoni mereka.

Semasa Perang Dingin dan Perang Vietnam, Johnson datang sekali ke negara ini kerana pada masa itu Amerika sedang cuba menghalang 'efek domino' daripada komunisme yang terus merebak ke seluruh Asia Tenggara.

Tapi apa pula kedatangan Obama kali ini, sampai 2 kali pula tu?

Apa pun jua persoalan yang muncul dalam kotak fikiran saya, semua itu tidak penting kerana negara ini sudah sejak merdeka lagi sudah menjadi rakan sampingan, dan kalau dalam bahasa kasarnya, barua setia AS.

Kehadiran presiden AS ke negara-negara barua ini sangatlah besar ertinya, terutamanya negara yang bergantung kepada kekuasaan bala tentera Washington ini.

Jadi pelbagai acara dan bermacam-macam keraian dilakukan bagi menyambut 'maharaja' yang datang melawat 'vassal state' agar mereka terus dilihat setia dengan Washington, tidak kiralah 'maharaja' itu Demokrat, atau Republikan.

Dan pada masa inilah, Obama bercakap tentang hak LGBT, kebebasan media, dan banyak perkara yang menyelar pentadbiran negara ini.

Dan apabila presiden AS ini, bercakap tentang ini, di negara ini, semua ahli politik dan NGO Melayu yang selama ini bising tentang penularan "masalah" LGBT ini pun menikus dan diam seribu bahasa.

Apabila kapal terbang Air Force One sudah pun berlepas keluar dari negara ini, maka mereka yang menikus tadi pun barulah nak keluar dan memekik-mekik tentang apa yang dikatakan Obama semasa dia di negara ini.

Contohnya seperti apa yang dikatakan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) Nasharuddin Mat Isa dalam satu kenyataannya.

Bekas timbalan presiden PAS itu berkata Obama tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan agar Malaysia menerima konsep perkahwinan sejenis.

"Kita tidak perlu mana-mana pihak luar mengajar kita bagaimana untuk mengurus negara. Kita yang berhak mentadbir dan mengurus kedaulatan negara ini.

"Apa yang orang lain buat di negara masing-masing itu hak mereka. Dalam konteks Malaysia, kita ada Perlembagaan yang jelas meletakkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

"Saya merasa sangat kesal dengan kenyataannya. Dia (Obama) hendak suarakan pandangan itu hak dia, tetapi Malaysia harus kekal dengan pendirian kita letakkan Islam sebagai hukum tertinggi dalam negara kita," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian pada Selasa lalu.

Persoalan saya ialah, kenapa Nasha tidak bercakap ketika Obama sedang berada di negara ini?

Kenapa dia dah lepas baru nak bercakap tentang semua ini?

Tidakkah perbuatan ini seperti melepaskan batuk di tangga, dan kenapa seperti tulisan kolumnis The Malaysian Insider, Amin Iskandar ada menulis minggu lalu, kenapa tidak ditangkap dan didakwa Obama ini kerana mengeluarkan kenyataan berbau hasutan?

Jawapannya senang saja. Pentadbiran negara ini tahu, ketua polis negara, Jabatan Kehakiman Negara, NGO Melayu-Islam ini semua tahu tentang hakikat ini.

Obama tidak mungkin akan didakwa dan ditahan atau ditangkap atau disabit kesalahan di negara ini.

Sebab Malaysia cuma 'vassal state' bagi Amerika. Gila apa nak dakwa 'maharaja dunia'?

Paling-paling pun lah, mereka cuma boleh buat macam mana Tun Dr Mahathir Mohamad pernah buat, mendakwa seorang lagi bekas presiden AS George W Bush dan perdana menteri United Kingdom Tony Blair atas kekejaman di Iraq dalam satu mahkamah tribunal syok sendiri yang pernah dibuat pada 2011.

Mungkin lepas ini, Nasha Mat Isa, atau Hadi Awang, atau semua orang yang gila hudud, boleh ikat effigi, patung yang berupa seperti Obama, dan ikat patung tersebut di tengah-tengah dataran, dan lontarkan batu seperti hukum hudud bagi mereka yang melakukan hubungan homoseksual.~TMI

Umno jangan hiris hati orang Melayu

Posted: 29 Nov 2015 06:06 AM PST



Oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin


Sebagai bekas ketua Wanita Umno Bahagian, ketua Penerangan Wanita Umno Malaysia dan exco Perak, beliau tentunya banyak berjasa kepada parti dan kerajaan.

Yang menimbulkan persoalan ialah asas dan proses pemecatan beliau daripada parti. Berdasarkan kenyataan Hamidah, pertuduhan ke atas beliau adalah kerana menghadiri satu majlis bersama Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau adalah bekas presiden Umno dan masih merupakan ahli parti.

Saya ingin bertanya, adakah menghadiri satu majlis bersama bekas presiden yang turut dihadiri ramai pemimpin dan ahli Umno yang lain, merupakan satu kesalahan disiplin?

Jika ia satu kesalahan disiplin, maka saya rasa ramailah ahli Umno yang terpaksa dilucutkan keahlian mereka dan tinggallah ia sebagai parti yang semakin kehilangan ahli dan penyokong.

Hamidah juga menyatakan beliau tidak pernah dipanggil Lembaga Disiplin Umno.

Justeru, adakah cara pemecatan Hamidah mematuhi kehendak perlembagaan Umno dan prinsip 'due process of law'?

Saya tidak fikir pemecatan seseorang ahli boleh dibuat dengan hanya menghantar surat tunjuk sebab tanpa memanggil ahli berkenaan membela diri.

Ada pihak yang berhujah Majlis Tertinggi (MT) boleh memecat seorang ahli tanpa perlu dihadapkan kepada Lembaga Disiplin seperti berlaku dalam kes pemecatan keahlian Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Mereka ini tidak tahu sejarah. Lembaga Disiplin hanya diwujudkan selepas Pindaan Perlembagaan Umno pada 2000, iaitu 2 tahun selepas Anwar dipecat daripada parti.

Selaku pengerusi JK Pindaan Perlembagaan Umno pada waktu itu, saya mengusulkan supaya satu Lembaga Disiplin yang bebas dan terdiri daripada ahli-ahli tidak berkepentingan dalam parti diwujudkan.

Tujuannya ialah supaya sebarang keputusan yang diambil Lembaga Disiplin tidak berat sebelah, `without fear or favour', adil, telus dan pihak yang diadili akan dapat menerima keputusan yang dijatuhkan ke atasnya.

Jika benar dakwaan Hamidah  beliau tidak pernah dipanggil Lembaga Disiplin untuk membela diri, maka tindakan memecat beliau daripada parti adalah jelas bercanggah dengan semangat perlembagaan Umno.

Selain itu, pemecatan keahlian di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan Umno juga seharusnya menjadi pilihan terakhir terhadap seseorang ahli jika beliau melakukan satu kesalahan besar yang melanggar perlembagaan dan Tataetika Ahli Umno.

Saya sedar sebagai ahli MT, saya terikat dengan sesuatu keputusan yang dibuat MT. Cuma adalah menjadi kewajipan saya untuk menyatakan pandangan mengenai sesuatu perkara yang dilihat bercanggah dengan kehendak perlembagaan parti.

Saya bimbang beberapa perkara pelik yang berlaku di dalam Umno sejak kebelakangan ini membayangkan semakin terhakisnya sikap bertanggungjawab, adil dan beramanah dalam kalangan sesetengah pemimpin parti.

Kepada segelintir mereka ini, saya ingin berpesan. Ingatlah, Umno bukan parti milik mana-mana individu.
Ia parti milik seluruh umat Melayu! Jangan dihiris hati orang Melayu dengan tindakan tidak amanah dan tidak bertanggungjawab anda semua!

* Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah timbalan presiden Umno.

UMNO mahu ‘bunuh’ Izzah

Posted: 29 Nov 2015 05:54 AM PST

 
Isu gambar dimainkan UMNO dan BN untuk menyerang dan menjatuhkan parti itu di mata rakyat. 


azizah1


SHAH ALAM: UMNO mahu 'membunuh' perjuangan politik Nurul Izzah dengan memperbesarkan isu dia bergambar dengan Puteri Sultan Sulu, Jacel Kiram pada 9 November lalu.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, taktik itu merupakan permainan baharu UMNO dan BN untuk menyerang dan menjatuhkan parti itu di mata rakyat.

"Soal gambar ini sebenarnya satu cara UMNO dan BN mahu membunuh watak Izzah dalam dunia politik. Ini permainan bagi mereka sebab itu ia selalu dimainkan.

"Namun, Izzah telah memohon maaf dan dia tidak bermaksud untuk melukai hati sesiapa pun," katanya ketika ditemui di Kongres Nasional PKR Ke-11, pada Ahad.

Dalam pada itu, Wan Azizah melahirkan rasa bangga dengan kongres PKR yang berlangsung selama tiga hari dan ia bukti menunjukkan rakyat semakin yakin dan percaya dengan parti tersebut.

"Kongres berjaya dan ini satu landasan bagaimana kita akan teruskan dan perjuangkan hak-hak rakyat," katanya.

Benarkah DAP ada perjanjian sulit P. Pinang 2008?

Posted: 29 Nov 2015 05:52 AM PST

 
Perjanjian itu dikatakan Guan Eng setuju menjadi Ketua Menteri selama sepenggal.


lim guan eng


GEORGE TOWN: Lim Guan Eng dicabar supaya menerangkan adakah benar wujudnya perjanjian sulit dalam DAP pada 2008 untuk jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan membuat desakan itu susulan risalah yang mendakwa wujudnya perjanjian itu yang disebarkan pada Konvensyen DAP Pulau Pinang.

Katanya, Setiausaha Agung DAP itu perlu menjawab dakwaan tersebut bagi menjaga kepentingan rakyat.

"Apakah sebenarnya perjanjian itu? Pengundi DAP ada hak untuk tahu," katanya kepada FMT.

Risalah itu menyebut "Lim Guan Eng adakah awak masih ingat? 8 Mac 2008 Hotel Hard Rock Café, Pulau Pinang. Awak rompak jawatan Ketua Menteri seseorang. Tetapi ok dan kita buat perjanjian. Tetapi sekarang awak mengkhianati perjanjian itu".

Risalah itu diedarkan kepada perwakilan yang menghadiri konvensyen itu di Bukit Jambul pada pagi Ahad.

Beberapa ahli parti kanan percaya perjanjian itu membolehkan Guan Eng menjadi Ketua Menteri hanya satu penggal sebelum diserahkan kepada Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.

"Penting untuk rakyat tahu apakah perjanjian itu. Guan Eng tidak boleh melarikan diri seperti lazimnya apabila ditanya soalan.

"Jika risalah sebegini boleh diedar oleh ahli DAP sendiri, ada sesuatu yang tidak kena di sini. Hanya Guan Eng sahaja boleh memberikan penjelasan perjanjian itu," kata Huan.

Dia mendakwa, Guan Eng tidak pernah diuji sama ada diterima oleh ahli DAP di Pulau Pinang dan kerana itu dia mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang bertanding dalam permilihan DAP negeri untuk membuktikan pengaruhnya lebih kuat berbanding Chow.

Dalam demonstrasi bantahan di pusat konvensyen, beberapa ahli DAP mendesak Guan Eng memberi laluan kepada Chow sebagai Ketua Menteri yang baharu.

NAJIB SEDANG MENGHANCURKAN UMNO

Posted: 29 Nov 2015 04:11 AM PST

shahbudindotcom


Pada 2 Disember ini, sembilan Ketua Cawangan daripada UMNO Bahagian Teluk Kemang yang mendesak pengunduran Najib Razak daripada memimpin parti dan kerajaan akan mengadap Lembaga Disiplin berhubung tindakan mereka itu.

Selepas itu, mereka kemungkinannya sama ada akan dipecat, digantung keahlian atau sekadar diberi amaran saja.

Tetapi berdasarkan kepada kes Ketua Wanita UMNO Gopeng, Hamidah Osman yang dipecat, juga disebabkan didakwa terlibat dalam aktiviti yang mahukan pengunduran Najib, besar kemungkinan semua sembilan Ketua UMNO cawangan itu juga akan menerima nasib yang sama.

Bagaimanapun dalam masa yang sama, selepas sekumpulan Ketua  UMNO Cawangan dalam bahagian Teluk Kemang membuat desakan itu, beberapa Ketua Cawangan daripada bahagian-bahagian  lain turut juga membuat desakan yang sama.

Jika dihitung berdasarkan beberapa pengakuan serta perhimpunan yang turut dihadiri pihak media, ia sudah pun menjangkau ratusan Ketua Cawangan jumlahnya, malah dalam pertemuan terbaru di Kinrara baru-baru ini, kumpulan tersebut mengaku mereka mewakili kira-kira 200 Ketua Cawangan di seluruh negara.

Persoalannya, apakah hanya Ketua UMNO Cawangan daripada Teluk Kemang saja yang dipanggil mengadap Lembaga Disiplin?

Bagaimana dengan Ketua-Ketua UMNO Cawangan lain dari seluruh negara yang juga membuat desakan yang sama?

Bilakah mereka mahu diberikan surat tunjuk sebab dan  kemudian memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin?

Jika jumlah Ketua Cawangan yang mendesak pengunduran Najib terus bertambah dari semasa ke semasa, apakah pihak ibu pejabat UMNO akan terus menggunakan pendekatan yang sama iaitu memanggil mereka memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin juga?

Selain itu, jika Ketua UMNO Cawangan yang mendesak pengunduran Najib dianggap suatu kesalahan dan dihadapkan ke Lembaga Disiplin, bagaimana pula dengan Tun Mahathir yang tidak berhenti-henti membuat desakan serupa sejak lebih setahun yang lalu?

Jika benar-benar adil dan Najib pula seorang yang berani, bukankah Tun Mahathir yang sepatutnya paling awal dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti sebelum sembilan Ketua Cawangan terbabit?

Begitu juga, jika Hamidah dipecat kerana didakwa menganjurkan program Bicara Negarawan di Ipoh serta dilihat berada di Lapangan Terbang Subang ketika menyambut kepulangan Tun Mahathir daripada luar negara tidak lama dulu, bagaimana dengan ramai yang lain yang sentiasa bersama dengan bekas Perdana Menteri itu?

Sekali lagi, mengapa Tun Mahathir yang berucap dan disambut kepulangannya tidak diberikan sebarang surat tunjuk sebab?

Sejak bila menjemput, meraikan dan menghargai bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO sendiri merupakan suatu kesalahan?

Adakah suatu kesalahan juga mendesak pengunduran pemimpin semata-mata atas kepercayaan ianya tindakan yang terbaik untuk menyelamatkan masa depan parti?

Apakah jika parti sudah berada begitu buruk di mata rakyat yang diakibatkan oleh perlakuan tidak baik  permimpinnya, maka semua pihak perlu berdiam diri saja?

Tidakkah dianggap keterlaluan, dalam keadaan parti lebih mungkin kalah daripada menang dalam pilihanraya, pujian melambung masih perlu dilontarkan kepada pemimpin yang menjadi punca masalah itu?

Ahh...hakikatnya banyak lagi persoalan yang memerlukan jawapan di sebalik tindakan mengenakan hukuman mengadap Lembaga Disiplin terhadap sembilan Ketua UMNO Cawangan daripada Teluk Kemang serta pemecatan Hamidah Osman itu.

Berbeza ketika Tun Mahathir memimpin parti dan kerajaan dulu di mana beliau juga ada didesak untuk mengundurkan diri, namun semua desakan terhadap beliau tidak sesekali menjurus kepada kebimbangan bahawa parti akan kalah dalam pilihanraya jika terus dipimpin olehnya.

Malah, Tun Mahathir sentiasa membuktikan penguasaan dua pertiga majoriti di Parlimen tetap menjadi milik BN ketika itu

Kini, melalui satu demi demi tindakan yang diambil Najib untuk mengekalkan kuasanya, ia bukan saja terus mencemarkan imej UMNO di kalangan ahlinya sendiri, bahkan kian menghakis kebolehpercayaan rakyat yang akhirnya lebih memudahkan kehancurannya. 
 
 
 

PKR sasar wujudkan 'Pakatan Harapan Rakyat' sebelum PRU14 bersama PAS-DAP-Amanah

Posted: 29 Nov 2015 02:21 AM PST

 Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic

 
SHAH ALAM: PKR optimis untuk menggubal kerjasama antara PAS dengan parti komponen Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum akan datang.
 
Naib Presiden PKR, Dr. Shaharuddin Badaruddin menggesa perwakilan di peringkat negeri kembali mengadakan mesyuarat bersama PAS di negeri masing-masing.
 
"Saya diamanahkan oleh Biro Politik Pusat untuk memastikan perbincangan diantara PKR dan PAS diteruskan.
 
"Kita mohon kepada negeri-negeri supaya dapat diadakan kembali mesyuarat diantara PKR dan PAS," katanya ketika Ucapan Penggulungan di Kongres Nasional Tahunan ke-11, di sini hari ini.
 
Menurutnya, beliau berkeyakinan dengan kebijaksanaan kepimpinan PKR, kesepakatan diantara parti pembangkang ini akan berjaya dilaksanakan.
 
"Saya yakin dua tahun akan datang dengan kebijaksanaan kepimpinan kita, kita boleh mempertautkan semula antara Pakatan Harapan dan Pakatan Rakyat.
 
"Sebelum PRU akan datang kita akan wujudkan pakatan harapan rakyat ini,"ujarnya.
 
PAS sebelum ini enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan kerana perbalahannya dengan DAP dan Amanah.
 
PAS mengambil pendirian untuk hanya bekerjasama dengan PKR menerusi Pakatan Rakyat.
 
 

Guan Eng diminta beri jawapan berhubung penukaran syarat tanah pertanian kepada pembangunan

Posted: 29 Nov 2015 02:14 AM PST

Bernama
Guan Eng diminta beri jawapan berhubung penukaran syarat tanah pertanian kepada pembangunan
UMNO Pulau Pinang meminta kerajaan negeri pimpinan DAP mengambil kira ulasan dan ketetapan yang dibuat oleh bahagian teknikal Pejabat Tanah dan Galian Negeri dan jabatan persekutuan kerana ada projek yang mendapat ulasan negatif. - Gambar Fail
 
 
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng Sabtu digesa memberikan jawapan berhubung penukaran syarat tanah pertanian kepada pembangunan di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata sehingga kini Lim masih membisu dan tidak menyatakan berapa luas tanah sawah yang telah ditukar menjadi tanah pembangunan.

"Ini semua kita tidak dapat jawapan, jangan membisu. Jangan buat tindakan sesuka hati, perkara dan keputusan dibuat sewenang- wenangnya tanpa memberi penjelasan kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di bangunan UMNO di sini pada Sabtu.

Zainal Abidin berkata UMNO Pulau Pinang juga turut meminta kerajaan negeri pimpinan DAP mengambil kira ulasan dan ketetapan yang dibuat oleh bahagian teknikal Pejabat Tanah dan Galian Negeri dan jabatan persekutuan kerana pihaknya dimaklumkan ada projek yang mendapat ulasan negatif tetapi ia tetap diluluskan.

"Kita harap kerajaan negeri ambil kira ulasan ini kedua-dua jabatan ini terhadap isu projek penambakan, isu tanah dan penukaran tanah," katanya.

Dalam perkembangan lain, UMNO Pulau Pinang turut melahirkan rasa simpati terhadap ahli dan pemimpin PAS di peringkat akar umbi yang telah ditamatkan perkhidmatannya dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) baru-baru ini.

Beliau berkata UMNO negeri bersedia menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan ahli PAS dengan mempelawa mereka berhubung dengan JKK Persekutuan yang diwakili Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

"Pemimpin PAS ini ada pengaruh yang kuat di kampung-kampung dan di taman-taman, yang mana kita boleh bekerjasama di peringkat bawah untuk atasi masalah kampung.

"Kita boleh bantu, kita harap PAS tidak bermuram dan pilu kerana dibuang. Kita wakil UMNO di bawah JKKP sedia membantu mereka," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengumumkan telah menamatkan perkhidmatan 300 ahli JKKK dari PAS kawasan Kepala Batas kerana mendakwa mereka tidak menyokong kerajaan Pakatan Harapan negeri itu.

Ahad lepas, PAS Pulau Pinang telah mengarahkan semua 1,083 ahli JKKK dari parti itu di negeri ini meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.

1,000 akar umbi BN sokong Muhyiddin di Pagoh

Posted: 29 Nov 2015 02:09 AM PST

Hafiz Yatim





Kira-kira 1,000 ahli akar umbi Umno hari ini berhimpun di Pagoh untuk menyatakan solidariti mereka terhadap Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sekaligus mempersoalkan pemimpin parti mengenai kesalahan yang beliau lakukan.

Pemimpin cawangan dari Umno Pagoh Samad Ariffin mempersoal apa kesalahan yang dilakukan oleh Muhyiddin selaku pemimpin nombor dua dalam parti sehingga tidak dibenarkan merasmikan persidangan sayap parti pada perhimpunan agung Umno kali ini.

Samad berkata beliau turut mendengar bahawa ucapan penggulungan oleh kepimpinan parti juga akan dibatalkan dan ditangguhkan sehingga tahun depan.

"Kami berhimpun di sini dan tidak dibayar untuk menyuarakan sokongan kepada Muhyiddin," katanya.

"Kami tahu risiko yang akan kami terima, di mana ibu pejabat parti akan rekod nama kami untuk dilaporkan kepada kepimpinan parti.

"Tapi kami berdiri teguh bersama Muhyiddin kerana kami tahu beliau berada di atas landasan yang betul," kata Samad yang mewakili 106 cawangan Umno.

Perhimpunan hari ini menyaksikan kepimpinan MCA, MCA dan MIC bahagian daripada Pagoh turut serta bersama pemimpn Umno.

Keseluruhannya kira-kira 1,000 pemimpin BN berhimpun pada sebuah dewan di Pagoh turut menyuarakan sokongan mereka bersma rakan dalam Umno.

Turut hadir tiga pemimpin cawangan di Teluk Kemang yang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Sepanjang himpunan itu, Muhyiddin menerima memorandum sokongan daripada 106 cawangan dalam Pagoh termasuk veteran Umno dan veteran tentara dari bahagaian itu.

Charles Morais rujuk peguam tentang nasib pen drive

Posted: 29 Nov 2015 02:02 AM PST

Geraldine Tong 





Charles Suresh Morais berkata beliau akan berunding dengan peguamnya sebelum menentukan tindakan selanjutnya berhubung dakwaan bahawa beliau menerima pen drive daripada abangnya, seorang timbalan pendakwaraya sebelum dibunuh dengan kejam.

"Saya bercadang untuk bertemu dan bercakap dengan peguam saya minggu depan. Soalan-soalan ini ditanya memerlukan khidmat peguam untuk perundingan," kata Charles kepada Malaysiakini melalui kiriman emel semalam, ketika ditanya mengenai langkah beliau seterusnya berhubung pen drive kontroversi itu," katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan dirinya jika pulang ke Malaysia ketika ini.
Charles berkata beliau akan mendapatkan pandangan peguammnya sama ada untuk mengambil tindakan terhadap adik bongsunya Richard Dilaan Morais dan "individu lain yang terlibat".

Kedua-dua saudara itu bersengketa mengenai kematian Kevin, dan saudara yang paling muda turut menyerang beliau berhubung pendedahan akuan bersumpah (SD) kontroversi yang dibuat Charles pada Khamis yang mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan Kevin.

Dalam SD Charles itu, beliau mendakwa bahawa Kevin telah menceritakan kepadanya bahawa dia menguruskan kes yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Beliau juga mendakwa bahawa Kevin telah menyerahkan kepadanya pen drive melalui kurier yang mengandungi bukti yang didakwa mengaitkan individu yang berkuasa dan beliau (Charles) mengaturnya untuk mendedahkannya jika sesuatu yang berlaku kepadanya

Teknik bacaan Cordobana kini di Johor

Posted: 29 Nov 2015 01:53 AM PST



Teknik bacaan Cordobana kini di Johor
Peserta belajar dalam suasana santai dan selesa dengan penggunaan teknik mengajar secara audio dan visual


JOHOR BAHRU – Orang ramai di sekitar Johor kini berpeluang mendalami teknik bacaan al-Quran menerusi Teknik Cordobana yang dibawakan khas oleh Akademi Cordoba Sdn Bhd di Rumah Ngaji ZMP Management & Training Centre, Bandar Uda Utama, di sini.

Pengusaha Rumah Ngaji ZMP Management & Training Centre, Roziah Kamal berkata, teknik mempelajari al-Quran itu mula dijalankan di negeri ini sejak April dan sudah memasuki siri keempat.

Katanya, dalam tempoh tiga hari sahaja peserta program mengaji teknik Cordobana yang dibawa khas dari Indonesia itu dijamin mampu membaca al-Quran dengan lebih mudah dan lancar.

"Sepanjang program ini, peserta ditanamkan dengan perasaan cinta dan adab terhadap al-Quran agar mempunyai minat mendalam untuk mengaji.

"Secara tidak langsung ia memudahkan proses pembelajaran peserta untuk mendalami al-Quran dan membacanya dengan lancar," katanya.

Roziah berkata, setakat ini program teknik membaca al-Quran berkenaan telah disertai kira-kira 100 peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk golongan profesional dan guru agama.

"Kelas ini bukan sahaja terbuka kepada individu yang tidak mempunyai asas bacaan al-Quran tetapi juga disertai golongan pendidik yang ingin memantapkan ilmu pembelajaran dan pengajaran masing-masing.

"Menerusi teknik ini peserta lebih yakin untuk mencuba bacaan masing-masing kerana tenaga pengajar sentiasa memberi motivasi dan galakan bagi memantapkan bacaan mereka," katanya.

Selain itu katanya, modul pembelajaran yang disediakan sepanjang program itu juga lebih ringkas dan padat bagi memudahkan peserta mengikuti teknik membaca al-Quran dengan lebih mudah.

"Dalam setiap siri, lima tenaga pengajar termasuk dua pengajar utama dari Indonesia akan membimbing peserta menggunakan formula lebih ringkas disamping penggunaan teknik pembelajaran berlagu.

"Kaedah ini membolehkan peserta mengenal dan menghafal huruf al-Quran secara santai namun meninggalkan kesan efektif," katanya.

Katanya, setakat ini kesemua peserta yang sudah mengikuti program mengaji teknik Cordobana mampu membaca al-Quran dengan lancar malah sebahagian peserta berjaya mengkhatamkan bacaan al-Quran dalam tempoh singkat.

"Malah saya sendiri berjaya khatam al-Quran dalam tempoh kurang tiga bulan selepas mengikuti kelas ini pada April lalu," katanya.

Dalam pada itu Roziah berkata, alumni peserta program berkenaan turut dialu-alukan untuk mengikuti kelas latihan susulan yang disediakandi Rumah Ngaji berkenaan secara percuma bagi memantapkan bacaan masing-masing.

"Program ini dijalankan setiap dua atau tiga bulan sekali dan peserta alumni digalakkan untuk terus datang ke program ini sebagai latih tubi memantapkan bacaan dan penguasaan ilmu mereka.

"Malah di Rumah Ngaji ini juga kita turut mengadakan kelas bacaan tajuid dan peserta alumni boleh menyertainya secara percuma," katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta Mualaf, Husin Awang, 78 berkata, dia teruja mengikuti program berkenaan kerana mampu membaca al-Quran dengan lancar walaupun baru menjalani kelas selama dua hari.

"Hari ini (semalam) hari kedua saya mengikuti Teknik Cordobana dan Alhamdulillah sudah ada banyak perubahan dan boleh membaca dengan lancar.

"Sebelum ini saya tidak pernah mengikuti mana-mana kelas mengaji dan hanya belajar sendiri tetapi teknik yang diajar pada program ini amat mudah malah saya dapat belajar dalam suasana santai," katanya.

Dalam pada itu, Guru Bahasa Arab, Muhammad Shafiq Elias berkata, dia berminat menyertai program itu bagi menambah ilmu pembelajaran dan pengajarannya agar dapat dikongsi bersama murid-muridnya.

"Setiap murid mempunyai pendekatan yang pelbagai untuk menguasai ilmu jadi sebagai guru saya juga perlu meningkatkan penguasaan pelbagai teknik pembelajaran dan pengajaran.

"Saya berpendapat program ini dapat memainkan peranan sebagai akademik atau institusi melahirkan tenaga pengajar khususnya bidang pembacaan al-Quran," katanya.

Katanya, program mengaji teknik Cordobana itu mempunyai pendekatan yang unik bagi membantu peserta menguasai pembacaan al-Quran dengan mudah dan lancar dalam tempoh singkat.

"Formula 'bacaan sistem menambung' yang diperkenalkan dalam teknik Cordobana ini banyak membantu peserta untuk membaca dalam tempoh singkat," katanya.


Selamatkah serbuk tongkat ali?

Posted: 29 Nov 2015 01:48 AM PST


Selamatkah sembuk tongkat ali?
 

BERIKUTAN penemuan seorang saintis menemui kaedah pengekstrakan akar sejenis pokok iaitu herba bersifat keras, orang ramai dinasihatkan agar mengelakkan daripada mengambil serbuk tersebut sebagai bahan rawatan atau pemuliharaan kesihatan.

Alasan utama ialah sejak zaman dahulu lagi orang Melayu mengambil herba bersifat keras dalam bentuk air rebusan, bukan dalam bentuk serbuk.

Alasan kedua, serbuk herba bersifat keras dibimbangkan akan tersangkut pada usus dan mencederakannya. Alasan ketiga ialah selulosa daripada serbuk herba bersifat keras akan merosakkan buah pinggang.

Berikut ialah pandangan penulis berdasarkan ilmu herbalisme yang agak berbeza dengan kepercayaan tersebut. Alasan pertama iaitu orang dulu-dulu biasa mengambil herba dalam bentuk rebusan agak kurang tepat. Ia kerana terdapat sediaan herba yang menggunakan herba bersifat keras dalam bentuk serbuk halus misalnya sebagai ramuan makjun.

Alasan saintis bahawa meminum air rebusan jauh lebih berkesan daripada mengambil serbuk herba boleh diterima kerana kuantiti fitokimia yang menyumbang aktiviti biologi yang diharapkan jauh lebih besar berbanding dengan pengambilan serbuk.

Pada pandangan penulis, keberkesanan sesuatu sediaan herba sama ada rebusan atau serbuk bergantung kepada keserasian seseorang.

Diremehkan

Kadar perlahan tersebut tidak sepatutnya digunakan oleh saintis untuk menafikan penggunaan tradisional herba dalam bentuk serbuk.

Ia kerana membantu pengembalian keseimbangan fisiologi misalnya mengambil serbuk tongkat ali untuk meningkatkan nitrik oksida pada zakar adalah sesuai dengan keperluan fisiologi yang dipercayai lebih mudah menerima perubahan/intervensi secara beransur-ansur.

Lihat apa pendapat penulis terhadap alasan kedua iaitu serbuk herba bersifat keras akan tersangkut lalu mencederakan usus.

Jika serbuk yang dihasilkan adalah keras, kasar dan tajam seperti selumbar (boleh dilihat dengan mata kasar) maka terdapat kemungkinan ia akan mencederakan usus.

Namun jika konsistensinya antara 40 – 100 mesh (Saiz piawai industri: ~149 – 400 mikron), walaupun bersifat keras, penulis berpendapat ia tidak mencederakan usus.

Walaupun partikel mikro bersifat keras boleh melekat di celah-celah mikrovilli namun produk makanan yang dicerna, air yang sentiasa terdapat usus, enzim pencernaan dari usus/bakteria dan pergerakan mekanikal usus dipercayai mencegah partikel serbuk herba dari melekat selama-lamanya di celah-celah mikrovilli.

Bagaimanapun, mereka yang mengalami diverticulitis di mana bahagian tertentu bahagian usus tertentu membengkak dan membentuk kantung dikatakan mudah menyimpan najis yang mengandungi pelbagai bahan termasuk partikel mikro.

Alasan ketiga yang diguna oleh saintis terhadap pengambilan serbuk herba bersifat keras ialah ia akan merosakkan buah pinggang. Pada pandangan penulis, kebimbangan tersebut mungkin berdasarkan teori persorption iaitu penyerapan partikel mikro termasuk selulosa oleh usus kecil dan masuk ke dalam aliran darah.

Secara umum berdasarkan kajian sains yang pernah dijalankan, partikel mikro termasuk selulos bersaiz paling kurang 1 mikron boleh menjalani persoption seperti dinyatakan profesor Gerhard Volkheimer, PhD. berjudul 'The Phenomenon of Persorption: Persoption, Dissemination, and Elimination of Microparticles.

Dalam artikel tersebut Dr. Volkhermer menyatakan salah satu cara partikel mikro dinyah dari tubuh ialah melalui urin (yang menggunakan buah pinggang sebagai penapis).

Mungkin perkara ini yang menyebabkan sesetengah saintis bimbang partikel mikro bersaiz besar akan tersangkut dalam glomeruli (kapilari dalam buah pinggang berfungsi sebagai penapis bahan kumuh) dan lama-kelamaan ia akan merosakkan buah pinggang dan berakhir dengan kegagalannya.

Setakat ini tiada sebarang kajian dijalankan bagi menunjukkan jumlah selulosa atau fiber mikro lain dari serbuk herba bersifat keras misalnya tongkat ali yang masuk ke dalam aliran darah.

Pandangan penulis terhadap pengambilan jangka panjang serbuk herba bersifat keras termasuk akar Tongkat Ali dari segi pengaruhnya terhadap kerosakan buah pinggang ialah kesannya dipercayai sama sahaja seperti penduduk India yang mengambil serbuk rempah dalam bentuk makanan boleh dikatakan setiap hari sepanjang hayat – tiada kerosakan buah pinggang dikesan.  

Hari ini, kerosakan buah pinggang bukan disebabkan oleh pengambilan serbuk herba bersifat keras tetapi berpunca antara lain dari paras gula tinggi dan penganbilan ubatan moden tertentu.

Kajian berjudul 'The toxicity of some quassinoids from Eurycoma longifolia' mendapati eurycomanone cerakinan butanol (butanol fraction) paling bersifat toksik berbanding dengan pelbagai quassinoid cerakinan air dan diethyl ether.

Berdasarkan kajian ini yang mendapati quassinoid larut pelarut organan lebih toksik berbanding dengan quassinoid larut air menyebabkan kalangan tertentu perpendapat pengambilan serbuk Tongkat Ali yang terdiri dari pelbagai fitokimia larut air dan larut pelarut organan boleh mudaratkan kesihatan.

Holistik

Pada pandangan penulis saintis yang berpendapat demikian terlalu fokus kepada bahagian yang terpisah, dalam kes ini quassinoid larut dalam pelarut organan.

Bukankah jika diteliti secara bersungguh-sungguh akan didapati bahawa serbuk Tongkat Ali mengandungi pelbagai quassinoid bukan sahaja yang larut air malah juga yang larut pelarut organan? Selain quassinoid  terdapat pelbagai fitokimia lain yang bersifat antioksidan dan anti inlamatori (anti keradangan) di mana kedua-dua sifat ini adalah pencegah dan penawar kepada sifat ketoksikan.

Sila baca artikel berjudul 'The Effcect of Eurycoma Longfolia Jack (tongkat ali) on Methylene Chloride induced Liver Damage in Rats' yang menggunakan ekstrak tongkat ali diekstrak menggunakan air.

Penelitian dari perspektif herbalisme: Pertama, sifat pahit quassinoid dan pelbagai fitokimia bersifat pahit lain (jika ada) dalam Tongkat Ali menyumbang sifat choleretic iaitu meningkatkan pengeluaran cecair hempedu.

Sifat ini dipercayai membantu mempercepat penyahan toksin dari hati dan usus. Kedua, herba bersifat hepatoprotective yang juga dikenali sebagai anti-hepatoxicity seperti dimiliki Tongkat Ali biasanya juga bersifat mencegah sel-sel seluruh tubuh daripada ketoksikan.

Menyentuh mengenai 'standardization' sediaan herba tradisional, penulis katakan di sini bahawa memang tiada standardization (menetapkan kandungan fitokimia tertentu pada paras tertentu) dalam penyediaan herba secara tradisional.

Namun seperti diketahui oleh para pengamal perubatan tradisional  pelbagai budaya dunia, keberkesanan suatu sediaan herba tidak pernah bergantung kepada standardization.

Cadangan pihak tertentu agar menjauhi serbuk herba bersifat keras dilihat sebagai usaha mengekang perkembangan penggunaan herba yang disediakan secara tradisional – atas nama inovasi dan teknologi.

Jakim tak pernah beri produk haram logo halal

Posted: 29 Nov 2015 01:42 AM PST

SINAR HARIAN


Logo Halal
Loho Halal Jakim


KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menegaskan bahawa jabatan itu tidak pernah mengeluarkan logo halal kepada mana-mana produk makanan yang disahkan haram.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Hakimah Mohd Yusoff berkata siasatan telah dijalankan berikutan penyebaran beberapa keping gambar di laman sosial yang memaparkan makanan haram dengan logo halal palsu dijual di pasar raya di Sarawak, baru-baru ini.

"Hasil siasatan Jakim di pasar raya di Miri dan Kuching mendapati tiada produk makanan yang memaparkan logo halal palsu di pasaran seperti didakwa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa gambar yang disebarkan merupakan gambar yang sengaja diedit dengan meletakkan logo halal.

Baru-baru ini, beberapa keping gambar makanan dipercayai daging khinzir dalam tin dengan logo halal dijual di sebuah pasar raya tersebar di media sosial yang mengundang keresahan pengguna dari kalangan umat Islam.

Sehubungan itu, Hakimah berkata Jakim menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung penjualan, pengedaran atau penyimpanan produk tersebut agar tampil membantu sekiranya ia benar-benar berlaku. -Bernama


Pertahan kedaulatan Sabah, janji Nurul Izzah

Posted: 29 Nov 2015 01:40 AM PST


Nurul Izzah
Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional KeadilanTahunan Ke-11 2015. - Foto Sinar Harian


SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berjanji untuk mempertahankan kedaulatan Sabah di sebalik tohmahan pengkhianat kerana tindakan bertemu Jacel H Kiram.

Menurutnya, tindakan pihak tertentu yang menggunakan taktik politik kotor sebagai tidak bertanggungjawab.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua teman di Sabah yang begitu memahami di sebalik kontroversi ini.

"Teman-teman di Sabah yang turut mempertahankan saya menunjukkan nilai kasih sayang yang ada dalam PKR," katanya dalam ucapan pergulungan di Kongres Nasional Tahunan PKR ke 11, hari ini.

Beliau turut berjanji akan menunjukkan siapa sebenarnya pengkhianat di sebalik apa yang telah berlaku terhadap dirinya.

"Saya amat kecewa kerana sentimen lain turut diheret sama yang seterusnya mengundang kebencian terhadap diri saya," katanya.

Sebelum ini tersebar di laman sosial gambar Nurul Izzah bersama anak Sultan Jamalul Kiram yang mengundang kontroversi dan didakwa tidak sensitif terhadap rakyat Sabah.

Nurul Izzah bagaimanapun telah memohon maaf dan turut memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu itu.


Vape: Titah Sultan Johor akan dibincang

Posted: 29 Nov 2015 01:38 AM PST

SINAR HARIAN


Vape
Gambar hiasan


NUSAJAYA - Kerajaan negeri akan membincangkan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu larangan penjualan vape di negeri ini dikuat kuasa awal Januari depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat.

Beliau berkata, ia akan dibincang pada mesyuarat majlis kerajaan negeri dalam masa terdekat.

"Pihaknya bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Bahagian Farmasi akan turut mengadakan perbincangan mengenai perkara itu sebelum dikemukakan pada mesyuarat terbabit.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sultan haramkan vape di Johor, tutup operasi]

"Kita akan panggil agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan dan Bahagian Farmasi untuk meneliti prosedur dan peraturan yang sewajarnya dalam menguatkuasakan titah Sultan Johor," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Ibrahim yang mahu produk vape dilarang dijual dan semua premis vape ditutup berkuat kuasa 1 Januari 2016, seperti yang dilaporkan.  

Ayub berkata, pihaknya menjunjung kasih terhadap titah Sultan Ibrahim yang dilihat selari dengan pendirian kerajaan negeri yang melihat penggunaan vape adalah memudaratkan rakyat terutama golongan muda.

Beliau berkata, beliau sendiri secara konsisten menyuarakan pandangan bahawa vape boleh disalah guna oleh pengguna dan dilihat mampu menjurus terhadap penyalahgunaan dadah.

"Dalam dua atau tiga tahun mendatang, kalau vape tidak dihalang, maka kita akan lihat keruntuhan akhlak dan juga masalah sosial generasi muda," katanya.

Ayub berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor tidak mempunyai sebarang kuasa ke atas penutupan premis penjualan vape, namun Bahagian Farmasi boleh merampas barangan terbabit di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 sekiranya mengandungi bahan terlarang yang tidak didaftar.

Berdasarkan pemantauan sebelum ini, pihaknya mengesan enam premis perniagaan vape yang melanggar akta berkenaan di sekitar bandar raya Johor Baharu.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Latif Bandi berkata, pihaknya akan mengeluarkan pekeliling baharu bagi mengharamkan penjualan vape menerusi Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau berkata, menerusi pekeliling itu, PBT akan memulakan tindakan penguatkuasaan dan pengharaman penjualan ke atas vape bermula pada 1 Januari depan.

"Perbincangan berhubung perkara itu (pekeliling) bersama pelbagai pihak terlibat akan dilakukan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Johor sebelum keputusan yang dicapai itu dikuatkuasakan," katanya. - Bernama


'Ikrar PKR: Serang BN sampai ranap'

Posted: 29 Nov 2015 01:34 AM PST


'Ikrar PKR: Serang BN sampai ranap'
Barisan Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat melaungkan reformasi pada Kongres Nasional KeadilanTahunan Ke-11 2015. - Foto Sinar Harian


SHAH ALAM - Berpegang pada prinsip menyerang adalah lebih baik daripada bertahan, PKR akan memastikan parti itu menyerang BN/Umno sehingga parti kerajaan itu jatuh.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, oleh itu parti itu akan menguatkan serangan kepada BN/Umno untuk memastikan parti itu 'lupus' daripada  Malaysia.

"Jangan kita lupa bahawa goyang Umno/BN adalah hasil usaha kita selama ini.

"Serangan kita yang popularkan isu cincin, beg tangan lembu, dan 1MDB, jadi tanpa serangan ini  mustahil BN/Umno akan ditolak oleh rakyat seperti sekarang.

"Jadi kita akan terus buat kerana menyerang adalah lebih baik daripda bertahan, kita akan terus serang sampai ranap Umno/BN," katanya pada Kongres Nasional Tahunan PKR Ke 11 di IDCC Shah Alam hari ini.

Dalam pada itu, Rafizi berkata pihaknya yakin bahawa serangan mereka kali ini akan menghasilkan kejayaan.

‎"Saya yakin bahawa dalam masa terdekat kita akan tumbangkan BN kerana  saya tiada bimbang langsung mengenai perkara itu.

"Lihatlah akhirnya selepas 16 tahun hasil usaha (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan pimpinan semua kita berjaya goncang BN dalam krisis yang terburuk dalam sejarah," katanya.


Umno dah jadi parti bisu, tanya Dr M

Posted: 29 Nov 2015 01:32 AM PST


Tun Dr Mahathir Mohamad
Mahathir Mohamad


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan Umno sebagai parti bisu apabila ketua-ketua bahagiannya tidak bersuara terhadap kepincangan kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, ketua bahagian sepatutnya bangkit menyuarakan hasrat akar umbi bukannya diam membisu seperti sekarang.

"Kita dapati sekarang ini ketua-ketua bahagian semua sudah menjadi bisu. Orang bisu tak boleh cakap tapi orang yang boleh bercakap, cakaplah. Itulah ketua bahagian.

"Ini ahli tak boleh bercakap...orang ini tak boleh bercakap, orang itu tak boleh bercakap. Ini apa? Demokrasi apa?," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas soal kebangkitan cawangan-cawangan Umno baru-baru ini yang mendesak Najib meletakkan jawatan dalam parti, beliau berkata, suasana itu wujud kerana pengurusan Umno sudah tidak lagi berfungsi dengan sewajarnya.

"Umno ini jadi (parti) Umno kerana ada ahli tetapi untuk pengurusan kita susun Umno dalam bahagian-bahagian dan cawangan tetapi apabila pengurusan ini sudah tidak bergerak sebagai badan yang akan mewakili suara ahli, maka pihak lain akan berhak dan memang berhak untuk menyuarakan," katanya.

Terbaharu, 34 ketua cawangan Umno dari lima negeri mendesak secara terbuka agar Najib meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno.

Sebelumnya 10 cawangan Umno Sepang dan 13 ketua cawangan Umno sekitar Telok Kemang turut membuat desakan sama.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, meskipun wujudnya krisis yang melanda ketika zaman pemerintahannya namun tiada mana-mana ahli Umno yang dilarang daripada bercakap.

"Ada orang nak bertanding dengan saya pun boleh dan tak ada siapa yang dilarang berkempen.

"Ini saya tak boleh berjumpa dengan ahli Umno, menteri Umno, orang umno...saya ahli Umno, (tapi) bekas presidenlah," katanya.


Raja Muda Kedah mangkat pagi tadi

Posted: 29 Nov 2015 01:24 AM PST


Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah
Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah


ALOR SETAR - Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Difahamkan, kemangkatan almarhum akibat kegeringan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, jenazah almarhum akan disembahyangkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit pada jam 1 petang.

"Jenazah almarhum akan disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit, Alor Setar bagi maksud penghormatan terakhir.

"Mulai jam 1.30 hingga 2.30 petang untuk orang ramai. Sementara 2.30 hingga 3.30 petang bagi orang kenamaan," katanya kepada media di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Almarhum akan dimakamkan di Makam Di Raja Langgar pada jam 4.45 petang ini.

"Jenazah almarhum akan dibawa melalui jalan-jalan Lebuhraya Darul Aman, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Jalan Langgar dan terus ke Makam Di Raja Langgar.

"Bendera negeri, persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan separuh tiang selama tiga hari mulai hari ini," katanya.

Menurutnya, tempoh perkabungan perkabungan selama tujuh hari sehingga Sabtu ini.

"Sepanjang waktu itu semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan dibatalkan.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya ucapkan takziah kepada seluruh Kerabat Diraja Kedah atas kemangkatan Tunku Abdul Malik," katanya.

Al Fatihah

Tun M akan hadir Perhimpunan Agung Umno

Posted: 29 Nov 2015 01:21 AM PST


Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno bulan depan sekiranya dijemput.

Menurutnya, jika beliau dikecualikan daripada menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2015 kerana mengkritik perdana menteri, maka Umno sudah menjadi parti Najib.

 "Kalau saya dijemput, saya pergilah. Ini parti saya, bukan parti Datuk Seri Najib (Tun Razak) seorang," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Semalam, The Star melaporkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Mahathir tetap dijemput menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Umno 2015, 10 Disember ini.

Ketika diminta mengulas soal gesaan agar beliau dipecat dari parti, Mahathir berkata, beliau sebagai ahli berhak untuk bersuara dan selama ini tegurannya hanya buat Najib bukannya parti.

"Tak apalah dia (Najib) ada hak nak pecat. Tak ada sebab pun nak pecat (saya) tapi sebab dia berkuasa. Ini satu cara salah guna kuasa. Saya ahli Umno dan saya berhak dalam Umno.

"Ini bila siapa tegur perdana menteri atau presiden parti (di) buang. Jadi seolah-olah ini bukan parti Umno...ini parti Datuk Seri Najib. Siapa tegur Najib kena buang," katanya.

Menurutnya lagi, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diputuskan tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap parti, Wanita, Pemuda dan Puteri merupakan salah satu bukti bahawa Umno sudah menjadi parti Najib.

"Ini tidak mengikut peraturan dan tradisi parti kerana orang ini (Muhyiddin) dianggap sebagai tidak bersetuju bukan dengan Umno tapi dengan Datuk Seri Najib. Sekali lagi bukti Umno sudah jadi parti Najib," katanya.

Selasa lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan ketiga-tiga mesyuarat itu akan dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing sekali gus mengesahkan bahawa Muhyiddin sebagai orang nombor dua parti tidak akan berucap pada perasmian persidangan itu meskipun secara tradisi perasmian akan dibuat oleh Timbalan Presiden.

Menurut Zahid juga, MT Umno akan memutuskan sama ada Muhyiddin akan menggulung ucapan sebagai Timbalan Presiden atau tidak, kelak.

Kata Mahathir, Muhyiddin sebagai orang nombor dua parti perlu hadir dan duduk di atas pentas sewaktu persidangan serta perlu diberi peluang untuk berucap kepada perwakilan-perwakilan.

"Dari segi protokol, orang nombor dua ialah Muhyiddin. Kalau dia nak bercakap, saya harap speaker (pengerusi tetap) bagi peluang kepada dia bercakap.

"Jika tidak, kita tak payah cakap tentang demokrasilah. Kalau cuma nak puji Najib sahaja baru boleh cakap, ini bukan lagi parti Umno," katanya.


Tiada ulasan: