Kelab Greenboc |
- Langkah Najib Benar KWSP Naikkan Pelaburan Luar 20% Resahkan MTUC
- Peneroka Dakwa Ditipu & Dipermainkan Pengurusan FELDA
- Tim Presiden PKR, Lawan Tetap Lawan - Kata Zaid
- "Saya Takkan Maafkan Pembunuh Itu Sampai Bila-bila" - Ibu Sosilawati
- Syarikat Palsu Iklan Tawaran Pekerjaan Di Kapal Mewah
- Siasatan Ke Atas Usharani Berlanjutan Sehingga Di Chennai
- Projek Mega Kembali, Rasuah Bakal Menjadi-jadi
- [Bergambar] Tertuduh Guna Pacuan Empat Roda Angkut Abu Mayat Untuk Dibuang Ke Sg Pancau
- Menara 100 Tingkat Dibina, Tapi Subsidi Untuk Rakyat Terus Dipotong
- Bajet RM (Rosmah Mansor)
- 2 Tertuduh Yang Kena 7 Tahun Penjara Jadi Saksi Perbicaraan
- Perlukah Shamsul Pertahan Jawatan Ketua AMK?
- Ada Apa Pada Bajet 2011?
- Galas Sudah Semakin Hangat
| Langkah Najib Benar KWSP Naikkan Pelaburan Luar 20% Resahkan MTUC Posted: 16 Oct 2010 12:30 AM PDT MTUC risau Najib naik had pelaburan asing KWSPKUALA LUMPUR, 16 Okt — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kini dibolehkan membuat pelaburan sehingga 20 peratus di luar negara agar "berhati-hati" kerana pasaran global lazimnya amat tidak menentu. Setiausaha Agungnya G. Rajasekaran (gambar) berkata, MTUC sebagai badan induk yang mewakili kepentingan pekerja tidak pasti sama ada keputusan kerajaan untuk membenarkan KWSP menaikkan kadar pelaburan asingnya kepada 20 peratus sesuai atau tidak pada masa sekarang. Dalam Bajet 2011 diumumkan semalam, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan langkah menaikkan kadar pelaburan KWSP di luar daripada tujuh peratus kepada 20 peratus. "Ketika krisis ekonomi 2008, impak ke atas syarikat-syarikat besar adalah sangat serius di Eropah dan Amerika Syarikat," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan mengulas kandungan Bajet 2011. MTUC juga merupakan salah satu anggota dalam lembaga KWSP. Oleh itu kata beliau, meskipun kerajaan membenarkan had baru itu panel pelaburan KWSP perlu dikenakan syarat agar mereka lebih berhati-hati dalam soal pelaburan di luar negara. Dalam kenyataan dikeluarkan, MTUC juga tidak bersetuju sekiranya syarikat-syarikat insurans mengurus dana pencen kerana pengalaman sebelum ini menunjukkan bahawa mereka amat mementingkan keuntungan dan tidak memberikan perhatian yang sepatutnya kepada keperluan pekerja. Rajasekaran juga berkata lebih tiga juta pekerja sektor swasta akan mendapat manfaat daripada langkah kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara yang dipertanggungjawabkan menentukan kadar dan mekanisma penetapan gaji minimum. Beliau berkata tuntutan MTUC berhubung penetapan gaji minimum sudah berlarutan sejak 60 tahun lalu, dan kini ia akan direalisasikan. Najib mengumumkan kerajaan akan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform utama dalam penetapan upah golongan pekerja. Rajasekaran menjelaskan perkara itu sudah lama dinantikan dan ia pasti akan dapat membantu golongan pekerja, terutama di kalangan pekerja miskin. Menurutnya soal selidik kerajaan baru-baru ini mendapati bahawa kira-kira 34 peratus pekerja kini berpendapatan RM700 sebulan, iaitu di bawah paras RM720 yang ditetapkan sebagai garis kemiskinan. -TMI |
| Peneroka Dakwa Ditipu & Dipermainkan Pengurusan FELDA Posted: 16 Oct 2010 12:00 AM PDT Peneroka di Felda Lawin Selatan Peringkat Satu mendakwa mereka ditipu dan dipermainkan pihak pengurusan Felda di sini berhubung pengeluaran kayu getah bagi persiapan tanam semula.Bekas Ketua UMNO Cawangan Felda Lawin Selatan, Abu Mansur Ahmad, 52, berkata, tender bagi melaksanakan projek itu sudah dikeluarkan pada awal April lalu. Menurutnya, boleh dikatakan sepanjang proses persetujuan tender pengeluaran kayu getah antara pemaju, pihak pengurusan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Lawin Selatan adalah bercorak paksaan ke atas semua peneroka. "Walaupun pihak pemaju berusaha untuk mencari kontraktor yang mampu memberikan tawaran harga tinggi, namun tidak dipersetujui oleh pihak pengurusan, sebaliknya kami dipaksa untuk bersetuju dengan kontraktor yang dipilih pihaknya dengan hanya menawarkan harga lebih rendah. "Harga yang ditawarkan kepada kami adalah RM2,395 untuk sehektar dan kami juga diarahkan supaya tidak membangkitkan sebarang masalah berhubung pengeluaran kayu getah ini dalam mana-mana mesyuarat bersama Pihak Pengurusan Felda Lawin Selatan dan JKKR Felda Lawin Selatan," katanya ketika ditemui di Felda Lawin Selatan Peringkat Satu, semalam. Abu Mansur berkata, mereka terpaksa bersetuju terutama bila pihak pengurusan berjanji bahawa peneroka boleh mengusahakan kebun getah masing-masing dan mengeluarkan hasil seperti biasa sehingga kerja-kerja pengeluaran kayu getah sampai ke kawasan mereka. Menurutnya, selain itu, peneroka turut mendakwa mereka tidak menerima duit hasil kebun getah sepertimana yang sepatutnya. "Apa yang dijanjikan kepada kami adalah tanah milik peneroka akan diberikan pajakan pada kadar RM1,400 sebulan untuk setiap satu lot bersama duit sara hidup sepanjang kerja-kerja pengeluaran kayu getah itu dijalankan. "Namun sehingga kini, kami hanya menerima duit sara hidup sahaja, manakala sembilan peneroka lain langsung tidak mendapat apa-apa," katanya. Beliau berkata, beliau pernah membincangkan perkara ini dengan pihak pemaju dan dipersetujui bahawa nilai yang ditawarkan adalah rendah di mana pihak pemaju kemudiannya memberi insentif tambahan sebanyak RM236,000 kepada peneroka. Bagaimanapun, Abu Mansur berkata, insentif tambahan ini disalah erti oleh pihak pengurusan yang menganggap ia sebagai duit pajakan dan memaksa peneroka mengikuti syarat dalam surat perjanjian tidak bertarikh sebelum menerima wang masing-masing. "Pembayaran itu dikeluarkan pada 27 September lalu dan berhubung surat perjanjian itu, ia sebenarnya tidak bertarikh dan dikeluarkan tanpa terlebih dahulu melalui sebarang perbincangan atau mesyuarat bersama kami. "Ketika mengusahakan sendiri kebun masing-masing, kami mampu mengeluarkan hasil lebih RM2,000 sebulan, namun setelah diberi pajakan, ternyata hasil yang diterima berkurangan apabila hanya menerima sekitar RM1,000 lebih sahaja," katanya.: Cuba ubah syarat perjanjian Manakala:, bekas Pengerusi JKKR Felda Lawin Selatan, Jumari Ismail, 57, berkata, terdapat percubaan untuk mengubah salah satu syarat Perjanjian Tuntutan/Pampasan Bayaran Kayu Getah tanpa terlebih dahulu membatalkan perjanjian asal. Menurutnya, perkara ini disedari melalui satu sesi perbincangan dalam satu mesyuarat bersama pemaju dan berasa syarat yang hendak diubah adalah syarat ketiga dalam perjanjian itu. "Lebih mencurigakan apabila surat perjanjian asal hanya ditandatangani satu pihak sahaja sementara JKKR Felda Lawin Selatan sebagai pihak kedua dan Pengurus Felda Lawin Selatan selaku saksi tidak menurunkan tandatangan," katanya. Jumari berkata, dalam mesyuarat itu juga, pihak berkenaan bersetuju untuk memberikan tempoh dua minggu kepada peneroka untuk menjalankan kerja menoreh dan mengeluarkan hasil seperti biasa bermula 1 Oktober lalu. Beliau berkata, langkah itu diberikan sementara menunggu kerja-kerja mengeluarkan kayu getah dimulakan oleh pihak pemaju. "Pihak pemaju juga sebenarnya masih dalam proses perbincangan dengan JKKR Felda Lawin Selatan dan pihak pengurusan termasuk mesyuarat khas yang diadakan pada 8 Oktober lalu, namun tidak menemui sebarang keputusan. "Saya bagaimanapun tidak dijemput bersama walaupun saya sepatutnya ada dalam mesyuarat selaku salah seorang ahli tertinggi Jawatankuasa Bertindak Penanaman Semula Getah di Felda Lawin Selatan Peringkat Satu," katanya. Katanya, perjumpaan yang diadakan pada sebelah pagi itu sepatutnya lanjutan kepada mesyuarat yang tertangguh tanpa sebarang keputusan pada 8 Oktober lalu, namun ditukar tujuannya secara tiba-tiba. "Sepatutnya ia adalah mesyuarat bersama bagi mencari penyelesaian dan memberi penerangan berhubung masalah pengeluaran kayu getah ini, tetapi ditukarkan kepada sesi taklimat oleh pihak perbankan serta Jabatan Kastam dan Eksais Diraja," katanya. Beliau berkata, berlaku sedikit kekecohan pada pertemuan itu dan semua peneroka Felda akhirnya bertindak meninggalkan Dewan Komuniti Felda Lawin Selatan. "Antara punca kemarahan peneroka adalah arahan yang mengatakan mereka perlu menghentikan segala kerja dan tidak boleh mengeluarkan hasil tidak sepertimana yang dipersetujui pada peringkat awal," katanya.: Harga tawaran berbeza Sementara: itu, seorang peneroka, Ahmad Abd Latef, 60, berkata, dia tidak berpuas hati dengan harga yang berbeza daripada tawaran asal. Menurutnya, harga yang mereka terima adalah lebih murah daripada harga asal. "Bukan hanya tentang harga tawaran, saya dan rakan-rakan turut tidak merasa puas hati tentang perjalanan perbincangan sejak peringkat awal lagi apabila semua yang dijanjikan tidak terlaksana," katanya. Ahmad berkata, pada perbincangan awal, mereka dijanjikan untuk mendapatkan kadar harga tawaran lebih tinggi. Katanya, dia juga tidak puas hati apabila pihak pengurusan Felda Lawin Selatan memaksa peneroka bersetuju dengan harga yang diperoleh sepertimana pada hari ini. "Sedangkan pada peringkat perbincangan bersama peneroka, Pengerusi JKKR Lawin Selatan memberi keyakinan kepada kami bahawa pihaknya akan berunding dengan pemaju untuk dapatkan harga lebih tinggi. "Namun hingga kini, tidak ada sebarang keputusan dibuat dan dimaklumkan kepada kami," katanya. -SH |
| Tim Presiden PKR, Lawan Tetap Lawan - Kata Zaid Posted: 15 Oct 2010 10:10 PM PDT Timbalan presiden PKR: Khalid, Nurul tarik diriPersaingan merebut jawatan nombor dua PKR dijangka adalah pertandingan tiga penjuru membabitkan naib presiden parti itu, Azmin Ali, ketua Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dan ketua Perak Mustaffa Kamil Ayub. Azmin yang juga adalah ketua Selangor, mengemukakan borang penerimaan pencalonan sebentar tadi manakala Zaid pula mengesahkan bahawa beliau akan bertanding menerusi blognya. "Pada tepat jam 11.05 pagi tadi, dengan penuh keinsafan, saya menerima pencalonan sebagai timbalan presiden. "Saya berharap anggota terus memberi sokongan dan selepas pemilihan ini parti (kita) akan lebih kuat, anggota menjadi matang, demokrasi akan terus subur dan reformasi ditegakkan di Putrajaya," katanya. Turut berada di atas pentas, adalah exco Selangor Dr Xavier Jayakumar yang menyokong Azmin. Beliau pula pula menawarkan diri untuk bertanding naib prtesiden. Menurut sumber parti, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan puteri reformasi PKR yang juga ahli parlimen Nurul Izzah Anwar dijangka menolak pencalonan masing-masing. Dipercayai anak ketua umum PKR dan presiden parti itu akan bertanding merebut satu daripada empat jawatan naib presiden yang dipertandingkan. Sementara itu, ahli parlimen Batu, Tian Chua, yang juga merupakan bekas naib presiden PKR telah memilih untuk tidak bertanding jawatan timbalan presiden meskipun telah mendapat lima pencalonan. Beliau juga seperti Nurul izzah, dikatakan akan cuba merebut jawatan naib presiden. Semua calon mempunyai masa sehingga jam 5 petang ini untuk mengesahkan sama ada mereka menerima pencalonan untuk bertanding jawatan masing-masing. 24 Oktober ini telah ditetapkan sebagai tarikh pengumuman calon yang sedia bertanding. Penerimaan pencalonan dibuka mulai jam 10 pagi ini di luar pusat pencalon yang ditubuhkan di ibu pejabat parti di Tropicana, Kuala Lumpur. Penyokong Azmin dilaporkan penuh sesak sebagai sokongan moral kepadanya. Suasana di sana dilaporkan bagaikan pesta dengan lima kanopi besar dipasang untuk proses pengambilan borang penerimaan calon. Sejak beberapa hari kebelangkangan ini, terdapat usaha sengit bagi mengatur percaturan dalam usaha menentukan kepimpinan PKR. Jawatan naib presiden juga dijangka amat sengit dengan hampir 30 calon yang layak bertanding meskipun ramai dijangka akan mengundurkan diri. "Hari penerimaan calon Pemilihan Pimpinan PKR. 252 dicalonkan untuk pelbagai jawatan. Ramai akan tarik diri. Tentu ada memeranjatkan," kata timbalan presiden PKR Syed Husin Ali yang tidak akan mempertahankan jawatannya menerusi tweeter. Bagi kerusi Pemuda - AMK, - ketuanya sekarang Shamsul Iskandar Mohd Akin akan mempertahankan jawatannya. Shamsul sebelum ini dikatakan berminat menjawat jawatan lebih tinggi dalam PKR tetapi menukar hasratnya kerana dipercayai sedar bahawa peluangnya agak tipis. Dipercayai Shamsul akan dicabar oleh Badrul Hisham Shahrin, yang lebih dikenali sebagai Chegubard, dan Rafizi Ramli.
|
| "Saya Takkan Maafkan Pembunuh Itu Sampai Bila-bila" - Ibu Sosilawati Posted: 15 Oct 2010 09:00 PM PDT Batu Pahat: "Saya tidak akan maafkan mereka sampai bila-bila. Hingga hari ini, saya tidak faham kenapa mereka sanggup buat anak saya macam tu," kata Yatmah Abdul Rahman (gambar), 80, ibu kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dibunuh di Banting, Selangor, Ogos lalu, ketika ditanya hukuman penjara tujuh tahun yang dijatuhkan terhadap K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, dua lelaki yang mengaku bersalah melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.Yatmah berkata, dia tidak tahu undang-undang, namun sebagai ibu yang melahirkan Sosilawati sukar baginya memaafkan mereka yang membunuh dan membakar anaknya itu. Menurutnya, sejak kehilangan dan diberitahu mengenai pembunuhan anaknya itu, setiap hari dia berdoa supaya sesiapa yang melakukan jenayah itu mendapat balasan dan berharap ia setimpal dengan perbuatan mereka. "Walaupun mereka meminta maaf, sebagai ibu saya tidak mungkin dapat memaafkannya," katanya yang enggan mengulas lanjut kerana terlalu sedih. Sarawanan, bekas mekanik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datuk, Banting, Selangor, semalam, atas tuduhan menghilangkan bukti dengan membakar mayat Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu, Kamaruddin Shansuddin, 44. |
| Syarikat Palsu Iklan Tawaran Pekerjaan Di Kapal Mewah Posted: 15 Oct 2010 07:30 PM PDT Kuala Lumpur - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran peluang pekerjaan dalam industri perkapalan mewah di perairan antarabangsa oleh sebuah syarikat yang menggunakan nama Sea Wave Cruise Line (Malaysia).Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam satu kenyataan semalam berkata, individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini telah menarik perhatian orang ramai khususnya warga luar negara dengan menawarkan peluang pekerjaan yang menarik dan pulangan pendapatan lumayan dalam suasana kerja kapal mewah. "Modus operandi individu-individu berkenaan adalah dengan mengiklankan tawaran pekerjaan melalui laman sesawang dengan menyatakan mempunyai lebih 100 syarikat kapal mewah yang mendapatkan perkhidmatan mereka. "Individu-individu tersebut juga berjaya meyakinkan orang ramai dengan menyediakan visa pekerjaan dan dokumen perjalanan yang akan diuruskan oleh pejabat guaman di Malaysia," menurut kenyataan itu semalam. SSM menegaskan bahawa tiada syarikat yang diperbadankan dengan nama Sea Wave Cruise Line (Malaysia) Sdn Bhd dan meminta orang ramai merujuk perkhidmatan e-info SSM di http://www.ssm-einfo.my untuk menyemak status pendaftaran sesebuah syarikat atau perniagaan. Untuk mendapatkan profil atau status sesebuah syarikat dan perniagaan, orang ramai boleh menggunakan aplikasi online dengan berdaftar sebagai anggota e-Account dan profil itu akan dihantar terus ke e-mail pengguna. Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi Hotline SSM 02-22995500. - Bernama |
| Siasatan Ke Atas Usharani Berlanjutan Sehingga Di Chennai Posted: 15 Oct 2010 07:00 PM PDT Polis Malaysia Soal Siasat Usharani Di ChennaiCHENNAI: Pasukan dua anggota polis dari Malaysia telah menyoal siasat S.Usharani dan seorang pembiaya filem berhubung kes pembunuhan ahli perniagaan warga India A. Muthuraja, yang dilaporkan hilang sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 18 Januari lepas. Usharani, 24, isteri kedua hartawan itu, telah disoal siasat selama beberapa jam oleh pegawai polis berpangkat tinggi dari Bukit Aman, Khamis lalu di Chennai selain meneliti beberapa barangan penting yang berada dalam pemilikannya. "Mereka merekodkan kenyataan Usharani dalam tempoh tiga hingga empat jam. Mereka juga akan menyoal siasat seorang pengarah filem berhubung satu komplot penipuan tanah di Malaysia, serta seorang lagi warga India yang terlibat dalam komplot membabitkan tanah di Melaka. "Pihak polis datang ke sini bagi mendapatkan lebih banyak maklumat berhubungempat jenayah komersial yang berbeza, kebanyakannya membabitkan penipuan tanah,"kata Konsul Jeneral Malaysia Anuar Kasman. Di Chennai, Usharani telah memberitahu media tempatan bahawa beliau telah menyerahkan dokumen berkaitan penjualan tanah berkenaan serta komputer riba suaminya kepada pegawai polis Malaysia. "Soal siasat itu berjalan selama lima jam. Mereka telah memeriksa sistem dan dokumen berkenaan sebelum memulangkannya. "Saya berharap ia akan membantu membuktikan bahawa mereka (peguam dua beradik) memang bersalah," beliau dipetik sebagai berkata oleh Deccan Chronicle. Mangsa yang merupakan penduduk Ramapuram di Chennai, dipercayai telah berjumpa kedua-dua suspek di Malaysia sebelum dilaporkan hilang. Kematian Muthuraja, ahli perniagaan dari Selatan India, terbongkar selepas pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu laindi Banting, Ogos lepas. Peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerjanya didakwa di sebuah mahkamah di Banting Rabu lepas, bagi pembunuhan berganda itu. Sosilawati, 47, pemandu peribadi Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru di Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dipercayai dibunuh selepas satu urus niaga bernilai jutaan ringgit bertukar menjadi hambar. Pembunuhan itu berlaku di sebuah ladang milik Pathmanabhan dan adiknya. - BERNAMA |
| Projek Mega Kembali, Rasuah Bakal Menjadi-jadi Posted: 15 Oct 2010 06:05 PM PDT Belanjawan 2011 tanpa istilah "Rasuah"Sesungguhnya ia Belanjawan yang mempersiap-sediakan Barisan Nasional untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Malah, mungkin sesetengah ahli Dewan Rakyat yang sarkastik akan menyindir bahawa ianya satu belanjawan yang dihantui bayang isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. Ia sudah terbukti dalam dewan itu sendiri, apabila nama "Rosmah" dilaungkan ketika Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Najib Razak mencadangkan pemansuhan duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan, pada kadar 5% hingga 30% - antaranya, pewarna rambut. Malah, apabila Najib mengumumkan peruntukan RM111 juta kepada PERMATA, sekali lagi dewan menjadi gempar dengan nama Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Program ini. Belanjawan tahun 2010 yang bertemakan "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi" ini mencatat angka peruntukan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM212 bilion, 2.8% lebih tinggi berbanding peruntukan Belanjawan tahun 2010. Defisit kerajaan persekutuan dijangka berkurangan kepada 5.4% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2011, iaitu RM45.481 bilion. Gula-Gula PRU Beberapa peruntukan disalurkan kepada kawasan kampung atau desa, misalnya penambahan elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru kepada RM800, berbanding RM450 sekarang. Bukan itu sahaja, malah elaun imam, guru KAFA turut dinaikkan. Sasarannya jelas apabila Najib menyatakan "kerajaan tidak akan meminggirkan rakyat luar bandar" - lantas RM6.9 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar, meliputi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Tanpa pertikaian, Belanjawan tahun 2011 berbaur politik. Ia semakin terhidu apabila Najib mengambil kesempatan untuk mencuit Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tanpa menyebut nama, mendakwa bahawa kerajaan BN "bukan saudagar mimpi yang memperdagang dongengan". "Kita adalah parti pembina harapan yang berpijak di bumi nyata," katanya sambil meyakinkan rakyat dengan "kita tidak mahu mewariskan negara yang bermasalah kepada generasi yang akan datang". Persoalannya, apakah Belanjawan tahun 2011 ini membawa Malaysia kembali ke landasan yang tepat untuk meluncur ke arah kejayaan? Projek mega kembali Antara yang paling dipertikaikan dalam Belanjawan 2011 ini adalah pembinaan menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia. Projek bernama "Warisan Merdeka" yang menelan RM5 bilion ini dibangunkan Permodalan Nasional Berhad, dan dijangka akan siap pada tahun 2015. Sementara itu, ahli parlimen Bukit Bendera-DAP, Liew Chin Tong mendedahkan bahawa bangunan Sri Perdana (kediaman rasmi PM) di Putrajaya bakal menelan RM65 juta untuk kos tambahan dan pengubahsuaian, menjelaskan bagaimana peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri memecah rekod dengan catatan RM15.8 bilion. Seandainya kedua-dua kes ini dibaca bersama, maka akan didapati bahawa kerajaan BN masih tidak mengambil iktibar daripada "projek mega" zaman Perdana Menteri ke-empat, Mahathir Mohamad. Projek mega seperti Putrajaya misalnya, telah membebankan generasi akan datang dengan kos penyelenggaran yang terlalu tinggi. Pembinaan projek mega semestinya memanfaatkan golongan kontraktor, yang menjadi asas kepada UMNO. Najib cuba menghalalkan kesinambungan "projek mega" dengan "Semangat Malaysia Boleh", tanpa menyedari bahawa keghairahan untuk menghambat kemegahan pencakar langit inilah yang menjejaskan ekonomi Malaysia. Wartawan Australia, M.Backman dalam bukunya Asia's Future Shock, mengulas situasi Malaysia dengan satu artikel berjudul "From Malaysia Boleh to Malaysia Bodoh". Backman menganggap Malaysia memiliki kelebihannya yang tersendiri, kerana kaya dengan sumber semulajadi, malah telah mewarisi satu sistem yang moden dari tangan penjajah British. Namun demikian, kelebihan-kelebihan ini telah dibinasakan, kerana dasar ekonomi yang lebih mementingkan pengagihan daripada penghasilan, hubungan etnik yang teruk, malah terlalu bermegah-megah dengan projek yang indah khabar dari rupa untuk mengubati perasaan inferior dirinya. Mahathir pernah mengibaratkan menara Petronas KLCC sebagai kotak untuk si pendek, Abdullah Ahmad Badawi pula ghairah dengan khayalan angkasa-nya. Tiada istilah "Rasuah" Tanah air kita seolah-olah terkena sumpahan sumber (resource curse), dilimpahi sumber yang terlalu lumayan, tetapi berakhir dengan pertumbuhan ekonomi yang lembik berbanding negara yang kekurangan sumber. Cuba ambil Indeks Pembangunan Manusia (Human Development Index, HDI), Malaysia menduduki ranking dunia ke-59 pada tahun 1999, tetapi tergelincir ke tangga 63 pada tahun 2007, malah terus menjunam ke 66 pada tahun 2008. Baru-baru ini, penganalisa politik-ekonomi, Soon Hoh Sing melancarkan bukunya yang berjudul "Ekonomi Malaysia yang kekok" (The Embarrassing Malaysian Economy). Beliau sempat memetik beberapa angka, yang pada pandangan beliau cukup menggusarkan. Pelaburan Malaysia di luar negara mencatat peningkatan dari RM22.1 bilion pada tahun 2006, RM38.2 bilion pada tahun 2007, kepada RM50.2 bilion pada tahun 2008. Sebaliknya, kita dimaklumkan bahawa pelaburan asing langsung di Malaysia pula menjunam sebanyak 81%, dari US$7.32 bilion (RM23.47 bilion) pada tahun 2008, kepada US$1.38 bilion (RM4.43 bilion) pada tahun 2009. Lebih ketara, pelaburan yang mengalir keluar pada tahun 2008 (RM50.2 bilion) lebih tinggi daripada pelaburan asing yang mengalir ke dalam Malaysia (RM23.47 bilion). Apakah yang berlaku pada hakikatnya? Sementara rakyat disuapkan dengan angka-angka yang memberangsangkan, jarang sekali tumpuan diberikan kepada Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Malaysia menduduki tangga ke-56 daripada 180 buah negara pada tahun 2009, setelah pelbagai langkah pembaharuan cuba diketengahkan oleh kerajaan Abdullah Ahmad Badawi selepas tsunami politik tahun 2008. Apa yang menarik, istilah "rasuah" langsung tidak disebut dalam teks ucapan Najib Razak yang setebal 45 muka surat hari ini. Jadi, agak jelas untuk kita - sejauh manakah iltizam kerajaan Najib untuk membanteras rasuah, jikalau dinilai dari teks ucapan tersebut. Berbalik kepada persoalan, apakah ekonomi Malaysia akan meluncur semula di landasan yang betul dengan pembinaan menara 100 tingkat, pada masa yang sama enggan meneliti masalah rasuah yang berleluasa di Malaysia? -Lim Hong Siang/MR |
| [Bergambar] Tertuduh Guna Pacuan Empat Roda Angkut Abu Mayat Untuk Dibuang Ke Sg Pancau Posted: 15 Oct 2010 04:15 PM PDT ![]() Sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk melupuskan bukti pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dekat Ladang Gadong telah dibawa ke Mahkamah Majestret Telok Datuk, Banting, hari ini. Ketika prosiding itu, Majistret Hurman Hussain, pasukan pendakwaan dan pembelaan turut keluar sebentar daripada mahkamah untuk melihat salah satu eksibit yang dibawa oleh pihak polis iaitu sebuah kenderaan Isuzu D-Max berwarna kelabu yang digunakan mengangkut abu mayat keempat-empat mangsa untuk dibuang ke dalam Sungai Panchau. K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, yang masing-masing menghadapi empat pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda. Majistret Hurman menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 9 September lalu. Mereka adalah antara lapan orang yang ditahan di antara 9 dan 12 September lalu bagi membantu siasatan polis berikutan laporan kehilangan Sosilawati pada 30 Ogos lalu. Sarawanan dituduh menghilangkan bukti itu dengan membakar mayat Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44. Bekas mekanik itu didakwa membakar mayat keempat-empat mangsa itu di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat Banting pada 30 Ogos lepas antara 9.45 malam dan 12.00 tengah malam. Suresh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap pula didakwa menghilangkan bahan bukti itu dengan membuang abu mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin di Sungai Panchau, Jalan Morib Banting pada 31 Ogos lalu antara 8 pagi hingga 10 pagi. Mereka berdua didakwa melakukan perbuatan itu bagi mengelakkan empat-empat tertuduh di dalam kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain daripada tindakan undang-undang. Rabu lalu, peguam N Patmanabhan, 41; pekerja ladang T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20; dan R Khatavarayan, 30, didakwa di Mahkamah Majistret yang sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama atas tuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin. Pada proseding mahkamah yang bermula pada 11.15 pagi tadi, Sarawanan dan Suresh diwakili oleh peguam M Puravelan, Mohd Naguib Abdul Malik dan Roslie Sulie, manakala pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwaraya Ishak Mohd Yusoff dan dibantu oleh Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abdul Ghani. Pertuduhan ke atas kedua-duanya dibacakan di dalam Bahasa Tamil oleh jurubahasa di dalam mahkamah yang dipenuhi wartawan dan orang ramai termasuk adik perempuan Suresh berusia 25 tahun. Sementara itu, dalam rayuannya, Puravelan memohon mahkamah mengambil kira faktor latar belakang dan kebolehan tertuduh apabila menjatuhkan hukuman. "Kedua-dua tertuduh memohon maaf di atas kesalahan yang mereka lakukan," katanya. Roslie berkata, Sarawanan yang bekerja sebagai mekanik motosikal sebelum ini adalah tempat keluarganya bergantung hidup dengan pendapatan RM800 sebulan bagi menyara bapanya yang mengidap sakit jantung dan ibunya seorang suri rumah. "Tertuduh yang juga anak bongsu daripada empat beradik telah kematian abang dan dua lagi kakaknya sudah berkahwin dan kini menetap di Ipoh," kata Roslie. Katanya, beliau percaya Sarawanan tidak mempunyai kesalahan lampau dan pengakuan tertuduh perlu diambil kira kerana menjimatkan masa dan kos perbicaraan serta perlu dipertimbangkan untuk hukuman yang lebih ringan. Mohd Naguib pula berkata, anak guamnya, Suresh tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mempunyai pendapatan RM700 sebulan bagi menyara adiknya yang sudah bertunang dan ibunya pula bekerja sebagai seorang tukang cuci dengan pendapatan RM800 sebulan. Bapanya sudah meninggal dunia dan ibunya memerlukan lebih RM300 bagi mendapatkan rawatan penyakit kencing manis, darah tinggi dan alahan kepada ubat-ubatan, katanya. "Anak guam saya mohon diberikan peluang kedua dalam situasi ini," kata Mohd Naguib. Roslie dan Mohd Naguib memohon supaya Sarawanan dan Suresh dikenakan hukuman penjara serentak bagi kesalahan mereka. Bagaimanapun, Ishak berkata di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan mereka berdua boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan juga boleh didenda. Beliau memohon kepada mahkamah supaya tidak memberikan sebarang diskaun hukuman kepada kedua-dua pesalah dan perlu dikenakan hukuman maksimum yang dijalankan secara berasingan bagi memberikan peringatan kepada yang lain daripada melakukan jenayah yang sama. "Perbuatan mereka menghapuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain serta kesan tindakan mereka terhadap mangsa dan keluarga mereka yang terbabit juga perlu diambil kira," katanya. Hurman ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, beliau mengambil kira tindakan tertuduh memusnahkan bahan bukti kes perbicaraan pembunuhan, kesan tindakan mereka terhadap keluarga simati dan kepada masyarakat selain daripada latar belakang tertuduh yang mempengaruhi mereka melakukan jenayah itu. Selepas Hurman menjatuhkan hukuman, Sarawanan dan Suresh memberitahu mahkamah bahawa mereka memohon maaf kepada keluarga mangsa dan masyarakat di atas perbuatan yang mereka lakukan dan telah insaf. Kedua-dua tertuduh bercakap dalam Bahasa Tamil dan diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh jurubahasa mahkamah. ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() ![]() |
| Menara 100 Tingkat Dibina, Tapi Subsidi Untuk Rakyat Terus Dipotong Posted: 15 Oct 2010 10:05 AM PDT Najib: Warisan Merdeka 100 tingkat, satu lagi pencakar langit di KLKUALA LUMPUR, 15 Okt – Permodalan Nasional Bhd akan membangunkan projek bersepadu berharga RM5 bilion, yang membabitkan menara 100 tingkat, yang dijadual siap pada 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Kita berasa sungguh bangga kerana ke mana sahaja kita pergi, semua orang mengetahui tentang Menara Berkembar Petronas. "Satu lagi mercu tanda yang akan dibangunkan oleh Permodalan Nasional Bhd ialah Warisan Merdeka, yang dijadual siap pada 2020," katanya semasa membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini. Menara itu akan menjadi menara tertinggi di Malaysia. Projek itu akan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai warisan negara. Kos projek berjumlah RM5 bilion, dengan menara dijangka siap pada 2015. – Bernama Ulasan GB Baru-baru ini kerajaan BN baru sahaja memotong subsidi untuk rakyat sehingga harga barang keperluan seperti minyak, gula, dan lain-lain meningkat. Tetapi kerajaan mampu untuk melakukan satu lagi pembaziran semata-mata untuk membina sebuah lagi bangunan tertinggi dalam negara. Menara kembar Petronas yang dibina mencakar langit sehingga kini masih lengang di dalamnya tanpa penyewa. Hanya untuk bermegah kita mempunyai bangunan tertinggi sedangkan pada hakikatnya kita menyembunyikan fakta bahawa itu hanyalah monumen yang ditegakkan di atas penderitaan dan kesengsaraan rakyat. Kesilapan Mahathir terus diulang oleh Najib. |
| Posted: 15 Oct 2010 07:40 AM PDT Nama Rosmah juga diheret dalam Bajet 2011Pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Razak Najib terganggu seketika dengan nama isterinya ditimbulkan oleh pihak pembangkang ketika beliau mengumumkan langkah menjadikan Malaysia destinasi utama membeli-belah di rantau Asia. Ia bermula apabila Najib mencadangkan supaya duti import ke atas kira-kira 300 barangan pelancongan dan rakyat tempatan dimansuhkan. "Barangan ini merangkumi kegunaan harian seperti beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut..." kata Najib sambil kedengaran gelak ketawa dari ahli parlimen. Beberapa ahli parlimen kemudiannya melaungkan "Rosmah!" disambut gelak ketawa rakan-rakan mereka. Najib senyum sinis dan memperlahankan bacaan teks ucapannya sambil menyambung: "Pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuklah kelambu." Dan sekali lagi lebih ramai yang ketawa. Namun, sindiran paling tajam dilemparkan ketika Najib mengumumkan peruntukan RM111 juta untuk program PERMATA yang dinaungi oleh Rosmah. NONEDatuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dengan kuat menjerit "Rosmah! Rosmah!", sambil sekali lagi disambut Najib dengan senyuman sinis. Peruntukan itu meliputi projek pembinaan fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, bagi membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) serta membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap. Peruntukan itu turut meliputi program Permata yang lain seperti PERTAMA Pintar, Seni, Insan dan Remaja. Pembangkang, khususnya PAS berang kerana walaupun Rosmah tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi, namum program PERTAMA yang diuruskannya didakwa seakan mendapat bajet 'istImewa'. Ini berbanding peruntukkan RM95 juta sebagai bantuan per-kapita untuk sekolah agama rakyat (SAR) rendah dan menengah. Pembentangan bajet ini juga mendapat sambutan serta bidasan di twitter. "Pengurangan cukai untuk beg, penyembur rambut, minyak wangi... hadiah Krismas awal Najib untuk Rosmah? Tulis MP Serdang Teo Nie Ching. "Ini macam Bajet RM (Rosmah Mansor)," jawab MP Bukit Bendera Liew Chin Tong. -mk
|
| 2 Tertuduh Yang Kena 7 Tahun Penjara Jadi Saksi Perbicaraan Posted: 15 Oct 2010 07:20 AM PDT Tertuduh Lupus Bahan Bukti Jadi Saksi PerbicaraanBANTING: Dua lelaki yang dihukum kerana melupuskan bahan bukti kes pembunuhan kejam pengasas kosmetik Novelles Visages, Datuk Sosilawati Lawiya akan tampil sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes itu kelak. Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff selepas Majistret Telok Datok di sini, Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara terhadap K. Sarawanan dan U. Suresh pada Jumaat. "Kedua-dua tertuduh akan dipanggil sebagai saksi untuk perbicaraan. Justeru itu, mereka akan diletakkan secara berasingan," katanya. Terdahulu, sebaik sahaja prosiding bermula, seorang peguam Avtar Singh Dhaliwal yang dilantik oleh keluarga Sarawanan pada prosiding reman, memaklumkan hasratnya untuk menarik diri. Sarawanan, 19, dan Suresh, 26, mengaku bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati, 47, dan tiga individu lain yang dilaporkan hilang selepas ke Banting untuk bertemu seorang peguam berhubung urusan pembelian tanah. Tiga individu tersebut adalah pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44. Pendakwaan hari ini adalah kali kedua selepas peguam yang merupakan suspek utama kes tersebut, N. Pathmanabhan, 41, dan tiga pekerja ladang dihadapkan ke mahkamah sama pada Rabu lalu, atas tuduhan membunuh. Turut didakwa ialah T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavaravan, 30. Seperti biasa, mahkamah dipenuhi bukan sahaja oleh petugas media dan keluarga tertuduh, tetapi juga orang awam yang berhasrat melihat sendiri muka suspek kes yang mendapat liputan meluas itu. Petugas media mula 'berkampung' di mahkamah seawal jam 7 pagi.Tertuduh tiba kira-kira sejam selepas itu dengan dikawal rapi termasuk menggunakan kereta Mitsubishi Lancer Evo dan dua kereta peronda. Mereka dibawa masuk ke galeri mahkamah pada pukul 10.40 pagi bagi membolehkan pertuduhan dibacakan. Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah pada puku 12.45 tengah hari dengan menaiki trak polis. -mstar |
| Perlukah Shamsul Pertahan Jawatan Ketua AMK? Posted: 15 Oct 2010 06:15 AM PDT Shamsul 'di upah' pertahan ketua AMK?PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin akan mempertahankan jawatan beliau walaupun sebelum ini menghebahkan akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden. "Saya rela dan bersedia mengadapi persepsi buruk media dan penganalisa politik kesan dari tindakan saya ini," jelas beliau ketika dihubungi hari ini. Tindakan Shamsul agak mengejutkan kerana keputusan dibuat selepas dua hari Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard mengumumkan bertanding. Sebelum ini pertembungan untuk Ketua AMK dijangka tiga penjuru yang melibatkan Rafizi Ramli, Hasmi Hashim dan Badrul Hisham. "Saya bukan di upah untuk melawan Che Gu Bad atau di suruh oleh sesiapa dan jauh sekali saya di beli oleh seseorang untuk bertanding Ketua AMK. "Persepsi semata-mata" "Saya tahu ramai yang menuduh demikian tetapi itu merupakan persepsi semata-mata," jelas beliau yang memberikan kenyataan eksklusif kepada FMT. Beliau yang juga Pengerusi PKR Melaka berkata strategi beliau adalah untuk memenangi pertandingan dan bukan sekadar merebut jawatan tinggi tetapi kalah dalam pertandingan. Selepas tamat sesi pertama pencalonan yang berakhir 3 Oktober lalu, Shamsul memperoleh 65 pencalonan untuk jawatan Naib Presiden dan 38 pencalonan Ketua AMK. Ditanya mengenai tindakan tidak bertanding merebut jawatan Naib Presiden walaupun mendapat pencalonan kedua terbanyak Shamsul berkata beliau telah berbincang secara teliti berhubung kedudukan tersebut. Katanya, pencalonan untuk Naib Presiden terlalu ramai sehingga mencecah 30 calon atau lebih. Ini akan memberi ruang yang amat sedikit kepada beliau untuk menang. "Saya dapat maklumat Tian Chua akan bertanding menggantikan Dr Lee Boon Chye dan undi kaum Cina akan memihak kepada Tian. Manikavasagam juga akan turut serta dan undi kaum India juga akan memihak kepada beliau. 'Manakala undi wanita sudah tentu akan memihak kepada Fuziah Salleh yang memperoleh pencalonan terbanyak untuk jawatan ini." jelas beliau. Selain itu menurut Shamsul, pencalonan dari cabang Selangor yang merupakan saluran pengundi Melayu paling ramai juga tidak memihak kepada beliau iaitu sebanyak empat pencalonan sahaja. Anwar tiada halangan Ditanya mengenai apakah beliau telah memaklumkan kepada Ketua Umum, Anwar Ibrahim untuk bertanding mempertahankan jawatan, beliau berkata Anwar tidak memberi sebarang halangan. Shamsul dijangka akan mengadakan sidang media petang ini bagi mengumumkan keputusan beliau mempertahankan jawatan. Sementara itu untuk jawatan Naib Presiden setiap ahli layak untuk mengundi memilih empat calon manakala untuk jawatan Ketua AMK hanya satu pilihan. Dalam kenyataan eksklusif dengan FMT, Shamsul enggan mengulas gadingan Timbalan beliau serta akan mengumumkannya dalam sidang media nanti. Pada 13 Oktober lalu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Badrul Hisham Shaharin mengumumkan akan bertanding Ketua AMK dan menamakan Adun Teja, Chang Lih Kang sebagai gandingan Timbalan beliau. Ulasan GB Untuk mendapatkan pencalonan kedua tertinggi bagi jawatan Naib Presiden bukan satu hal yang remeh untuk diketepikan. Ia juga menggambarkan harapan tinggi dari akar umbi. Melarikan diri dari bertanding untuk jawatan Naib Presiden untuk mempertahankan Ketua AMK, untuk orang yang bernama Shamsul Iskandar, pada pandangan GB, bukanlah satu tindakan yang bijak. Ini kerana Ketua AMK sudah ada calon yang solid - ch'guBard - yang GB percaya beliau akan memenangi jawatan itu. Justeru itu Shamsul perlu meyakinkan diri untuk ke pentas Naib Presiden. Beliau mempunyai potensi untuk menang. Sekalipun akan berdepan dengan Tian Chua dan Manickavasagam (yang disifatkan oleh Shamsul akan masing-masing memperolehi undi kaum Cina dan India), namun ia juga hanya persepsi. Ia juga agakan semata-mata. Ia tak semestinya jadi begitu. Sama halnya dengan Fuziah Salleh. Tak semestinya tiada wanita yang berkenan dengan Shamsul. Kalah bertanding pada peringkat Naib Presiden tidak tercemar berbanding tercemarnya jika kalah mempertahankan Ketua AMK. Shamsul perlu menjadi wira sejati PKR. Perlu menang salah satu kerusi Naib Presiden. Ey Shamsul, itu Ketua Polis Negeri Selangor, Khalid Abu Bakar yang selalu mengacau Shamsul dah naik pangkat jadi pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. Takkan Shamsul mahu duduk lagi kerusi AMK? Lebih-lebih lagi kalau kalah, terbahak besar nanti dia. Walau apapun keputusan bertanding apa-apa jawatan sekalipun terletak di tangan Shamsul sendiri. |
| Posted: 15 Oct 2010 04:30 AM PDT Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak sedang membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat.Bajet 2011 bertema "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi" dengan empat strategi utama.Berikut petikan penting ucapannya: * Rizab negara RM310.8b = 8.5 bulan import tertangguh * Negara telah pulih dari kemelesetan ekonomi dunia dgn pertumbuhan KDNK 9.5% separuh pertama 2010 * Defisit dijangka rendah pada 5.4 peratus pada 2011 * Jumlah dagangan Malaysia dijangka meningkat 18.7 peratus kepada RM1.173 trilion tahun ini berbanding RM988.2 bilion tahun lalu * Sektor perkhidmatan diunjur berkembang 5.3 peratus tahun hadapan dengan pelaksanaan program dan inisiatif di bawah tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) berkaitan perkhidmatan. * Warisan Merdeka - Permodalan Nasional Bhd akan membangunkan projek bersepadu berharga RM5 bilion, yang membabitkan menara 100 tingkat, yang dijadual siap pada 2020 * Pembinaan projek pembangunan bercampur termasuk kediaman mampu milik bernilai RM10 bilion di Sungai Buloh. * Pembangunan Zon Akuakultur Bersepadu di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak dengan peruntukan RM252 juta. * Peruntukan RM135 juta bagi persediaan prasarana asas menggalakkan petani menceburi bidang bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit. * Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat dalam aktiviti pengeluaran bahan makanan sehingga 2015. * Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kini boleh melabur sehingga 20 peratus daripada jumlah aset yang diurus berbanding tujuh peratus sebelum ini. * Suruhanjaya sekuriti (SC) akan menawarkan tiga lesen broker saham baharu kepada syarikat tempatan, asing dan usaha sama yang layak untuk meningkatkan penyertaan pasaran runcit. *Duti import kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan di antara 3 dan 5 peratus dimansuhkan bagi menjadikan Malaysia syurga beli belah * Dana Pencen Swasta (PPF) tahun depan untuk memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri * Program Adunan Biobahan Api dengan Petroleum Diesel (Program B5) secara mandatori bermula di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka * Pengecualian cukai jualan ke atas semua jenis telefon bimbit. * RM850 juta bagi menyediakan infrastruktur sokongan untuk mempercepatkan pembangunan koridor dan wilayah. * RM411 juta untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan sebagai landasan peningkatkan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi. * Penubuhan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM71 juta bagi tahun depan untuk mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan. * RM200 juta untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi. * Gaji pokok minimum pengawal keselamatan dinaikkan kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan mulai Januari 2011 * Penjawat awam wanita diberi pilihan tentukan sendiri tempoh cuti bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari. * Skim Rumah Pertamaku bantu golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah * Kerajaan akan menaikkan kadar cukai perkhidmatan daripada 5 peratus kepada 6 peratus * Elaun untuk JKKK, JKKKP dinaikkan kepada RM800 sebulan * RM6.9 bilion pula diperuntuk untuk bina infrastruktur seperti membina jalan luar bandar dan untuk membina jalan luar bandar * RM2.1 bilion diperuntuk untuk bina dan menaik taraf jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak, selain RM696 juta bagi tujuan sama di Semenanjung Malaysia * Sistem Penilaian Takap Kecekapan (PTK) dimansuh dan diganti dengan sistem penilaian lebih sesuai dan diterima baik penjawat awam Ulasan GB Ramai yang melihat bajet yang dibentangkan adalah bajet pilihanraya. Tetapi GB tidak pula melihat ia sebagai tanda-tanda Najib akan mengadakan pilihanraya di dalam tempoh yang terdekat. Yang ketara, memang terdapat usaha Najib untuk "mengambil hati" rakyat, namun jika ditelek dengan sebenar-benarnya, tidak semua yang menikmati kelebihan yang ada di dalam pembentangan bajet baru ini. Ia terlalu banyak menumpukan kepada golongan yang dijagai oleh kerajaan untuk kemenangan BN. Contohnya kakitangan awam, JKKK dan JKKKP, tetapi tidak ada perhatian khusus terhadap mereka yang bekerja sendiri seperti para petani, pekebun, nelayan dan seumpamanya. Jurang pendapatan akan menjadi bertambah lebar apabila golongan marhain sentiasa dicicirkan oleh kerajaan BN di dalam setiap kali pembentangan bajetnya. Bertambah buruk apabila FMT melaporkan bahawa pentadbiran Najib memperuntukan lebih RM100 bilion untuk Belanjawan 2011 tetapi peruntukan untuk semua kementerian dipotong separuh. Perbelanjaan dipotong untuk membiayai projek-projek di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) dengan masing-masing mendapat peruntukan lebih RM17 bilion dan RM11 bilion. Adalah difahamkan bahawa hanya kira-kira RM35 bilion, separuh dari peruntukan tahun lalu, diperuntukan untuk projek-projek baru kementerian. |
| Posted: 15 Oct 2010 02:00 AM PDT Kehangatan bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) N45 Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas sudah mula terasa biarpun hari penamaan calon akan berlangsung 11 hari lagi.Tinjauan awal Harakahdaily mendapati, parti-parti bertanding khususnya PAS dan Umno mula tekun mempersiapkan segala kelengkapan menempuh fasa kempen tidak lama lagi. Bagi PAS, pejabat parti di Gua Musang menjadi markas induknya yang kini siap diubah suai untuk melancarkan perjalanan kempen nanti. Difahamkan petugas parti dari seluruh Kelantan sudah mula berkampung sejak pengumuman tarikh PRK itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lalu. Mereka kini selesai menjalankan persiapan-persiapan awal termasuk persediaan untuk majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Dun Galas pada 19 Oktober ini. Pelancaran tersebut akan disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan. Manakala petugas dari luar dijangka tiba beberapa hari sebelum tarikh pengumuman calon PAS yang dijadual 22 Oktober ini.Bagi Dewan Pemuda PAS Kawasan Gua Musang pula, mereka telahpun melancarkan program Perkampungan Futsal bermula 9 Oktober lalu dan akan berlangsung sehingga hari pengundian 4 November nanti. Menurut ketuanya, Abdullah Hussin, inisiatif tersebut bagi mendekati golongan belia sekaligus memberi kesedaran politik kepada mereka. "Ini salah satu cara kita nak mereka semua sentiasa dekat dengan kita sehingga hari mengundi. "Di samping bersukan kita juga terapkan nilai agama pada mereka. "Tidak pernah ada orang buat, sebelum bermain, kita solat hajat, solat Isyak dan tazkirah dalam gelanggang futsal," katanya. Selain futsal, beberapa aktiviti sukan lain turut dipertandingkan sepanjang pilihan raya ini. Lebih menarik, setiap pemain yang menyertai pertandingan perlu mendaftar sebagai pemilih. Selain parti-parti yang bertanding, turut sibuk membuat persiapan termasuk kedai-kedai makan, rumah penginapan dan hotel.Beberapa pengusaha homestay yang ditemui memberitahu, kos sewa untuk tiga minggu sepanjang pilihan raya mencecah RM12 ribu bagi teres dua tingkat berbanding hanya RM350 sebulan bagi kadar hari biasa. Walaupun peningkatan ketara, kami difahamkan semua penginapan telah penuh ditempah jentera parti dan media khusunya dari luar Kelantan bermula 16 Oktober hingga 6 November nanti. Dijangkakan, bandar Gua Musang akan mula sibuk menjelang hari penamaan 26 Oktober nanti. Galas mempunyai 13 Unit Peti Undi (UPU) iaitu Bdr Baru Gua Musang, Bdr Lama Gua Musang, Bihau, Belatim, Balar, Sungai Ber, Lojing, Hau, Kampung Pulai, Lepan Tupai, Kampung Baru, Sungai Terah dan Kampung Batu Papan. SPR sebelum ini menetapkan tarikh PRK Galas pada 4 November ini. -harakahdaily |
| You are subscribed to email updates from Kelab Greenboc To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
















.jpg)







Tiada ulasan:
Catat Ulasan